Memaparkan catatan dengan label ternakan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ternakan. Papar semua catatan

Jumaat, 4 Jun 2021

Apakah Perbezaan Belut Sawah dan Belut?

European eel, melakukan penghijrahan ke laut untuk membiak.


Semasa kecil saya amat suka dengan aktiviti memancing dan menangkap ikan. Sesekali apabila terserempak dengan ikan ganjil ini (semasa mula-mula berhadapan dengan belut), pasti perkara luar biasa akan berlaku.. hahaha.. ular! Belut merupakan hidupan air yang istimewa, kerana ia berbeza sekali dengan ikan-ikan lain yang mirip dengannya. Namun apabila diamati, belut sawah dari family (Monopterus), adalah berbeza daripada belut-belut yang lain dari family (Anguilla). Perbezaan paling utama adalah, belut dari family Aguilla, melakukan penghijrahan ke laut untuk membiak!
 
Adakah ikan-ikan seperti belut, merupakan belut?
 
Tidak seperti ikan biasa, di mana kita lebih mudah untuk membezakannya. Bagi kumpulan ikan seperti belut ini, ianya agak sukar kerana kita tidak membiasakan diri dengan kumpulan-kumpulan ikan ini. Terdapat banyak ikan-ikan yang mempunyai rupa bentuk seperti belut, merupakan ikan-ikan daripada kumpulan yang berbeza dan spesies yang berbeza pula. Perkara ini ditambah dengan nama yang diberikan - menyebabkan kita menjadi bertambah keliru, seperti belut elektrik (Electrophorus electricus), yang sebenarnya merupakan sebahagian dari kumpulan ikan pisau (knifefish: Gymnotiformes). Begitu juga ikan dari kumpulan: Macrognathus, atau spiny eels, yang merupakan kumpulan ikan yang mempunyai bentuk seperti belut, namun mempunyai sisik dan muncung yang tirus. Ikan-ikan dari kumpulan ini juga mempunyai duri-duri yang tajam pada bahagian belakangnya - ia juga mempunyai nama tempatan sebagai ikan tilan, manakala ia juga dikenali dengan nama seperti, peacock eel, tire track eel, fire eel dan beberapa jenis lagi .

 
Setelah kita mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai ikan-ikan ini. Tinggal dua kumpulan utama yang rapat iaitu dua kumpulan utama: belut sawah (Monopterus) dan juga belut (Anguilla) - yang berhijrah ke laut untuk membiak (walaupun ia terkenal dengan nama European Eel) - terdapat beberapa spesies yang berada di luar Eropah dan beberapa spesies lagi di bahagian Asia.
 
Kedua-dua kumpulan ini dikenali sebagai belut - namun mempunyai perbezaan yang ketara dan lebih mudah dikenali dengan beberapa ciri-ciri tertentu. Belut sawah, bukan sahaja tidak berhijrah ke laut, malah ia tidak mempunyai sirip tepi pada badannya (membuatkan ia lebih mirip kepada ular). Berbeza dengan belut dari keluarga Anguilla, ia mempunyai sirip seperti ikan, pada bahagian tepi badannya dan terdapat belahan insang - ini tidak terdapat pada belut sawah.

Belut elektrik yang merupakan sebahagian dari keluarga ikan pisau (knife fish).

Ikan 'tire track eel', merupakan ikan yang menyerupai belut.

Terdapat beberapa spesies berbeza ikan ini, yang juga dikenali sebagai ikan tilan.

 
Adakah nilai komersial untuk kedua kumpulan ini?
 
Ya, kedua-dua kumpulan belut ini mempunyai nilai komersial. Apa yang membimbangkan, kumpulan belut dari jenis Anguilla, tidak boleh dibiakkan di dalam kurungan dan mempunyai jumlah bilangan yang semakin berkurangan di habitat liar - oleh kerana penangkapan anak-anak belut yang masih kecil untuk diternak secara komersial. Malah, kebanyakan aktiviti pengumpulan anak benih belut ini dilakukan secara tidak sah - dan dieksport melalui pasaran gelap.
 
Berbeza dengan belut sawah, ia bukan sahaja boleh diternak, malah boleh dibiakkan di dalam kurungan. Namun begitu, oleh kerana kegiatan penangkapan yang tinggi juga menyebabkan, jumlah belut sawah semakin berkurangan (mungkin kerana aktiviti bersawah yang semakin berkurangan). Belut-belut sawah adakalanya dilihat sebagai musuh - oleh kerana tabiatnya yang suka membuat lubang pada tebing kolam ataupun petak sawah. Namun, seperti juga belut lain, ia turut menjadi sebahagian makanan penting bagi masyarakat di mana sahaja ia boleh didapati.

 
Berbeza dengan belut Anguilla yang mempunyai saiz penternakan yang lebih besar - kerana pasarannya yang amat tinggi. Bagi belut-belut European Eel, negara-negara seperti Netherlands, Italy, dan Denmark merupakan negara penternak utama, selain Spain, Greece, Sweden dan Germany juga turut mempunyai penternakan dalam saiz yang lebih kecil. Belut-belut juga turut diternak di Jepun dan US (dari spesies Anguilla di Jepun dan US). Penternakan belut-belut ini merupakan industri terkenal dengan penggunaan teknologi moden bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa yang amat tinggi bagi belut. Harga belut boleh mencecah sehingga 1,000 HKD (128.86 USD) sekilogram, dan harganya pernah mencecah sehingga 5,000 HKD.
 
Bagaimana dengan belut sawah?

Belut sawah dari dekat, tiada kelihatan sirip atau insang.

Belut sawah secara keseluruhannya.

 
Belut sawah juga mempunyai nilai komersial, namun oleh kerana ia lebih mudah ditangkap di sawah dan kawasan-kawasan paya, ia jarang diusahakan secara komersial. Namun begitu, keadaan mula berubah, di mana kawasan pembiakan belut kini semakin berkurangan, malah penangkapan belut bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Maka, penternakan belut sawah mula menjadi salah satu usaha yang mendapat perhatian.
 
Belut sawah bukan sahaja popular di negara-negara Asia Tenggara, malah ia turut menjadi sumber makanan berkhasiat di mana sahaja ia membiak. Negara-negara lain seperti China dan India telah lama memanfaatkan khasiat belut sawah di dalam hidangan mereka melalui pelbagai resepi. Hidangan-hidangan ringkas seperti ‘
stir fries’ dan ‘casseroles’ sehingga gandingan bahan-bahan seperti daun bawang, rebung, wine beras, gula, kanji dan sos soya - merupakan antara bahan-bahan yang digunakan untuk meningkatkan rasa sejati belut ini. Begitu juga dengan kawasan di India yang dikenali sebagai Daerah Assam, penggunaan kari merupakan kaedah yang lebih sesuai dengan citarasa tempatan. Selain daripada itu, belut-belut ini juga turut terdapat di negara-negara seperti Amerika Tengah dan Amerika Selatan, Afrika dan Australia. Ia juga dikatakan mula membiak di Amerika Utara oleh kerana pembebasan tidak terkawal (mungkin disebabkan oleh industri ikan-ikan akuarium).

 
Maka tidak hairanlah sekiranya, industri penternakan belut sawah juga merupakan antara industri yang semakin popular. Oleh kerana, ia masih berada di peringkat awal. Industri penternakan ini mempunyai peluang yang tinggi untuk dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan pasaran, selain memenuhi standard kesihatan dan keselamatan pengguna. Bagi pengeluar belut sawah ini, negara Indonesia merupakan negara pengeluar utama bagi pasaran dunia, selain Thailand dan Malaysia. Di Malaysia khususnya, penternakan belut masih lagi berada dalam tahap pembangunan, walaupun terdapat pengusaha-pengusaha yang berjaya seperti En. Zakaria Harun, dari Kampung Kubang Puyu, Terengganu, yang mencuba menternak belut sawah semenjak 2012.
 
Apakah khasiat pemakanan belut sawah?

Penternakan belut sawah atau 'swamp eel', merupakan industri yang masih baru.

Belut sawah mempunyai khasiat pemakanan yang sangat baik, setanding dengan khasiat pemakanan ikan-ikan yang lain. Antaranya, ia mengandungi Vitamin A sehingga 15,000 IU/100 gram, manakala ia juga mengandungi DHA mencapai 1,337 mg/100 gram yang jauh lebih tinggi berbanding dengan ikan salmon yang hanya mengandungi sekitar 820 mg/100 gram, manakala ikan makarel yang hanya mengandungi sekitar 748 mg/100 gram.
 
Walaupun masih terdapat sebahagian daripada kita yang agak sukar untuk menjadikan belut sebagai hidangan, namun ia telah lama menjadi hidangan yang amat digemari di serata dunia. Apatah lagi memandangkan khasiat pemakanan belut sawah yang baik, ia mungkin boleh dipertimbangkan. Apa yang penting, melalui amalan penternakan yang baik dan kaedah penyediaan masakan yang menarik, ia mungkin menukar persepsi mereka yang selama ini agak sukar mencuba daging belut sebagai makanan.
 
Sekian sahaja pengenalan mengenai belut air tawar buat kali ini. Saya akan pasti menulis lagi lanjutan daripada tajuk ini, kerana terdapat banyak lagi perkara yang perlu dikongsi dengan para pembaca berkaitan belut dan ikan-ikan yang seangkatan dengan nya. Melalui pengenalan ini, mungkin sedikit sebanyak dapat kita mempelajari betapa pentingnya setiap haiwan di dalam alam. Selain itu, mungkin ia juga akan membuka mata bagi kita yang ingin memulakan satu peluang baru, atau seakannya. Bagi yang ingin berkongsi idea, ilmu pengetahuan, sila jangan segan untuk meluahkan pandangan anda di ruangan komen.
 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Eel
2) Wikipedia: Anguillida
3) Wikipedia: Swap eel
4) Wikipedia: European eel
5) Animaldiversity.org
6) Ocean and fisheries
7) Foa.org
8) Fao.org - II
9) Invasive.org
10) Aquanswers.com
11) Anim Agro Technology
12) MyMetro

Jumaat, 1 Januari 2021

Daging Tiruan Sumber Makanan Masa Hadapan

Daging tiruan dihasilkan dari pelbagai jenis haiwan (lembu, ayam, ikan dan khinzir).


Daging tiruan atau daging yang dibiakkan daripada sel haiwan di dalam makmal merupakan antara industri yang semakin membangun. Baru-baru ini kerajaan Singapura telahpun meluluskan pemasaran daging tiruan yang dihasilkan oleh sebuah syarikat dari US, iaitu Just Meat untuk dipasarkan di Singapura. Mampukah daging tiruan menyaingi daging asli haiwan ternakan satu hari nanti? Adakah anda sedia menerima daging tiruan sebagai ganti daging asli?
 
Usaha menghasilkan daging tiruan ini bukanlah satu usaha baru. Ia telah dibangunkan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini bagi membolehkan sumber makanan daging dapat diteruskan memandangkan industri penternakan mengalami pelbagai cabaran dalam memenuhi kehendak pasaran penduduk dunia yang semakin meningkat. Sekiranya usaha ini tidak dimulakan, ia mungkin menjadi semakin serius dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
 
Banyak isu yang dihadapi oleh sistem penternakan daging asli, daripada keluasan tanah yang diperlukan untuk proses penternakan, sumber makanan dan air, faktor kebersihan, pengurusan bahan buangan haiwan ternakan, pengunaan antibiotik dan hormon tumbesaran, faktor kemanusiaan dan kebajikan haiwan ternakan dan juga kesan pembebasan karbon dan gas rumah hijau (methane) yang dihasilkan dalam proses penternakan tersebut. Sekiranya ia telahpun menjadi masalah pada peringkat ini, maka ia mungkin akan menjadi lebih serius pada masa akan datang sekiranya langkah pembaharuan tidak dijalankan.

Daging yang dihasilkan dalam bentuk nugget berharga €50 seketul.

Daging yang dihasilkan masih lagi dalam bentuk daging kisar.

 
Tidak dinafikan terdapat banyak cabaran perlu diatasi dalam menghasilkan daging tiruan di dalam makmal. Apatah lagi bagi menghasilkan produk daging yang selamat dan mampu dibeli oleh pelbagai lapisan penduduk dunia. Daging tiruan pertama yag dihasilkan - untuk tujuan percubaan adalah merupakan sebiji burger yang menelan belanja £215,000pada tahun 2013. Itu tidak termasuk dengan kaedah pengembangan sel yang menggunakan serum daripada janin lembu (fetal bovine serum - FBS), yang dilihat sebagai kaedah yang kurang sesuai. Ia walau bagaimanapun digantikan menggunakan bahan yang lebih sesuai.
 
Adakah ia akan mengancam penternakan daging asli atau tidak adalah bergantung bagaimana kita melihat kepada sumber daging yang dimakan. Sekiranya kita mengutamakan ciri-ciri seperti, kebersihan, kesihatan, persekitaran, kemanusiaan dan efisyensi, pembangunan daging makmal ini mungkin akan memperbaiki sistem penternakan asli untuk lebih berdaya bersaing. Ia mungkin tidak akan menjadikan penternakan asli pupus sepenuhnya kerana penternakan haiwan telah lama menjadi sebahagian kehidupan manusia. Apa yang berbeza adalah saiz penternakan dan tujuan pemeliharaan - seperti mana penternakan kuda pada hari ini. Dimana kuda dipelihara untuk tujuan hobi dan ia dipelihara dalam keadaan yang jauh lebih baik.
 
Dengan pembangunan penghasilan daging makmal ini akan membolehkan lebih banyak kawasan penternakan dibangunkan sebagai kawasan pertanian atau pemuliharaan alam - bagi memastikan keseimbangan tetap seimbang. Ini bagi memastikan kawasan tadahan air dapat dipelihara dan spesies-spesies haiwan liar yang lain mempunyai kawasan yang tidak diganggu. Malah sekiranya usaha pembangunan makanan laut secara makmal juga berjaya ia mungkin dapat mengurangkan penangkapan ikan dilaut dan mengembalikan semula jumlah ikan-ikan di laut yang telah ditangkap secara berlebihan.

Penternakan tradisional memerlukan kawasan yang luas.

Kebanyakan ayam ini tidak pernah meninggalkan rebannya dan tinggal dalam keadaan yang amat sempit.

 
Daging tiruan ini mempunyai potensi yang sangat besar memandangkan makanan merupakan satu keperluan manusia yang perlu dipenuhi. Selagi para penyelidik terus berusaha mengatasi setiap isu-isu yang bangkitkan oleh para penggunna dan terus membangunkan kaedah penghasilan komersial yang berdaya saing. Ia seperti juga pembangunan susu tepung untuk bayi yang pada mulanya pasti sukar untuk diterima. Namun hari ini, susu tepung bayi merupakan antara keperluan asas untuk setiap bayi di serata dunia.
 
Cabaran berikutnya adalah memastikan daging tiruan dapat dihasilkan pada harga yang lebih murah untuk memenuhi permintaan dunia. Setakat ini daging tiruan yang dihasilkan masih lagi mempunyai harga yang tinggi - iaitu anggaran €20 untuk seketul nugget ayam. Namun harganya mungkin dapat dikurangkan lagi dimasa-masa akan datang. Faktor harga merupakan antara faktor utama yang menentukan samada daging tiruan ini dapat menembusi pasaran yang lebih menyeluruh. Ini kerana, daging tiruan dapat mengatasi banyak kebimbangan pengguna terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan kebersihan.
 
Dari segi tekstur pula, daging tiruan yang dihasilkan masil lagi dalam bentuk cebisan-cebisan daging (yang menyerupai daging kisar) yang hanya sesuai untuk produk seperti burger dan nugget. Ini merupakan antara cabaran yang masih lagi diusahakan oleh pengeluar daging tiruan - iaitu menghasilkan daging yang membentuk ketulan daging pejal seperti daging haiwan yang asli. Ini merupakan ruang di mana daging asli masih lagi mempunyai masa untuk memperbaiki kaedah pengurusan dan meningkatkan kualiti industri penternakan.

Penangkapan ikan berlebihan dan tangkapan tidak sengaja - menyebabkan populasi ikan yang menurun dengan drastik.

 
Pembangunan daging tiruan bagaimanapun perlu disambut dengan baik. Adalah mustahil sekiranya satu altrenatif baru tidak dihasilkan memandangkan permintaan daging yang terus meningkat berbanding sumber yang diperlukan untuk penternakan semakin berkurangan. Ia sebaiknya dilihat sebagai pembangunan yang positif dan bukannya sebagai pesaing. Ia bagaikan rangkaian fesyen ternama dan pakaian harian biasa. Kedua-dua kelas pakaian ini mempunyai pasaran tersendiri dan mengimbangi keperluan pengguna.
 
Maka sekiranya anda mempunyiai kemusykilan tentang penggunaannya - mungkin pada peringkat ini adalah masa yang sesuai untuk dikongsi bersama dengan para penyelidik supaya ianya boleh diberikan perhatian yang secukupnya. Ini kerana mungkin suatu hari nanti, ia merupakan antara makanan yang paling mudah didapati berbanding daging ternakan asli.
 
 
Rujukan:
 
1. Wikipedia.org
2. The Guardian
3. Frontiers
4. Wikipedia.org
 

Jumaat, 2 Jun 2017

Perkara Menarik Yang Anda Tidak Ketahui Mengenai Lembu

Auroch merupakan baka lembu pertama yang dipelihara manusia sejak 10,500 tahun dahulu di Turkey.

Lembu merupakan salah satu daripada haiwan peliharaan penting selain kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik dan sebagainya. Tidak seperti haiwan kesayangan yang lain iaitu kucing dan anjing, lembu digunakan untuk banyak tujuan dan membantu kerja-kerja para petani. Lembu merupakan haiwan peliharaan penting di kebanyakan kawasan di dunia sehingga ada masyarakat yang tidak memakan lembu sebagai tanda penghormatan kepada haiwan yang berjasa ini.

Sehubungan kali ini kita berpeluang meninjau beberapa perkara penting mengenai haiwan istimewa ini yang mungkin tidak kita ketahui. Ini kerana sebagai haiwan yang mula diternak manusia sejak ribuan tahun dahulu mengalami banyak perubahan mengikut lokasi, budaya setempat, cuaca dan sebagainya.

Gambar mengenai lembu-lembu aurochs di Gua Lascaux.

1. Lembu yang dipelihara hari ini berasal daripada spesies kerbau liar yang dikenali sebagai ‘aurochs’ yang mula diternak di bahagia Tenggara Turkey sekitar 10,500 tahun dahulu. Berasal daripada 80 jenis baka asal sehingga mencapai kepada bilangan 1.3 bilion lembu pada hari ini.

2. Para scientists telahpun membuat pemetaan genome bagi bovine (keluarga lembu) pada tahun 2009 dan mendapati lembu mempunyai gene yang berjumlah sebanyak 22,000; 80 peratus daripada gene ini dikongsi bersama dengan manusia.

3. Lembu menghabiskan masa selama 10 hingga 12 jam sehari dengan duduk di atas tanah. Ini adalah masa yang digunakan bagi lembu untuk mengunyah semula rumput yang dimakan oleh lembu untuk membantu proses penghadaman.

4. Masa purata bagi lembu peliharaan tidur dalam masa sehari adalah sekitar 4 jam, tidak seperti kuda lembu tidak tidur dalam keadaan berdiri.

5. Lembu tenusu yang diambil susunya memerlukan pemakanan sehingga 100 lb. Sehari.

Gambarajah tangki biogas menggunakan najis lembu di India.

6. Semasa proses penghadaman, proses penapaian di dalam perut lembu menghasilkan jumlah methane yang tinggi; lembu menghasilkan kira-kira 250 hingga 500 liter (dan ada yang mencapai sehingga 1,000 liter) gas methane yang dihasilkan dalam masa sehari.

7. Seperti juga haiwan-haiwan peliharaan atau ternakan lain, lembu juga suka digosok pada bahagian kepala, leher, tengok dan sebagainya. Sesetengah para petani mempunyai mesin khas bagi menggosok lembu-lembu mereka yang dikenali sebagai “HappyCow”.

8. Kira-kira 350 perahan diperlukan bagi mendapatkan sejumlah 1 gelen ( 3.79 liter) susu lembu.

Kerja-kerja memerah susu lembu bukanlah satu perkara yang mudah.

Pemerahan suhu menggunakan mesin adalah jauh lebih efektif.

9. Kajian mendapati lembu yang diberi nama dan diberikan layanan yang baik akan menghasilkan lebih daripada 500 pint (236.6 liter) susu setahun.

10. Kajian di German mendapati, lembu lebih cenderung mengarahkan pandangan mereka ke arah Utara ataupun Selatan semasa meragut ataupun berehat tanpa dipengaruhi oleh arah angin ataupun kedudukan matahari. Ia mungkin mempunyai pengaruh kepada kedudukan magnetik bumi yang jarang dikaji pada haiwan mamalia.

11. Lembu mempunyai pemandangan sekitar 300 darjah sekeliling dengan titik buta (blind spots) hanya tepat pada hadapannya dan di bahagian belakangnya sahaja.

12. Lembu-lembu juga mempunyai teman rapat di antara mereka dan akan menjadi runsing sekiranya dipisahkan. Kesan ini dapat dilihat dengan mengukur perubahan degupan jantung dan juga penghasilan cortisol pada lembu. Kajian ini dilakukan oleh penyelidik Krista McLennan.

Matador satu aktiviti hiburan terkenal di Spain.

13. Lembu tidak dapat mengesan warna merah (rabun warna); kain merah yang digunakan oleh matador mendapat perhatian lembu daripada pergerakan yang dihasilkannya.

14. Lembu-lembu juga mempunyai dialek daerah mereka sendiri. Kesan ini dilihat dalam kumpulan lembu yang besar yang mempunyai bunyi yang berbeza. Manakala bagi kumpulan-kumpulan kecil pula lembu-lembu ini mempunyai dialek yang dapat dibezakan dengan lebih jelas.

15. Lembu mempunyai deria bau yang amat baik dengan keupayaan mengesan bau sehingga 6 batu jauhnya.

16. Masyarakat Hindu amat menghargai lembu dan menetapkan undang-undang ketat untuk melindungi haiwan kesayangan mereka ini. Daerah yang paling ketat menjalankan undang-undang ini adalah di Madhya Pradesh, di mana mereka yang didapati bersalah membunuh lembu atau membawa lembu ke tempat lain untuk dibunuh boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun.

17. Lembu yang terpaling mahal dikenali sebagai Missy, dengan nilai 1.2 juta di  Royal Agricultural Winter Fair pada tahun 2009.


Antara lembu-lembu yang diambil genomenya oleh U.S. Meat and Animal Research Center (USMARC).

Itu adalah sebahagian kecil perkara yang mungkin tidak kita hiraukan mengenai lembu. Mungkin sebahagiannya penting untuk diketahui, manakala sebahagian lagi hanyalah untuk sekadar maklumat perkongsian sahaja. Mungkin dengan mengenali lebih dekat haiwan istimewa ini dapat memberikan gambaran kepada kita mengapa sesetengah masyarakat amat menghormati haiwan ini. Diharap pada masa akan datang kita akan melihat keunikan lain pula mengenai lembu.



Free Download



Ahad, 2 Oktober 2016

Keunikan Hidupan Laut - Mentimun Laut

Mentimun laut di dasar laut.

Mentimun laut juga lebih dikenali sebagai “sea cucumbers” merupakan satu lagi hidupan unik yang menarik perhatian MyRokan pada kali ini. Ini kerana selain mempunyai keunikan tersendiri, ia juga merupakan sebuah kumpulan hidupan yang besar dengan jumlah 1,717 spesis yang diketahui dengan sejumlah besarnya terdapat di kawasan sekitar Asia Pasifik. Maka tidak hairanlah mengapa masyarakat di sekitar kawasan ini menggunakan mentimun laut untuk pelbagai kegunaan, selain fungsi mentimun laut itu sendiri kepada alam semulajadi.

Oleh kerana jumlahnya yang besar itu, mentimun laut mempunyai pelbagai bentuk yang unik dan ada di antaranya juga yang mungkin agak kurang menyenangkan bagi sesetengah orang. Pada kebiasannya mentimun laut mempunyai saiz antara 10 hingga 30 cm (3.9 hingga 11.8 in) panjang. Namun saiz mentimun laut terkecil adalah hanya berukuran 3mm (0.12 in) panjang, manakala bagi jenis terbesar pula adalah mencapai sehingga 3 meter (9.8 ft). Walaupun kebanyakan mentimun laut berbentuk seperti silinder, namun ada juga yang berbentuk sedikit leper dan sebagainya. Malah ia juga mempunyai pelbagai rupa bentuk luaran yang menakjubkan.


Mentimun laut di kawasan dalam.

Mentimun laut.

Antara lain jenis mentimun laut.

Manakala mentimun laut sendiri memainkan peranan penting kepada ekosistem di mana ianya ditemui. Selain menjadikan bahan-bahan mereput sebagai sumber makanannya, mentimun laut sebenarnya merupakan agen pembersih yang penting dengan cara yang berbeza daripada hidupan-hidupan lain seperti tiram, kerang, siput, udang, ketam, belangkas dan sebagainya. Mentimun laut kebiasaannya akan menelan pepasir di dasar laut dan membersihkan pasir tersebut daripada sebarang bahan yang terlekat padanya. Namun terdapat juga spesis-spesis lain yang mempunyai tabiat pemakanan yang berbeza.

Di sesetengah kawasan, kepadatan jumlah mentimun laut adalah amat tinggi. Sebagai contoh di Laut Pasifik Selatan kepadatan mentimun laut boleh mencapai sehingga 40 ekor bagi setiap meter persegi. Pada jumlah ini mereka mampu membersihkan sehingga 19 kilogram sendimen bagi setiap meter persegi (34 lb /sq yd) setiap tahun. Namun keupayaan ini juga berbeza-beza mengikut spesis dan kaedah pemakanan mereka.

Kagunaan Kepada Manusia

Oleh kerana jumlah mentimun laut yang banyak dan mudah didapati, manusia telah mempelajari kaedah untuk memanfaatkan sumber mentimun laut ini. Selain dijadikan sebagai salah satu sumber makanan, mentimun laut juga mempunyai potensi sebagai bahan perubatan dengan contoh yang paling dikenali ramai iaitu “minyak gamat”.


Jenis mulut pada mentimun laut.

Antara masakan daripada mentimun laut.

Kawasan penternakan mentimun laut di Madagascar.

Bagi tujuan komersial, mentimun laut juga adalah diternak selain daripada diperolehi dari sumber liar. Teknik penternakan mentimun laut ini adalah dipelopori oleh China dan Jepun sebelum dikembangkan ke India pada tahun 1988. Pembangunan teknologi penternakan mentimun laut terus berkembang ke negara-negara lain seperti Australia, Indonesia, New Celedonia, Maldives, Solomon Islands dan juga Vietnam. Teknik penternakan ini pada mulanya adalah untuk beberapa spesis tertentu sahaja dan ianya semakin bertambah kepada spesis-spesis yang lain.

Antara kaedah yang popular adalah penternakan di bawah jaring ternakan ikan atau udang dalam sangkar. Kehadiran mentimun laut di bawah sangkar ini dapat membantu membersihkan bahan buangan dari ikan atau udang yang diternak di atasnya. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan hasil keluaran mentimun laut, malah ini juga menyediakan keadaan yang lebih bersih dan mengurangkan kerosakan serta bau yang tidak menyenangkan di kawasan penternakan tersebut. Melalui kaedah ini sahaja, China mampu mengeluarkan sehingga 90,000 tan mentimun laut dengan pertumbuhan anak-anak mentimun laut dengan lebih pantas.

Walaupun mentimun laut diternak secara komersial, permintaan pasaran terhadapnya adalah amat tinggi dan menyebabkan harganya menjadi mahal. Ini menyebabkan masih ada di antara mentimun laut yang diperolehi dari sumber liar. Penangkapan dari sumber liar ini menyebabkan populasi mentimun laut menjadi semakin berkurangan. Keadaan ini juga menyebabkan persekitaran tempat tinggal asal mentimun laut diancam dengan kotoran sendimen yang menjadi makanan mereka.

Makanan Dan Ubatan

Sejak sekian lama, khasiat mentimun laut sebagai bahan ubatan telah lama digunakan masyarakat setempat di Malaysia. Gamat atau mentimun laut dari jenis ‘golden sea cucumber’ (Stichopus horrens) digunakan dalam penghasilan produk-produk berasaskan gamat. Memandangkan teknik penternakan gamat di Malaysia kurang berjaya, jumlah populasi gamat adalah semakin berkurangan setiap tahun.

Berbanding dengan negara-negara lain, mentimun laut ini lebih popular sebagai bahan makanan. Dikenali sebagai trepang (atau trīpang) di Indonesia ia digunakan untuk menyediakan sajian-sajian unik dengan pelbagai kaedah masakan. Antara nama lain bagi mentimun laut adalah bêche-de-mer di dalam bahasa Perancis, namako di dalam bahasa Jepun dan balatan di dalam bahasa Tagalog. Walaupun mentimun laut boleh didapati di pasaran, harganya mungkin agak tinggi kerana permintaannya yang tinggi pula. Kebanyakan mentimun laut adalah dijual di pasaran dalam bentuk kering.


Begitulah serba sedikit mengenai keunikan hidupan mentimun laut yang amat unik. Walaupun ia kelihatan kurang menarik bagi sesetengah orang, ia tetap mempunyai fungsi yang amat penting serta permintaan yang amat tinggi. Banyak lagi perkara yang perlu diketahui mengenai hidupan unik ini bagi membolehkan ianya terus dimanfaatkan tanpa mengganggu jumlahnya di habitat liar - kerana ia juga mempunyai fungsi yang amat penting kepada ekosistem.


Free Download




Jumaat, 19 Ogos 2016

Sarang Burung Layang Layang Yang Boleh Dimakan

Aerodramus fuciphagus spesis burung yang menghasilkan sarang yang boleh dimakan.

Burung layang-layang sememangnya unik, ditambahkan lagi keunikannya dengan sarang sebahagian jenis burung layang-layang yang boleh dimakan (sebagai bahan perubatan). Harga permintaan sarang burung layang-layang juga sangatlah tinggi. Sehubungan itu hari ini sarang burung jenis ini diperolehi dengan kaedah penyediaan bangunan bagi burung layang-layang menyediakan sarangnya.

Harga sarang burung layang-layang sangatlah tinggi. Ia popular di kalangan orang-orang Cina yang menganggapnya mempunyai khasiat untuk kesihatan (terutamanya untuk kecantikan kulit). Sarang burung layang-layang dikatakan digunakan di China sejak 400 tahun dahulu dan kebiasaanya disediakan sebagai sup sarang burung.

Sarang burung layang-layang dikelaskan kepada 2 kelas utama iaitu bagi sarang yang diperolehi dari rumah sarang (dalam bangunan) dan juga sarang yang diperolehi daripada gua-gua. Sarang burung yang diperolehi dari rumah sarang lebih mudah diproses dan mempunyai kelas-kelasnya tersendiri juga. Manakala sarang burung yang diperolehi dari gua-gua mengandungi bahan asing seperti terutamanya bulu burung dan juga rumput. Jadi, sarang burung ini perlu menjalani proses pembersihan sebelum dipasarkan.

Burung layang-layang dengan sarang di dinding gua.

Sarang burung yang sedia digunakan.

Sarang burung dalam kotak untuk dijual.

Jenis burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung boleh dimakan ini adalah dari jenis (Aerodramus fuciphagus) yang kebanyakannya terdapat di kawasan Asia Tenggara. Burung layang-layang jenis ini bersaiz kecil dengan ukuran sepanjang 11 hingga 12 cm dan seberat antara 15 hingga 18 gram. Burung ini mempunyai warna yang coklat kehitaman dan warna yang lebih pucat pada bahagian bawahnya. Ekornya pula sedikit bercabang dengan kepak yang panjang dan kecil. Muncung dan kakinya pula berwarna hitam.

Terdapat enam (6) sub spesis burung layang-layang yang mempunyai sarang dari jenis ini iaitu;
  • A. f. fuciphagus - sub spesis yang terdapat di Jawa, Bali dan bahagian Barat Kepulauan Sunda.
  • A. f. inexpectatus - terdapat di Andaman dan Kepulauan Nicobar, kadang kala di Burma.
  • A. f. dammermani - Kepulauan Flores, dikenali melalui satu spesimen sahaja.
  • A. f. micans - di Kepulauan Sunda (Sumba, Savu dan juga Timor).
  • A. f. vestitus - Sumatra dan Borneo, dan adakalanya dikira sebagai spesis yang berbeza Aerodramus vestitus.
  • A. f. perplexus - Maratua Archipelago di Timur Borneo.

Walaupun dahulunya sarang burung-burung ini diperolehi dengan pengumpulan daripada sarang burung dari gua-gua. Kini rumah-rumah sarang dibina bagi memudahkan lagi proses pengumpulan sarang burung (selain ianya adalah lebih bersih - kerana sarang burung kurang mengandungi bahan asing). Namun bangunan-bangunan ini ada di antaranya yang dibina di tengah-tengah pekan dan ia agak mengganggu kepada orang ramai.

Walaupun harga sarang burung layang-layang mahal, ia perlu diusahakan dengan cara yang betul kerana bangunan yang digunakan sebagai rumah sarang ini perlu memenuhi keperluan burung layang-layang iaitu antaranya seperti pencahayaan, kelembapan dan suhu yang menyamai sepertimana keadaan di dalam gua. Jadi keadaan di dalam bangunan perlu agak gelap, dengan kelembapan antara 89% ke 90% dan suhu antara 28°C ke 30°C.

Sup sarang burung layang-layang.

Sarang burung yang telah dibersihkan.

Rumah sarang di Baan Laem, Phetchaburi, Thailand.

Oleh kerana burung layang-layang ini merupakan spesis yang berasal dari Asia Tenggara, maka negara-negara pengeluar sarang burung yang terkenal adalah seperti Indonesia yang dikenali sebagai antara pengeluar sarang dengan kualiti yang tinggi. Thailand pula menghasilkan sarang yang agak tebal dan memerlukan masa rendaman atau memasak yang lebih lama. Malaysia pula menghasilkan sarang yang mengandungi banyak bulu (Feather Prime swiflet) dan mempunyai harga yang sedikit rendah, namun ia digunakan untuk pemprosesan makanan segera. Vietnam pula merupakan penghasil sarang burung terbaik namun mempunyai bekalan yang amat terhad.


Jadi itu adalah serba sedikit mengenai burung layang-layang yang menghasilkan sarang yang boleh dimakan. Adapun artikel ini hanyalah sekadar menyediakan maklumat asas sahaja. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan teknik pembelaan burung layang-layang ini, bolehlah melawat ke mana-mana ladang sarang burung layang-layang ini atau mengikuti kursus yang berkaitan.



Free Download



Arkib Blog