Memaparkan catatan dengan label teknik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label teknik. Papar semua catatan

Rabu, 31 Ogos 2016

Kecantikan Bunga Ros

Gabunga daripada beberapa jenis ros hybrid "tea rose".

Ros atau mawar merupakan bunga yang paling diminati selain menjadi lambang untuk pelbagai perkara. Ia biasanya diberikan sebagai hadiah terutamanya buat orang yang paling istiewa bagi seseorang. Oleh kerana minatnya manusia kepada bunga istimewa ini ia banyak ditanam di kebanyakan laman kita. Bunga ros, walaupun berduri ia tetap menjadi pujaan semua.

Ros merupakan tumbuhan dari genus Rosa, dari family  Rosaceae. Bunga ini mengandungi lebih dari seratus spesis namun oleh kerana kepesatan penanamannya ia mengandungi ribuan kultivar. Kebanyakan spesis ros berasal dari Asia manakala hanya sebahagiannya sahaja berasal dari Eropah, Amerika Utara dan Barat Laut Afrika. Kesemua bungaan ini (terdiri daripada spesis asal, kultivar dan hibrid) ditanam dengan meluas kerana nilainya kepada manusia. Bunga ros, selain daripada bentuknya yang cantik, ia juga mempunyai bau yang harum dan ada juga antaranya mempunyai nilai untuk pemakanan.


Dalam artikel yang ringkas ini kita hanya ingin melihat beberapa contoh bunga ros yang istimewa yang mungkin ada di antara kita yang tidak mengenalinya. Bagi yang berminat untuk menanam bunga ros, bolehlah mempelajari selok belok penanamannya untuk menghasilkan tanaman ros yang berkualiti. Mungkin anda juga boleh belajar menghasilkan kultivar sendiri sebagai mana yang dilakukan oleh peminat-peminat penanam ros di Eropah.

Ros yang digunakan untuk menghasilkan minyak wangi.

Ros - Adam Messerich.

Ros - Amber flush.

Ros hybrid dengan dua warna.

Ros - musk roses.

Ros - hybrid tea.

Ros - gabungan warna.

Lagi dari jenis hybrid tea.

Rosa canina yang menghasilkan buah boleh dimakan.



Free Download



Perkara Penting Mengenai Minyak Wangi (Perfume)

Wangian telah digunakan sejak beribu tahun dahulu.

Pewangi atau bau-bauan harum amat penting kepada manusia. Ia bukan sahaja penting kepada manusia moden, malah minyak wangi telah digunakan sejak beribu tahun dahulu. Pewangi bukan setakat digunakan pada manusia, malah juga digunakan kepada perabut, bahan pencuci, ruangan bilik, kertas dan segala benda yang boleh ditambahkan pewangi kepadanya. Begitulah kesan pewangi kepada manusia, walaupun adakalanya ianya tidaklah begitu penting.

Kembali semula kepada tajuk utama perbincangan ini, pewangi telah digunakan sejak lebih dari 4,000 tahun dahulu. Ini berdasarkan penemuan tinggalan tempat pembuatan minyak wangi (perfumery) di Pyrgos, Cyprus. Penemuan tersebut menemukan sebuah tempat pembuatan minyak wangi dengan keluasan 4,000 meter persegi (43,000 sq ft) yang menempatkan dapur penyulingan, mangkuk, corong dan botol-botol pewangi. Bahan yang digunakan untuk membuat minyak wangi masa dahulu adalah terdiri daripada herba dan rempah seperti badam, kertumbar, myrtle, damar conifer, bergamot dan juga bunga-bungan.

Dandang penyulingan untuk menghasilkan haruman.


Sebelum ini kita hanya mengetahui yang minyak wangi telah lama digunakan di Mesopotamia pada kurun ke-2BC dengan catatan yang terdapat pada tablet cuneiform. Di mana proses pembuatan minyak wangi dilakukan menggunakan dapur penyulingan dengan mengulangi proses yang sama beberapa kali. Manakala di India pula pembuatan minyak wangi dikatakan bermula di Lembah Indus seawal (3300 BC – 1300 BC). Ini dijelaskan melalui teks “Hindu Ayurvedic”, tentang proses penyulingan Ittar.

Sekiranya pada masa tersebut telah terciptanya kaedah penyulingan yang sempurna, ini bermakna minyak wangi digunakan lebih awal dari tempoh tersebut. Bagaimanapun bukti catatan kukuh penting untuk membuktikan yang ianya benar-benar ada pada masa tersebut.

Minyak wangi juga seperti yang kita ketahui amat penting di Timur Tengah. Pada zaman pertengahan, para ilmuan (kimia) seperti Al-Kindi (Alkindus), turut menulis mengenai proses pembuatan minyak wangi dan proses penyulingan minyak wangi. Pada masa yang sama turut memuatkan resipi untuk menghasilkan lebih dari 100 minyak wangi.

Selain Al-Kindi, seorang lagi tokoh ilmuan yang menceritakan mengenai proses pembuatan minyak wangi ini adalah Ibn Sina (Avicenna) di mana kaedah yang diterangkan oleh beliau merupakan kaedah yang digunakan sehingga ke hari ini. Kaedah yang digunakan oleh beliau membolehkan bauan diekstrak dari bunga ros, seterusnya bahan-bahan lain yang selama ini tidak diketahui kaedah sesuai untuk mengekstraknya.

Rose wangian bungaan paling penting.

Plumeria mempunyai bau yang kuat.

Jasmine juga agak popular.


Dari sinilah, teknik penghasilan minyak wangi ini dibawa ke Eropah dan berkembang dengan pesat di sana, di mana teknik penghasilan ini diperbaiki dan diubah menggunakan campuran minyak asas yang dicampurkan dengan alkohol – campuran ini dikenali sebagai Hungary Water.

Minyak wangi merupakan satu bahan penting pada abad ke 16 dan 17 kerana digunakan untuk menutup bau badan oleh kerana orang-orang Eropah pada masa tersebut jarang mandi. Jadi ia lebih terkenal kepada para bangsawan. Ini juga merupakan faktor utama yang menyebabkan mengapa minyak wangi lebih berkembang di Eropah berbanding kawasan-kawasan lain di dunia.

Secara kasarnya minyak wangi dibahagikan kepada beberapa pengkelasan mengikut kepekatannya. Berikut adalah kelas-kelas tersebut;

  • Perfum atau extrait, merupakan ekstrak asal pewangi dari bahan yang disulingkan. Ia merupakan pekatan paling tinggi pewangi: 15-40%.
  • Esprit de Parfum (EsdP): 15-30% kepekatan pewangi dan merupakan tahap kepekatan yang jarang digunakan.
  • Eau de Parfum (EdP), Parfum de Toilette (PdT): 10-20% (kebiasaannya 15%) kepekatan pewangi dan adakalanya dikenali sebagai "eau de perfume" atau "millésime", dan nama yang sering digunakan adalah Eau de Parfum.
  • Eau de Toilette (EdT): 5-15% (kebiasaannya 10%) kepekatan pewangi.
  • Eau de Cologne (EdC), adakalanya dikenali sebagai colonge sahaja: 3-8% (kebiasaannya 5%) kepekatan pewangi.

Buah-buahan juga merupakan sumber bauan penting.

Rempah turut dijadikan sumber bahan bauan.

Sandalwood antara sumber wangian kayu kayan.


Perkembangan teknologi kini membolehkan minyak wangi dihasilkan dengan pelbagai bahan daripada bahan semulajadi mahupun dari bahan sintetik. Walaupun kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri, namun bahan semulajadi adalah jauh lebih baik - tentu sahaja dari segi keasliannya.

Banyak lagi perkara menarik yang boleh dikupas mengenai penghasilan minyak wangi ini. Tapi kali ini kita akan melihat mengenai bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan asas pewangi (pati haruman). Bahan-bahan tersebut adalah seperti;

  • Bungan-bungaan: ros, lavender, jasmin, violet, lily, bunga oren, plumeria, magnolia, moonflower, chamomile, rosemary, sweet pea, tuberose, ylang ylang, neroli, lilac, blossom, geranium dan lain-lain.
  • Buah-buahan: keluarga sitrus seperti, limau, oren, lemon, petit grain, mandarin, epal, peach, strawberry, lychee, honeydew, koko, pear, tonka bean, vanilla dan lain-lain.
  • Rempah: lada hitam, buah pelaga, biji lobak, kayu manis, cengkih, halia, patchouli, pudina, tea dan lain-lain.
  • Amber/ Kayu: amber, benzoin, frankincense (kemenyan), myrrh, geharu, sandalwood, vetiver, oakmoss, guaiac wood dan lain-lain.
  • Haiwan: kulit, kasturi.

* Terdapat pelbagai lagi bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahan wangian kerana, pewangi dihasilkan daripada campuran beberapa bauan untuk menimbulkan bauan yang unik.


Amber memberikan bauan yang lebih kuat.

Dandang penyulingan untuk mengasingkan bauan dari bahan asalnya.

Apa yang penting dalam proses membuat wangian adalah keupayaan untuk mengasingkan bauan daripada bahan ke dalam minyak/pati haruman. Tidak semua haruman boleh didapati dengan kaedah yang sama. Maka kesemua faktor ini mempengaruhi harga dan kualiti wangian yang dihasilkan. Di kesempatan yang akan datang kita akan bercerita beberapa lagi perkara penting mengenai wangian ini.



Free Download



Isnin, 29 Ogos 2016

Bagaimana Kertas Mencorak Budaya Jepun

Origami merupakan budaya Jepun yang popular menggunakan kertas.

Walaupun kertas mula dicipta di China sekitar 105 A.D. oleh Cai Lun, penghasilan kertas merebak dengan cepat ke bahagian-bahagian lain terutamanya Jepun dan Korea. Ia seterusnya mencorakkan budaya hidup masyarakat setempat terutamanya masyarakat Jepun yang mempunyai pelbagai keunikan budaya menggunakan kertas.
Jepun mempunyai kertasnya sendiri yang dikenali sebagai washi (和紙), yang bermaksud waJepun’ dan shikertas’. Kertas washi dihasilkan daripada serat kulit kayu gampi, tumbuhan mitsumata  (Edgeworthia chrysantha), atau  kozo (paper mulberry). Ia juga adakalanya dihasilkan menggunakan buluh, hemp, padi ataupun gandum. Kertas ini dihasilkan menggunakan tangan secara tradisional oleh keluarga-keluarga di Jepun menjelang 1800’s. Pada masa tersebut terdapat sekitar 100,000 keluarga yang menghasilkan kertas menggunakan tangan ini. Ia bagaimanapun semakin berkurangan apabila persaingan dari negara-negara lain semakin meningkat berikutan penggunaan mesin-mesin moden.

Sugiharagami (杉原紙), sejenis kertas "washi".

Edgeworthia chrysantha atau mitsumata.
Penghasilan washi secara tradisional dilakukan menjelang musim sejuk bagi memastikan air digunakan adalah sejuk untuk mengelakkan bakteria yang boleh menyebabkan pereputan serat yang digunakan. Ia juga membantu untuk menghasilkan kertas yang lebih bermutu. Selain itu ia juga memberikan para petani pendapatan tambahan ketika musim sejuk.
Proses penghasilan washi bermula dengan batang-batang (kozo, gampi atau mitsumata) yang dicantas dan direndam. Kulitnya akan diasingkan sebelum kulit dalamnya pula dikeluarkan untuk dibersihkan dan diketuk dan ditegangkan.
Serat yang yang telah diketuk ini kemudiannya dimasukkan ke dalam bahan cecair  yang dicampurkan tororo-aoi (akar bunga raya yang ditapai) untuk menambahkan kelikatan yang kemudiannya membentuk pes.

Pes ini kemudiannya akan diratakan di atas jejaring buluh untuk membentuk kertas. Kertas-kertas kemudiannya akan diasingkan sebelum ianya dikeringkan di atas kayu di bawah matahari atau di dalam bangunan menggunakan pemanas.
Washi mempunyai banyak kelebihan tersendiri memandangkan ia dihasilkan secara tradisional membolehkan ia menghasilkan kertas yang lebih tahan lasak untuk kegunaan-kegunaan yang tidak boleh digunakan untuk kertas biasa. Teksturnya juga memberikan kertas washi penampilan tersendiri dan amat sesuai digunakan sebagai kad ucapan atau buku catatan peribadi. Kertas-kertas washi juga merupakan kertas yang kurang berasid dan tahan untuk tempoh yang lebih lama. Malah terdapat kertas washi yang masih bertahan setelah 1,000 tahun dihasilkan.

Ukiyo-e, merupakan seni blok cetakan.

Sajak "waka", oleh Ōshikōchi Mitsune di atas kertas suminagashi.
Kegunaan kertas washi boleh dilihat dalam kebanyakan hasil kerja tangan masyarakat Jepun selain hanya digunakan untuk tujuan penulisan dan cetakan. Walaupun Jepun terkenal dengan seni lipatan kertas yang dikenali sebagai origami, penggunaan washi meliputi lebih dari itu antaranya termasuk; chiyogami, ikebana, katazome, patung kertas, jahitan, shibori, shodo, sumi-e, suminagashi, ukiyo-e, washi eggs dan chigirie. Malah ia turut digunakan dalam banyak perkara lain seperti untuk membuat pakaian, masakan, perabut, barangan dan digunakan juga di dalam perayaan-perayaan khas. Tidak lupa juga kertas digunakan untuk membuat dinding bilik yang ringan.

Begitu sekali kertas dimanfaatkan di Jepun. Apa yang menarik, kertas-kertas washi yang dihasilkan amat menarik dengan penuh kesenian. Walaupun ia tidak dapat menandingi harga murah kertas-kertas yang dihasilkan menggunakan mesin moden, kertas washi tidak dapat diganti dengan kertas biasa. Semoga kita mencontohi kegigihan masyarakat Jepun dalam memperkayakan budaya mereka dengan keunikan budaya kita masing-masing. 

Free Download



Selasa, 14 Jun 2016

Kaedah Penyediaan Kopi Yang Unik

Antara peralatan penyediaan kopi - Belgium Royal Cofee Siphon.

Masih lagi berkisar mengenai tajuk kopi memandangkan ianya adalah antara minuman kegemaran ramai. Kali ini kita melihat pula kaedah-kaedah beberapa penyediaan kopi yang unik, dari yang ringkas kepadalah yang agak ‘extreme’, dan mungkin tidak sesuai untuk kegunaan persendirian (selagi anda bukan peminat fanatik).

Penyediaan kopi yang paling kritikal adalah pada peringkat rendaman/rebusan (brewing) yang akan memindahkan aroma kopi kepada air yang akan digunakan untuk menyediakan kopi. Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan di serata dunia mengikut masyarakat dan budaya. Ia juga mengikut kesesuaian keadaan dan hidangan kopi yang ingin disediakan. Jadi tanpa berlengah lagi mari kita lihat beberapa kaedah tersebut.

Turkish Cezve

Cezve digunakan untuk menyediakan Turkish Coffee.

Merupakan antara peralatan yang paling popular dalam menyediakan kopi Turkey (Turkish coffee) ringkas diperbuat daripada pelbagai bahan samada tembaga atau gangsa dan adakalanya turut diperbuat daripada perak dan emas. Cezve moden pula mungkin diperbuat daripada bahan-bahan yang lebih mudah seperti stainless steel, aluminium ataupun seramik. Ia berbentuk cawan dengan pemegang yang sedikit panjang bagi mengelakkan panas air dari minuman yang disediakan. Manakala Bosnia dan Herzegovina, Serbia, Croatia, Slovenia serta Czech Republic ianya merupakan teko bertangkai panjang yang dieja dengan ejaan "džezva". Di tempat-tempat lain pula ia dipanggil ‘ibrik’, seperti di US dan juga di Romania sebagai nama yang dipinjam dari perkataan Tengah Parsi yang bermaksud āb "air", dan riz "cawan".

French Press


French Press mudah digunakan (bahagian pada French Press).

Cara penggunaan French Press.

French Press merupakan satu lagi kaedah mudah penyediaan kopi kerana tidak memerlukan kerja-kerja yang rumit. Ia merupakan sebuah bekas yang mempunyai jejaring halus yang akan memerangkap kopi sebelum ia dihidangkan. Ia juga mempunyai nama-nama lain seperti cafetière, сafetière à piston, Cafeteria, press pot, coffee press, atau coffee plunger. French Press dipatenkan oleh pereka Itali, Attilio Calimani pada tahun 1929.

French Press masih bertahan sehingga ke hari ini kerana ia merupakan satu peralatan yang mudah digunakan. Hari ini ia diperbuat menggunakan kaca tahan panas dan bahan keluli tahan karat (stainless steel), yang memudahkan anda memerhatikan proses penyediaan kopi yang dilakukan. Ia sesuai untuk menyediakan kopi dalam jumlah yang kecil dan sederhana mengikut saiz bekas French Press tersebut.

Clever


Clever juga mudah digunakan untuk saiz penyediaan kecil.

Clever merupakan satu lagi contoh penyediaan kopi dengan kaedah yang ringkas. Clever secara kasarnya berfungsi seperti corong namun menyediakan kemudahan rendaman kopi sebelum ianya dituangkan ke dalam cawan ataupun teko hidangan. Cuma anda perlu menggunakan kertas tapisan untuk menapis serbuk kopi yang direndam di dalam clever. Ia juga sesuai untuk menyediakan kopi untuk pada jumlah yang kecil dan sederhana.

Vietnamese Filter


Vietnamese filter, mudah digunakan.

Sesuai sebagai antara pengeluar penting kopi, Vietnam mempunyai peralatan khas mereka sendiri yang dikenali sebagai Vietnamese Filter. Ia bagaikan sebuah bekas kecil yang berfungsi seperti juga ‘clever’, namun mempunyai alat penapisan sendiri. Vietnamese Filter ini biasanya diperbuat daripada logam seperti stainless steel ataupu loyang.

Kaedah menggunakannya juga adalah hampir menyamai ‘clever’, dimana ia akan diletakkan di atas cawan atau bekas menampung kopi yang telah siap. Kopi akan diletakkan di dalam ‘filter’ tersebut dan dituangkan air panas di dalamnya. Ia akan ditutup untuk memelihara panas air rendaman kopi. Air ini kemudiannya akan menitik turun ke dalam cawan atau bekas untuk menampung di bawahnya.

Siphon


Peralatan penyediaan kopi syphon.

Siphon juga merupakan sebahagian kaedah penyediaan kopi yang dikenali sebagai teknik vakum. Menggunakan dua bekas iaitu untuk air dan satu lagi untuk kopi di bahagian atasnya. Air dipanaskan di bahagian bawah akan naik ke atas dan melengkapkan proses rendaman kopi sebelum turun semula ke dalam bekas takungan di bawah apabila tekanan di dalam bekas takungan menurun.

Ia juga dikenali sebagai vac pot, siphon atau syphon coffee maker yang dicipta oleh Loeff dari Berlin pada tahun 1830-an. Namun ia mendapat sambutan dan bertahan agak lama kerana menghasilkan kopi yang baik (tiada serdak kopi) – namun ia juga bergantung kepada penapis yang digunakan diperbuat daripada jaring logam, kain, kertas atau nylon. Antara kelebihan menggunakan teknik ini adalah, air yang digunakan adalah betul-betul panas bagi membolehkan ia menghasilkan tekanan yang cukup untuk ditolak naik ke bahagian atas tangki rendaman.

AeroPress


Bahagian komponen Aeropress.

Kaedah peggunaan Aeropress.

Aeropress merupakan antara kaedah terbaru penyediaan kopi dan ianya juga amat mudah digunakan selain menghasilkan kopi yang boleh dipelbagaikan. Ia dihasilkan pada tahun 2005 oleh Presiden Aerobie iaitu Alan Adler. Seperti juga peralatan yang lain, ia juga menggunakan penapis dan apa yang berbeza adalah, kopi yang telah siap direndam akan ditekan sepertimana picagari (syringe) untuk menolaknya keluar dari bekas rendaman.

Ia menghasilkan kopi yang pekat (namun bergantung juga dengan penapis yang digunakan) dan anda boleh mencampurkannya dengan bahan campuran lain untuk menghasilkan kopi-kopi lain seperti Americano, macchiato, cappuccino, latte dan sebagainya. Aeropress juga merupakan satu lagi peralatan yang mudah digunakan untuk penyediaan kopi dalam jumlah yang kecil.


Terdapat beberapa lagi peralatan yang digunakan untuk menyediakan kopi untuk pengguna domestik yang mempunyai banyak persamaan dengan peralatan seperti yang disenaraikan di atas. Mungkin bagi kebanyakan kita, kaedah yang paling mudah adalah menggunakan penapis logam/nylon seperti juga dalam penyediaan teh. Namun begitu, mengetahui dan mempelajari kaedah baru juga mungkin dapat memberikan anda idea-idea mengapa kopi menjadi minuman yang popular atau begitu digemari. Anda juga mungkin ingin mengetahui lebih lanjut, resepi-resepi minuman kopi yang begitu popular. YA atau TIDAK?






Free Download



Arkib Blog