Saturday, April 23, 2016

Teknik Kultur Tisu Kaedah Penting Dalam Pertanian

Teknik kulltur tisu menghasilkan anak benih yang lebih baik.

Teknologi pertanian memainkan peranan penting dalam membantu para petani meningkatkan hasil tanaman mereka dan memastikan hasil tanaman yang lebih baik. Bagi memastikan anak benih tanaman yang berkualiti iaitu sihat, bebas penyakit, menghasilkan buah yang baik/banyak, cepat membesar dan sekata merupakan faktor penting dalam industri pertanian. Teknik kultur tisu merupakan teknik yang paling baik untuk memenuhi tujuan ini berbanding dengan teknik-teknik pertanian yang lain seperti pembiakan silang ataupun tut (grafting).

Suatu masa dahulu teknik kultur tisu hanya boleh dilakukan oleh badan-badan besar yang mempunyai makmal yang lengkap sahaja. Namun hari ini, petani kecil-kecilan juga boleh melakukannya di rumah (dengan memahami teknik yang betul) melalui ‘home kit’ yang boleh dibeli dari pembekal-pembekal tertentu.

Teknik penghasilan benih daripada tisu tumbuhan menggunakan medium ber nutrient ini mampu menghasilkan benih yang sama dengan pokok asalnya dalam jumlah yang banyak dalam masa yang singkat juga dikenali sebagai ‘micropropagation’. Ia amat penting dalam beberapa keadaan seperti;

  • keperluan untuk menghasilkan kualiti yang sama dengan pokok asal dari segi kualiti hasil bunga, buah dan sebgainya.
  • mampu menghasilkan benih yang mampu membesar dengan lebih cepat.
  • keperluan untuk menghasilkan anak benih tanpa biji benih ataupun agen pendebungaan untuk menghasilkan biji benih.
  • untuk menghasilkan anak benih tumbuhan baru yang telah dibuahsuai secara genetik bagi menggandakan jumlahnya.
  • menghasilkan anak-anak benih baru yang bebas dari penyakit melalui penggunaan perkakasan dan bekas yang bebas dari penyakit, perosak dan juga organisma merbahaya.
  • apabila kaedah pembiakan melalui kaedah lain sukar bagi sesetengah tumbuhan seperti orkid atau Nepenthes (periuk kera).
  • ia juga bagi mengawal penyakit tumbuhan daripada merebak selain menghasilkan anak benih baru yang bebas penyakit dengan lebih cepat.

Proses percambahan benih berlaku dengan pesat.

Proses pembesaran dipantau sepanjang masa.

Contoh benih dihasilkan melalui kultur tisu.

Industri penanaman orkid merupakan antara industri pertanian yang paling mendapat manfaat daripada teknologi ini. Tanpa teknik kultur tisu, anak-anak orkid sukar dihasilkan atau memakan masa yang terlalu lama untuk dibiakkan secara tradisional. Begitu juga apabila ada hybrid-hybrid baru yang dihasilkan, teknik ini membantu untuk menggandakan bilangan pokok baru tersebut untuk dipasarkan.

Di Malaysia antara penggiat teknik kultur tisu adalah Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB), Selama Research Centre (SRC), MARDI, FRIM, UPM dan sebagainya. Teknik ini juga sering digunakan oleh pekebun-pekebun orkid secara persendirian. Namun penggunaannya di Malaysia boleh dikatakan masih di tahap rendah berbanding di negara-negara jiran seperti Thailand dan juga Vietnam yang semakin pesat dengan teknologi pertaniaannya.

Kemudahan teknik kultur tisu di Thailand.

Anak-anak pokok dialih ke dalam ruang pembesaran.

Walaupun banyak pihak menyediakan kursus-kursus berkaitan kultur tisu ini namun aplikasinya di dalam bidang pertanian di Malaysia masih terlalu kecil. Mengapakah ianya gagal digunakan untuk menjadikan para petani Malaysia lebih produktif dan kompetitif. Apa pun ia terserah kepada para petani sendiri dalam merancang kaedah pertanian mereka samada ingin mengekalkan kaedah lama dan bersaing dengan petani-petani lain.


Bagi artikel pengenalan kultur tisu ini saya tidak menyentuh mengenai teknik-tekniknya dengan lebih lanjut. Dimasa akan datang kita akan melihat bagaimana ianya dilakukan dan bagaimana pula usaha mempergunakan kaedah ini boleh mendatangkan manfaat kepada petani-petani kecil – yang ingin memajukan diri di dalam bidang pertanian.




Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...