Sunday, October 12, 2014

Keunikan Sistem Penghadaman Haiwan Ruminan

Cow
Lembu merupakan haiwan ruminan yang paling mudah ditemui.

Sistem penghadaman merupakan sistem yang penting bagi hidupan samada bagi haiwan mahupun manusia. Apa yang membezakan sistem penghadaman haiwan ruminan adalah kemampuannya untuk memproses makanan yang tidak mampu dihadamkan oleh manusia dan masih memperolehi zat makanan daripadanya.

Haiwan ruminan mendapat panggilan namanya daripada perutnya yang dipanggil rumen. Rumen merupakan perut utama bagi haiwan-haiwan ruminan yang terdiri daripada haiwan pemakan tumbuh-tumbuhan 100% seperti lembu, kambing, kerbau, rusa, kijang dan sebagainya. Dilengkapi dengan sistem penghadaman yang sedemikian membolehkan haiwan ruminan seperti lembu mendapatkan khasiat dari bahan makanan yang tidak berkhasiat pada manusia seperti rumput, hampas soya, daun sawit yang terdiri daripada bahan-bahan kasar.

Apa yang menarik bagi membolehkan haiwan ruminan melakukan perkara seperti ini, perut haiwan ruminan mempunyai 4 bahagian utama yang membolehkan bahan makanan disediakan sebelum ianya sedia untuk melalui bahagian serapan zat makanan sebaik sahaja meninggalkan bahagian perutnya (untuk ke bahagian seterusnya yang dipanggil duodenum dan seterusnya bahagian usus). Bahagian-bahagian perut ini berbeza dari segi fizikal permukaannya yang membolehkan bahan makanan haiwan ruminan dicernakan dengan baik.

Bantuan Mikro-organisma

Bacteria in cow's rumen
Salah satu daripada jutaan bakteria di dalam 'rumen' lembu.

Tahukah anda proses penghadaman makanan haiwan ruminan banyak bergantung mikro-organisma yang berada di dalam perutnya? Sebenarnya selain daripada sistem perut haiwan tersebut, miro-organisma ini banyak membantu dalam menghuraikan bahan makanan bagi membolehkan zat-zat daripada bahan makanan tersebut diserap oleh haiwan ruminan. Jadi kemampuan haiwan ruminan menghadamkan makanan ini turut dipengaruhi oleh bakteria yang berkembang di dalam perutnya. Jadi sekiranya haiwan ruminan tersebut menukar jenis pemakanannya secara mendadak, ia boleh mengakibatkan ia mengalami kesukaran untuk menghadamkan bahan makanan tersebut.

Protozoa in cow's rumen
Salah satu daripada protozoa di dalam 'rumen' lembu.

Bukan itu sahaja, haiwan ruminan sendiri turut membantu bakteria-bakteria ini untuk berkembang dengan lebih baik dengan menyediakan bahan makanan yang sesuai selain terus mengunyah bahan makanan tersebut sehingga ribuan kali kunyahan bagi memastikan bakteria dapat menggunakannya untuk pertumbuhan.

Mikro-organisma yang berada di dalam perut haiwan ruminan terdiri daripada bakteria dan protozoa. Dianggarkan di dalam bahagian ‘rumen’ haiwan seperti lembu sahaja terdapat kira-kira setengah juta bakteria dan 50 billion protozoa. Bakteria dan protozoa inilah yang akan membantu proses penghuraian bahan makanan yang telah dikunyak oleh haiwan-haiwan tersebut. Mikro-organisma inilah yang akan membantu untuk menghadamkan cellulose, hemicellulose, kanji, gula, asid organis, protein atau lemak. Terdapat juga bakteria yang menghasilakn ammonia dan methane atau mensistesis vitamin.

Cow's Rumen
'Rumen', satu daripada empat bahagian di antara perut lembu.

Pemakanan haiwan ruminan perlu menitik beratkan pada mikro-organisma yang hidup di dalam perutnya berbanding makanan yang boleh dimakan. Ini kerana proses pemakanannya bergantung kepada mikro-organisma ini. Atau dengan perkataan lain, makanan sebenarnya adalah mikro-organisma tersebut seperti juga makanan ikan paus yang terdiri daripada hidupan-hidupan kecil yang dipanggil plankton, manakala seperti serangga yang membiakkan funggus untuk dijadikan makanan.


Kemampuan haiwan-haiwan ini dalam menjadikan tumbuh-tumbuhan kasar sebagai bahan makanan membolehkan banyak bahan buangan daripada hasil pertanian dijadikan sebagai sumber makanan bagi haiwan ternakan seperti kambing dan lembu. Ini membolehkan keseimbangan dalam sistem pertanian dan menjimatkan bahan buangan tersebut. Selain itu ia turut menjelaskan mengapa haiwan ruminan berupaya menjadikan bahan tumbuhan kasar sebagai makanan. Hubungan antara haiwan dan mikro-organisma juga menjelaskan betapa hidupan di dalam alam sentiasa bergantung antara satu sama lain untuk hidup dengan sempurna. 



Free Download



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...