Isnin, 29 Ogos 2016

Kumpulan Tumbuhan Unik Kaktus

Pokok kaktus mempunyai fungsi penting dan merupakan tumbuhan unik.

Bagi kita yang tinggal di kawasan tropika pokok kaktus mungkin agak asing kerana ianya biasa tumbuh di kawasan-kawasan kering. Walaupun sebahagiannya boleh di tanam di sini, namun kaktus merupakan satu kumpulan tumbuhan yang amat besar dan mempunyai kepelbagaian seperti juga kumpulan tumbuh-tumbuhan yang lain.

Tumbuhan kaktus merupakan kumpulan tumbuhan di dalam family Cactaceae, iaitu kumpulan yang mengandungi 127 genus (genera) dan terdiri daripada lebih kurang 1,750 spesies yang dikenal pasti. Ia mempunyai pelbagai saiz dan bentuk dengan taburan yang agak luas, namun kebiasaannya di kawasan bertanah kering (dengan kadar taburan hujan yang rendah). Namun begitu sesetengah keluarga kaktus amat unik dan menjadi tanaman yang membekalkan buah-buahan yang sedap untuk dimanakan.

Antara gambar pokok kaktus yang menakjubkan.

Bunga daripada Ariocarpus kotschoubeyanus.

Kaktus merupakan sumber makanan penting di gurun.

Seperti juga tumbuh-tumbuhan lain, pokok kaktus menjalankan proses fotosintesis untuk menghasilkan makanannya. Apa yang berbeza adalah ia dilengkapi dengan duri-duri yang keluar dari batangnya melalui titik-titik yang dikenali sebagai “areola”. Duri-duri pada kaktus juga berbeza mengikut jenis (dan ia merupakan salah satu ciri-ciri penting dalam mengenali sesuatu spesis kaktus).

Walaupun duri-duri kaktus menyediakan perlindungan kepada pokok kaktus, namun ia juga mempunyai pelbagai tujuan lain. Salah satunya adalah untuk mengurangkan terik matahari terus mengenai batangnya. Duri-duri yang banyak ini menyediakan sedikit perlindungan daripada panas matahari. Malah bagi kaktus spesis “cholla”, durinya bertindak sebagai biji benih yang akan melekat pada haiwan yang mengenainya dan jatuh di tempat baru yang mungkin sesuai untuknya tumbuh dengan lebih subur.

Namun begitu pokok kaktus juga merupakan tumbuhan yang penting kepada haiwan dan manusia. Bagi haiwan-haiwan seperti kura-kura padang pasir, kaktus merupakan sumber makanan yang boleh membekalkan tenaga dan air. Manakala haiwan-haiwan lain pula turut menjadikan kaktus sebagai tempat untuk membina sarang. Pada masa yang sama, manusia juga menjadikan kaktus sebagai sumber air apabila perlu. Manakala sesetengah spesies kaktus mengeluarkan buah yang boleh dimakan. Antara buah kaktus yang paling terkenal adalah “dragon fruit”. Malah bagi “dragon fruit”, ini keseluruhan pokoknya juga boleh digunakan untuk menyediakan makanan bagi manusia.

Cholla cactus mempunyai duri yang mudah melekat.

Bunga kaktus saguaro (Carnegiea gigantea)

Antara kaktus yang dijadikan hiasan.

Sebahagian lagi kaktus yang dijadikan hiasan.

Antara perkara menarik mengenai kaktus adalah; kaktus yang terbesar adalah dari spesis Pachycereus pringlei, yang pernah direkodkan mencapai ketinggian sehingga 19.2 m (63 ft), manakala spesis yang terkecil pula adalah  Blossfeldia liliputiana, dengan saiz diameter hanya  1 cm (0.4 in) apabila dewasa. Manakala spesis kaktus yang besar seperti  “saguaro” (Carnegiea gigantea) dikatakan berupaya untuk menyerap air sehingga 200 U.S. gallon (760 liter) pada musim hujan.


Menyedari keunikan kaktus ini, banyak pusat-pusat tanaman kaktus dibuka selain ianya turut mendapat perhatian penting daripada taman-taman botani utama di dunia. Selain diketengahkan sebagai tumbuhan hiasan, banyak lagi potensi kaktus yang cuba diketengahkan. Sememangnya kaktus merupakan tumbuhan yang masih kurang diterokai lagi fungsinya. Maka mengenali dan mempelajari tumbuhan ini dengan lebih lanjut adalah sesuatu yang penting.

Ladang dragon fruit di Vietnam.

Buah dragon fruit yang enak.

Buah kaktus Indian fig dijual di pasar.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog