Ahad, 23 Oktober 2016

Bagaimana Menghasilkan Bunga Hybrid Yang Menarik?

Bunga hibrid (hybrid) mempunyai ciri-ciri dari kedua pokok induk.

Pernahkah anda melihat bunga-bunga yang cantik yang tidak pernah anda lihat sebelumnya? Seperti mana yang kita lihat hari ini, bunga-bungaan dari pelbagai jenis mempunya warna-warna baru yang lebih menarik, bentuk bunga, saiz dan warnanya adalah jauh berbeza daripada mana yang kita lihat satu masa dahulu. Bunga-bungaan ini sebenarnya adalah dihasilkan melalui proses pembiakan silang atau juga dikenali sebagai “hybrid” untuk menghasilkan anak benih baru yang mempunyai ciri-ciri dari kedua-dua tumbuhan induknya.

Walaupun pembiakan silang boleh membawa kebaikan-kebaikan lain seperti tahan penyakit, tahan cuaca, pokok yang lebih subur, menghasilkan buah/bunga yang lebih banyak dan sebagainya; dalam artikel kali ini kita hanya akan menjurus kepada penghasilan bunga yang lebih menarik. Iaitu dalam usaha mempelajari bagaimana menghasilkan bunga baru dengan ciri-ciri yang lebih unik. Sebagai contoh yang paling mudah untuk kita lihat dengan jelas adalah bunga ros (rose) dimana hari ini pelbagai jenis bunga ros dapat dilihat di pasaran samada untuk ditanam atau dijual sebagai hadiah.

*Sila tonton video di bawah untuk memudahkan pemahaman anda mengenai proses yang perlu dilakukan.

Contoh hasil kacukan yang luar biasa.

Semua jenis tumbuhan boleh menggunakan kaedah ini.

Pemilihan Induk Pokok

Pemilihan induk pokok adalah langkah utama dalam menghasilkan bungaan kacukan. Ia bukan sahaja menentukan bakal anak benih yang akan dihasilkan dari segi warna bungaannya, malah termasuk ciri-ciri lain seperti saiz pokok, ketahanan penyakit dan lain-lain lagi. Jadi pokok induk yang dipilih perlulah pokok yang betul-betul sihat dan menghasilkan bungaan yang cantik. Walaupun pokok-pokok yang dipilih ini mempunyai ciri-ciri warna yang berbeza, ia tidak semestinya menghasilkan benih bunga seperti yang anda jangkakan (sebagai contoh; merah + kuning = jingga). Malah anak benih yang dihasilkan melalui kaedah ini mempunyai ciri-ciri tersendiri bagi setiap anak benih yang dihasilkan nanti.

Sebaiknya anda mempunyai lebih dari dua jenis pokok induk yang menghasilkan bungga yang banyak pula untuk memastikan anda boleh membuat lebih banyak kacukan benihnya nanti. Ini kerana, proses kacukan memakan masa yang lama iaitu daripada bunga menjadi buah dan sehingga biji benihnya masak dan sedia untuk ditanam. Jumlah bunga yang banyak membolehkan anda membuat lebih banyak kacukan dan juga meningkatkan peluang anda menghasilkan benih bungaan baru yang berjaya dengan banyak dalam tempoh yang lebih singkat.

Bahagian-bahagian penting tumbuhan yang perlu anda kenali.

Penyediaan Pokok Untuk Kacukan

Apabila anda telah memilih pokok-pokok yang sesuai untuk dikacukkan, tibalah saatnya memilih bunga-bunga yang sesuai untuk dijadikan tempat pemindahan debungan dari bunga yang berasal dari pokok yang lain. Beberapa langkah penting berikut perlu diikut dengan teliti bagi memastikan hasil kacukan yang baik.

Pemilihan bunga perlu dilakukan pada bunga yang hampir kembang, bukan yang telah kembang, kerana ia mungkin telah didebungakan. Pilihlah beberapa kuntum bunga dari pokok bunga yang akan diambil debunganya sahaja untuk dipindahkan ke pokok bunga kedua yang akan menghasilkan biji benih hasil kacukan nanti.  Kedua-dua bunga ini perlu berada dalam peringkat yang sama; iaitu hampir mekar, tetapi masih tertutup.

Proses Pendebungaan

Proses pendebungaan dilakukan dengan mengumpulkan debunga dari pokok pertama. Buangkan kelopak bunga yang menutupi bahagian dalam bunga yang mengandungi stamen (mengandungi debunga) dan juga pistil (mengandungi stigma).

Debunga-debunga yang kebiasaannya berwarna kuning dari bunga-bunga ini akan diasingkan ke dalam bekas dan disimpan dengan baik. Manakala pokok bunga yang akan menerima pemindahan ini pula akan disediakan. Anda boleh memberi tanda/melabel bunga yang akan dikacukkan pada batang bunga atau pokok tersebut. Sama juga, kelopak bunga tersebut perlu dibuang bagi mendedahkan bahagian dalam bunga. Tapi pada bunga ini pula anda perlu membuang bahagian stamen yang ada bagi mengelakkan debunga dari bunga ini sendiri yang akan mendebungakannya. Bunga yang telah dibuang kelopak dan bahagian stamennya ini perlu dibiarkan sehingga 8 jam sehingga ia bersedia untuk didebungakan.

Setelah 8 jam, proses pemindahan bolehlah dilakukan dengan memindahkan debunga yang dihasilkan dari pokok pertama tadi kepada bunga yang telah disediakan. Anda boleh menggunakan jari sahaja untuk memindahkan debunga dari bekas kepada stigma bunga yang telah disediakan. Proses yang sama dilakukan sekali lagi ke atas bunga setelah tempoh 24 jam bagi meningkatkan tahap kejayaan proses kacukan anda.

Penhasilan Buah dan Biji Benih

Bunga yang berjaya didebungakan akan menghasilkan putik buah dalam masa beberapa minggu. Manakala ia akan memakan masa beberapa bulan pula untuk matang. Anda perlu menunggu buah-buah ini sehingga matang untuk mendapatkan biji hasil daripada kacukan anda tadi. Dari biji inilah pokok-pokok hasil kacukan anda dihasilkan. Semailah seperti biasa dan anda akan hanya melihat hasilnya apabila ia menghasilkan bunganya nanti.

Bunga dengan warna yang amat menarik.

Ciri-ciri baru membuka pasaran baru penjual bunga.

Selain warna, bentuk dan bau juga menjadi lebih unik.


Proses menghasilkan bungaan hybrid ini bukanlah sukar, namun ia mengambil masa yang lama dan kesabaran yang tinggi. Pada masa yang sama anda boleh mempelajari pelbagai perkara penting mengenai tanaman dan pertanian. Ini kerana penghasilan tanaman pertanian juga menggunakan kaedah ini untuk menghasilkan jenis tanaman yang baru. Malah kaedah ini telahpun digunakan oleh para petani sejak ratusan atau ribuan tahun dahulu, untuk menghasilkan hasil tanaman yang lebih baik. Fikir-fikirkan, renung-renungkan betapa mudahnya kaedah ini dan kita tidak pernah mempraktikkannya. 






Free Download




Ahad, 16 Oktober 2016

Membuat Terrarium Anda Sendiri

Antara bahan-bahan membuat terrarium.

Seperti di dalam artikel sebelum ini mengenai terrarium, anda mungkin berminat untuk menghasilkan terrarium anda sendiri. Selain sebagai barangan hiasan, terrrarium juga boleh menjadi bahan pendidikan untuk anak-anak dan keluarga. Jadi memiliki terrarium merupakan antara perkara yang mendatangkan manfaat.

Cara terbaik utuk memiliki terrarium adalah dengan membeli terrarium yang telah siap. Ini kerana ia telahpun memiliki tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalamnya dan sedia digunakan sebagai hiasan dan bahan pendidikan di rumah. Namun begitu ia mungkin agak mahal. Manakala membuar terrarium anda sendiri mungkin memberikan anda sedikit cabaran, namun ia merupakan antiviti menarik yang menambahkan lagi pengalaman anda dalam menghasilkannya. Aktiviti ini bertambah menarik sekiranya dilakukan bersama-sama dengan keluarga.

Bahan yang diperlukan untuk membina terrarium adalah mengikut kesesuaian jenis terrarium yang ingin dihasilkan.
Terrarium yang amat kreatif.

Jenis terrarium terbuka dan tumbuhan yang sesuai untuk ditanam di dalamnya.

Bagi menghasilkan terrarium, perkara utama yang anda perlu fikirkan adalah mengenai saiz dan tempat di mana terrarium tersebut bakal diletakkan. Ini kerana ia mempengaruhi kesesuaian tumbuhan yang boleh ditanam di dalam terrarium tersebut. Terrarium sebaiknya diletakkan di tempat yang tidak terlalu panas namun mendapat cahaya yang cukup. Pada masa yang sama, jenis tumbuhan menentukan samada anda memerlukan terrarium yang tertutup sepenuhnya atau terrarium jenis terbuka.

Sediakanlah bahan-bahan yang diperlukan begi memudahkan proses penyediaan dengan lebih lancar. Antara bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • Tumbuh-tumbuhan sesuai untuk terrarium anda
  • Bekas terrarium, samada terbuka ataupun tertutup
  • Batu kirikil
  • Medium tanaman (boleh menggunakan serat kelapa, tanah, habuk kayu dan sebagainya)
  • Jaring halus bukan daripada bahan logam.
  • Lumut sebagai hiasan tambahan.
  • Penyepit dan kayu - untuk memindah tumbuhan ke dalam terrarium anda.

*adalah sebaiknya bahan digunakan disterile dengan baik untuk mengelakkan jangkitan pada tanaman anda (lihat artikel kultur tisu untuk mengetahui keedah mensterile bahan).

Contoh lapisan bahan yang digunakan dalam terrrarium.

Langkah Penyediaan:

1) Batu kerikil diletakkan di bahagian bawah terrarium, ia bertujuan sebagai bahagian penyimpananan air bagi terrarium ini dan mengelakkan medium menakung air terlalu banyak.

2) Lapisan jaringan dipotong supaya menutupi bahagian atas batu kerikil dan diletakkan dengan kemas. Ini bagi memisahkan antara medium tanaman dan baru kerikil.

Jaring diletakkan di atas lapisan batu kerikil denga kemas.

3) Medium tanaman yang telah disediakan (yang terdiri daripada serat kelapa, tanah, habuk kayu dan sebagainya) diletakkan di bahagian atas jaringan tadi dan menutupnya dengan kemas. Medium tanaman mungkin berlu direndamkan di dalam air bagi membolehkan ianya berkeadaan lembab untuk membolehkan pokok ditanam di atasnya.

4) Anak-anak pokok yang telah dipilih bolehlah dikeluarkan daripada bekasnya dan disediakan untuk pemindahan ke dalam terrarium anda. Sebelum itu anda perlu membuat perancangan yang rapi, supaya hasil susunan adalah seperti yang diharapkan.

5) Akhir sekali ianya bolehlah dihiaskan dengan tutupan lumut, batu-batu dan juga hiasan-hiasan yang lain sesuai dengan kreativiti anda.

6) Siram terrarium anda dengan air yang mencukupi dan tutup (sekiranya ianya adalah terrarium tertutup), sebelum diletakkan di tempat yang sesuai.

*Semasa proses dijalankan, anda mungkin perlu menggunakan penyepit, kayu panjang, gunting, pisau, kertas surat khabar, bekas plastik dan sebagainya. Jadi pastikan barangan ini juga anda sediakan untuk memudahkan kerja-kerja penyediaan terrarium anda.

Anda boleh menghasilkan pelbagai jenis terrarium mengikut kreativiti anda sendiri.
Terrarium adalah salah satu cara mempelajari mengenai tumbuhan dengan lebih dekat.

Anda mungkin perlu membuat beberapa terrarium sebelum berjaya menghasilkan suatu hasil yang betul-betul memuaskan. Jadi janganlah cepat berpuas hati dengan hasil anda, sebaliknya teruslah menghasilkan terrarium-terrarium yang baru dan berbeza-beza. 



Free Download




Jumaat, 14 Oktober 2016

Terrarium Menarik Untuk Hiasan Dan Pendidikan

Terrarium menjadi hiasan dan bahan pendidikan yang baik.

Terrarium merupakan bekas kecil (kebiasaannya daripada kaca) yang lutsinar yang mengandungi tumbuhan di dalamnya. Bekas ini pula tidak semestinya tertutup dan kebiasaannya mempunyai bukaan kecil untuk tujuan penjagaan tumbuhan. Walaupun terrarium amat menarik sebagai hiasan, ia juga merupakan satu bahan penting dalam pendidikan bagi memahami lebih lanjut mengenai kehidupan tumbuh-tumbuhan.

Pembinaan terrarium pertama adalah dihasilkan secara tidak sengaja oleh botanist Nathaniel Bagshaw Ward pada tahun 1842. Beliau yang melakukan pemerhatian terhadap serangga secara tidak sengaja meninggalkan kelalangnya tanpa pemerhatian. Ini mengakibatkan spora yang terdapat di dalam kelalang tersebut membesar dan menghasilkan terrarium. Ia kemudiannya menjadi satu kegemaran pada waktu tersebut (Victorian Era) di kalangan orang-orang Inggeris. Namun begitu pada mulanya ia tidak dikenali sebagai terrrarium tetapi sebagai ‘Wardian Case’.

Penemuan ini digunakan oleh Ward untuk menghantar tumbuh-tumbuhan dari England ke Australia dengan membina ‘Wardian Case’yang lebih besar. Walaupun setelah melalui perjalanan selama berbulan-bulan di lautan, tumbuh-tumbuhan tersebut didapati sampai dalam keadaan yang baik. Kaedah yang sama juga digunakan pula untuk membawa tumbuh-tumbuhan dari Australia (Sydney) ke England (London). Kaedah ini membuktikan bahawa tumbuhan boleh disimpan di dalam bekas yang tertutup tanpa pengudaraan dan mampu hidup.

Terrarium lebih terkenal sebagai hiasan.

Terrarium tertutup menyediakan persekitaran lembab untuk tumbuhan di dalamnya.
Antara tumbuh-tumbuhan yang sesuai untuk terrarium.

Walaupun begitu sebelum anda membina terrarium anda terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Ini kerana, anda perlu memikirkan beberapa faktor penting untuk membolehkan tumbuhan yang disimpan di dalam terrarium anda mampu menghasilkan kitaran yang cukup untuknya terus hidup. Malah beberapa faktor lain juga perlu diberikan perhatian sebelum menghasilkan terrarium antaranya; saiz bekas, jenis bekas, jenis tumbuhan, lokasi terrarium, jumlah lembapan, bahan tanaman (tanah, pasir, batu, serat dan sebagainya) dan tempoh anggaran untuk terrarium itu digunakan - sekiranya perancangan anda tepat terrarium, anda mungkin bertahan untuk tempoh yang amat lama.

Terrarium Tertutup

Terrarium tertutup sesuai untuk tumbuhan tropika seperti orkid, lumut, paku-pakis dan tumbuhan angin yang memerlukan lembapan tinggi seperti di hutan-hutan tropika. Namun begitu dalam penjagaannya ia mungkin perlu dibuka seminggu-sekali bagi mengurangkan lembapan berlebihan pada dinding bekas yang digunakan. Ia antara lain dapat mengelakkan pembentukan kulat yang boleh menjejaskan tanaman di dalam terrarium anda.

Terrarium juga perlu disiram apabila lembapan didapati semakin berkurangan (tanpa pembentukan wap air pada dinding terrarium). Penggunaan bahan tanaman (medium) juga berlu dipilah dengan lebih berhati-hati bagi mengurangkan jangkitan pada tanaman. Bahan tanaman yang sesuai digunakan adalah ‘peat moss’, ‘vermiculite’ dan juga ‘perlite’. Bahan-bahan ini juga sebaiknya di “sterile” bagi membunuh mikro-organisma yang boleh mengakibatkan jangkitan.

Terrarium menyediakan persekitaran yang amat baik untuk tumbuhan tropika ini.

Terrarium untuk tumbuhan akuatik dan tropika.

Terrarium Terbuka

Terrarium terbuka pula lebih sesuai bagi tumbuh-tumbuhan penyimpan air (succulents) namun tidak sesuai untuk keadaan lembab dan tertutup seperti kaktus dan tumbuh-tumbuhan kering yang lain. Terrarium terbuka ini membolehkan wap air yang berlebihan dikeluarkan daripada terrarium tersebut. Selain itu terrarium terbuka juga sesuai untuk tumbuh-tumbuhan yang memerlukan cahaya matahari yang banyak, di mana ia mengelakkan panas yang berlebihan daripada terperangkap kesan daripada panas matahari.

Terrarium terbuka mudah dijaga namun berisiko jangkitan.

Terrarium dengan pelbagai saiz dan tumbuhan di dalamnya.


Terrarium bukan sahaja cantik sebagai hiasan, malah ia membolehkan proses tumbesaran tumbuh-tumbuhan diperhatikan secara lebih dekat. Proses kitaran lembapan, udara dan wap air di dalam terrarium tertutup secara tidak langsung menggambarkan proses kitaran udara di dalam atmosfera bumi dan pentingnya tumbuh-tumbuhan di dalam proses kitaran tersebut. Jadi sekiranya anda tidak mampu menghasilkan terrarium sendiri, mungkin anda boleh memberlinya kerana keistimewaannya tersebut.



Free Download




Khamis, 13 Oktober 2016

Perkhidmatan Bas Percuma GoKL Untuk Semua

Bas-bas GoKL yang memulakan operasi sejak 2012 lagi.

Perkhidmatan bas percuma GoKL bukanlah sesuatu yang baru malah telah dimulakan sejak tahun 2012 lagi dan ditambah lagi dengan 2 laluan baru pada tahun 2014. Kini ia mempunyai 4 laluan utama yang membolehkan semua pengunjung dan penduduk di Bandaraya Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan bas percuma ini pada bila-bila masa pada waktu pengoperasiannya.

Bas GoKL beroperasi di kawasan-kawasan utama di tengah Bandaraya Kuala Lumpur dengan kekerapan 5 minit pada waktu puncak (7.00AM – 10.00AM & 4.00PM – 8.00PM: hari bekerja) dan 10 minit pada waktu-waktu yang lain menjadikan ia sebagai pengangkutan yang baik untuk warga kota. Secara tidak langsung ia membolehkan warga kota menggunakan perkhidmatan ini dan mengurangkan jumlah kenderaan di kawasan-kawasan utama terutamanya pada waktu puncak. Malah ia juga turut berkesan dalam mengurangkan kesan pencemaran udara kerana bas GoKL sendiri menggunakan tenaga dari gas asli “Compressed Natural Gas” (CNG) yang dapat mengurangkan pencemaran.

Melalui laluan-laluan utama di Pusat Bandaraya.

GoKL menyediakan pengangkutan yang selesa.

Bagi yang telah biasa dengan perkhidmatan ini mungkin telah sedia maklum dengan laluannya masing-masing. Manakala bagi anda yang masih belum biasa dengan laluan bas GoKL bolehlah memuat turun peta laluan daripada link yang disediakan. Laluan adalah dibezakan melalui warna-warna tertentu bas-bas GoKL iaitu merah, biru, hijau dan ungu. Setiap laluan bas-bas ini merangkumi laluan-laluan tertentu terdiri daripada lokasi-lokasi penting termasuk pusat pengangkutan seperti KL Sentral, lokasi menarik seperti Dataran Merdeka, pusat membeli-belah Bukit Bintang, taman rekreasi dan sebagainya (lihat peta laluan sebagai panduan).

Laluan Bas Merah:

  • KL Sentral
  • Muzium Negara
  • Masjid Negara
  • Dataran Merdeka
  • Medan Mara
  • Chow Kit (Jln Ipoh)
  • Terminal Jalan Tun Razak
  • Monorel Chow Kit
  • Pertama Kompleks
  • Dayabumi

Laluan Bas Biru:

  • Medan Mara
  • Chow Kit (Jln Ipoh)
  • Terminal Jalan Tun Razak
  • HKL (Jln Pahang)
  • Masjid Kg. Baru
  • Hotel Concorde
  • Pavilion
  • Starhill Gallery
  • Bukit Bintang
  • Wisma Boustead
  • Menara Hup Seng
  • Bukit Nanas
  • LRT Dang wangi
  • Menara AIA

Laluan Bas Ungu:

  • Pavilion
  • Starhill Gallery
  • Bukit Bintang
  • Wisma Boustead
  • Wisma MPL
  • Bukit Ceylon
  • Kotaraya
  • Pasar Seni
  • Bangkok Bank
  • Muzium Telekom
  • Menara Olympia
  • KL Tower
  • The Weld
  • Wisma Foo Yong

Laluan Bas Hijau:

  • Pavilion
  • Starhill Gallery
  • Bukit Bintang
  • Menara KH
  • Wisma Rohas Perkasa
  • Grand Hyatt Hotel
  • KL Convention Centre
  • Citibank
  • Menara Atlan
  • KLCC
  • Angkasaraya
  • MATIC
  • Concorde Hotel
  • Life Centre
Peta Laluan untuk bas-bas GoKL di Kuala Lumpur.
Perkhidmatan percuma sepenuhnya.


* sila rujuk peta laluan untuk rangkaian laluan yang lebih jelas.


- Link untuk peta interaktif  >>di sini <<

- Download Map >> di sini <<

Perkhidmatan bas ini adalah percuma untuk semua warga kota dan juga para pelancong dalam dan luar yang mengunjungi Bandaraya Kuala Lumpur. Setiap pengunjung ke pusat bandaraya ini digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ini sebagai usaha penjimatan bahanapi, mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan juga mengurangkan pencemaran di ibu negara. Jadi sekiranya anda berkunjung ke Kuala Lumpur pada masa akan datang, jangan lupa untuk memanfaatkan perkhidmatan percuma ini.


Free Download




Rabu, 5 Oktober 2016

Kirikane Seni Halus Jepun Daripada Emas

Kehalusan seni "Kirikane" diterapkan pada pinggan kaca ini.

Kirikane (截金), merupakan seni daripada Jepun yang menggunakan kepingan emas nipis yang jarang didengari. Seni ini yang dibawa daripada luar dikatakan berasal Alexandria iaitu sebahagian daripada Egypt purba sekitar kurun ke-3 BC. Namun seni ini di Jepun dibawa dari China sebagai sebahagian seni hiasan Buddhist bagi menghiasi patung-patung dan lukisan.

Mungkin anda tidak pernah mendengar mengenainya kerana di Jepun sendiri, seni ini mula diperkenalkan semula kerana ia kurang mendapat perhatian sebelumnya. Seni kirikane bukanlah mudah untuk dikuasai oleh semua orang kerana ia bukan sahaja menggunakan bahan-bahan seperti emas, perak dan platinum, tetapi kepingan logam-logam beharga yang digunakan ini amat nipis dan sukar dikendalikan tanpa kemahiran dan kesabaran yang tinggi.

Seni ini dibawa ke Jepun daripada China semasa Dinasti Tang (618–907) dan contoh yang masih boleh dilihat sehingga ke hari ini misalnya adalah seperti Tamamushino Zushi di Horyuji Temple. Seni ini amat popular di sekitar abad ke-11 hingga ke 14. Ia kemudiannya hampir lenyap berikutan dengan kekurangan seni hiasan Buddhist di Jepun.

Penampilan seni Kirikane yang amat unik.

Bekas simpanan berbentuk bola.

Akane Yamamoto menyerlahkan Kirikane melalui seni kaca.

Hari ini seni ini diberikan nafas baru walaupun seni asalnya masih lagi dikekalkan secara kecil-kecilan. Melalui usaha penggiat-pengiat seni Jepun generasi baru, kirikane ditampilkan merangkumi media yang lebih menarik merangkumi aspek hiasan yang lebih meluas. Antara penggiat seni kirikane yang terkenal adalah Akane Yamamoto yang berjaya menampilkan seni kirikane di peringkat global dengan “Kirikane Glass” yang dihasilkannya.

Walaupun Akane menggunakan media-media baru dalam penghasilan “Kirikane Glass” rekaannya, beliau masih lagi menampilkan ciri-ciri halus kirikane tradisional melalui potongan-potongan kepingan logam yang digunakan iaitu ianya berbentuk garisan, berlian, segi tiga, segi empat dan geometri halus seperti yang terdapat pada kirikane klasik. Namun denga menggunakan kaca, Akane menyerlahkan lagi seni ini dalam dimensi yang lebih mendalam.

Selain beliau, para penggiat seni lain juga turut menggunakan teknik kirikane mengikut kecenderungan masing-masing kerana seni ini boleh digunakan pada pelbagai mendia. Hanya seni kirikane mempunyai bentuknya tersendiri yang boleh diperhatikan dengan mudah melalui bentuk potongan kepingan logam yang digunakan.

Penggunaan Kirikane yang asal untuk menghisi patung keagamaan.

Ia juga boleh digunakan pada banyak barangan yang lain.

Kotak kayu yang dihiasi dengan Kirikane.

Seni ini perlu dilakukan dengan ketelitian yang tinggi memandangkan kepingan logam berharga yang digunakan amat nipis. Ia memerlukan pengendalian yang amat rapi bagi memastikan kerja-kerja yang dilakukan dapat menghasilkan satu hasil akhir sepertimana yang diinginkan.

  • Biasanya dua jenis kepingan logam digunakan dalam satu-satu hiasan terdiri daripada emas, perak dan platinum. Kepingan-kepingan ini perlu manjalani proses pemanasan (dengan teknik tersendiri) bagi melekatkannya antara satu sama lain bagi menambahkan ketebalan.

  • Kepingan-kepingan ini akan dipotong menggunakan pisau buluh (pisau logam tidak boleh digunakan) beralaskan pengalas yang dilapik dengan kulit rusa - bagi menghasilkan potongan yang baik.

  • Ia seterusnya dilekatkan menggunakan pelekat (daripada rumpai laut, funori dan ‘hide glue’, nikawa) ke atas barangan yang ingin dihiasi dengan kirikane.



Melihat kepada hasil daripada kirikane, maka anda pasti akan setuju bahawa ia perlu dikekalkan sebagai satu warisan untuk generasi berikutnya. Walaupun ia kurang dikenali seperti hasil-hasil seni kebudayaan Jepun yang lain, namun ia mempunyai nilai yang amat tinggi dalam menggambarkan kekayaan budaya yang halus. Ia secara tidak langsung memberikan kita pandangan kepada hasil seni budaya kita sendiri yang semestinya mempunyai nilai yang amat tinggi.


Free Download




Arkib Blog