Memaparkan catatan dengan label buah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buah. Papar semua catatan

Ahad, 3 Julai 2016

Buah Yang Lebih Pelik, Buddha's Hand

Buah Buddha's Hand yang berbeza dari buah-buah yang lain.

Ya, saya pernah melihat buah ini dan amat tertarik mengenai kegunaannya. Bagaimana sesetengah orang tahu memanfaatkan buah ini? Kerana ia sangat berbeza dengan buah-buah yang lain bukan sahaja dari segi bentuknya malah banyak lagi.

Buddha's hand, Citrus medica var. sarcodactylis, atau juga dikenali sebagai fingered citron, kebiasaan nya menyerupai buah citron (Citrus medica) yang kemudiannya memecah membentuk rupa bentuk jari. Di Jepun ia juga dikenali sebagai “busshukan” (仏手柑 atau ブッシュカン).

Bahagian jejari yang memecah membentuk jejari ini juga berbeza-beza, ada yang merapat membentuk jari yang tertutup (tangan tertutup)dan ada pula yang mencapah dan membentuk jari yang terbuka (tangan terbuka) memberikan ianya ekspressi tersendiri. Ia dikatakan berasal di Timur Laut India atau China yang kemudiannya ditanam di merata kawasan di China, Jepun dan hari ini turut ditanam di California, USA.

Terdapat 6 jenis utama tumbuhan ini yang ditanam oleh petani-petani di China yang mempunyai kebun seluas 5,000 ekar di Selatan Shanghai. Ia mendapat permintaan yang tinggi dengan harga sehingga $24 bagi setiap pound. Buah ini juga adakalanya didapati dijual di pasaraya di Malaysia.

Bentuk dan warna buah yang amat menarik.


Mengapa Ia Pelik?

Buah yang tidak mempunyai isi ataupun biji.

Kebun buah Buddha's Hand di Vietnam.

Tidak seperti buah yang lain, buah Buddha's hand ini tidak mempunyai isi atau biji. Jadi apabila dibelah ianya hanyalah kulit dan bahagian dalam kulit putih yang menyerupai span. Jadi untuk menanamnya kaedah yang digunakan adalah secara tut atau cantuman tunas.

Ia digunakan terutamanya sebagai bahan bauan atau menaikkan aroma. Oleh kerana ia tidak mempunyai isi, bahagian yang digunakan adalah terdiri daripada keseluruhan buah tersebut yang memberikan bauan dan aroma yang menyegarkan. Ia sering digunakan sebagai bahan bau-bauan sebagai persembahan di rumah-rumah ibadah bagi orang Buddha.

Ia boleh digunakan untuk meningkatkan aroma minuman terutamanya minuman beralkohol seperti vodka dan cocktail. Namun minuman tidak beralkohol juga boleh menggunakannya kerana ia mengeluarkan bau dan aroma yang amat menyegarkan.

Buddha's Hand digunakan untuk membuat kek.

Sesuai untuk masakan kerana kulitnya tidak pahit.

Kulitnya tidak pahit dan amat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan makanan seperti halua atau dijadikan jem (marmalade). Bahan makanan yang dihasilkan menggunakan buah ini dikira istimewa kerana rasa dan baunya yang harum. Malah ianya diukir menjadi bentuk-bentuk yang menarik seperti burung atau bunga sebelum ianya disira dengan madu lebah untuk menghiasi bahagian tengah meja makan.

Bagi menyegarkan ruangan bilik atau almari pakaian juga merupakan antara kegunaan Buddha's hand yang popular. Malah caranya adalah amat mudah iaitu dengan hanya meletakkan buah ini ke dalam ruangan tersebut. Baunya juga dikatakan lebih harum daripada menggunakan potpourri. Selain untuk bilik, ia juga sering digunakan sebagai bahan campuran dalam cucian untuk memberikan kesegaran kepada pakaian. Pokoknya juga digunakan sebagai tanaman hiasan samada ditanam terus ke tanah ataupun di dalam pasu-pasu yang sesuai.


