Memaparkan catatan dengan label penjimatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penjimatan. Papar semua catatan

Sabtu, 30 April 2016

Pam Air Yang Tidak Menggunakan Minyak Ataupun Elektrik

Barsha Pump yang dipasang di Nepal.

Pam air yang direka tidak menggunakan minyak ataupun elektrik untuk berfungsi merupakan salah satu hasil rekaan yang dihasilkan oleh syarikat dari Belanda (Netherland), aQysta yang merupakan spin-off daripada Delft University of Technology yang juga merupakan university terkenal dengan rekaan-rekaan terbaik dunia.

Hasil rekaan ini telahpun menjadi pilihan para juri di “Europe’s best clean-tech innovations of 2014”, kerana selain membantu para petani meningkatkan hasil pengeluaran ia juga tidak menghasilkan sebarang gas berbahaya. Sebaliknya ia menggunakan arus air dari sungai untuk memusingkannya untuk menghasilkan angin mampat. Angin mampat inilah yang akan menolak air yang disalurkan melalui hos ke kawasan pertanian.


Pam yang dipasang di Austria.

Barhsa Pump semasa peringkat ujian.

Pemasangan yang dilakukan di Nepal.

Ia dikatakan mampu menyalurkan air sehingga ke ketinggian 25 meter (82 ft) pada kadar satu liter (0.26 US gal) sesaat. Pengoperasiannya tidak memerlukan sebarang kos tambahan dan mempunyai hanya satu bahagian yang bergerak (mengurangkan lagi kos penyelenggaraan). Ia juga boleh dibina daripada bahan-bahan tempatan dengan jangkaan pulangan yang lebih cepat.

Pam ini dikenali dengan nama Barsha (Bahasa Nepal – “pam hujan”), namun ia direka berdasarkan rekaan lama yang berasal dari Egypt; satu lagi sebab mengapa kita perlu mengkaji hasil-hasil teknologi lama yang lebih praktikal sehingga hari ini. Mungkin dengan sedikit pembaik pulihan.


Teknologi ini amat berpotensi bukan sahaja untuk negara-negara membangun seperti Asia, Amerika Selatan dan Afrika, malah boleh digunakan di seluruh dunia (mengikut saiz keperluan penggunaan air yang diperlukan).






Free Download



Jumaat, 17 April 2015

Bas Yang Menggunakan Gas Dari Sisa Buangan

GENeco Biobus
GENeco merupakan bus yang menggunakan gas yang dihasilkan dari sisa kumbahan.

Bahan sisa buangan selalu menjadi punca masalah kepada pencemaran. Selain daripada mendatangkan bau yang tidak menyenangkan, ia juga boleh mencemari punca bekalan air dan merosakkan alam sekitar. Banyak usaha dijalankan selain daripada menguruskan sistem pelupusan sisa buangan ini, usaha yang lebih baik adalah menggunakannya sebagai sumber penghasilan tenaga.

Oleh kerana populasi yang tinggi di kawasan pusat bandar, maka sistem pembuangan sisa buangan juga adalah tinggi. Malah pencemaran udara juga adalah kian meruncing. Selain daripada gas buangan dari asap kenderaan, pencemaran juga turut disumbangkan oleh kepesatan industri sektor perkilangan.

Sehubungan itu satu usaha menarik yang dijalankan  di U.K. adalah dengan menggunakan Bio-Bus. Ianya adalah rekaan daripada syarikat penghasilan biogas GENeco, iaitu sebahagian daripada syarikat air tempatan. Bus tersebut mengharungi jarak kira-kira 186 batu dalam satu tangki penuh menggunakan sisa buangan setahun yang dihasilkan oleh lima orang!

Biogas kurang membebaskan pencemaran tidak seperti enjin bahan bakar petroleum juga kurang bahan pencemaran lain seperti benzene dan arsenic sehingga 97 peratus. Manakala apabila ditukar kepada bentuk biogas, gas yang dibebaskan oleh kenderaan ini tidaklah seperti daripada bahan yang menghasilkannya (sisa makanan dan kumbahan).


Biogas tank
Menggunakan tangki-tangki seperti inilah proses penghasilan Biogas dijalankan.

