Memaparkan catatan dengan label peralatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label peralatan. Papar semua catatan

Ahad, 8 Mei 2016

Peralatan Ujian Darah Untuk Pesakit Kencing Manis Tanpa Jarum

Melakukan ujian darah adalah perkara penting bagi pesakit diabetes.

Bagi para pesakit kencing manis, kepentingan untuk membuat pemeriksaan darah setiap hari adalah penting. Manakala bagi mereka yang mengidap sakit ini pada tahap 1 (Type 1) pula, perlu melakukan ujian tersebut sehingga 6 kali setiap hari. Walaupun ia satu ujian yang mudah, namun tidak semua pesakit selesa untuk mencucukkan jarum dan membuat ujian darah sekerap itu.

Namun begitu sebuah peralatan yang direka untuk membuat ujian darah tanpa menggunakan jarum mungkin boleh membantu para pesakit untuk melakukan ujian tahap gula dengan selesa. Ia adalah hasil kajian para pengkaji dari Cardiff University di UK bagi membantu para pesakit diabetes melakukan ujian tahap gula dengan lebih mudah. Berbanding kaedah biasa di mana para pesakit perlu mengeluarkan sedikit darah untuk diuji, melalui alat ini ia hanya perlu diletakkan pada badan untuk melakukan pemeriksaan dengan menggunakan gelombang mikro untuk mendapatkan bacaan kandungan gula di dalam darah. Bacaan kandungan darah ini akan dipaparkan melalui peralatan seperti telefon ataupun komputer.

Peralatan yang dihasilkan oleh Cardiff University.

Cara menggunakan peralatan ditunjukkan oleh Dr Heungjae Choi.

Penyakit kencing manis adalah penyakit yang berpunca daripada kegagaln fungsi organ pakreas untuk menghasilkan insulin ataupun kegagalan untuk menggunakan insulin yang dihasilkan. Oleh sebab itu insulin perlu diambil oleh pesakit bagi mengimbangi keadaan gula di dalam darah mengikut keperluan. Ia merupakan cabaran yang memerlukan kesabaran pesakit dan juga mereka yang memberikan penjagaan kepada para pesakit diabetes.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai penggunaan gelombag mikro untuk alat ini boleh menjejaskan kesihatan pesakit, para penyelidik bagaimanapun menegaskan bahawa ianya adalah 1,000 kali ganda lebih lemah berbanding gelombang mikro yang dihasilkan oleh telefon bimbit. Maka peralatan ini adalah selamat.


Setakat ini ianya telahpun diuji ke atas 50 orang pesakit secara klinikal untuk menguji tahap keberkesanannya. Ia bagaimanapun akan mengambil masa bagi membolehkan peralatan ini untuk digunakan oleh orang ramai. Jangkaan yang diberikan adalah dalam anggaran 5 tahun. Harap-harap ia akan dipercepatkan.




Free Download



Khamis, 24 Disember 2015

Peralatan Untuk Melukis Manga

'Nib pen' yang menjadi peralatan klasik dalam melukis manga.

Memandangkan kemahiran melukis manga mempunyai potensi yang tinggi bukan sahaja untuk dijadikan sebagai kerjaya, malah ia juga sesuai untuk mengasah bakat kreativiti seseorang, maka kita akan terus melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia manga ini dari semasa ke semasa. Hari ini kita akan lihat pula peralatan-peralatan yang diperlukan dalam menyediakan sesebuah lukisan manga.

Perlu diingat bagi peralatan dalam melukis manga, terdapat beberapa peralatan yang anda perlukan sebagai peralatan asas. Manakala yang lainnya pula adalah peralatan tambahan yang hanya bertindak sebagai penyokong (memudahkan kerja) atau aksesori (mencantikkan lagi) hasil karya manga anda. Perkembangan industri ini, sudah semestinya menambahkan lagi pelbagai bahan-bahan sampingan berbanding bahan khusus yang terdiri daripada beberapa peralatan asas sahaja pada mulanya.

Peralatan Asas Penting

Pensil


Pensil yang sesuai amat penting untuk lakaran yang baik.


Pensil diperlukan untuk tujuan asas lakaran. Jadi ia merupakan peralatan utama dalam menghasilkan manga. Pensil ini perlulah yang hanya menghasilkan lakaran asas seperti 2H sehingga ke HB namun ia juga bergantung dengan kesesuaian seseorang pelukis itu sendiri.

Pensil yang digunakan mungkin terdiri daripada pensil biasa ataupun pensil mekanikal yang tidak perlu diasah berulang-ulang. Ini dapat memudahkan para pelukis dengan hanya menukar ‘lead’ nya mengikut keperluan. Lead mungkin akan terdiri daripada kelas ‘B’ untuk mata yang lebih lembut dan gelap, manakala ‘H’ untuk mata yang agak keras dan garisan yang lebih pudar.

Apapun jenis pensil yang digunakan, untuk lukisan manga kebiasaannya pensil hanya digunakan dalam menghasilkan garisan panduan kerana hasil akhir lukisan akan menggunakan pen dakwat bagi menghasilkan garisan yang lebih jelas dan hitam.

Kertas 8.5"x11"

Bagi pelukis manga, anda perlulah memiliki bekalan kertas putih yang cukup untuk tujuan penghasilan manga anda dan juga untuk tujuan latihan lakaran karektor dan sebagainya. Kertas yang diperlukan kebiasaannya dari kertas yang bersaiz 8.5"x11" – memandangkan ia saiz yang biasa digunakan untuk komik standard.

Terdapat pelbagai jenis kertas yang berada di pasaran. Bagi seseorang pelukis manga pula anda perlu tahu membezakan jenis-jenis kertas ini kerana ia boleh membantu anda mengenal kualiti kertas dan kegunaannya dengan baik. Sebagai contoh anda mungkin boleh menggunakan kertas 70 gsm untuk tujuan lakaran biasa. Manakala untuk tujuan penghasilan hasil akhir kertas yang perlu digunakan adalah dari jenis 80 gsm dan ke atas.

Pembaris 12”

Pembaris adalah antara peralatan yang penting dalam manga untuk membantu anda membuat lakaran-lakaran garisan panduan. Pembaris panjang 12” (30 cm) dapat memudahkan anda melukis garisan panduan untuk keseluruhan panjang kertas yang digunakan. Ini dapat menjimatkan masa berbanding sekiranya anda menggunakan pembaris biasa 6” (15 cm).

Ruang Kerja


Ruang kerja yang selesa penting untuk menghasilkan kerja yang baik.
Meja kerja idaman para pelukis manga.


Ruang kerja mungkin merangkumi meja khas untuk anda melakukan kerja-kerja melukis manga. Ruang kerja penting bagi memastikan anda dapat melukis dengan selesa dengan peralatan yang lengkap tanpa gangguan. Anda mungkin tidak mahu peralatan anda diganggu sehingga menyebabkan kerja-kerja anda terbengkalai. Adalah lebih baik sekiranya anda memiliki meja lukisan atau sekurangnya papan lukisan khusus untuk itu.

Pemadam

Pemadam juga merupakan salah satu peralatan penting dalam melukis manga. Kerja-kerja melukis sentiasa memerlukan anda membuat perubahan kepada lakaran asal yang dibuat menggunakan pensil. Jadi pemadam yang sesuai amat penting bagi memastikan hasil kerja yang bersih lagi kemas. Ciri-ciri pemadam yang baik adalah, dapat membersihkan kesan yang ingin dipadamkan, tidak meninggalkan kesan pada kertas dan tidak pula merosakkan kertas.

Peralatan Manga: Permulaan (Asas)

Pen Dakwat


Pen dakwat dalam pelbagai saiz.

Pen Dakwat inilah yang membezakan antara komik dan lukisan biasa. Seterusnya terdapat perbezaan teknik mendakwat (inking) bagi teknik manga Jepun dan juga komik US misalnya. Namun begitu ia tetap memerlukan pen dakwat untuk memastikan lukisan komik dapat disiapkan. Pen Dakwat ini terdiri daripada pelbagai saiz daripada: 0.1, 0.5, 1.0, 2.0, dan sebagainya. Anda tidak perlu memiliki kesemua saiz pen tersebut, tetapi setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa perbezaan saiz mata pen untuk memudahkan kerja mendakwat.

Template


Template untuk mempercepatkan proses melakar/melukis.

Template adalah peralatan yang mempunyai tebukan bentuk-bentuk dengan pelbagai rupa dan saiz. Walaupun bentuk-bentuk ini boleh dilukis sendiri, namun penggunaan template dapat menjimatkan masa dan juga menghasilkan lukisan yang lebih bersih/kemas. Terdapat juga template untuk melukis lengkuk, huruf dan nombor.

Kompas/jangka sudut

Penggunaan kompas dan jangka sudut ini juga penting bagi seorang pelukis manga. Untuk memastikan ia dapat digunakan dengan baik, anda perlulah mempunyai kemahiran menggunakannya dalam lukisan. Terdapat pelbagai jenis jangka sudut, dan ianya berguna mengikut fungsi-fungsinya tertentu.

Pembaris Lengkung

Pembaris lengkung juga adalah peralatan tambahan yang dapat menjimatkan masa. Walaupun lengkung biasanya dilukis menggunakan template lengkung atau ‘free hand’, penggunaan pembaris lengkung dapat menghasilkan garisan yang lebih kemas dengan pantas. Jadi ia merupakan peralatan tambahan yang dapat membantu.

T-Square


T-Square boleh menjadi peralatan yang menjimatkan masa.

Pembaris T-Square, hanya berfungsi dengan baik sekiranya anda menggunakan papan lukisan atau meja lukisan. Namun penggunaan peralatan ini juga dapat  menjimatkan masa apabila dipadankan penggunaannya dengan set-square (iaitu dua lagi pembaris segitiga yang bersudut 90 darjah). Penggunaan peralatan ini juga memerlukan kemahiran khusus. Jadi sekiranya anda baru bermula, peralatan ini mungkin merupakan peralatan tambahan sahaja.

Peralatan Manga: Advanced

Dakwat


Dakwat yang digunakan untuk melukis manga.

Dakwat diperlukan sekiranya anda memilih untuk melukis manga menggunakan pen lukisan ‘nib’. Terdapat pelbagai jenis dakwat dan jenis yang terbaik adalah dari jenis kalis air (waterproof) dan juga tahan pudar (fadeproof) yang dapat memastikan kualiti lukisan anda tahan untuk jangka masa yang lebih lama. Sebagai permulaan, anda bolehlah menggunakan dakwat dalam botol kecil untuk mengenal pasti dakwat yang sesuai.

Pen Dakwat Nib


Mata pen 'nib' dalam pelbagai bentuk dan saiz.


Ia adalah jenis pen dakwat klasik yang digunakan untuk melukis komik dan kaligrafi. Pen-pen ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan jenis. Jadi anda juga perlu mengenali pen ‘nib’ yang sesuai untuk digunakan. Salah satu kelemahan menggunakan pen ini adalah ia perlu sentiasa dicelup ke dalam dakwat. Bagi yang kurang mahir, ia mungkin boleh menyebabkan hasil yang kurang kemas.

Cecair Pemadam (White Out)

Ia didatangkan dalam bentuk cecair di dalam botol atau pen. Bagi anda yang menggunakan dakwat, cecair pemadam ini adalah penting untuk membuat pembetulan pada kesilapan-kesilapan kecil. Penggunaan berlebihan mungkin mengakibatkan hasil lukisan anda kelihatan comot/buruk.

Manuscript Paper

Kertas ini digunakan untuk memudahkan anda menghantar kerja-kerja komik anda kepada penerbit. Jadi sebab itulah ia berada dalam kategori peralatan advance. Namun begitu sebelum anda menggunakan mana-mana ‘manuscript paper’ anda perlulah terlebih dahulu memastikan spesifikasi yang diperlukan oleh penerbit tertentu. Sebagai permulaan, kertas biasa juga adalah memadai.

Tones


Penggunaan 'tones' dalam komik/manga.

Tones, banyak digunakan dalam manga-manga klasik hitam-putih untuk menimbulkan kesan yang lebih menarik. Ia mungkin berbentuk garisan, titik-titik, corak dan sebagainya. Penggunaan tones mungkin akan memakan belanja yang agak mahal. Kebiasaannya pelukis komik mempunyai cara tersendiri menghasilkan tones dengan kaedah yang lebih murah.

Papan Pemotong

Papan pemotong dapat mengelakkan kerosakan pada meja anda sekiranya anda menggunakan ‘tones’ di mana anda biasanya perlu memotong ‘tones’ mengikut rupa bentuk yang diperlukan. Papan pemotong yang sesuai dapat memastikan ruang kerja yang efisyen dan kerja-kerja anda dapat dihasilkan dengan lebih pantas.

Pisau Pemotong

Anda memerlukan pisau pemotong untuk kerja-kerja memotong. Pisau pemotong kebiasaannya amat tajam. Jadi anda perlu berhati-hati dan memastikan ia berada dalam keadaan yang baik untuk memastikan hasil pemotongan adalah baik. Selain itu anda juga selamat sewaktu mengendalikannya.

Paper Cement


Paper Cement untuk melekatkan tones pada lukisan.

Paper cement bertindak seperti gam untuk melekatkan ‘tones’ kepada tempatnya. Ia perlu dilakukan dengan teliti kerana ia akan melekat dengan kuat. Jadi sekiranya berlaku kesilapan, adalah agak sukar untuk menanggalkannya semula.

Tersebut adalah peralatan-peratalan asas untuk anda menghasilkan manga. Walaupun terdapat peralatan yang tergolong di dalam kriteria “advanced”, di sini hanyalah keperluan asas untuk menghasilkan manga secara asas sahaja. Peralatan lengkap penghasilan manga merangkumi media yang lebih luas yang akan dibentangkan pula dalam artikel yang lain. Teknik penghasilan manga moden adalah merangkumi bahan media bewarna dan juga melibatkan perisian komputer.



Free Download



Jumaat, 25 September 2015

Rekaan Frontier Stove Memudahkan Aktiviti Kegiatan Luar

Frontier Plus - mudah digunakan untuk aktiviti luar.

Adakah anda meminati aktiviti kegiatan luar? Samada anda bersama keluarga, rakan-rakan ataupun bersama aktiviti berkumpulan, aktiviti perkhemahan atau perkelahan tentu akan lebih menarik dengan rekaan Frontier Stove & Frontier Plus.

Rekaan menarik dapur mudah alih Frontier ini amat mudah digunakan, malah ia juga boleh dipasang di dalam khemah (sekiranya khemah anda bersaiz besar). Terdapat aksesori yang membolehkan ia dipasang di dalam khemah dengan lubang untuk mengalirkan udara dan asap dari dapur ke luar khemah. Bagi khemah yang kecil pula, ianya bolehlah digunakan di luar khemah bagi memastikan api dapat dikawal dengan baik.

Pemasangan di dalam khemah mungkin lebih sesuai untuk aktiviti luar di kawasan beriklim sejuk. Ia juga perlu dilakukan dengan cermat, bagi mengelakkan sebarang kemalangan (seperti, meletakkan alas bagi mengelakkan sebarang bara yang terjatuh). Api juga perlulah dipastikan telah dipadamkan sebelum anda melelapkan mata.


Proses menebuk bumbung khemah.

Pemasangan serombong.

Proses akhir pemasangan.

Dapur ini amat mudah dipasang. Begitu juga aksesorinya untuk pemasangan di dalam khemah. Ia boleh digunakan untuk memasak dengan beberapa periuk di atas permukaannya yang rata. Anda juga boleh membuka permukaan rata tersebut sekiranya ingin membakar terus di atas api. Tetingkap kaca pula membolehkan anda memastikan api di dalamnya masih menyala atau sebaliknya.

Frontier Stove turut dilengkapi dengan aksesori pemanas air yang dilekatkan pada serombong asap. Dengan kaedah ini ia turut menggunakan haba yang keluar dari serombong tersebut untuk memanaskan air. Aksesori ini dilengkapi dengan kekunci untuk memastikan ia melekat dengan kemas pada serombong tersebut.

Suasana dalaman yang teratur.

Amat mudah untuk seisi keluarga.


Dengan peralan ini, ia tentu menjadikan aktiviti luar anda lebih mudah untuk diselenggarkan. Jadi anda boleh menumpukan kepada aktiviti lain iaitu menerokai persekitaran anda – tujuan mengapa anda melakukan aktiviti luar. Ia merupakan satu lagi rekaan menarik!




Isnin, 13 April 2015

Mikro Post; Coconut Octopus

coconut octopus with coconut shell
Coconut octopus menggunakan tempurung kelapa sebagai pelindung.

Coconut octopus (Amphioctopus marginatus) juga tergolong di dalam kumpulan cephalopod (dari jenis sotong). Menadapat jolokan namanya daripada perilakunya yang unik dengan tempurung kelapa. Mendiami perairan tropika di bahagian barat Lautan Pasifik termasuk Sulawesi dan Bali. Sotong ini menjadikan udang, ketam dan juga kerang sebagai makanannya.

Pemerhatian kita terhadap haiwan ini adalah kebolehannya menggunakan tempurung kelapa sebagai alat memberikan perlindungan kepadanya. Tempurung kelapa akan dijadikan penutup dan ia akan berada di dalamnya – dengan menggulingkan tempurung kelapa tersebut seperti roda.

Perlakuan sotong ini kali pertama direkodkan oleh pengkaji dari University of California, Berkeley yang diterbitkan dalam artikel Science di mana A. Marginatus dilaporkan seperti berjalan dengan dua kaki. Terdapat hanya dua octopus yang diketahui melakukan perlilaku seperti ini dimana satu lagi adalah Abdopus aculeatus. Menurut artikel itu juga perilaku ini dijumpai di perairan Sulawesi, Indonesia - kerana di perairan ini tempurung kelapa lebih mudah untuk didapati oleh sotong-sotong ini.

Amphioctopus marginatus
Coconut octopus spesis unik yang menggunakan peralatan.
Menggunakan cengkerang siput sebagai tempat berlindung.

Tempurung kelapa merupakan pilihan terbaik.

Kulit kerang juga antara pilihan coconut octopus.

Menurut pengkaji dari Museum Melbourne di Australia sotong ini menggunakan peralatan untuk tujuan perlindungan atau persembunyian. Beliau juga turut merakamkan aksi sotong ini mengutip dan menggunakan tempurung kelapa yang didapati daripada lantai laut dan dijadikan sebagai alat perlindungannya.


Apa yang unik di sini adalah kemampuan haiwan kecil ini menggunakan peralatan untuk memenuhi keperluannya dalam melindungi diri dan berburu. Ini kerana bukan tempurung kelapa sahaja yang digunakan, malah kulit kerangan juga turut digunakan. Sekiranya haiwan sekecil ini mampu berfikir dengan kreatif untuk menyelesaikan masalahnya, maka kita juga patut memikirkan sesuatu dalam situasi yang sama. Fikir-fikirkan.






Free Download





Rabu, 1 Januari 2014

Kaedah Pembersihan Perkakasan Elektronik, Komputer dan Tablet

Peralatan pembersihan perkakasan elektronik/komputer

Pembersihan perkakasan elektronik seperti komputer, tablet, telefon bimbit dan apa juga perkakasan kesayangan anda mungkin boleh membantu untuk jangka hayat peralatan yang lebih lama. Jadi peralatan serta kaedah yang betul perlu digunakan atau proses ini mungkin boleh mendatangkan masalah kepada peralatan kesayangan anda.

Komputer dan peralatan elektronik yang lain sememangnya perlu dibersihkan selalu bagi mengekalkan kualiti peralatan tersebut, terutama pada skrinnya yang memaparkan maklumat yang perlu dilihat. Pembersihan yang kurang cermat mungkin akan mengakibatkan skrin bercalar seterusnya anda tidak lagi dapat melihat hasil paparan yang baik. Terdapat juga beberapa peralatan yang lain bagi membersihkan papan kekunci dari habuk dan debu yang boleh menyebabkan kerosakan sekiranya dibiarkan berpanjangan. Tanpa berlengah lagi mari kita lihat peralatan-peralatan tersebut dan kaedah pembersihan yang baik.


Peralatan asas untuk kerja-kerja pembersihan;


Peralatan asas pembersihan a) pam angin b) berus lembut c) cecair pembersih d) kain pengelap lembut

a) Cecair pencuci – gunakan cecair khas untuk pembersihan skrin komputer. Ini kerana cecair ini akan cepat kering selain selamat (tidak menghakis permukaan skrin anda).

b) Kain penggilap yang sesuai – kain penggilap untuk kerja pembersihan juga biasanya disertakan bersama cecair pencuci. Kain ini dapat mengelakkan skrin dari calar kerana ianya lembut. Selain itu ia juga mampu menarik habuk dan kotoran dari skrin dengan berkesan.

c) Berus – berus untuk pembersihan perlulah lembut dan bebas dari kotoran (berus tidak menyimpan habuk). Berus yang kasar mungkin boleh merosakkan peralatan apabila digunakan secara kasar.

d) Pam angin – pam angin biasa digunakan untuk menghembus habuk dan debu yang melekat di celah-celah papan kekunci serta celahan yang sukar dibersihkan. Pam angin ini amat berguna terutama dalam membersihkan peralatan seperti printer/mesin photostat yang menggunakan toner.

e) Vakum mini – vakum mini sama seperti pam angin juga untuk membersihkan habuk. Anda boleh menggunakan salah satu peralatan ini atau keduanya mengikut kesesuaian. Pastikan kuasa sedutan vakum bersesuaian bagi mengelakkan kerosakan pada peralatan. Berbanding pam angin yang biasanya menggunakan tangan adalah lebih mudah untuk dikawal.

Kebiasaannya peralatan ini dijual dalam bentuk satu set dan ada juga dijual secara berasingan. Anda boleh membeli peralatan ini mengikut keperluan anda. Sekiranya anda mempunyai peralatan yang banyak atau biasa melakukan kerja-kerja pembersihan, anda mungkin memerlukan peralatan-peralatan seperti di atas pada kuantiti yang berbeza.

Penggunaan vakum juga sesuai bagi memerangkap habuk yang terperangkap pada peralatan

Langkah-langkah pembersihan;


1) Sebelum kerja-kerja pembersihan dijalankan pastikan kesemua peralatan telah disediakan bagi memastikan segala proses pembersihan dapat berjalan dengan lancar. Sebarang gangguan perlu dielakkan terutama sekiranya anda perlu membuka peralatan untuk tujuan pembersihan.

2) Pastikan bekalan kuasa peralatan telah dimatikan. Ini penting bagi mengelakkan kerosakan pada peralatan. Cecair yang digunakan mungkin boleh mengakibatkan pintasan pada litar peralatan semasa kerja pembersihan. Oleh sebab itu kita perlu menggunakan cecair yang cepat kering (meruap).

3) Bersihkan permukaan dengan berus dari habuk-habuk yang kasar dengan perlahan. Habuk-habuk kasar mungkin boleh mengakibatkan calar sekiranya terus dilap dengan kain pengilap. Jadi ianya perlu dibersihkan dengan berus terlebih dahulu.

Berus lembut memastikan peralatan tidak rosak

4) Basahkan kain pengilap dengan cecair sebelum mengelap permukaan. Menyembur pada permukaan adalah kurang baik dipraktikkan kerana cecair boleh meleleh masuk ke dalam peralatan dan merosakkan nya.

5) Bersihkan pula papan kekunci dengan berus. Gunakan pam angin atau vakum untuk membersihkan habuk-habuk yang tersimpan di bawah butang papan kekunci. Sebelum menggunakan kain pengelap dan cecair pembersih.

6) Periksa lubang angin (komputer/mesin) untuk mengeluarkan haba panas tidak tersekat oleh habuk. Ini boleh mengakibatkan kerosakan pada peralatan. Gunakan berus, pam angin dan vakum sehingga bahagian ini betul-betul bersih dan angin panas boleh mengalir keluar dengan baik.

Kerja-kerja pembersihan ini perlu dilakukan selalu mengikut keperluan dan penggunaan peralatan anda. Peralatan yang sentiasa bersih boleh menjamin kualiti penggunaanya untuk jangka panjang. Selain itu juga ianya boleh dijual semula dengan harga yang lebih tinggi sekiranya anda ingin menggantikannya dengan peralatan yang lebih baru.

Sebahagian kerja yang memerlukan peralatan dalam keadaan baik (terutama skrin) adalah seperti kerja-kerja yang bergantung kepada keadaan skrin yang baik seperti ‘photo editing’, ‘designer’, ‘video editing’ atau para peminat video dan ‘video games’. Ini kerana skrin yang kotor akan mengganggu anda untuk melakukan tugas dengan baik atau menikmati paparan yang benar-benar berkualiti.


Diharap artikel kali ini dapat membantu anda untuk memahami kepentingan kerja-kerja pembersihan peralatan. Ini kerana kerja-kerja pembersihan yang dilakukan secara tidak teliti mungkin boleh mendatangkan kerosakan pada peralatan kesayanga anda. Jadi fahami dan lakukannya dengan lebih yakin.




Free Download



Arkib Blog