Isnin, 15 Ogos 2016

Tabiat Berkumpulan Dalam Dunia Haiwan

Penghijrahan rama-rama Monarch, penghijrahan besar-besaran.

Hidup berkumpulan bukan sahaja penting dalam kehidupan manusia, ciri-ciri hidup berkumpulan sebenarnya dapat dilihat dengan jelas pada dunia haiwan. Sesetengah hidupan hanya hidup dalam kumpulan manakal yang lain pula berkumpulan mengikut musim-musim tertentu. Tabiat ini tidak lain kerana ia membolehkan mereka mendapat beberapa faedah penting.

Bagi hidupan yang bermigrasi terutamanya, menempuh perjalanan yang jauh tidak boleh dilakukan secara individu bagi memastikan keselamatan mereka. Pergerakan berkumpulan ini dilakukan dalam jumlah yang sangat besar seperti yang dilakukan oleh beberapa spesis serangga, ikan, burung dan mamalia. Antara penghijrahan yang terkenal dilakukan oleh serangga adalah rama-rama Monarch (Monarch Butterflies: Danaus plexippus). Rama-rama ini menempuh perjalanan beribu batu dari California dan Selatan Canada ke Mexico untuk bertelur. Walaupun mempunyai taburan di beberapa kawasan di dunia yang lain, rama-rama Monarch di Amerika Utara adalah lebih terkenal kerana perpindahan mereka ini.

Dalam kumpulan yang besar, hiudpan mempunyai peluang yang lebih besar untuk selamat.
Kumpulan King Penguins, berkumpul untuk mengelakkan kesejukan.

Berbeza pula dengan king penguin (Aptenodytes patagonicus) yang memerlukan perkumpulan bagi musim-musim tertentu tertamanya ketika musim sejuk di mana mereka akan berkumpul dalam satu kumpulan yang besar untuk memastikan setiap penguin mendapat haba yang cukup. Walaupun bulu penguin ini cukup tebal, namun tiupan angin yang kuat boleh mengakibatkan mereka mati. Keadaan ini lebih penting bagi anak-anak mereka yang masih lagi kecil.

Berbeza pula dengan kumpulan wildebeests atau gnu, perpindahan berkumpulan membolehkan mereka meningkatkan tahap keselamatan dalam kumpulan. Walaupun sebahagian darinya akan menjadi sasaran pemangsa terutamanya singa dan buaya. Berada di dalam kumpulan adalah jauh lebih baik berbanding berhijrah secara individu. Penghijrahan ini juga memastikan kumpulan ini sentiasa mendapat bekalan makanan yang cukup. Selain daripada kumpulan gnu yang besar, kuda belang juga akan turut berpindah bersama-sama gnu untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan kumpulan mereka.

Penghijrahan wildebeest turut disertai oleh haiwan-haiwan lain.

Dalam kumpulan yang besar, pemangsa seperti ikan jerung tidak dapat menangkap seekor sardine.

Flamingo juga merupakan burung yang memerlukan kumpulan.

Bagi kumpulan ikan pula ikan sardine merupakan ikan yang popular dengan kumpulan mereka semasa berhijrah. Selagi berada di dalam kumpulan ia sukar dijadikan makanan oleh pemburu-pemburunya seperti ikan dolphin dan jerung. Jadi ikan dolphin mempunyai teknik tersendiri untuk memecahkan kumpulan ikan-ikan sardine ini untuk membolehkan mereka ditangkap. Pemangsa-pemangsa lain biasanya akan mengambil peluang daripada usaha ikan dolphin ini termasuk ikan jerung, ikan pari dan burung-burung laut.


Jadi sekarang anda tentu tahu mengapa hidupan sering ditemui dalam kumpulan yang besar. Kita juga perlu memastikan kumpulan ini berada dalam jumlah yang sepatutunya, kerana pengurangan atau pertambahan jumlah satu-satu hidupan akan mengganggu keseimbangan kumpulan yang lainnya. Begitulah uniknya hubungan antara hidupan di dunia.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog