Wednesday, July 1, 2015

Mikro Post: Keunikan Pisang

Pisang berguna pada manusia dari jantung hingga ke akar.

Pisang merupakan buah yang mudah di dapati di Malaysia dan merupakan makanan minum petang yang paling popular. Kita bertuah kerana ia tumbuh dengan mudah di sekitar kawasan Asia Tenggara seterusnya menjadikan ia sebagai pokok yang menyediakan pelbagai kegunaan kepada masyarakat setempat. Namun adakalanya agak sukar bagi sesetengah orang untuk mengenal jenis pisang dan kegunaannya yang sesuai.

Seperti juga tumbuhan-tumbuhan yang lain, pisang digunakan oleh masyarakat dalam pelbagai kegunaan dari pangkal pokoknya sehinggalah kepada jantung pisang. Malah bagi pisang hutan yang buahnya dipenuhi biji juga masih boleh memberikan manfaat, di mana daunnya masih boleh digunakan untuk membungkus makanan atau membuat kuih sama juga seperti daun pisang yang lain.


Pisang merupakan buah yang mudah dimakan.


Namun begitu terdapat pelbagai jenis pisang di Malaysia dan pisang-pisang ini mempunyai kesesuaian dan fungsinya masing-masing. ‘Pisang Emas’ contohnya amat sesuai dimakan terus menjadikan ia pisang yang paling mudah untuk dinikmati. Manakala ‘Pisang Nangka’ pula sesuai dijadikan sebagai ‘Pisang Goreng’ dan tidak sedap untuk dimakan mentah. Namun kreativiti kita bukan setakat itu, pisang-pisang ini ada yang digunakan di dalam masakan, dijadikan minuman, kerepek, kek, cekodok, pengat, pisang rebus, pisang salai, apam pisang dan lain-lain lagi.

Pokok pisang dimanfaatkan sepenuhnya. Serat dari batang pisang digunakan untuk membuat tali manakala batang pisang boleh digunakan untuk membuat tambak atau penutup tanah di sekitar tanaman. Daun pisang pula amat terkenal sebagai alas atau pembungkus makanan – seperti hidangan di atas daun pisang atau pembungkus nasi lemak. Pembungkusan dengan daun pisang ini dikatakan menambah aroma kepada makanan. Bagi penyediaan kuih-muih juga daun pisang merupakan antara bahan penting antaranya dalam penyediaan lepat, lemang, sebagai alas kukus atau pembalut untuk ikan bakar.


Beberapa jenis pisang biasa di Asia Tenggara.

Berikut adalah beberapa jenis pisang yang terdapat di Malaysia, sekiranya anda mengetahui ciri-ciri penting pisang ini seperti ciri fizikal dan kegunaannya bolehlah kongsikan dengan kami;
  • Pisang Abu
  • Pisang abu keling
  • Pisang abu kapas
  • Pisang abu batu
  • Pisang awak
  • Pisang Berangan
  • Pisang Benggala (Galla)
  • Pisang Bunga
  • Pisang Embun
  • Pisang Kapas
  • Pisang Kari
  • Pisang Kelat Keling
  • Pisang Lemak Manis
  • Pisang Lidi
  • Pisang Mas
  • Pisang Merah
  • Pisang Nangka
  • Pisang Nipah
  • Pisang Putar
  • Pisang Rastali
  • Pisang Serendah
  • Pisang Susu
  • Pisang Talang
  • Pisang Tanduk
  • Pisang Tanduk Raja
  • Pisang Teratai
Daun dan jantung pisang di Pasar Thanin, Chiang Mai, Thailand.

Tidak ketinggalan juga embut pisang, buah, jantung dan bunga pisang kesemuanya turut digunakan dalam masakan. Sebagai contoh ‘Kaeng yuak’ merupakan masakan menggunakan embut pisang di Utara Thailand, manakala ‘Kilawin na pusô ng saging’ pula merupakanan daripada Filipina yang menggunakan bunga pisang. Di Malaysia juga jantung pisang amat terkenal dalam penyediaan pelbagai jenis masakan samada kerabu, dimasak atau dijadikan ulam bersama sambal belacan.

‘Kilawin na pusô ng saging’
‘Kilawin na pusô ng saging’, dari Filipina.

Baiklah, mungkin kita akan melihat lebih banyak keistimewaan pisang untuk masa-masa akan datang. Bersama kongsikan pengetahuaan anda untuk rujukan bersama. 


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...