Memaparkan catatan dengan label keselamatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label keselamatan. Papar semua catatan

Isnin, 21 September 2015

Jutaan iPhone dan iPad Terdedah Kepada Serangan ‘Hackers’

Apple mempunyai sistem saringan applikasi yang ketat.

Beratus juta pengguna iPhone mungkin terdedah kepada serangan ‘hackers’ apabila baru-baru ini pakar keselamatan dari syarikat peranti mudah alih itu memberikan kenyataan mengenai serangan terhadap ‘Apple app store’.

Setakat ini sekurang-kurangnya 39 iOS app telah disahkan diserang dengan ‘malware’ termasuk app WeChat, iaitu antara salah satu app yang digunakan dengan meluas di serata dunia seperti yang dilaporkan oleh rangkaian dari Paulo Alto.

Kebanyakan app yang dijangkiti adalah apps yang digunakan dengan meluas di China yang turut merangkumi app berkaitan perbankan, rangkaian mudah alih, bursa saham dan juga video games.

Sehubungan dengan itu Apple telahpun mengeluarkan applikasi yang dijangkiti daripada ‘app  store’ dan bekerjasama dengan penghasil applikasi untuk mengeluarkan versi terbaru mereka secepat mungkin.


Tim Cook semasa melancarkan iPhone6 terbaru.

Ia merupakan kes pertama seumpamanya dimana serangan besar-besaran program berbentuk ‘malicious software’ melepasi sistem penapisan Apple yang ketat.

Terlebih dahulu sebelum serangan ini hanya 5 ‘malicious apps’ dikesan di dalam App Store. Apple walaubagaimanapun tidak mengeluarkan senarai penuh kesemua app yang terbabit namun keseluruhan senarai tersebut dikeluarkan melalui rangkaian di Paulo Alto website.

Penyebaran ‘malicious code’ mungkin berpunca daripada penggunaan software yang digunakan untuk menulis software iOS  dan Mac apps yang telah diubahsuai oleh hackers yang dikenali sebagai Xcode. Progam-program ini juga telah dikeluarkan daripada App Store.

Sehubungan itu Apple juga akan memastikan penghasil app (developer) menggunakan versi  program  Xcode yang betul dalam menghasilkan applikasi mereka.

Setakat ini tiada langkah khusus yang dinyatakan bagi para pengguna iPhone dan iPad untuk memastikan samada applikasi mereka juga terjejas dengan perkara ini.

Selain itu juga pengarah Paulo Alto Network mengesahkan tidak mengesan sebarang aktiviti pencurian maklumat pengguna atau apa-apa kesan lain daripada serangan ini.


Sistem keselamatan begitu penting bagi Apple.

Sebagai salah satu langkah terbaik dalam mencegah serangan seumpama ini adalah dengan memastikan para ‘developers’ tidak menggunakan peralatan atau applikasi yang terjejas dengan software tersebut dalam menghasilkan applikasi mereka. Ini kerana developer merupakan sasaran bagi ‘hackers’ untuk menyebarkan program mereka.

Firma keselamatan China iaitu Qihoo360 Technology Co (QIHU.N) sementara itu menyatakan di blog mereka mengenai 344 apps yang terjejas dengan XcodeGhost.

Manakala Tencent, iaitu penghasil applikasi WeChat berkata serangan ini menjejaskan versi WeChat 6.2.5, manakala versi terbarunya adalah selamat.


Jadi, para pengguna Apple haruslah lebih berhati-hati sebelum memuat turun applikasi-applikasi terbaru buat sementara waktu ini, terutamanya video games dari laman pengeluar applikasi yang tidak dikenali.




Jumaat, 15 Mei 2015

Kerang dan Kerang-kerangan

Clam
Remis adalah spesis kerangan yang turut dijadikan bahan makanan.

Kerang merupakan antara bahan masakan yang biasa ditemui dalam masakan masyarakat Malaysia dan juga di seluruh dunia. Kerang-kerangan pula adalah spesies kerang lain yang juga mempunyai cengkerang keras seperti kepah, remis, tiram, pepahat, etak-etak, lala, kijing dan pelbagai lagi nama yang diberikan untuk hidupan spesies ini. Walaupun terdapat spesis yang lebih banyak di air masin, terdapat juga spesies yang hidup di air tawar dan air payau.

Kerang dan Ekosistem

Spesies kerang-kerangan (clam) mempunyai fungsi penting di dalam ekosistem hidupan akuatik terutama dalam mengawal kualiti air dengan cara menapis air dari benda organik yang terdapat di dalam air tersebut. Bahan-bahan yang ditapis termasuk phytoplankton, bakteria dan juga fungus. Malah kerang akan menyedut kesemua bahan yang terdapat di dalam air tersebut dan mengasingkan bahan-bahan bukan organik termasuk bahan kimia yang akan dikeluarkan semula sebagai buangan di lantai sungai atau laut.

Oleh kerana spesis ini bergerak dengan perlahan malah ada juga yang kurang bergerak menjadi tempat yang sesuai untuk hidupan lain melekat padanya. Ini menjadikan ia sebahagian daripada tempat hidupan lain untuk melekat dan menyediakan bekalan makanan pada hidupan lain pula seperti ikan, udang dan ketam. Selain itu, dengan melekatkan diri mereka di dasar sungai atau tasik, ia dapat mengurangkan kesan hakisan oleh arus dan menstabilkan permukaan dasar tersebut.

Kerang-kerangan bukan sahaja menjadi sumber makanan kepada manusia. Hidupan-hidupan lain turut menjadikan ia sebagai sumber makanan. Walaupun mempunyai cengkerang yang keras haiwan-haiwan seperti muskrat dan racoon mempunyai kaedah tersendiri untuk mendapatkan isi kerangan ini. Terdapat juga spesies-spesies ikan yang mampu memecahkan cengkerang kerasnya dan anda tentu ingat spesies udang yang mempunyai kemampuan ini (udang mantis shrimp).

Kerang dan Manusia

Oleh kerana kerang lebih mudah diperolehi berbanding hidupan lain yang mampu bergerak, maka ia telah pun menjadi sebahagian daripada bahan makanan manusia sejak ribuan tahun dahulu (daripada bukti yang diperolehi dari tinggalan sejarah) – malah mungkin lebih lama lagi. Penggunaan kerang ini bukan sahaja menjadi bahan makanan malah turut dijadikan sebagai hiasan, mata wang dan juga peralatan untuk kegunaan lain seperti permainan ‘dam’.

Bahan hiasan menggunakan kerangan ini termasuklah untuk dijadikan butang, manik atau bahan hiasan lain seperti birai atau bahan kraftangan. Manakala mutiara pula adalah bahan yang dihasilkan oleh tiram samada yang dibela atau tiram yang liar. Industri penternakan kerangan ini juga adalah antara sumber ekonomi penting selain daripada mengelakkan kepupusan spesies yang diburu secara berlebihan.

Boleh dikatakan kesemua masyarakat di dunia mempunyai resepi tersendiri menggunakan spesies daripada kerangan ini dari Timur (Jepun) hinggalah ke Barat (Amerika) dalam mempelbagaikan jenis masakan yang  menggunakan kerangan sebagai bahan utamanya. Di Malaysia sahaja antara makanan yang popular adalah ‘Char Kway Teow – kerang’, Nasi lemak kerang, rendang kerang, kerang rebus, kerang bakar dan sebagainya. Bagi spesies yang lain juga kepah, lala, etak turut mempunyai resepi masakan masing-masing.

Spesies-spesies Kerangan

Terdapat pelbagai spesis kerangan yang menghuni perairan dari hulu sungai hinggalah ke lautan. Terdapat beberapa spesies antaranya yang biasa dijadikan sebagai sumber makanan oleh manusia atau mudah ditemui.

Kerang Darah (Blood cockle)

crockles
Kerang merupakan salah satu makanan popular.

Kerang darah (Anadara granosa) merupakan spesies kerang yang biasa dijumpai di perairan daripada Indo-Pasifik, Afrika Selatan, Asia Tenggara, Australia, Polynesia sehinggalah ke Utara Jepun. Mendapat namanya daripada warna merah yang terdapat di dalamnya. Merupakan bahan makanan popular penduduk di mana kawasan ia boleh didapati.

Mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kerang jenis ini dibiakkan di kawasan dataran berlumpur seluas sekitar 100 km2 di Daerah Zhejiang, China. Kerang-kerang ini turut dibesarkan di kawasan kuala sungai berhampiran di Daerah Fujian. Kerang jenis ini mudah dipungut daripada lantai sungai di bahagian kuala. Tanpa pengawasan yang baik, jumlahnya mungkin akan berkurangan dengan drastik.

Di Malaysia kerang jenis ini juga merupakan kerang utama yang digunakan dalam pelbagai jenis masakan seperti yang disebutkan di atas. Ia boleh didapati dengan mudah di pasar-pasar dan penjual ikan.

Pepahat (razor  clam)

jacknife clam
Pepehat adalah daripada jenis 'razor clam'.

Pepahat adalah satu daripada spesis razor clam yang turut mengandungi pelbagai spesies. Rupa bentuk yang menyerupai pisau cukur ini mudah dikenali. Namun begitu ia merupakan antara spesies kerangan yang mampu menggali lumpur dengan pantas dan menjadikan ia agak sukar untuk diperolehi.

Terdapat pelbagai jenis kerangan jenis ini di seluruh dunia dan ataranya termasuklah ‘jackknife clam’ yang menjadi sebahagian daripada menu makanan manusia. Seperti juga kerang-kerangan yang lain, ia menjadikan pantai pasir berlumpur di teluk dan kuala sebagai kawasan habitat mereka

Ia juga merupakan salah satu hidupan yang mengilhamkan para pereka di Massachusetts Institute of Technology dalam mencipta biomimetic anchor bagi memastikan kabel dasar laut atau pengangkutan air lain dapat dilabuh dengan selamat.

Tiram (Oyster)

Oyster
Tiram popular sebagai makanan dan juga mutiaranya.

Tiram merupakan salah satu lagi spesis kerangan yang terpenting dalam ekonomi dalam penghasilan bahan hiasan iaitu mutiara dan juga sebagai sumber makanan kepada manusia. Manusia telah menternak tiram sejak lebih daripada 1000 tahun dahulu.

Tiram juga boleh didapati hampir di seluruh dunia dengan pelbagai spesis yang berbeza. Sekiranya anda ingin tahu dengan lebih lanjut mengenai hidupan istimewa ini bolehlah membuat tinjauan di MullusSCANeye yang menjurus kepada kajian mengenai kelakuan terperinci hidupan ini dilakukan oleh sebuah badan dari France.

Walaupun penternakan tiram biasanya bertujuan untuk mendapatkan mutiara, namun begitu ia merupakan bahan makanan yang juga agak popular. Pada awal abad ke-19 tiram terdapat dengan banyak di New York dan menjadi bahan makanan bagi golongan pekerja. Terdapat koloni besar tiram di Pelabuhan New York yang menjadi sumber utama bekalan tiram dunia. Bagaimanapun pengenalan spesies dari luar telah menyebabkan penyakit dan memusnahkan spesies asal tiram tersebut. Ini menyebabkan ia menjadi sukar didapati dan menjadikan harganya semakin mahal.

Bahaya Kerangan

Walaupun kerangan merupakan sumber makanan yang boleh diperolehi dengan mudah dan murah (kecuali spesies yang mahal) para pengguna perlu berhati-hati sebelum menikmati hidangan menggunakan kerangan ini. Kerangan mungkin mengumpul bakteria dan bahan berbahaya di dalam air boleh berpindah kepada manusia yang memakannya.

