Rabu, 2 November 2016

Palma (Palm) Kumpulan Tumbuhan Penting di Serata Dunia

Kelapa merupakan palma yang paling popular.

Tumbuhan palma terdapat di seluruh dunia dan merupakan tumbuhan terpenting di mana sahaja ia didapati. Bagi kawasan beriklim tropika pokok kelapa (Cocos nucifera) merupakan tumbuhan yang setelah sekian lama mendapat jolokan tumbuhan 1001 guna dan digunakan untuk pelbagai kegunaan. Kali ini kita ingin melihat lebih banyak jenis-jenis palma yang lain dari seluruh dunia dan bagaimana kita dapat meluaskan lagi pengetahuan mengenai kepentingan tumbuhan jenis ini.

Palma (Arecaceae) iaitu nama botani bagi kumpulan tumbuhan yang terdiri daripada 181 genus dan mempunyai sekitar 2600 spesies yang kebanyakannya tumbuh di kawasan beriklim tropika, sub-tropika dan beriklim sederhana. Walaupun kebanyakan pokok palma menyerupai pokok kelapa (sawit/ nibong/ nipah/ pinang dan lain-lain) yang mempunyai batang dan daun berpelepah, terdapat juga pokok-pokok palma yang agak berbeza iaitu melilit seperti akar (rotan) dan juga yang hanya tumbuh rendah seperti pokok salak (Salacca).

Walaupun di kawasan seperti Malaysia kelapa lebih terkenal dan digunakan untuk pelbagai perkara daripada akar sehinggalah ke pucuknya. Pokok-pokok palma yang lain juga digunakan sedemikian rupa di mana sahaja ia dijumpai oleh masyarakat di serata dunia. Ia merupakan tumbuhan yang digunakan sebagai sumber makanan, manisan, bahan binaan, bahan kraftangan, perhiasan, perkakasan, baja dan sebagainya. Memandangkan spesiesnya yang banyak, maka pengetahun mengenai spesies pokok palma merupakan satu perkara yang agak menarik untuk diketahui.

Latania digunakan sebagai tanaman hiasan di Florida, USA.

Nipah merupakan tumbuhan penting seperti juga kelapa.

Oleh kerana banyaknya spesies pokok palma yang terdapat di dunia, kita akan memberikan perhatian kepada beberapa spesies palma utama yang biasa digunakan di beberapa bahagian dunia. Dari sini anda boleh membuat perbandingan mengenai kegunaan-kegunaannya yang pelbagai bagi setiap masyarakat di mana sahaja ia didapati. Jadi untuk mendapat pengetahuan lebih anda perlulah membuat kajian lanjutan sekiranya berminat. Berikut adalah jenis-jenis palma tersebut;

Archontophoenix - Bangalow palm, merupakan palma yang berasal dari Australia dan amat sesuai dijadikan sebagai hiasan. Walaupun hari ini ia ditanam di bahagian-bahagian lain dunia ia boleh juga menjadi spesies yang bersifat invasif.

Areca - Betel palm atau lebih mudah dikenali sebagai pinang. Pinang, lebih popular sebagai bahan kunyahan walaupun ia juga cantik dijadikan sebagai tanaman hiasan. Selain itu pinang juga digunakan untuk menghasilkan pelbagai barangan kraft.

Bactris - Pupunha merupakan palma yang berasal dari Amerika Selatan. Menghasilkan buah yang menyerupai buah pinang dan boleh dimakan. Pokok ini juga mempunyai bahagian-bahagian lain yang turut digunakan manusia untuk pelbagai tujuan.

Beccariophoenix - Beccariophoenix alfredii, mempunyai bentuk fizikal yang amat menyerupai kelapa. Ia bagaimanapun mempunyai saiz buah yang jauh lebih kecil. Ia juga berasal dari kawasan tinggi di Madagascar.

Bismarckia - Bismarck palm berasal dari Madagascar, juga merupakan palma berdaun kipas yang amat cantik dijadikan sebagai tanaman hiasan.

Borassus - Palmyra palm, sugar palm, toddy palm satu lagi palma yang amat popular di Asia Tenggara. Buahnya bagaikan buah kelapa bersaiz kecil dan berwarna gelap. Amat popular sebagai bahan menghasilkan minuman selain niranya juga turut menjadi bahan utama. Di India pula ia digunakan untuk menghasilkan minuman ‘toddy’.

Sawit menjadi tanaman utama beberapa negara termasuk Malaysia.

Bungalow Palm merupakan tanaman hiasan yang cantik.

Calamus - Rattan palm merupakan palma yang memanjat dan terdiri daripada 600 spesies kesemuanya. Rotan merupakan tumbuhan yang popular di sekitar Asia Tenggara untuk tujuan penghasilan perabot.

Cocos - Coconut (Cocos nucifera) iaitu kelapa seperti yang kita ketahui mempunyai 1001 kegunaan dan merupakan tumbuhan yang amat popular. Setiap bahagian dari pokok kelapa boleh dimanfaatkan. Bagi kawasan perkampungan, boleh dikatakan setiap rumah mempunyai pokok kelapa sebagai salah satu tanaman.

Copernicia - Carnauba wax palm merupakan palma yang berasal dari bahagian Brazil merupakan sumber penting untuk menghasilkan ‘wax’ ataupun lilin. Lilin ini digunakan dengan meluas di dalam bidang industri.

Corypha - Gebang palm, Buri palm atau Talipot palm merupakan pokok palma kipas yang mempunyai saiz daun yang amat besar. Mempunyai taburan yang merangkumi India, Malaysia, Indonesia, Philippines, New Guinea, Timur Laut Australia (Cape York Peninsula, Queensland). Daun dari pokoknya digunakan untuk membuat pelbagai peralatan.

Elaeis - Oil palm atau lebih dikenali sebagai kelapa sawit digunakan untuk menghasilkan minyak sawit. Berasal dari Afrika ia kini di hybridkan untuk menghasilkan produktiviti yang lebih baik.

Euterpe - Cabbage heart palm, açaí palm merupakan tumbuhan palma paya yang berasal daripada Brazil dan Trinidad. Ia semakin popular sebagai minuman yang mempunyai khasiat perubatan (anti-oksidan) walaupun terdapat banyak buah-buahan yang lain mempunyai faedah anti-oksidan yang sama atau lebih dari buah açaí palm.

Hyphaene - Doum palm merupakan palma berdaun kipas berasal dari Afrika termasuk Mesir. Ia merupakan tumbuhan penting pelbagai kegunaan dan terpadat tinggalan dari buah pokok ini didapati dari makam Raja Tutankhamun, Mesir yang dikatakan berusia lebih kurang 3,000 tahun.
Jubaea - Chilean wine palm, Coquito palm merupakan palma yang berasal dari Benua Amerika dan mempunyai saiz pokok yang amat besar. Seperti juga palma yang lain, ia digunakan untuk menghasilkan nira yang digunakan untuk membuat minuman (miel de palma).  Selain itu buahnya juga boleh dimakan.

Latania - Latan palm merupakan sejenis palma yang cantik dan mengandungi beberapa spesies. Ia mempunyai daun yang kelihatan agak tebal dan berwarna seperti disaluti perak. Berasal dari Afrika daripada Mauritius, Réunion dan juga Rodrigues Island.

Livistona - Cabbage palm, merupakan palma berdaun kipas yang tumbuh di Selatan Asia, Australasia dan Horn of Africa. Pokoknya boleh menjadi agak tinggi dan biasa digunakan sebagai hiasan.

Mauritia - Moriche palm merupakan palma paya bagi kawasan Amerika Selatan seperti Trinidad, Colombia, Venezuela, Guyana, Suriname, French Guiana, Brazil, Ecuador, Peru, dan Bolivia. Ia juga merupakan palma yang membekalkan makanan dalam bentuk buah, jus, digunakan untuk membuat jem, ice-cream, wine dan lain-lain lagi. Buahnya juga digunakan untuk menghasilkan minyak.

Metroxylon - Sago palm (Metroxylon sagu) atau lebih dikenali sebagai pokok rumbia juga merupakan palma yang penting. Ia turut digunakan untuk menghasilkan sagu atau digunakan juga sebagai makanan tambahan bagi ternakan termasuk ayam dan ikan.

Nypa - Nipa palm atau lebih dikenali sebagai pokok nipah mempunyai pelbagai kegunaan bagi penduduk tempatan dari daun, pelepah dan juga buahnya. Ia juga merupakan palma yang amat popular bagi penduduk di Asia Tenggara sehingga ke Bangladesh, India, Sri Lanka dan di mana sahaja ia boleh didapati.

Parajubaea - Bolivian coconut palms, merupakan spesies yang berasal daripada kawasan Utara Andes di Amerika Selatan. Walaupun mempunyai fizikal yang menyerupai pokok kelapa, ia mempunyai buah yang lebih kecil.

Phoenix - Date palm merupakan genus bagi 14 spesies pokok palma yang turut menghasilkan buah yang boleh dimakan. Namun spesies ini di hybrikan untuk menghasilkan buah yang digunakan untuk tujuan komersial. Kurma komersial (Phoenix dactylifera) merupakan jenis yang cukup dikenali.

Hyphaene thebaica, tumbuhan penting di Afrika dan Mesir.

Jubea chilensis mempunyai saiz yang amat besar.

Phoenix sylvestris - Wild date palm terdapat di Pakistan, India, Bangladesh, Sri Lanka, Nepal, Bhutan, Burma, Mauritius, Puerto Rico dan Leeward Islands. Ia digunakan untuk membekalkan nira pada penduduk India dan Bangladesh selain buahnya juga digunakan untuk membuat ‘wine’ dan ‘jelly’.

Raphia - Raffia palm yang mengandungi sekitar 20 genus berasal dari Afrika terutamanya Madagascar. Rafia membekalkan serat yang digunakan untuk membuat tali yang sangat berguna untuk pelbagai kegunaan.

Roystonea - Royal palm, juga berasal dari Amerika Selatan merupakan antara palma yang sangat popular digunakan sebagai tumbuhan hiasan.

Saba - Palmettos merupakan pokok palma berdaun kipas dan tumbuh di kawasan Amerika Selatan seperti Caribbean, Mexico, Venezuela, Amerika Tengah dan Colombia.

Salacca- Salak merupakan tumbuhan yang membekalkan buah yang boleh dimakan. Ia merupakan buah yang popular di Indonesia bagi kawasan Bali, Lombok, Timor, Maluku and Sulawesi termasuk juga Malaysia.

Syagrus - Queen palm, jenis palma dari Amerika Selatan yang mempunyai hubungan rapat dengan pokok kelapa. Buahnya merupakan sumber makanan penting bagi burung Lear's macaw.

Trachycarpus - Windmill palm, Kumaon palm mempunyai daun seperti kipas dan merupakan tumbuhan yang terdapat di sekitar Himalaya dan Timur China.

Veitchia - Manila palm, Joannis palm tumbuh di sekitar Pasifik seperti di (Fiji, Vanuatu, Tonga dan Solomon Islands)

Washingtonia - Fan palm, biasanya lebih digunakan sebagai pokok hiasan.


Jadi itu hanyalah sebahagian kecil daripada pokok-pokok palma yang mudah ditemui. Boleh dilihat setiap bahagian daripada pokok palma ini mempunyai pelbagai kegunaan yang amat berguna kepada manusia. Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pokok palma anda bolehlah membuat tinjauan terperinci melalui internet, sebagai contoh di palmpedia.net. Semoga paparan kali ini dapat memberikan satu lagi informasi berguna kepada para pembaca.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog