Memaparkan catatan dengan label ubatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ubatan. Papar semua catatan

Isnin, 11 November 2013

Serai Bukan Untuk Masakan Sahaja

Serai penting dalam masakan ayam dan daging.
Serai merupakan pewangi/perasa makanan yang berpengaruh kepada masakan Melayu dan juga Asean. Sering digunakan untuk masakan dan tidak untuk kuih-muih seperti daun pandan. Kegunaan serai dapat menaikkan harum makanan samada ikan, ayam mahupun daging. Ini kerana serai bukan sahaja memberikan bau kepada masakan malah rasa seakan-akan lemon/limau menyebabkab ia juga dikenali sebagai lemongrass.

Serai bukan sahaja terkenal di Malaysia, negara-negara lain yang ditumbuhi dengan tumbuhan ini juga tahu memanfaatkan kegunaannya. Serai lebih digunakan untuk tujuan perubatan berbanding sebagai perasa makanan sahaja. Minyak serai sering digunakan untuk merawat sakit-sakit sendi, sakit kepala, keletihan, sakit perut dan dan juga sakit otot.

Mari kita lihat nama-nama lain untuk serai, tapi terdapat juga serai yang hanya digunakan untuk perubatan sebagai minyak serai atau mandian menggunakan wap. Nama lain serai seperti lemongrass, barbed wire grass, silky heads, cironella grass, cha de Dartigalongue, fever grass, tanglad, hierba Luisa  atau gavati chaha.

Serai merupakan bahan penting masakan sejak sekian lama.

Minyak serai juga telah digunakan sejak sekian lama.

Serai turut terkenal di negara-negara lain seperti Togo dan Republik Demokrasi Kongo di Afrika manakala Mexico di Amerika Selatan yang menggunakan serai sebagai teh. Serai turut digunakan sebagai racun serangga dan pengawet. Kajian menunjukkan serai boleh digunakan sebagai anti kulat. Malah selain daripada kegunaannya sebagai racun serangga ia juga digunakan untuk menarik perhatian lebah. Ini kerana serai boleh menghasilkan pheromone seperti yang dihasilkan oleh lebah. Pendek kata minyak serai boleh juga digunakan untuk menarik perhatian lebah.

Di negara kita Malaysia, penggunaan serai dalam masakan sememangnya amat popular terutama untuk masakan ayam dan daging, kerana ia dapat membangkitkan aroma bau masakan. Serai juga merupakan bahan penting dalam penyediaan masakan Tom-Yam. Ianya sangat sesuai bagi masakan yang memerlukan rasa sengit seperti laksa dan masakan asam. Selain serai, tumbuhan lain yang sering digunakan bersama adalah bunga kantan, daun kesum dan daun limau purut. Gandingan bahan-bahan ini tentu menjadikan masakan anda lebih menyelerakan.

Serai wangi seakan serai biasa tetapi lebih tinggi
Penghalau serangga dari serai.

Pelbagai produk menggunakan serai.

Lagi produk yang dihasilkan menggunakan serai.

Tetapi minyak serai dihasilkan daripada serai yang dipanggil 'serai wangi' (cymbopogon nardus) yang hanya digunakan untuk kegunaan luar berbanding serai biasa yang boleh digunakan untuk masakan. Bagaimanapun bau serai wangi adalah lebih kuat. Serai wangi ini digunakan untuk membuat minyak serai atau losyen yang boleh digunakan untuk mengelakkan gangguan nyamuk. Minyak serai juga boleh digunakan seperti minyak angin untuk meredakan masalah sakit kepala, sakit perut dan minyak urut untuk melegakan sakit-sakit sendi. 

Akarnya digunakan untuk merawat masalah diuretik (kerap kencing) dan sudorifik atau diaporetik (berperanan sebagai peransang pengeluaran peluh). Manakala air rebusan daun serai wangi bersama daun gendarusa dan lada hitam digunakan untuk memandikan kanak-kanak semasa bayi.

Penanam serai wangi boleh dikatakan agak mudah tetapi memerlukan kawasan yang lapang dan mempunyai cukup cahaya. Ia tidak boleh hidup di kawasan yang menakungi air atau terlindung daripada cahaya matahari. Jadi untuk memastikan kesuburan tanaman ini anda perlu memastikan kawasan yang ingin ditanam dengan serai wangi mempunyai saliran yang baik. Manakala dari segi penjagaan ianya agak mudah dan tahan lasak.

Sekiranya anda memiliki kawasan yang agak lapang di bahagian tepi atau belakang rumah bolehlah cuba menanam serai dan memanfaatkan kegunaannya untuk masakan atau penjagaan kesihatan. Dari segi pembajaan pula baja tanah bakar dan kompos adalah merupakan baja yang amat sesuai. Apa yang perlu diberikan perhatian adalah keadaan tanah yang sentiasa dalam keadaan saliran yang baik & gembur bagi menggalakkan serai terus membiak.


Free Download



Isnin, 4 November 2013

Makanan Tradisi Sayur Cekur Manis

Buahnya juga kelihatan menarik.
Apalagi yang menarik bagi saya di kampung adalah, sumber makanan yang tersedia di sekeliling rumah. Ini kerana di kampung hampir seluruh bahagian rumah akan ditanam dengan tanaman yang rata-ratanya boleh menyumbang kepada sumber makanan harian. Tanaman ini bukan sahaja tergolong dari kumpulan sayuran, malah buah-buahan, ulaman, rempah, penambah perisa, ubatan dan juga pokok hiasan. Apa yang menarik lagi tanaman ini turut menyegarkan suasana, sekeliling disamping mengindahkan lagi kawasan perkarangan rumah.

Pokok cekur manis mudah ditanam
Hari ini mengingatkan saya kepada satu sayuran yang biasanya ditanam di sekeliling rumah, adakalanya di sudut kecil berhampiran dapur. Sayur ini juga amat popular dan dikenali sebagai sayur cekur manis (sauropus androgynus). Terdapat beberapa nama yang biasa diberikan kepada sayur ini antaranya sayur manis dan asin-asin. Ia juga dikenali sebagai katuk di Sabah. Malah sayur ini bukan sahaja popular, malah orang Cina memanggilnya mani cai, orang Jepun pula mengenalinya sebagai amame shiba, orang Thai memanggilnya pak waan, di Vietnam ia dipanggil rau ngót dan di Kerla-India ia dikenali sebagai malay cheera.

Cekur manis mudah ditanam melalui batangnya. Sebab itulah ianya biasa tumbuh berhampiran dapur kerana batang tersebut terus dicucuk ke tanah setelah daunnya diambil untuk tujuan memasak. Pokoknya juga tidak terlalu tinggi kerana ia selalu diambil di bahagian daun barunya. Namun begitu ia akan tetap menghasilkan dahan baru dan terus mengeluarkan daun. Bagi pokok yang tidak diambil pucuknya atau pun dicantas ketinggiannya dikatakan boleh mencecah sehingga 8m.

Sayur ini mudah di masak dan dipelbagaikan. Walaupun kebiasaannya ia digoreng bermasa telur dan ikan bilis ada juga yang memasaknya sebagai masak lemak bersama labu. Biasa juga dijadikan sebagai ulam untuk pucuknya dimana ia direbus dan dimakan dengan sambal belacan, budu, cencaluk atau sambal-sambal lain. Apapun kaedah masakan yang anda gemari, sayur cekur ini bagi saya sememangnya menggamit kenangan kerana semasa kecil, terdapat banyak pokok ini di sekeliling rumah. Tapi hari ini tiada lagi!

Bunga cekur manis

Cekur manis terutamanya bahagian yang digunakan untuk memasak dan segar mengandungi provitamin A karetinoid. Selain itu ia juga kaya dengan vitamin B, C, protein dan galian. Kandungan zat ini juga tinggi untuk daun yang matang - tetapi mungkin tidak sesuai untuk dijadikan makanan kerana keras dan agak pahit - mungkin akan ada resepi baru untuk ini nanti.

Cekur manis juga dikatakan mengandungi khasiat perubatan antaranya adalah untuk merangsang penghasilan susu ibu, bagi wanita yang baru bersalin. Air rebusan daun ini juga mampu merawat demam panas, masalah pembuangan air kecil, pening-pening, penyakit berkaitan saluran darah (kardiovaskular), pitam dan tekanan darah tinggi. Manakala daun dan akar pula direbus dan diminum airnya untuk merawat hidung berdarah, penyakit puru dan penyakit patik.

Walaubagaimanapun pengambilan berlebihan sayuran ini boleh menyebabkan masalah paru-paru kerana ia mengandungi kandungan alkaloid papverine yang tinggi - masalah ini di kesan di Taiwan berikutan penggunaanya yang tinggi pada pertengahan 90'an bagi mengawal masalah berat badan. Kajian terperinci dijalankan bagi mengenal pasti masah yang berpunca daripada pengambilan sayur ini secara berlebihan.

Itu sahaja apa yang ingin saya kongsikan berkenaan dengan sayur cekur manis ini. Mungkin ia sedikit sebanyak dapat mengingatkan kembali anda kepada sayuran ini atau ada di antara anda yang ingin menanam semula sayur ini di persekitaran rumah? Saya di antaranya.



Free Download





Sabtu, 2 November 2013

Khasiat Bawang Putih Yang Perlu Kita Ketahui

Semua orang mengenali bawang putih yang merupakan antara bahan asas menyediakan kebanyakan masakan. Namun begitu bawang putih menyimpan pelbagai khasiat yang kita mungkin menyedarinya ataupun tidak. Selain daripada menyingkap petua-petua lama orang dulu-dulu mari kita lihat beberapa kebaikan bawang putih yang seharusnya kita ketahui.
Bawang putih antara bahan utama masakan seharian

- Bawang putih boleh membantu merawat masalah keguguran rambut kerana kandungan allicin yang tinggi dan sulfur yang sama seperti juga bawang merah didapati merawat masalah keguguran rambut dengan berkesan. Sapu bawang putih yang dipotong pada kulit kepala dan perah untuk mengeluarkan khasiatnya. Boleh juga mencampurkan sedikit minyak untuk tujuan ini.

- Masalah acne (jerawat) juga boleh dirawat menggunakan bawang putih kerana anti oksidan di dalamnya membunuh bakteria. Hanya perlu sapukan bawang putih yang dipotong pada bahagian yang mengalami acne tersebut.

- Selesema boleh dielakkan dengan mengamalkan diet yang mengandungi bawang putih. Padat dengan kandungan anti oksida ia membantu menguatkan sistem daya tahan badan. Jika anda diserang selesema anda boleh mencuba teh daripada bawang putih. Racik atau pecahkan bawang putih dan rendam di dalam air panas, kemudian tapis dan sedia untuk diminum. Tambahkan gula atau madu sekiranya perlu.

- Psoriasis sejenis masalah kulit yang membimbangkan boleh dirawat menggunakan bawang putih. Bawang putih merupakan bahan merawat keradangan yang berkesan. Gunakan minyak bawang putih pada bahagian yang mengalami psoriasis.

- Menurut ahli pengkaji makanan Cynthia Sass bawang putih boleh membantu anda mengawal masalah berat badan. Kajian mendapati tikus yang memakan makanan kaya dengan bawang putih mengurangkan kandungan lemak dan juga berat tikus tersebut. Pastikan anda mengamalkan diet mengandungi bawang putih untuk tujuan ini.

- Masalah makan air atau athlete's foot juga boleh dirawat menggunakan bawang putih kerana bawang putih juga merupakan anti-kulat. Anda hanya perlu merendamkan kaki anda didalam air panas yang dimasukkan bawang putih yang telah dipecahkan - ya, tunggu sehingga suam untuk mengelakkan lecur di kaki anda.

- Bagi mengelakkan gangguan serangga seperti nyamuk juga boleh dilakukan menggunakan bawang putih. Kajian di India mendapati mereka yang menyapukan ramuan yang bercampur bawang putih pada tangan dan kaki tidak didanggu oleh serangga. Sediakan ramuan daripada minyak, gel petrolium, lilin lebah atau tempatkan bawang putih berhampiran. Ini betul-betul berguna dan selamat.

- Pernahkah anda terfikir untuk menggunakan bawang putih sebagai bahan pelekat? Sememangnya jari anda akan merasa melekit sekiranya memotong bawang putih. Bawang putih dikatakan dapat membantu masalah keretakan kecil pada cermin. Pecahkan bawang putih dan keluarkan jus daripada bawang tersebut ke dalam rekahan kaca dan bersihkan lebihannya.

- Jika bawang putih boleh mengelakkan serangga seperti nyamuk ia juga boleh digunakan sebagai penghalau serangga untuk tanaman. Campurkan bawang putih, mineral oil, air dan juga sabun cecair (pencuci pinggan), masukkan ke dalam botol penyembur dan semburkan pada tanaman yang diganggu serangga perosak.

- Ikan amat tertarik dengan bau yang dihasilkan daripada bawang putih dan anda boleh membeli umpan yang sedia dengan bauan ini. Anda juga boleh membuatnya sendiri jika perlu dengan bahan yang semestinya menggunakan bawang putih. Tentu menarik untuk dicuba.

Tentu banyak lagi perkara yang menarik mengenai bawang putih ini selain sebagai salah satu bahan dalam perasa makanan. Masyarakat kita sedari dulu menggunakan bawang putih hampir setiap hari untuk kegunaan terutamanya memasak. Bawang putih dikatakan berkesan digunakan untuk merawat gangguan makhlus halus. Mungkin hari ini ianya semakin dilupakan - tetapi masih boleh dilihat di kaca tv adakalanya ia digunakan untuk mengelakkan gangguan vampire.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Enhanced by Zemanta

Arkib Blog