Khamis, 24 Disember 2015

Peralatan Untuk Melukis Manga

'Nib pen' yang menjadi peralatan klasik dalam melukis manga.

Memandangkan kemahiran melukis manga mempunyai potensi yang tinggi bukan sahaja untuk dijadikan sebagai kerjaya, malah ia juga sesuai untuk mengasah bakat kreativiti seseorang, maka kita akan terus melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia manga ini dari semasa ke semasa. Hari ini kita akan lihat pula peralatan-peralatan yang diperlukan dalam menyediakan sesebuah lukisan manga.

Perlu diingat bagi peralatan dalam melukis manga, terdapat beberapa peralatan yang anda perlukan sebagai peralatan asas. Manakala yang lainnya pula adalah peralatan tambahan yang hanya bertindak sebagai penyokong (memudahkan kerja) atau aksesori (mencantikkan lagi) hasil karya manga anda. Perkembangan industri ini, sudah semestinya menambahkan lagi pelbagai bahan-bahan sampingan berbanding bahan khusus yang terdiri daripada beberapa peralatan asas sahaja pada mulanya.

Peralatan Asas Penting

Pensil


Pensil yang sesuai amat penting untuk lakaran yang baik.


Pensil diperlukan untuk tujuan asas lakaran. Jadi ia merupakan peralatan utama dalam menghasilkan manga. Pensil ini perlulah yang hanya menghasilkan lakaran asas seperti 2H sehingga ke HB namun ia juga bergantung dengan kesesuaian seseorang pelukis itu sendiri.

Pensil yang digunakan mungkin terdiri daripada pensil biasa ataupun pensil mekanikal yang tidak perlu diasah berulang-ulang. Ini dapat memudahkan para pelukis dengan hanya menukar ‘lead’ nya mengikut keperluan. Lead mungkin akan terdiri daripada kelas ‘B’ untuk mata yang lebih lembut dan gelap, manakala ‘H’ untuk mata yang agak keras dan garisan yang lebih pudar.

Apapun jenis pensil yang digunakan, untuk lukisan manga kebiasaannya pensil hanya digunakan dalam menghasilkan garisan panduan kerana hasil akhir lukisan akan menggunakan pen dakwat bagi menghasilkan garisan yang lebih jelas dan hitam.

Kertas 8.5"x11"

Bagi pelukis manga, anda perlulah memiliki bekalan kertas putih yang cukup untuk tujuan penghasilan manga anda dan juga untuk tujuan latihan lakaran karektor dan sebagainya. Kertas yang diperlukan kebiasaannya dari kertas yang bersaiz 8.5"x11" – memandangkan ia saiz yang biasa digunakan untuk komik standard.

Terdapat pelbagai jenis kertas yang berada di pasaran. Bagi seseorang pelukis manga pula anda perlu tahu membezakan jenis-jenis kertas ini kerana ia boleh membantu anda mengenal kualiti kertas dan kegunaannya dengan baik. Sebagai contoh anda mungkin boleh menggunakan kertas 70 gsm untuk tujuan lakaran biasa. Manakala untuk tujuan penghasilan hasil akhir kertas yang perlu digunakan adalah dari jenis 80 gsm dan ke atas.

Pembaris 12”

Pembaris adalah antara peralatan yang penting dalam manga untuk membantu anda membuat lakaran-lakaran garisan panduan. Pembaris panjang 12” (30 cm) dapat memudahkan anda melukis garisan panduan untuk keseluruhan panjang kertas yang digunakan. Ini dapat menjimatkan masa berbanding sekiranya anda menggunakan pembaris biasa 6” (15 cm).

Ruang Kerja


Ruang kerja yang selesa penting untuk menghasilkan kerja yang baik.
Meja kerja idaman para pelukis manga.


Ruang kerja mungkin merangkumi meja khas untuk anda melakukan kerja-kerja melukis manga. Ruang kerja penting bagi memastikan anda dapat melukis dengan selesa dengan peralatan yang lengkap tanpa gangguan. Anda mungkin tidak mahu peralatan anda diganggu sehingga menyebabkan kerja-kerja anda terbengkalai. Adalah lebih baik sekiranya anda memiliki meja lukisan atau sekurangnya papan lukisan khusus untuk itu.

Pemadam

Pemadam juga merupakan salah satu peralatan penting dalam melukis manga. Kerja-kerja melukis sentiasa memerlukan anda membuat perubahan kepada lakaran asal yang dibuat menggunakan pensil. Jadi pemadam yang sesuai amat penting bagi memastikan hasil kerja yang bersih lagi kemas. Ciri-ciri pemadam yang baik adalah, dapat membersihkan kesan yang ingin dipadamkan, tidak meninggalkan kesan pada kertas dan tidak pula merosakkan kertas.

Peralatan Manga: Permulaan (Asas)

Pen Dakwat


Pen dakwat dalam pelbagai saiz.

Pen Dakwat inilah yang membezakan antara komik dan lukisan biasa. Seterusnya terdapat perbezaan teknik mendakwat (inking) bagi teknik manga Jepun dan juga komik US misalnya. Namun begitu ia tetap memerlukan pen dakwat untuk memastikan lukisan komik dapat disiapkan. Pen Dakwat ini terdiri daripada pelbagai saiz daripada: 0.1, 0.5, 1.0, 2.0, dan sebagainya. Anda tidak perlu memiliki kesemua saiz pen tersebut, tetapi setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa perbezaan saiz mata pen untuk memudahkan kerja mendakwat.

Template


Template untuk mempercepatkan proses melakar/melukis.

Template adalah peralatan yang mempunyai tebukan bentuk-bentuk dengan pelbagai rupa dan saiz. Walaupun bentuk-bentuk ini boleh dilukis sendiri, namun penggunaan template dapat menjimatkan masa dan juga menghasilkan lukisan yang lebih bersih/kemas. Terdapat juga template untuk melukis lengkuk, huruf dan nombor.

Kompas/jangka sudut

Penggunaan kompas dan jangka sudut ini juga penting bagi seorang pelukis manga. Untuk memastikan ia dapat digunakan dengan baik, anda perlulah mempunyai kemahiran menggunakannya dalam lukisan. Terdapat pelbagai jenis jangka sudut, dan ianya berguna mengikut fungsi-fungsinya tertentu.

Pembaris Lengkung

Pembaris lengkung juga adalah peralatan tambahan yang dapat menjimatkan masa. Walaupun lengkung biasanya dilukis menggunakan template lengkung atau ‘free hand’, penggunaan pembaris lengkung dapat menghasilkan garisan yang lebih kemas dengan pantas. Jadi ia merupakan peralatan tambahan yang dapat membantu.

T-Square


T-Square boleh menjadi peralatan yang menjimatkan masa.

Pembaris T-Square, hanya berfungsi dengan baik sekiranya anda menggunakan papan lukisan atau meja lukisan. Namun penggunaan peralatan ini juga dapat  menjimatkan masa apabila dipadankan penggunaannya dengan set-square (iaitu dua lagi pembaris segitiga yang bersudut 90 darjah). Penggunaan peralatan ini juga memerlukan kemahiran khusus. Jadi sekiranya anda baru bermula, peralatan ini mungkin merupakan peralatan tambahan sahaja.

Peralatan Manga: Advanced

Dakwat


Dakwat yang digunakan untuk melukis manga.

Dakwat diperlukan sekiranya anda memilih untuk melukis manga menggunakan pen lukisan ‘nib’. Terdapat pelbagai jenis dakwat dan jenis yang terbaik adalah dari jenis kalis air (waterproof) dan juga tahan pudar (fadeproof) yang dapat memastikan kualiti lukisan anda tahan untuk jangka masa yang lebih lama. Sebagai permulaan, anda bolehlah menggunakan dakwat dalam botol kecil untuk mengenal pasti dakwat yang sesuai.

Pen Dakwat Nib


Mata pen 'nib' dalam pelbagai bentuk dan saiz.


Ia adalah jenis pen dakwat klasik yang digunakan untuk melukis komik dan kaligrafi. Pen-pen ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan jenis. Jadi anda juga perlu mengenali pen ‘nib’ yang sesuai untuk digunakan. Salah satu kelemahan menggunakan pen ini adalah ia perlu sentiasa dicelup ke dalam dakwat. Bagi yang kurang mahir, ia mungkin boleh menyebabkan hasil yang kurang kemas.

Cecair Pemadam (White Out)

Ia didatangkan dalam bentuk cecair di dalam botol atau pen. Bagi anda yang menggunakan dakwat, cecair pemadam ini adalah penting untuk membuat pembetulan pada kesilapan-kesilapan kecil. Penggunaan berlebihan mungkin mengakibatkan hasil lukisan anda kelihatan comot/buruk.

Manuscript Paper

Kertas ini digunakan untuk memudahkan anda menghantar kerja-kerja komik anda kepada penerbit. Jadi sebab itulah ia berada dalam kategori peralatan advance. Namun begitu sebelum anda menggunakan mana-mana ‘manuscript paper’ anda perlulah terlebih dahulu memastikan spesifikasi yang diperlukan oleh penerbit tertentu. Sebagai permulaan, kertas biasa juga adalah memadai.

Tones


Penggunaan 'tones' dalam komik/manga.

Tones, banyak digunakan dalam manga-manga klasik hitam-putih untuk menimbulkan kesan yang lebih menarik. Ia mungkin berbentuk garisan, titik-titik, corak dan sebagainya. Penggunaan tones mungkin akan memakan belanja yang agak mahal. Kebiasaannya pelukis komik mempunyai cara tersendiri menghasilkan tones dengan kaedah yang lebih murah.

Papan Pemotong

Papan pemotong dapat mengelakkan kerosakan pada meja anda sekiranya anda menggunakan ‘tones’ di mana anda biasanya perlu memotong ‘tones’ mengikut rupa bentuk yang diperlukan. Papan pemotong yang sesuai dapat memastikan ruang kerja yang efisyen dan kerja-kerja anda dapat dihasilkan dengan lebih pantas.

Pisau Pemotong

Anda memerlukan pisau pemotong untuk kerja-kerja memotong. Pisau pemotong kebiasaannya amat tajam. Jadi anda perlu berhati-hati dan memastikan ia berada dalam keadaan yang baik untuk memastikan hasil pemotongan adalah baik. Selain itu anda juga selamat sewaktu mengendalikannya.

Paper Cement


Paper Cement untuk melekatkan tones pada lukisan.

Paper cement bertindak seperti gam untuk melekatkan ‘tones’ kepada tempatnya. Ia perlu dilakukan dengan teliti kerana ia akan melekat dengan kuat. Jadi sekiranya berlaku kesilapan, adalah agak sukar untuk menanggalkannya semula.

Tersebut adalah peralatan-peratalan asas untuk anda menghasilkan manga. Walaupun terdapat peralatan yang tergolong di dalam kriteria “advanced”, di sini hanyalah keperluan asas untuk menghasilkan manga secara asas sahaja. Peralatan lengkap penghasilan manga merangkumi media yang lebih luas yang akan dibentangkan pula dalam artikel yang lain. Teknik penghasilan manga moden adalah merangkumi bahan media bewarna dan juga melibatkan perisian komputer.



Free Download



Rabu, 23 Disember 2015

Ikan Laut Dalam Makan Ikan Yang Jauh Lebih Besar

Ikan Black swallower dengan makanan di dalam perutnya.

Black swallower, (Chiasmodon niger) merupakan ikan spesis laut dalam dari familyChiasmodontidae’ yang terkenal dengan kelebihan memakan mangsa yang jauh lebih besar darinya sendiri. Malah dengan kemampuannya ini ia juga adakalanya digelar sebagai "great swallower".

Ia mempunyai taburan di sekitar perairan tropika dan sub-tropika namun pada kedalaman yang dikenali sebagai zon ‘mesopelagic’ dan juga ‘bathypelagic’ iaitu kedalaman pada 700-2,745 m (2,297–9,006 kaki). Maka sebab itulah cara hidup ikan ini sukar dikenalpasti memandangkan agak sukar untuk membuat pengambaran tentang kehidupannya pada kedalaman tersebut.

Ikan unik ini mempunyai saiz yang agak kecil dengan ikan dewasa hanya mencapai saiz sehingga  25 cm (9.8 in). Namun begitu salah satu keistimewaannya adalah ia mampu menelan mangsa sehingga lebih dua kali ganda darinya dan berat sehingga 10 kali ganda. Kelebihan rahang yang mampu terbuka dengan besar dan perut yang elastik membolehkan ia menelan makanan yang bersaiz besar tersebut.


Specimen yang ditemui.

Black swallower.

Seperti juga ikan-ikan laut dalam yang lain, ia mempunyai rupa bentuk yang agak unik. Mempunyai kulit tanpa sisik dan bewarna coklat gelap. Kepalanya agak panjang dengan muncung yang tumpul. Memiliki mata yang sederhana dan mulut yang besar. Rahang bawahnya adalah jauh lebih besar berbanding rahang atas dan kedua-dua rahang ini mengandungi gigi yang tajam. Tiga gigi utama pada setiap rahang ini adalah besar dan membentuk taring.

Walaupun mempunai gigi yang tajam, ikan  Black swallower memakan makanannya yang terdiri daripada ikan-ikan bertulang secara penuh (tanpa mengunyahnya). Mengikut andaian oleh Theodore Gill ikan ini memakan mangsanya dari ekor sebelum menelannya dengan bergulung di dalam perutnya (seperti yang disaksikan dalam gambar).

Ikan ini adakalanya menelan ikan yang jauh terlalu besar dan tidak dapat menghadamkannya sebelum ia mula membusuk. Ini mengakibatnya terhasilnya gas yang menyebabkan ia dibawa naik ke permukaan laut dan mati. Kebanyakan specimen yang ditemui adalah disebabkan kejadian seperti ini. Pada 2007, ikan black swallower yang berukuran 19 cm (7.5 in) telah ditemuni mati di Grand Cayman. Di dalam perutnya terdapat ikan snake mackerel (Gempylus serpens) 86 cm (34 in) panjang iaitu empat setengah kali ganda daripada panjangnya sendiri.


Makanan yang terlalu besar juga menjadi punca ia mati.

Bagaimana Black swallower memakan makanan bersaiz besar.

Keunikan ini dikatakan membantu ikan-ikan laut dalam untuk menruskan kehidupannya di mana, pada kedalaman tersebut, sumber makanan adalah sukar. Melalui kebolehannya ini, ia boleh bertahan untuk satu tempoh yang agak lama sebelum menemui sumber makanan yang lain.


Ia merupakan salah satu daripada banyak lagi hidupan laut dalam yang lain seperti flashlight fish, cookiecutter shark, bristlemouths, anglerfish, viperfish, dan beberapa spesis eelpout. Malah anda juga mungkin pernah terbaca mengenai spesis sotong laut dalam yang dikenali sebagai flapjack yang amat unik. Laut dalam merupakan satu tempat yang sukar untuk didiami oleh hidupan biasa, jadi hidupan di sini jauh berbeza dengan hidupan yang biasanya mendiami lautan yang cetek. Menakjubkan!






Free Download



Walaupun Tidak Boleh Terbang, Kasawari…

Kasawari mempunyai warna yang amat menarik dan terang.

Kasawari atau ‘cassowaries’ merupakan burung yang tidak boleh terbang sama juga dengan beberapa jenis burung lain (bersaiz besar) seperti burung unta (ostrich) dan emu. Walaupun dari segi ketinggian ia merupakan ketiga tertinggi namun dari segi berat ia adalah kedua terberat selepas ostrich. Burung dari genus Casuarius ini merupakan hidupan asal dari hutan tropika di New Guinea dan kepulauan berhampiran serta bahagia Timur Laut Australia.

Burung kasawari mempunyai rupa bentuk yang unik dimana burung jantan dan betina dilengkapi dengan ‘casque’ yang membentuk seperti tanduk. Manakala badannya yang panjang pula memerlukan kaki yang bersaiz besar dan kuat untuk menyokongnya. Ia berwarna biru terang dan biru yang lebih muda di bahagian kepalanya. Ditambah pula dengan bahagian yang berwarna merah, burung ini mempunyai kombinasi warna yang amat menarik apabila dilihat.

Antara spesies kasawari dari jarak dekat.


Burung yang amat terkenal dengan kemampuannya menyerang manusia.

Walaupun burung ini tidak boleh terbang, ia amat ditakuti oleh manusia sekiranya tidak berhati-hati. Ini kerana burung ini terkenal dengan sikapnya yang suka menyerang dan boleh menyebabkan maut. Jadi sekiranya anda menyaksikan burung ini di dalam kurungan, elakkan daripada menyebabkan ianya terperanjat (atau menyebabkan ia kurang selesa). Manakala sekiranya berhadapan dengan burung ini di kawasan liar pula, anda perlulah berhati-hati kerana ia boleh mengejar dengan pantas sehingga  kelajuan 50 km/j (31 mph) di dalam kawasan hutan.

Burung kasawari diselaputi dengan bulu pelepah yang panjang yang kelihatan seperti bulu-bulu yang kasar. Bagi ‘southern cassowaries’ dewasa, saiznya boleh mencapai sehingga 1.5 to 1.8 meter (4.9–5.9 kaki) tinggi, manakala burung betina boleh mencecah sehingga 2 meter (6.6 kaki) dengan berat sehingga 58.5 kilogram (129 lb).

Kasawari jantan dengan anak-anaknya.


Telur burung kasawari berwarna hijau.


Anak-anak burung yang masih kecil mempunyai bulu yang bercorak.

Kedua-dua burung jantan dan betina mempunyai topi di kepala yang dipanggil sebagai ‘casque’ sama juga seperti yang terdapat pada burung enggang (hornbill). Topi pada kepalanya ini adalah diperbuat daripada bahan yang seolah-olah seperti span yang diselaputi dengan keratin. Walaupun agak keras, ‘casque’ ini agak lembut di bahagian tengahnya. Tiada yang dapat memastikan kegunaan sebenar topinya ini, samada untuk tujuan perlindungan, peragaan atau mempunyai fungsinya yang lain.

Antara keunikan lain burung kasawari adalah, penjagaan telur burung dilakukan oleh burung jantan sedari mengeram sehinggalah setelah menetas. Tempoh pengeraman ini mengambil masa selama 60 hari. Setelah itu penjagaan anak-anaknya ini akan diteruskan oleh burung jantan sehingga 16 bulan, namun kebiasaannya adalah di antara 9 bulan hingga 10 bulan sahaja.

Terdapat 4 spesies burung kasawari di mana satu di antaranya telah pun pupus.

Southern cassowary atau ‘double-wattled cassowary’, Casuarius casuarius, terdapat di Selatan New Guinea, Timur Laut Australia dan di Aru Islands, kebanyakannya di kawasan-kawasan tanah rendah.

Dwarf cassowary atau ‘Bennett's cassowary’, Casuarius bennetti, boleh didapati di New Guinea, New Britain,  dan Yapen, terutamanya di kawasan tanah tinggi.

Northern cassowary atau ‘single-wattled cassowary’, Casuarius unappendiculatus, boleh didapati di Utara dan Barat New Guinea dan Yapen, terutamanya di kawasan tanah rendah.

Casuarius lydekki, iaitu spesis kasawari yang telahpun pupus.

Burung kasawari merupakan burung yang amat unik sama juga dengan beberapa spesies burung lain yang tidak boleh terbang seperti emu, rheas, ostrich, kiwi, dan yang telah pupus seperti moa dan elephant birds. Antara perbezaan ketara burung ini dengan spesies-spesies yang lain adalah ia tinggal di kawasan hutan berbanding dengan kawasan terbuka seperti ostrich, emu dan rhea.



Burung ini amat agresif apabila diganggu. Maka adalah lebih baik anda berhati-hati untuk mengelakkan provokasi ke atasnya. Ia bukan sahaja mempunyai tendangan kaki yang kuat, malah kuku kaki nya yang tajam dengan mudah boleh mengakibatkan kecederaan yang serius. Ia adalah antara burung yang terkenal yang boleh menyebabkan kematian manusia dan masyarakat asli di mana ia tinggal. Namun begitu ia tetap merupakan burung yang amat unik dan memiliki keistimewaan tersendiri.




Free Download



Selasa, 22 Disember 2015

Melancong ke Penjuru Angkasa

World View akan membawa pelancong ke penjuru angkasa.

Jauh perjalanan, luas pengalaman; mungkin itulah yang menyebabkan mengapa ramai yang sanggup melalui perbagai cabaran mengharungi halangan untuk menikmati pemandangan dan pengalaman yang masih belum dirasai di dalam hidup. Kini bidang pelancongan bukan sahaja meliputi tempat-tempat menarik di muka bumi, malah telah menjangkau ke angkasa.

Pelancongan angkasa bukanlah sesuatu perkara yang baru dan ia telah dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kos yang dibayar amatlah mahal iaitu antara $20 juta sehinggalah $40 juta seorang. Memandangkan masih terdapat permintaan untuk pelancongan angkasa ini, semakin banyak syarikat-syarikat yang bekerja keras dalam usaha untuk menyediakan peluang bagi orang ramai merasai pengalaman berada di penjuru angkasa.

Kapsul yang akan memuatkan pelancong didalamnya.

Persiapan sebelum menerbangkan belon ke angkasa.

Selain daripada penerbangan menggunakan kapal angkasa (seperti mana yang digunakan oleh angkasawan), syarikat persendirian seperti Virgin Galactic, yang mengguankan SpaceShipOne dalam menyediakan kemudahan ini. Namun begitu untuk satu lagi kaedah yang mungkin akan menjadi popular sedikit masa lagi adalah menggunakan belon.

Syarikat yang akan menawarkan kemudahan ini nanti antarnya adalah World View Enterprise yang merancang untuk memulakan perkhidmatan ini menjelang tahun 2017. Walaupun menggunakan kaedah ini pelancong akan hanya mencapai ketinggian 32 km daripada permukaan bumi berbanding angkasa yang berada 100 km dari permukaan bumi. Namun ia masih lagi merupakan satu pengalaman beharga di mana keadaan bumi yang melengkung dapat dilihat pada ketinggian ini.

Pemandangan belon World View pada ketinggian 32 km dari bumi.

Pemandangan menaiki belon World View.

Daripada ujian yang dijalankan.

Mungkin ada pembaca yang pernah terbaca mengenai ujian persiapan yang dilakukan oleh syarikat ini pada Jun 2015 yang lalu. Terjunan dari ketinggian yang sama juga pernah dilakukan oleh Felix Baumgartner di dalam acara ‘Jump From The Edge of Space’. Penerjunan itu bukanlah sekadar satu perkara yang akan dilakukan tanpa tujuan- di mana yang akhirnya akan menyumbang kepada satu lagi peluang eksplorasi baru.

Sama-sama kita nantikan peluang untuk melancong menggunakan belon yang unik ini yang akan dibuka untuk tempahan pada 2016 dengan tiket-tiket yang berharga jauh lebih murah iaitu USD 113,535 seorang. Sudi-sudikan!



Free Download



Arkib Blog