Memaparkan catatan dengan label menakjubkan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label menakjubkan. Papar semua catatan

Ahad, 21 Februari 2016

Bagaimana Frilled Lizard Menakutkan Musuh?

Dengan mengembangkan tengkuknya 'frilled-lizard' kelihatan lebih besar dan ganas.

Sejenis cicak bersaiz besar “frilled-neck lizard” (Chlamydosaurus kingii ), juga dikenali sebagai ‘frilled lizard’ atau ‘frilled dragon’mempunyai teknik menarik untuk menakutkan musuh. Walaupun ia bersaiz agak besar, namun ia tidak mempunyai senjata seperti bisa mahupun racun untuk mempertahankan diri. Jadi ia menggunakan teknik “menakutkan musuh”, bagi mengelakkan ia dari terus diserang.

Teknik menakutkan frilled lizard ini lebih bersifat menunjuk-nunjukkan dirinya sebagai haiwan yang ganas dan berbahaya. Ia juga menjadikan ia kelihatan lebih besar dari saiz asalnya apabila mengembangkan jumbai (frill) pada lehernya. Melalui pertunjukkan dirinya sebegitu rupa ia setidak-tidaknya dapat melengahkan musuh dari terus menyerang. Sekiranya musuh tidak melarikan diri, ia kemudian akan menyelamatkan diri dengan berlari ke pokok yang berhampiran.


Warnanya kelihatan hampir sama dengan persekitaran.

Frilled lizard berlari ke pokok yang berhampiran.

Frilled lizard berasal dari kawasan di Utara Australia dan juga Selatan New Guinea. Walaubagaimanapun ia kadangakala di temui di kawasan padang pasir di tengah Australia. Ia merupakan haiwan “arboreal”, iaitu yang menghabiskan masa di atas pokok berbanding di atas tanah. Ia sesekali turun ke tanah untuk mencari makanan ataupun apabila berlakunya perebutan kawasan dengan cicak yang lain. Dari segi saiz, ia bukanlah cicak yang kecil. Saiz frilled lizard boleh mencapai sehingga 85 cm (2.79 ft) dan ada juga yang mencecah sehingga 3 kaki.

Warna cicak frilled lizard juga tidak menentu, ia bergantung dengan kawasan di mana ia tinggal. Bagi yang tinggal di kawasan bertanah merah, ia akan kelihatan lebih kemerahan, oren dan coklat; manakala cicak yang tinggal di kawasan yang lebih lembab seperti kawasan tropika akan bewarna coklat gelap atau kelabu. Warna ini mungkin sebagai sebahagian daripada penyesuaiannya dengan persekitaran sebagai penyamaran.

Cicak ini menjadikan haiwan-haiwan kecil yang terdiri daripada ‘arthropods’ dan juga ‘vertabrates’ sebagai makananya. Haiwan-haiwan kecil dan juga serangga seperti cicada, kumbang, anai-anai, cicak, tikus dan lain-lain lagi merupakan makanan baginya.

Musuh utama baginya pula terdiri daripada cicak yang lebih besar, ular, dingo dan kucing liar. Walaupun populasinya tidak dianggap sebagai terancam, jumlahnya dikatan semakin berkurang dengan kehilangan habitat selain daripada menjadi makanan kepada kucing liar.

Dalam keadaan tenang.

Memanjat busut anai-anai.

Apa yang menarik, keunikan teknik frilled lizard ini kelihatan sangat menakjubkan sehingga digunakan dalam filem Jurassic Park, di mana dinasor Dilophosaurus menunjukkan perlakuan yang sama sepertinya. Ini membuatkan ia kembali terkenal sebagai haiwan peliharaan. Selain dari frilled lizard, dapatkan anda namakan haiwan-haiwan lain yang menggunakan teknik yang seakan-akan ini untuk menkutkan musuh?






