Memaparkan catatan dengan label marin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label marin. Papar semua catatan

Rabu, 13 Januari 2016

Mikro Post - Giant Pacific Octopus

Giant Pacific Octopus merupakan sotong kurita terbesar.

Kali ini kita melihat satu lagi hidupan laut yang sangat istimewa iaitu Giant Pacific Octopus (Enteroctopus dofleini) yang juga merupakan sotong kurita terbesar di dunia. Selain daripada bersaiz besar, ada banyak lagi perkara yang anda perlu tahu mengenai keunikan sotong gergasi ini yang menjadikan ia sebagai hidupan yang istimewa di dalam dunia haiwan.

Ia merupakan ‘octopus’ yang hidup lebih lama daripada sotong ‘octopus’ biasa iaitu antara 3 – 5 tahun sahaja. Ini bermakna, jangka hayat ‘octopus’ tidaklah panjang dan memerlukan kitar hidup yang baik untuk memastikan ia dapat terus membiak dengan baik untuk mengelakkan kepupusan. Terdapat specimen yang mencapai sehingga 9.1 meter (30 ft) dengan berat melebihi 272 kilogram (600 lb). Namun kebiasaannya saiznya adalah dalam 5 meter (16 ft) dengan berat 50 kilogram (110 lb) sahaja.


Sotong dari jarak dekat.

Ia mempunyai kebolehan penyamaran yang unik seperti juga sotong yang lain.

Mangkuk penyedut pada lelengan sotong ini.

Giant Pacific octopus mempunyai kepala yang agak besar yang berwarna coklat-kemerahan. Namun begitu seperti juga keluarga sotong-sotong yang lain, ia dengan mudah boleh menyamarkan diri menyerupai persekitarannya dari segi warna mahupun bentuk untuk tujuan memburu ataupun perlindungan.

Makanan utamanya adalah haiwan-haiwan kecil seperti udang, ketam, kerang-kerangan mahupun ikan. Bagaimanapun ia dikatakan pernah memakan ikan jerung dan juga burung (jadi ia boleh menjadikan apa sahaja makanannya). Ia mempunyai taburan di perairan suhu sederhana di Pacific iaitu dari Selatan California ke Alaska, Barat ke Kepulauan Aleutian dan Jepun.


Jepun merupakan antara pengguna makanan laut yang terkenal.

Satu keunikan giant Pacific octopus adalah sotong-sotong betina akan menghasilkan sekitar 120,000 ke 400,000 biji telur dalam sekali musim bertelur. Bagaimanapun ia akan menjaga telur-telur ini daripada dijangkiti alga dan juga parasit lain dengan mengusap dan juga menghembuskan air kepadanya. Proses pengeraman telur ini mengambil masa sehingga 6 bulan dan kebiasaannya sotong betina ini mati sebaik sahaja telur-telur ini menetas.


Seperti juga sotong-sotong kurita yang lain, giant Pacific octopus juga boleh menguasai kemahiran-kemahiran unik seperti membuka penutup balang, atau menyelesaikan teka-teki mudah. Walaupun jumlah sebenar mereka tidak diketahui ataupun tidak tersenarai sebagai haiwan terancam, hidupan ini amatlah sensitif dengan perubahan persekitaran yang boleh mengancam populasi mereka.



Free Download



Jumaat, 18 Disember 2015

Keunikan Ikan Leaping Blenny (Alticus saliens)

Leaping blenny (Alticus saliens) di atas batu.

Leaping Blenny (Alticus saliens) merupakan antara ikan yang boleh bernafas di darat sama juga seperti ikan belacak (mud skipper – dari familyGobiidae’). Ikan-ikan blenny ini akan memastikan kulitnya sentiasa lembab untuk memolehkan ia bernafas, namun akan cuba mengelakkan daripada ditenggelami oleh air laut.

Ikan ini boleh didapat di perairan tropika di kawasan Pacific dan juga Lautan Hindi (Indian Ocean) termasuk juga Laut Merah, Society Islands, Ryuku dan Bonin Islands, Quensland, Australia; dan juga Mariana Island. Ia pernah direkodkan berada sehingga pada kedalaman 2 meter.

