Memaparkan catatan dengan label kenderaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kenderaan. Papar semua catatan

Sabtu, 29 Ogos 2015

Senarai Kereta Terpantas di Dunia

SSC Tuatara 6.9L V8 Twin Turbo
SSC Tuatara 6.9L V8 Twin Turbo merupakan kereta terpantas.

Kereta terpantas di dunia bukan sekadar untuk mencapai kelajuan tinggi tapi adalah untuk menampilkan hasil kejuruteraan permotoran yang lebih baik. Adakalanya kelajuan bukanlah satu-satunya perkara utama yang dititik beratkan di dalam satu-satu rekaan tetapi faktor keselamatan, pencemaran dan penjimatan bahanapi juga menjadi antara faktor utama dalam rekaan terbaru.

Sejak sekian lama Bugatti Veyron merupakan pemegang tahta di dalam kelas kereta terpantas dengan Bugatti Veyron 8.0 litre W16 (2005) dengan kelajuan maksima mencecah 405.5 km/h dan diikuti pula dengan Bugatti Veyron 8.0 litre W16 Super Sport (2010) dengan kelajuan maksima 415.2 km/h. Kereta-kereta dengan kelajuan tinggi ini menggunakan bahagian-bahagian yang berbeza seperti tayar khas. Malah tayar ini hanya boleh dipasang di France sendiri dengan kos sekitar USD70,000, manakala harga setiap set tayar yang digunakan iaitu Michelin Pax (run-flat tyres) adalah mencecah sehingga USD25,000.


Bugatti Veyron sudah sedia dikenali.
Hennessey Venom GT adalah pesaing terdekat.

Namun begitu peminat-peminat kereta ingin sekali mengetahui senarai kereta-kereta terpantas baru terutamanya yang mengatasi Bugatti Veyron ini. Sehingga tahun ini 2015, terdapat beberapa pesaing rapat Bugatti dengan rekaan-rekaan terbaru yang juga amat menarik. Berikut adalah beberapa senarai kereta terpantas yang pastinya anda ingin ketahui;


Kereta
Kelajuan
Koenigsegg Agera S 5.0 V8 Hundra - [2013]
400.7 km/h
SSC Aero SC 8T 6.3L - [2005]
400.7 km/h
Bugatti Veyron 8.0 litre W16 - [2005]
405.5 km/h
Koenigsegg CCX R Special Edition 4.8 V8 S - [2008]
408.7 km/h
Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse - [2012]
410.3 km/h
Porsche 9FF GT9 - [2008]
410.3 km/h
Porsche 9FF GT9R - [2009]
411.9 km/h
Bugatti Veyron 8.0 litre W16 Super Sport - [2010]
415.2 km/h
Hennessey Venom GT - [2010]
418.4 km/h
Koenigsegg Agera 5L V8 - [2011]
420.0 km/h
Koenigsegg Agera R 5.0 V8 - [2012]
439.3 km/h
SSC Ultimate Aero TT - [2008]
439.3 km/h
SSC Tuatara 6.9L V8 Twin Turbo - [2011]
444.1 km/h


Dari senarai tersebut dapat dilihat beberapa pengeluar lain yang berjaya mengatasi rekod yang pernah dipegang oleh Bugatti. Namun terdapat juga beberapa nama lain yang disenaraikan di sini yang berjaya menghasilkan kereta dengan kelajuan melebihi 400 km/h seperti; Barabus TKR yang dikatakan boleh mencapai kelajuan sehingga 435 km/h.


Keonigsegg Agera
Keonigsegg Agera menyaingi Bugatti Veyron.

Kereta terpantas bukanlah menjadi perlumbaan setiap pengeluar kereta dan kebanyakannya masih menumpukan kepada kereta untuk pasaran yang lebih luas. Pengeluar terkemuka seperti McLaren sendiri tidak tergolong di dalam kumpulan ini. Lain-lain jenama ternama adalah seperti Ferrari, Lamborghini, Audi, BMW, Mercedes, Jaguar, Lotus dan beberapa pengeluar lain juga tidak tersenarai di dalam pengeluar kereta-kereta berkelajuan tinggi (melebihi 400 km/h).


Banyak lagi perkara yang menarik di dalam dunia kejuruteraan kenderaan selain daripada faktor kelajuan dan mungkin kita berpeluang untuk melihatnya di dalam artikel yang lain. Seperti yang kita sedia maklum pengeluaran kereta terkini lebih menitik beratkan mengenai faktor pencemaran dan juga penjimatan bahanapi. 




Isnin, 8 Jun 2015

Membina Kereta Terpantas Di Daratan, Bloodhound SSC

Bloodhound SSC
Bloodhound SSC akan menjadi kenderaan terpantas di darat.

