Memaparkan catatan dengan label seni. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label seni. Papar semua catatan

Ahad, 22 November 2015

Keunikan Hidupan Seni Yang Dipanggil Diatom

Sejumlah diatom yang merupakan hidupan seni.

Diatom merupakan hidupan seni yang unik bukan sahaja kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun ia terdapat dimana sahaja kawasan berair (lembapan). Ia adalah sebahagian besar daripada kumpulan alga dan juga merupakan kumpulan besar daripada ‘phytoplankton’. Ia merupakan hidupan satu sel (unicellular), walaupun boleh membentuk kumpulan dalam bentuk filamen atau riben. Salah satu fungsi terbesar diatom adalah sebagai sumber makanan kepada hidupan akuatik samada air tawar mahupun air masin. Ia memiliki ciri unik iaitu diselaputi cengkerang daripada silica  (hydrated silicon dioxide) yang dipanggil “frustule”. Cengkerangnya inilah yang memberikan ianya bentuk tersendiri dan membezakan jenisnya yang berbeza mengikut jenis, kawasan, mahupun zaman.

Terdapat lebih daripada 200 genus diatom yang hidup, dan dianggarkan daripada itu terdapat lebih daripada 100,000 spesis. Ini kerana diatom bukan sahaja terdapat di dalam air tawar atau air masih, malah juga di dalam tanah dan juga permukaan lembab. Kebanyakan diatom melakukan proses fotosistesis untuk menghasilkan makanan – jadi ia berada di dalam linkungan kawasan yang terdapat cahaya matahari. Namun terdapat juga diatom dari kumpulan ‘heterotrophs’, yang mendapat nutrient daripada bahan organik lain (seperti cendawan). Walaupun kebanyakannya bersaiz amat kecil iaitu daripada 20 – 200 microns, terdapat juga sesetengah diatom yang mencapai saiz sehingga 2 millimeters.

Gambar yang menunjukkan perbejaan 'frustule' yang berbeza.

Perbezaan saiz-saiz diatom.

Rupebentuk diatom (klik gambar untuk saiz besar).

Kajian mengenai diatom penting kerana ia banyak memberikan maklumat mengenai persekitaran di mana ia dijumpai. Sebagai contoh, di persekitaran sungai yang tercemar hanya terdapat beberapa jenis diatom boleh dijumpai. Manakala di kawasan sungai dengan persekitaran yang bersih, terdapat variasi diatom yang pelbagai. Jadi kewujudan diatom boleh digunakan untuk mengesan kualiti sesuatu kawasan tadahan air, sungai, tasik dan sebagainya.

Malah diatom pernah digunakan di dalam kajian forensik. Ini kerana diatom yang didapati di sesuatu kawasan kebiasaannya amat unik bagi kawasan tersebut. Kes seumpama ini pernah dilaporkan di U.K. yang melibatkan kes pembunuhan. Hubungan ini dapat dikaitkan di antara diatom yang terdapat pada mangsa dan juga yang didapati daripada sumber bahan bukti (diatom yang terlekat pada pakaian) menyamai dengan diatom yang terdapat di tempat kejadian.

Kepelbagaian rupa bentuk diatom.

Gambar ini hanyalah seluas 1.13 X 0.69 mm (klik untuk gambar yang lebih besar).

Malah diatom juga digunakan dalam bidang archaeology kerana hanya terdapat beberapa spesis yang dikenali bagi beberapa zaman-zaman tertentu. Melalui diatom yang ditemui daripada spesimen yang diperolehi, usia sebenar spesimen dapat dianggarkan (selain daripada teknik pentarikhan karbon). Kewujudan diatom yang dianggarkan telah jutaan tahun ini, banyak membantu para saintis di dalam banyak lapangan selain menjadi sumber makanan hidupan akuatik.

Walaupun bersaiz amat halus, kepentingan diatom tidak dapat dinafikan. Begitulah istimewanya hidupan seni ini yang mempunyai pelbagai kegunaannya kepada hidupan lain begitu juga dengan manusia sendiri. Mungkin selama ini kita hanya mengetahui bahawa ada hidupan seni yang halus dipanggil plankton, namun tidak mengenalinya dengan lebih dekat. Namun di sini dapat kita lihat, bagi diatom biarpun kecil, namun amat berguna.


Rujukan:








Free Download



Sabtu, 7 November 2015

Keindahan Seni Hiasan Kaca Berwarna – Stained Glass

Seni kaca bewarna (stained glass) merupakan antara hasil seni yang unik.

Kehalusan seni hiasan kaca bewarna (stained glass) amat terkenal dalam menghiasi bangunan-bangunan lama di serata Eropah dan sehingga ke Timur Tengah. Seni hiasan ini mempunyai ungkapan sejarah beberapa zaman lamanya semenjak dari zaman Mesir (Egyptians) dan Roman lagi. Apa yang menarik dalam penghasilan seni kaca bewarna ini, kemahiran ilmu kimia amat penting dalam memberikan warna kepada kepingan kaca-kaca yang begemerlapan.

Proses penghasilan kaca sendiri merupakan satu proses yang memerlukan kerja-kerja mencairkan kristal-kristal pasir (quartz glass) pada suhu yang tinggi iaitu 1,650 °C (3,000 °F) bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai melainkan melalui pengetahuan yang tinggi. Ia mungkin bermula daripada pengalaman secara tidak sengaja, namun kemahiran penghasilan kaca terus berubah mengikut masa – untuk menghasilkan kaca pada suhu yang lebih rendah iaitu dengan menambahkan bahan yang dapat mengurangkan suhu cair kaca tersebut.

Berbalik kepada penghasilan kaca berwarna pula, penambahan bahan logam diperlukan untuk menambahkan warna kepada kaca. Ini amat menarik, kerana untuk menghasilkan warna-warna ini, logam-logam yang berbeza diperlukan. Jadi seni penghasilan kaca berwarna memerlukan kemahiran kimia yang tinggi secara tidak langsung (atau mungkin juga tidak memahami dengan tepat apakah yang berlaku sebenarnya). Kemahiran ini pula telah bermula sejak zaman Mesir lagi dan sehingga kini kita masih tidak tahu bagaimana kaca bewarna dihasilkan!? Namun begitu, kaca bewarna menjadi salah satu elemen perhiasan bagunan-bangunan di negara kita juga, walaupun tidak sehebat di Eropah dan negara-negara Timur Tengah.

Stained Glass pada Cologne Cathedral (kurun ke-14)

Masjid Nasir al-Mulk di Shiraz, Iran juga dihiasi dengan Stained Glass.

Bangunan-bangunan yang dihiasi dengan kaca bewarna (stained glass) ini kebiasaannya berfungsi sebagai bangunan keagamaan seperti gereja, masjid dan juga istana. Ini kerana kerja-kerja penghasilan seni kaca bewarna bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi, malah melalui proses yang agak rumit – masa yang panjang, kerana kaca bewarna tidak dihasilkan secara besar-besaran.

Penghasilan seni kaca bewarna bermula sejak abad ke-7 lagi dengan pembinaan biara St Peter oleh Benedict Biscop pada 675 AD dengan mengimport tenaga kerja dari France. Penemuan hasil daripada kerja-kerja ini didapati berasal sekitar abad ke-7 iaitu bahan seperti kaca bewarna dan lead yang digunakan untuk menyambungkan kepingan-kepingan kaca bewarna tersebut.

Kemahiran penghasilan kaca bewarna ini turut merebak ke Timur Tengah melalui Syria sebagai pusat penghasilan kaca di Ar-Raqqah, Aleppo dan Damascus. Pusat-pusat ini dikatakan menghasilkan kaca yang mempunyai kualiti penghasilan kaca yang jernih. Namun begitu pada zaman kegemilangan Islam sendiri seni penghasilan kaca bewarna ini antara seni yang mendapat fokus daripada pakar kimia seperti  Jābir ibn Hayyān dan direkodkan kedalam bukunya iaitu Kitab al-Durra al-Maknuna yang membincagkan kaedah penghasilan 46 kaca bewarna dan kaedah pemotongan kaca untuk menghasilkan permata (gemstones) tiruan.

Peralatan untuk kerja-kerja Stained Glass.

Bahan-bahan sebatian logam untuk menghasilkan pelbagai warna.

'Palette' dan peralatan untuk kerja-kerja mewarna pada kaca.

Penghasilan Kaca Bewarna

Penghasilan kaca biasa atau dikenali sebagai “soda-lime glass” walaupun kelihatan jernih, ia sebenarnya bewarna kehijauan kesan daripada kehadiran oksida besi (iron oxide). Penambahan bahan sampingan diperlukan bagi memberikan hasil kaca yang lebih jernih. Antara bahan tambahan yang ditambah di dalam kaca adalah ‘maganese dioxide’ sebagai salah satu kaedah yang biasa digunakan. Selain itu Selenium juga digunakan bagi rumah-rumah lama di kawasan di New England, US.

Kaca Hijau

Warna hijau dihasilkan dengan menggunakan logam ‘Iron(II) oxide’ yang akan menghasilkan warna hijau-kebiruan – memandangkan kaca biasa mempunyai ciri-ciri hijau yang agak pudar. Bersama dengan ‘Chromium’ pula ia akan menghasilkan warna hijau yang lebih kuat dan biasa digunakan untuk menghasilkan botol ‘wine’. Manakala dengan menggunakan ‘tin oxide’ dan ‘arsenic’ warna hijau yang dihasilkan adalah ‘emerald green’.

Kaca Biru

Pada zaman pertengahan kaca biru dihasikan dengan menambahkan ‘cobalt’ dengan kepekatan 0.025 ke 0.15 ke dalam “soda-lime glass” dalam menghasilkan warna biru terang seperti yang terdapat pada kaca bewarna di Chartres Cathedral. Kaedah lain adalah dengan menambahkan ‘sulphur’ kepada kaca dengan kandungan boron tinggi seperti ‘borosilicate glasses’ juga memberikan warna biru. Tambahan ‘copper oxide’ dengan 2-3%  menghasilkan biru ‘turquoise’ dan ‘nickel’ dengan peratusan berbeza akan menghasilkan kaca biru, voilet atau hitam.

Kaca Merah

Warna merah dihasilkan menggunakan logam emas dengan peratusan yang sangat kecil iaitu 0.001% yang akan menghasilkan ‘ruby-red’ atau dikenali sebagai “ruby gold”. Penggunaan kepekatan yang rendah akan menghasilkan warna merah yang pudar dan dikenali sebagai “cranberry glass”. Manakala menggunakna logam ‘copper’ pula warna merah gelap boleh dihasilkan. Kebanyakan kaca merah yang dihasilkan menggunakan ‘copper’ digunakan lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20 dalam kerja-kerja seni kaca seperti ‘sanding’ dan ‘engraving’.

Selain daripada emas dan ‘copper’, ‘selenium’ juga digunakan untuk menghasilkan kaca bewarna ‘pink’ dan juga merah dan adakalanya digunakan bersama dengan ‘cadmium sulphide’ untuk menghasilkan warna merah yang dikenali sebagai “Selenium Ruby”.

Warna Kuning

Bahan perak (silver nitrate) digunakan untuk menghasilkan kaca bewarna kuning hingga ke jingga-merah. Malah proses pemanasan dan penyejukan kaca juga boleh memberikan kesan pada warna yang dihasilkan. Penambahan ‘sulphur’ bersama ‘carbon’ dan ‘iron salt’ untuk membentuk ‘iron polysulphides’ menghasilkan sela warna di antara kuning sehinggalah kehitam-hitaman. Manakala ‘calcium’ akan menghasilkan warna kuning yang lebih mendalam.

Titanium’ juga digunakan untuk menghasilkan kaca bewarna kuning-coklat. Namun begitu ‘titanium’ jarang digunakan melainkan untuk sebagai bahan campuran untuk menghasilkan warna yang lebih terang. ‘Cadmium’ bersama dengan ‘sulphur’ turut menghasilkan warna kuning yang lebih dalam namun ‘cadmium’ juga adalah bahan toksid.

Uranium’ (0.1 ke 2%) juga digunakan untuk menghasilkan kaca dengan warna kuning atau hijau flourescent. Kaca ‘uranium’ tidaklah radioactive untuk mendatangkan bahaya melainkan sekiranya ia dikisar menjadi habuk halus seperti proses pengilatan menggunakan kertas pasir dan terhidu, ia boleh menyebabakan kanser.

Warna Purple

Penggunaan ‘Maganese’ akan memberikan warna  ‘amethyst’. Ia merupakan antara bahan campuran kaca yang digunakan semenjak zaman Egypt lagi. ‘Nickel’pula digunakan dengan kepekatan berbeza untuk menghasilkan warna-warna biru, violet atau hitam. Kristal ‘lead’dengan campuran ‘nickel’akan memberikan tona warna purple.

Kaca Putih

Kaca putih (tidak lutsinar) dihasilkan dengan menggunakan ‘tin oxide’, ‘antimony’ dan juga ‘arsenic oxides’. Pertama kalinya digunakan di Venice untuk menghasilkan kesan seakan-akan ‘porcelain’. Kaca putih ini banyak digunakan oleh pereka  Louis Comfort Tiffany (pereka US) dalam rekaan beliau.

Kesan Warna Pada Kaca

Kesan warna pada kaca ini dihasilkan daripada pantulan logam-logam yang tinggal pada kepingan kaca hasil pemanasan. Pada ketebalan beberapa nano meter ini, cahaya yang dipantulkan memberikan warna yang berbeza (seperti emas yang memantulkan warna merah). Kesan yang serupa juga dapat dilihat pada haiwan yang mempunyai sayap atau bulu berkilau seperti pada rama-rama dan burung merak.

"Blown Glass" satu lagi cabang seni daripada Stained Glass.

Seni Kaca (Kristal) di Malaysia

Sekiranya anda ingin melihat sendiri kerja-kerja penghasilan kaca bewarna ini anda bolehlah melihat beberapa penghasil kaca bewarna di Malaysia seperti Langkawi Crystal. Di sini perhiasan-perhiasan kaca dengan pelbagai warna dihasilkan menggunakan tenaga manusia dengan teknik “glass-blowing”, yang merupakan satu teknik yang amat menarik untuk disaksikan. Jadi anda boleh melihat sendiri keunikan kerja-kerja meniup, memanas dan mengukir kaca tersebut di sini. Anda juga boleh mendapatkan barang yang dihasilkan di sini sebagai cenderahati untuk dibawa pulang.

Langkawi Crystal dibuka kepada pelawat setiap hari dari jam 9:00 pagi ke 6:00 petang dan tiada bayaran (FREE) dikenakan. Langkawi Crystal boleh dihubungi di:

Plot No. 1804, Lot No. 55, Jalan Kisap, 07000 Kuah, Langkawi, Kedah Darul Aman, Malaysia.
Tel. No.: (+60) 4-966 1555
Fax No.: (+60)4-966 9698

Langkawi Crystal antara pelopor seni kaca di Malaysia.

Satu lagi pusat penghasilan kristal di Malaysia dengan kaedah yang sama dengan Langkawi Crystal terletak di Daerah Rembau, Negeri Sembilan. Rembau Crystal juga menghasilkan seni kaca dengan menggunakan tenaga manusia dan kemahiran ukiran kaca dengan teknik “glass-blowing”. Jadi sekiranya anda tidak dapat menziarahi Langkawi Crystal, anda mungkin boleh melawat ke Rembau Crystal seperti di bawah:

Lot 1432, Perkampungan Crystal, Jalan Kampung Mulia, 71300 Rembau, Negeri Sembilan.

Tel. No.: +606 685 3100
Contact Person: (Tengku Shazleen) +6017-2776878

Rembau Crystal juga merupakan penghasil kristal.

Keunikan hasil kerja kaca bewarna (stained glass) di negara kita mungkin tidak sehebat di Eropah dan Timur tengah. Namun belum terlambat untuk kita mengenali dan mendalami seni kaca bewarna ini. Diharap ia akan dapat sedikit sebanyak memberikan anda pengetahuan mengenai seni ini dan mungkin menimbulkan minat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Semoga ia akan terus berkembang menjadi satu hasil seni yang dikenali di serata dunia.









Free Download



Ahad, 25 Oktober 2015

Keunikan Senibina Tanah Minang – Padang, Sumatra

Keunikan senibina Minangkabau dengan ukiran berwarna.

Bukittinggi lebih dikenali sebagai Tanah Minang terletak di Daerah Padang, Sumatra Barat yang merangkumi beberarapa kawasan utama daripada Pagar Ruyung, Paya Kumbuh, Padang Panjang dan Bukittinggi. Walaupun senibina utama di sini didominasi oleh senibina Minang dengan ciri-ciri bumbung bertanduk, sebenarnya daerah ini turut dibina dengan pelbagai senibina yang menceritakan latar belakang sejarah daerah ini sendiri dalam mengharungi arus masa dalam era yang berbeza.

Senibina di Daerah Padang rata-ratanya mengekalkan senibina dari kehidupan Masyarakat Minang sendiri. Tiada senibina lama yang ditinggalkan daripada zaman sebelumnya (kerana seperti yang kita ketahui keseluruhan Kepulauan Sumatra dan Jawa suatu masa dahulu pernah dipengaruhi oleh kepercayaan lain seperti Hindu dan Buddha). Cuma ciri-ciri ini hanyalah dalam bentuk warna yang digunakan pada ukiran-ukiran kayu pada bangunannya. Berbeza dengan kawasan-kawasan lain di sekitar Kepulauan Melayu – ukiran  kayu tidak diwarnakan sepertimana di sini.

Senibina Lapangan Terbang Minangkabau di Padang diilhamkan dari senibina Minangkabau sendiri.

Antara Rumah Gadang Lama yang terletak di pendalaman kampung di Bukittinggi.

Antara rumah lama yang masih terdapat di Pagar Ruyung.

Ciri-ciri Unik Senibina Minang

Ciri-ciri unik utama Minang adalah senibina Rumah Gadang dengan bumbung berbentuk tanduk yang masih dapat dilihat pada bangunan-bangunan  di sekitar kawasan ini. Bangunan utama seperti yang dijadikan sebagai ‘Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau’ di Padang Panjang misalnya merupakan satu contoh yang baik bagi senibina Minangkabau yang asli.

Keunikan Rumah Gadang bukan sahaja terletak pada rupa bentuk binaannya malah fungsinya juga yang menempatkan beberapa keluarga dari satu generasi di bawah satu bumbung. Fungsinya ini pula dipengaruhi oleh corak kehidupan masyarakat setempat yang mengamalkan Adat Pepatih dan mengutamakan perlindungan kepada kaum wanita, manakala bagi yang lelaki pula perlu mendapat pendidikan yang cukup – maka mereka perlu tidur di surau sambil menjalani pembelajaran agama di sana.


Balai Adat, Koto Gadang, Bukittinggi.

Rumah Gadang di Pandai Sikek, Padang Panjang.
Rumah kampung dengan senibina Rumah Minang.

Senibina rumah gadang amat unik kerana ia tidak mempunyai dinding yang lurus, sebaliknya condong dan membesar di bahagian atasnya. Manakala di bahagian tepi pula adalah lebih tinggi berbanding bahagian tengahnya. Ia merupakan satu bentuk senibina yang jarang digunakan dalam senibina lama yang kebiasaannya menggunakan bentuk yang rata untuk lantai dan dinding. Namun begitu rumah-rumah gadang merupakan antara senibina yang mampu bertahan walaupun ditimpa gempa bumi.  Selain daripada rupa bentuknya yang unik ini, ia juga dibina tanpa menggunakan paku – mungkin antara peyumbang yang menjadikan ia satu binaan yang kukuh.

Masih terdapat beberapa binaan rumah gadang asli di beberapa kawasan di sekitar Padang. Rumah Gadang lama yang masih kekal sehingga hari ini antaranya adalah Rumah Kampai Nan Panjang yang terletak 13 km dari Batu Sangkar di kawasan yang dikenali sebagai Sungai Belimbing. Rumah Gadang ini dikatakan berusia lebih daripada 200 tahun (dan usia sebenar tidak diketahui). Rumah gadang yang asli menggunakan ijuk sebagai bahan binaan bumbungnya. Namun kebanyakan bumbung rumah gadang yang masih kekal ditukarkan kepada bahan lain kerana ijuk sukar digunakan dan mudah terbakar.

Rumah Gadang Kampai Nan Panjang  berusia ratusan tahun. - wikipedia.


Rumah Gadang di kawasan Solok yang dikenali sebagai "Nagari seribu rumah gadang" - gambar dari blog nashbahry.

Salah satu kawasan yang popular dengan rumah gadang adalah di Solok, juga di dalam Daerah Padang. Ia diberikan nama jolokan sebagai “Nagari seribu rumah gadang” kerana mempunyai jumlah rumah gadang yang lebih banyak di sini. Di lain-lain kawasan juga rumah-rumah gadang dapat diperhatikan seperti di kawasan Pagar Ruyung, Batu Sangkar, Padang Panjang dan Bukittinggi. Apa yang menarik, senibina rumah gadang ini adalah variasi reka bentuk antara rumah-rumah gadang tersebut dan juga dekorasi yang digunakan. Jadi rumah gadang mempunyai pelbagai perbezaan yang perlu anda amati.

Masjid moden yang dibina di perkampungan Danau Maninjau.
Terdapat pancuran air dari sungai mengalir dari gunung yang jernih. 

Senibina Lain

Walaupun Padang rata-ratanya didominasi oleh senibina Minangkabau, apa yang akan anda temui di sini sebenarnya adalah variasi senibina yang amat luas. Variasi senibina ini terdapat bukan sahaja pada bangunan-bangunan zaman Belanda, malah bangunan selepas zamannya juga turut mempunyai ciri-ciri senibina yang berbeza.

Rumah lama yang didirikan dari zaman Belanda.
Rumah moden yang dibina dengan bercirikan tinggalan Belanda.

Bangunan-bangunan di zaman Belanda terdapat banyak di kawasan Koto Gadang – iaitu kawasan penempatan orang-orang Belanda semasa menduduki kawasan Bukittinggi yang turut membina Jam Gadang di Bukittinggi sendiri. Ciri-ciri bangunan binaan Belanda ini lebih ringkas dan menggunakan dinding batu. Reka bentuknya pula lebih geomatrik, bersegi dan simetri.

Variasi senibina yang paing ketara di daerah ini pula dapat dilihat daripada binaan masjid-masjid yang banyak dibina di sekitar Daerah Padang. Ia merupakan penyumbang kepada senibina yang paling luas di sini. Berbanding dengan bangunan-bangunan biasa yang lain, senibina masjid-masjid di sini bukan hanya dipengaruhi oleh senibina Minang, malah bebas menzahirkan kreativiti senibina yang mencerminkan fungsinya sebagai antara bangunan penting masyarakat setempat.

Khubah Perak antara binaan khubah yang popular di sekitar Dearah Padang. 

Binaan Masjid Baru ini mengetengahkan sinibina moden.

Masjid lama yang terletak di perkampungan Koto Gadang, Bukittinggi.

Masjid kecil di tengah kampung ini juga tidak kurang menariknya.

Mahupun bangunan masjid lama ataupun baru ia dibina dengan reka bentuk yang amat unik. Jadi anda boleh melihat ciri-ciri keunikan pada setiap binaan masjid di daerah ini. Rekaan masjid di sini mempunyai bumbung daripada berbentuk khubah dan pelbagai bentuk geomatrik. Ini ditambah lagi dengan ciri-ciri binaan bangunan itu sendiri yang adakalanya menyerupai bangunan moden yang cantik. Bagi sesetengah masjid pula ia dibina dilengkapi dengan kolam air daripada air jernih yang mengalir dari gunung – seperti masjid di kawasan Danau Maninjau.

Mungkin banyak perkara yang boleh diperhatikan di daerah ini yang menampilkan ciri-ciri keunikan binaan masyarakat di sini. Terutama kehalusan seni ukiran kayu yang berwarna-warni.  Bahan-bahan binaan lama yang terdiri daripada kayu, buluh, ijuk dan sebagainya semakin kurang digunakan oleh kerana perubahan zaman. Namun begitu keunikan senibina yang luas ini juga mencerminkan Tanah Minang, bukanlah hanya didominasi oleh satu pemikiran yang tertutup tapi turut menerima idea-idea lain yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.


Rumah dari zaman pendudukan Belanda di Kota Gadang, Bukittinggi.

Ijuk sebagai bahan asli binaan bumbung Rumah Minang.

Semoga ia sedikit sebanyak dapat memberikan panduan kepada anda dalam membuat pemerhatian mengenai ciri-ciri binaan (architecture) yang terdapat di Daerah Padang. Antara lainnya membuka kepada rekaan-rekaan baru yang mungkin sebelumnya dirasakan janggal untuk dicuba. Maka dengan ini juga saya mengucapkan tahniah bagi masyarakat di sana yang mampu melahirkan binaan-binaan yang unik di daerah mereka.




Free Download



Selasa, 29 September 2015

Destinasi - Fairy Chimney Hotel, Turkey

Penginapan yang sebahagiannya dipahat daripada batu di Fairy Chimney.

Fairy Chimney Hotel merupakan salah satu hotel yang unik berbanding hotel biasa kerana ianya adalah sebahagian daripada batu yang dipahat daripada batu ‘tufa’ (tufa rock) atau ia juga digelar oleh masyarakat setempat sebagai serombong pari-pari (fairy chimneys). Bagi menjadikan ianya berfungsi sebagai rumah tumpangan Fairy Chimney Inn diubahsuai secara tradisional bagi mengekalkan kasliannya disamping dapat memenui keperluan penghunjung ke sini.

Bilik-bilik di sini bukan sahaja dilengkapi dengan alat pemanas malah bilik mandi bercirikan “Hamam’ – iaitu tempat mandi bagi orang-orang Turkey. Ia juga menyediakan kemudahan WIFI (sebagai salah satu keperluan penting pengguna dewasa ini) selain turut menyediakan kemudahan komputer iMac untuk kegunaan semua yang menginap di sini.


Hotel Fairy Chimney dipahat dari Batu.

Bahagian hadapan hotel unik ini.

Breakfast terrace.

Rumah tumpangan istimewa ini diselenggarakan oleh seorang penduduk tempatan bersama suaminya, seorang ‘anthropologist’ Andus Emge, berbangsa German. Andus Emge turut melakukan kajian mengenai senibina rumah gua tradisional dan perubahan sosial serta pembangunan pelancongan di Cappodocia semenjak 1980an lagi.

Sebagai sebuah tempat penginapan yang moden ia juga menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan sokongan dan menyediakan informasi-informasi berguna kepada setiap pelawat (seperti pengangkutan, airport-shuttle, aktiviti belon panas, lawatan ke “underground cities”, Ihlara gorge dan sebagainya).

Tetamu juga akan turut berpeluang menikmati sarapan pagi di ‘breakfast terrace’ sambil menikmati pemandangan unik persekitaran di sini. Pemandangan persekitaran yang unik ini bakal memberikan anda pengalaman berbeza sewaktu menginap di sini. Sarapan unik yang terdiri dari pelbagai roti dan seperti “Gözleme", ‘home-made jams’, “pekmez” dan sudah tentu termasuk keju-keju, buah-buahan, telur dan macam-macam lagi. Seperti biasa anda juga boleh mengikuti kelas memasak sekiranya anda berminat dan anda bukan sahaja berpeluang belajar memasak masakan tradisional Cappodocia di sini malah turut serta ke pasar bersama chef Gülcan untuk membeli barang keperluan masakan tersebut.


Pemandangan persekitaran yang sememangnya menarik.

Aktiviti belon udara yang paling terkenal di sini.

Terdapat beberapa jenis bilik di sini yang tidak berapa jauh berbeza di antara satu dengan yang lainnya. Kerana apa yang penting keunikan hotel ini adalah ia dibina daripada pahatan batu yang sememangnya merupakan satu keunikan yang perlu dicuba. Namun begitu sekiranya anda ingin memastikan anda merasa selesa semasa berada di sini, bolehlah melihat sendiri perbezaan antara bilik-bilik yang ada di sini.

Sebagai antara kawasan pelancongan utama di Turkey, Cappodocia sememangnya menjanjikan pelbagai aktiviti menarik di persekitarannya. Daripada aktiviti menjelajah ke lembahnya ‘hiking’, sehinggalah kepada aktiviti belon udara yang terkenal di kawasan ini. Aktiviti pada waktu malamnya juga tidak kurang hebatnya kerana terdapat pelbagai acara yang disediakan pada waktu malam juga di sekitar kawasan ini.


Untuk maklumat lanjut, anda bolehlah mencari maklumat lebih terperinci mengenai hotel unik ini dan juga kawasan terkenal Cappodocia. Ia mungkin dapat menambahkan lagi keunikan percutian anda di atas keunikannya.

Free Download



Arkib Blog