Memaparkan catatan dengan label pintar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pintar. Papar semua catatan

Rabu, 29 April 2015

Kanak-kanak Pintar Jacob Bernett

Jacob Bernett
Jacob Bernett percaya setiap orang mampu memiliki kepintaran seperti beliau.

Kisah kepintaran Jacob Bernett sudah mendapat liputan yang meluas, namun di sini ingin dikongsikan sekali lagi sebagai peransang kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Dikesan sebagai Autism pada peringkat awal pembesarannya dia dikatakan tidak akan mampu belajar bercakap dan membaca – malah tidak tahu mengikat tali kasutnya. Sehingga kini Jacob kelihatan tidak mengikat tali kasut ketika hadir dalam ucapannya di TEDx.

Sebagai ibu bapa yang diberitahu mempunyai anak yang bermasalah sudah tentu akan merasa gelisah. Ibu bapanya yang kemudiannya mengambil keputusan untuk mengajar Jacob di rumah. Kisah bagaimana ibunya mengasuh Jacob ini dimuatkan dalam buku “The Spark: A Mother’s Story of Nurturing Genius”.

Kisah mengenainya bermula semasa dia berumur 8 tahun mengikuti kelas fizik di Indiana University. Manakala pada usia sembilan tahun pula telah membina siri model matematik yang membesarkan cabang teori relativiti Einstein dan ini turut mendapat perhatian professor daripada Princeton University. Pada usia 12 tahun pula dia dibenarkan menyertai universiti secara sepenuh masa dan menerbitkan kertas fizik pertamanya.

Jacob sewaktu muncul di TEDx.

Kanak-kanak pintar ini sangat tertarik dengan subjek matematik dan sains. Perbezaan yang ketara pada Jacob hanyalah minat  dan tumpuannya pada subjek yang digemarinya. Berkata di TEDx bahawa setiap orang mampu memiliki kemampuan seperti beliau sekiranya tumpuan pemikiran tersebut diberikan.

Berikutan minat mendalam itulah, Jacob menukarkan bilik di rumahnya menajdi makmal – melalui duit yang dimenanginya dalam pertandingan. Malah di kelihatan akan menulis formula matematik/fizik hampir di setiap ruang kosong di rumahnya sehingga ke tingkap.


Jacob, kanak-kanak istimewa.

Kisah mengenai jacob Bernett ini boleh diikuti dari beberapa artikel tersedia di internet dan video-video di You Tube serta TEDx. Bukanlah mudah untuk menerima apa yang pada awalnya diberitakan oleh para doktor mengenainya – namun begitu dengan ketabahan ibu bapanya dalam usaha memberikannya yang terbaik telah membuahkan hasil. Satu yang perlu diingat – Setiap manusia adalah istimewa. 






MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Khamis, 13 Mac 2014

Smartphone Bukan Sekadar Telefon Untuk Berbual

Samsung S5
Samsung adalah pengeluar telefon Android yang paling popular.

Kepesatan dunia teknologi hari ini membolehkan kemampuan sebuah komputer dimuatkan ke dalam peralatan yang lebih kecil seperti telefon tangan atau lebih dikenali sebagai ‘Smartphone’. Dibantu dengan kuasa pengiklanan penggunaan peralatan ini menjadi satu ‘trend’ berbanding keperluan sebenar penggunaanya iaitu – tiada sempadan!

Smartphone satu masa dahulu lebih dikenali sebagai PDA dan tidak mampu dimiliki oleh semua golongan. Terdapat beberapa jenis PDA yang terkenal menggunakan sistem pengoperasian WindowsCE atau contoh yang lain adalah seperti NOKIA Symbian. Telefon-telefon ini menggunakan perisian yang dibekalkan terutamanya oleh syarikat pengeluar perisian itu sendiri.

Trend masa kini berubah dengan adanya iPhone yang memberikan lebih ruang kepada pengguna untuk menyediakan aplikasi-aplikasi mengikut keperluan masing-masing. Aplikasi ini kemudianya boleh dikongsi dengan orang ramai melalui ‘market’. Oleh kerana iPhone/iOS mempunyai ‘standard’ yang tinggi maka Google mengambil peluang dengan mecipta telefon Android yang lebh mudah untuk digunakan oleh orang ramai dan dikongsi oleh lebih banyak syarikat pengeluar telefon bimbit. Oh ya, anda juga mungkin mengenali Blackberry.

Apple Logo
Apple mempunyai sistem dan aplikasi yang lebih berkualiti.

Senario ini menimbulkan banyak implikasi kepada semua tahap, tahap pembangunan sistem seperti Apple, Google dan Microsoft sendiri, tahap pembangunan aplikasi (mereka yang terlibat dalam pembangunan aplikasi) dan juga pengguna. Mari kita lihat senario yang berlaku hari ini;

Syarikat Pembangunan Sistem


Syarikat yang membangunkan sistem seperti Apple yang membangunkan iOS, Google yang membangunkan Android dan Microsoft yang membangunkan Windows Phone. Ketiga-tiga syarikat ini berusaha menyediakan sistem yang boleh digunakan oleh pembangunan aplikasi supaya mereka juga dapat meraih keuntungan daripada aplikasi mereka. Apa yang membimbangkan perlumbaan ini menyebabkan sesetengah peralatan mereka menjadi ‘obsolete’ terhadap sistem terbaru mereka dan pengguna perlu membeli peralatan yang baru. Peluang ini turut digunakan oleh syarikat pengeluar telefon di mana terdapat peralatan yang tidak boleh diupdate kepada sistem terbaru.

Apple mampunyai kaedah tersendiri dalam memastikan sistem pengoperasiannya bejalan dengan lebih baik iaitu mengenakan bayaran dan pemeriksaan untuk setiap aplikasi yang ingin dikongsi kepada orang ramai. Maka dengan itu Apple mempunyai senarai aplikasi yang lebih berkesan/lancar untuk digunakan di dalam peralatan mereka samada iPhone, iPad mahupun Mac. Berbanding Google yang lebih mengutamakan kemudahan kepada pengguna, ia sering dieksploitasi bagi mereka yang tidak bertanggungjawab dan mencari keuntungan semata.

Pembangunan Aplikasi


WhatsApp Logo
WhatsApp antara aplikasi yang paling popular.

Bagi mendapat sokongan pengguna untuk membeli peralatan dan menggunakan sistem pengoperasian masing-masing, syarikat-syarikat pengeluar sistem turut menyediakan aplikasi-aplikasi mereka sendiri. Namun begitu peluang turut diberikan kepada syarikat lain untuk sama-sama mebangunkan aplikasi bagi memenuhi keperluan pengguna. Bagi syarikat-syarikat yang menghasilkan telefon (bagi sistem Android) mereka turut menyediakan aplikasi mereka bagi meraih lebih sokongan pengguna untuk telefon masing-masing (yang kebanyakannya tidaklah berapa digunakan).

Bagi pembangunan aplikasi persendirian pula mereka membangunkan sesuatu aplikasi bagi tujuan keuntungan dalam pelbagai bentuk, paling tidak untuk mendapat keuntungan daripada iklan yang dipaparkan di dalam aplikasi mereka. Namun ini tidaklah membimbangkan seperti aplikasi yang mampu mencuri maklumat peribadi anda untuk tujuan yang tidak baik. Malah terdapat juga aplikasi yang menyebarkan maklumat yang tidak betul atau boleh merosakkan sesuatu perkara – seperti aplikasi Al-Quran/Bible/dll. yang ditokok tambah atau diubah maknanya.

Bagi pembangun aplikasi-aplikasi ini mereka semua mempunyai tujuan masing-masing yang berbeza-beza. Ada di antaranya yang memberi kebaikan kepada pengguna seperti kemudahan berbual menggunakan talian internet atau dikenali sebagai ‘Voip’ dan juga menghantar teks secara percuma (selagi anda mempunyai talian internet). Malah ada diantara aplikasi-aplikasi ini kemudiannya dibeli oleh syarikat-syarikat yang lebih besar seperti Whatsapp yang dibeli oleh Facebook pada harga 16 Billion USD baru-baru ini.

Pada Tahap Pengguna


Pada tahap pengguna pula ia memberikan pelbagai reaksi. Bagi mereka yang mempunyai keperluan dan keupayaan menggunakan telefon pintar ini, ia bagaikan memiliki sebuah peralatan ajaib yang berada di tangan mereka dan membantu menyelesaikan pelbagai perkara pada bila-bila masa. Telefon pintar mampu menyediakan mereka sekurang-kurangnya beberapa perkara seperti di bawah:
  • Kemudahan perhubungan; perbualan dan teks bila-bila masa
  • Kemudahan email pada bila-bila masa untuk tujuan perniagaan dan peribadi
  • Kemudahan jadual harian (organizer) dengan maklumat yang lengkap
  • Kemudahan perakam audio/video untuk sebarang temubual
  • Kemudahan mengakses internet untuk pelbagai tujuan (termasuk rujukan/ perbankkan/ maklumat/ tempahan tiket dan sebagainya)
  • Kemudahan perkongsian laman sosial untuk membina network dan perkongsian maklumat
  • Kemudahan bahan bacaan melalui ebook, pdf dan dokumen-dokumen peribadi apabila perlu
  • Bahan hiburan seperti muzik dan video apabila kesunyian (waktu berehat)
  • Kemudahan untuk mengambil gambar & kongsi untuk pelbagai tujuan
  • Kemudahan merujuk peta untuk perjalanan ke satu-satu lokasi dengan mudah
  • Kemudahan berkongsi maklumat/fail untuk pelbagai urusan
  • Kemudahan hiburan video games yang berbentuk pelajaran mahupun hiburan semata
  • Lain-lain kemudahan yang disediakan melalui aplikasi yang pelbagai

Namun kebanyakan pengguna hari ini lebih tertarik kepada smartphone sebagai satu ‘trend’ berbanding kepada kemudahan yang disediakannya. Adalah satu pembaziran sekiranya ia dibeli semata-mata untuk mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain. Penggunaan telefon pintar pada tahap yang sepatutnya dapat memberikan anda pelbagai kemudahan yang amat menguntungkan.

Bagi mereka yang tahu bahawa apa yang berada di tangan mereka adalah sama seperti sebuah laptop/netbook pastinya mengenali telefon mereka dan menggunakannya dengan cara yang lebih optimum. Ada juga sebahagian pengguna yang berjaya membina aplikasi mereka sendiri yang dapat membantu urusan mereka seharian. Mungkin setidaknya bagi kita sebagai pengguna dapat menggunakan telefon pintar mengikut keperluan yang kita perlukan. Jika hanya untuk berbual dan menghantar mesej sahaja – mungkin ada baiknya anda menggunakan telefon yang biasa.

Bukanlah tujuan saya di sini untuk menghalang anda daripada menggunakan telefon pintar tetapi adalah bagi mengelakkan kita dieksploitasi oleh pengeluar dan pembangun-pembangun aplikasi dan berakhir dengan data kita dicuri oleh penjenayah-penjenayah ‘cyber’ yang lebih memburukkan keadaan. Saya lebih cenderung untuk menggalakkan anda memahami telefon pintar dan menggunakannya supaya dapat menerima manfaat daripada apa yang anda belanjakan.


Mungkin sebelum anda memiliki sebuah telefon pintar ada baiknya terlebih dahulu anda memiliki sebuah laptop/netbook dan mengkaji kebolehan telefon pintar dan membuat aplikasi anda sendiri. Mungkin dengan kefahaman yang lebih baik anda dapat menggunakan telefon pintar dengan lebih selamat. Dengan akhir kata, gunakan apa yang anda dimilik untuk kegunaan yang optimum.