Ikan-ikan blenny ini tinggal di kawasan persisirian pantai – pada jarak pasang surut (intertidal zones) dengan melompat di antara batu dan rekahan batu-batu tersebut. Ikan-ikan ini menghabiskan masa di daratan untuk mencari pasangan dengan menunjukkan kepada ikan-ikan lain fizikal masing-masing (dalam menghadapi persaingan). Ia juga akan melibatkan diri dalam pergaduhan sekiranya terdapat pesaing yang setara.

Ikan blenny seakan-akan ikan mud skipper.

Perhatikan sirip atas yang mempuyai warna menarik.

Ikan blenny mencabar antara satu sama lain.

Makanan utama ikan-ikan blenny terdiri daripada alga. Manakala saiz ikan blenny dewasa pula boleh mencecah sehingga 10 centimeter (3.94 inci).

Tidak terdapat banyak maklumat mengenai ikan ini – mungkin kerana tumpuan lebih banyak diberikan kepada ikan yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengannya seperti ikan ‘mud skipper’. Apa pun ikan blenny merupakan spesis ikan yang unik dan menambahkan lagi spesis-spesis ikan yang mampu bernafas di daratan.










Free Download



Khamis, 17 Disember 2015

Ikan Pelik Yang Berjalan – Frogfish (Batrachoididae)

Frogfish mempunyai banyak ciri unik membantunya untuk terus hidup.

Lautan dipenuhi dengan pelbagai hidupan yang unik yang adakalanya sukar dipercayai. Ikan frogfish iaitu kumpulan ikan-ikan dari family (Batrachoididae) merupakan kumpulan ikan yang unik kerana memiliki banyak keistimewaan berbanding ikan-ikan yang lain disekelilingnya. Walupun ia merupakan ikan yang bersaiz sederhana dan tidak mampu berenang dengan pantas kerana keunikannya masih membolehkan ia menangkap makanan dengan baik.

Keunikan utama ikan frogfish yang juga adakalanya dikenali sebagai ‘anglerfishes’ juga ‘toadfish’ ini adalah ia mempunyai sirip yang lebih berfungsi sebagai ‘kaki’ berbanding digunakan untuk berenang. Selain itu juga ia ditambah lagi dengan keunikan rupa bentuknya yang membantu ikan ini sebagai penyamaran untuk mengelakkan ancaman musuh dan juga membantunya untuk memburu mangsa. Sesetengah frogfish juga mempunyai keupayaan untuk menukar warnanya bagi menambahkan lagi keupayaan penyamarannya.

'Scarlet frogfish' berwarna merah terang.

Frogfish yang menyerupai alga dasar laut.

Walaupun ikan frogfish bergerak dengan perlahan, ia mampu menyambar mangsanya dengan kelajuan yang amat tinggi. Serangan ikan frogfish boleh berlaku pada kepantasan 6 millisaat. Selain daripada penyamarannya yang mengelirukan mangsa, ikan frogfish juga mempunyai antena (seakan-akan pancing) yang digunakan untuk menarik perhatian mangsa untuk menghampirinya.

Terdapat sehingga 45 spesis ikan frogfish yang mempunyai taburan di perairan tropika, sub-tropika, Atlantik dan Pasifik sehinggalah ke Lautan Hindi dan Laut Merah. Mendiami kawasan turumbu karang dan juga berbatu dengan kedalaman sehingga 100 meter (330 kaki). Selain daripada tinggal di perairan air masin, terdapat juga spesis frogfish (Sargassumfish) yang tinggal di perairan air payau (brackish water).

Saiz ikan frogfish adalah di antara  2.5–38 cm (1-15 inci) panjang mengikut spesis. Rupanya seakan-akan bola dengan permukaan yang adakalanya berbonjol, berbulu dan dipenuhi dengan rerambut seperti lumut dengan warna yang pelbagai (putih, kuning, merah, hijau atau hitam). Ia juga dilengkapi dengan ‘esca’ atau umpan (lure). Esca ini berbeza mengikut spesis dan ada diantaranya yang menyerupai ikan, udang, polychaetes dan juga cacing (tubeworms) untuk menarik minat mangsanya.

Frogfish yang bersembunyi di celahan batu.

Frogfish dengan warna yang unik di perairan Hawaii.

Kelihatan frogfish yang melambaikan 'esca' untuk menarik minat mangsa.

Perkara yang paling menarik untuk diperhatikan pada frogfish adalah pergerakkannya yang menggunakan sirip untuk berjalan dan bukannya berenang seperti ikan-ikan yang lain. Ini kerana, ia lebih suka bergerak secara perlahan di dasar laut  yang dipenuhi dengan batu karang atau batu-batuan. Semburan air (jet propulsion) juga digunakan oleh ikan-ikan kecil dengan menyembur air dari bukaan insangnya untuk membantu pergerakan. Manakala bagi spesis ‘sargassum frogfish’ pula terdapat sirip khas yang membantunya memegang sargassum (rumpai air) untuk membantunya memanjat dan bergerak menggunakan rumpai air tersebut.


Terdapat banyak lagi ciri-ciri keistimewaan ikan ganjil ini. Antaranya ia turut mampu memakan mangsa yang dua kali ganda lebih besar darinya. Walaupun ia hanya mampu bergerak perlahan dan rupa bentuknya yang ganjil, ikan istimewa ini dapat meneruskan hidupnya di persekitaran yang penuh mencabar. Mengagumkan!..







Free Download



Selasa, 15 Disember 2015

Belut Laut Yang Menakjubkan - Ribbon Eel (Rhinomuraena quaesita)

Blue ribbon eel - dengan rupa bentuk yang unik.

Ribbon eel (Rhinomuraena quaesita) juga dikenali sebagai Bernis eel, merupakan sebahagian daripada spesies belut moray, dan merupakan satu-satunya ahli dari genus Rhinomuraena. Terdapat beberapa perbezaan warna bagi spesis ribbon eel yang sebelum ini diberikan nama yang berbeza iaitu R. quaesita bagi ribbon eel biru dan  R. amboinensis untuk ribbon eel bewarna hitam yang kemudiannya diletakkan dalam satu spesies yang sama.

Belut ribbon boleh dijumpai di kawsan lagoon dan terumbu karang di Indo-Pacific daripada Afrika Timur sehinggalah ke Selatan Jepun, Australia dan French Polynesia. Ia merupakan belut yang unik kerana kelihatan seperti ribbon yang panjang walaupun sebenarnya hanya berukuran  65 ke 94 cm (26 ke 37 in) bagi belut jantan. Manakala belut betina boleh mencecah sehingga 130 cm (51 in) panjang. Rupa bentuk dan warna belut ini menjadikan ia kelihatan seolah-olah lebih panjang daripada biasa. Namun begitu warna dan rupa bentuk belut yang istimewa ini tidak menggambarkan jantina mereka malah ia dikatakan protandric hermaphrodite (kemampuan menukar jantina dari jantan ke betina).

Belut juga adakalanya bewarna hitam.

Rupa bentuk belut menjadikan ia kelihatan seperti lebih panjang.

Mulut ternganga untuk membantu pernafasan.

Belut ini dapat dikenali dengan mudah melalui rupa bentuk hidungnya yang kelihatan lebih besar. Ia juga kelihatan agak menggerukan kerana mempunyai mulut yang sentiasa terbuka – yang sebenarnya bertujuan untuk pernafasan (bagi membolehkan air terus masuk melalui insangnya). Malah perlakuan ini juga turut dilakukan oleh beberapa belut-belut yang lain.

Belut ini tinggal di dalam pasir dan bersembunyi di celah-celah terumbu karang dan batu-batu untuk menunggu mangsanya melewati kasawan persembunyian tersebut. Ia kemudian akan menyambar mangsa yang terdiri daripada hidupan kecil dengan pantas. Belut ribbon sukar untuk dipelihara di dalam akuarium kerana ia akan menyebabkan kemurungan di mana belut tidak akan makan – dan ini akan berakhir dengan kematian. Namun begitu terdapat juga beberapa pusat akuarium yang berjaya memelihara belut ini seperti beberapa akuarium di Europe dan Amerika Utara.


Sepasang blue ribbon eel.

Belut diberi makan di dalam akuarium.

Belut berenang di dalam air.

Belut-belut ini bagaimanapun tidak diketegorikan sebagai haiwan terancam dan masih boleh di jumpai di habitat asal mereka. Namun dengan pengenalan spesies unik ini, diharap kita dapat lebih mengenali hidupan-hidupan laut yang jarang dikenali oleh kita semua.









Free Download



Ahad, 6 Disember 2015

Keunikan Hidupan Spesis Udang

Harlequin Shrimp (Hymerocera elegans), salah satu spesis unik.

Udang spesis haiwan air yang tergolong di dalam kumpulan ‘decapod crustacean’,  merupakan haiwan akuatik kecil yang penting di dalam ekosistem sebagai salah satu agen pembersih. Udang yang menjadikan hidupan-hidupan kecil sebagai makananya ini juga melakukan pembersihan bagi hidupan yang lebih besar samada bagi hidupan air tawar ataupun air masin.

Terdapat pelbagai spesis udang daripada spesis yang kecil sehinggalah kepada yang bersaiz lebih besar. Walupun dalam Bahasa Melayu udang menjadi nama untuk satu spesis yang amat besar, turut merujuk kepada udang galah, udang harimau, udang kertas dan macam-macam udang lagi. Namun begitu banyak sekali spesis udang yang tidak kita kenali dan kepentingan hidupan ini kepada ekosistem akuatik tidak difahami oleh kita semua.

Terdapat ribuan spesis udang yang rata-ratanya menjadikan sisa-sisa hidupan mereput dan hidupan kecil lain sebagai makanannya. Manakala kepentingannya kepada hidupan akuatik lain pula adalah sebagai agen pembersih dan fungsi ini adalah sama seperti spesis ikan ‘cleaner wrasse’, yang melakukan kerja-kerja pembersihan bagi spesis hidupan laut yang lebih besar. Udang-udang pembersih (cleaner shrimp) dan juga ‘cleaner wrasse’ tidak akan sesekali dicederakan walaupun ia masuk ke dalam mulut ikan yang dibersihkannya.

Lysmata amboinensis melakukan kerja pembersiihan pada belut. 

P. holthuisi spesis udang yang lutsinar.

Udang-udang kecil dengan pelbagai warna.

Selain menjadi haiwan pembersih, udang-udang juga menjadi sumber makanan yang penting bagi hidupan laut yang lain termasuklah ikan paus. Spesis udang yang dikenali sebagai ‘krill’, berenang secara berkumpulan dalam kepadatan yang tinggi iaitu sehingga 10,000 per m3, menjadikan ia sebagai makanan yang paling sesuai bagi spesis kan yang makan menggunakan teknik tapisan (paus baleen, manta ray, whale shark dan sebagainya).

Manakala bagi manusia pula udang menjadi salah satu sumber ekonomi penting di mana ia merupakan industri yang bernilai USD50 Billion setahun. Pada tahun 2010 sahaja jumlah penghasilan udang secara komersil adalah 7 juta tan. Industri udang secara komersil ini dikatakan bermula di China pada 1980-an dan menjelang 2007, penghasilan udang secara penternakan telahpun mengatasi udang yang diperolehi secara tangkapan.

Udang-udang yang diternak di Malaysia termasuklah dari spesis udang galah (Macrobrachium resenbergii), udang Red Claw (Cherax Quadricarinatus), udang harimau (Penaues monodon), udang lipan/ udang mentadak/ udang ronggeng (Harpiosquilla harpax), udang ketak (Thenus orientalis), udang karang, udang kara dan mungkin beberapa spesis udang lagi. Namun udang-udang yang biasa dijadikan bahan makanan termasuklah udang geragau, udang minyak, udang bemban, udang pasir, udang kertas, udang putih kecil,  udang putih besar, udang lambouh, udang vannamei dan udang rotan.

Mantis shrimp, menjadi bahan kajian.

Pistol shrimp menghasilkan bunyi yang kuat.

Kerjasama antara goby dan pistol shrimp.

Daripada spesis-spesis tersebut, hanyalah sedikit daripada kumpulan udang yang perlu dikenali. Malah, spesis-spesis udang yang penting seperti ‘mantis shrimp’ (juga tergolong dalam kumpulan udang lipan) dan ‘pistol shrimp’ menjadi bahan penting kajian para saintis atas keistimewaan masing-masing. Jelas disitu banyak lagi spesis-spesis udang yang lain, yang menyimpan seribu satu macam perkara yang kita perlu pelajari dari mereka.


Berikutan dengan itu semoga kita dapat membuka mata tentang pentingnya segala jenis hidupan di dalam ekosistem. Kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar, setidak-tidaknya dapat mengelakkan spesis-spesis lain pupus secara mendadak dan merugikan diri kita sendiri. Ia sudah terlewat apabila menyedari kepentingannya setelah ia tiada!?...

Antara udang yang cantik.

Coleman shrimp dengan warna yang menarik.

Thor amboinensis mempunyai corak menarik.

Tozeuma shrimp dengan rupa dan warna yang unik.



Free Download



Arkib Blog