Memaparkan catatan dengan label aktiviti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aktiviti. Papar semua catatan

Khamis, 31 Disember 2015

Kemahiran Asas Mengenal Awan

Awan memberikan banyak petunjuk berkenaan cuaca.

Awan merupakan petanda awal mengenai keadaan cuaca samada cerah, mendung, hujan, dan ribut yang akan berlaku. Mengenal pasti awan merupakan perkara yang paling asas dalam meteorology dan sebagai ‘survival skills’ yang perlu ada bagi setiap orang. Mengenal pasti awan bukanlah satu perkara yang sukar kerana hanya memerlukan sedikit penelitian.

Awan terbentuk daripada titisan-titisan wap air yang tersejat daripada permukaan bumi (laut, sungai, tasik, dan seluruh permukaan bumi). Wap air dibawa tinggi ke atas atmosfera disebabkan oleh beberapa faktor iaitu ‘convective’, ‘orographic’ dan juga ‘frontal lifting’. Ia adalah proses yang berlaku dalam skala yang amat besar – jadi anda perlu melihat semua faktor tersebut dengan lebih dekat untuk memahaminya dengan lebih lanjut.

Wap air yang terkandung di dalam udara memerlukan partikel yang bertindak sebagai ‘condensation nuclei ’yang boleh terdiri daripada habuk, dan partikel-partikel mikroskopik daripada garam ataupun kotoran. Apabila wap air ini mencapai ketepuan, awan akan terbentuk dan boleh dilihat. Semua awan terbentuk di dalam lapisan ‘troposphere’, iaitu lapisan yang paling bawah di dalam atmosfera bumi. Hanya sebahagian daripada wap air ini dikatakan melepasi sehingga ke lapisan stratosphere dan mesosfera yag adakalanya membentuk awan nipis sekiranya suhu berkeadaan sejuk.


Manusia memberikan nama-nama untuk jenis-jenis awan yang berlainan.

Bentuk awan 'lenticular' yang amat cantik

Pengkelasan awan dimulakan oleh Luke Howard, iaitu seorang ‘pharmacist’ dan merupakan ‘meteorologist’ amatur pada tahun 1803. Beliau menghasilkan buku yang bertajuk “The Modifications of Clouds”, menamakan beberapa jenis awan melalui pemerhatiannya. Pengkelasan dan ‘terms’ yang digunakan juga adalah dipersetujui oleh komuniti meteorologi yang digunakan sehingga hari ini.

Pengkelasan daripada Luke Horward ini kemudiannya dilengkapkan lagi oleh  World Meteorological Organization (WMO) yang kemudiannya membahagikan awan-awan tersebut kepada 10 kelas utama yang juga dipanggil ‘genera’. Pengkelasan utama awan-awan ini adalah mengikut ketinggian awan-awan tersebut boleh didapati iaitu:- cloud low (CL); awan rendah , cloud medium (CM); awan pertengahan  and cloud high (CH); awan tinggi.


Ketinggian Awan (ft)
Jenis Awan


High Clouds (CH) – awan tinggi



Biasanya berada pada ketinggian 20,000 kaki dan ke atas.
* Cirrus
* Cirrocumulus
* Cirrostratus


Medium Clouds (CM) – awan pertengahan



Kebiasaannya berada di antara ketinggian 6,500 dan 20,000 kaki.
* Altocumulus
* Altostratus
* Nimbostratus


Low Clouds (CL) – awan rendah



Kebiasaannya terdapat pada ketinggian 6,500 kaki dan ke bawah.
* Stratocumulus
* Stratus
* Cumulus
* Cumulonimbus

Sebahagian dari jenis awan cirrus - cirrus spissatus undulatus.

Contoh lain awan cirrus.

Secara ringkasnya nama-nama awan dikelaskan seperti beriut:

Stratus/strato – rata/berlapis dan lebih sekata

Cumuls/cumulo – berketul/membonjol, seperti bunga kobis

Cirrus/cirro – berada tinggi/nipis

Alto – aras pertengahan

Nimbus/nimbo – awan yang membawa hujan

Kehadiran awan boleh menandakan tentang keadaan cuaca yang akan berlaku. Namun kemahiran ini perlulah dipelajari dengan teliti untuk mendapatkan ketepatan yang lebih baik kerana ia bersifat ramalan seperti yang sering diperingatkan kepada kita iaitu “mendung tidak bererti akan hujan”.


Stratocumulus cumulogenitus.

Awan cumulonimbus yang mengandungi hujan.

Sekiranya anda berminat untuk mempellajari lebih mendalam mengenai awan anda bolehlah memuat turun panduan untuk mengenal awan ini dari Met Office, UK di sini. Di dalam panduan tersebut terdapat senarai awan-awan yang mudah dikesan dan mengenali sifat-sifanya degan lebih tepat.


Aktiviti mengenal awan adalah antara aktiviti yang menarik untuk dilakukan bersama rakan-rakan dan keluarga. Ia juga merupakan kemahiran asas bagi para nelayan, petani, peminat sukan aktiviti luar dan sebagainya.




Free Download



Jumaat, 25 September 2015

Rekaan Frontier Stove Memudahkan Aktiviti Kegiatan Luar

Frontier Plus - mudah digunakan untuk aktiviti luar.

Adakah anda meminati aktiviti kegiatan luar? Samada anda bersama keluarga, rakan-rakan ataupun bersama aktiviti berkumpulan, aktiviti perkhemahan atau perkelahan tentu akan lebih menarik dengan rekaan Frontier Stove & Frontier Plus.

Rekaan menarik dapur mudah alih Frontier ini amat mudah digunakan, malah ia juga boleh dipasang di dalam khemah (sekiranya khemah anda bersaiz besar). Terdapat aksesori yang membolehkan ia dipasang di dalam khemah dengan lubang untuk mengalirkan udara dan asap dari dapur ke luar khemah. Bagi khemah yang kecil pula, ianya bolehlah digunakan di luar khemah bagi memastikan api dapat dikawal dengan baik.

Pemasangan di dalam khemah mungkin lebih sesuai untuk aktiviti luar di kawasan beriklim sejuk. Ia juga perlu dilakukan dengan cermat, bagi mengelakkan sebarang kemalangan (seperti, meletakkan alas bagi mengelakkan sebarang bara yang terjatuh). Api juga perlulah dipastikan telah dipadamkan sebelum anda melelapkan mata.


Proses menebuk bumbung khemah.

Pemasangan serombong.

Proses akhir pemasangan.

Dapur ini amat mudah dipasang. Begitu juga aksesorinya untuk pemasangan di dalam khemah. Ia boleh digunakan untuk memasak dengan beberapa periuk di atas permukaannya yang rata. Anda juga boleh membuka permukaan rata tersebut sekiranya ingin membakar terus di atas api. Tetingkap kaca pula membolehkan anda memastikan api di dalamnya masih menyala atau sebaliknya.

Frontier Stove turut dilengkapi dengan aksesori pemanas air yang dilekatkan pada serombong asap. Dengan kaedah ini ia turut menggunakan haba yang keluar dari serombong tersebut untuk memanaskan air. Aksesori ini dilengkapi dengan kekunci untuk memastikan ia melekat dengan kemas pada serombong tersebut.

Suasana dalaman yang teratur.

Amat mudah untuk seisi keluarga.


Dengan peralan ini, ia tentu menjadikan aktiviti luar anda lebih mudah untuk diselenggarkan. Jadi anda boleh menumpukan kepada aktiviti lain iaitu menerokai persekitaran anda – tujuan mengapa anda melakukan aktiviti luar. Ia merupakan satu lagi rekaan menarik!




Rabu, 24 September 2014

Rekod Terbaru Penerbangan Kapal Terbang Kertas.

Paper plane's photo
Gambar yang diambil daripada kapal terbang kertas pada ketinggian 96,563 kaki.

Kapal terbang kertas biasanya hanyalah menjadi permainan kanak-kanak dan jarang sekali dimainkan oleh orang dewasa. Namun sejak akhir-akhir ini beberapa berita mengenai kapal terbang kertas ini menjadi hangat semula. Sebelum ini kapal terbang kertas pernah ditambah dengan kipas dan penerbangan yang dikawal menggunakan apps dicipta.

Namun kali ini usaha yang dilakukan agak jauh berbeza ianya adalah rekod penerbangan kapal terbang kertas yang paling tinggi. Tahukah anda dari mana kapal terbang kertas itu diterbangkan? Ianya adalah dari ketinggian 96,563 kaki atau 24,432 meter untuk menjadikannya sebagai pemegang rekod terbaru penerbangan kapal terbang kertas.

Propelled paper plane
Kapal terbang kertas yang dilengkapi kipas.

Rekod terbaru penerbangan ini dilakukan oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai US Fox Valley Composite Squadron, Illinois Wing, Civil Air Patrol yang melaporkan penerbangan tersebut dilakukan daripada Kankakee, Illinois dan mendarat sejauh 82 batu (132 km) di Barat Daya, Rochester, Indiana. Penerbangan tersebut memakan masa selama 2 jam 7 minit.

Kapal terbang kertas tersebut mengekalkan bentuk asal seperti kapal terbang kertas baisa. Ia direka menggunakan kertas keras dan berukuran 30 inci (76 cm) panjang dan 14.4 inci (36.8 cm) lebar. Memiliki berat 424 gram (15 oz.) ia dilengkapi dengan pengesan GPS, pengesan suhu, pengukur tekanan barometer, komputer penerbangan, bateri, panel solar dan video camera HD yang merakamkan penerbangan tersebut.

Paper plane
Kapal terbang kertas mempunyai bentuk seperti biasa.

Bagi melancarkan kapal terbang kertas pada ketinggian tersebut sebuah belon helium digunakan untuk membawa kapal terbang kertas tersebut pada ketinggian maksimanya. Kapal terbang kertas ini kemudiannya akan melepaskan ikatannya daripada belon apabila ia mencapai ketinggian di mana belon akan meletup. Manakala kapal terbang kertas tersebut memulakan penerbangan turun semula ke bumi.

Bagi rekod penerbangan kapal terbang kertas sebelum ini adalah dipegang oleh kumpulan dari Paris yang berpengkalan di UK yang menggunakan kapal terbang yang diberi nama Vulture 1. Rekod tersebut dilakukan pada Oktober 2010. Kumpulan itu dijangkakan akan berusaha untuk merampas semula kedudukan ini.

Plane's flight
Jarak penerbangan yang dilakukan.

Seperti yang pernah dilaporkan aktiviti pada ketinggian ini semakin kerap dilakukan, di mana sebelum ini belon diterbangkan pada ketinggian tersebut membawa kamera untuk merakamkan pemandangan bumi telah dilakukan. Ia diikuti dengan penerjunan oleh Felix Baumgartner dari ketinggian 39 km pada tahun 2012 dengan kelajuan penerjunan mencecah kelajuan sehingga 1,357.64 km/h.


Mungkin pada kita hanya beranggapan perkara ini hanyalah sekadar untuk tujuan publisiti sahaja, namun apa yang berlaku sebenarnya banyak data-data baru dikumpulkan dalam masa yang sama semasa melakukan aktiviti-aktiviti tersebut. Apa yang perlu kita pelajari dari sini adalah sikap untuk terus mencuba dan tidak menetapkan pula bidang atau kawasan yang boleh diteroka. Terlalu banyak perkara yang boleh diperhatikan dalam kehidupan.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Isnin, 2 Disember 2013

Aktiviti Menarik Musim Cuti Sekolah

Cuti sekolah masa sesuai aktiviti keluarga.

Cuti sekolah merupakan masa yang ditunggu-tunggu oleh semua murid-murid kerana merupakan masa untuk melapangkan fikiran. Tetapi jika masa yang terluang hanya diisi dengan menonton TV atau bermain video games tentu pengisian masa cuti sekolah ini tidak begitu mendatangkan faedah yang positif. Di sini mari kita perhatikan bagaimana kita boleh memanfaatkan masa yang ada bagi menjadikan setiap masa semasa cuti sekolah ini lebih bermanfaat.

Cuti sekolah memberikan kita peluang untuk mempelajari perkara-perkara yang tidak dapat dipelajari di sekolah. Banyak perkara yang boleh membantu kita mempertingkatkan kemahiran diri semasa cuti sekolah terutama dengan meluangkan masa melakukan aktiviti-aktiviti di luar rumah - kerana interaksi dengan alam sudah tentu membuka pemikiran kita terhadap alam yang luas. Semua ini akan memperkembangkan lagi keupayaan pemikiran kita dan perkembangan otak yang normal.

Daya Interaksi dan Perkembangan Otak

Pengalaman pertama memang menarik.

Interaksi dengan alam tidak boleh dilakukan di dalam kelas mahupun melalui peralatan elektronik. Ini kerana ransangan yang kita alami mengaktifkan keseluruhan deria yang terdapat pada tubuh. Semasa kita menyentuh cacing untuk memasang umpan misalnya, deria sentuhan akan mengenal pasti akan kelembutan badan cacing tersebut. Manakala deria bau akan memberitahu akan bau daripada tanah di mana cacing itu tinggal. Ya, ia mungkin mendatangkan rasa geli dan sebagainya. Tetapi ini adalah pengalaman di mana kita perlu alami sebelum dapat membuat keputusan yang tepat mengenai penilaian yang akan kita tentukan (samada geli atau sebaliknya).

Begitu juga bagi yang suka merentasi denai-denai di hutan seperti dalam aktiviti 'Jungle Tracking'. Walaupun ia kelihatan mudah, adakalanya kita perlu memikirkan di mana kaki kita berpijak. Musim hujan akan memburukkan lagi keadaan - kita perlu berhati-hati untuk mengelakkan daripada tergelincir. Ini memerlukan otak kita membuat penilaian tentang persekitaran dan bagaimana kita perlu bertindak. Ia merupakan satu proses yang tidak kita sedari. Namun otak akan terus bekerja supaya kita sentiasa berada di dalam keadaan yang selamat.

Bagaimanapun kemahiran otak ini perlu dilatih dengan pengalaman. Otak tidak mampu membuat keputusan tepat tanpa latihan. Bayangkan kali pertama kita memecahkan telur ayam. Ianya satu latihan penting untuk membantu otak membuat anggaran dan melatih tangan untuk membuat ketukan yang tepat pada cengkerang telur. Kita tidak perlu kuathir sekiranya tidak dapat melakukan proses pertama ini dengan baik, kerana otak dalam proses menyukat akan kekuatan ketukan yang betul - ini membantu atlet-atlet sukan memperbaiki hasil ketukan mereka dalam sukan golf.

Imbangan Satu Latihan Terbaik

Deria Imbangan antara deria yang paling pesat berkembang

Imbangan badan merupakan satu proses yang amat sukar. Otak kita bekerja keras membantu kita berjalan dengan betul semasa di peringkat kita masih bayi lagi. Namun apabila dewasa kita memerlukan kemahiran imbangan ini untuk proses yang lebih kompleks seperti menungang basikal atau bermotosikal. Semua ini berkait rapat dengan daya imbangan badan dan kemahiran otak untuk membuat andaian mengenai imbangan.

Sekiranya kita mampu melakukan kedua-dua proses di atas dengan baik makalah boleh mencuba aktiviti ini pula, iaitu bermain kasut roda, papan luncur atau bermain ski. Tapi perlu berhati-hati kerana sukan ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya dilakukan tanpa mengikut peraturan keselamatan yang betul. Apa yang penting, kita tidak membiarkan potensi otak kita tanpa digunakan kerana otak sihat membantu kepada pertumbuhan minda yang cerdas.

Untuk latihan imbangan yang lebih mudah kita bolehlah melakukan latihan menari kerana ianya lebih selamat. Walaupun ianya mudah, ia turut membantu badan melakukan senaman dalam masa yang sama. Ini membantu perjalanan darah yang lebih baik serta menggalakkan fungsi sistem badan berjalan dengan lancar. Mungkin latihan menari ini juga boleh digantikan dengan permainan yang lebih menceriakan seperti permainan lumba lari, polis sentri, galah panjang dan sebagainya (mungkin permainan ini juga sudah semakin dilupakan).

Lawatan

Aktiviti di luar sememangya mencabar fizikal dan mental

Lawatan juga memberikan ransangan kepada pendedahan otak untuk berfikir lebih luas mengenai alam. Ini memberikan ransangan kepada kita untuk mengetahui lebih banyak seterusnya meneroka perkara-perkara baru untuk dipelajari. Adakalanya ia berkaitan, haiwan, tempat-tempat menarik, bentuk muka bumi, cuaca, teknologi, rekabentuk, budaya dan sebagainya yang dapat kita perhatikan daripada sesuatu lawatan yang dilakukan.

Lawatan ke taman-taman seperti taman burung, taman rama-rama ataupun zoo misalnya adalah untuk memudahkan kita melakukan proses ini. Ini kerana bahan-bahan pameran dikumpulkan di satu tempat  untuk memudahkan pemerhatian. Di mana dalam keadaan sebenar ianya mungkin agak sukar untuk ditemui dan berada di tempat yang sukar untuk dilawati. Jadi kita perlu menggunakan kesempatan ini sekiranya berpeluang.

Cuti di Rumah


Bagi yang terpaksa tinggal di rumah pula kita tidak semestinya tidak dapat memanfaatkan masa cuti dengan lebih baik. Terdapat banyak saluran berbentuk pendidikan di kaca TV hari ini. Pastikan kita menontonnya dalam Bahasa Inggeris kerana dalam masa yang sama kita dapat mempelajari Bahasa Inggeris. Tentu kita ingin mengetahui sesuatu dan gunakan masa ini untuk mencari maklumat yang kita perlu ketahui.

Sebagai contoh tidakkah kita ingin mengetahui bagaimana tenaga elektrik dihantar kerumah kita? Di mana ini membolehkan kita menonton TV, bermain komputer dan menerangi rumah kita. Bagaimana ianya dihasilkan dan bagaimana pula sekiranya kita ingin menghasilkan tenaga elektrik sendiri? Jadi semasa keputusan bekalan elektrik, kita tidak perlu bergelap. Mungkin juga kita masih mendapat bekalan elektrik sewaktu membuat lawatan ke kawasan pendalaman.

Jadi banyak sekali perkara yang boleh dilakukan disepanjang cuti sekolah ini yang dapat membantu kita untuk belajar lebih banyak perkara menarik. Pastikan kita tidak melakukan satu aktiviti sahaja dan mempelbagaikan aktiviti ini melibatkan aktiviti fizikal dan juga bergaul dengan orang lain. Apa yang lebih menarik mungkin suatu hari kita boleh berkongsi dengan orang lain tentang apa yang kita pelajari disepanjang cuti sekolah ini.


Free Download





Arkib Blog