Memaparkan catatan dengan label penanaman cendawan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penanaman cendawan. Papar semua catatan

Jumaat, 24 Januari 2014

Benih Cendawan Berkualiti Daripada Mentah Resources

Mentah Resources pengeluar benih cendawan berkualiti.

Sebelum ini kita telah berbincang mengenai cara-cara mendapatkan benih cendawan. Bagi pengusaha cendawan biasanya benih cendawan didapati daripada jabatan-jabatan pertanian ataupun pengeluar benih cendawan persendirian. Oleh sebab itu saya cuba membuat tinjauan di salah satu pusat pengeluar benih cendawan iaitu Mentah Resources.

Syarikat ini sudah pun mengeluarkan benih cendawan sejak beberapa tahun dahulu dan mendapat pengiktirafan jabatan bertauliah seperti MARDI yang giat memajukan industri pertanian dan juga industri makanan berasaskan hasil pertanian. Maka dengan itu Mentah Resources hari ini berjaya menghasilkan benih cendawan berkualiti disamping turut membekalkan bahan-bahan keperluan bagi penanaman cendawan.

Proses Pembenihan Cendawan

Proses pembenihan dijalankan mengikut standard yang sesuai.

Proses pembenihan cendawan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini merupakan satu proses yang rumit dan memerlukan kelengkapan yang lengkap. Maka dengan itu, sekiranya anda masih berminat untuk mencuba menanam cendawan sendiri bolehlah mendapatkan bekalan benih daripada pembekal benih cendawan seperti Mentah Resources.

Melalui sistem yang teratur dan kelengkapan makmal yang lengkap kualiti benih cendawan yang bermutu dapat dihasilkan. Ini kerana sepanjang proses pembenihan cendawan beberapa kriteria perlu dititik beratkan seperti;

- Bahan yang digunakan

- Pensterilan bahan & ruang kerja

- Suhu persekitaran (semasa pembenihan & pengeraman)

- Ruang kerja yang selamat untuk segala proses

* Melihat pada makmal yang dan ruang kerja di Mentah Resources saya amat berpuas hati kerana benih yang dihasilkan amat berkualiti. Kesemua ruang penyediaan disediakan dalam suasana persekitaran yang sesuai, bersih dan mengikut suhu yang bersesuaian. Selain itu juga kesemua bahan yang digunakan disteril dengan baik bagi mengelakkan jangkitan pada benih yang dihasilkan.

Benih-benih Yang Dibekalkan

Peralatan yang lengkap menjamin kerja yang bersistematik.

Benih-benih yang dibekalkan oleh Mentah Resources adalah berbentuk ‘mycelium’ yang mudah digunakan dan dipindahkan ke dalam medium tanaman. Satu bekas benih cendawan dapat digunakan untuk beberapa bekas tanaman cendawan yang akan menghasilkan cendawan yang akan membesar dan boleh dituai.


Benih yang utama dihasilkan di sini adalah daripada jenis ‘Cendawan Tiram Kelabu’ namun terdapat juga benih-benih cendawan utama yang lain mengikut tempahan pelanggan. Anda boleh menghubungi Mentah Resources untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang benih-benih cendawan yang disediakan di sini – atau tempahan yang anda perlukan.

Perkhidmatan Lain Yang Disediakan


Bahan Penanaman Cendawan


Selain daripada membekalkan benih cendawan Mentah Resources juga turut membekalkan bahan-bahan utama yang digunakan untuk penanaman cendawan seperti bekas-bekas dan bahan yang digunakan sebagai medium penanaman cendawan. Ini sudah tentu dapat memudahkan lagi pengusaha yang berminat kerana ia menjadi ‘One Stop Centre’ kepada pengusaha yang mendapatkan bekalan benih di sini selain barangan lain yang diperlukan.

Kursus


Bagi yang berminat lebih lanjut dalam teknologi penanaman cendawan ini, Mentah Resources turut menyediakan kursus yang berkaitan. Kursus ini diadakan dari semasa ke semasa bagi menampung permintaan orang ramai. Oleh kerana semua kemudahan terdapat di pusat ini maka pendedahan yang lengkap dapat diberikan kepada peserta yang menyertai kursus.

Oleh kerana industri penanaman cendawan memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu maka setiap pengusaha yang berminat dengan industri ini perlu mendapatkan kemahiran yang diperlukan sebelum mengusahakan tanaman cendawan. Ianya bukanlah sesuatu yang sukar namun beberapa perkara asas sememangnya perlu dipelajari sebelum mengendalikan penanaman cendawan. Jadi anda dikira bertuah kerana dapat mempelajari daripada sekumpulan orang-orang yang berpengalaman dalam industri ini.


Untuk maklumat mengenai tarikh-tarikh kursus bolehlah menghubungi pihak pengurusan Mentah Resources untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut.

Bahan Mentah Dan Peralatan Pertanian

Peralatan pertanian dan sistem fertigasi turut dibekalkan.

Selain daripada bahan-bahan yang digunakan dalam penanaman cendawan Mentah Resources juga turut membekalkan peralatan pertanian yang lain terutama peralatan dalam sistem fertigasi. Segala kelengkapan daripada bahan-bahan paip saliran, komponen penyambung dan tiub-tiub berkaitan sistem fertigasi terdapat di sini. Tidak lupa juga keperluan lain seperti kelengkapan semaian dan bahan-bahan seperti baja dan “peat moss”. Pendek kata, sekiranya anda memerlukan peralatan berkaitan pertanian, cubalah hubungi Mentah Resources untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Stok bahan mentah yang sedia dihantar kepada pelanggan.

Melihat kepada pengalaman syarikat ini di dalam idustri penanaman cendawan terutamanya menjadikan saya begitu tertarik untuk berkongsi maklumat ini kepada pembaca. Namun banyak lagi perkhidmatan dan kelengkapan yang disediakan oleh syarikat ini dalam memenuhi keperluan para penanam cendawan dan pengusaha industri pertanian.

Mungkin di lain masa saya akan menyentuh perkara-perkara yang lebih mendalam mengenai perkhidmatan yang disediakan. Maka dengan itu sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut mengenai Mentah Resources bolehlah menghubungi terus syarikat tersebut seperti melalui maklumat yang disediakan di bawah;

Syarikat: Mentah Resources
Alamat: No. 30 & 34, Jalan PS 1/5, Taman Pinggiran Senawang, 71450 Sg. Gadut, Seremban, Negeri Sembilan.
No. Tel: 019-2419655/ 096693718
Email: mentahresources@yahoo.com



Free Download



Rabu, 15 Januari 2014

Pengumpulan Benih Cendawan Proses Yang Perlu Dilakukan Dengan Cermat

Cendawan sememangnya digemari di merata dunia.

Peminat cendawan samada anda berkecimpung dalam industri penanaman cendawan ataupun hanya sekadar berminat untuk mengetahui tentang penanaman cendawan tentunya tertanya-tanya tentang kaedah pengumpulan benih cendawan (spora). Pengumpulan benih cendawan memang boleh dilakukan sendiri namun ianya adalah satu proses yang rumit dan memerlukan ketelitian.

Benih (Spora) Cendawan

Spora cendawan amat halus dan ianya tidak boleh dilihat dengan mata kasar melainkan apabila ianya dikumpulkan dalam kuantiti yang banyak. Ini bermakna kehadiran benih spora di dalam udara adalah tidak dapat dinafikan dan ianya hanya akan tumbuh apabila kawasan di mana ia jatuh sesuai untuk pertumbuhan bagi cendawan tersebut.

Pengumpulan benih cendawan boleh dilakukan dengan meletakkan kelopak cendawan di atas kertas dan menutup cendawan tersebut dengan gelas, botol atau sebagainya bagi mengelakkan pergerakan udara membawa spora cendawan ke tempat lain. Spora cendawan akan jatuh ke atas kertas menyerupai bentuk insang cendawan. Terdapat spora cendawan yang berwarna putih, hitam, kelabu, perang dan sebagainya jadi anda perlu berhati-hati sekiranya kertas yang digunakan sama dengan warna cendawan yang dikumpulkan.

Bagi tujuan penanaman pula spora cendawan perlu dikumpulkan dalam persekitaran yang betul-betul bersih kerana terdapat gangguan yang boleh menyebabkan benih cendawan anda rosak. Bakteria dan benih kulat lain yang terdapat dalam udara boleh mengganggu benih cendawan yang anda cuba hasilkan.

Oleh sebab itu sekiranya anda ingin menghasilkan benih cendawan ini kemahiran tentang ‘sterilization’ amat penting bagi menghasilkan kawasan pembiakan dan pemprosesan benih yang selamat untuk benih cendawan. Setiap peralatan dan bahan yang digunakan untuk proses ini perlu disteril dengan cermat bagi memastikan tiada organisma lain yang boleh hidup.

Peralatan pengumpulan benih cendawan.

Penanaman dan Pembesaran

Terdapat pelbagai kaedah penanaman cendawan. Anda boleh menggunakan benih cendawan yang disimpan di dalam bentuk cecair ataupun yang menggunakan disk. Apa yang penting mendium tanaman yang digunakan adalah sesuai dengan spesis yang ingin ditanam. Medium seperti habuk kayu, sekam padi, jerami dan bahan-bahan mereput yang lain adalah biasa digunakan untuk penanaman cendawan. Seperti biasa, medium tanaman ini juga perlu disteril terlebih dahulu sebelum cendawan boleh ditanam di atasnya.

Selain daripada medium tanaman, persekitaran pula perlu berada dalam keadaan lembapan dan suhu yang sesuai. Berbeza dengan tanaman yang lain cendawan tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak melain sedikit cahaya adalah memadai. Walaubagaimanapun ia lebih memerlukan lembapan dan suhu bagi membolehkan cendawan hidup dengan subur.

Semasa proses pembesaran ini juga persekitaran tempat cendawan ditanam perlu di jaga dengan teliti bagi mengelakkan jangkitan kulat. Kulat-kulat lain boleh menyebabkan cendawan anda tertanggu dan ia mungkin tidak selamat lagi untuk dimakan. Jadi pastikan sebarang jangkitan dapat dikesan diperingkat awal dan hapuskannya dengan segera untuk mengelakkan jangkita merebak.

Anda Ingin Mencuba

Sekiranya anda ingin mencuba secara kecil-kecilan penanaman cendawan ini di rumah anda bolehlah melakukannya dalam kuantiti yang kecil. Pastikan anda mendapat maklumat yang mencukupi sebelum memulakan hobi baru anda ini. Sediakan kelengkapan yang diperlukan bagi mengelakkan masalah semasa anda menjalankan proses pembesaran.

Sediakan tempat tanaman yang mudah dikawal seperti aquarium lama (boleh digunakan untuk membesarkan cendawan anda). Sediakan satu kawasan di dalam atau di luar rumah yang kurang gangguan dan jarang dimasuki melainkan anda sendiri.

Sediakan medium penanaman (yang telah disteril) dan dapatkan benih cendawan (samada dalam bentuk cecair ataupun disk – daripada pembekal benih cendawan/atau badan pertanian). Mulakan proses penanaman anda sebaik sahaja semua peralatan dan persediaan telah dibuat.

Pensterilan

Autoclave merupakan alat paling penting untuk pensterilan.

Pensterilan adalah proses di mana kita menghapuskan semua organisma (bakteria, virus, kulapuk dan lain-lain). Ia dilakukan dengan menggunakan suhu dan tekanan tinggi. Sebab itu anda memerlukan peruk tekanan tinggi (autoclave/periuk tekanan) untuk tujuan pensterilan. Manakala bagi peralatan lain yang digunakan akan disteril menggunakan alcohol dan juga menggunakan proses pembakaran (bagi jarum suntikan benih, pisau dan peralatan yang lain – yang menggunakan kaedah ini).