Membina kereta terpantas di dunia untuk pasaran, berbeza dengan membina kereta terpantas di daratan untuk tujuan; kajian, sains dan matematik. Namun bagi memupuk minat mendalam para pelajar dalam bidang ini, Bloodhound SSC direka bagi tujuan mencipta rekod baru iaitu untuk mencapai kelajuan melebihi 1,000 mph (1,609 km/h). Ia kelihatan mudah apabila kereta ini telah siap – namun untuk perkara-perkara seperti ini, anda perlu meneliti setiap langkah yang dilalui dalam proses penghasilannya.

Kereta yang mempunyai kelajuan ‘supersonic’ ini mempunyai muncung tirus dan tajam seperti mata pensil. Menggunakan enjin rocket dan akan mengatasi rekod sebelumnya dengan kelebihan kelajuan sebanyak 33%. Sehingga kini ia telah berada dalam fasa yang hampir siap untuk ujian pertamanya pada kelajuan 200 mph (320 km/h) pada tahun ini (2015). Ia akan menjalani ujian seterusnya di Hakskeen Pan, Mier di bahagian Utara Cape, Afrika Selatan dengan trek sepanjang 12 batu (19 km) panjang dan 2 batu (3.2 km) lebar yang telah disediakan.

Projek ini diumumkan pada 23 Oktober 2008 di Muzium Sains (Science Museum) di London oleh Lord Drayson – yang merupakan Menteri Sains dari Deparment of Innovation, Universities and Skills di mana cadangan ini telah lebih awal diajukan kepada Richard Noble dan Andy Green – yang merupakan pemegang rekod kenderaan darat terpantas sebelumnya.

Projek Bloodhound SSC merupakan projek yang berbeza, seterusnya membolehkan perubahan kelajuan yang lebih tinggi dicapai berbanding dengan kereta-kereta yang sebelumnya iaitu Thrust2 (kelajuan 633 mph – 1,019 km/h pada tahun 1983) dan ThrustSSC (kelajuan 763 mph – 1,228 mp/h pada tahun 1997) yang merupakan kelajuan darat pertama yang berjaya mengatasi kelajuan bunyi.

Bagi mengendalikan kenderaan terpantas ini nanti pemandunya iaitu Andy Green akan berhadapan dengan beberapa cabaran iaitu daya pecutan yang menghasilkan daya 2.5g yang menyebabkan darah berkumpul di kepala, manakala untuk memberhentikannya pula daya 3g akan menyebabkan darah berkumpul di kaki. Jadi persediaan bukan sahaja dilakukan ke atas kenderaan, malah pemandunya juga perlu bersedia dengan latihan pemanduan kapal terbang secara terbalik di bahagian pendalaman di Britain.

Pembinaan Bloodhound SSC bukanlah dilakukan oleh beberapa individu sahaja malah rekabentuknya direka di College of Engineering di Swansea University. Mereka yang terlibat adalah Professor Oubay Hassan, Professor Ken Morgan dan kumpulan mereka menggunakan kaedah ‘Computational Fluid Dynamic’ (CFD) dalam membantu kefahaman rekabentuk aerodynamic pada rekabentuk Bloodhound SSC. Manakala Swansea University's School of the Environment and Society pula membantu mengenalpasti lokasi ujian yang bersesuaian.


Enjin EJ200 yang digunakan pada Bloodhound SSC.

Enjin jet yang digunakan oleh kenderaan ini nanti adalah dari enjin prototype Eurojet EJ200 yang digunakan pada Eurofighter dan disumbangkan untuk projek ini. Enjin rocket ini kemudiannya diberikan pengubahsuaian oleh Nammo bagi membolehkan kuasa dipertingkatkan dan memberikan kelajuan sehingga 1,000 mph (1,609 km/h). Manakala satu lagi enjin tambahan adalah daripada Jaguar supercharge V-8, yang digunakan sebagai unit kuasa auxilary dan memacu pam oxydizer untuk roket tersebut. Keseluruhan enjin ini akan membekalkan 135,000 kuasa kuda! Enjin hybrid Nammo ini akan menggunkan kuasa yang dibekalkan daripada bahanapi cecair high-test peroxide dan bahan pepejal hydroxyl-terminated polybutadiene.


Kumpulan komponen pada Bloodhound SSC sebelum proses pemasangan.

Bagi roda kenderaan ini pula ia menggunakan roda berdiameter 36 inch (910 mm) yang akan berputar pada kelajuan 10,200 rpm dan perlu ditempa daripada aluminium padu bagi membolehkan ianya tahan daya pada 50,000 g. – anda boleh melihat roda pada kenderaan pantas lain seperti Bugatti yang juga menggunakan roda yang berbeza dari kenderaan biasa.

Kerangka utamanya dibina daripada ‘carbon fibre monocoque’ iaitu dengan konsep yang sama seperti kenderaaan Formula 1 bagi memastikan keselamatan pemandu. Ia  juga terdiri daripada 3,500 komponen yang berbeza dan setiap satunya perlu menjalani ujian ketahanan bagi memastikan ia selamat. Ia mengambil masa 6 minggu dalam proses pemasangan terakhir yang dilakukan oleh lapan orang juruteknik earospace dan motorsport, dibantu oleh empat juruteknik lagi daripada Royal Electrical dan Mechanical Engineers.


Kumpulan antara jurutera yang terlibat dalam pembinaan Bloodhound SSC.

Seperti yang dinyatakan sebelumnya projek Bloodhound ini merupakan projek bagi menggalakkan generasi akan datang untuk meminati bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau singkatannya (STEM). Banyak program-program yang dijalankan untuk semua peringkat umur dan ia juga melibatkan sekolah-sekolah di UK dan Afrika Selatan. Begitulah uniknya program yang menginspirasikan ini, seperti juga program pengagihan komputer oleh BBC bagi menggalakkan murid-murid mempelajari pemprograman komputer.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui projek ini dengan lebih lanjut bolehlah melawat laman web Bloodhound SCC untuk melihat sendiri persediaan dan program-program ini dijalankan. Anda juga mungkin boleh mengambil bahagian di dalam program tersebut atau mendapatkan beberapa barangan berkaitan dengan Bloodhound SSC.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Khamis, 27 Mac 2014

Kereta Terpantas Di Dunia Bugatti Veyron Super Sport


Veyron Super Sport
Bugatti Veyron Super Sport.

Kereta merupakan lambang status kejayaan seseorang dalam budaya kehidupan masyarakat hari ini. Walaupun ia lebih kepada pilihan masing-masing tetapi masyarakat umum masih mengaitkan kejayaan dan kereta sebagai salah satu lambang yang berkait rapat. Sehubungan itu memiliki kereta terpantas di dunia merupakan impian hampir setiap individu.

Sehingga pada tahun ini 2014 kereta terpantas di atas jalan raya masih lagi dipegang oleh Bugatti Veyron Super Sport yang menyandang gelaran ini sejak tahun 2010 lagi dengan keupayaan mencapai kelajuan maksima sehingga 267 mph (431 kmh). Ia juga mampu memecut dari 0 – 60 mph dalam masa 2.4 saat – satu pecutan yang boleh mengakibatkan anda terlekat pada kerusi pemandu ataupun penumpang.

Bagi memberikan Veyron kuasa yang mampu memberikannya pecutan yang begitu tinggi ia dilengkapi dengan engin ‘quad-turbocharged W16 engine’ atau bersamaan dengan dua engin V8 yang membentuk W berbanding ‘V’ – ini menjadikan ia dilengkapi dengan 64 valves (injap) untuk melengkapi 16 pistonnya.

Quad-turbocharged engines
Engin Bugatti Veyron Super Sport.

Engin Veyron yang unik ini mampu menghasilkan 1200 HP (kuasa kuda) – iaitu 200 HP lebih berbanding model sebelumnya. Kadar penggunaan minyak secara purata adalah 24.9 liter/100 km. tetapi penggunaan minyaknya amat tinggi bagi pemanduan di kawasan bandar. Tambahan pula engin kereta ini tergolong dalam kumpulan ‘G’ bagi kategori ‘Engine Efficiency’.

Sebagai penyandang kereta terpantas dunia Bugatti Veyron juga menjadi antara kereta termahal dengan harga mencapai USD 2.4 juta. Begitu juga kesemua servis seperti penukaran tayar hanya boleh dilakukan di Perancis. Satu set tayar adalah berharga USD 25,000 manakala kos penukaran tayar akan menelan belanja USD 70,000. Oh, saya hanya akan menggunakan kereta ini jika tinggal di Perancis!

Termasuk antara model-model lain dalam rangkaian Bugatti adalah Veyron, Grand Sport, Super Sport dan Vitesse. Kesemua kereta yang dihasilkan adalah mengikut kehendak pelanggan seperti model yang dihasilkan khas untuk Hermes – Bugatti Veyron Fbg par Hermes.


Itulah serba sedikit mengenai kereta pujaan ramai atau lebih dikenali sebagai Bugatti Veyron. Apa yang penting selain daripada mengenali kereta terpantas ini kita juga mengetahui tentang teknologi yang mampu menghasilkan mesin sehebat Veyron. Mungkin selain daripada memiliki Veyron ada lagi perkara yang lebih penting untuk kita ketahui – teknologi mampu menghasilkan segalanya.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog