Rabu, 15 Januari 2014

Pengumpulan Benih Cendawan Proses Yang Perlu Dilakukan Dengan Cermat

Cendawan sememangnya digemari di merata dunia.

Peminat cendawan samada anda berkecimpung dalam industri penanaman cendawan ataupun hanya sekadar berminat untuk mengetahui tentang penanaman cendawan tentunya tertanya-tanya tentang kaedah pengumpulan benih cendawan (spora). Pengumpulan benih cendawan memang boleh dilakukan sendiri namun ianya adalah satu proses yang rumit dan memerlukan ketelitian.

Benih (Spora) Cendawan

Spora cendawan amat halus dan ianya tidak boleh dilihat dengan mata kasar melainkan apabila ianya dikumpulkan dalam kuantiti yang banyak. Ini bermakna kehadiran benih spora di dalam udara adalah tidak dapat dinafikan dan ianya hanya akan tumbuh apabila kawasan di mana ia jatuh sesuai untuk pertumbuhan bagi cendawan tersebut.

Pengumpulan benih cendawan boleh dilakukan dengan meletakkan kelopak cendawan di atas kertas dan menutup cendawan tersebut dengan gelas, botol atau sebagainya bagi mengelakkan pergerakan udara membawa spora cendawan ke tempat lain. Spora cendawan akan jatuh ke atas kertas menyerupai bentuk insang cendawan. Terdapat spora cendawan yang berwarna putih, hitam, kelabu, perang dan sebagainya jadi anda perlu berhati-hati sekiranya kertas yang digunakan sama dengan warna cendawan yang dikumpulkan.

Bagi tujuan penanaman pula spora cendawan perlu dikumpulkan dalam persekitaran yang betul-betul bersih kerana terdapat gangguan yang boleh menyebabkan benih cendawan anda rosak. Bakteria dan benih kulat lain yang terdapat dalam udara boleh mengganggu benih cendawan yang anda cuba hasilkan.

Oleh sebab itu sekiranya anda ingin menghasilkan benih cendawan ini kemahiran tentang ‘sterilization’ amat penting bagi menghasilkan kawasan pembiakan dan pemprosesan benih yang selamat untuk benih cendawan. Setiap peralatan dan bahan yang digunakan untuk proses ini perlu disteril dengan cermat bagi memastikan tiada organisma lain yang boleh hidup.

Peralatan pengumpulan benih cendawan.

Penanaman dan Pembesaran

Terdapat pelbagai kaedah penanaman cendawan. Anda boleh menggunakan benih cendawan yang disimpan di dalam bentuk cecair ataupun yang menggunakan disk. Apa yang penting mendium tanaman yang digunakan adalah sesuai dengan spesis yang ingin ditanam. Medium seperti habuk kayu, sekam padi, jerami dan bahan-bahan mereput yang lain adalah biasa digunakan untuk penanaman cendawan. Seperti biasa, medium tanaman ini juga perlu disteril terlebih dahulu sebelum cendawan boleh ditanam di atasnya.

Selain daripada medium tanaman, persekitaran pula perlu berada dalam keadaan lembapan dan suhu yang sesuai. Berbeza dengan tanaman yang lain cendawan tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak melain sedikit cahaya adalah memadai. Walaubagaimanapun ia lebih memerlukan lembapan dan suhu bagi membolehkan cendawan hidup dengan subur.

Semasa proses pembesaran ini juga persekitaran tempat cendawan ditanam perlu di jaga dengan teliti bagi mengelakkan jangkitan kulat. Kulat-kulat lain boleh menyebabkan cendawan anda tertanggu dan ia mungkin tidak selamat lagi untuk dimakan. Jadi pastikan sebarang jangkitan dapat dikesan diperingkat awal dan hapuskannya dengan segera untuk mengelakkan jangkita merebak.

Anda Ingin Mencuba

Sekiranya anda ingin mencuba secara kecil-kecilan penanaman cendawan ini di rumah anda bolehlah melakukannya dalam kuantiti yang kecil. Pastikan anda mendapat maklumat yang mencukupi sebelum memulakan hobi baru anda ini. Sediakan kelengkapan yang diperlukan bagi mengelakkan masalah semasa anda menjalankan proses pembesaran.

Sediakan tempat tanaman yang mudah dikawal seperti aquarium lama (boleh digunakan untuk membesarkan cendawan anda). Sediakan satu kawasan di dalam atau di luar rumah yang kurang gangguan dan jarang dimasuki melainkan anda sendiri.

Sediakan medium penanaman (yang telah disteril) dan dapatkan benih cendawan (samada dalam bentuk cecair ataupun disk – daripada pembekal benih cendawan/atau badan pertanian). Mulakan proses penanaman anda sebaik sahaja semua peralatan dan persediaan telah dibuat.

Pensterilan

Autoclave merupakan alat paling penting untuk pensterilan.

Pensterilan adalah proses di mana kita menghapuskan semua organisma (bakteria, virus, kulapuk dan lain-lain). Ia dilakukan dengan menggunakan suhu dan tekanan tinggi. Sebab itu anda memerlukan peruk tekanan tinggi (autoclave/periuk tekanan) untuk tujuan pensterilan. Manakala bagi peralatan lain yang digunakan akan disteril menggunakan alcohol dan juga menggunakan proses pembakaran (bagi jarum suntikan benih, pisau dan peralatan yang lain – yang menggunakan kaedah ini).

Jadi setiap kali sebelum anda ingin mengendalikan penanaman cendawan anda, apa yang perlu anda ingatkan adalah – sudahkah peralatan anda disteril (dibersihkan) dengan sempurna?

Tidak dinafikan bahawa mencuba aktiviti ini merupakan satu percubaan yang menyeronokkan. Selain menjadi hobi ia mungkin juga dapat menyediakan keluarga anda dengan bekalan cendawan kegemaran anda atau sekiranya anda dapat menggandakan penghasilan anda juga boleh menjual cendawan yang anda hasilkan.


Pelbagai kaedah boleh digunakan, teruskan mencuba.

Adalah dinasihatkan supaya anda membuat rujukan terperinci sebelum mencuba penanaman cendawan. Ini bagi memudahkan anda berhadapan dengan sebarang situasi semasa proses penanaman itu nanti. Ia bukanlah satu perkara yang mustahil – tetapi perkara yang perlukan pemahaman sebelum dilakukan. Melalui proses tanaman secara kecil-kecilan anda mungkin satu hari nanti boleh menjadi pembekal benih cendawan. Selamat mencuba.



Free Download



2 ulasan:

  1. benih yang en cakap dari bentuk cecair atau disk tu boleh terangkan dengan lebih mendalam sikit?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Spora cendawan boleh dikumpul dalam bentuk cecair dan kering. Dalam bentuk kering, spora dikumpul pada kepingan aluminum (disk). Mungkin saya boleh terangkan dengan lebih lanjut dalam artikel yang akan datang. Terima kasih.

      Padam

Arkib Blog