Memaparkan catatan dengan label pencemaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pencemaran. Papar semua catatan

Isnin, 22 Ogos 2016

“Seabin Project” Satu Lagi Usaha Untuk Membersihkan Plastik Dari Laut

"Seabin Project" diusahakan oleh Pete Cglinski dan Andrew Turton.

Satu lagi usaha untukmembersihkan bahan buangan plastik dan sampah sarap dari laut dikenali sebagi “Seabin Project”. Kali ini ianya diusahakan oleh dua orang peluncur ombak dari Australia iaitu  Pete Ceglinski dan rakannya Andrew Turton. Menyedari lautan tempat di mana mereka bermain ombak tercemar dengan sisa pembuangan plastik dan lain-lain, mereka mengambil langkah untuk membina “seabin” bagi mengatasi masalah tersebut.

Walaupun usaha ini tidak sebesar usaha yang dijalankan oleh “The Ocean Cleanup” yang merupakan satu projek besar-besaran, namun ia perlu dianggap sebagai salah satu usaha positif dalam mengatasi masalah pembuangan plastik dan pencemaran di lautan. Malah projek ini turut disertai oleh orang ramai melalui sumbangan tajaan mereka melalui indiegogo yang mencapai jumlah USD267,667.

Walaupun projek ini mempunyai skala yang lebih kecil, namun ia boleh memberikan hasil yang baik kerana ianya beroperasi 24/7 dengan kos operasi yang lebih murah berbanding menggunakan bot menangkap sampah seperti yang biasa digunakan. Ia juga tidak mengganggu ekosistem asal di lautan samada ikan ataupun hidupan-hidupan lain. Apa yang lebih baik, ianya telah sedia digunakan berbanding “The Ocean Cleanup” yang masih lagi menunggu pelbagai perkara untuk membenarkan ianya dibina seperti yang dirancangkan.

Teknik pengoperasian "Seabin"

Sampah yang berjaya dikumpulkan.

Makmal penghasilan "Seabin Project".

Projek ini mula diketengahkan pada penghujung tahun 2015 lagi dan ianya telahpun mencapai sasaran yang diperlukan melalui program yang dijalankan melalui indiegogo pada tahun ini (2016). Seterusnya adalah untuk menyaksikan “seabin” berfungsi dalam menjalankan kerja-kerja pembersihan seperti yang diharapkan.

Walaupun “seabin” beroperasi dengan kaedah yang mudah, tetapi ia merupakan usaha yang sangat baik. Sekiranya kita terus menanti tanpa sebarang peralatan dihasilkan, mungkin penantian tersebut tidka akan berakhir untuk tempoh beberapa lama lagi. Ia akan terus diperbaiki bagi memberikan hasil pembersihan yang lebih baik dengan penggunaan tenaga yang lebih efektif.


Pada masa yang sama, masalah ini turut dirasai di mana-mana sahaja. Mungkin untuk mengatasi masalah plastik dan pencemaran ini perlu diatasi di peringkat awal lagi sebelum ianya mula digunakan. Kemudian mengelakkannya daripada memasuki sumber air seterusnya dihanyutkan ke laut. Manakala bagi kita pula supaya bersama-sama membersihkan kawasan yang dikotori dengan plastik.





Free Download



Khamis, 14 Julai 2016

Kepentingan Air Untuk Kesihatan

Air merupakan keperluan penting kepada badan.

Air merupakan antara elemen penting dalam kesiahatan. Walaupun kita sedia tahu akan kepentingan air ini, namun ada juga yang memandang remeh mengenainya. Mungkin pemahaman mengenai fungsi air kepada badan dapat menjelaskan mengapa anda perlu memastikan badan sentiasa mendapat bekalan air yang cukup.

Badan terdiri daripada 60% air yang menunjukkan betapa pentingnya air untuk memastikan ia berfungsi dalam keadaan baik. Air diperlukan dalam kebanyakan fungsi badan seperti penghadaman, penyerapan khasiat, mengawal kepekatan darah, mengawal suhu badan, membantu penghasilan cecair seperti air liur dan banyak lagi. Apabila badan anda berfungsi dengan baik ia akan memberikan ransangan yang tepat supaya anda mudah memahami keperluan badan seperti lapar, haus, letih, mengantuk dan sebagainya. Jadi ia akan memudahkan lagi anda dalam mengekalkan kesihatan yang sempurna.

Jumlah air di dalam badan.

Penagambilan air yang cukup amat penting.

Walaupun pengambilan air yang berlebihan boleh mendatangkan mudarat, namun ia mengambil jumlah yang terlalu banyak untuk anda mencapai kepada tahap tersebut. Malah badan anda akan mengeluarkan jumlah air yang berlebihan dengan cepat melalui air kecil. Jadi anda tidak perlu risau tentang pengambilan air berlebihan sebaliknya anda perlu memastikan pengambilan air yang betul-betul baik untuk badan; iaitu air yang bersih dari pencemaran dan tidak mengandungi  bahan toksid.

Banyak kebaikan air yang boleh disentuh kerana setiap fungsi badan memerlukan air. Ini kerana darah sendiri mengandungi 92% air, manakala 70% di dalam sel-sel (mengikut jenis sel tersebut), jadi air merupakan keperluan utama dalam setiap aktiviti yang berlaku di dalam badan. Sekiranya ingin disenaraikan segala kebaikan air – ia akan merangkumi kesemua proses yang baik dari mengekalkan kesihatan, anti-penuaan, megelakkan penyakit, mengekalkan kesihatan, mengelakkan berat badan berlebihan dan sebagainya.

Air minuman yang dibotolkan.

Air minuman yang ditambah Oksigen.

Sumber air diperolehi daripada minuman dan makanan sendiri. Makanan seperti buah-buahan mengandungi kandungan air yang tinggi dan ia juga merupakan sumber air yang baik. Minuman ringan dan minuman beralkohol pula sebaliknya perlu dijauhkan untuk mengelakkan gangguan kepada kesihatan. Manakala sumber minuman daripada air yang tercemar adalah sama sekali tidak boleh diminum kerana ia boleh menyebabkan berlakunya masalah kesihatan.

Walaupun air yang bersih secara umumnya adalah menyihatkan, beberapa berpezaan pada air yang baik ini juga boleh memberikan kesan yang optimum kepada kesihatan badan anda. Air beralkali misalnya mengandungi sejumlah mineral yang baik untuk badan, selain ia sendiri mempunyai pH yang meneutralkan keasidan di dalam badan. Air RO pula dikatakan mempunyai molekul yang lebih kecil dan mudah diserap ke dalam badan. Ada juga yang melarutkan sejumlah Oksigen yang tinggi di dalam air bagi meningkatkan kadar Oksigen di dalam darah; namun ia bukanlah suatu perkara yang begitu penting.


Penggunaan penapis air bagi memastikan air adalah bersih.

Pencemaran menyebabkan air mengandungi bahan-bahan merbahaya.

Apa yang boleh dirumuskan mengenai air ini adalah, air yang bersih adalah baik untuk kesihatan anda. Pastikan anda mendapat sejumlah bekalan air yang cukup dan kurangkan pengambilan air yang mengandungi bahan perasa tiruan ataupun beralkohol dan elakkan juga minuman ringan. Pastikan anda melakukan aktivti yang mengeluarkan peluh bagi melancarkan lagi pengeluaran toksid dari badan disamping membantu badan mengimbangi kandungan cecair di dalam badan anda.


Free Download



Selasa, 28 Jun 2016

Penapis Air Manakah Yang Lebih Baik?

Adakah air yang anda minum selamat?

Penapis air merupakan antara keperluan rumah yang menjadi semakin penting dalam menyediakan bekalan air minuman bersih. Oleh kerana bekalan air mengandungi pelbagai bahan kimia merbahaya kesan daripada punca bekalan air yang tercemar dan juga saluran perpaipan yang mengandungi mendapan setelah lama digunakan. Perlukah kita melabur sejumlah wang yang besar untuk sistem penapis air ini, dan yang manakah baik untuk kita?

Terdapat pelbagai penapis air di pasaran, dan sebahagiannya dijual dengan harga yang amat tinggi. Persoalannya, apakah fungsi penapis air tesebut? Apakah bahan yang akan ditapis? Bagaimanakah ia bekerja? Apakah tujuan penapisan air tersebut dilakukan?

Keperluan kita mungkin berbeza antara pengguna individu, restaurant, industri, pusat kesihatan, makmal dan sebagainya. Jadi kualiti air yang diperlukan juga berbeza-beza. Adapun bagi pengguna domestik, apa yang diperlukan hanyalah kualiti air minuman yang bersih daripada sebarang mikro-organisma punca penyakit, pencemaran bahan kimia dan mendakan.

Bahan pencemaran seperti mikro-organisma boleh memasuki punca air semasa proses pemindahan air dari pusat rawatan ke rumah. Manakala bahan kimia biasanya berasal daripaa punca air itu sendiri, sedangkan mendakan berpunca daripada sistem saluran paip yang telah lama digunakan dan juga punca bekalan.


Penapis air yang paling mudah.

Sistem Penapisan

Sistem penapisan biasanya berfungsi pada dua tahap (minima) iaitu tapisan kasar dan tapisan halus (juga anti-bakteria). Tapsisan kasar menapis mendakan di dalam air bagi partikel-partikel kasar yang menjadikan sumber air keruh. Tapisan air kedua pula membersihkannya lagi dan membunuh organisma-merbahaya yang terdapat di dalam air – yang boleh menyebabkan punca penyakit. Apa yang dibimbangkan sebenarnya adalah bahan pencemaran daripada bahan kimia terlarut dan juga yang ditambah seperti klorin.

Bagi punca air yang bersih seperti daripada kawasan pergunungan dan sungai yang bersih, pencemaran bahan kimia adalah jarang berlaku. Bahan-bahan kimia ini kebiasaannya berasal daripada kawasan pertanian yang menggunakan racun rumpai, racun serangga dan bahan-bahan kimia yang lain untuk tujuan pertanian. Begitu juga bagi punca air yang melewati kawasan perindustrian yang menggunakan lebih banyak bahan kimia dalam aktiviti hariannya.


Sistem penapisan RO keterlaluan!

Sistem Penapisan Air di Pasaran

Sistem penapisan air di pasaran adakalanya keterlaluan dengan penapisan berlebihan. Di sini berlakunya pembaziran seperti dalam sistem penapisan reverse osmosis. Penapisan bukan sahaja mengambil masa yang lama, malah kebanyakan air adalah dibuang. Ia juga turut menapis bahan mineral yang terkandung di dalam air sebaliknya masih lagi mengandungi bahan Volatile Organic Chemicals (VOCs) seperti racun rumpai, racun serangga, dan bahan-bahan kimia yang lain sekiranya ia terkandung di dalam air.

Manakala sistem yang lebih murah seperti blok penapis karbon pula adalah lebih mudah digunakan kerana ia memenuhi keperluan pengguna. Ia adalah lebih pantas, menapis kebanyakan bahan yang tidak diperlukan. Selain itu penapis jenis ini juga boleh digunakan untuk tempoh yang lebih lama.

Terdapat juga sistem penyulingan yang lebih baik dalam menyah bahan terampai dan juga mikro-organisma. Namun pada masa yang sama masih lagi mengandungi Volatile Organic Chemicals (VOCs) kerana bahan-bahan seperti ini masih lagi akan meruap semasa proses penyulingan dilakukan.


Sistem penapis air biasa.

Carbon filter block mampu menapis air dengan baik.

Manakah Sistem Penapis Yang Baik?

Jawapannya adalah bergantung kepada keperluan anda. Apa yang penting adalah anda mengetahui apakah yang anda perlukan daripda sistem tapisan yang akan dipasang. Sekiranya untuk digunakan sebagai sumber minuman, makan air tersebut perlulah ditapis dengan baik dan mampu menyingkirkan kebanyakan bahan terampai, bahan kimia merbahaya dan juga mikro-organisma punca penyakit.

Namun sekiranya bekalan air tersebut digunakan untuk mencuci dan menyiram pokok di halaman, ia mungkin hanya ditapis sekadar mengelakkan daripada mengandungi kotoran bahan mendakan atau tidak perlu ditapis langsung.

