Khamis, 10 November 2016

Teknik Penanaman Tumbuhan (Propagation)

Penanaman anak benih melalui semaian biji.

Bagi yang berminat dalam penanaman tumbuhan ataupun seni taman, teknik penanaman tumbuhan merupakan salah satu pengetahuan penting untuk diterokai. Selain daripada membantu anda untuk menghasilkan lebih banyak pokok-pokok untuk keperluan sendiri, anda juga mungkin boleh menghasilkan anak pokok untuk jualan.

Ada beberapa teknik utama penghasilan anak tumbuhan baru selain daripada biji benih. Malah sekiranya anda berminat dengan tumbuhan paku-pakis pula ia memerlukan spora yang sedikit berbeza dengan teknik tanaman yang akan kita perbincangkan hari ini. Hari ini kita akan meninjau teknik penanaman tumbuh-tumbuhan biasa yang tergolong dalam tumbuhan berbunga (angiosperms) yang biasa digunakan sebagai tanaman hiasan.

Teknik-teknik penanaman;

Biji Benih

Peringkat percambahan biji benih.

Biji benih adalah cara yang paling biasa digunakan untuk penanaman tumbuhan. Ia merupakan cara semulajadi yang digunakan tumbuhan sendiri untuk menghasilkan generasi baru. Biji benih juga boleh menghasilkan tumbuhan dengan ciri-ciri baru hasil daripada kacukan dua induk yang berbeza (hybrid). Anda boleh merujuk artikel mengenai penghasilan benih hybrid untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknik-teknik penghasilannya.

Penanaman menggunakan biji benih walaubagaimanapun memakan masa yang lebih lama. Jadi teknik-teknik penanaman kaedah lain juga sering digunakan sekiranya ciri-ciri pokok induk adalah bersesuaian dengan anak benih baru yang ingin dihasilkan. Anak benih yang dihasilkan menggunakan biji benih mungkin mudah terjejas apabila terdedah kepada keadaan yang terlalu panas, lembab, kering dan sebagainya. Jadi sekiranya anda memilih untuk menggunakan biji benih, tapak semaian yang bersesuaian perlulah disediakan.



Keratan Batang

Keratan batang merupakan kaedah yang paling biasa digunakan untuk tujuan pembiakan tumbuhan. Ia merupakan kaedah yang popular bagi tumbuh-tumbuhan yang sesuai. Bagi tujuan ini, batang dari pokok induk yang cukup matang digunakan. Biasanya hormon penggalak akar akan digunakan untuk memastikan penghasilan akar yang lebih cepat.

Pastikan tanah cukup lembab dan batang yang digunakan tidak kering. Letakkan tempat semaian di kawasan yang redup. Serkup dengan plastik untuk menyediakan keadaan yang lembab kepada tapak semaian yang dibuat sekiranya perlu. Kebanyakan pokok yang boleh ditanam menggunakan biji, juga boleh ditanam menggunakan keratan batang. Bezanya, keratan batang boleh dilakukan lebih cepat tanpa menunggu pokok berbuah dan menjadi matang untuk menghasilkan biji yang boleh ditanam.

Pokok-pokok yang boleh ditanam menggunakan keratan batang terdiri daripada pelbagai jenis pokok daripada buah-buahan sehinggalah bunga-bungaan seperti ros, bunga kertas, kemboja, ubi kayu, tebu, cekur manis, kacang kelo dan sebagainya.

Keratan Daun

Daun juga boleh digunakan untuk menghasilkan anak benih baru.

Bagi sesetengah tumbuhan keratan daun juga boleh digunakan untuk tujuan penanaman anak benih. Bunga seperti Begonia masoniana dan Begonia rex hybrid boleh ditanam menggunakan kaedah ini.

Manakala keratan keseluruhan daun pula sesuai untuk tumbuhan seperti Sinningia, Saintpaulia dan Peperomia. Tumbuh-tumbuhan lain yang sesuai termasuklah Kalanchoe, Echeveria dan Crassula (seperti Crassula ovata - jade plant).

Terdapat banyak lagi spesis tumbuhan yang boleh ditanam menggunakan daun termasuk dari jenis berbatang dan daun lembut seperti S. rubrum, S. hintonii dan S. morganium. Manakala dari spesis herba berkayu seperti S. spectabile juga boleh menggunakan keratan daun untuk tujuan penanaman anak benih.



Cantuman Tunas

Beberapa teknik cantuman tunas.

Cantuman tunas dilakukan samada untuk mendapatkan ciri-ciri pokok induk yang diinginkan atau untuk mencantumkan lebih daripada satu ciri-ciri induk pada sebatang pokok. Ini membolehkan pokok yang ditanam mempunyai daya tahan ataupun menghasilkan tanaman seperti yang terdapat pada pokok induk yang menyediakan tunas yang dipindahkan.

Cantuman tunas juga biasa digunakan pada tumbuhan seperti bunga kertas untuk menghasilkan pelbagai jenis warna bungaan pada sebatang pokok. Terdapat juga cantuman yang dilakukan kepada pokok sitrus untuk menghasilkan beberapa jenis buah seperti limau nipis, limau kasturi, lemon, limau manis dan lain-lain pada sebatang pokok.

Cantuman tunas merupakan teknik pertanian yang perlu dikuasai. Pokok yang dihasilkan melalui cantuman tunas tidak boleh diwasiri daripada biji yang dihasilkan daripada buahnya ataupun keratan batangnya. Setiap pokok cantuman tunas adalah unik dan perlu dihasilkan secara individu.

Ubi dan Umbisi

Ubi, bebawang, sulur dan rhizom.

Ubi dan umbisi adalah merangkumi tumbuh-tumbuhan seperti kentang, ubi, keledek, keladi, kunyit, halia, cekur, keladi dan sebagainya. Bagi tumbuhan jenis ini, ubi dan umbisinya boleh digunakan untuk tujuan pembiakan benih baru. Tetapi bagi tumbuhan seperti keledek dan ubi, keratan batang juga boleh digunakan untuk tujuan pembiakan benih.

Bagi kaedah tanaman ubi ini, apa yang menarik adalah, ubi atau umbisi tersebut boleh dikerat untuk menghasilkan lebih banyak anak benih. Selain itu juga ubi atau umbisi tersebut akan menyediakan zat pemakanan sementara anak benih masih kecil secara tidak langsung membantu anak benih yang masih kecil untuk tumbuh dengan lebih baik.

Pembahagian

Teknik pembahagian dilakukan ke atas tumbuh-tumbuhan berbawang seperti bawang merah, bawang putih, lily, tulip dan saffron. Ia merupakan antara kaedah klasik tertua selain menggunakan kaedah keratan batang dan tanaman menggunakan biji benih. Namun hari ini, kaedah yang lebih berkesan untuk menghasilkan lebih banyak anak benih tumbuhan ini adalah melalui kaedah kultur tisu.

Bagi melakukan teknik ini, bebawang dikerat kepada beberapa bahagian (perlu mengandungi kedua bahagian pucuk dan akar) untuk memastikan ia tumbuh menghasilkan anak benih baru. Teknik ini perlu dilakukan berhati-hati kerana sekiranya ia menjadi terlalu kering, anak benih mungkin akan mati.



Sulur (stolons)

Sesetengah tumbuhan menghasilkan sulur yang akan menghasilkan anak baru. Sulur-sulur ini juga sesuai digunakan untuk dialihkan ke kawasan-kawasan lain sebagai anak benih baru. Tumbuhan seperti pucuk pegaga, strawberry, iris, rumput dan orkid merupakan beberapa jenis tumbuhan yang menghasilkan sulur.

Sulur akan menghasilkan anak-anak pokok yang boleh dipotong dan dialihkan sebagai pokok yang berasingan. Anak benih yang dihasilkan melalui sulur ini juga mempunyai ciri-ciri pokok induk seperti keratan batang, keratan daun dan teknik pembahagian.

Tut (layering)

Teknik-teknik melakukan tut (air layering).

Tut merupakan satu lagi kaedah klasik menghasilkan anak benih tumbuhan yang mengambil masa yang lama untuk menghasilkan biji benih. Melalui kaedah tut kulit luar pada pokok akan dibuang dan bahagian tersebut akan disaluti dengan medium seperti tanah ataupun bahan lain yang boleh menyimpan lembapan seperti sabut kelapa, lumut kering dan kain. Hormon penggalak akar juga boleh digunakan untuk mempercepatkan proses pembentukan akar pada bahagian yang diperlukan.

Satu lagi kaedah tut adalah dengan menanamkan bahagian dahan pokok ke dalam tanah sehingga ia membentuk akar. Bahagian ini kemudiannya dipisahkan dari pokok induk sebelum dipindahkan ke tempat yang baru.

Terdapat beberapa lagi teknik penghasilan anak benih moden yang telah disentuh sebelum ini seperti kaedah kultur tisu. Manakala bagi tumbuhan seperti paku-pakis dan cendawan pula, spora digunakan untuk menghasilkan anak-anak baru tumbuhan tersebut.


Walaupun kebanyakan teknik ini telahpun kita ketahui, namun jarang bagi kita menggunakan kaedah ini untuk melipat gandakan tanaman ataupun tumbuhan hiasan yang kita miliki. Mungkin sekiranya anda berminat, teknik ini boleh membantu samada untuk anda manfaatkan bagi menghasilkan tanaman sendiri ataupun untuk tujuan komersil. Semoga ia membawa kebaikan.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog