Memaparkan catatan dengan label marin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label marin. Papar semua catatan

Khamis, 4 Februari 2016

Antara Ikan Terumbu Karang Yang Unik Humuhumunukunukuāpuaʻa

Lagoon Triggerfish, merupakan ikan istimewa bagi Hawaii.

Nama ikan ini sendiri amat unik. Nama tersebut adalah yang diberikan oleh orang Hawaii kepada ikan  lagoon triggerfish (Rhinecanthus aculeatus) yang juga merupakan ikan terumbu karang. Bagi masyarakat Melayu ikan ini adalah tergolong dari kumpulan ikan ayam-ayam. Ia bukan sahaja mempunyai bentuk yang unik malah warnanya juga menarik.

Selain dikenali sebagai lagoon triggerfish, ia juga dikenali sebagai blackbar triggerfish, Picasso triggerfish, Picassofish, Whitebanded Triggerfish, Painted Triggerfish atau Jamal. Ia mungkin mempunyai banyak nama lain mengikut geaografi di mana ia dijumpai. Humuhumunukunukuāpuaʻa, boleh mencapai sehingga saiz 30 cm panjang dan bukanlah merupakan kumpulan ikan triggerfish terbesar dan tidak se-agresif seperti  'titan triggerfish'.


Ikan lagoon triggerfish dari dekat.

Tempat persekitaran habitat ikan ini.

Antara ciri unik triggerfish adalah muncungnya.

Ikan yang akan bersifat ‘territorial’ ini akan mempertahankan kawasannya dari ikan-ikan lain, termasuk penyalam yang menghampirinya. Keadaan ini lebih ketara ketika ikan-ikan mengawal telur-telurnya. Namun ia tidaklah mendatangkan bahaya yang serius kerana gigi ikan lagoon triggerfish tidak pula setajam 'barracuda'.

Selain mempunyai nama yang unik bagi orang-orang Hawaii, ikan ini juga merupakan ikan rasmi bagi negeri tersebut. Ikan lagoon triggerfish mempunyai skema warna yang menarik dan juga corak renang yang unik menjadikan ia antara ikan akuarium yang popular. Namun begitu penjagaan ikan ini adalah jauh lebih rumit dari spesis air masin yang biasa (pastikan anda mempunyai pengalaman yang cukup sebelum mula membela ikan ini).


Antara spesies lain - Clown Triggerfish.

Titan Triggerfish yang lebih besar dan agresif.

Ikan ini memerlukan akuarium bersaiz minima 80 gallon dengan suhu air 76 – 84 °F (24 – 29 °C). Manakala pH air pula berada di sekitar 8.0 – 8.4 dan keadaan graviti antara 1.020 – 1.024 (ini agak sukar untuk diukur). Ia juga perlu diberikan makanan dari pelbagai jenis antaranya termasuk udang kecil, siput berkulit, makanan hidup dan juga ikan. Ia juga tidak sesuai disimpan bersama spesies batu karang.


Oleh kerana ia adalah salah satu daripada kumpulan ikan triggerfish (ayam-ayam) anda juga perlu melihat spesies-spesies lain ikan-ikan ini yang sangat unik. Saya bukanlah menggalakkan anda membela ikan ini, namun berharap supaya  kita dapat memelihara habitatnya supaya ia dapat hidup dengan sempurna.



Free Download



Khamis, 28 Januari 2016

Ikan Yang Unik Pineapplefish

Ikan pineapplefish dari Monaco Aquarium.

Pineapplefish (Cleidopus gloriamaris) merupakan sejenis ikan air masin yang unik kerana kelihatan seperti buah nenas atau buah pine (pinecone). Ia juga mempunyai beberapa nama lain antaranya Pinecone Fish, Coat Of Mail Fish atau Knight Fish. Selain daripada fizikalnya yang unik itu, ia juga dilengkapi dengan organ ‘bioluminescent’ yang digunakan untuk menarik perhatian mangsanya.

Ia merupakan ikan yang berasal daripada perairan Australia seperti di Queensland, New South Wales dan juga Barat Australia. Ikan ini juga biasanya didapati pada kedalaman di antara 6 – 200 meter (20 – 656 ft.) di persekitaran berkarang mahupun kawasan perlabuhan.


Sisik ikan yang tebal dan tajam.

Persekitaran berbatu sebagai tempat persembunyian.

Ikan ini menjadikan kawasan berbatu sebagai persembunyiannya dan keluar pada waktu malam untuk mencari makanan dengan menggunakan bahagian bercahaya pada mulutnya untuk menarik perhatian mangsa. Ia boleh mencapai saiz sehingga 22 cm (8.7 in) panjang. Keseluruhan badannya diselaputi dengan sisik kasar yang agak keras dan berduri.  Bahagian kepalanya agak besar dan muncungnya pula kelihatan tumpul menempatkan mulutnya yang kelihatan besar di mana terdapatnya bahagian bercahaya (bioluminescent) tersebut.
Bahagian bercahaya pada ikan ini adalah dihasilkan oleh kumpulan bakteria iaitu Vibrio fischeri yang tersimpan di bahagian khas (photophores).  Vibrio fischeri merupakan bakteria yang sememangnya boleh dijumpai mendiami perairan laut dan juga sebahagiannya dilepaskan daripada bahagian  ‘photophores’ ikan pineapplefish ini. Cahaya ini akan menjadi semakin malap setelah beberapa jam ianya dilepaskan.

Ikan pineapplefish dari dekat.

Setem dengan gambar pineapplefish.


Ikan ini tidak berapa dikenali pada mulanya dan hanya dijumpai apabila mati dan dihanyutkan ke pantai. Ia juga adakalanya terperangkap di dalam pukat nelayan secara tidak sengaja. Ikan ini hari ini menjadi sebahagian ikan akuarium yang popular dan mampu hidup sehingga 10 tahun di dalam akuarium. Apa yang penting bagi pemelihara ikan ini adalah menyediakan tempat perlindungan berbatu sebagai tempat persembunyiannya.



Free Download



Khamis, 21 Januari 2016

Kehilangan Mereka Mungkin Kehilangan Anda?

Kebanyakan kita hanya melihat fungus sebagai cendawan.

Seperti yang kita ketahui, setiap benda di dalam alam mempunyai fungsi masing-masing dan saling berkait sehinggakan tiada satu benda pun yang tidak mempunyai kaitan dengan benda yang lain. Begitulah halusnya ciptaan pada alam yang luas ini. Berikut hanyalah satu dari gambaran kecil yang digambarkan betapa kita begitu bergantung dengan benda/hidupan lain di dalam alam ini;

Lebah

Lebah serangga yang amat menarik dan berguna.

Lebah dan serangga-serangga lain menjadi agen pendebunga tumbuh-tumbuhan sejak jutaan tahun dahulu. Ini membolehkan tumbuhan menghasilkan makanan dan membiak yang memperkembangkan spesis mereka di dalam alam. Walaupun lebah bukan satu-satunya agen pendebunga, namun ia merupakan agen pendebunga utama yang mendebunga lebih banyak tumbuhan dengan lebih efektif. Disamping itu juga lebah sendiri membekalkan manusia dengan madu sebagai sumber manisan.

Kelawar

Kelawar diberikan reputasi yang buruk.

Kelawar juga merupakan agen pendebunga bagi tumbuhan-tumbuhan tertentu di hutan tropika. Tumbuhan-tumbuhan tertentu yang mempunyai bunga yang berwarna pudar ataupun kurang wangi biasanya didebungakan oleh kelawar. Malah kelawar menjalankan proses debunga ini pada waktu malam berbanding serangga dan burung yang menajalankan proses ini pada waktu siang memastikan lebih banyak tumbuhan boleh didebungakan dan menghasilkan buah.

Kelawar juga mengawal populasi serangga, selain menyebarkan biji buah-buahan ke kawasan yang lebih jauh dari tumbuhan asal (untuk meningkatkan peluang untuk hidup lebih subur). Kelawar merupakan agen pendebungan penting di kawasan seperti Afrika, Asia dan juga kepulauan Pasifik. Antara tumbuhan yang didebungakan oleh kelawar termasuklah pisang, durian, mangga dan buah-buahan hutan yang lain.

Karang

Terumbu karang merupakan kawasan perlindungan hidupan laut.

Kupulan karangan laut yang membentuk terumbu karang merupakan kawasan yang kaya dengan hidupan dan menyediakan tempat yang paling sesuai untuk hidupan laut membiak. Di sini bukan ikan sahaja, malah kerangan, udang, ketam, cacing laut, belut, lintah laut, obor-obor, span (sponges), sotong, tapak sulaiman mendapat perlindungan. Ia juga sebenarnya bertindak sebagai pemecah ombak dari terus menghakis kawasan pantai apabila ribut.

Namun begitu kawasan terumbu karang hanyalah sekitar 1 peratus dari keluasan laut yang luas. Ancaman kepada terumbu karang perlu dilihat sebagai masalah yang serius, kerana ia boleh mengkibatkan kesan yang amat besar.

Plakton

Plankton sebagai nadi makanan hidupan air.

Antara hidupan terkecil dengan fungsi yang paling besar. Plakton menghasilkan 50 – 80 peratus daripada sumber Oksigen di atmosfera disamping memendapkan Karbon ke dasar laut. Ia juga menjadi sumber makanan utama di dalam rantaian makanan bagi hidupan laut.  Plakton terdapat hampir di semua kawasan dengan lembapan samada air tawar mahupun air masin. Plakton yang sihat dapat memastikan sumber makanan air/laut yang kita makan adalah selamat.

Kulat/fungus

Armillaria solidipes merupakan fungus dengan koloni terbesar.

Dunia kulat amat luas yang merangkumi mikro-organisma seperti yis sehinggalah kepada fungus dengan koloni terbesar iaitu honey fungus (Armillaria ostoyae/ Armillaria solidipes ) yang direkodkan mencapai keluasan sehingga  8.9 km2 (2,200 ekar) di Blue Mountains, Oregon.

Kulat mempunyai pelbagai fungsi semulajadi dan antara yang paling penting adalah sebagai agen pengurai/pereputan bagi tumbuhan dan haiwan. Ia mengbalikan semula keseburan kepada tanah. Selain itu juga, manusia banyak menggunakan kulat dalam penghasilan bahan makanan seperti keju, coklat, minuman ringan, roti, tapai, cuka, tempeh, kicap dan sebagainya. Dari segi perubatan pula ia turut digunakan dalam menghasilkan pembagai jenis ubatan dan antibiotik seperti penicillin dan juga statins pengawal kolestrol.


Itu hanyalah 5 daripada hidupan di dalam alam yang disenaraikan. Sekiranya anda ingin melihat keseluruhannya anda pasti akan terpegun bahawa, setiap hidupan saling bergantungan antara satu sama lain untuk memastikan alam sentiasa seimbang. Aktiviti manusia banyak mengganggu keseimbangan ini dan boleh mengakibatkan kesan yang serius. Namun begitu dalam masa yang sama juga kita boleh mendapat manfaat daripada mereka sekiranya kita menggunakan sumber ini dengan betul dan berkhemah.


Free Download



Selasa, 19 Januari 2016

Antara Ikan Tercantik Mandarinfish

Mandarinfish yang memiliki warna-warna yang cantik.


Mandarinfish juga dikenali sebagai mandarin dragonet (Synchiropus splendidus), merupakan ikan yang bersaiz amat kecil dari family ikan dragonet.  Ia adalah spesis ikan air masin yang berasal dari Pacific merangkumi kawasan daripada Ryuku Island sehinggalah ke Australia.

Mandarinfish mempunyai gabungan warna-warna menarik dari biru terang, oren, kuning dan hijau yang menyerlahkan. Ia merupakan antara ikan akuarium air masin yang popular, namun tidak mudah bagi penjagaannya bagi yang baru. Mandarinfish juga adakalanya dikenali sebagai Striped Mandarinfish, Mandarin Goby atau Green Mandarinfish.

Mandarinfish dari jarak dekat.

Berpasangan.

White spotted mandarinfish.

Ikan ini mempunyai tabiat makanan yang khusus menyebabkan ia sukar di pelihara di dalam akuarium. Adakalanya ia hanya makan makanan dari  amphipods dan copepods yang masih hidup sama seperti mana di persekitaran semulajadi. Namun begitu ikan ini pula amat tahan dari jangkitan penyakit seperti  marine ich.

Ikan ini bersaiz kecil iaitu dengan ukuran hanya sekitar 6 cm sahaja. Untuk membezakan antara ikan jantan dan ikan betina bagi spesis ini adalah saiz ikan jantan yang bersaiz lebih besar juga sirip dorsalnya yang lebih panjang. Ia akan hanya bergerak pada jarak yang hampir dengan sarangnya. Walaupun ia boleh hidup sehingga 15 tahun di habitat asalnya, jangka hayat mandarinfish di dalam akuarium hanyalah sekitar 4 tahun sahaja.



Free Download



Isnin, 18 Januari 2016

Belut Unik Garden Eel Yang Menarik Diperhatikan

Spotted Garden Eel dari jarak dekat.

Garden eel (Heteroconger hassi) atau spotted garden eel, merupakan sejenis belut yang amat kecil, namun amat menarik diperhatikan dengan kelakuan yang amat unik mereka semasa berada di dalam air. Belut yang biasanya hidup secara berkumpulan ini akan mengeluarkan kepalanya dari dalam pasir untuk mengawasi keadaan sekeliling dan masuk ke dalam pasir dengan pantas apabila dirasakan terdapatnya ancaman.

Juga dikenali sebagai  Hass's Garden Eel akan kelihatan seperti rumput laut apabila berada di dalam kumpulannya. Ia amat mudah dikenali dari segi rupabentuk mahupun warnanya dengan corak bintik-bintik hitam dengan dua (setiap sisi) tompok hitam besar.

Garden eel akan mengeluarkan kepalanya untuk mengawasi keadaan sekeliling.

Garden eel mempunyai kejiranan di terumbu karang.

Ia merupakan spesis yang biasa terdapat di perairan Indo-Pacific dari perairan Timur Afrika termasuk Laut Merah hingga ke Polynesia, dan dari Jepun ke Caledonia. Ia tinggal bersama-sama dalam saiz kumpulan yang berbeza-beza dengan terdedah kepada arus laut pada kedalaman 15 hingga 45 meter.

Saiz maksimum bagi garden eel adalah sehingga 40 cm. Ia memiliki rupa bentuk badan yang menyamai belut dengan ukuran rentas purata adalah 14 mm. Saiz ini seakan-akan sama bagi sepanjang badannya. Bahagian kepalanya juga kelihatan pendek oleh kerana mulutnya yang agak besar. Garden eel merupakan spesis karnivor dan merupakan antara spesis akuarium yang diminati. Bagi yang ingin memelihara spesis ini, lapisan pasir yang tebal adalah diperlukan untuk membolehkan garden eel menanamkan sebahagian badannya.

Garden eel mempunyai badan yang panjang.

Ia tinggal di dalam sebuah kumpulan.

Sebelum mengakhiri artikel kali ini, mungkin anda boleh melihat sedikit paparan yang menunjukkan keunikan garden eel bersama kumpulannya di dalam air. 






Free Download



Arkib Blog