Selain daripada digunakan untuk Bio-Bus, GENeco juga sebenarnya turut menghasilkan tenaga elektrik yang diagihkan kepada 8,500 buah rumah.

Biogas (atau juga dikenali sebagai “biomethene”) adalah dihasilkan melalui proses yang dipanggil ‘penguraian anearobic’ – iaitu proses penguraian yang dilakukan oleh bakteria-bakteria anearobik. 
Proses ini berlaku di dalam tangki-tangki kurang oksigen, atau tangki pengurai bagi bakteria (juga mikro-organisma lain) menghuraikan bahan organik. Proses ini akan menghasilkan dua bahan iaitu; biogas (terdiri daripada methane dan juga karbon dioksida) dan bahan hampas yang boleh digunakan untuk tujuan panternakan dan juga sebagai baja. Methane kemudiaannya akan diproses supaya sesuai untuk kegunaan sebagai bahan bakar kenderaaan atau penjanaan elektrik.

Selain daripada usaha penghasilan biogas ini,  terdapat beberapa lagi negara di Eropah yang menggunakan bahan buangan untuk menghasilkan tenaga. Jadi, selain daripada dapat mengurangkan masalah pelupusan sampah ia juga dapat mengurangkan pencemaran – bahan buangan juga dapat memberikan manfaat kepada manusia.








Free Download



Sabtu, 12 Julai 2014

Kaedah Memanfaatkan Tenaga Percuma, Matahari.

sun energy
Matahari membekalkan tenaga yang banyak melalui cahayanya.

Tenaga Solar seperti yang kita ketahui mampu membekalkan tenaga elektrik daripada cahaya matahari yang boleh didapati secara percuma. Adakah anda perasan yang tenaga daripada cahaya matahari ini telah lama digunakan dalam pelbagai cara dalam membantu kehidupan manusia sehari-hari. Maka terpulanglah bagaimana kita bagi mencari kaedah terbaik memanfaatkan sumber yang tersedia disekeliling kita dengan banyaknya.

Cahaya Matahari sentiasa digunakan oleh manusia sejak berzaman-zaman dahulu dalam kehidupan harian mereka. Samada untuk kegunaan pekerjaan seharian mahupun dalam proses mengawet makanan bagi mengelakkannya rosak. Maka di sini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang bagaimana cahaya matahari boleh dimanfaatkan dalam pelbagai cara – seterusnya kita dapat melihat bagaimana kehidupan kita sebenarnya amat dirahmati dengan pelbagai kemudahan tersedia.

Bagi tumbuh-tumbuhan semestinya memerlukan cahaya matahari untuk membuat makanan melalui proses fotosintesis. Fungsi ini dibekalkan kepada tumbuhan memandangkan ia merupakan kaedah terbaik bagi tumbuhan memanfaatkan tenaga cahaya yang dipancarkan matahari untuk membuat makanan mereka. Memandangkan tumbuhan tidak boleh bergerak dari satu-satu tempat, ia memanfaatkan tenaga cahaya yang tersebar ke seluruh alam dalam proses penghasilan makanan mereka.

Bukan hanya cahaya sahaja yang penting dibekalkan matahari kepada alam, malah tenaga haba juga amat diperlukan. Semua kehidupan di bumi memerlukan suhu yang sesuai untuk kekal berada dalam keadaan aktif (hidup dan menjalankan aktiviti dengan optimum). Keadaan yang terlalu panas atau terlalu sejuk akan menyebabkan segala proses terganggu. Bagi membekalkan suhu yang sesuai ini, haba yang dibekalkan daripada cahaya matahari di sebarkan dan diseimbangkan oleh lapisan atmosfera bumi yang unik.

Berbalik kepada manusia sebagai makhluk yang diberikan akal fikiran sudah semestinya mempunyai pelbagai kaedah dalam menggunakan kemudahan cahaya matahari ini. Walaupun manusia sendiri perlu mendapatkan perlindungan daripada cahaya matahari yang terlalu terik kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan, manusia dapat memanfaatkannya semenjak dahulu lagi.

Solvatten
Peralatan Solvatten untuk membekalkan air bersih menggunakan cahaya matahari.

Cahaya matahari digunakan dalam pelbagai cara antaranya adalah untuk mengeringkan hasil pertanian ataupun dalam mengeringkan tangkapan untuk mengelakkannya cepat rosak. Bagi tujuan ini penggunaan cahaya matahari merupakan kaedah terbaik kerana disamping mengeringkan kandungan air di dalam bahan yang dikeringkan ia juga membunuh mikro-organisma merbahaya di dalam bahan tersebut dengan cahaya UV terkandung di dalam cahaya matahari.

Selain itu juga cahaya matahari juga digunakan untuk mengeringkan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bahan binaan (batu-bata & tanah liat) sebelum manusia tahu kaedah untuk membuat simen ataupun batu-bata yang dibakar. Malah kebanyakan bahan yang digunakan untuk membuat pakaian, kertas dan lain-lain barangan keperluan juga perlu melalui proses pengeringan yang menggunakan cahaya matahari.

Cuma akhir-akhir ini apabila penggunaan cahaya matahari dapat digantikan dengan menggunakan peralatan-peralatan moden, fungsi cahaya matahari yang dahulunya sering digunakan semakin dilupakan. Namun begitu ia tidak bermakna cahaya matahari telah hilang atau fungsinya tidak boleh digunakan lagi. Walaupun kaedah memanfaatkan cahaya matahari melalui Sel Suria (Solar Cell) dalam menghasilkan tenaga elektrik merupakan satu pencapaian yang baik namun banyak lagi kaedah lain yang tidak memerlukan kita mengeluarkan modal yang terlalu besar untuk mendapat manfaat daripada cahaya matahari.

lampu botol matahari
Lampu botol matahari ini dapat membekalkan cahaya yang cukup pada waktu siang.

Antara penggunaan cahaya matahari yang paling ringkas adalah penggunaan cahayanya dalam pencahayaan bangunan pintar – iaitu rekabentuk yang membolehkan cahaya matahari menerangi bahagian dalam bangunan di waktu siang bagi menjimatkan lagi penggunaan tenaga elektrik. Kaedah yang sama juga digunakan untuk rumah-rumah kediaman dalam usaha penjimatan tenaga elektrik.

Berbeza di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Botol minuman digunakan dan diletakkan di atas atap rumah bagi membolehkan cahaya matahari menerusinya. Cahaya matahari akan disebarkan oleh botol minuman yang di isi air bagi meningkatkan lagi sudut biasan cahaya yang menerusinya.

Cahaya matahari juga amat sesuai digunakan untuk menyahkuman (sterilize) air untuk tujuan kegunaan atau minuman. Ini kerana selain daripada membekalkan tenaga haba ia juga mengandungi cahaya UV yang dapat membunuh mikro-organisma berbahaya di dalam air. Terdapat rekaan produk yang direka bagi membantu rakyat di negara-negara membangun mendapat bekalan minuman air bersih ini dengan menggunakan cahaya matahari. Antaranya adalah Solvatten yang direka untuk mengelakkan jangkitan penyakit yang disebabkan oleh mikro-organisma di dalam air. Ia amat mudah digunakan dan ternyata menjimatkan.

Penyulingan air
Kaedah penyulingan dengan menggunakan tenaga matahari.

Selain daripada itu kaedah penyulingan air juga boleh dilakukan dengan memanaskan air menggunakan cahaya matahari dan mengumpulkan wap air yang terkondensasi. Kaedah ini juga amat sesuai untuk memperolehi air yang bersih walaupun sumber air yang disuling mungkin agak kotor. Kaedah ini boleh dilakukan dengan mereka peralatan yang khas ataupun hanya dengan mengorek tanah dan menutup lubang tersebut dengan kanvas di mana di dalamnya diletakkan baldi untuk mengumpulkan wap air yang dikumpulkan.

Penggunaan engin stim daripada tenaga matahari juga merupakan salah satu kaedah yang baik dalam memanfaatkan sumber tenaga percuma ini. Stim yang dihasilkan boleh dipelbagaikan samada ia akan terus digunakan atau boleh digunakan untuk menjana elektrik. Untuk kaedah ini cahaya matahari perlu dikumpulkan dengan menggunakan pemantul cahaya dan ditumpukan pada satu titik untuk memanaskan dandang. Tekanan yang terhasil daripada pemanas air seterusnya akan digunakan untuk mengerakkan engin stim.

Solar furnace
Relau suria terbesar di Odeillo, Pyrenees-Orientales, Perancis.

Malah kaedah yang sama turut digunakan untuk tujuan pemanasan bahan yang ingin dicairkan seperti bijih besi dan sebagainya. Antara relau yang terbesar menggunakan tenaga matahari sebagai tenaga adalah relau solar yang di bina di Odeillo, Pyrenees-Orientales di Perancis. Ia telah beroperasi sejak dari tahun 1970’an lagi. Ia adalah hasil rekaan Professor Felix Trombe yang turut membina satu lagi relau yang sama pada tahun 1949 di kawasan yang berhampiran.

Keunikan relau suria ini adalah ia mampu menghasilkan suhu sehingga 3,500°C/6330°F yang mampu mencairkan logam. Malah tenaga yang dihasilkan juga adalah lebih bersih kerana tidak menggunakan bahan lain seperti arang batu atau pentroleum yang menghasilkan bahan buangan yang boleh mencemarkan alam. Malah banyak lagi manfaat yang boleh digunakan melalui penghasilan relau suria ini kerana bagi sesetengah pengkaji usaha untuk menghasilkan haba yang sebegitu tinggi perlu untuk membolehkan mereka melakukan pelbagai kajian.



Terdapat banyak lagi cara bagaimana manusia memanfaatkan tenaga matahari yang menerangi dan memanaskan alam setiap hari. Tidak kira samada untuk menghasilkan elektrik ataupun untuk digunakan terus bagi mendapatkan manfaatnya seperti untuk tujuan pengeringan, yang pasti sumber tenaga ini boleh dipelbagaikan dengan mudah. Bagi kita yang tinggal di kawasan yang kaya dengan cahaya matahari seharusnya kita mempunyai kaedah tersendiri dalam memanfaatkannya.

Sehubungan itu adalah diharap ia dapat menimbulkan inspirasi bagi anda dalam memikirkan bagaimanakah kaedah yang terbaik untuk menggunakan cahaya matahari dalam kegunaan harian. Apa yang penting, kita terus berusaha untuk memanfaatkan sumber yang murah dan bersih untuk kebaikan semua dalam jangka masa panjang.


Artikel lain yang berkaitan:

i) Langkah Penjimatan Tenaga Di Rumah.

ii) Usaha Dalam Menggunakan Tenaga Solar Oleh Britain.

iii) Bagaimana Deep Green Menghasilkan Tenaga Elektrik Di Dalam Laut.

iv) Bagaimana Dapur Induksi Berfungsi Dan Adakah Ianya Lebih Bagus?


Free Download



Rabu, 12 Mac 2014

Langkah Penjimatan Tenaga Di Rumah

LED lights
Lampu LED menggunakan tenaga yang amat rendah dan menjimatkan.


Langkah-langkah penjimatan tenaga di rumah perlu dititik beratkan memandangkan kos penggunaan tenaga yang semakin meruncing begitu juga dengan kos sara hidup. Adalah tidak wajar bagi kita sekiranya tidak mengambil langkah penjimatan ini kerana langkah-langkah penjimatan bukanlah bermaksud anda tidak perlu menggunakan tenaga (bergelap) tetapi menggunakan tenaga tersebut dengan lebih efisyen.

Berikutan peningkatan kos bahan api, maka kos tenaga yang lain juga akan meningkat. Ini kerana masih terdapat janakuasa-janakuasa yang bergantung kepada penggunaan bahanapi untuk menghasilkan tenaga elektrik. Walau apa pun kaedah penghasilan tenaga elektrik ini, kita sebagai pengguna yang bijak haruslah mengamalkan penggunaan yang cermat. Penjimatan tenaga membolehkan sumber bahanapi dapat bertahan lama juga kesan yang lebih baik pada alam sekitar.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh membantu kita untuk mengurangkan penggunaan tenaga di rumah mahupun di tempat kerja.

Penggunaan Lampu LED/ Jimat Tenaga


Penggunaan lampu LED/ Jimat tenaga ternyata dapat membantu anda mengurangkan kos tenaga elektrik. Kuasa yang digunakan oleh sebuah lampu LED biasanya adalah 5 Watt berbanding lampu pijar biasa yang digunakan antara 60 ~ 100 Watt perbezaan ini adalah antara 1/12 hingga ke 1/20 lebih menjimatkan. Bayangkan sekiranya anda mempunyai 20 biji lampu di rumah.

Kepesatan teknologi lampu LED ini semakin mendapat perhatian, malah ia turut digunakan untuk pelbagai kegunaan termasuk lampu isyarat dan papan-papan iklan. Malah lampu-lampu jalan dan lampu limpah juga telah diganti menggunakan lampu LED.

Lampu LED mampu menukarkan tenaga kepada cahaya dengan lebih baik berbanding dengan lampu biasa yang mana kebanyakan tenaga akan turut menghasilkan haba. Sebab itulah lampu LED kurang panas.

Penggunaan Panel Solar Untuk Taman

Solar roof house
Penggunaan tenaga solar untuk rumah.

Untuk langkah penjimatan seterusnya pula, anda bolehlah menggunakan tenaga solar untuk lampu-lampu taman misalnya. Bagi yang mampu berbelanja lebih mereka turut boleh menjana tenaga elektrik untuk keseluruhan rumah menggunakan tenaga solar. Malah bagi rumah yang menjana lebih tenaga boleh menyalurkan tenaga ini untuk digunakan ke dalam talian awam (TNB).

Generasi baru panel solar adalah lebih murah bagi saiz/tenaga yang dihasilkan berbanding  panel solar yang direka buat pertama kalinya. Maka hari ini teknologi ini semakin mudah untuk dimiliki dan dipasang oleh orang persendirian. Sebagai langkah permulaan seperti mana yang saya perkatakan tadi anda bolehlah menggunakannya untuk lampu-lampu taman ataupun pagar di kawasan rumah anda.

Rekabentuk Rumah/Bangunan Pintar


Bagaimana rekabentuk bangunan dapat menjimatkan tenaga? Rekabentuk bangunan memainkan peranan penting bagi pencahayaan dan menentukan suhu di dalam bangunan tersebut. Ini dapat mengelakkan anda daripada memasang lampu yang banyak atau kos pemasangan peralatan penghawa dingin. Dewasa ini rekabentuk bangunan pintar semakin kerap diperkatakan terutama yang dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga seperti yang disebutkan tadi.

Selain daripada rekabentuk rumah, persekitaran rumah yang ditanam dengan pokok-pokok dan rumput juga dapat membantu menyejukkan lagi rumah anda. Pantulan cahaya dan penyerapan haba secara terus oleh bangunan/rumah akan menyebabkan rumah menjadi panas. Sebaliknya tumbuh-tumbuhan akan menyerap haba tersebut semasa proses fotositesis dan membabaskan wap air ke dalam udara menyebabkan udara menjadi lebih nyaman.

Peralatan-peralatan Lain Yang Jimat Tenaga

LED TV
TV LED selain daripada lebih cantik ia juga menjimatkan tenaga.

Terdapat banyak lagi peralatan lain di dalam isi rumah yang menjimatkan penggunaan tenaga. Pastikan peralatan yang ada beli untuk kegunaan rumah dan tenaga yang digunakan. Peralatan terbaru dan moden amat mementingkan ciri-ciri penjimatan tenaga ini. TV LED misalnya menggunakan tenaga yang sedikit berbanding dengan peti TV (CRT) lama anda, walaupun bersaiz kecil.

Manakala dapur elektrik seperti dapur induksi juga adalah jauh lebih menjimatkan berbanding dengan dapur elektrik jenis lama (filamen). Malah dapar elektrik jenis filamen boleh mengundang bahaya sekiranya tiada bahan yang dimasak di atasnya atau bahan yang dimasak kering.

Penggunaan sistem Audio Visual (AV) lama juga adalah antara peralatan yang menggunakan tenaga yang banyak. Jadi ada baiknya anda membuat pemeriksaan peralatan di rumah tentang tenaga yang digunakan iaitu Watt dan sebelum mendapatkan peralatan baru dengan penggunaan Watt yang lebih rendah – namun dapat memberikan kualiti yang lebih baik atau sama.

Pengamalan Cara Yang Jimat


Selain daripada peralatan yang jimat tenaga, anda juga perlu mengamalkan cara yang jimat dalam menggunakannya. Langkah penjimatan tidak mungkin akan berjaya sekiranya anda tidak cermat. Antara langkah tersebut adalah seperti;

- menggosok beberapa helai baju sekali bagi mengelakkan penggunaan masa untuk sterika anda panas. Malah proses ini merupakan proses utama penggunaan tenaga bagi sterika tersebut. Adalah lebih baik sekiranya anda menetapkan satu masa yang sama dalam masa sehari untuk membuat kerja-kerja ini dan menyelesaikan semua baju yang perlu disterika untuk hari tersebut.

- tidak membuka peti sejuk dengan kerap kerana suhu sejuk akan keluar dan menyebabkan peti sejuk perlu bekerja untuk menyejukkannya semula. Pastikan semua bahan dimasukkan dengan sempurna atau dikeluarkan bagi kesemua bahan yang diperlukan dan terus ditutup kemas. Perbuatan kerap membuka pintu peti sejuk selain daripada menggunakan tenaga yang banyak ia juga akan mengurangkan jangka hayat peti sejuk tersebut.

- tidak memasang pendingin hawa terlalu sejuk (di bawah keupayaan). Pendingin hawa  yang dipasang pada suhu yang terlalu rendah (di bawah keupayaan) ini akan menyebabkan alat tersebut terus berfungsi sepanjang masa. Ini amat merugikan. Adalah lebih baik anda memastikan ruang bilik (di mana peralatan tersebut dipasang) tidak mempunyai ruang yang boleh menyebabkan udara sejuk keluar. Dengan cara ini peralatan penghawa dingin anda dapat bekerja dengan lebih baik – suhu di dalam bilik tersebut juga akan lebih sejuk.

Terdapat pelbagai kaedah dalam usaha menjimatkan penggunaan tenaga di rumah dan tidak semestinya ia memerlukan anda menggantikan peralatan anda kepada peralatan yang baru. Mungkin anda boleh melakukannya secara berperingkat-peringkat sebagai contoh apabila barangan lama telah rosak – maka anda gantikan dengan peralatan baru yang menjimatkan. Atau anda mungkin boleh menjual peralatan lama sebagai peralatan lusuh dan sebagainya dan menggantikannya dengan yang baru.

Penggunaan peralatan yang cermat ini juga selain daripada dapat mengelakkan anda melakukan pembaziran ia boleh melatih anda untuk menjadi pengguna yang bijak – pintar dalam membuat keputusan/ pilihan dalam melakukan sesuatu perkara. Mungkin anda tidak dapat melatih diri anda dalam masa sehari, tetapi usaha anda akan lebih baik bagi tempoh yang panjang dan mungkin satu hari berkongsi pengalaman anda dengan orang lain.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk langkah-langkah penjimatan ini. Walau apa pun hasilnya nanti anda pasti akan setuju yang penjimatan perbelanjaan adalah lebih baik daripada mencari wang tersebut. Walaupun anda mampu menampung perbelanjaan tersebut, namun perlu diingat anda juga ingin bercuti atau berbelanja untuk perkara-perkara yang lain. Selamat mencuba.




Free Download



Sabtu, 25 Ogos 2012

Bagaimana Dapur Induksi Berfungsi dan Adakah Ianya Lebih Bagus?

Dapur Induksi merupakan dapur elektrik terbaik setakat ini.

Tentu ramai di antara kita pernah melihat dapur induksi yang selalu dipamerkan di kedai-kedai barangan elektrik mahupun pasaraya. Dapur induksi ini kelihatan ringkas dan menarik di samping dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri istimewa. Namun begitu apakah keistimewaan sebenar dapur jenis ini dan bagaimana ianya boleh memasak tanpa mengeluarkan api?

Bukan mudah bagi kita untuk menerima sesuatu yang baru. Seperti juga ketuhar gelombang mikro yang dahulunya sukar untuk diterima oleh suri-suri rumah kerana ianya nyata berbeza dari kaedah memasak yang biasa. Namun perbezaan ketuhar gelombang mikro dan dapur induksi jauh berbeza.

Walaupun kedua-dua jenis alat memasak ini menggunakan gelombang frekuensi tinggi untuk menghasilkan haba, perbezaan utamanya adalah; ketuhar gelombang mikro memanaskan molekul di dalam makanan yang dimasak. Berbeza dengan dapur induksi yang memanaskan bekas makanan tersebut (iaitu hampir sama dengan dapur gas biasa). Namun kedua-duanya tidak memanaskan jisim lain diluar lingkungan bahan masakan (ini amat menjimatkan tenaga).


Dapur induksi ringkas dan mudah.

1) Litar elektronik yang menghasilkan frekuensi & medan magnet. 2) Bekas masakan yang  dipanaskan oleh gelombang magnet yang terpotong. 3) Makanan yang menyerap haba daripada periuk. 4) Kawasan sekeliling yang tidak dipanaskan oleh dapur induksi.

Proses pemanasan yang dilakukan oleh dapur induksi adalah melalui pemotongan medan magnet oleh periuk (bekas makanan) dalam kadar yang tinggi menyebabkan periuk menjadi panas. Seterusnya haba dari periuk tadi dipindahkan ke dalam makanan sama seperti proses memasak menggunakan api. Dapur jenis ini tidak memanaskan benda lain selain daripada periuk (bekas makanan) yang diperbuat daripada bahan logam yang telap medan magnet. Jadi haba tertumpu pada makanan dan ini dapat mengelakkan ruangan dapur menjadi panas.

Sebenarnya memasak menggunakan dapur induksi adalah jauh menjimatkan dari segi penggunaan tenaga yang lebih efektif. Kos bahan api mungkin berbeza berbanding kaedah penghasilan elektrik di lain-lain negara. Secara kasarnya kadar kebersanan penggunaan gas untuk memasak adalah dalam 40%. Ini bermakna 60% tenaga hilang dan memanaskan ruang dapur. Berbeza dengan dapur induksi yang memasak dengan kadar keberkesanan sebanyak 80%. Jadi tidak hairanlah kepada kita kenapa dapur induksi boleh memasak dengan lebih pantas.

Dari segi keselamatan pula, dapur induksi tidak menggunakan api. Ia hanyalah memanaskan sahaja . Tiada penghasilan gas merbahaya hasil pembakaran gas seperti penggunaan gas metana. Malah tiada benda yang dipanaskan sekiranya tiada bahan telap magnet (periuk) di atasnya. Sekiranya anda bimbang dengan masalah kebocoran gas, dapur induksi merupakan jawapan yang paling tepat. Cuma anda mungkin tidak dapat menyediakan makanan yang memerlukan api secara fizikal seperti sate ataupun ikan bakar. Namun itu bukanlah masalah sebenar. Apa yang menjadi kepentingan dalam memasak adalah kepanasan dan masa untuk memasak makanan.

Tempoh memasak lebih pantas dengan dapur induksi selain lebih bersih.

Walaupun teknik pemanasan secara aruhan ini telah lama ditemui melalui ilmu fizik, namun dapur induksi hanya dikormesilkan menjelang tahun 2006. Seterusnya ianya terus diperbaiki dengan pelbagai ciri-ciri istimewa oleh syarikat pengeluar barangan elektrik. Begitu juga peralatan memasak untuk dapur ini. Cakera induksi digunakan untuk memasak di dalam bekas yang bukan logam. Jadi anda masih boleh memasak di dalam mangkuk kaca ataupun tembikar. Malah terdapat juga ketuhar yang menggunakan konsep induksi untuk memanaskan suhu udara di dalam ketuhar.

Di negara-negara Eropah penggunaan dapur induksi telah digunakan secara meluas. Malah restoran-restoran juga menggunaan dapur ini kerana ianya ternyata menjimatkan.  i) Tidak memaskan ruang dapur (ini mengurangkan kos penyaman udara). ii) Mudah dibersihkan - dapur induksi yang memiliki permukaan yang mudah dibersihkan dapat mengurangkan kadar guna tenaga di dapur.

Begitulah tadi antara perkara-perkara yang dapat saya ketengahkan kali ini dalam ruangan ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa mengikuti perkembangan terbaru teknologi yang dapat membantu kita mencapai taraf kehidupan yang lebih baik. Disamping itu melalui inovasi ini mungkin dapat membantu kita untuk memikirkan rekaan-rekaan baru untuk masa hadapan.

Dapur induksi yang lengkap dipasang bersama kabinet dapur, kemas lagi bergaya.


Free Download


Arkib Blog