Antara penyakit yang boleh berpunca daripada memakan makanan kerangan adalah gastroenteritis, septicemia, salmonellosis, hepatitis, cholera, dan typhoid. Jadi sumber di mana kerangan ini diperolehi perlu dipastikan bagi mengelakkan sebarang jangkitan. Ia juga perlu disediakan dengan betul bagi mengelakkan sebarang jangkitan yang boleh berlaku.

red tide
Keadaan laut semasa 'pasang merah'.

Fenomena pasang merah atau ‘red tide’ merupakan fenomena pertumbuhan alga yang banyak dan ia adalah beracun kepada hidupan akuatik dan juga boleh menyebabkan keracunan yang dikenali sebagai Paralytic Shellfish Poisoning (PSP). Toksin yang disebabkan oleh pasang merah ini tidak akan terhapus dengan memasak kerangan dengan sempurna – kerana toksin tersebut telah berada di dalam kerang.

Di Malaysia kes yang melibatkan pasang merah ini direkodkan di Sabah pada tahun 1976 yang melibatkan 202 mangsa dan menyebabkan 7 daripadanya maut. Manakala sekali lagi pada tahun 2013 yang meragut 2 nyawa akibat daripada memakan kerangan yang tercemar dengan toksin daripada fenomena pasang merah. Fenomena ini berlaku hampir setiap tahun di kawasan yang berbeza di seluruh dunia.


Begitulah serba sedikit mengenai kerang-kerangan yang dapat dikongsi pada kali ini. Walaupun ia merupakan sejenis haiwan yang mudah diperolehi namun terdapat banyak lagi perkara yang perlu anda ketahui mengenai hidupan unik ini. Adalah dinasihatkan supaya kita dapat mengenali dan memelihara persekitaran bukan sahaja untuk memastikan spesies kerangan terpelihara malah kita sebagai pengguna juga selamat dalam menjadikannya sebagai sumber makanan.



Free Download



Rabu, 14 Mei 2014

Penyebaran Berita Palsu di Internet Mendapat Sambutan Hangat

fake news
Berita palsu yang mendapat sambutan hangat di media social.

Berita mengenai penemuan seorang pelombong China yang ditemui masih hidup setelah tertimbus selama 17 tahun mendapat sambutan meluas dan di kongsi oleh ramai pengguna di Facebook. Malah terdapat keseluruhan sebanyak 178,112 share melalui Facebook sahaja. Manakala 1,666 melalui Twitter, 180 melalui google+ dan komen-komen yang menyatakan simpati mereka (semasa artikel ini ditulis).

Apa yang menarik berita yang dikongsikan melalui lawan web worldnewsdailyreport.com ini adalah merupakan cerita yang direka sahaja dan perkara ini dinyatakan sendiri melalui penafian (disclaimer) laman web tersebut. Seperti biasa juga – berapa ramai pengguna yang akan membuat rujukan terhadap penafian tersebut sehingga ada para pembaca yang ingin membuat tuntutan bahan bukti daripada penulis.

Semasa ingin membuat rujukan lanjut mengenai berita tersebut saya mendapati tiada kejadian tersebut dilaporkan melalui laman-laman berita utama yang lain, melainkan berita tentang musibah yang melanda di Chile pada August, 2010. Oh ya, berita terkini mungkin anda akan mendengar mengenai berita tentang pelombong-pelombong di Turkey juga.

Chiliean miners
Kejadian terperangkap di dalam lombong di Chile pada August, 2010.

Apa yang penting di sini, peristiwa-peristiwa yang berlaku merupakan musibah kepada sebahagian yang lain tidak dipergunakan sewenang-wenangnya hanya untuk mengaut keuntungan semata. Mungkin ada yang hanya sekadar bergurau dan menyatakan dengan jelas tentang kepalsuan tersebut seperti dalam kes worldnewsdailyreport.com tetapi kebanyakan pembaca tidak mempunyai masa untuk membuat rujukan membuktikan kesahihan berita tersebut dan terus membuat perkongsian – sebagai berita yang hangat.

Mungkin kita juga sebagai pembaca tidak perlu terlalu ghairah untuk membuat perkongsian atau andaian. Berita-berita seperti ini mungkin ada di antaranya yang boleh membuatkan keadaan menjadi huru-hara, membangkitkan kemarahan sesetengah pihak dan lain-lain lagi kesan negatif kepada masyarakat.

Terdapat beberapa laman web di luar sana yang rata-rata menggunakan berita-berita palsu sebagai salah satu bahan untuk menarik minat lebih banyak pembaca. Adakalanya ia menjadi bahan ketawa dan adakalanya ia juga merosakkan reputasi mereka-mereka yang menyebarkan berita palsu tersebut. Anda mungkin boleh mendapat keuntungan segera dengan berita palsu namun ia tetap tidak akan bertahan lama.

Sebagai pembaca yang bijak ingin saya berkongsi satu daripada kata-kata yang amat baik untuk direnungkan bersama “minda yang hebat membincangkan idea, minda biasa membincangkan peristiwa, dan minda yang lemah menceritakan kisah orang lain”. Sama-samalah kita renung-renungkan kata-kata tersebut dan semoga kita sama-sama menuju ke arah kejayaan.


Berhati-hati semasa menggunakan internet. ;)

MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Selasa, 18 Mac 2014

Perbankan Internet Memudahkan Urusan Harian Anda

Lining up at ATM
Beratur begini di ATM bukan lagi trend di zaman internet.

Adakah anda pengguna sistem perbankan internet? Sekiranya anda masih belum mencubanya atau merasa ragu-ragu tentang penggunaanya, mari kita sama-sama ikuti artikel ini untuk mengenali dengan lebih lanjut tentang kaedah penggunaan sistem perbankan internet yang mungkin dapat membantu anda menjimatkan banyak masa dan juga wang anda.

Walaupun perbankan internet telah lama diperkenalkan di Malaysia namun masih ramai yang kurang mahir menggunakannya terutama untuk tujuan pembayaran bil-bil bulanan mereka. Bagi yang mahir pula mereka menggunakan kaedah ini untuk setiap urusan pembayaran pembelian, penghantaran wang, bil-bil bulanan, malah apa sahaja yang membenarkan mereka menggunakan sistem perbankan internet mereka. Malah anda boleh melakukannya hampir 24 jam sehari – anda boleh membayar bil elektrik, air atau telefon semasa menonton tv bersama keluarga.

Mengapa Sistem Ini Penting?

Clock
Jimatkan masa anda daripada berurusan di kaunter.

Dalam zaman yang serba pantas ini, masa merupakan aset yang paling penting bagi setiap individu. Setiap saat yang diluangkan untuk menunggu dikira sebagai masa yang tidak efektif. Maka, adalah kurang bijak bagi kita untuk meluangkan masa menunggu di kaunter-kaunter hanya untuk pembayaran bil. Ini kerana ia mungkin akan melibatkan masa-masa yang lain seperti perjalanan, kesesakan lalulintas, parking, kos perjalanan dan masalah sistem yang mungkin dihadapi di kaunter pembayaran. Malah anda mungkin terpaksa mengulangi perkara yang sama sekiranya gagal membuat pembayaran kali pertama anda ke kaunter bayaran yang mungkin disebabkan gangguan talian atau anda terlewat beberapa minit ke kaunter tersebut.

Pembayaran melalui perbankan internet sangat mudah. Melalui beberapa langkah pembayaran, bil-bil anda telahpun jelas. Anda mungkin melakukannya semasa sedang menonton tv bersama keluarga, bebual bersama rakan di kafeteria, atau sementara menunggu pelanggan anda masuk ke kedai. Kaedah ini juga memberikan anda lebih masa untuk berehat atau digunakan untuk perkara-perkara yang lain seperti mempelajari perkara baru dari internet.

Melalui pembelian melalui internet pula anda mungkin tidak perlu ke luar negara untuk membeli sesuatu barangan. Dengan melalui beberapa klik dan langkah-langkah mudah anda hanya perlu menunggu di rumah sehingga barang yang dipesan sampai. Apa yang anda perlu fikirkan adalah untuk memenuhi masa yang dapat dijimatkan untuk sesuatu yang lebih bermanfaat.

Mengapa Masih Ramai Yang Tidak Menggunakannya?


Ramai di antara kita yang masih kurang yakin untuk menggunakan kaedah pembayaran menggunakan sistem perbankan internet kerana faktor-faktor keselamatan. Walaupun urusan perbankan melalui ATM biasa juga adakalanya tidak selamat. Malah kebanyakan masalah/ kecurian wang melalui akaun adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna sendiri dengan mendedahkan maklumat peribadi mereka kepada pihak ke-3 secara sengaja ataupun tidak.

Ada beberapa langkah yang anda perlu ketahui untuk mengelakkan wang anda hilang dari simpanan bank. Malah wang anda boleh dicuri walaupun anda tidak menggunakan sistem perbankan internet – sekiranya data-data anda dicuri melalui kecuaian anda sendiri. Jadi langkah-langkah keselamatan ini perlu anda patuhi bukan sahaja semasa berurusan di internet malah sepanjang masa. Langkah-langkah keselamatan tersebut adalah seperti;

  • Patuhi langkah keselamatan yang ditetapkan oleh pihak bank.
  • Jangan gunakan komputer awam untuk berurusan dengan pihak bank (sebaiknya).
  • Jangan sesekali menyimpan ‘kata laluan’ (password) anda di dalam ‘pelayar’ (browser). Ingatkan atau simpan dengan selamat.
  • Sentiasa membuat ‘update’ sitem pengoperasian komputer anda, browser dan juga sistem anti-virus. Ini dapat mengelakkan virus baru masuk dan mencuri data melalui komputer anda.
  • Kunci (lock) peralatan anda (komputer dan telefon) supaya tidak digunakan oleh orang lain. Peralatan yang digunakan untuk berurusan tidak perlu dikongsi dengan orang lain.
  • Jangan berikan nombor kad anda dan kod keselamatan kad sekiranya diminta oleh sesiapa pun samada melalui telefon atau mana-mana jurujual. Maklumat tersebut hanyalah untuk anda sahaja.
  • Semasa membuat transaksi di internet pastikan terdapat simbol ‘mangga kekunci’ pada ruang alamat di pelayar – untuk menyatakan talian anda berada di dalam keadaan yang selamat.
  • Setelah selesai membuat transaksi pastikan anda membuat logout dengan berjaya dan tutup tetingkap/tab yang telah digunakan. Padamkan juga kod yang dihantar kepada telefon anda untuk transaksi tersebut.

Bagaimana Menggunakan Sistem Tersebut?

Maybank Logo
Maybank2u adalah sistem perbankan internet dari Maybank.

Hampir setiap bank mempunyai sistem perbankan internet sendiri seperti;
  • Maybank – maybank2u.com.my
  • Cimb – cimbclicks.com.my
  • RHB – rhb.com.my
  • BSN – mybsn.com.my
  • Agrobank – agrobank.com.my
  • Affin Bank – affinonline.com
  • Bank Islam – bankislam.com.my
  • Bank Muamalat – i-muamalat.com.my
  • Bank Rakyat – irakyat.com.my
  • Public Bank – pbebank.com / publicbank.com.my
  • OCBC – internet.ocbc.com.my
  • Hong Leong Bank – hlb.com.my
  • AmBank – ambank.amonline.com.my
  • Standard Chartered – ibank.standardchartered.com.my
  • HSBC – hsbc.com.my / hsbcamanah.com.my

Anda hanya perlu meminta pihak bank mengaktifkan akaun anda untuk kegunaan perbankan internet. Beberapa syarat mungkin diperlukan sebelum anda boleh menggunakan sistem ini dengan selamat. Patuhi arahan yang diberikan bagi memastikan keselamatan wang anda sentiasa terjamin.

Adalah dengan itu diharap kita sama-sama dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini bagi memudah dan menjimatkan lagi masa yang kita luangkan untuk urusan-urusan yang mampu diselesaikan melalui perbankan internet.

Mungkin anda akan mengalami sedikit kejanggalan semasa mula-mula menggunakannya tapi setelah beberapa kali membuat transaksi anda mungkin tidak akan membuang masa untuk beratur lagi.



Free Download




Selasa, 14 Januari 2014

Mengawal Rumpai di Kawasan Halaman Dan Taman Anda

Penggunaan racun rumpai perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan pengguna dan alam sekitar.

Rumpai merupakan masalah biasa yang dihadapi oleh siapa sahaja yang mempunyai halaman atau taman. Penggunaan racun rumpai adakalanya membawa kesan bukan sahaja kepada tanaman malah kepada pengguna, hidupan lain dan kesan sampingan kepada alam sekitar. Penggunaan racun rumpai yang tidak dikawal boleh membawa bahaya.

Memahami tentang racun rumpai merupakan asas yang perlu diketahui sebelum anda mengendalikan racun rumpai. Racun rumpai boleh membawa mudarat dan mungkin membawa maut. Kebanyakan racun rumpai disertakan dengan maklumat-maklumat penting seperti bahan aktif dan juga langkah keselamatan. Ini amat penting bukan sahaja sebagai langkah berhati-hati malah untuk memberikan maklumat yang lebih tepat tentang keberkesanan racun rumpai tersebut terhadap rumpai-rumpai tertentu.

Sekiranya anda mempunyai kawasan tanaman yang kecil atau taman yang sederhana besar, adalah lebih baik sekiranya anda melakukan proses merumput sahaja dan tidak menggunakan racun rumpai. Bagi kawasan yang sederhana besar, ianya bolehlah dibahagi-bahagikan kepada beberapa bahagian dan proses merumput boleh dilakukan secara berselang-selang di antara bahagian-bahagian tersebut. Rumput atau rumpai yang telah dicabut bolehlah digunakan untuk membuat baja kompos yang boleh digunakan semula untuk menyuburkan tanaman anda.

Racun rumpai turut membawa kesan pada tanaman.

Kesan penggunaan racun rumpai:


- Racun rumpai boleh membunuh tanaman anda sekiranya terkena semburan racun tersebut semasa penggunaannya.

- Sesetengah racun rumpai turut diserap oleh akar dan membawa kesan kepada tanaman dari segi kesuburan dan boleh juga menyebabkan kematian tanaman.

- Penggunaan racun rumpai akan menyebabkan permukaan tanah terdedah dan ini akan menyebabkan nutrient di dalam tanah dibawa oleh air hujan (siraman air) dan juga permukaan tanah menjadi lebih kering/keras.

- Racun rumpai boleh diserap oleh tumbuhan (walaupun ianya tidak menyebabkan kematian kepada tumbuhan tersebut) dan ianya mungkin kurang selamat apabila dimakan.

- Racun rumpai menyebabkan hidupan lain seperti cacing tanah, siput, kumbang, gongok, lintah bulan dan sebagainya mati apabila tanah terdedah dan hilang lembapan.

- Racun boleh diserap oleh kulit semasa membuat semburan dan mengancam kesihatan. Sebahagian kesan racun ini hanya boleh dilihat dalam jangka masa yang panjang, kerana serapan racun rumpai melalui kulit dalam kuantiti yang sedikit – dalam kuantiti yang banyak kesannya akan lebih ketara.

Kaedah Membunuh Rumpai Dengan Lebih Selamat:


Sekiranya anda masih perlu membunuh rumpai yang terdapat di halaman atau taman anda gunakanlah kaedah ini yang kurang merbahaya.

- ¼ cawan cuka (sebarang jenis cuka makan) -**bukan cuka getah

- ¼ cawan garam

- ¼ cawan serbuk pencuci

Cairkan campuran ini menggunakan air yang cukup dan sembur pada rumpai yang anda ingin hapuskan. Sekiranya anda memerlukan kuantiti yang banyak bolehlah gandakan kesemua bahan-bahan tersebut. Bahan ini adalah lebih selamat sekiranya kawasan semburan menjadi tempat kanak-kanak bermain atau kawasan di mana haiwan peliharaan anda selalu berada.

Kawasan terdedah selepas diracun boleh menyebabkan hakisan.

Berikut pula adalah bahan aktif yang biasa digunakan di dalam racun rumpai dan kegunaanya. Ini adalah untuk memberikan anda lebih kefahaman mengenai racun rumpai dan keberkesanan penggunaanya. Walaubagaimanapun adalah lebih baik sekiranya anda dapat mengelakkan daripada menggunakan bahan-bahan ini.

Sebahagian Daripada Bahan Aktif Dalam Racun Rumpai dan Kegunaannya
Bahan Aktif1
Kawalan Rumpai
Kegunaan
Nota
Glyphosate: semua rumpai, baru tumbuh
Hampir kesemua
Kawalan bertompok atau rumpun rumpai
Membunuh rumpai sekiranya semburan mengenainya.
Plant oils termasuk cengkih, serai dan eugenol: semua rumai, baru tumbuh
Daun lebar yang muda
Pada rekahan dan kawalan bertompok
Diterima secara organik. Tidak membunuh daun yang tua atau malar hijau. Lebih berkesan semasa cuaca panas 21°C dan keatas
Trifluralin: Tertentu, baru tumbuh
Kebanyakan rumpai
Taman dan halaman
Siram atau gunakan tanah selepas penggunaan. Guna apabila tanaman telah tumbuh.
Benefin: Tertentu, baru tumbuh
Kebanyakan rumpai
Laman
Biasa digunakan untuk mengawal ‘crabgrass’.
Dithiopyr: Tertentu, baru tumbuh
Crabgrass, annual bluegrass, oxalis, spurge, dan lain-lain
Laman
Membunuh rumput fescue dan bentgrass.
Dicamba: Tertentu, baru tumbuh
Daun lebar
Laman
Mengawal rumpai berdaun lebar pada laman.
Fluazifop: Tertentu, baru tumbuh
Rumput termasuk bermudagrass
Pada rumpai berdaun lebar dan penutup bumi.
Gunakan semasa rumput tumbuh dengan aktif.
2,4-D or 2,4-Dichloro-acetic acid: Tertentu, baru tumbuh
Daun lebar
Laman
Mengawal dendalion dan rumpai berdaun lebar yang lain.

Maklumat di atas adalah sebahagian contoh bagi memberikan anda gambaran tentang bahan aktif yang digunakan di dalam racun rumpai. Ini kerana racun rumpai mempunyai sasaran penggunaan tersendiri dan penggunaan tidak mengikut peraturan tidak akan mendatangkan hasil seperti yang diinginkan. Sedangkan racun tersebut tetap boleh mendatangkan bahaya bagi anda yang mengendalikannya.

Jadi adalah lebih baik sekiranya anda menggunakan alternatif yang selamat dan mengamalkan kaedah penanaman yang selamat bagi mengelakkan rumpai tumbuh secara tidak terkawal. Adakalanya kesan jangka panjang adalah lebih penting difikirkan berbanding dengan kesan jangka pendek yang bersifat sementara.

Pastikan kawasan halaman atau taman anda ditanam dengan tumbuhan tutup bumi yang sesuai bagi mengelakkan hakisan serta kehilangan 'nutrient' di dalam tanah. Kemudian carilah tanaman yang sesuai untuk ditanam yang boleh memberikan pulangan daripada kawasan tersebut. Walaupun rumpai boleh mendatangkan masalah tapi ia juga masih boleh digunakan untuk menghasilkan kompos yang akan menyuburkan semula tanah. Jadi, uruskan kawasan tanaman anda dengan cara yang lebih efektif dan selamat. 



Free Download



Arkib Blog