Ahad, 28 Ogos 2016

Bagaimanakah Kertas Mula Dicipta?

"Paper wasp" menggunakan cebisan kayu membentuk kertas membina sarangnya.

Kertas merupakan salah satu rekaan penting yang menjadikan perkembangan ilmu pengetahuan manusia berkembang dengan lebih pesat. Walaupun kertas digunakan untuk pelbagai tujuan, kegunaan kertas untuk tujuan penulisan, merekod, dan menyimpan maklumat merupakan antara kegunaan penting kertas. Walaupun kertas digunakan manusia, namun ianya adalah rekaan alam yang telah digunakan oleh serangga sejak jutaan tahun dahulu.

Serangga tersebut dikenali sebagai “paper wasps” atau juga dikenali sebagai angkut-angkut. Serangga ini terdapat hampir di seluruh dunia dengan jumlah spesis sehingga lebih kurang 1,100 spesis kesemuanya. Namun kesemua serangga ini membina sarangnya menggunakan kertas yang dihasilkan menggunakan serat daripada batang pokok atau tumbuh-tumbuhan yang kemudiannya dicampurkan dengan air liurnya untuk membentuk sarangnya.


Cai Lun yang menemukan kaedah pembuatan kertas.

Keunikan sarang serangga ini diperhatikan oleh seorang pegawai Kerajaan China yang dikenali sebagai Cai Lun (Traditional Chinese: 蔡倫). Cai Lun dikatakan mendapat ilham mecipta kertas melalui pemerhatiannya terhadap serangga angkut-angkut yang membina sarangnya menggunakan serat daripada kayu pada sekitar 105 A.D.. Walaupun proses penghasilan kertas terus diperbaiki namun proses asalnya dikekalkan iaitu melalui pengumpulan lapisan serat tumbuhan yang terampai di dalam air menggunakan tapisan untuk mengasingkan air sebelum ianya dikeringkan. Melalui penemuan Cai ini, beliau dikenali sebagai salah seorang tokoh penting dengan pelbagai penganugerahan.


Buku sebelum kertas dihasilkan.

Wasp mengumpulkan serat-serat kayu.

Proses penghasilkan kertas secara tradisional.

Teknik penghasilan kertas ini terus berkembang ke kawasan-kawasan lain dari China ke Timur Tengah dan seterusnya ke bahagian Eropah. Perkembangan kertas di Barat adalah melalui Baghdad dan ianya dikelai sebagai bagdatikos. Memandangkan kertas merupakan bahan penting, industri berkaitan kertas terus diperkembangkan samada dari segi bahan yang digunakan, mahupun proses penghasilannya sendiri. Malah teknologi kitar semula kertas juga turut diperkenalkan semenjak 1774 lagi oleh seorang juri German iaitu Justus Claproth.

Walaupun kertas kebiasaannya digunakan sebagai bahan catatan atau untuk cetakan, ia turut digunakan untuk pelbagai bahan lain seperti bungkusan, kotak, binaan dinding rumah, sebagai bahan kraftangan, bekas makanan, tisu dan banyak lagi.

Sarang wasp yang dijaga oleh kumpulan kecil wasp.

Salah satu "paper wasp" daripada ribuan spesis.

Penggunaan kertas bagaimanapun cuba dikurangkan kerana ia memerlukan penggunaan pokok-pokok dan tumbuhan lain sebagai sumber serat (cellulose) di mana permintaan kertas terus bertambah setiap tahun. Hari ini dengan kepesatan teknologi digital, keperluan kertas dapat dikurangkan, namun masih diperlukan. Dari segi pencemaran kertas pula, ianya tidaklah membawa kesan seburuk pencemaran plastik, namun begitu sekiranya tidak dikawal ia juga boleh membawa kesan yang negatif.


Apapun kertas merupakan salah satu kebaikan yang kita perolehi hasil daripada pengamatan yang dilakukan kepada alam. Bagi serangga “paper wasp” sendiri  kertas telah digunakan selama berjuta-juta tahun untuk tujuan membina sarangnya. Semoga dengan itu kita akan sentiasa lebih peka untuk melihat bagaimana alam memanfaatkan sumber-sumber yang terdapat di dalam alam itu sendiri, namun pada masa yang sama tidak merosakkannya.







Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog