Memaparkan catatan dengan label rekaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rekaan. Papar semua catatan

Khamis, 9 Februari 2017

Hotel Hutan Menegak Pertama Asia, Nanjing, China

Konsep "Hutan Menegak" bakal menjadi trend baru.

Pembangunan pesat dan pencemaran udara adalah dua perkara yang saling berkait. Namun sebagai manusia yang diberikan akal pemikiran, sudah tentunya kita memikirkan jalan penyelesaian terbaik tanpa mengabaikan kemjuan yang juga penting kepada manusia. Pembinaan bangunan “Hutan Menegak” atau juga dikenali sebagai “vertical forest”, kini semakin giat dibina termasuk di negara-negara Asia seperti China.

Bangunan yang akan didirikan sebagai ‘hutan menegak’ tersebut adalah sebuah hotel yang dimiliki oleh rangkaian Hyatt Hotel yang terdiri daripada 2 buah bangunan yang terletak di Bandar Nanjing, China. Apa yang menarik selain daripada dipenuhi oleh tumbuh-tumbuhan, kedua-dua bangunan tersebut dikatakan berupaya untuk menyerap sehingga 25 ton CO2 setiap tahun. Pada masa yang sama pula ia bakal membebaskan sehingga 60 kg Oksigen sehari.

Bangunan ini adalah hasil rekabentuk oleh pereka Italy iaitu Stefano Boeri yang telah menyiapkan projek yang seumpamanya di Milan pada tahun 2014 lagi. Projek di Nanjing dijangka akan disiapkan menjelang 2018. Ia juga akan menempatkan sehingga 1,100 batang pokok dan 2,500 tumbuhan-tumbuhan lain.

Menara berkembar yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan.

Satu daripada menara ini akan menempatkan Hotel Hyatt.

Bangunan pertama rekaan Stefano Boeri di Milan siap pada tahun 2014.

Satu daripada bangunan tersebut dengan ketinggian 335 kaki merupakan bangunan Hotel Hyatt beserta kolam renang di bumbungnya. Manakala bangunan kedua pula akan menempatkan bangunan pejabat, muzium, sekolah rekabentuk bangunan hijau dan kelab persendirian sehingga ke tingkat-38.


Bangunan berkonsepkan ‘hutan menegak’ ini akan terus berkembang di serata bandaraya utama dunia. Walaupun tidak semua bangunan di bandar-bandar utama menyerupai bangunan rekaan Stefano Boeri, namun kebanyakan bangunan hari ini turut menyediakan ruang yang banyak untuk diisi dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan yang menyegarkan udara.


Free Download



Khamis, 19 Januari 2017

Mesin Cetak Kulit Manusia Satu Rekaan Penting

Printer kulit berbeza dengan printer-printer yang lain.

Mesin cetakan yang pada umumnya hanya digunakan untuk membuat cetakan pada kertas, namun hari ini dengan rekaan mesin cetakan 3D ia mampu mencetak pelbagai benda termasuklah kulit manusia! Ia merupakan satu usaha baru bagi kegunaan perubatan dan mungkin juga di dalam industri kosmetik.

Mesin cetakan kulit manusia merupakan antara rekaan penting kerana dalam kebanyakan kes berkaitan kulit terutamanya dalam merawat mangsa kebakaran yang boleh mengakibatkan maut sekiranya tidak dirawat dengan segera. Ini kerana kulit merupakan pelindung utama pada badan manusia di mana ia membantu badan mengekalkan haba dan mengelakkan jangkitan.

L'Oreal juga menumpukan kajian dalam kajian cetakan kulit.

Kulit tiruan yang berjaya dihasilkan.

Terdapat beberapa pihak yang membangunkan mesin pencetak kulit manusia untuk tujuan kajian terdiri daripada pusat kajian perubatan dan universiti selain turut menarik minat syarikat kosmetik seperti L’Oreal. Mesin cetakan kulit kemungkinan besar akan dapat digunakan untuk tujuan rawatan ke atas manusia kerana ianya lebih mudah dilakukan berbanding cetakan organ yang juga cuba dihasilkan oleh para pengkaji.

Antara pihak yang berjaya menghasilkan mesin cetakan kulit ini antaranya adalah Wake Forest Institute, University of Toronto, L’Oreal dan mungkin terdapat beberapa lagi pihak yang sedang mengusahakan mesin cetakan seumpamanya. Walaupun mesin cetakan kulit dibina untuk tujuan utama merawat mangsa kebakaran, kemalangan, masalah kulit seperti kanser kulit, tetapi bagi L’Oreal pula mesin cetakan ini boleh membantu mereka untuk membuat kajian penggunaan kosmetik ke atas kulit tersebut. Ini dapat mengelakkan penggunaan haiwan/manusia sebagai bahan ujian.


Sel kulit yang digunakan untuk cetakan.

Mesin pencetak yang direka oleh University of Toronto. 

Mungkin kajian seperti ini kelihatan agak pelik bagi kita pada masa ini, namun pada masa akan datang ia mungkin merupakan satu perkara biasa. Apa yang penting, sekiranya ia dapat mendatangkan manfaat kepada manusia ianya harus diberikan sokongan dan perhatian yang secukupnya.


Free Download



Ahad, 4 September 2016

Keunikan Rekaan Botol Pewangi Moden

Guerlain dengan botol yang direka bersama Arita Porcelain Lab dari Jepun (2016).

Jika sebelum ini kita telah melihat mengenai keunikan botol-botol pewangi yang digunakan oleh orang-orang dahulu, kini kita akan melihat pula keunikan botol-botol pewangi pada abad ke-21. Oleh kerana perkembangan zaman, pengaruh ke atas seni reka botol-botol pewangi adalah bersifat lebih menyeluruh (global) manakala material yang digunakan juga adalah lebih banyak. Ini bermakna, pereka pada sekarang mempunyai lebih ruang untuk menzahirkan ilhamnya.

Apa yang jelas pewangi-pewangi hari ini dihasilkan terutamanya oleh pengiat-pengiat industri fesyen, muzik dan perfileman. Maka ia dipengaruhi kuat oleh latar belakang pengiat-pengiat seni tersebut. Namun begitu ia turut mengandungi pelbagai pengaruh yang lain termasuk sukan, kebudayaan, kemewahan dan seni reka minyak wangi asli seperti mana dahulunya.

Kepesatan industri wangian juga menyebabkan pewangi dihasilkan dengan harga yang lebih murah. Bagi pewangi-pewangi jenis ini, seni reka botol tidaklah menjadi satu keutamaan. Ia samada membangkitkan keinginan untuk mengenali wangian dengan lebih mendalam atau sebaliknya menyebabkan wangian kurang dinilai sepertimana sepatutnya.

Walaupun rekaan pada botol-botol pewangi ini menyebabkan harga pewangi menjadi lebih tinggi. Ia antara lain menggambarkan ketelitian pembuatannya selain mesej yang ingin disampaikan melalui sesuatu keluaran. Terdapat juga pewangi yang disediakan dalam rangkaian penuh (merangkumi pewangi, deodorant, gel mandian, after shave, sabun mandian dan sebagainya). Ia juga mungkin pelengkap kepada koleksi pakaian dan sebagainya. Botol-botol ini juga boleh dijadikan sebahagian koleksi menarik setelah ianya habis digunakan.


Walaupun pewangi-pewangi dengan rekaan unik ini dikaitkan sebagai barangan mewah, ia juga perlu dinilai sebagai satu hasil seni. Kehalusan dalam rekaan pewangi ini sebenarnya perlu diterapkan juga dalam bidang-bidang kerjaya yang lain dimana setiap perkara perlu dilakukan dengan penuh ketelitian, penuh semangat, disertai dengan kreativiti, dihasilkan dengan sebaik mungkin dengan penuh ciri-ciri keaslian tersendiri.

 Rekaan botol dari Marc Jacobs dengan Daisy Dream perfume (2014).

Calvin Klein mempunyai rekaan yang ringkas, namun tetap unik.

Chanel No. 5 antara pewangi yang termahal rekaan Ernest Beaux pada 1921.

Paco Rabanne, 1Million dengan rekaan botol menyerupai jonkong emas.

Rekaan daripada Salvatore Ferragamo, Signorina.

Yves Saint Laurent dengan pewangi  L'Élixir.

Clive Christian No. 1 Imperial Majesty Perfume merupakan pewangi terpaling eksklusif. 




Free Download



Keunikan Seni Reka Botol Pewangi

Rekaan yang diberi nama "fleur de lys" hasil rekaan Baccarat.

Pewangi seperti yang kita ketahui telah digunakan beribu tahun dahulu. Antara kepentingan pewangi kepada manusia, ia bukan sahaja memberikan kita bauan yang lebih enak tetapi turut memberikan kita insprasi kehalusan yang jelas kelihatan pada rekaan bekas atau botol-botolnya.

Sememangnya rekaan botol-botol pewangi dipengaruhi oleh ciri-ciri budaya, geografi dan sebagainya. Namun kaitan pewangi dan seni rekaan ini tiada pada barangan lain walaupun ianya juga berharga. Ia adalah salah satu tanda kepentingan pewangi kepada kekuatan jiwa seseorang, kehalusan penilaian serta keupayaan berimaginasi yang tinggi; atau yang sering dikatakan sebagai pemikiran di luar kotak.

Sehinggga kini botol-botol pewangi masih lagi merupakan seni yang melengkapkan kepada keunikan pewangi itu sendiri. Rekaan pewangi menjadi gagal sekiranya ia tidak ditampilkan dengan botol yang kreatif, yang juga merupakan satu lagi cabaran para pereka pewangi hari ini.

Sebelum kita menyentuh lebih dekat mengenai seni rekaan botol-botol moden, kita akan melihat terlebih dahulu seni reka botol-botol pewangi dahulu kerana ia lebih asli dan sebagai pencetus keunikan seni botol pewangi. 

Rekaan botol berkembar sebagai perenjis bahan pewangi.

Botol pewangi dari China, tanpa tarikh penggunaannya.

Botol yang digunakan untuk menyimpan pewangi digunakan pada zaman Roman.

Botol-botol rekaan dari Timur Tengah.

Botol pewangi Louis XVI, French.

Botol pewangi pada abad ke-17.

Botol yang digunakan pada awal abad ke-19.



Free Download



Ahad, 28 Ogos 2016

Bagaimanakah Kertas Mula Dicipta?

"Paper wasp" menggunakan cebisan kayu membentuk kertas membina sarangnya.

Kertas merupakan salah satu rekaan penting yang menjadikan perkembangan ilmu pengetahuan manusia berkembang dengan lebih pesat. Walaupun kertas digunakan untuk pelbagai tujuan, kegunaan kertas untuk tujuan penulisan, merekod, dan menyimpan maklumat merupakan antara kegunaan penting kertas. Walaupun kertas digunakan manusia, namun ianya adalah rekaan alam yang telah digunakan oleh serangga sejak jutaan tahun dahulu.

Serangga tersebut dikenali sebagai “paper wasps” atau juga dikenali sebagai angkut-angkut. Serangga ini terdapat hampir di seluruh dunia dengan jumlah spesis sehingga lebih kurang 1,100 spesis kesemuanya. Namun kesemua serangga ini membina sarangnya menggunakan kertas yang dihasilkan menggunakan serat daripada batang pokok atau tumbuh-tumbuhan yang kemudiannya dicampurkan dengan air liurnya untuk membentuk sarangnya.


Cai Lun yang menemukan kaedah pembuatan kertas.

Keunikan sarang serangga ini diperhatikan oleh seorang pegawai Kerajaan China yang dikenali sebagai Cai Lun (Traditional Chinese: 蔡倫). Cai Lun dikatakan mendapat ilham mecipta kertas melalui pemerhatiannya terhadap serangga angkut-angkut yang membina sarangnya menggunakan serat daripada kayu pada sekitar 105 A.D.. Walaupun proses penghasilan kertas terus diperbaiki namun proses asalnya dikekalkan iaitu melalui pengumpulan lapisan serat tumbuhan yang terampai di dalam air menggunakan tapisan untuk mengasingkan air sebelum ianya dikeringkan. Melalui penemuan Cai ini, beliau dikenali sebagai salah seorang tokoh penting dengan pelbagai penganugerahan.


Buku sebelum kertas dihasilkan.

Wasp mengumpulkan serat-serat kayu.

Proses penghasilkan kertas secara tradisional.

Teknik penghasilan kertas ini terus berkembang ke kawasan-kawasan lain dari China ke Timur Tengah dan seterusnya ke bahagian Eropah. Perkembangan kertas di Barat adalah melalui Baghdad dan ianya dikelai sebagai bagdatikos. Memandangkan kertas merupakan bahan penting, industri berkaitan kertas terus diperkembangkan samada dari segi bahan yang digunakan, mahupun proses penghasilannya sendiri. Malah teknologi kitar semula kertas juga turut diperkenalkan semenjak 1774 lagi oleh seorang juri German iaitu Justus Claproth.

Walaupun kertas kebiasaannya digunakan sebagai bahan catatan atau untuk cetakan, ia turut digunakan untuk pelbagai bahan lain seperti bungkusan, kotak, binaan dinding rumah, sebagai bahan kraftangan, bekas makanan, tisu dan banyak lagi.

Sarang wasp yang dijaga oleh kumpulan kecil wasp.

Salah satu "paper wasp" daripada ribuan spesis.

Penggunaan kertas bagaimanapun cuba dikurangkan kerana ia memerlukan penggunaan pokok-pokok dan tumbuhan lain sebagai sumber serat (cellulose) di mana permintaan kertas terus bertambah setiap tahun. Hari ini dengan kepesatan teknologi digital, keperluan kertas dapat dikurangkan, namun masih diperlukan. Dari segi pencemaran kertas pula, ianya tidaklah membawa kesan seburuk pencemaran plastik, namun begitu sekiranya tidak dikawal ia juga boleh membawa kesan yang negatif.


Apapun kertas merupakan salah satu kebaikan yang kita perolehi hasil daripada pengamatan yang dilakukan kepada alam. Bagi serangga “paper wasp” sendiri  kertas telah digunakan selama berjuta-juta tahun untuk tujuan membina sarangnya. Semoga dengan itu kita akan sentiasa lebih peka untuk melihat bagaimana alam memanfaatkan sumber-sumber yang terdapat di dalam alam itu sendiri, namun pada masa yang sama tidak merosakkannya.







Free Download



Arkib Blog