Free Download



Rabu, 17 Februari 2016

Pecutan Terpaling Pantas Dunia Hidupan Yang Menakjubkan

Pilobolus crystallinus dengan spora yang akan dilancarkan

Sejenis fungus iaitu dikenali sebagai  "Dung Cannon" atau "Hat Thrower" (Pilobolus crystallinus) merupakan sejenis fungus yang hidup di atas najis haiwan pemakan tumbuhan seperti lembu dan kuda. Satu daripada kelebihan fungus ini yang tidak kita perasan selama ini adalah ia mempunyai satu kelebihan berbanding dengan organisma lain adalah – pecutan yang menakjubkan.

Oleh kerana ia bersaiz kecil dan perlu menyebarkan benih sporanya jauh daripada tempat di mana ia tumbuh (kerana haiwan seperti lembu tidak akan makan di tempat mana najisnya jatuh). Fungus ini perlu menyebarkan benihnya itu sejauh yang boleh dan ini memerlukan suatu kuasa yang sangat istimewa.


Kumpulan fungus 'Dung Cannon'

Fungus yang tumbuh di atas najis haiwan - membantu proses penguraian.

Kuasa yang tersimpan di dalam kandul cecair akan melancarkan sporangium sejauh 2 meter.

Saiz fungus ini adalah di antara 2 – 4 cm (0.8–1.6 in) tinggi, namun ia mampu untuk melancarkan “sporangium” (kandul spora)nya sehingga berjarak 2 meter (6.6 ft). Kebolehan ini terhasil daripada tekanan tinggi yang dihasilkan oleh cecair yang terkandung didalam pelancar “sporangium” tersebut sehingga ia mampu memecut 0-45 mph dalam satu millimeter pertama ia mula dilancarkan.  Di mana pecutan ini adalah bersamaan dengan 20,000g. Cecair daripada kandul pelancar itu juga membolehkan ia melekat di mana ia mendarat sebelum menjadi makanan haiwan lain dan proses yang sama terus berulang.


Anda boleh menonton video yang dirakamkan oleh BBC yang mana manunjukkan keupayaan fungus ini dalam melancarkan sporanya berbanding dengan beberapa senjata api. Oleh kerana ia sejenis hidupan yang kecil, maka mungkin selama ini kita tidak menyedarinya. Namun ini menunjukkan keupayaan menakjubkan ini telah lama dimiliki secara semulajadi di dalam alam.






Free Download



Isnin, 1 Februari 2016

Tenunan Sutera Labah-Labah Terbesar

'Cape' (jubah) yang dihasilkan dari sutera labah-labah.

Sutera merupakan salah satu bahan tenunan tertua yang dihasilkan secara semulajadi oleh pelbagai jenis hidupan. Daripada pelbagai jenis hidupan ini, sutera yang biasa digunakan adalah dari jenis yang dihasilkan oleh  mulberry silkworm (Bombyx mori) kerana ia lebih mudah diproses untuk tenunan. Namun begitu antara sutera terbaik (dari segi ketahanan dan kekuatannya) adalah sutera yang dihasilkan oleh labah-labah. Bagi menghasilkan sehelai kain menggunakan sutera dari labah-labah, ia mungkin menjadi bahan sejarah.


Kesukaran ini bagaimanapun bukanlah penghalang dan kain seluas 11 kaki X 4 kaki daripada sutera labah-labah ini boleh dilihat di American Museum of Natural History di New York, USA.  Ia dihasilkan oleh seorang pereka tekstil Simon Peers dan usahawan Nicholas Godley, yang mengambil masa beberapa tahun untuk mengumpulkan sutera labah-labah yang cukup untuk menghasilkan tenunan tersebut. Sutera yang dikumpulkan adalah diperolehi dari labah-labah jenis ‘golden silk orb-weavers’ (Nephila) dari Madagascar.


Labah-labah menghasilkan sutera dari organ yang dikenali sebagai "spinning wart".

Kain yang dihasilkan berukuran 11 X 4 kaki mengambil masa beberapa tahun.

Kain yang kini di pamerkan di Muzium di New York.

Pengumpulan sutera labah-labah merupakan satu kerja yang amat sukar – jauh berbeza daripada proses pengumpulan sutera daripada ulat sutera. Sekitar 14,000 labah-labah hanya mampu menghasilkan sekitar 1 ounce sutera. Manakala jumlah sutera yang diperlukan untuk menghasilkan sehelai kain pula adalah sekitar 2.6 pound (1.18 kg).

Oleh kerana proses yang rumit ini, maka usaha ini telah mengambil masa selama beberapa tahun dengan melibatkan 70 orang yang dikhaskan untuk mengumpulkan labah-labah dari kawasan liar, manakala sekumpulan kecil lagi melakukan kerja-kerja mengumpul sutera dari labah-labah tersebut. Sekitar 80 kaki filamen sutera dihasilkan oleh seekor labah-labah, sebelum ia akan dilepaskan semula ke habitatnya.


Bagi tujuan pengumpulan sutera ini, Peers menggunakan kaedah yang digunakan oleh seorang mubaligh Perancis iaitu Jacob Paul Camboué, yang pada masa itu dibantu oleh M. Nogué. Menggunakan mesin yang digunakan Camboué, sutera labah-labah boleh dikumpulkan tanpa mencederakan labah-labah tersebut. Camboué melakukan kerja-kerja ini sekitar tahun 1880 dan 1890-an dan menghasilkan beberapa barangan darinya.


Simon Peers dan Nicholas Godley.

Tenunan yang dihasilkan juga amat menarik.

Jubah yang dipamerkan di 'Victoria and Albert Museum', UK.

Sutera labah-labah merupakan bahan yang lebih kuat berbanding ‘steel’ atau ‘kevlar’, namun jauh lebih flexible sehingga boleh diregang 40 peratus daripada panjang asalnya tanpa putus. Proses pengumpulan sutera labah-labah bukan sahaja sukar, ia juga sukar untuk diternak – kerana labah-labah adakalanya memakan sesama sendiri.


Setelah mengumpulkan sutera dari lebih 1 juta labah-labah, akhirnya kain yang cuba dihasilkan oleh Simon Peers dan Nicholas Godley dapat dihasilkan. Mereka bukan sahaja menghasilkan satu malah beberapa tahun kemudian menghasilkan satu lagi jubah dari sutera labah-labah yang ditenun dengan cantik sekali.

Inilah labah-labah yang menghasilkan sutera tersebut 'golden silk orb-weavers'.

Hari ini perlumbaan menghasilkan sutera labah-labah sintetik sedang giat dijalankan di seluruh dunia dengan pelbagai kaedah daripada menggunakan bakteria sehinggalah kepada mengubah genetik kambing bagi menghasilkan susu yang boleh diekstrak untuk menghasilkan sutera labah-labah. Jika dilihat, kesemua proses tersebut bukanlah satu kerja yang mudah dijalankan, namun ia berjaya dilakukan kerana – mereka tahu ianya BOLEH.



Free Download



Rabu, 30 Disember 2015

Mungkinkah Ini Jawapan Rahsia Kekal Muda Selamanya?

Hydra hidupan yang akan terus hidup tanpa kesan penuaan.

Rahsia keremajaan merupakan impian manusia sejak dahulu lagi baik lelaki mahupun peremuan. Dalam mencapai tujuan ini palbagai kaedah yang dilakukan termasuklah dengan penggunaan pelbagai petua, barangan kosmetik, amalan pemakanan, senaman dan juga pembedahan kosmetik. Usaha mencari jawapan untuk kekal muda dan sihat selamanya sentiasa menjadi buruan tanpa henti manusia.

Setakat ini jawapan sebenar masih belum ditemui tetapi beberapa kajian hampir menunjukkan beberapa hidupan mungkin boleh memberikan panduan mengenai rahsia tentang bagaimana untuk mengekalkan keremajaan semulajadi mereka. Daripada kajian ini, ia boleh memberikan manusia panduan bagaimana keremajaan tersebut boleh dikekalkan. Antara lain tujuan mengekalkan keremajaan adalah untuk memastikan tahap kesihatan yang lebih baik selain hanya mengekalkan rupa dan fizikal seseorang.

Manusia sejak dahulu lagi mengkaji alam sekeliling untuk mempelajari teknik-teknik ini dengan melihat jangka hayat hidupan yang mampu hidup paling lama antaranya termasuklah;

Rougheye rockfish (Sebastes aleutianus) – 205 tahun

Olm (Proteus anguinus) – 102 tahun

Painted turtle (Chrysemys picta) – 61 tahun

Blanding's turtle (Emydoidea blandingii) – 77 tahun

Eastern box turtle (Terrapene carolina) – 138 tahun

Red sea urchin (Strongylocentrotus franciscanus) – 200 tahun

Ocean quahog clam (Arctica islandica) – 507 tahun

Great Basin bristlecone pine (Pinus longaeva) – 4,713 tahun (tumbuhan)

Namun dengan kaedah saintifik moden, pemahaman mengenai keremajaan ini, bukanlah semata-mata berdasarkan jangka hayat sahaja kerana kesan penuaan tetap berlaku kepada hidupan yang mempunyai umur yang panjang. Kesan keremajaan ini dapat dikekalkan apabila sesuatu hidupan dapat mengekalkan kadar pertumbuhan sel yang sama di sepanjang hayatnya. Ini kerana sel-sel tidak akan mampu membahagi setelah mencapai tahap yang dikenali sebagai “Hayflick limit”, disebabkan kerosakan pada struktur DNA atau pemendekan “telomeres”. Jadi kajian terbaru menumpukan kepada beberapa hidupan yang dijangkakan berpotensi.

Tardigrades


Dari segi ketahanan, tiada yang menandingi tardigrades.

Tardigrades atau “water bears” telah diketahui sebagai hidupan yang paling tahan dengan pelbagai keadaan yang extreme seperti suhu, radiasi, tekanan, kekeringan malah keadaan vakum di angkasa. Hidupan ini mampu berada dalam keadaan pasif  (Cryptobiosis) sehingga menunggu keadaan kembali sesuai untuk ia kembali aktif.

Namun begitu untuk membantunya hidup lama tardigrades perlu berada dalam keadaan “cryptobiotic”. Jangka hayat hidupan ini adalah kurang setahun sekiranya ia tidak berada dalam keadaan tersebut. Jangka hayat biasa tardigrades yang dapat menukar keadaan antara aktif dan “cryptobiotic” adalah sehingga 60 tahun – namun kebiasaannya adalah 10 tahun. Bagi rekod yang diketahui adalah specimen yang disimpan di muzium selama 120 tahun dalam keadaan kering dan mengandungi tardigrades; apabila dilembabkan, sebahagian daripada tardigrades ini kembali hidup semula, namun kemudiannya mati beberapa minit kemudian.

Bakteria dan Yis


Yeast boleh membiak secara symmetrik dan menghasilkan sel yang baru.

Proses pembahagian sel akan menjadi semakin berkurangan bagi hidupan unisel (bakteria dan yis). Perkara ini berlaku kepada bakteria dan yis yang membahagi secara asimmetrik (asymmetrically), namun sebaliknya bagi bakteria dan yis yang membahagi secara simmetrik (symmetrically) pula akan kekal dalam keadaan yang sama dalam persekitaran yang ideal. Pembahagian sel secara ‘symmetrically’ ini akan menghasilkan dua sel baharu yang mengembalikan semula ia kepada keadaan asalnya. Bagi pembahagian secara ‘asymmetrically’ pula, satu sel baru terbentuk daripada tunas dari sel asal dan sel akan menua dan mengakibatkan ia mati.

Hydra


Hydra akan terus menghasilkan sel-sel baru dan kekal dalam keadaan yang sama.

Hydra merupakan bahan kajian yang paling penting dalam subjek ini. Ini kerana hydra mempunyai sel-sel yang sentiasa membahagi dan tidak mengalami penuaan sel (senescence) yang menepati ciri-ciri keremajaan yang dimaksudkan. Hydra mengambil masa antara 5 – 10 hari untuk mencapai usia kematangannya, namun dalam kajian yang dijalankan selama 4 tahun, hydra tidak menunjukkan kesan-kesan penuaan.

Kajian susulan dilakukan sekali lagi untuk mendapatkan hasil yang lebih tepat oleh Daniel Martínez, seorang biologist di Panama College untuk tempoh yang lebih lama iaitu 8 tahun. Kali ini kajian bukan sahaja dilakukan untuk tempoh yang lebih lama, malah dalam jumlah yang lebih banyak iaitu 2,256 hydra. Walaupun terdapat hydra yang mati, namun ia tidak menunjukkan kesan-kesan penuaan. Kadar kematian ini pula adalah kecil iaitu setiap satu daripada 167 hydra bagi setahun. Kematian ini adalah berpunca daripada persekitaran dan bukan disebabkan kesan fisiologi hydra tersbut.

Sehubungan itu hidupan ini memberikan bukti yang kukuh mengenai kebolehannya mengekalkan ciri-ciri keremajaan untuk rahsia hidup yang kekal dalam keadaan yang sesuai.

Obor-obor (jellyfish)


Turritopsis dohrnii, mempunyai kitar hidup unik.

Sejenis obor-obor yang dikenali sebagai Turritopsis dohrnii, yang hanya berukuran 5 mm (0.2 in) yang menggunakan kaedah transdifferentiation untuk mengembalikan ia semula ke keadaan asalnya. Keadaan ini akan terus berulang bagi obor-obor ini dan menjadikan ia kekal hidup selamanya. Hidupan yang berasal dari Caribbean ini kini tersebar ke bahagian-bahagian lain di dunia.

Lobster


Lobster, mempunyai kelebihan unik.

Lobster juga dikatakan mempunyai kadar regenerasi yang kekal di sepanjang hayatnya dan lobster menjadi semakin subur mengikut usia. Namun ini tidak cukup untuk menjadikan lobster sebagai hidupan yang kekal dalam erti kata biologi dan lobster juga mempunyai jangka hayat tertentu.

Namun lobster mempunyai kelebihan dengan ‘telomerase’ iaitu enzim yang memperbaiki struktur DNA di hujung kromosom. Telomerase adalah perkara biasa bagi hidupan ‘vertabrate’ di peringkat embrio namun ia hilang apabila mencapai usia dewasa. Bagi lobster pula ‘telomerase’ ini terus kekal di sepanjang usianya. Pusingan hidup haiwan istimewa ini memerlukan ia untuk terus melakukan pertukaran kulit (moulting) dan lobster dewasa dikatakan akan berhenti untuk menukar kulitnya – kerana ia satu proses yang memerlukan banyak tenaga. Tanpa proses penukaran kulit ini, kulit lamanya akan menjadi rosak, dijangkiti, mengelupas dan boleh mengakibatkan ia mati. Antara spesis lobster iaitu ‘European lobster’ dikatakan mempunyai umur di antara 31 tahun bagi jantan dan 54 tahun bagi lobster betina.

Planarian flatworms


Polycelis felina - dari jenis planarian flatworms.

Terdapat dua jenis ‘Planarian faltworms’ iaitu yang membiak secara seks dan juga aseks. Kajian ke atas genus ‘Schmidtea mediterranea’, mencadangakan spesis hidupan ini mampu memperbaiki semula bahagian-bahagiannya yang rosak. Manakala dari spesis yang membiak secara aseks pula didapati menunjukkan kadar telomerase yang berterusan untuk membantu perkembangan stem sell pada usia dewasa. Sebenarnya kedua-dua spesis ini menunjukkan kesan penuaan dengan kadar pengurangan telomerase. Sehubungan itu kadar usia pada spesis yang membiak secara seks boleh menjangkau sehingga 3 tahun, sebaliknya bagi spesis yang membiak secara aseks pula mampu mencapai usia sehingga 15 tahun.

Bagi kesemua spesis hidupan di atas, hydra merupakan satu-satunya hidupan yang dikatakan mempunyai ciri-ciri ‘immortal’ seperti yang diinginkan. Ia dikatakan akan terus hidup selagi mempunyai persekitaran yang sesuai tanpa mengalami penuaan (penurunan kadar regenerasi). Penemuan ini bagaimanapun perlu mencari bagaimana ianya boleh dipindahkan kepada hidupan lain, tentunya manusia.


Jadi begitulah bagaimana manusia mempelajari dan mendapat kebaikan daripada pemerhatian alam sekeliling. Adakalanya penemuan tersebut ditemui daripada hidupan yang amat kecil yang mungkin sukar untuk dikesan tanpa pengamatan yang teliti. Walaupun manusia tidak semestinya boleh hidup selamanya, adalah penting bagi mengekalkan kesihatan dan kesan penuaan dapat dielakkan. Semoga berjaya.



Free Download



Sabtu, 14 November 2015

Hidupan Laut Mistik ‘Pyrosome’

'Giant Pyrosome', kelihatan bagaikan raksaksa laut.

Pyrosome adalah haiwan yang sangat mistik bukan kerana rupa bentuknya yang menyerupai stokin besar sehingga berukuran 60 kaki (18 meter) panjang yang terampai-ampai di dalam air, tetapi stokin gergasi ini adalah gabungan daripada ribuan hidupan kecil yang dipanggil ‘tunicate’ yang membentuk ‘Giant Pyrosome’.

Oleh kerana ia juga merupakan haiwan ‘bioluminescent’ (mengeluarkan cahaya) maka ini menambahkan lagi keunikannya ketika berenang di dalam air untuk menapis plankton yang menjadi makanannya. Setiap unit kecil memainkan peranan untuk membentuk satu struktur ‘Pyrosome’ gergasi yang lengkap. Setiap unit akan mengganda dan menghasilkan klon mereka sendiri untuk membentuk koloni ini. Proses kloning ini adalah untuk menggantikan setiap bahagian yang rosak atau untuk tujuan pembesaran koloni.


Pyrosome boleh membentuk koloni dengan pelbagai rupa.

Walaupun ia menbentuk satu objek yang kelihatan sebagai satu hidupan baru, setiap unit sebenarnya mendapatkan makanan masing-masing. Cuma melalui pembentukan ini ia mungkin dapat menambah jumlah makanan yang ditangkap untuk kebaikan setiap individu yang membentuk koloni ini. Melalui bentuk yang dibentuk secara berkumpulan ini air yang mengandungi plankton akan ditapis oleh setiap individu – dan proses ini akan berlaku secara berterusan.

‘Giant Pyrosome’ yang dibentuk akan terus kekal melainkan setiap individu mati secara serentak. Ini kerana ia boleh membiak secara ‘sexual’ mahupun secara ‘asexual’. Ini bermakna ia mampu mengganda walaupun secara individu.


Dari dekat jelas kelihatan setiap individu yang membentuk Pyrosome.

Pyrosome ini hanyalah bersaiz sebesar 'jellybean'.

Namun pyrosome akan bermula dengan saiz yang sangat comel – mungkin hanya sebesar sebiji ‘jellybean’. Namun pada saiz ini juga, ia terdiri daripada sejumlah individu untuk membentuk koloni tersebut. Sekiranya dipandang secara dekat anda dapat melihat dengan jelas ke dalam perut mereka – kerana ia kelihatan jernih.

Samada pyrosome bersaiz besar ataupun kecil. Ia merupakan hidupan ‘penapis’ iaitu haiwan yang makan dengan menapis plankton daripada air. Walaupun ada di antara ‘pyrosome’ yang mencapai saiz yang agak menakutkan ia tetap mempunyai sifat yang sama.

Pembentukan koloni ini amat menakjubkan di dalam dunia hidupan laut. Ia juga merupakan salah satu daripada pelbagai lagi perkara yang menakjubkan yang kita boleh jelajahi di dalam dunia hidupan.  Mungkin kita akan dapat menyaksikannya didalam artikel-artikel yang akan datang.








Free Download



Arkib Blog