Sabtu, 28 November 2015

Apa Yang Kita Pelajari Dari Semut

Kajian terhadap sebuah sarang semut "atta" yang bersaiz luar biasa.

Semut merupakan antara serangga tertua yang juga mempunyai pertalian dengan keluarga serangga terdekatnya iaitu ‘wasps’ dan juga lebah. Selain kesemuanya mempunyai corak kehidupan bermasyarakat yang hampir sama namun begitu, semut mempunyai pelbagai kelebihan yang mungkin tidak kita perasan selama ini.

Semut mempunyai bilangan spesies yang banyak di antara 12,500 hingga ke 22,000 spesies kesemuanya. Kesemua spesies semut-semut ini mempunyai corak kehidupan yang unik dari segi bilangan ahli kumpulan, corak kehidupan, pemakanan, rupa bentuk, teknik pertahanan dan lain-lain lagi. Semut terdapat hampir di semua bahagian dunia termasuk di kepulauan-kepulauan yang besar (dengan spesies asal yang kurang). Ia hanya tidak terdapat di Antartika. Oleh kerana meliputi persekitaran yang berbeza-beza, ia mempengaruhi corak kehidupan semut yang mempunyai pelbagai variasi.

Saiz semut kebiasaannya adalah di antara 0.75 ke 52 milimeter (0.030 – 2.0 in). Namun terdapat fosil semut  Titanomyrma giganteum yang mempunyai permaisuri dengan saiz mencecah 6 cm (2.4 in), dimana kepaknya mencapai ukuran 15 cm (5.9 in).  Selain terdiri daripada pelbagai saiz, semut juga  terdiri dari pelbagai warna dari merah ke hitam, dan ada juga semut yang mempunyai warna hijau dan lebih ‘metallic’. Usaha dalam mengenali dan merekodkan spesies-spesies semut ini turut dijalankan secara global antaranya melalui ‘AntBase’ yang boleh diakses secara online.

Fungus yang dibesarkan di dalam sarang semut.

Kerengga, juga dikenali sebagai "weaver ants".

Gaya Hidup

Gaya hidup semut banyak memberikan impak kepada corak kehidupan manusia. Melalui sistem koloni yang setengahnya boleh mencapai jutaan semut (bagi satu sarang) bukan sahaja memerlukan susunan sosial yang teratur, malah ia juga perlu berkemahiran untuk mengatur sumber makanan, reka bentuk sarang yang mampu bertahan untuk pelbagai keadaan cuaca. Apa yang kita lihat semut lakukan di luar sarang (aktiviti mengumpul makanan dan sebagainya) adalah hanya sebahagian kecil dari apa yang dilakukan oleh semut-semut ini.

Sumber makanan semut terdiri dari pelbagai sumber. Jadi kebanyakan semut tidak memakan terus sumber yang dikumpulkan melainkan untuk digunakan dalam menternak ‘fungus’ yang menjadi makanan mereka – antaranya adalah semut yang dikenali sebagai semut "atta”. Fungus ini merupakan makanan istimewa bagi spesies-spesies tertentu - dan ia juga perlu dijaga dengan rapi, kerana fungus ini juga boleh mati akibat penjagaan yang tidak sesuai dan juga jangkitan mikrob yang lain. Sehubungan itu sarang semut ini mungkin mencapai beberapa meter ke dalam tanah, beberapa meter luas dan mempunyai ruang-ruang yang tersusun rapi bagi membolehkan udara sentiasa bergerak dengan baik di dalamnya.

Semut dan aphid bekerjasama untuk kebaikan masing-masing.

Rahang 'army ant', yang cukup menggerunkan.

Panda ants, menggunakan teknik penyamaran untuk keselamatan.

Selain daripada membiakkan fungus, ada juga semut yang menjadikan ‘aphid’ (kutu daun), bagi menyediakan sumber makanan bagi mereka. Kutu-kutu daun ini bagaikan ‘ayam ternakan’ bagi semut. Ia akan dikawal rapi oleh semut bagi mendapatkan hasil makanan (gula/ “honeydew”) yang dihisap oleh ‘aphid’. Bagi mendapatkan makanan istimewa ini daripada aphid, ia akan menggosokkan antenanya ke perut aphid yang membuatkan aphid mengeluarkan “honeydew” ini untuk dimakan oleh semut. Manakala semut pula akan mengawasi ‘aphid’ daripada pemangsanya iaitu kumbang ‘ladybird’.