Free Download



Rabu, 12 Mac 2014

Langkah Penjimatan Tenaga Di Rumah

LED lights
Lampu LED menggunakan tenaga yang amat rendah dan menjimatkan.


Langkah-langkah penjimatan tenaga di rumah perlu dititik beratkan memandangkan kos penggunaan tenaga yang semakin meruncing begitu juga dengan kos sara hidup. Adalah tidak wajar bagi kita sekiranya tidak mengambil langkah penjimatan ini kerana langkah-langkah penjimatan bukanlah bermaksud anda tidak perlu menggunakan tenaga (bergelap) tetapi menggunakan tenaga tersebut dengan lebih efisyen.

Berikutan peningkatan kos bahan api, maka kos tenaga yang lain juga akan meningkat. Ini kerana masih terdapat janakuasa-janakuasa yang bergantung kepada penggunaan bahanapi untuk menghasilkan tenaga elektrik. Walau apa pun kaedah penghasilan tenaga elektrik ini, kita sebagai pengguna yang bijak haruslah mengamalkan penggunaan yang cermat. Penjimatan tenaga membolehkan sumber bahanapi dapat bertahan lama juga kesan yang lebih baik pada alam sekitar.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh membantu kita untuk mengurangkan penggunaan tenaga di rumah mahupun di tempat kerja.

Penggunaan Lampu LED/ Jimat Tenaga


Penggunaan lampu LED/ Jimat tenaga ternyata dapat membantu anda mengurangkan kos tenaga elektrik. Kuasa yang digunakan oleh sebuah lampu LED biasanya adalah 5 Watt berbanding lampu pijar biasa yang digunakan antara 60 ~ 100 Watt perbezaan ini adalah antara 1/12 hingga ke 1/20 lebih menjimatkan. Bayangkan sekiranya anda mempunyai 20 biji lampu di rumah.

Kepesatan teknologi lampu LED ini semakin mendapat perhatian, malah ia turut digunakan untuk pelbagai kegunaan termasuk lampu isyarat dan papan-papan iklan. Malah lampu-lampu jalan dan lampu limpah juga telah diganti menggunakan lampu LED.

Lampu LED mampu menukarkan tenaga kepada cahaya dengan lebih baik berbanding dengan lampu biasa yang mana kebanyakan tenaga akan turut menghasilkan haba. Sebab itulah lampu LED kurang panas.

Penggunaan Panel Solar Untuk Taman

Solar roof house
Penggunaan tenaga solar untuk rumah.

Untuk langkah penjimatan seterusnya pula, anda bolehlah menggunakan tenaga solar untuk lampu-lampu taman misalnya. Bagi yang mampu berbelanja lebih mereka turut boleh menjana tenaga elektrik untuk keseluruhan rumah menggunakan tenaga solar. Malah bagi rumah yang menjana lebih tenaga boleh menyalurkan tenaga ini untuk digunakan ke dalam talian awam (TNB).

Generasi baru panel solar adalah lebih murah bagi saiz/tenaga yang dihasilkan berbanding  panel solar yang direka buat pertama kalinya. Maka hari ini teknologi ini semakin mudah untuk dimiliki dan dipasang oleh orang persendirian. Sebagai langkah permulaan seperti mana yang saya perkatakan tadi anda bolehlah menggunakannya untuk lampu-lampu taman ataupun pagar di kawasan rumah anda.

Rekabentuk Rumah/Bangunan Pintar


Bagaimana rekabentuk bangunan dapat menjimatkan tenaga? Rekabentuk bangunan memainkan peranan penting bagi pencahayaan dan menentukan suhu di dalam bangunan tersebut. Ini dapat mengelakkan anda daripada memasang lampu yang banyak atau kos pemasangan peralatan penghawa dingin. Dewasa ini rekabentuk bangunan pintar semakin kerap diperkatakan terutama yang dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga seperti yang disebutkan tadi.

Selain daripada rekabentuk rumah, persekitaran rumah yang ditanam dengan pokok-pokok dan rumput juga dapat membantu menyejukkan lagi rumah anda. Pantulan cahaya dan penyerapan haba secara terus oleh bangunan/rumah akan menyebabkan rumah menjadi panas. Sebaliknya tumbuh-tumbuhan akan menyerap haba tersebut semasa proses fotositesis dan membabaskan wap air ke dalam udara menyebabkan udara menjadi lebih nyaman.

Peralatan-peralatan Lain Yang Jimat Tenaga

LED TV
TV LED selain daripada lebih cantik ia juga menjimatkan tenaga.

Terdapat banyak lagi peralatan lain di dalam isi rumah yang menjimatkan penggunaan tenaga. Pastikan peralatan yang ada beli untuk kegunaan rumah dan tenaga yang digunakan. Peralatan terbaru dan moden amat mementingkan ciri-ciri penjimatan tenaga ini. TV LED misalnya menggunakan tenaga yang sedikit berbanding dengan peti TV (CRT) lama anda, walaupun bersaiz kecil.

Manakala dapur elektrik seperti dapur induksi juga adalah jauh lebih menjimatkan berbanding dengan dapur elektrik jenis lama (filamen). Malah dapar elektrik jenis filamen boleh mengundang bahaya sekiranya tiada bahan yang dimasak di atasnya atau bahan yang dimasak kering.

Penggunaan sistem Audio Visual (AV) lama juga adalah antara peralatan yang menggunakan tenaga yang banyak. Jadi ada baiknya anda membuat pemeriksaan peralatan di rumah tentang tenaga yang digunakan iaitu Watt dan sebelum mendapatkan peralatan baru dengan penggunaan Watt yang lebih rendah – namun dapat memberikan kualiti yang lebih baik atau sama.

Pengamalan Cara Yang Jimat


Selain daripada peralatan yang jimat tenaga, anda juga perlu mengamalkan cara yang jimat dalam menggunakannya. Langkah penjimatan tidak mungkin akan berjaya sekiranya anda tidak cermat. Antara langkah tersebut adalah seperti;

- menggosok beberapa helai baju sekali bagi mengelakkan penggunaan masa untuk sterika anda panas. Malah proses ini merupakan proses utama penggunaan tenaga bagi sterika tersebut. Adalah lebih baik sekiranya anda menetapkan satu masa yang sama dalam masa sehari untuk membuat kerja-kerja ini dan menyelesaikan semua baju yang perlu disterika untuk hari tersebut.

- tidak membuka peti sejuk dengan kerap kerana suhu sejuk akan keluar dan menyebabkan peti sejuk perlu bekerja untuk menyejukkannya semula. Pastikan semua bahan dimasukkan dengan sempurna atau dikeluarkan bagi kesemua bahan yang diperlukan dan terus ditutup kemas. Perbuatan kerap membuka pintu peti sejuk selain daripada menggunakan tenaga yang banyak ia juga akan mengurangkan jangka hayat peti sejuk tersebut.

- tidak memasang pendingin hawa terlalu sejuk (di bawah keupayaan). Pendingin hawa  yang dipasang pada suhu yang terlalu rendah (di bawah keupayaan) ini akan menyebabkan alat tersebut terus berfungsi sepanjang masa. Ini amat merugikan. Adalah lebih baik anda memastikan ruang bilik (di mana peralatan tersebut dipasang) tidak mempunyai ruang yang boleh menyebabkan udara sejuk keluar. Dengan cara ini peralatan penghawa dingin anda dapat bekerja dengan lebih baik – suhu di dalam bilik tersebut juga akan lebih sejuk.

Terdapat pelbagai kaedah dalam usaha menjimatkan penggunaan tenaga di rumah dan tidak semestinya ia memerlukan anda menggantikan peralatan anda kepada peralatan yang baru. Mungkin anda boleh melakukannya secara berperingkat-peringkat sebagai contoh apabila barangan lama telah rosak – maka anda gantikan dengan peralatan baru yang menjimatkan. Atau anda mungkin boleh menjual peralatan lama sebagai peralatan lusuh dan sebagainya dan menggantikannya dengan yang baru.

Penggunaan peralatan yang cermat ini juga selain daripada dapat mengelakkan anda melakukan pembaziran ia boleh melatih anda untuk menjadi pengguna yang bijak – pintar dalam membuat keputusan/ pilihan dalam melakukan sesuatu perkara. Mungkin anda tidak dapat melatih diri anda dalam masa sehari, tetapi usaha anda akan lebih baik bagi tempoh yang panjang dan mungkin satu hari berkongsi pengalaman anda dengan orang lain.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk langkah-langkah penjimatan ini. Walau apa pun hasilnya nanti anda pasti akan setuju yang penjimatan perbelanjaan adalah lebih baik daripada mencari wang tersebut. Walaupun anda mampu menampung perbelanjaan tersebut, namun perlu diingat anda juga ingin bercuti atau berbelanja untuk perkara-perkara yang lain. Selamat mencuba.




Free Download



Sabtu, 4 Januari 2014

Smartphone Dengan Dua Paparan Terbaik


YotaPhone mempunyai rupa bentuk yang setanding dengan smartphone yang lain

Smartphone dengan dua paparan bukanlah baru dan pernah dikeluarkan beberapa tahun dahulu oleh beberapa syarikat pengeluar telefon seperti Kyocera dan juga LG. Tetapi jauh berbeza dengan telefon dari Rusia yang memperkenalkan telefon dengan system operasi Android atau dikenali sebagai YotaPhone.

YotaPhone dilengkapi dua skrin di bahagian hadapan dan belakang. Apa yang menarik skrin pada belakang telefon ini adalah menggunakan E Ink yang menggunakan kuasa yang sedikit dan ini menjimatkan lagi kuasa simpanan bateri telefon. Dari segi bentuk rekaan YotaPhone tidak jauh berbeza dari telefon-telefon biasa yang mudah dipegang dan digunakan. Cuma mungkin a memerlukan ‘casing’ pelindung yang sesuai bagi mengelakkan kesan calar di bahagian belakangnya nanti.

Paparan E Ink yang kemas dan mejimatkan kuasa bateri

Dengan spesifikasi skrin 4.3 inci, 1280 X 720 – pixel skrin berwarna sebagai paparan utama dan 200 dpi E Ink pada bahagian belakang, ia dilengkapi dengan 1.5 GHz Snapdragon (sama seperti CPU pada Samsung S4), 2GB RAM dan ruang simpanan memori 32 GB dan juga 4G LTE.  Kameranya pula adalah 12 MP dan juga 720p pada bahagian hadapan. Tebal telefon ini adalah 0.4 inci dengan beratnya 4.9 Oz.

Paparan E Ink digunakan untuk memeberitahu tentang maklumat terkini dari laman social, mesej, berita, cuaca, masa dan juga gambar yang dihantar oleh system operasi ataupun aplikasi yang menggunakan API daripada Yota. Memandangkan E Ink menggunakan kuasa yang rendah, ini tidak menjejaskan usia bateri telefon.


YotaPhone dilancarkan di Rusia pada December 2013 yang lalu. Adakah anda berminat untuk melihat lebih dekat telefon yang berbeza dari telefon-telefon pintar yang ada di pasaran hari ini? Di sini terdapat paparan video berkenaan YotaPhone. Manakala telefon-telefon dengan 2 skrin seperti yang dinyatakan di atas adalah Kyocera Echo dan juga LG DoublePlay. Setelah membuat perbandingan, anda tentu setuju bahawa telefon dengan 2 skrin terbaik adalah daripada YotaPhone.



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Arkib Blog