Memaparkan catatan dengan label unik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label unik. Papar semua catatan

Ahad, 23 Mei 2021

Kenali Labah-labah Tarantula dan Taburannya

Tarantula bukan sahaja bersaiz besar, malah merupakan labah-labah yang cantik.

Labah-labah merupakan antara serangga yang ditakuti ramai dan beberapa kali ditampilkan di dalam artikel-artikel kami merangkumi beberapa tajuk. Terdiri dari pelbagai family dan spesies, labah-labah tarantula merupakan dari keluarga yang mempunyai saiz terbesar. Walaupun ia sudah tentu menakutkan bagi mereka yang sememangnya takut akan hidupan ini, ia tidaklah membawa maut seperti labah-labah berbisa Funnel-web Spiders (family Dipluridae) dan yang paling terkenal adalah Black Widow Spider (Latrodectus mactans).
 
Walaupun ia tarantula lebih terkenal di benua Amerika Selatan dan Amerika Utara, kumpulan labah-labah ini sebenarnya turut mempunyai taburan di Benua Afrika, Asia Tenggara dan Australia. Labah-labah tarantula dari family Theraphosidae merupakan antara spesies yang berkembang di serata dunia kerana ia wujud ketika permukaan bumi terbentuk benua besar yang dikenali sebagai Gondwana. Apabila pergerakan kerak bumi mula berlaku, ia terbahagi kepada beberapa spesies mengikut benua masing-masing. Walaupun kebanyakan saiz tarantula adalah besar, ada juga antaranya yang bersaiz agak kecil, dan sebaliknya labah-labah dari spesies yang lain juga disangkakan tarantula kerana saiznya yang besar. Sehingga kini, kumpulan labah-labak dari family tarantula dibahagikan kepada 148 genus yang mengandungi 1,236 spesies.

 
Labah-labah tarantula kebiasaannya jarang ditemui kerana ia memilih habitat yang jauh daripada manusia. Selain itu juga ia merupakan hidupan yang memburu pada waktu malam. Tidak seperti labah-labah yang lain, ia tidak menggunakan benang labah-labah untuk membuat sarang bagi menangkap makanannya - sebaliknya ia menggunakan teknik memburu. Namun begitu ia masih mampu menghasilkan bebenang sutera yang digunakan untuk melapisi permukaan sarang, selain menyediakan kantung bagi melindungi telur-telurnya sebelum menetas.

Black widow, merupakan labah-labah berbisa yang terkenal.

Funnel-web spider, labah-labah berbisa dari Australia.

Goliath birdeater, merupakan labah-labah terbesar.

 

Tarantula terbesar dikenali sebagai goliath birdeater (Theraphosa blondi) yang berasal dari Venezuela dan Brazil, telah direkodkan mempunyai berat mencapai 170 g (6.0 oz) dan berukuran 30 cm (12 in) dari hujung kaki ke hujung kaki. Daripada namanya sendiri, labah-labah ini turut menjadikan burung-burung kecil sebagai makanan bagi mereka. Antara lain makanan labah-labah ini termasuklah hidupan-hidupan kecil seperti tikus, katak, ular, cicak, serangga-serangga yang besar dan turut menjadikan arthropod lain sebagai makanan nya.
 
Walaupun mempunyai musuh yang kurang, namun tarantula turut mempunyai musuhnya yang tersendiri. Sejenis wasp yang dikenali sebagai pepsis wasps, mampu menyengatkan labah-labah ini dan menjadikan ianya lumpuh. Labah-labah ini kemudiannya akan dibawa ke dalam lubang - di mana, wasp akan bertelur pada badan labah-labah tersebut. Telur yang menetas akan membolehkan anak wasp menjadikan labah-labah ini sebagai sumber makanannya sehingga ia sedia untuk bertukar menjadi kepompong dan menjadi dewasa. Selain daripada wasp, hidupan -hidupan lain yang bersaiz besar juga seperti cicak, burung, ular dan katak, turut menjadikan tarantula sebagai makanan mereka. Selain daripada itu terdapat juga beberapa mamalia yang turut menjadikan tarantula sebagai makanan mereka, antaranya coati, kinkajou, opossum, mongoose dan honey badger.

Labah-labah menunjukkan ianya merasa terancam.

Sarang labah-labah tarantula, menunjukkan kesan sisa makanan.

 

Labah-labah ini jarang sekali meninggalkan sarangnya. Ia akan hanya berbuat demikian sekiranya tempat tinggalnya diganggu selain - apabila ia mencari pasangan. Ia merupakan masa di mana, ia mungkin berhadapan dengan musuh termasuk manusia. Labah-labah ini mempunyai bebulu yang boleh mengakibatkan kulit merengsa (urticating hairsdan ia menjadi bertambah buruk sekiranya terkena pada bahagian mata dan masuk ke lubang pernafasan. Kaedah pertahanan ini kebiasaannya digunakan oleh spesies tarantula dari Benua Amerika dan tidak bagi tarantula di benua-benua lain yang akan mengangkat bahagian hadapannya bagi memberi amaran. Walaupun bisa tarantula tidak membawa maut, ia masih mengakibatkan rasa sakit - seperti disengat lebah.

 
Oleh kerana saiznya yang besar dan usianya yang panjang, labah-labah tarantula juga merupakan antara haiwan peliharaan yang popular. Ia bagaimanapun merupakan haiwan yang dilindungi - dan aktiviti penangkapan hidupan ini merupakan aktiviti haram yang mengakibatkan ia hampir mengalami kepupusan. "Mexican red-knee tarantula" atau juga dikenali sebagai Brachypelma smithi, merupakan tarantula yang digemari sebagai haiwan peliharaan kerana fizikalnya yang menarik dengan warna yang gelap disamping warna oren terang pada bahagian segmen kakinya. Ia merupakan spesies yang berasal dari Mexico, Costa Rica, Guatemala.

Singapore Blue, mempunyai warna yang menarik.

 
Bagi tarantula yang terdapat di bahagian Asia Tenggara, khususnya Malaysia pula termasuklah dari genus Birupes, Coremiocnemis, Lampropelma, Lyrognathus, Omothymus dan Psednocnemis. Lampropelma violaceopes, atau juga dikenali sebagai Singapore Blue turut terdapat di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Ia merupakan labah-labah yang tinggal di atas pokok (Arboreal) dan mampu mencapai ukuran sehingga 28cm (11 inch). Ia mempunyai warna biru yang sangat menarik, namun akan bergerak dengan pantas bagi mengelakkan daripada dikesan musuh. Tidak mempunyai bebulu miang (urticating hairs), ia menggunakan bisanya apabila terdesak. Ia juga mempunyai bisa yang lebih kuat berbanding spesies tarantula yang lain.
 
Mengetahui bahawa tarantula berada di kebanyakan kawasan, maka anda mungkin berpeluang terserempak dengan nya di kawasan liar. Sekiranya anda berhadapan dengan hidupan ini, pastikan anda tidak mengganggunya. Labah-labah ini tidak akan mengambil risiko berhadapan dengan manusia dan menunjukkan reaksi sekiranya merasa tidak selamat. Jarakkan diri anda daripada mereka bagi membolehkan mereka melarikan diri. Anda juga boleh mempelajari mengenai lain-lain spesies tarantula daripada rujukan yang digunakan untuk artikel ini.
 

 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Tarantula
2) National Geographic
3) Sandiego Zoo
4) SienceDirect
5) Tarantula Collective
 

Ahad, 4 Jun 2017

Jalan-Jalan Cari Makan: Manisan Dari Sekitar Asia Tenggara

Negara-negara Asean memiliki pelbagai keunikan termasuk hidangan istimewa.

Negara-negara di Asia Tenggara banyak sekali menyimpan keunikan masing-masing kerana didiami oleh pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza. Manakala dikurniakan dengan sumber alam yang kaya, dengan iklim tropika yang membolehkan rakyat yang tinggal di Asia Tenggara mempunyai sumber makanan daripada pelbagai jenis sumber alam yang didapati.

Berikut merupakan beberapa hidangan manisan dari negara-negara sekitar Asia Tenggara yang amat mudah dikunjungi melalui sistem penerbangan rangkaian murah terbaik dunia iaitu AirAsia atau sistem-sistem penerbangan lain seperti Indigo, Jetstar Asia, Scoot, Peach, SpiceJet, Tiger Airways, Nok  Air dan Skymark Airlines. Malah ia juga merupakan destinasi penting bagi sistem penerbangan komersial yang lain seperti Mas, Malindo, Thai Airways, Singapore Airlines, Garuda Indonesia dan sebagainya. Tanpa berlengah lagi mari kita ikuti senarai tersebut;


Hidangan manis Mangga dan Pulut.

1. Mangga Dengan Pulut (Thailand)

Lebih terkenal dengan panggilan ‘Manggo sticky rice’ atau nama tempatannya ‘Khao Niaow Ma Muang’, merupakan manisan terkenal bukan sahaja kepada para penduduk tempatan, malah kepada para pelancong sendiri. Hidangan ringkas daripada mangga dan nasi pulut yang dicurahi dengan santan kelapa ini dihidangkan hampir setiap masa daripada pagi hingga ke lewat malam. Ia mempunyai tekstur pulut yang liat apabila dikunyah, haruman manis daripada buah mangga dan lemak manis santan kelapa. Jadi ia merupakan salah satu hidangan penting yang perlu dicuba apabila menjejakkan kaki ke Thailand.

Cendol, minuman yang menyegarkan.

2. Cendol (Malaysia)

Cendol berbentuk manisan minuman yang dihidangkan pada waktu tengahari hingga ke malam. Ia merupakan minuman menyegarkan yang juga mengandungi bahan kunyahan daripada beras dan juga kacang merah. Ditambah dengan warna hijau daripada tepung beras dengan warna dan wangian dari pandan. Ia juga diperkayakan dengan lemak manis santan dan manisan daripada gula melaka (gula kelapa). Manakala parutan ais menjadikan ianya minuman dingin yang amat menyegarkan di waktu tengahari.


Ice Cream Sandwich; manisan yang agak unik.

3. Ice Cream Sandwich (Singapore)

Merupakan makanan kegemaran di Singapore yang diperbuat daripada kepingan-kepingan biskut yang melapik lapisan ice-cream yang lazat. Jadi ia terdiri daripada pelbagai warna dan variasi. Ia mungkin juga merupakan satu hidangan yang ringkas namun tetap menyegarkan atau anda boleh memilih kepingan biskut kegemaran anda sendiri bersama ice-cream yang lebih baik. Satu hidangan yang agak unik untuk dicuba apabila anda berkunjung ke Singapore pula.

Gerai penyediaan Che di Vietnam dengan pilihan isi yang banyak.

4. Chè (Vietnam)

Chè merupakan nama baki rangkaian makanan yang berasal daripada Vietnam seperti juga pengat di Malaysia yang merangkumi pelbagai jenis pengat. Chè merupakan hidangan yang dikenali sebagai manisan kebangsaan bagi Vietnam. Secara umumnya chè merupakan sup manis yang mengandungi buah-buahan dan kekacang (dengan pelbagai pilihan isi yang mengikut selera pengguna). Jadi terdapat 2 jenis chè secara umumnya iaitu chè ba màu yang menggunakan kekacang dan chè hoa quả yang menggunakan buah sebagai bahan isinya. Chè dihidangkan di dalam gelas kaca dengan ditutupi dengan ais parut.

Kuih Nom Krok yang baru sahaja siap dimasak. 

5. Nom Krok (Cambodia dan Thailand)

Nom Krok merupakan antara hidangan jalanan yang popular di Cambodia yang diperbuat menggunakan acuan khas yang memberikan ia rupa bentuk yang unik. Ia sebenarnya adalah pancakes kelapa yang adakalanya turut dihiasi dengan hirisan daun bawang yang menambahkan lagi aromanya. Nom Krok mempunyai rasa yang unik kerana ianya lemak manis dan juga mempunyai rasa masin pada satu masa.

Bibingka lempeng gebu penuh aroma.

6. Bibingka (Philippines)

Bibingka merupakan makanan yang berasal dari Philippines yang disediakan menggunakan tepung beras, santan kelapa dan kelapa parut. Jadi ia merupakan lempeng tepung beras dan kelapa. Namun begitu ianya amat istimewa kerana dilapisi dengan daun pisang sewaktu proses memasaknya. Ia bukan sahaja gebu malah mempunyai aroma dan rasa yang amat menyelerakan. Bibingka juga amat sesuai dinikmati dengan tambahan mentega, keju ataupun kelapa parut.


Kek lapis dengan aroma rempah Lapis Legit.

7. Kueh Lapis Legit (Indonesia)

Ia juga dikenali sebagai spekkoek, merupakan sejenis kek lapis yang amat terkenal di Indonesia dari segi rupa mahupun rasanya. Tidak seperti kek biasa kek lapis ini menggunakan rempah-rempah seperti buah keras, kayu manis dan buah pelaga dalam penyediaan tepung ramuannya. Ia terdiri daripada 10 lapisan berlainan untuk membentuk kek lapis yang lengkap. Kueh ini jelas menunjukkan identiti Indonesia yang suatu masa dahulu merupakan salah satu penghasil rempah yang amat penting di Asia Tenggara (malah sehingga ke hari ini).


Itu adalah sebahagian daripada pengenalan manisan yang terdapat di beberapa negara di Asia Tenggara. Terdapat banyak lagi hidangan unik yang menanti anda, kerana setiap daerah di setiap negara mempunyai keunikan masing-masing jadi cara terbaik untuk ada mencubanya adalah dengan melawat sendiri ke daerah-daerah tersebut. Jadi sediakan beg anda untuk berangkat sekarang!



Free Download



Rabu, 5 Oktober 2016

Kirikane Seni Halus Jepun Daripada Emas

Kehalusan seni "Kirikane" diterapkan pada pinggan kaca ini.

Kirikane (截金), merupakan seni daripada Jepun yang menggunakan kepingan emas nipis yang jarang didengari. Seni ini yang dibawa daripada luar dikatakan berasal Alexandria iaitu sebahagian daripada Egypt purba sekitar kurun ke-3 BC. Namun seni ini di Jepun dibawa dari China sebagai sebahagian seni hiasan Buddhist bagi menghiasi patung-patung dan lukisan.

Mungkin anda tidak pernah mendengar mengenainya kerana di Jepun sendiri, seni ini mula diperkenalkan semula kerana ia kurang mendapat perhatian sebelumnya. Seni kirikane bukanlah mudah untuk dikuasai oleh semua orang kerana ia bukan sahaja menggunakan bahan-bahan seperti emas, perak dan platinum, tetapi kepingan logam-logam beharga yang digunakan ini amat nipis dan sukar dikendalikan tanpa kemahiran dan kesabaran yang tinggi.

Seni ini dibawa ke Jepun daripada China semasa Dinasti Tang (618–907) dan contoh yang masih boleh dilihat sehingga ke hari ini misalnya adalah seperti Tamamushino Zushi di Horyuji Temple. Seni ini amat popular di sekitar abad ke-11 hingga ke 14. Ia kemudiannya hampir lenyap berikutan dengan kekurangan seni hiasan Buddhist di Jepun.

Penampilan seni Kirikane yang amat unik.

Bekas simpanan berbentuk bola.

Akane Yamamoto menyerlahkan Kirikane melalui seni kaca.

Hari ini seni ini diberikan nafas baru walaupun seni asalnya masih lagi dikekalkan secara kecil-kecilan. Melalui usaha penggiat-pengiat seni Jepun generasi baru, kirikane ditampilkan merangkumi media yang lebih menarik merangkumi aspek hiasan yang lebih meluas. Antara penggiat seni kirikane yang terkenal adalah Akane Yamamoto yang berjaya menampilkan seni kirikane di peringkat global dengan “Kirikane Glass” yang dihasilkannya.

Walaupun Akane menggunakan media-media baru dalam penghasilan “Kirikane Glass” rekaannya, beliau masih lagi menampilkan ciri-ciri halus kirikane tradisional melalui potongan-potongan kepingan logam yang digunakan iaitu ianya berbentuk garisan, berlian, segi tiga, segi empat dan geometri halus seperti yang terdapat pada kirikane klasik. Namun denga menggunakan kaca, Akane menyerlahkan lagi seni ini dalam dimensi yang lebih mendalam.

Selain beliau, para penggiat seni lain juga turut menggunakan teknik kirikane mengikut kecenderungan masing-masing kerana seni ini boleh digunakan pada pelbagai mendia. Hanya seni kirikane mempunyai bentuknya tersendiri yang boleh diperhatikan dengan mudah melalui bentuk potongan kepingan logam yang digunakan.

Penggunaan Kirikane yang asal untuk menghisi patung keagamaan.

Ia juga boleh digunakan pada banyak barangan yang lain.

Kotak kayu yang dihiasi dengan Kirikane.

Seni ini perlu dilakukan dengan ketelitian yang tinggi memandangkan kepingan logam berharga yang digunakan amat nipis. Ia memerlukan pengendalian yang amat rapi bagi memastikan kerja-kerja yang dilakukan dapat menghasilkan satu hasil akhir sepertimana yang diinginkan.

  • Biasanya dua jenis kepingan logam digunakan dalam satu-satu hiasan terdiri daripada emas, perak dan platinum. Kepingan-kepingan ini perlu manjalani proses pemanasan (dengan teknik tersendiri) bagi melekatkannya antara satu sama lain bagi menambahkan ketebalan.

  • Kepingan-kepingan ini akan dipotong menggunakan pisau buluh (pisau logam tidak boleh digunakan) beralaskan pengalas yang dilapik dengan kulit rusa - bagi menghasilkan potongan yang baik.

  • Ia seterusnya dilekatkan menggunakan pelekat (daripada rumpai laut, funori dan ‘hide glue’, nikawa) ke atas barangan yang ingin dihiasi dengan kirikane.



Melihat kepada hasil daripada kirikane, maka anda pasti akan setuju bahawa ia perlu dikekalkan sebagai satu warisan untuk generasi berikutnya. Walaupun ia kurang dikenali seperti hasil-hasil seni kebudayaan Jepun yang lain, namun ia mempunyai nilai yang amat tinggi dalam menggambarkan kekayaan budaya yang halus. Ia secara tidak langsung memberikan kita pandangan kepada hasil seni budaya kita sendiri yang semestinya mempunyai nilai yang amat tinggi.


Free Download




Ahad, 11 September 2016

Pokok Purba Yang Unik – Dragon’s Blood Tree

Dragon's blood tree - antara pokok yang mencapai usia yang amat tua.

Sejenis pokok yang unik kerana dragon’s blood tree (Dracaena cinnabari) merupakan pokok yang tumbuh secara perlahan-lahan untuk tempoh yang sangat lama. Selain itu ia merupakan pokok yang hanya terdapat di Pulau Socotra, Yemen. Pokok ini mendapat gelaran dari getahnya yang berwarna merah apabila ianya ditoreh.

Pokok ini hanya mempunyai batang tunggal pada awal tumbesarannya. Ia akan hanya menumbuhkan cabang baru apabila cabang utama ini mengalami kerosakan (seperti dimakan oleh haiwan). Ia bagaimanapun biasanya menghasilkan bentuk seperti payung yang mempunyai daun yang agak rimbun di bahagian atasnya. Daun-daunnya hanya terdapat di bahagian hujung pucuknya sahaja. Bagi setiap 3 – 4 tahun, keseluruhan daunnya akan luruh dan akan menumbuhkan daun-daun baru yang akan mencapai kematangan dalam tempoh yang sama.

Pokok yang menghasilkan bunga.

Resin yang dihasilkan berwarna merah.

Bahan pewarna yang dihasilkan.

Namun begitu pokok unik ini mempunyai buah dan dalam setiap buah ini mengandungi 1  hingga 3 biji. Warna buahnya akan bertukar dari hijau ke hitam dan oren apabila masak. Buah-buahnya menjadi makanan kepada burung yang juga akan menyebarkan biji-biji tersebut ke kawasan yang baru. Biji-biji ini mempunyai saiz diameter antara 4-5 mm dengan berat lebih kurang 68 mg.

Apabila mencapai saiz yang besar, ia akan membentuk bahagian atas seperti payung yang besar. Walaupun daunnya kelihatan halus, sebenarnya setiap daun pokok ini boleh mencapai saiz sehingga 60 cm panjang dan 3 cm lebar. Ia juga mempunyai ciri-ciri sepertimana pokok palma lain selain beberapa ciri-ciri istimewa yang lain.

Pokok dragon’s blood mempunyai kegunaannya tersendiri kepada manusia dimana ia digunakan sebagai penggalak, ubat kumur dan juga sebagai ubat gigi. Bukan itu sahaja ia turut digunakan sebagai bahan pewarna selain sebagai bahan ubatan. Orang-orang Socotra juga turut menggunakannya sebagai pokok hiasan, selain untuk mewarnakan bulu, sebagai bahan pelekat, penyegar nafas dan juga sebagai lipstik.

Dragon's blood tree semasa bersaiz kecil.

Buah yang dihasilkan oleh pokok dragon's blood tree.

Pokok ini juga digunakan sebagai ubatan untuk pelbagai jenis masalah kesihatan seperti merawat luka, pembeku darah, merawat diarrhea, disentri, menurunkan suhu demam panas. Ia juga digunakan untuk merawat ulser di dalam mulut, tekak, usus dan perut. Ia juga mempunyai pelbagai kegunaan lain seperti sebagai varnish untuk biola (violins) dan juga ‘photoengraving’.


Pokok dragon’s blood merupakan salah satu daripada pokok-pokok yang mampu mencapai usia yang amat tua. Malah oleh kerana ia merupakan tumbuhan endemik bagi kepulauan Socotra sahaja, pemeliharaannya adalah sangat penting bagi membolehkan kita mengenali potensinya secara menyeluruh.


Free Download



Jumaat, 9 September 2016

Lokasi Unik di Leshan China - Giant Buddha

Patung Buddha gersasi di Leshan, China.

Seperti yang selalu dicadangkan, lokasi-lokasi yang menarik minat bagi MyRokan adalah lokasi-lokasi yang memberikan pengajaran, kesungguhan, kebudayaan, sejarah dan sebagainya. Walaupun hari ini kita mencapai kemajuan yang lebih tinggi dari orang-orang terdahulu, namun kesungguhan mereka banyak memberikan pengajaran kepada kita. Maka sebab itulah tinggalan-tinggalan mereka masih dikagumi sehingga ke hari ini.

Jadi kali ini kita akan melihat satu lagi tinggalan yang amat menarik iaitu patung gergasi Buddha di Leshan, China. Patung yang mencapai ketinggian sehingga 71 meter (233 ft.) ini bukanlah dibina dengan mudah melainkan ia mengambil masa yang amat lama dan mempunyai lakaran sejarah tersendiri. Sememangnya ia merupakan antara tempat lawatan terpenting dan disenaraikan sebagai sebahagian daripada “World Heritage Site” oleh UNESCO semenjak tahun 1996 lagi.

Sejarah pembinaannya bermula pada tahun 713 yang diketuai oleh seorang sami yang bernama Hai Tong. Pembinaan patung Buddha itu adalah diharap dapat mengurangkan arus deras sungai yang mengalir di bawahnya. Air deras ini mendatangkan bahaya kepada kapal-kapal yang menggunakan laluan tersebut. Usahanya bagaimanapun mengalami halangan apabila peruntukan pembinaan patung gergasi tersebut tidak berjaya. Hai Tong dikatakan mencungkil matanya sebagai tanda pengorbanan untuk menyiapkan patung tersebut. Apabila beliau meninggal dunia, kerja-kerja pembinaan tersebut pun terbengkalai. Hanya 70 tahun kemudian, usaha ini dibiayai semula oleh jiedushi dan projek pembinaan tersebut diteruskan oleh para pengikut Hai Tong pada tahun 803.

Pemandangan daripada atas.

Meneruni anak tangga ke kaki Buddha gergasi.

Pemandangan dari bahagian bawah.

Pembinaan patung tersebut menyebabkan sejumlah besar batu dan tanah yang dibuang ke dalam sungai di hadapannya yang juga merupakan pertembungan 3 buah sungai iaitu Minjiang, Dadu dan Qingyi menjadikan sungai tersebut lebih tenang.

Patung gergasi ini juga sebenarnya dilengkapi dengan sistem pengairan/pembentungan yang unik bagi mengelakkan kesan hakisan daripada air hujan. Sistem tersebut masih berfungsi sehingga ke hari ini.

Semasa proses pengukiran patung tersebut, sebuah binaan kayu setinggi 13 tingkat di bina bagi melindunginya dari hujan dan panas matahari. Binaan ini bagaimanapun dimusnahkan oleh orang-orang Mongols semasa perang yang berlaku di akhir pemerintahan Yuan Dynasty. Maka bermula dari itu, patung ini mula terdedah sepertimana yang dilihat pada hari ini.


Air sungai berada pada aras rendah.

Pemandangan daripada cruise.

Gambar daripada National Geographic.

Sememangnya ia antara beberapa binaan besar manusia yang menarik untuk ditontoni. Walaupun ia mungkin merupakan simbol keagamaan bagi sesetengah golongan, namun bagi yang lainnya ia menjadi simbol kesungguhan, kegigihan, keazaman dan keyakinan untuk melakukan sesuatu. Bagi yang berminat untuk melawat ke sini, bandar terdekat dengan lokasi ini adalah Chengdu dengan jarak kurang daripada 150 km.


Free Download



Arkib Blog