Jadi setiap kali sebelum anda ingin mengendalikan penanaman cendawan anda, apa yang perlu anda ingatkan adalah – sudahkah peralatan anda disteril (dibersihkan) dengan sempurna?

Tidak dinafikan bahawa mencuba aktiviti ini merupakan satu percubaan yang menyeronokkan. Selain menjadi hobi ia mungkin juga dapat menyediakan keluarga anda dengan bekalan cendawan kegemaran anda atau sekiranya anda dapat menggandakan penghasilan anda juga boleh menjual cendawan yang anda hasilkan.


Pelbagai kaedah boleh digunakan, teruskan mencuba.

Adalah dinasihatkan supaya anda membuat rujukan terperinci sebelum mencuba penanaman cendawan. Ini bagi memudahkan anda berhadapan dengan sebarang situasi semasa proses penanaman itu nanti. Ia bukanlah satu perkara yang mustahil – tetapi perkara yang perlukan pemahaman sebelum dilakukan. Melalui proses tanaman secara kecil-kecilan anda mungkin satu hari nanti boleh menjadi pembekal benih cendawan. Selamat mencuba.



Free Download



Rabu, 25 Disember 2013

Keenakan Cendawan Yang Boleh Dimakan

Cendawan butang popular dalam kebanyakan masakan

Terdapat banyak spesis cendawan yang boleh dimakan, yang beracun dan banyak pula cendawan yang tidak kita ketahui. Cedawan tergolong dalam kumpulan kulapuk yang terdiri daripada hidupan yang halus sehinggalah cendawan yang boleh dimakan. Keenakan cendawan menjadikan permintaan terhadapnya begitu tinggi sehingga manusia cuba membiakkannya sendiri. Sehingga kini terdapat sebahagian sahaja yang berjaya ditanam secara komersial manakala sebahagiannya lagi masih didapati secara tumbuh meliar.

Cendawan boleh hidup pada pelbagai medium seperti di atas tanah, di dalam tanah dan juga hidup di atas benda lain seperti kayu mati dan ada juga yang hidup di atas kulit kita (kulat yang menyebabkan penyakit kulit). Jadi dunia cendawan begitu luas dan merangkumi semua tempat di muka bumi. Tidak hairanlah jika terdapat pelbagai jenis cendawan yang tidak kita ketahui.

Kebiasaannya cendawan hanya dipungut semasa musim cendawan yang mampu hidup hanya untuk beberapa hari dan akan mati. Jadi cendawan yang hidup meliar amat sukar untuk ditemui kerana tempat tumbuhnya mungkin tidak ditemui sewaktu musim cendawan. Hanya terdapat beberapa jenis cendawan sahaja yang biasa kita temui dan ketahui yang boleh dijadikan sebagai makanan. Sehinggalah cendawan yang dipelihara secara komersial berada di pasaran. Ini memudahkan kita untuk mendapatkan ianya pada kuantiti yang sesuai untuk masakan.

Kumpulan cendawan yang biasa dimakan di Jepun enokitake, buna-shimeji, bunapi-shimeji, king oyster dan shiitake.

Oleh kerana cendawan berbeza mengikut lokasi, maka nama sebahagian daripada cendawan tersebut hanya terdapat bagi kawasan di mana ia tumbuh atau di mana ia dipasarkan. Hari ini cendawan lebih dikenali di pelbagai tempat kerana ia turut di eksport ke serata dunia walaupun sebahagiannya masih mengekalkan nama asalnya seperti 'enokitake' atau enoki, kerana 'take' bermaksud cendawan.

Untuk mengenali cendawan dengan lebih dekat, mari kita lihat cendawan-cendawan yang ditanam secara komersial di negara kita. Berikut adalah antara cendawan yang ditanam mengikut senarai yang terdapat daripada pertubuhan peladang di Malaysia.

Cendawan tiram putih merpakan jenis yang biasa ditanam

1) Cendawan Tiram Kelabu

2) Cendawan Tiram Putih

3) Cendawan Abalon

4) Cendawan Tiram Kuning

5) Cendawan Tiram Merah Jambu

Cendawan telinga kera juga ditanam secara komersial

6) Cendawan Telinga Kera

7) Cendawan Jerami

8) Cendawan Ling Zhi - digunakan untuk perubatan

9) Cendawan Bunga Kobis

10) Cendawan Berangan

11) Cendawan Peha Ayam

12) Cendawan Kukur/ Sisir

13) Cendawan Shiitake

14) Cendawan Butang

15) Cendawan Jarum Mas (enokitake) - mempunyai nama tempatan kerana ditanam di Malaysia.

16) Cendawan Perut Lembu

Cendawan jerami juga merupakan spesis yang ditanam di Malaysia

Oleh kerana cendawan turut ditanam secara komersial di beberapa negara (60 negara) terutama di China, United States, Netherlands, France dan Poland maka terdapat pelbagai jenis cendawan yang ditanam secara komersial di serata dunia. Di sini saya akan menggunakan nama saitifik untuk memudahkan anda menyemaknya di internet untuk mengetahui secara lebih dekat tentang sesuatu spesis.

'Boletus edulis' spesis cendawan yang terkenal

* Boletus edulis - terkenal di Eropah dan dikenali sebagai Fungo Porcino di Itali. Di German pula ia dikenali sebagai Steinpilz (cendawan batu), di Russia sebagai "white mushroom", di Albania sebagai "wolf mushroom" dan di Perancis sebagai cèpe. Merupakan cendawan yang amat menyelerakan dan dipelbagaikan di dalam masakan.

* Cantharellus cabarius - juga dikenali sebagai "The chanterelle" yang digemari dan tumbuh di banyak kawasan di Asia, Eropah, Amerika Utara dan Australia. Terdapat spesis beracun yang menyerupai cendawan ini.


* Clitocybe nuda



* Grifola frondosa - dikenali juga sebagai maitake di Jepun atau "hen of the woods" atau "sheep's head", merupakan cendawan yang besar dan berisi.

* Gyromitra esculenta - merupakan cendawan yang boleh membawa maut sekiranya dimakan mentah.

* Hericium erinaceus - juga dikenali sebagai "lion's mane mushroom".

* Hydnum repandum

* Lactarius deliciosus 

* Morchella - terdapat spesis yang beracun iaitu Morchella conica & Morchella esculenta.

* Tricholoma matsutake - merupakan cendawan yang paling digemari di Jepun

* Tuber - merupakan dari spesis seperti truffle antara cendawan yang mempunyai harga yang paling tinggi dan sukar untuk dikormersialkan. Antara spesis berjaya ditanam komersial adalah;

- Tuber borchii
- Tuber brumale
- Tuber indicum - truffle hitam China
- Tuber macrosporum - truffle putih
- Tuber mesentericum - truffle Bagnoli
- Tuber uncinatum - truffle hitam musim panas

~ truffle merupakan antara spesis cendawan yang amat digemari. Sehingga adakalanya ianya dijadikan sebagai minyak untuk dan digunakan sebagai perasa dalam masakan. Jarang sekali dimasak seperti cendawan lain sebagai bahan utama masakan melainkan sebagai penambah rasa.

'Amanita muscaria' merupakan cendawan beracun dan perlu dimasak untuk dimakan!!..

Melalui senarai cendawan ini dapat kita lihat terdapat banyak sekali cendawan yang boleh dimakan dan terdapat banyak cendawan yang masih tidak dapat ditanam secara komersial (kaedah penanaman yang masih tidak diketahui). Ini menjadikan dunia cendawan masih lagi memerlukan kajian untuk mengetahui tentang kegunaanya sebagai sumber makanan dan ubatan. Di harap semoga peminat-peminat cendawan akan terus berusaha untuk mengetahui tentang cendawan dengan lebih mendalam.




Free Download



Arkib Blog