Terdapat pelbagai kaedah penggunaan buah dan pokok tumbuhan istimewa ini. Walaupun rupanya sedikit pelik, namun ia mempunyai pelbagai kegunaan dan menghasilkan bau yang amat istimewa pula. Sekiranya anda menjumpai buah ini nanti, janganlah rasa pelik lagi, sebaliknya gunakanlah ia bagi menggantikan bahan-bahan pewangi tiruan yang kita gunakan untuk bilik, kereta ataupun pakaian.


Free Download



Jumaat, 1 Julai 2016

Buah Pelik Yang Sedap, Monstera deliciosa

Buah pelik dengan rasa yang unik, kenali sebelum memakannya!

Seperti yang kita ketahui banyak buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan berasal daripada kawasan lain di dunia seperti nenas, koko, kopi, jagung dan banyak lagi. Jadi kebarangkalian banyak lagi buah-buahan yang tidak kita ketahui adalah tinggi. Antaranya seperti buah Monstera deliciosa yang merupakan sejenis buah yang berasal dari kawasan hutan tropika di Mexico sehingga ke Panama. Namun ia juga pernah diperkenalkan keluar dari kawasan asalnya ke Hawaii, Seychelles, Ascension Island dan Society Islands.

Pokok tumbuhan ini melilit pada batang pokok lain dan memanjat sehingga 20 m (66 ft) dengan daun seperti pokok keladi yang juga merupakan tumbuhan dari family Araceae. Daunnnya mempunyai saiz sehingga 25–90 cm (10–35.5 in) panjang dan 25–75 cm (10–29.5 in) lebar. Ia tidak mempunyai lubang sewaktu muda dan mula menghasilkan lubang apabila ia semakin tua. Kebiasaannya tumbuh di kawasan yang gelap, dan kemudiannya tumbuh menjalar memanjat pokok untuk mendapatkan lebih cahaya apabila membesar.

Pokoknya ditanam sebagai hiasan. 

Bentuk daun yang besar dan cantik.

Bunga Monstera deliciosa.

Selain buahnya boleh dimakan Monstera deliciosa juga sering dijadikan sebagai tanaman hiasan. Ia lebih sesuai ditanam di kawasan tropika dengan suhu sekitar 20–30 °C (68–86 °F) selain memerlukan kelembapan dan kawasan yang redup. Cuaca sejuk dan frost boleh membunuh pokok ini.

Walaupun buahnya boleh dimakan, ia mengambil masa yang agak lama untuk mencapai usia matang (boleh dimakan), iaitu lebih dari setahun. Bagaimanapun rasanya dikatakan seakan-akan gabungan buah pisang, nenas dan mangga. Ia merupakan buah yang amat digemari dan digunakan sebagai bahan perasa dalam minuman, ice-cream atau dimakan begitu sahaja.

Setiap bahagian tumbuhan ini mengadungi racun daripada oxalic acid, kecuali buahnya yang telah masak. Ia akan menyebabkan keradangan pada tekak dan mulut. Jadi bukanlah mudah bagi kita yang kurang mengenali tumbuhan ini untuk menjadikan ia sebagai makanan. Bagaimanapun ia merupakan satu lagi keajaipan dunia tumbuh-tumbuhan yang unik.

Hanya buah yang benar-benar masak boleh dimakan.

Bauh ini dari dekat.

Merupakan buah kegemaran ramai.

Free Download



Sabtu, 18 Jun 2016

Zaitun Buah Yang Penuh Kebaikan

Buah zaitun mempunyai khasiat yang baik.

Tentu anda semua pernah mendengar mengenai buah zaitun atau olive (Olea europaea) yang merupakan buah yang digunakan untuk pelbagai kegunaan. Ia telah digunakan sejak beribu tahun dahulu iaitu kira-kira 6,000 hingga 7,000 tahun dahulu. Selain daripada membekalkan minyak, buah zaitun juga merupakan sumber makanan kepada manusia. Pokok zaitun adalah berasal dari family Oleaceae yang didapati tumbuh di banyak kawasan di dunia dari Benua Afrika, Asia sehingga ke China, Canary Island, Mauritius dan Réunion. Penggunaannya untuk tempoh yang lama membolehkan lebih banyak kultivar baru dihasilkan yang terdapat di banyak kawasan-kawasan lain sehingga ke Mediterranean, Argentina, Saudi Arabia, Java, Norfolk Island, California juga Bermuda.

Dua hasil utama buah zaitun adalah dalam bentuk buah dan minyaknya. Minyaknya sepertimana yang kita ketahui telah lama digunakan di bahagian Timur Tengah dan minyaknya juga digunakan sebagai bahanapi selain digunakan sebagai minyak masakan yang penting di bahagian Eropah. Namun minyak zaitun juga diketahui mempunyai banyak kebaikan dan kegunaan terutamanya untuk rambut dan kulit.

Pokok zaitun merupakan pokok yang tidak terlalu tinggi dengan ketinggian antara 8 - 15 m (26 – 49 ft.). Namun pokok zaitun mampu hidup untuk tempoh yang lama dan ada yang menjangkau sehingga ribuan tahun. Ini kerana pokok zaitun tahan dengan perubahan keadaan cuaca selain keadaan panas, kemarau dan juga keadaan tanah yang agak masin (high salinity). Maka tidak hairanlah mengapa ianya dikenali di serata dunia, selain menjadi sumber perdaganggan sejak ribuan tahun dahulu. Sehingga ke hari ini, zaitun merupakan antara tanaman penting di beberapa buah negara dengan pengeluaran tertinggi dari negara Spain, Italy, Greece, Turkey, Moroco dan lain-lain.


Ladang buah zaitun.

Pokok buah zaitun tua.

Selain membekalkan minyak dan makanan daripada buahnya. Kayu pokok zaitun juga boleh digunakan untuk membuat perabut. Kayu pokok zaitun sering dijadikan perabut kerana kayunya berminyak dan mengeluarkan bauan yang harum. Zaitun mempunyai bunga yang bersaiz lebih kecil dan berwarna putih, kerana agen pendebungaan utamanya adalah angin.

Manakala buah zaitun pula perlu diproses (dijeruk) sebelum ianya boleh dimakan. Saiznya juga agak kecil dengan seketul biji ditengahnya dan dipanggil “drupe” seperti juga buah almond, aprcot, tamar, kopi, kelapa dan lain-lain lagi. Bagi tujuan makanan, buah yang mempunyai isi yang lebih tebal dipilih sebelum dijeruk bagi mengurangkan rasa pahit kerana ia mengandungi ‘oleuoropein’. Selain membeli buah zaitun yang telah siap diproses, ada juga para pengguna yang menjeruk buah zaitun mereka sendiri di rumah.


Buah zaitun yang dituai dari ladang.

Buah zaitun dengan pelbagai jenis penyediaan.

Beberapa Khasiat Buah Zaitun

  • Buah zaitun merupakan sumber makanan yang menyihatkan. Selain membekalkan tenaga ia juga mengandungi anti-oksidan, minerals, phyto-sterols dan juga vitamin-vitamin tertentu.
  • Ia mengandungi kalori yang tidak terlalu banyak; iaitu bagi 100 g boleh membekalkan sehingga 115 kalori. Kalori ini berasal dari minyaknya yang terdiri daripada mono-unsaturated fatty acids (MUFA), seperti oleic acid (18:1), dan palmitoleic acid (16:1) yang membantu mengurangkan LDL atau kolestrol yang tidak baik, berbanding tinggi dengan HDL atau kolestrol yang baik. Kesan penggunaan minyak zaitun ini dapat dilihat pada tabiat pemakanan Mediterranean yang kurang menghidap penyakit jantung, stroke selain membantu memperbaiki lipid pada sel darah.
  • Oleuropein dan oleocanthal merupakan dua bahan anti-oksidan yang baik. Ditambah pula dengan kandungan vitamin E dan carotenoid, ia membantu dalam menentang kanser, keradangan, penyakit koronary arteri, kerosakan pada sel saraf, dibetes dan lain-lain lagi.
  • Vitamin E juga merupakan anti-oksidan terlarut yang baik, diperlukan untuk mengekalkan fungsi mukosa membrane sel dan kulit dengan melindunginya dari radikal bebas oksigen.
  • Ini ditambah lagi dengan kandungan mineral seperti calcium, copper, iron manganese, dan zinc. Malah ia juga mengandungi sejumlah vitamin-vitamin penting seperti B-komplek iaitu niacin dan choline, serta pantothenic acid.
  • Minyak zaitun merupakan antara minyak yang baik digunakan untuk masakan kerana kurang mengandungi minyak tepu (saturated fat), sebaliknya mengandungi linoleic (omega-6) dan linolenic acid (omega-3), iaitu lemak-lemak penting dengan nisbah 8:1.

Minyak zaitun salah satu daripada hasil dari buah zaitun.

Virgin Olive Oil, yang mempunyai banyak kebaikan.

Itu hanyalah sebahagian kebaikan minyak zaitun tidak termasuk faedah penggunaannya untuk rambut dan kulit seperti yang telah lama diketahui. Minyak zaitun telah digunakan untuk tujuan ini sejak ribuan tahun dahulu. Minyak zaitun merawat kulit kering dan beberapa lagi masalah kulit selain menghilangkan kesan parut. Ia juga adakalanya mampu merawat jangkitan kulat pada kulit dan kuku. Faedahnya sebagai minyak rambut juga telah lama diketahui bagi mengelakkan rambut rosak daripada keadaan cuaca, kekeringan (akibat penghawa dingin), kesan bahan kimia seperti gel rambut, semburan rambut dan sebagainya. Malah setiap pengguna minyak zaitun mempunyai kaedah tersendiri memanfaatkan minyak ini.


Manakala kita di Malaysia hanya menggunakan minyak zaitun pada kadar yang paling rendah. Ia tidak digunakan sebagai bahan masakan, manakala minyak zaitun yang digunakan untuk minyak rambut pula adalah minyak yang telah diproses. Mungkin tidak semua berminat untuk mengetahui mengenai zaitun dan khasiatnya, tetapi mungkin ia kerana kita kurang mengetahui mengenai faedah serta khasiatnya. Masih belum terlambat untuk kita mempelajarinya.






Free Download



Isnin, 6 Jun 2016

Kisah Mengenai Gula-Gula Getah (Chewing Gum)

Belon yang menjadi tarikan gula-gula getah.

Gula-gula getah mempunyai kisah yang menarik kerana ia merupakan salah satu bahan kunyahan moden yang diilhamkan berdasarkan bahan kunyahan berusia ribuan tahun dahulu. Ini kerana setiap masyarakat dunia mempunyai bahan kunyahan mereka tersendiri termasuklah kita penduduk di bahagian Asia Tenggara ini.

Antara bahan kunyahan yang tertua diketahui antaranya adalah pada zaman Neolithic sekitar 5,000 tahun dahulu dengan bahan kunyahan yang diperbuat daripada tar kulit pokok birch yang ditemui di Kierikki, Finland. Masyarakat Aztecs pula menggunakan getah dari pokok chicle (ciku) yang juga merupakan ‘chewing gum’ asli selain menggunakannya sebagai bahan pelekat. Namun bahan kunyahan turut dikesan di Ancient Greece yang diperolehi daripada pokok mastic. Di Asia pula pengamalan kunyahan boleh dilihat daripada tabiat mengunyah daun sireh, manakala mengunyah tembakau merupakan tabiat yang baru – kerana tembakau sendiri berasal dari negara-negara dari benua Amerika.

Masyarakat American Indians di Amerika Utara pula mengunyah resin yang dihasilkan oleh pokok spruce. Chewing gum komersil pertama dihasilkan menggunakan bahan ini oleh John B. Curtis pada tahun 1848, yang dijual dengan nama ‘The State of Maine Pure Spruce Gum’. Ia bagaimanapun diatasi dengan chewing gum yang dihasilkan menggunakan parafin wax.


Getah pokok ciku (sapodilla) merupakan bahan kunyahan bagi orang Aztecs.

Mengumpul getah dari pokok sapodilla/chicle.

Iklan untuk gula-gula getah pertama.

Chewing gum dihasilkan menggunakan getah ciku (chicle) dihasilkan pada tahun 1860 oleh John Colgan, di Louisville yang juga merupakan seorang pharmacist dari Kentucky. Chewing gum yang dihasilkan mempunyai perisa gula beraroma yang didapati dari pokok balsam (Myroxylon) dengan membentuk bilahan kecil chewing gum yang dikenali sebagai “Taffy Tolu”. Calgan merupakan pengeluar pertama yang menerajui pengeluaran chewing gum menggunakan getah dari pokok Manilkara chicle (ciku) yang berasal daripada tumbuhan tropika.

Namun chewing gum yang menggunakan getah ciku (Manilkara zapota) apabila ianya diperkenalkan oleh bekas presiden Mexico, General Santa Anna kepada ahli perniagaan New York yang bernama Thomas Adams. Walaupun pada mulanya ia diharap dapat menggantikan bahan getah (rubber), namun Thomas Adams menggunakannya untuk menghasilkan ‘chewing gum’ yang mempunyai bahan perisa pada tahun 1871. Getah daripada pokok sapodilla (Manilkara zapota) perlu dituai dengan tenaga manusia dengan membuat gelangan torehan yang ada kalanya sehigga mencapai 50 kaki tinggi. Ia merupakan satu proses yang perlahan sedangkan sapodilla (ciku) sendiri merupakan buah yang mempunyai kebaikan yang lebih baik berbanding getah yang dihasilkannya.

Penggunaan getah sapodilla ini kemudiannya digantikan dengan penggunaan gula-gula getah menggunakan bahan sintetik seperti butadiene. Ia merupakan bahan-bahan polymer yang mempunyai kebolehan untuk membentuk gelembung yang lebih besar.

Gula-gula getah (chewing gum) dikaitkan dengan kesihatan gigi dan mulut kerana ia meransang pengeluaran air liur. Ini kerana gula-gula getah moden dihasilkan tanpa menggunakan gula yang boleh membantu pembiakan bakteria seperti Streptococcus mutans, sebaliknya menggunakan Xylitol. Selain Xylitol bahan pemanis lain yang digunakan adalah daripada maltitol, aspartame dan acesulfam yang juga tidak menyebabkan masalah pereputan gigi.

Penghasilan air liur daripada tabiat mengunyah gula-gula getah boleh memberi manfaat kepada sistem penghadaman. Pada masa yang sama juga ia mendatangkan kesan buruk kepada sistem penghadaman dengan meransang perut untuk menghasilkan asid dan pankreas untuk menghasilkan enzim penghadaman pada masa yang tidak diperlukan. Ini boleh mendatangkan kesan yang tidak baik seperti perut berangin dan juga cirit-birit.

Terdapat banyak kajian dilakukan mengenai kesan positif dan juga negatif mengenai tabiat mengunyah gula-gula getah. Namun begitu sukar dibuktikan kesahihannya kerana ia mungkin boleh dihasilkan daripada tabiat mengunyah bahan-bahan lain. Ini kerana gula-gula getah hari ini dihasilkan daripada bahan-bahan sintetik yang boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan manusia.


Pembuangan gula-gula getah di atas laluan.

Antara perkara buruk disebabkan gula-gula getah.

Pada tahun 1998 seorang kanak-kanak berusia 4 tahun dilaporkan mengalami masalah sembelit yang disebabkan oleh tabiat menelan gula-gula getah. Manakala dalam kes berlainan seorang kanak-kanak lagi tertelan gula-gula getah bersama 4  keping syiling yang mengakibatkan ianya tersangkut pada esophagus kanak-kanak tersebut. Jadi penggunaan gula-gula getah perlu dilakukan dengan berhati-hati, terutamanya bagi kanak-kanak.

Antara kesan gula-gula getah yang paling ketara bagaimanapun adalah berkaitan kebersihan dan masalah pembuangan gula-gula getah. Ia biasa dibuang dengan cara yang tidak sepatutnya dan menimbulkan masalah kebersihan. Gula-gula getah sukar dibersihkan kerana ianya seperti plastik yang tidak mereput. Kerajaan Singapura mengharamkan penggunaan gula-gula getah pada tahun 1992. Namun pada tahun 2002 ia membenarkan gula-gula getah tanpa gula dijual di farmasi atas nasihat doktor.

Jadi apakah yang menarik mengenai gula-gula getah? Setelah mengetahui mengenai perkara-perkara di atas anda boleh membuat penilaian samada ingin menggunakan gula-gula getah ataupun tidak. Ia bagaimanapun menerangkan mengenai tabiat kita mengunyah sesuatu telah terbentuk sejak dahulu lagi. Namun dalam pada masa yang sama, ia juga memperingatkan saya kepada buah ciku (Manilkara zapota) yang telah lama tidak saya nikmati.


Free Download



Isnin, 9 Mei 2016

Keunikan Buah Nanas

Nanas dan jus nanas antara sajian menyelerakan.

Nenas atau juga dikenali sebagai pineapple (Ananas comosus) merupakan buah-buahan tropika yang berasal dari Amerika Selatan. Namun begitu sehingga hari ini ia ditanam dengan meluas di negara-negara yang boleh ditumbuhinya kerana ia mempunyai nilai komersial yang tinggi. Selain buahnya yang sesuai digunakan bukan sahaja untuk dimakan mentah seperti buah-buahan lain, malah sesuai sekali dicampurkan di dalam masakan. Serat daripada daun nenas pula digunakan untuk membuat pakaian dan kegunaan lain seperti kertas dinding serta lain-lain.

Buah nenas mempunyai bentuk yang unik kerana ia mempunyai mahkota yang juga digunakan untuk menanam buah nenas. Nama yang diberikan kepadanya “pineapple” adalah kerana rupanya yang menyerupai buah pokok pine (pine cones) apabila ia pertama kalinya ditemui oleh penjelajah-penjelajah dari Eropah yang juga menyebabkan buah ini tersebar luas ke serata dunia.

Nama saintifnya iaitu Ananas comosus, di mana ‘ananas’ merupakan nama sebenarnya di dalam Bahasa Tupi yang bermaksud “buah yang cemerlang” direkodkan oleh  André Thevet pada tahun 1555. Manakala di dalam Bahasa Spanish pula nanas dipanggil sebagai piña ("pine cone") atau ananá (ananás).

Buah nanas kelihatan seperti 'pine cone'.

Buah nans dan keratan buah nanas.

Walaupun nanas kemudiannya menjadi sebahagian tanaman penting di negara-negara lain termasuk Hawaii (US), Malaysia, Australia, Philippines dan lain-lain. Antara pengeluar terpenting nanas adalah; Costa Rica, Philippines, Brazil, Thailand dan India. Melalui penanaman secara komersial ini maka terhasillah kultivar-kultivar baru yang menjamin mutu penghasilan nanas yang lebih baik. Antara kultivar-kultivar tersebut termasuklah;

  • Hilo: mempunyai berat antara 1–1.5 kg (2–3 lb), variasi dari Hawaii yang lebih sengit namun berbentuk silinder.
  • Kona Sugerloaf: mempunyai berat antara  2.5–3 kg (5–6 lb), mempunyai warna yang lebih terang dengan empulur yang kecil, lebih manis dan kurang berasid. Rasanya juga lebih manis.
  • Natal Queen: mempunyai berat antara 1–1.5 kg (2–3 lb), mempunyai warna kuning keemasan, dengan tekstur yang lebih rangup namun rasa yang agak biasa. Sesuai dimakan terus dan mudah disimpan setelah masak. Daunnya juga lebih berduri. Jenis ini turut ditanam di Australia, Malaysia dan juga Amerika Selatan.
  • Pernambuco ('eleuthera'): mempunyai berat antara  1–2 kg (2–4 lb), juga mempunyai warna kuning pucat keputihan. Isinya juga lebih manis dan sesuai untuk dimakan mentah. Ia tidak sesuai untuk tujuan eksport dan ditanam di Amerika Selatan.
  • Red Spanish: mempunyai berat antara  1–2 kg (2–4 lb), mempunyai isi berwarna kuning terang dengan aroma yang sedap. Mempunyai bentuk yang agak segi empat, ia mempunyai ketahanan untuk tujuan eksport. Mempunyai daun yang agak berduri dan ditanam di Amerika Selatan.
  • Smooth cayenne: mempunyai berat antara 2.5–3 kg (5–6 lb), juga mempunyai warna kuning terang, berbentuk silinder dengan kandungan gula dan asid yang tinggi. Ia adalah jenis yang sesuai untuk tujuan seperti pengetinan dan diproses. Daunnya juga tidak mempunyai duri. Kultivar ini dihasilkan oleh orang-orang Amerind dan merupakan antara jenis yang dihasilkan di Hawaii dengan nama-nama yang lain seperti MD-2 dan sebagainya.
  • Sebahagian kultivar nanas yang lain pula adalah daripada bukan komersial sebaliknya untuk tujuan hiasan seperti nenas kecil.


Ladang nans dengan buah yang masih muda.

Ladang nanas dengan buah yang mulai masak.

Di Malaysia nanas ditanam di beberapa kawasan di negeri Johor, Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan juga Sarawak. Jenis nanas yang ditanam pula adalah dari jenis smooth cayenne, red Spanish dan juga Natal Queen. Namun daripada jenis-jenis kultivar-kultivar baru turut dihasilkan bagi menyesuaikan keadaan iklim di negara kita.

Tanaman nanas mampu bertahan dalam keadaan cuaca kemarau namun begitu keadaan kering berpanjangan boleh merencatkan pertumbuhan nanas. Manakala ia juga tahan keadaan yang lembab, namun keadaan basah yang berpanjangan juga boleh mengakibatkan jangkitan pada akar pokok nanas yang menyebabkan ianya rosak. Nanas amat sesuai dengan keadaan suhu sekitar 30°C dan dengan taburan hujan sehingga 1,250 mm setahun.

Longgokan buah nanas.

Nanas juga sesuai untuk masakan.
Pakaian yang dihasilkan daripada benang nanas.

Berbanding dengan Malaysia, nanas mempunyai nilai yang lebih tinggi di Philippines kerana ia bukan sahaja merupakan tanaman penting, malah turut digunakan untuk menghasilkan pakaian tradisional bagi masyarakat di sana.  Serat daripada daun nanas digunakan untuk menghasilkan pakaian tradisional lelaki yang dikenali sebagai Barong Tagalog, manakala pakaian wanita pula Baro't saya. Pakaian ini sehingga ke hari ini masih boleh didapati, namun harganya adalah agak tinggi.


Itulah serba sedikit mengenai tumbuhan unik nanas yang pada asalnya bukanlah berasal dari negara kita. Namun begitu ia menjadi sebahagian tanaman penting menjana ekonomi, malah bagi masyarakat seperti di Philippines turut menyumbang kepada pembangunan budaya. Suatu masa nanti diharap saya dapat melihat sendiri teknik penghasilan pakaian menggunakan serat nanas.




Free Download



Arkib Blog