Air minuman perlu menyihatkan.

Memasak air minuman langkah keselamatan yang paling baik.


Manakala bagi memastikan sumber air minuman anda selamat, langkah terbaik adalah memastikan air minuman anda sentiasa dimasak – memasak air bukan sahaja membunuh mikro-organisma, tetapi juga menyingkirkan bahan merbahaya seperti klorin. Simpanlah air minuman anda yang telah ditapis di dalam bekas besar bagi membolehkan bahan yang tidak sepatutnya mendak dan masaklah sebelum ianya digunakan untuk minuman. Pastikan punca bekalan air minuman anda selamat dalam mencegah masalah kesihatan yang lebih serius.


Free Download



Khamis, 5 Mei 2016

Satelit Untuk Mengesan Biomass Menjelang 2021

Biomass satellite yang akan digunakan oleh ESA.

Satu lagi satelit di bawah projek European Space Agency (ESA) yang akan dilancarkan menjelang 2021 adalah untuk mengesan kadar biomass (jumlah hidupan di dalam sesuatu kawasan) di serata dunia. Kaedah ini mungkin dapat membantu untuk mengetahui jumlah biomass bumi dengan lebih tepat serta kadar karbon yang ada di dalam atmosfera.

Satelit yang akan dibina oleh Airbus Defence and Space ini akan menggunakan radar pada jalur P-band; yang pertama seumpamanya digunakan di angkasa. Ini kerana P-band juga digunakan di dalam bidang ketenteraan oleh beberapa negara di dunia. Penggunaan radar ini akan dapat membantu mengesan dengan tepat lokasi biomass bagi kawasan tropika, hutan sederhana dan juga kawasan beriklim 4 musim.

Satelit ini akan menjalankan misi selama 5 tahun dan dijangkakan dapat melihat sekurang-kurangnya 8 pusingan pertumbuhan hutan di dunia. Selama tempoh tersebut satelit Biomass ini akan mengumpulkan data-data tersebut untuk membuat pengukuran perubahan yang berlaku sepanjang tahun.

Biomass di bumi dapat mengimbangi kandungan karbon di udara.

Pelancaran Sentinel-1B, sebahagian daripada projek 'Copernicus Earth observation'.

Satelit yang menelan belanja 229 juta euros (US$260 juta) ini akan dilengkapkan dengan antena radar P-band synthetic-aperture sebagai antara komponen utamanya.  Atena tersebut akan dibina oleh Airbus’s Friedrichshafen, Germany, bersama 12 meter diameter antena ;agi yang dibina oleh Harris Corp. dari Melbourne, Florida. Oleh kerana ia menggunakan gelombang yang digunakan oleh pihak ketenteraan, beberapa kawasan seperti Amerika Utara, Britain, Greenland dan Turkey mungkin tidak akan dapat dilakukan.

Penggunaan satelit ini dapat membantu program-program lain yang dijalankan di permukaan bumi malah turut membantu REDD+ (program oleh UN), selain turut bertukar maklumat bersama untuk program  ‘Copernicus Earth observation’ (yang mengandungi beberapa satelit) yang dimulakan dengan pelancaran Sentinel-1A sejak April 2014 lagi.


Diharap kesemua pelancaran satelit ini dapat membantu kita dalam membentuk penyelesaian bagi masalah pencemaran yang berlaku di bumi. Namun begitu, selain daripada penghantaran satelit tersebut langkah-langkah lebih drastik juga perlu dipergiatkan oleh badan-badan ini seperti pembersihan laut daripada plastik yang dilakukan menggunakan wang yang disumbangkan oleh orang ramai melalui program The Ocean Cleanup



Free Download



Sabtu, 9 April 2016

Bagaimana Pokok Mempengaruhi Cuaca?

Tentu anda dapat bayangkan betapa nyamannya berada di bawah pokok ini.

Kawasan berpokok biasanya memberikan keadaan yang tenang dengan udara yang menyamankan. Sehubungan itu kawasan-kawasan taman dan pusat peranginan biasanya menggunakan pokok-pokok bukan sahaja untuk mencantikkan kawasan tersebut, malah pokok-pokok tersebut turut mempengaruhi keadaan di sesuatu kawasan.

Mungkin kita tidak menyedari bahawa kawasan hutan (yang dipenuhi pokok) hanya meliputi 30% daripada keluasan tanah di bumi. Kawasan-kawasan ini pula terletak terutamanya di beberapa negara seperti United States, Canada, Russia, Brazil, China, Australia, Republik Congo, Indonesia, Peru dan India. Di negara-negara lain keluasan hutan semakin berkurangan.

Kawasan-kawasan hutan di seluruh dunia.

Bukan mudah untuk memulihkan tanah yang telah terdedah.

Selain daripada mempengaruhi keadaan cuaca, pokok-pokok mempunyai pelbagai fungsi kepada manusia sejak sekian lama. Ini termasuk memberikan sumber untuk bahan binaan, makanan, getah, minyak, ubatan, serat dan sebagainya. Pokok-pokok juga merupakan tempat di mana hidupan lain bergantung untuk hidup dalam mendapatkan sumber makanan dan sebagai perlindungan.

Keupayaan pokok untuk mengawal keadaan cuaca dapat dilihat dengan jelas. Jadi, pada skala yang besar, kesannya menjadi lebih ketara. Maka proses pembangunan sesuatu kawasan perlu dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kehilangan pokok secara besar-besaran dalam masa yang singkat. Kehilangan pokok-pokok bukan sahaja menyebabkan tanah terdedah kepada panas matahari. Ia akan menyebabkan hakisan, kehilangan nutrient di dalam tanah dan seterusnya menyebabkan kawasan tersebut menjadi kawasan padang pasir.

Pokok-pokok pada skala besar akan mempengaruhi iklim dan pada masa yang sama turut mempengaruhi keadaan cuaca. Secara kasarnya, pokok-pokok mempengaruhi keadaan ini dengan 3 cara iaitu; menurunkan suhu persekitaran, mengurangkan penggunaan tenaga (untuk penyejukan) dan juga mengurangkan kesan pencemaran di dalam udara.

Transpirasi, proses perpeluhan pada tumbuhan yang membebaskan wap air ke udara.

Penanaman pokok disekitar rumah mengurangkan kos penyejukan.

Bahang panas matahari akan ditapis oleh lapisan-lapisan daun daripada pokok. Ia akan disejukkan lagi oleh wap air yang dibebaskan oleh pokok melalui proses “evapotranspiration”. Iaitu gabungan proses “evaporation” (sejatan) dan juga “transpiration” (transpirasi). Proses ini berlaku sepanjang hari terutamanya apabila terdapat sumber cahaya matahari dan jumlah air yang cukup (yang diserap oleh akar pokok). Oleh kerana wap air ini terlalu halus, maka kita tidak menyedarinya melainkan merasa nyaman sewaktu berada di bawah pokok yang rendang.  Bagi sepohon pokok yang besar sebagai contoh: pohon oak, akan membebaskan sehingga 40,000 gallon air ke atmosfera setahun melalalui proses transpirasi.

Selain daripada membebaskan wap air, pokok-pokok dapat mengelakkan cahaya matahari daripada terus mengenai rumah anda. Ini dapat mengurangkan lagi suhu panas di dalam rumah. Ia juga mengelakkan tiupan angin kuat daripada terus memasuki rumah yang mungkin menyebabkan anda terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa. Kawasan rumah yang dipenuhi oleh pokok-pokok dan rumput pula dapat mengelakkan haba yang dipantulkan daripada permukaan tanah atau bahang daripada permukaan yang tidak ditumbuhi sebarang tumbuhan.


Jadi sekiranya anda ingin memiliki persekitaran yang nyaman dan bersih, pastikan anda menghargai tumbuh-tumbuhan di sekeliling anda. Amat mudah bagi kita manusia untuk memusnahkan sesuatu tumbuhan ataupun hidupan, namun begitu kita tidak mampu untuk menjamin bahawa kita mampu untuk menggantikannya semula. Fikir-fikirkan!






Free Download



Arkib Blog