Memaparkan catatan dengan label laut. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label laut. Papar semua catatan

Khamis, 3 Ogos 2017

Bahan Tenunan Unik Sutera Laut (Sea Silk)

Serat byssus yang digunakan untuk menghasilkan sutera laut (sea silk).

Bahan-bahan penghasilan pakaian merupakan antara bahan penting yang sentiasa mendapat perhatian daripada Myrokan terutamanya sutera, sepertimana yang kita tahu, merupakan salah satu bahan terbaik yang diperolehi dari sumber alam. Sutera bukan sahaja dihasilkan oleh ‘ulat sutera’ namun turut dihasilkan oleh serangga-serangga lain. Tahukah anda salah satu sutera terbaik iaitu ‘sutera laut’ adalah dihasilkan oleh sejenis kerang!

Sutera laut (sea silk) merupakan antara bahan yang jarang digunakan dan ianya hanya dihasilkan di beberapa kawasan sahaja di dunia iaitu Taranto, Apulia dan Sardinia di Itali. Ia juga semakin jarang ditemui kerana proses penghasilan sutera ia adalah jauh lebih sukar jika dibandingkan dengan penghasilan sutera daripada ulat sutera.


Pinna nobilis di habitat asalnya di dasar laut. 
Pinna nobilis boleh mencapai sehingga 120 cm.


Sutera laut merupakan bahan filamen sutera yang juga dikenali sebagai “byssus” yang dihasilkan oleh hidupan “bivalve” mollusk untuk membantunya melekatkan diri di permukaan batuan. Adapun bahan yang digunakan untuk menghasilkan sutera laut adalah daripada byssus yang dihasilkan oleh sejenis kerangan yang dikenali sebagai pen shells (Pinna nobilis).

Sutera laut dahulunya dihasilkan di kawasan sekitar Mediterranean di mana hidupan Pinna nobilis boleh didapati sehingga kepada awal abad ke-20. Hidupan cengkerang ini mempunyai saiz yang agak besar dan mampu mencapai ukuran sehingga 120 cm (4 ft) panjang. Pada saiz ini ia mampu menghasilkan serat byssus yang mencapai sehingga 6 cm panjang. Melalui serat inilah benang sutera laut dihasilkan.


Sutera byssus yang amat halus.

Sarung tangan yang dihasilkan menggunakan sutera laut.

Chiara Vigo merupakan satu-satunya penghasil sutera laut yang tinggal!

Oleh kerana byssus yang dihasilkan amat pendek, proses pemintalan benang sutera laut memerlukan kemahiran yang tinggi dan memerlukan masa yang lama. Sehingga kini tiada barangan bersaiz besar dihasilkan menggunakan sutera laut ini melainkan barangan kecil seperti sarung tangan, bahan yang dikait dan beberapa barangan kecil sahaja.

Penghasilan sutera laut merupakan antara kaedah penghasilan fabrik yang hampir pupus dan usaha memeliharanya semakin giat dijalankan oleh pelbagai pihak bagi memastikan ianya tidak terus hilang. Sutera laut sememangnya unik kerana tiada siapa yang menyangka – sutera turut dihasilkan oleh hidupan air terutamanya kerang-kerangan.

Rujukan:
iii) Byssus







Free Download




Ahad, 16 Julai 2017

Perbezaan Antara Mentimun Laut Dan Lintah Laut

Antara lintah laut (sea slug) yang mempunyai warna yang amat cantik.

Dua hidupan unik yang seakan-akan sama iaitu mentimun laut dan lintah laut. Anda mungkin pernah melihat gambar kedua-dua spesies hidupan ini dan banyak di antaranya yang mempunyai warna-warna yang amat menakjubkan. Maka dengan sebab itu, kali ini kita ingin melihat apakah perbezaan di antara kedua-dua hidupan unik ini.

Mungkin anda pernah membaca artikel mengenai mentimun laut ataupun lintah laut di dalam MyRokan sendiri, tetapi setakat ini perbezaan di antara kedua-dua spesies ini tidak pernah pula kami ketengahkan. Oleh kerana terdapat jumlah spesies yang besar untuk kedua-dua jenis hidupan ini, maka kami paparkan di sini perbezaan ketara di antaranya untuk pengetahuan kita bersama.

Mentimun laut merupakan sebahagian daripada kumpulan Echinoderms yang juga mengandungi tapak sulaiman, landak laut dan ‘Brittle Stars’ (hidupan berbentuk bintang). Ia berada dalam kelas ‘Holothuria’. Walaupun bentuknya tidak sama dengan hidupan-hidupan lain dari kumpulan ini, ciri-ciri lainnya adalah sama seperti mempunyai ‘endoskeleton’ yang berada di bawah kulitnya. Hidupan di dalam kumpulan ini lebih mudah dikenali daripada rupa bentuk fizikalnya. Antara lain, kebanyakan hidupan dari kumpulan Echinoderms turut mempunyai kelebihan menghasilkan bahagian gantian apabila ianya hilang/cedera selain membiak secara aseks.






Berbeza pula dengan lintah laut yang sebenarnya sebahagian daripada kumpulan siput. Namun begitu lintah laut berada dalam order Opisthobranchia manakala siput darat pula berada di dalam order Pulmonata dan kedua-duanya tergolong dalam ‘Heterobranchia’. Jadi untuk memudahkan pemahaman mengenai lintah laut ini adalah ianya merupakan sebahagian daripada keluarga siput yang tidak mempunyai cangkerang seperti siput-siput lain. Terdapat pelbagai spesies lintah laut yang mempunyai pelbagai bentuk dan warna. Antara keunikan lain lintah laut adalah menggunakan chloroplasts daripada alga yang dimakannya untuk dirinya pula.






Selain daripada ciri-ciri utama ini, kita juga boleh melihat perbezaan kedua-dua hidupan dari segi anatomi yang dapat memberikan gambaran yang lebih jelas. Jadi walaupun kedua-dua hidupan ini mempunyai bentuk yang hampir serupa, tetapi ianya mempunyai perbezaan yang jauh berbeza. Sebab itulah pengelasan hidupan merupakan satu kerja yang penting dalam mengenali hidupan-hidupan di bumi. Selain daripada memelihara mereka daripada pupus, ia juga banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia sendiri. 



Free Download




Isnin, 27 Februari 2017

Kenali Makanan Laut Lobster

Lobster merupakan makanan laut yang digemari.

Lobster merupakan makanan laut yang amat digemari dan merupakan antara hidangan yang mewah. Secara umumnya terdapat pelbagai jenis lobster yang menghuni perairan di seluruh dunia namun American dan European clawed lobster (Homarus americanus dan Homarus gammarus) merupakan dua jenis lobster sebenar yang dilengkapi sepasang sepit yang besar.

Lobster bagaimanapun suatu masa dahulu hanya digunakan sebagai baja ataupun umpan. Ia juga hanyalah sekadar makanan bagi golongan hamba abdi dan juga dihidangkan sebagai hidangan penjara. Ia hanya mula dikenali sebagai hidangan istimewa pada pertengahan abad ke 19 dimana bot-bot nelayan dilengkapi dengan tangki yang membolehkan lobster-lobster dibawa pulang dalam keadaan hidup. Ini ditambah lagi dengan penerimaan loster sebagai makanan oleh penduduk New York dan Boston.

Perangkap yang digunakan untuk menangkap lobster.

Clawed lobster dengan sepit yang besar.

Hidangan istimewa yang menggunakan lobster.

Daripada pelbagai jenis lobster ini, beberapa di antaranya merupakan tangkapan yang menghasilkan industri perikanan yang bernilai berbillion dolar setiap tahun. Lobster-lobster ini ditangkap bagi memenuhi permintaan tinggi penggemar makanan laut. Selain daripada aktiviti tangkapan, pencemaran laut juga dikatakan menyebabkan jangkitan kepada kulit lobster yang mengakibatkan kematian.

Lobster merupakan hidupan yang menghuni dasar laut dengan menjadikan ikan-ikan kecil dan moluska sebagai makanan utamanya. Namun begitu ia turut menjadikan pelbagai sumber lain sebagai makanan termasuk alga dan cebisan-cebisan reputan penghuni laut yang lain termasuklah lobster sendiri.

Anak-anak lobster yang dibiakkan.

Larva lobster yang semakin membesar.

Lobster Sabah merupakan antara tarikan Kota Kinabalu, Malaysia.

Lobster di dasar laut.

Lobster betina akan membawa telurnya yang diletakkan di bawah bahagian perut. Telur ini akan dibawa kemana-mana buat tempoh masa setahun lamanya sebelum ianya dilepaskan apabila ia bertukar menjadi larva. Daripada larva inilah anak-anak lobster akan melalui beberapa peringkat sebelum mencapai usia dewasa. Ia akan menghabiskan masa di celahan batu-batu di dasar laut bagi mengelakkan serangan musuh. Lobster perlu bersalin kulit untuk terus membesar dan proses ini akan terus berulang untuk sepanjang usianya. Malah lobster boleh menjangkau usia purata sehingga 50 tahun. Manakala lobster tersebar yang ditangkap adalah seberat 20.14 kg dengan saiz 1.2 m dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 100 tahun.


Lobster digemari di mana sahaja di seluruh dunia. Jadi pengenalan dan pemuliharaan kawasan pembiakan spesis ini adalah penting bagi memastikan bekalan lobster terus berkekalan selain tidak mengganggu fungsinya kepada ekosistem. Tidak dinafikan adalah sukar bagi para nelayan membendung permintaan pasaran namun sekiranya ia tidak diuruskan dengan berhati-hati maka tiada lagi lobster yang boleh dituai untuk tempoh beberapa tahun akan datang.



Free Download


Ahad, 2 Oktober 2016

Keunikan Hidupan Laut - Mentimun Laut

Mentimun laut di dasar laut.

Mentimun laut juga lebih dikenali sebagai “sea cucumbers” merupakan satu lagi hidupan unik yang menarik perhatian MyRokan pada kali ini. Ini kerana selain mempunyai keunikan tersendiri, ia juga merupakan sebuah kumpulan hidupan yang besar dengan jumlah 1,717 spesis yang diketahui dengan sejumlah besarnya terdapat di kawasan sekitar Asia Pasifik. Maka tidak hairanlah mengapa masyarakat di sekitar kawasan ini menggunakan mentimun laut untuk pelbagai kegunaan, selain fungsi mentimun laut itu sendiri kepada alam semulajadi.

Oleh kerana jumlahnya yang besar itu, mentimun laut mempunyai pelbagai bentuk yang unik dan ada di antaranya juga yang mungkin agak kurang menyenangkan bagi sesetengah orang. Pada kebiasannya mentimun laut mempunyai saiz antara 10 hingga 30 cm (3.9 hingga 11.8 in) panjang. Namun saiz mentimun laut terkecil adalah hanya berukuran 3mm (0.12 in) panjang, manakala bagi jenis terbesar pula adalah mencapai sehingga 3 meter (9.8 ft). Walaupun kebanyakan mentimun laut berbentuk seperti silinder, namun ada juga yang berbentuk sedikit leper dan sebagainya. Malah ia juga mempunyai pelbagai rupa bentuk luaran yang menakjubkan.


Mentimun laut di kawasan dalam.

Mentimun laut.

Antara lain jenis mentimun laut.

Manakala mentimun laut sendiri memainkan peranan penting kepada ekosistem di mana ianya ditemui. Selain menjadikan bahan-bahan mereput sebagai sumber makanannya, mentimun laut sebenarnya merupakan agen pembersih yang penting dengan cara yang berbeza daripada hidupan-hidupan lain seperti tiram, kerang, siput, udang, ketam, belangkas dan sebagainya. Mentimun laut kebiasaannya akan menelan pepasir di dasar laut dan membersihkan pasir tersebut daripada sebarang bahan yang terlekat padanya. Namun terdapat juga spesis-spesis lain yang mempunyai tabiat pemakanan yang berbeza.

Di sesetengah kawasan, kepadatan jumlah mentimun laut adalah amat tinggi. Sebagai contoh di Laut Pasifik Selatan kepadatan mentimun laut boleh mencapai sehingga 40 ekor bagi setiap meter persegi. Pada jumlah ini mereka mampu membersihkan sehingga 19 kilogram sendimen bagi setiap meter persegi (34 lb /sq yd) setiap tahun. Namun keupayaan ini juga berbeza-beza mengikut spesis dan kaedah pemakanan mereka.

Kagunaan Kepada Manusia

Oleh kerana jumlah mentimun laut yang banyak dan mudah didapati, manusia telah mempelajari kaedah untuk memanfaatkan sumber mentimun laut ini. Selain dijadikan sebagai salah satu sumber makanan, mentimun laut juga mempunyai potensi sebagai bahan perubatan dengan contoh yang paling dikenali ramai iaitu “minyak gamat”.


Jenis mulut pada mentimun laut.

Antara masakan daripada mentimun laut.

Kawasan penternakan mentimun laut di Madagascar.

Bagi tujuan komersial, mentimun laut juga adalah diternak selain daripada diperolehi dari sumber liar. Teknik penternakan mentimun laut ini adalah dipelopori oleh China dan Jepun sebelum dikembangkan ke India pada tahun 1988. Pembangunan teknologi penternakan mentimun laut terus berkembang ke negara-negara lain seperti Australia, Indonesia, New Celedonia, Maldives, Solomon Islands dan juga Vietnam. Teknik penternakan ini pada mulanya adalah untuk beberapa spesis tertentu sahaja dan ianya semakin bertambah kepada spesis-spesis yang lain.

Antara kaedah yang popular adalah penternakan di bawah jaring ternakan ikan atau udang dalam sangkar. Kehadiran mentimun laut di bawah sangkar ini dapat membantu membersihkan bahan buangan dari ikan atau udang yang diternak di atasnya. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan hasil keluaran mentimun laut, malah ini juga menyediakan keadaan yang lebih bersih dan mengurangkan kerosakan serta bau yang tidak menyenangkan di kawasan penternakan tersebut. Melalui kaedah ini sahaja, China mampu mengeluarkan sehingga 90,000 tan mentimun laut dengan pertumbuhan anak-anak mentimun laut dengan lebih pantas.

Walaupun mentimun laut diternak secara komersial, permintaan pasaran terhadapnya adalah amat tinggi dan menyebabkan harganya menjadi mahal. Ini menyebabkan masih ada di antara mentimun laut yang diperolehi dari sumber liar. Penangkapan dari sumber liar ini menyebabkan populasi mentimun laut menjadi semakin berkurangan. Keadaan ini juga menyebabkan persekitaran tempat tinggal asal mentimun laut diancam dengan kotoran sendimen yang menjadi makanan mereka.

Makanan Dan Ubatan

Sejak sekian lama, khasiat mentimun laut sebagai bahan ubatan telah lama digunakan masyarakat setempat di Malaysia. Gamat atau mentimun laut dari jenis ‘golden sea cucumber’ (Stichopus horrens) digunakan dalam penghasilan produk-produk berasaskan gamat. Memandangkan teknik penternakan gamat di Malaysia kurang berjaya, jumlah populasi gamat adalah semakin berkurangan setiap tahun.

Berbanding dengan negara-negara lain, mentimun laut ini lebih popular sebagai bahan makanan. Dikenali sebagai trepang (atau trīpang) di Indonesia ia digunakan untuk menyediakan sajian-sajian unik dengan pelbagai kaedah masakan. Antara nama lain bagi mentimun laut adalah bêche-de-mer di dalam bahasa Perancis, namako di dalam bahasa Jepun dan balatan di dalam bahasa Tagalog. Walaupun mentimun laut boleh didapati di pasaran, harganya mungkin agak tinggi kerana permintaannya yang tinggi pula. Kebanyakan mentimun laut adalah dijual di pasaran dalam bentuk kering.


Begitulah serba sedikit mengenai keunikan hidupan mentimun laut yang amat unik. Walaupun ia kelihatan kurang menarik bagi sesetengah orang, ia tetap mempunyai fungsi yang amat penting serta permintaan yang amat tinggi. Banyak lagi perkara yang perlu diketahui mengenai hidupan unik ini bagi membolehkan ianya terus dimanfaatkan tanpa mengganggu jumlahnya di habitat liar - kerana ia juga mempunyai fungsi yang amat penting kepada ekosistem.


Free Download




Arkib Blog