Memaparkan catatan dengan label keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label keluarga. Papar semua catatan

Ahad, 20 November 2016

Pusat Sains Negara Kuala Lumpur

Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur di Bukit Kiara.

Pusat Sains Negara merupakan satu lagi lokasi penting bagi lawatan berkonsepkan pendidikan di Kuala Lumpur. Ia dibina di kawasan berbukit dengan keluasan tanah kira-kia 8 hektar terletak di Bukit Kiara. Pusat Sains Negara ini dibuka secara rasminya oleh Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada 29 November, 1996.

Pusat Sains Negara mempunyai bentuk yang lebih futuristik berbanding mana-mana muzium atau pusat pameran lain di Kuala Lumpur. Selain itu juga ia mempunyai 9 galeri yang menampilkan pelbagai tema sains yang berkaitan dalam membantu menimbul minat orang ramai kepada dunia sains.

Ia merupakan lokasi lawatan penting bagi para pelajar kerana dilengkapi bukan sahaja dengan bahan pameran yang unik, malah juga Taman Pendidikan Sains (Science Educataion Park) yang menempatkan sejumlah haiwan-haiwan seperti rusa, arnab, ayam, burung unta dan lain-lain. Terdapat juga aquarium untuk mendedahkan para pelawat kepada hidupan air.

Pintu masuk ke Pusat Sains Negara

Antara pameran yang diadakan.

Akuarium di sini berbeza berbanding di Aquaria, KLCC

Harga Tiket Pusat Sains Negara

Kemasukan individu
  • Dewasa 18 tahun dan ke atas: RM 6
  • Kanak-kanak di bawah 12 tahun: RM 3


Pakej Berkumpulan
  • Kumpulan Pelajar Sekolah Rendah termasuk guru: RM 2
  • Kumpulan Pelajar Sekolah Menengah termasuk guru: RM 3
  • Kumpulan Dewasa (minimum 10 orang): RM 5


Waktu Buka
  • Ia dibuka setiap hari dari pukul 9:00pg - 5:00ptg.


Peta Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.

Pusat ini ditutup sementara untuk pembaik pulihan. 

Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pusat Sains Negara melalui talian tel. +603-2089 3400



Free Download


Rabu, 29 Jun 2016

Eksperimen Menarik Dengan Cecair

Palbagai rahsia mengenai ceair yang perlu kita ketahui.

Seperti yang pernah ditampilkan sebelum ini beberapa eksperimen menarik untuk anda cuba bersama anak-anak anda mungkin dapat membantu mereka mengenal dunia sains dengan lebih dekat. Bukan itu sahaja, adakalanya ia turut membantu mereka untuk  lebih berminat di dalam pelajaran.

Di dalam video yang disertakan bersama dengan artikel kali ini terdapat beberapa eksperimen melibatkan cecair. Ia menerangkan perbezaan sifat-sifat cecair daripada beberapa jenis bahan yang berbeza dan kesannya kepada ciri-ciri fenomena lain seperi optik, gelombang bunyi, konduksi haba, tekanan, ketumpatan, kelikatan dan sebagainya.


Setiap sifat-sifat cecair dan kesannya ini disampaikan dalam bentuk eksperimen yang menyeronokkan untuk anda cuba bersama-sama anak-anak anda. Mungkin anda juga perlu mencari jawapannya nanti untuk dikongsikan bersama. Jadi diharap ia sedikit sebanyak merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Bagi para guru juga ia merupakan antara aktiviti yang sangat menarik untuk dikongsi di dalam kelas.





Free Download



Jumaat, 6 Mei 2016

Tempoh Penghadaman Makanan Mengikut Jenis

Pemahaman mengenai pemakanan amat penting untuk semua.

Proses penghadaman merupakan proses penguraian zat-zat daripada makanan yang kita ambil setiap hari. Semasa proses penghadaman berjalan, badan memerlukan tenaga untuk menjalankan proses penghadaman ini. Memahami tempoh penghadaman boleh membantu kita merancang tempoh pengambilan jenis-jenis makanan di dalam tempoh sehari.

Walaupun secara lazimnya pengambilan makanan adalah untuk membekalkan tenaga dan juga zat makanan, pemakanan juga boleh menjadi sebaliknya kerana ia sendiri merupakan proses yang memerlukan tenaga. Sekiranya anda berkeadaan letih dan mengambil pula makanan yang memerlukan proses penghadaman yang lama – ia mungkin menyebabkan anda menjadi bertambah letih dan terpaksa tidur selepas mengambil makanan tersebut. Ini menjelaskan mengapa kita mengambil makanan tertentu semasa berpuasa. Perhatikan juga sebab-sebab mengapa anda menjadi mengantuk selepas makan di sini.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi masa untuk menghadamkan makanan ini antara individu, namun ia memberikan gambaran kasar tentang masa yang diambil mengikut jenis makanan. Melalui pemahaman ini anda boleh membentuk tabiat pemakanan yang lebih baik bukan sahaja untuk diri anda sendiri malah keluarga dan rakan-rakan.



Fakta Penghadaman:

Proses penghadaman makanan mengambil masa keseluruhannya di antara 24 hingga 72 jam, dimana 6 hingga 8 jam adalah masa untuk melepasi perut dan usus kecil. Kemudian makanan akan memasuki usus besar untuk proses seterusnya dan juga penyerapan air. Proses pembuangan bahan tidak boleh dihadam bermula selepas 24 jam. Manakala pengeluaran sisa makanan secara penuh mungkin mengambil masa selama beberapa hari.



Malaysia yang kaya dengan pelbagai jenis makanan.

Makanan mentah memerlukan masa penghadaman yang panjang.

Masa yang diambil oleh makanan di dalam perut sebelum dikosongkan;

Air: apabila perut kosong, air akan terus meninggalkan perut dan melalui usus kecil.

Jus: buah dan sayuran, sup sayuran - 15 ke 20 minit.

Separa pepejal: salad campur, buah dan sayur - 20  ke 30 minit.

Buah-buahan: tembikai - 20 minit; tembikai lain seperti tembikai susu dan cantaloupe - 30 minit; oren, grapefruit, anggur - 30 minit, epal, pear, peach dan lain-lain - 40 minit.

Sayuran: salad sayuran mentah - tomato, salad, timun, saderi, cili hijau dan merah, dan sayuran berair yang lain - 30 ke 40 minit; sayuran yang di steam atau dimasak (sayuran berdaun seperti sawi, kangkung, bayam dan lain-lian) - 40 minit; zucchini, brokoli, bunga kobis, kacang panjang, jagung, labu dan lain-lain - 45 minit; sayuran dari jenis akar seperti lobak, bit, akar teratai dan lain-lain - 50 minit.



Karbohidrat separa-tepu (kanji): kacang acorn dan butternut squashes, jagung, kentang, keladi, keledek, chestnut (berangan) - 60 minit.

Karbohidrat tepu (bijian): beras perang, millet, buckwheat, jagung kering, oat - 90 minit; legume dan kacang - dari keluarga lentils seperti kacang peas, kacang parang, kacang hijau dan sebagainya - 90 minit; kacang soya - 90 minit.

Bijian dan kacang: bunga matahari, biji labu, bijan, pepita - 2 jam; kacang badam, kacang tanah, biji gajus, pecan, walnut dan kacang Brazil - 2 ½ ke 3 jam.

Hasil tenusu: susu skim, dan keju cottage atau ricotta - sehingga 90 minit; keju cottage dari susu penuh - 120 minit; keju daripada susu penuh jenis keras - 4 ke 5 jam.

Protein haiwan: kuning telur - 30 minit; keseluruhan telur - 45 minit, ikan cod, scrod, sebelah, ikan biasa - 30 minit; ikan-ikan berlemak seperti salmon, trout, herring - 45 minit; ayam (tanpa kulit) - 1 ½ ke 2 jam, ayam belanda (tanpa kulit) - 2 ke 2 ¼ jam; daging dan biri-biri - 3 ke 4 jam; dan khinzir - 4 ½ ke 5 jam.

Sayuran dan buah-buahan tidak boleh ditinggalkan.

Gabungan pelbagai jenis makanan. 

Gabungan yang lebih menyihatkan.

Untuk memastikan anda sentiasa bertenaga, pastikan anda memakan makanan yang lebih mudah dihadamkan terlebih dahulu dan barulah digabungkan dengan makanan yang memerlukan tempoh penghadaman yang lebih lama. Ini setidak-tidaknya, tidak menjadikan anda lesu selepas makan. Sebagai contoh anda bermula dengan jus buah - salad dan sayuran - kacang & kekacang - ikan atau daging.

Minuman air suam atau panas juga dapat membantu proses penghadaman yang lebih baik berbanding dengan air sejuk. Selain itu minuman tanpa kafein juga melancarkan proses pencernaan.

Makanlah pada waktu-waktu tertentu setiap hari, ini untuk memastikan jadual makan dan membuang air yang tepat setiap hari - tidak mengganggu jadual harian anda.


Ambil berat juga tentang pengambilan makanan tambahan seperti snek, coklat, kek dan sebagainya kerana ia mengandungi gula yang mengakibatkan pancreas perlu bekerja kuat untuk menghasilkan insulin dalam mengawal kandungan gula di dalam darah.

Amalkan tertib pemakanan yang baik bagi mengurangkan stress pada badan anda untuk menghadamkan makanan. Mengelakkan makan terlalu lewat pada waktu malam juga membolehkan makanan dihadamkan dengan baik tanpa mengganggu proses tidur. Perhatikan pemakanan anda supaya anda dapat meneliti dengan baik kesan pemakanan kepada tindak balas badan - untuk mengesan simptom alahan dan sebagainya.


Terdapat banyak makanan di luar sana yang boleh memberikan kita sumber tenaga dan sumber khasiat untuk memberikan kita tahap kesihatan yang baik. Pada masa yang sama dengan pemakanan juga boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan. Jadi ia merupakan asas pengetahuan yang penting dalam menjamin kesihatan yang sempurna.




Free Download



Selasa, 4 Ogos 2015

Mengenali Lebih Dekat Kelauarga Ikan Pari

Spotted eagle ray, sedang berenang di dasar laut.

Ikan pari merupakan antara ikan yang unik kerana mempunyai bentuk yang berbeza dengan ikan-ikan yang lain, berbentuk leper dan berenang seakan-akan burung di dalam air. Dengan bentuk yang sebegitu ikan pari sesuai sekali dengan cara hidupnya sebagai ikan dasar kecuali ikan pari Manta yang memakan plankton (mempunyai mulut di bahagian hadapan).

Tergolong dalam superorder Batoidea iaitu kumpulan ikan yang mempunyai tulang daripada rawan berbanding tulang biasa terdiri beberapa jenis yang secara umumnya dikenali sebagai ‘pari’ di dalam Bahasa Melayu atau rays, skates dan sawfish (ikan gergaji). Selain dari pari ikan jerung juga mempunyai tulang daripada rawan. Oleh kerana ikan-ikan pari mempunyai sirip yang menyerupai sayap maka tulangnya yang terdiri daripada rawan memudahkan mereka berenang dengan pergerakan yang lembut.


Hidung ikan pari atau 'spiracle'.

Oleh kerana mulut ikan pari berada di bahagian bawah badannya yang melekap pada lantai laut, ia bernafas dengan menyedut air melalui lubang seperti hidung yang dipanggil ‘spiracles’ dan hanya mengeluarkannya melalui insangnya yang berada di bahagian bawah badannya. Lubang yang seakan-akan hidung ini berada hampir dengan matanya.

Tardapat pelbagai spesis keluarga ikan pari; dari superoder Batoidea sahaja terdapat kira-kira 560 spesis dan mendiami hampir keseluruhan bahagian di dunia. Mendiami bahagia lantai laut biasanya pari lebih suka memilih kawasan berpantai sehingga ada spesis yang mendiami kedalaman 3,000 meter (9,800 kaki). Walaupun kebanyakan ikan pari memilih bahagian laut tropika dan sub-tropika, terdapat juga ikan pari yang mendiami laut dengan suhu sederhana dan juga bersuhu sejuk. Hanya ikan pari manta sahaja yang memilih lautan yang lebih luas. Selain itu juga terdapat hanya beberapa spesis ikan pari yang mendiami perairan air tawar, selain air payau dan bahagian kuala sungai.


Gigi ikan pari.

Mempunyai mulut di bahagian bawahnya ikan-ikan pari memakan makanan yang terdiri daripada siput, kerang-kerangan, tiram, crustaceans dan juga ikan-ikan. Ia mempunyai gigi yang kuat untuk memecahkan cengkerang keras hidupan-hidupan dasar ini. Berbeza dengan ‘manta ray’ yang memakan plankton.

Terbahagi kepada 3 kumpulan besar (order);

Myliobatiformes atau stingrays sesuai dengan namanya mempunyai sengat pada ekornya kecuali manta ray. Terdapat kira-kira 223 spesis stingrays seperti;

Common stingray (Dasyatis pastinaca)

Atlantic stingray ( Dasyatis sabina)

Cownose ray (Rhinoptera bonasus)

Manta ray (Manta birostris)

Devil fish (Mobula mobular)

Bat ray (Myliobatis californica)

Common eagle ray (Myliobatis aquila)

Japanese butterfly ray (Gymnura japonica)

Ocellate river stingray (Patomotrygon motoro)

Round stingray (Urobatis halleri)

Haneycomb stingray (Himantura uarnak)

Rajiformes atau juga dikenali sebagai skates terdiri daripada 270 spesis iaitu kumpulan yang mempunyai ‘pectoral fin’ yang lebih besar sehingga ke bahagian hadapan kepalanya. Kebanyakan spesis ini melahirkan anaknya dan ada juga yang bertelur dalam kantung yang dikenali sebagai “mermaid purse”.

Blue skate (Dipturus skate)

Oda’s skate (Rhinoraja odai)

Little skate (Raja erinacea)

Roundel skate (Raja texana)

Atlantic guitarfish (Rhinobatos lentiginosus)

Lesser electric ray, boleh menghasilkan elektrik.

Torpediniformes atau electric rays merupakan ikan yang mampu menghasilkan arus elektrik seperti juga belut elektrik untuk melumpuhkan mangsanya atau sebagai perlindungan. Arus elektrik ini cukup untuk menyebabkan renjatan kepada manusia. Orang-orang Greeks dan Romans pernah menggunakan ikan ini untuk rawatan seperti sakit kepala.

Marbled electric ray (Torpedo marmorata)

Ocellated torpedo (Torpedo torpedo)

Lesser electric ray (Narcine bancroftii)

Ikan gergaji juga sebahagian daripada keluarga ikan pari.

Pristiformes atau sawfish (ikan gergaji) mempunyai beberapa spesis sahaja iaitu antara 5 ke 7 spesis. Mempunyai bentuk seakan-akan ikan jerung dengan ‘pectoral fin’ yang lebih kecil. Mudah dikenali dengan muncung bergerigi yang berukuran sehingga 1.8 meter (6 kaki) panjang yang digunakan untuk memburu ikan-ikan. Ikan sawfish boleh memasuki perairan air tawar dan tasik dan boleh mencapai ukuran sehingga 6 meter.

Common sawfish (Pristis pristis)

Longcomb sawfish (Pristis zijsron)

Queensland sawfish (Pristis clavata)

Smalltooth sawfish (Pristis petinata)

Largetooth sawfish (Pristis microdon)

*kebanyakan ikan sawfish adalah dalam keadaan terancam

Kebanyakan ikan pari mempunyai antara 1 – 2 sengat pada ekornya yang disaluti dengan mukus. Duri yang tajam ini boleh mencederakan dan membebaskan bisa yang boleh mendatangkan kecederaan serius kepada manusia.

Jadi begitulah sedikit sebanyak mengenai keluarga ikan pari yang agak besar berbanding dari apa yang kita sangkakan selama ini. Banyak sekali jenis ikan pari yang tidak kita ketahui kerana ia mungkin berada di bahagian lain di dunia. Namun begitu anda boleh melanjutkan lagi carian ini untuk mengetahui lebih banyak jenis ikan pari di dunia.



Free Download



Sabtu, 23 November 2013

Jalan-jalan Ke Taman Burung Kuala Lumpur

Pintu masuk utama Taman Burung Kuala Lumpur
Taman Burung Kuala Lumpur amat menarik, ini kerana Kuala Lumpur bukan sahaja merupakan pusat bandaraya yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan dan pusat membeli belah, malah ia juga menyediakan banyak destinasi pelancongan yang menarik. Sempena cuti sekolah ini mungkin ramai yang ingin membawa keluarga melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur.

Bagi yang tinggal berhampiran ataupun berkunjung ke Kuala Lumpur, Taman Burung Kuala Lumpur adalah satu satu destinasi yang harus anda kunjungi. Terletak di kawasan Taman Tasik Perdana ia juga berhampiran dengan taman-taman lain seperti Taman Orkid, Taman Bunga Raya, Taman Rama-Rama, Planeterium Negara, Muzium Kesenian Islam, Taman Rusa dan juga Memorial Tun Razak. Jadi sekiranya anda ingin berkunjung ke sini anda mungkin melawat lebih dari satu taman sahaja - tentu ia menjimatkan masa dan kos perjalanan.

Taman ini mudah dikunjungi dengan menggunakan kenderaan sendiri mahupun dengan pengangkutan awam. Terletak berhampiran dengan stesyen keretapi Kuala Lumpur dan anda cuma perlu menaiki teksi dengan anggaran masa 5 minit sahaja. Begitu juga yang berkenderaan kerana laluan di sekitar Taman Tasik Perdana tidaklah sesibuk di laluan utama yang lain. Lokasi GPS taman ini adalah N3 08.581, E101 41.294 untuk memudahkan perjalanan anda.

Burung comel yang sedang menikmati kuaci

Dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga ke 6.00 petang. Bayaran yang dikenakan pula adalah;

Dewasa (Biasa) RM 48.00
*Kanak-kanak (Biasa) RM 38.00

Dewasa (MyKad) RM 25.00
*Kanak-kanak (MyKid) RM 12.00

*Kanak-kanak dari 3 - 12 tahun

Salah satu landskap yang taman burung
Keistimewaan taman burung ini adalah ianya dikatakan antara yang terbesar di dunia. Terbahagi kepada Zone 1 dan Zone 2 (Zon 3 adalah taman Enggang dan Zon 4 sangkar-sangkar kecil) anda akan melihat pelbagai jenis burung terbang bebas di sekitar kawasan taman yang direka hampir menyamai kawasan hidupan sebenar.

Terdapat juga sangkar-sangkar kecil yang menempatkan burung-burung seperti kakak tua, helang, enggang dan lain-lain bagi membolehkan anda melihatnya dengan lebih dekat. Ini kerana adalah sukar untuk anda melihat burung-burung ini sekiranya ianya dibiarkan terbang bebas di dalam sangkar utama yang terlalu besar.

Sangkar khas untuk burung nuri
Melalui kunjungan ke sini anda bukan sahaja dapat melihat burung-burung yang jarang anda temui, malah anda juga belajar tentang habitat dan cara hidup mereka. Persekiran yang menyerupai habitat sebenar dapat menggambarkan tentang kehidupan burung-burung ini di kawasan liar.

Sekiranya anda bertuah anda mungkin berpeluang menyaksikan merak yang mengembangkan ekornya yang cantik dan berwarna-warni. Burung merak ini bergerak bebas di dalam taman dan bulunya juga sangat menarik (tidak rosak akibat dikurung). Begitu juga dengan burung-burung lain seperti flamingo yang banyak di dalam kolam buatan. Burung merpati mahkota pula di antara burung yang banyak berkeliaran di atas tanah.

Mahu bergambar dengan burung-burung?

Selain daripada melihat burung-burung ini anda juga berpeluang untuk mengambil gambar bersama burung-burung yang dilatih khas untuk bergambar bersama. Ianya terdiri daripada burung kakak tua, burung helang, burung hantu dan yang paling istimewa adalah burung enggang. Ya, saya pernah berpeluang menyentuh burung enggang ini dan ianya amat jinak.

Waktu makan, anda boleh menyaksikannya
Terdapat banyak informasi yang menerangkan nama-nama burung yang anda temui di merata kawasan. Jadi anda tak perlu risau sekiranya tidak mengetahui nama-nama mereka. Terdapat juga aktiviti-aktiviti menarik di sekitar taman dan bahagian pembelajaran yang membantu kanak-kanak mempelajari lebih lanjut mengenai dunia burung. Jadi taman ini sememangnya sesuai untuk peminat burung dan juga untuk seisi keluarga.

Bagi menikmati pengalaman sepenuhnya di sini anda perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya setengah hari kerana keluasan taman ini adalah seluas 20.9 ekar dan dipenuhi dengan kawasan-kawasan muka bumi rekaan yang pelbagai. Terdapat sekitar 3,000 burung daripada 200 spesis dari dalam dan luar negara. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Taman Burung Kuala Lumpur anda bolehlah menghubungi talian: +603-22721010 fax: +603-2273 5428 atau email: info@klbirdpark.com 



Free Download



Arkib Blog