Sabtu, 29 Oktober 2016

Membuat Sabun Anda Sendiri Satu Aktiviti Menarik

Sabun buatan sendiri, mudah dan ringkas.

Sabun merupakan bahan penting untuk membersihkan kotoran kerana sifatnya yang mampu menanggalkan kotoran berminyak berbanding menggunakan air sahaja. Teknik pembuatan sabun menjadi semakin mudah dengan kemudahan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat sabun semakin mudah untuk didapati. Seperti juga pembuatan lilin, sabun merupakan satu lagi bahan yang mudah dibuat secara kecil-kecilan di rumah.

Para peminat pembuatan sabun kebiasaannya mempunyai resepi kegemaran mereka sendiri. Ini kerana anda boleh memilih sendiri bahan wangian yang ingin digunakan di dalam sabun, malah anda boleh menambah bahan kegemaran anda di dalamnya. Sabun buatan sendiri ini juga boleh dibentuk mengikut kesukaan anda menjadikan ia sabun yang lebih menarik untuk digunakan atau sesuai sebagai barangan hadiah.

Bahan-bahan Utama Untuk Membuat Sabun


Persiapan membuat sabun perlu dilakukan dengan teliti.

Antara bahan-bahan utama dan sampingan untuk membuat sabun.

Lye merupakan bahan utama yang digunakan untuk membuat sabun atau lebih dikenali sebagai sodium hydroxide. Lye yang digunakan kebiasaannya adalah di dalam bentuk kristal kerana ia merupakan 100% sodium hydroxide. Penggunaan lye yang tidak asli boleh menjejaskan penghasilan sabun anda kerana sukatannya mungkin berbeza - maka pastikan bahan utama ini adalah menggunakan bahan asli, melainkan anda telahpun mahir menghasilkan sabun sendiri.

Perhatian; Lye merupakan bahan yang sangat menghakis dan digunakan untuk kerja-kerja mencuci kotoran degil. Anda perlu berhati-hati semasa mengendalikan bahan ini. Sentiasa menggunakan sarung tangan dan elakkan ia daripada terkena pada kulit ataupun pakaian anda. Elakkan juga termakan atau terhidu wap semasa menggunakan bahan ini.

Bahan lemak boleh terdiri daripada pelbagai minyak sayuran daripada minyak kelapa, minyak zaitun, minyak badam, minyak bunga matahari dan sebagainya. Hasil gabungan antara lye dan minyak inilah yang sebenarnya membentuk sabun. Bagaimanapun anda perlu mencampurkannya dalam nisbah yang betul bagi membolehkan sabun yang dihasilkan selamat digunakan. Jadi untuk permulaan, gunakan resepi sabun yang telah disediakan daripada pembuat sabun yang lain.

Bahan-bahan tambahan adalah bahan yang boleh dicampurkan untuk memberikan keunikan tersendiri kepada sabun yang anda hasilkan. Bahan-bahan ini terdiri daripada pelbagai jenis bahan daripada bahan herba seperti lavender, chamomile, lemongrass (serai) dan sebagainya. Bahan pewangi seperti minyak essential juga biasa ditambah untuk memberikan aroma kepada sabun yang dihasilkan.

Bahan pewarna juga merupakan antara bahan penting untuk memberikan sabun anda warna yang lebih menarik. Ia merupakan bahan penting sekiranya anda menghasilkan sabun untuk dijual ataupun sebagai barangan hiasan dan hadiah. Anda boleh menggunakan bahan pewarna asli sekiranya tidak mahu menggunakan bahan pewarna tiruan.

Bahan tambahan yang lain pula adalah bahan yang juga memberikan sabun anda faedah tambahan seperti aloe vera, oatmeal, susu tepung, tanah liat, cornmeal, garam, serbuk kopi, loofah, beras dan sebagainya.

Walaupun sabun merupakan satu bahan yang ringkas, anda boleh menghasilkan sabun yang mempunyai banyak kebaikan selain fungsinya hanya sebagai pembersih sahaja. Namun untuk mendapatkan hasil yang baik, anda perlulah rajin mencuba dan mempelajari lebih banyak mengenai selok-belok teknik penghasilan sabun ini. Anda juga perlu mengenali bahan-bahan yang boleh digunakan dan kebaikannya untuk ditambahkan ke dalam sabun anda.


Sabun buatan sendiri lebih mudah dipelbagaikan.

Sabun dengan bahan-bahan tambahan.

Contoh Resepi Sabun 1

Bahan-bahan:
  • ⅔ cawan minyak kelapa (pastikan berkualiti baik)
  • ⅔cawan minyak zaitun
  • ⅔cawan minyak tambahan - samada minyak badam, minyak bunga matahari, minyak grapeseed atau minyak safflower.
  • ¼ cawan lye - juga dikenali sebagai 100% sodium hydroxide biasanya dibekalkan di kedai hardware sebagai bahan pencuci.
  • ¾ cawan air sejuk - gunakan air suling atau air yang telah ditapis.

Kaedah:

  1. Pastikan anda menggunakan kelengkapan perlindungan seperti sarung tangan dan juga penutup mata (sekiranya perlu) sebelum memulakan langkah mengendalikan lye. Gunakan sukatan seperti di atas dan campurkan lye secara perlahan-lahan ke dalam air. Pastikan anda tidak menyedut wap yang terhasil. Kacau perlahan-lahan sehingga larutan menjadi jernih dan biarkan seketika sementara anda menyediakan bahan-bahan lain.
  2. Campurkan ketiga-tiga minyak yang telah disukat dan dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro (microwave) atau panaskan bekas minyak di dalam periuk yang berisi air yang diletakkan di atas api. Panaskan minyak sehingga suhu lebih kurang 120°F (49°C). Tunggu sehingga suhu kedua-dua bahan menjadi agak sejuk sekitar 95°F hingga 105°F (35°C hingga 41°C). Suhu yang terlalu sejuk boleh mengakibatkan tekstur sabun yang berketul.
  3. Pada suhu yang sesuai campurkan kedua lye ke dalam minyak perlahan-lahan dan kacau sehingga anggaran 5 minit. Kedua-dua bahan perlu bercampur rata sebelum anda perlu terus memukul larutan seperti membuat adunan kek (boleh juga gunakan pemukul telur). Larutan dikira sempurna apabila ia menjadi likat dan meninggalkan kesan apabila ia jatuh ke atas permukaan larutan tersebut.
  4. Langkah terakhir adalah mencampurkan bahan-bahan tambahan daripada bahan herba, pewarna mahupun bahan tambahan lain. Pastikan kuantiti yang ditambah sesuai bagi mengelakkan kualiti sabun yang terjejas. Larutan sedia dituangkan ke dalam acuan sebelum ditutup dengan plastik dan dilapik dengan tuala bagi mengekalkan haba (supaya sabun terbentuk secara perlahan-lahan).
  5. Selepas 24 jam periksa sabun sekiranya ia masih sejuk atau lembut, biarkannya untuk tempoh 12 – 24 jam lagi di dalam acuan. Setelah betul-betul sejuk dan keras keluarkan sabun dan letakkan di atas kepingan kerta atau rak pembakar. Sekiranya anda perlu memotong sabun tersebut, ini merupakan masa yang sesuai untuk melakukannya. Sabun perlu disimpan selama 4 minggu untuk matang. Pada masa yang sama ia perlu dibalikkan untuk mendedahkan setiap bahagian kepada angin.
  6. Apabila sabun telah betul-betul matang ia perlu dibalut dengan kertas minyak atau disimpan di dalam bekas kedap udara. Ini kerana sabun menarik lembapan dari udara dan ini dalam masa yang sama mungkin akan memerangkap habuk.
Lavender merupakan bahan yang paling popular sebagai tambahan kepada sabun.

Pudian juga merupakan bahan tambahan yang sesuai.

Perhatian: Lye boleh di neutral kan menggunakan cuka putih dan anda perlu membersihkan kesan lye selepas selesai kerja-kerja dilakukan. Sekiranya terdapat saki baki tertinggal, biarkan beberapa hari dan cucilah kemudiannya menggunakan air panas (kerana ia telah bertukar menjadi sabun).

Resepi-resepi Sabun Lain;

Sabun Shea Butter CP
  • Minyak kelapa 16 oz. (473 ml)
  • Minyak zaitun 18 oz. (532 ml)
  • Minyak sawit 16 oz. (473 ml)
  • Shea butter 4 oz. (118 ml)
  • Tallow 16 oz. (473 ml)
  • Lye 9.815 oz. (290 ml)
  • Jumlah air yang digunakan 23 oz. (683 ml)


Sabun Honey Bee Cold Process
  • Minyak zaitun 32 oz. (946 ml)
  • Minyak sawit 16 oz. (473 ml)
  • Tallow 24 oz. (710 ml)
  • Lye 9.477 oz. (280 ml)
  • Jumlah air yang digunakan 24 oz. (710 ml)


Resepi sabun yang pertama adalah jauh lebih mudah untuk dicuba di peringkat awal. Anda juga boleh mencari resepi-resepi sabun lain yang lebih mudah dalam usaha memahami lebih lanjut mengenai teknik-teknik pembuatan sabun di rumah. Melalui pengalaman, anda mungkin dapat mereka resepi sabun anda sendiri dengan kebaikan-kebaikan seperti yang anda inginkan. Selamat mencuba.





Free Download



6 ulasan:

  1. Tq atas perkongsian ilmu. Semoga dilimpahi rezeki yg halal

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana sudi membaca tulisan kami. Kongsi-kongsikan untuk faedah bersama.

      Padam
  2. Salam pn.. Air tapis tu mcm mne ye.. Air coway, cuccoo mcm tu blh ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam, air yang digunakan sebaiknya tidak mengandungi sebarang bahan asing. Air suling adalah pilihan terbaik, kalau tak ada, air tapisan bolehlah digunakan.

      Padam
  3. Bahan nk buat beli di mana

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bahan boleh dicari secara online. Kalau tahu kedainya di mana lebih bagus.

      Padam

Arkib Blog