Berbeza pula dengan semut yang mencari sumber makanan sendiri, ada juga spesies yang menceroboh sarang semut atau serangga lain. Semut-semut seperti ini lebih agresif dan akan membunuh semut dari spesies lain untuk dijadikan sumber makanan mereka. Memiliki rahang yang lebih kuat dan juga sengat, ia dengan mudah akan membunuh semut-semut lain dan membawanya pulang ke sarang sebagai sumber makanan semut-semut yang masih kecil.

Setiap koloni semut mempunyai keunikan masing-masing.

Manakala semut ‘askar’ (army) pula bukan sahaja agresif, malah mempunyai ahli kumpulan yang ramai untuk memakan hampir apa sahaja yang dilewatinya. Bergerak dalam satu kumpulan yang besar semut-semut ini akan bergerak samada di laluan bawah tanah atau kawasan-kawasan teduh, kerana ia tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari (yang boleh membunuhnya).

Semut-semut ‘askar’ akan berada dalam satu kumpulan yang sentiasa bergerak dan tidak mempunyai sarang yang tetap. Ia akan berkumpul membentuk satu kumpulan yang besar bagi melindungi telur, larva dan juga semut-semut yang masih kecil. Ia merupakan satu mimpi ngeri bagi serangga-serangga kecil dan juga haiwan-haiwan kecil lain di hutan.

Walau apapun corak kehidupan koloni semut ini, apa yang menjadi tujuan utama mereka adalah untuk memastikan koloni mereka terus bertahan. Maka dengan itu setiap kumpulan perlu memastikan ia memiliki ratu yang mampu menghasilkan telur yang cukup untuk menghasilkan semut-semut pekerja yang baru dan kitaran ini akan berterusan.


Semut-semut juga terus menjadi bahan penting para pengkaji dalam mengenal pasti corak kehidupan mereka yang unik. Antara penulisan yang menarik untuk anda baca daripada penulis terkenal Harun Yahya mengenai semut ini adalah ‘The Miracle In The Ant’ – yang memaparkan banyak ciri-ciri menarik tentang semut. Maka dari situ anda boleh melihat keunikan kehidupan semut secara lebih terperinci.





Free Download



Rabu, 25 November 2015

Keunikan Hidupan Geoduck

Geoduck, makanan ekslusif.

Kerang unik yang kelihatan pelik ini merupakan antara makanan yang mendapat tempat tertinggi di restoran-restoran Asia terutama di China, Jepun dan di mana sahaja terdapat ramai masyarakat Cina termasuklah di Malaysia. Hidupan bercengkerang ini, kelihatan jauh berbeza kerana tidak seperti kerang-kerangan yang lain kerana sebahagian besar isinya berada di luar. Mengapa ia pelik?

Sejenis kerang yang lebih dikenali sebagai Geoduck semakin dikenali di seluruh dunia, walhal spesis yang dikenali tersebut iaiut Pacific geoduck (Panopea generosa) merupakan sebahagian spesis yang terdapat di bahagian Barat Laut Pasifik. Berbeza dengan ejaannya, sebutan yang tepat dengan namanya adalah "gooey-duck". Nama istimewanya ini adalah berasal dari nama yang diberikan kepadanya daripada masyarakat asli America dengan gelaran ‘Lushootseed’ bermaksud ‘menggali dalam’. Masyarakat Cina pula memanggilnya ‘Elephant-trunk clam’ sementara itu di Jepun ia dikenali sebagai ‘mirugai’.

Geoduck yang telah dewasa - dituai.

Anak-anak geoduck yang akan dibesarkan.

Pemindahan geoduck ke tapak pembesaran.

Oleh kerana ciri uniknya inilah yang memberikan ‘goeduck’ fizikal yang jauh berbeza dengan kerang-kerangan yang lain. Ini kerana ia menggali sehinga kedalaman 3 kaki atau 1 meter ke dalam tanah. Untuk membolehkan ia mendapat bekalan makanan dan udara yang cukup, tiub panjang perlu dihukurkan ke permukaan tanah yang memberikan ia rupa bagaikan belalai yang panjang. Pada masa yang sama tidak seperti kerangan yang lain, ia tidak perlu risau mempunyai permukaan terdedah, kerana sentiasa diselaputi oleh pasir/lumpur.

Geoduck menjadi buruan sejak sekian lama, dan permintaannya juga semakin meningkat di seluruh dunia. Namun ia bukan merupakan titik akhir kepada pengeluaran geoduck ini. Kemajuan bidang perikanan (aquaculture), membolehkan geoduck diternak dengan lebih sistematik dan membolehkan orang ramai mendapat bekalan yang semakin meningkat. Namun penangkapan geoduck dari sumber liar telahpun diharamkan bagi mengelakkan ianya terus pupus.

Geoduck dipamerkan di restoran.

Hidangan berasaskan geoduck.

Melihat kepada usaha penternakan geoduck ini, kita perlulah mencontohi teknik pemeliharaan yang lebih baik. Walaupun negara kita juga terdpat usaha penternakan seperti tiram, kupang, kima dan sebagainya. Namun usaha berterusan untuk meningkatkan lagi pengeluaran, kualiti ternakan dan alam sekitar perlu diteruskan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Adakah anda ingin mencuba geoduck!..



Free Download



Selasa, 24 November 2015

Lintah Laut Hijau Pencuri Paling Licik

Green slug - Elysia chlorotica berwarna hijau seperti alga.

Lintah laut yang dikenali sebagai ‘green sea slug’ (Elysia chlorotica) yang mempunyai kebolehan paling unik dalam dunia hidupan – iaitu mencuri klorofil dari alga untuk kepetingannya. Kebolehan ini dinamakan ‘kleptoplasty’ dari perkataan Greek; Kleptes (κλέπτης) yang bermaksud, pencuri. Ia antara kebolehan yang amat mengagumkan dan memberi faedah yang banyak kepada lintah laut ini.

Dengan rupa bentuk yang leper dan tidak mempunyai cengkerang, lintah laut ini hanya berukuran di antara 20 mm hingga 30 mm – namun boleh mencecah sehingga 60 mm panjang. Ia selalu dijumpai di kawasan perairan cetek dengan yang terdapat rumpai yang menjadi sumber makanannya. Ia hanya mendiami air dengan kedalaman 0 – 0.5 meter sahaja. Manakala taburannya pula adalah di sekitar pantai perairan Timur United States dan Texas. Selain itu ia juga terdapat sehingga ke Utara di Nova Scotia dan Canada.

Elysia pusilla - memakan alga untuk mengumpulkan kloroplast.

Kloroplast yang terkumpul di dalam sel-sel Green slug.
Gambaran lebih dekat kloroplast - C, nukleus - N.

Apa yang unik, lintah laut ini bukan sahaja menjadikan alga sebagai makananya, tetapi menjadikan kolorofil yang terdapat di dalam alga sebagai sebahagian daripada badannya pula. Ini bermakna klorofil tersebut terkandung di dalam sel-selnya sendiri. Ini bukan sahaja menjadikan ia berwarna hijau, malah klorofil tersebut turut menggunakan tenaga matahari dalam menjalankan fotosintesis sama seperti tumbuh-tumbuhan. Jadi, ia adalah benar-benar tumbuhan hidup!

Kebolehan lintah ini merupakan satu keunikan yang amat istimewa. Lintah-lintah yang masih kecil akan mula menghisap kandungan sel alga dan membuang segala isi kandungan lainya selain kloroplas (chloroplasts). Kloroplast ini kemudiannya akan menjalin rangkaian dengan sistem penghadaman lintah laut tersebut dengan proses yang dikenali sebagai ‘phagocytosis’. Melalui proses inilah fotosistesis oleh klorofil dapat digunakan oleh lintah-lintah ini. Ia juga adakalanya mendapat jolokan  "solar-powered sea slugs".

Ia merupakan satu keajaiban yang amat berguna kepada alam. Kemungkinan manusia akan mencipta haiwan atau manusia sendiri akan menggunakan klorofil untuk tujuan menjana tenaga. Walaupun ia kelihatan agak ganjil sekiranya ia berhasil, ia adalah jauh lebih mudah berbanding mendapatkan makanan dari sumber yang mungkin lebih sukar di masa akan datang.




Free Download



Ahad, 22 November 2015

Keunikan Hidupan Seni Yang Dipanggil Diatom

Sejumlah diatom yang merupakan hidupan seni.

Diatom merupakan hidupan seni yang unik bukan sahaja kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun ia terdapat dimana sahaja kawasan berair (lembapan). Ia adalah sebahagian besar daripada kumpulan alga dan juga merupakan kumpulan besar daripada ‘phytoplankton’. Ia merupakan hidupan satu sel (unicellular), walaupun boleh membentuk kumpulan dalam bentuk filamen atau riben. Salah satu fungsi terbesar diatom adalah sebagai sumber makanan kepada hidupan akuatik samada air tawar mahupun air masin. Ia memiliki ciri unik iaitu diselaputi cengkerang daripada silica  (hydrated silicon dioxide) yang dipanggil “frustule”. Cengkerangnya inilah yang memberikan ianya bentuk tersendiri dan membezakan jenisnya yang berbeza mengikut jenis, kawasan, mahupun zaman.

Terdapat lebih daripada 200 genus diatom yang hidup, dan dianggarkan daripada itu terdapat lebih daripada 100,000 spesis. Ini kerana diatom bukan sahaja terdapat di dalam air tawar atau air masih, malah juga di dalam tanah dan juga permukaan lembab. Kebanyakan diatom melakukan proses fotosistesis untuk menghasilkan makanan – jadi ia berada di dalam linkungan kawasan yang terdapat cahaya matahari. Namun terdapat juga diatom dari kumpulan ‘heterotrophs’, yang mendapat nutrient daripada bahan organik lain (seperti cendawan). Walaupun kebanyakannya bersaiz amat kecil iaitu daripada 20 – 200 microns, terdapat juga sesetengah diatom yang mencapai saiz sehingga 2 millimeters.

Gambar yang menunjukkan perbejaan 'frustule' yang berbeza.

Perbezaan saiz-saiz diatom.

Rupebentuk diatom (klik gambar untuk saiz besar).

Kajian mengenai diatom penting kerana ia banyak memberikan maklumat mengenai persekitaran di mana ia dijumpai. Sebagai contoh, di persekitaran sungai yang tercemar hanya terdapat beberapa jenis diatom boleh dijumpai. Manakala di kawasan sungai dengan persekitaran yang bersih, terdapat variasi diatom yang pelbagai. Jadi kewujudan diatom boleh digunakan untuk mengesan kualiti sesuatu kawasan tadahan air, sungai, tasik dan sebagainya.

Malah diatom pernah digunakan di dalam kajian forensik. Ini kerana diatom yang didapati di sesuatu kawasan kebiasaannya amat unik bagi kawasan tersebut. Kes seumpama ini pernah dilaporkan di U.K. yang melibatkan kes pembunuhan. Hubungan ini dapat dikaitkan di antara diatom yang terdapat pada mangsa dan juga yang didapati daripada sumber bahan bukti (diatom yang terlekat pada pakaian) menyamai dengan diatom yang terdapat di tempat kejadian.

Kepelbagaian rupa bentuk diatom.

Gambar ini hanyalah seluas 1.13 X 0.69 mm (klik untuk gambar yang lebih besar).

Malah diatom juga digunakan dalam bidang archaeology kerana hanya terdapat beberapa spesis yang dikenali bagi beberapa zaman-zaman tertentu. Melalui diatom yang ditemui daripada spesimen yang diperolehi, usia sebenar spesimen dapat dianggarkan (selain daripada teknik pentarikhan karbon). Kewujudan diatom yang dianggarkan telah jutaan tahun ini, banyak membantu para saintis di dalam banyak lapangan selain menjadi sumber makanan hidupan akuatik.

Walaupun bersaiz amat halus, kepentingan diatom tidak dapat dinafikan. Begitulah istimewanya hidupan seni ini yang mempunyai pelbagai kegunaannya kepada hidupan lain begitu juga dengan manusia sendiri. Mungkin selama ini kita hanya mengetahui bahawa ada hidupan seni yang halus dipanggil plankton, namun tidak mengenalinya dengan lebih dekat. Namun di sini dapat kita lihat, bagi diatom biarpun kecil, namun amat berguna.


Rujukan:








Free Download



Sabtu, 21 November 2015

Onagadori Ayam Dengan Ekor Yang Menakjubkan

Sukar dipercayai, ekor ayam 'Onagadori' boleh mencapai panjang melebihi 6 meter.

Onagadori merupakan sejenis ayam yang mempunyai ekor yang amat panjang berasal dari Wilayah Kōchi, Japan. Ayam ini secara tidak langsung menjadi satu tarikan istimewa bagi wilayah tersebut kerana ia amat berbeza daripada ayam-ayam yang lain. Walaupun terdapat banyak jenis ayam-ayam yang berbeza daripada yang biasa kita temui, tetapi onagadori merupakan memiliki satu ciri yang paling dibanggai pada ayam iaitu – bulu ekornya yang panjang.

Ayam ini dikatakan merupakan sebahagian daripada kacukan spesis baka ayam Shokoku, juga merupakan antara ayam yang mempunyai ekor yang panjang pada pertengahan Era Edo (1600 – 1868). Menurut sumber lisan, dikatakan seorang pembesar daerah (Shogun) Yamanouchi, dari Wilayah Kōchi di Selatan Semenanjung Shihoku yang mempunyai topi (helmet) dan lembing yang dihiasi dengan bulu ayam yang panjang untuk hari-hari kebesaran untuk memuliakan Maharaja Tenno. Para pekebun diraja dan juga para petani yang memelihara dan membawakan bulu-bulu ayam utuk hiasan ini akan dikecualikan daripada cukai. Maka aripada inilah iaitu sekitar 1655, para pembiak ayam ini dapat menghasilkan ayam dengan bulu-bulu yang lebih panjang. Topi (helmet) dan lembing yang dihiasi dengan bulu ayam ini masih boleh dilihat di Muzium di Jepun.

Ayam 'Onagadori' putih ini bagaikan haiwan fantasi.

Mungkin kita pernah melihat lukisan seperi ini.

Seorang pembiak ayam onagadori yang paling terkenal di Wilayah Kōchi, ialah Tekeichi Riuemon dari Shinohara yang menghasilkan baka ayam dengan bulu ekor yang paling panjang. Melalui kejayaan ini maka Onagadori pada ketika itu diberikan gelaran “Shinoharato”. Kemudian ia dikenali pula sebagai “Nagaodori”, dan kemudiannya “Tosa”, merujuk kepada daerah dimana ia dibiak. Sehingga hari ini, sebuah tugu peringatan didirikan di Bandar Kōchi, untuk memperingati jasa Takeichi.

Perkembangan pembiakan baka Onagadori terus berkembang mengikut peredaran masa dan ia dicatatkan oleh seorang botanis Jepun iaitu Koyu Nishimura di dalam bukunya “Sketches and Thoughts”. Walaubagaimanapun, kehebatan baka ini dikatakan mencapai tahap yang lebih baik menjelang Era Taisho (1912 –1926), di mana panjang ekor ayam boleh mencecah sehingga 6 meter dan lebih dengan variasi warna yang juga menarik.

Ia merupakan sesuatu yang menarik dalam dunia pembakaan binatang peliharaan dan perhiasan memandangkan pada masa tersebut kaedah kacukan hanya dilakukan secara tradisional. Tidak seperti hari ini, dimana teknik pemindahan genes mungkin dapat menghasilkan hasil yang lebih cepat dan mudah. Maka tidak hairanlah sekiranya individu seperti Takeichi, begitu dihormati dengan hasil kerja beliau.

Ayam 'Onagadori', suatu masa dahulu.

Antara baka yang menarik.

Bagi menghasilkan ayam yang memiliki bulu panjang ini, bukan sahaja bakanya penting, malah penjagaannya juga amat kritikal. Bulu ayam perlu sentiasa dijaga dengan rapi bukan sehari dua, malah disepanjang tempoh pembesarannya yang memakan masa beberapa tahun. Namun begitu melihat kepada hasil yang dicapai, jelas menunjukkan ia suatu keunikan yang menakjubkan.


Walaupun terdapat beberapa baka ayam lagi yang mempunyai ekor panjang seperi Phoenix dan Shohoku, namun ia tidak boleh mencapai panjang ekor seperti yang dimiliki oleh Onagadori. Jadi disini, apa yang kita pelajari adalah, penghasilan baka sebegini tidak mustahil namun memakan masa yang panjang dan penjagaan yang rapi. Mungkin kita tidak pernah menyangka ayam boleh mempunyai ekor sepanjang itu!




Free Download



Arkib Blog