Rabu, 13 April 2016

Kecantikan Bulu Berkilauan Burung Merak Dari Jarak Dekat

Kecantikan bulu burung merak dari dekat.

Burung merak terkenal kerana memiliki warna bulu yang cantik berkilauan. Walaupun ciri-ciri warna berkilauan tersebut dimiliki oleh burung-burung lain serta hidupan lain, burung merak mempunyai kelebihan dari segi saiz ekornya yang besar. Ini ditambah lagi dengan corak pada ekornya yang menyerupai mata yang banyak.

Warna berkilauan (iridescent) ini amat istimewa kerana ia bukanlah seperti warna biasa yang dihasilkan oleh pigment, tetapi adalah permukaan halus pada bulu burung tersebut yang memantulkan cahaya berbeza mengikut sudut yang dipadang oleh pemerhati. Sebab itu warnanya akan terus berubah di dalam julat tertentu mengikut permukaan sesuatu kawasan pada bahagian bulu burung tersebut. Anda boleh mengikuti kisah bagaimana cahaya ini dipantulkan daripada kisah rama-rama morpho.

Oleh kerana tertarik dengan warna bulu burung merak, seorang ‘software engineer’ dan photographer dari Canada mengambil keputusan untuk melihat kecantikan bulu burung ini secara dekat menggunakan mikroskop yang dibesarkan sebanyak 500 kali ganda. Beliau amat tertarik dengan keistimewaan bulu burung merak yang mampu bertukar-tukar warna dari biru kepada keemasan mengikut sudut pandangan pemerhati.




Waldo Nell menggunakan kamera Canon Rebel T3i yang dipadankan bersama mikroskop Olympus BX53 untuk mendapatkan gambaran jelas bulu burung tersebut. Cahaya dipancarkan dari sudut yang berbeza bagi menghasilkan pantulan cahaya menarik untuk dirakamkan dengan kamera yang digunakannya.

Namun begitu bulu burung merak bukanlah satu-satunya yang menjadi bahan tatapan Waldo Nell di bawah mikroskop, malah beliau akan meletakkan hampir apa sahaja di bawah mikroskop untuk melihat secara dekat mengenai objek tersebut.

Walaupun bulu burung merak digunakan untuk menarik perhatian pasangan, ia juga mungkin mempunyai fungsi lebih dari itu. Manakala bagi manusia pula, bulu burung ini biasa digunakan untuk tujuan perhiasan dan ini adakalanya menjadi ancaman kepada burung tersebut.




Keunikan ciri-ciri ‘iridescent’ ini mungkin satu hari nanti boleh digunakan oleh manusia pada pakaian dan barangan pula. Jadi kita akan mempunyai pakaian yang berkilauan atau mungkin kenderaan dan bangunan yang berkilauan juga. Menakjubkan!




Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog