Jumaat, 28 Mac 2014

Keunikan Hidupan Laut Kima (Kerang Gergasi)

Kima-Chama gigantea
Keindahan kerang gergasi di kawasan terumbu karang.

Kima atau juga dikenali sebagai kerang gergasi adalah merupakan antara hidupan yang menghuni perairan terumbu karang Sabah (Borneo). Kima atau nama saintifiknya Tridacna gigas/Chama gigantea menghuni perairan terumbu karang pada kedalaman 20 meter yang menjangkau perairan Selatan Pacific hingga ke Lautan Hindi. Selain daripada saiznya yang boleh menjangkau sehingga melebihi 1 meter ia juga boleh mencapai umur sehingga ratusan tahun.

Keunikan hidupan ini selain daripada saiznya yang menjangkau sehingga melebihi 1 meter, adalah keupayaannya untuk menggunakan alga yang mampu hidup pada permukaan dalamannya dan mendapat sumber makanan daripada alga tersebut apabila ia menjalankan fotosintesis. Ini membolehkan kerang gergasi membesar dengan sempurna walaupun pada perairan yang kurang mengandungi plankton. Hubungan simbiosis seperti ini juga turut digunakan oleh hidupan lain seperti obor-obor (pada sebahagian spesies).

Saiz kerang gergasi yang pernah direkodkan adalah mencapai sehingga 137 cm (4.49 kaki) yang diperolehi pada tahun 1817 di pesisir pantai Sumatera Barat. Berat kulit kerang tersebut mencapai sehingga 230 kilogram dan dianggarkan berat semasa hidup boleh mencapai sehingga 250 kilogram. Kulit kerang gergasi tersebut kini disimpan di museum Ireland Utara.

Kulit kerang gergasi
Kulit kerang gergasi yang disimpan di Aquarium Finisterae, Spain.

Satu lagi spesimen yang diperolehi daripada kepulauan di Ishigaki, Jepun pula pada tahun 1956 menemukan kerang yang mencapai saiz sehingga 115 cm (3.77 kaki) dengan berat cengkerang mencapai 333 kilogram. Para saintis menganggarkan berat hidup kerang ini mungkin boleh menjangkau sehingga 340 kilogram.

Kerang gergasi yang mendiami kawasan terumbu karang akan membuka cengkerang dan mendedahkan bahagian dalamannya kepada cahaya matahari. Ini membolehkan alga yang hidup pada permukaan kulit dalaman tadi melakukan proses fotosintesis dan membolehkan ia juga mendapat hasil daripada alga tersebut. Permukaan kulit ini kelihatan amat cantik apabila terdedah kepada cahaya matahari – kesan daripada pantulan UV.

Kerang gergasi di dasar laut
Kerang gergasi di dasar laut.

Oleh kerana kerang gergasi akan berada pada suatu tempat untuk tempoh masa yang lama maka ia terdedah kepada bahaya musuh terutamanya manusia yang menjadikannya sebagai sumber makanan. Proses tumbesarannya yang lama menyebabkan jumlahnya turun secara mendadak. Proses pemuliharaan giat dilakukan oleh banyak negara termasuk Malaysia dan Australia. Di Malaysia usaha pemuliharaan dilakukan oleh Marine Ecology Research Center (www.merc-gayana.com) yang berpusat di Pulau Gaya, Sabah. Usaha ini dijalankan sejak 2007 dan telah berjaya melepaskan semula anak-anak kerang gergasi ke habitat yang sesuai.

Seperti juga spesies-spesies hidupan liar yang lain, kerang gergasi mengalami masalah kepupusan adalah disebabkan kadar tangkapan/buruan yang tinggi berbanding kadar pembiakan yang perlahan. Ini kerana kerang ini bukan sahaja menjadi sumber makanan masyarakat tempatan malah menjadi buruan mereka yang ingin memilikinya sebagai koleksi untuk dipelihara di dalam akuarium sebagai hiasan. Perkara yang lebih buruk mungkin boleh berlaku sekiranya habitat semulajadi mereka terganggu dan menyebabkan kematian hidupan unik ini.


Mungkin sekiranya mendapat peluang untuk merasa keunikan masakan kima ini saya juga ingin mencuba. Tapi apa yang lebih penting diharap usaha memelihara kelangsungannya juga patut diberikan perhatian. Adalah diharap kita sama-sama dapat membantu memelihara kerang gergasi ini daripada terus pupus.


Free Download



Khamis, 27 Mac 2014

Kereta Terpantas Di Dunia Bugatti Veyron Super Sport


Veyron Super Sport
Bugatti Veyron Super Sport.

Kereta merupakan lambang status kejayaan seseorang dalam budaya kehidupan masyarakat hari ini. Walaupun ia lebih kepada pilihan masing-masing tetapi masyarakat umum masih mengaitkan kejayaan dan kereta sebagai salah satu lambang yang berkait rapat. Sehubungan itu memiliki kereta terpantas di dunia merupakan impian hampir setiap individu.

Sehingga pada tahun ini 2014 kereta terpantas di atas jalan raya masih lagi dipegang oleh Bugatti Veyron Super Sport yang menyandang gelaran ini sejak tahun 2010 lagi dengan keupayaan mencapai kelajuan maksima sehingga 267 mph (431 kmh). Ia juga mampu memecut dari 0 – 60 mph dalam masa 2.4 saat – satu pecutan yang boleh mengakibatkan anda terlekat pada kerusi pemandu ataupun penumpang.

Bagi memberikan Veyron kuasa yang mampu memberikannya pecutan yang begitu tinggi ia dilengkapi dengan engin ‘quad-turbocharged W16 engine’ atau bersamaan dengan dua engin V8 yang membentuk W berbanding ‘V’ – ini menjadikan ia dilengkapi dengan 64 valves (injap) untuk melengkapi 16 pistonnya.

Quad-turbocharged engines
Engin Bugatti Veyron Super Sport.

Engin Veyron yang unik ini mampu menghasilkan 1200 HP (kuasa kuda) – iaitu 200 HP lebih berbanding model sebelumnya. Kadar penggunaan minyak secara purata adalah 24.9 liter/100 km. tetapi penggunaan minyaknya amat tinggi bagi pemanduan di kawasan bandar. Tambahan pula engin kereta ini tergolong dalam kumpulan ‘G’ bagi kategori ‘Engine Efficiency’.

Sebagai penyandang kereta terpantas dunia Bugatti Veyron juga menjadi antara kereta termahal dengan harga mencapai USD 2.4 juta. Begitu juga kesemua servis seperti penukaran tayar hanya boleh dilakukan di Perancis. Satu set tayar adalah berharga USD 25,000 manakala kos penukaran tayar akan menelan belanja USD 70,000. Oh, saya hanya akan menggunakan kereta ini jika tinggal di Perancis!

Termasuk antara model-model lain dalam rangkaian Bugatti adalah Veyron, Grand Sport, Super Sport dan Vitesse. Kesemua kereta yang dihasilkan adalah mengikut kehendak pelanggan seperti model yang dihasilkan khas untuk Hermes – Bugatti Veyron Fbg par Hermes.


Itulah serba sedikit mengenai kereta pujaan ramai atau lebih dikenali sebagai Bugatti Veyron. Apa yang penting selain daripada mengenali kereta terpantas ini kita juga mengetahui tentang teknologi yang mampu menghasilkan mesin sehebat Veyron. Mungkin selain daripada memiliki Veyron ada lagi perkara yang lebih penting untuk kita ketahui – teknologi mampu menghasilkan segalanya.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Penanaman Pokok Tanpa Menggunakan Tanah

LECA system
LECA - kaedah penanaman yang mudah - hanya pastikan paras air mencukupi.

Tanah merupakan medium penting untuk penanaman pokok dimana selain menyediakan sokongan kepada pokok ia juga mebolehkan akar pokok menjalar masuk ke dalam tanah untuk mendapatkan air. Kajian yang dilakukan oleh para saintis, petani dan orang ramai kini memahami, tanah bukanlah merupakan faktor utama yang membantu pokok untuk tumbuh dan berbuah. Jadi bagaimana kita boleh menanam pokok tanpa menggunakan tanah?

Ada beberapa perkara yang penting bagi tumbuhan untuk terus hidup dengan subur dan berbuah. Faktor-faktor inilah yang membolehkan tumbuhan untuk terus membesar antaranya:
  • Air – kelembapan, bahan untuk mengangkut zat makanan dalam pokok.
  • Cahaya – membolehkan tumbuhan menjalankan fotosintesis.
  • Zat makanan – (baja) membolehkan tumbuhan terus hidup subur.

Jadi tumbuhan boleh terus hidup tanpa sebarang masalah selagi ketiga-tiga perkara di atas dapat dibekalkan kepadanya. Maka, tanah bukanlah merupakan perkara yang menyediakan keperluan asas tetapi adalah sebagai sokongan. Inilah yang membolehkan tanaman ditanam walaupun tanpa tanah.

Teknologi tanaman yang dinamakan ‘hydroponics’ bukanlah satu perkara yang baru dan kaedah-kaedah terbaru terus dihasilkan bagi memastikan kita dapat menanam tumbuh-tumbuhan walau di mana sekalipun kita tinggal. Kaedah penanaman ‘hydroponics’ yang diperkenalkan dahulu memerlukan sistem yang mengandungi ‘pam air’ serta penyambungan paip yang mungkin mendatangkan sedikit kesukaran bagi mereka yang sibuk untuk mencuba.

Bamboo in water
Lucky Bamboo yang ditanam di dalam air dan batu.

Kaedah penanam ‘hydroponics’ hari ini menggunakan bahan gantian kepada tanah seperti;
  • Serat – serat kelapa, serat-serat lain
  • LECA – bebola tanah liat
  • Perlite – sejenis serpihan batuan

Ketiga-tiga bahan ini dapat menggantikan tanah kerana ia menyediakan ruang-ruang untuk air mengalir dengan bebas disamping menyediakan sokongan kepada akar tumbuhan untuk menjalar bagi menyerap air dan zat makanan yang terkandung di dalam air. Di sini terdapat bahan yang boleh diperolehi secara semulajadi seperti serat kelapa atau serat lain daripada tumbuh-tumbuhan apabila tumbuhan mati misalnya. Bahan ini dapat menyimpan lembapan yang cukup untuk tumbuhan disamping aliran udara juga amat baik.

Bahan lain seperti LECA dan perlite juga berasal dari sumber semulajadi, namun telah melalui proses untuk memastikan ia berfungsi sebagai gantian kepada tanah tanpa mengalami perubahan seperti menjadi padat, bertukar bentuk dan bertukar sifat.

Coco peat
Penggunaan 'coco peat' dalam teknik tanaman tanpa tanah.

Kaedah penanaman ‘hydroponics’ ringkas hanyalah menggunakan bekas yang digunakan untuk mengisi medium tanaman dan kemudiannya air yang mengandungi zat makanan (baja) diisikan bagi memastikan akar tumbuhan mendapat air secukupnya. Cara ini lebih mudah kerana anda hanya perlu memastikan air berada pada paras yang sesuai. Tiada pam air ataupun pemasangan elektrik diperlukan.

Kesesuaian pokok yang ditanam juga boleh disesuaikan dengan kaedah tanaman yang anda gunakan. Pokok yang tidak begitu tinggi mungkin lebih mudah untuk ditanam manakala pokok yang tinggi mungkin memerlukan sedikit sokongan – kerana medium tanaman ini tidak sekuat tanah dalam menyokong pokok yang tumbuh di dalamnya. Jadi tanaman kecil seperti sawi, kobis, bawang, lobak, salad adalah antara tanaman yang baik ditanam. Pokok yang memerlukan sokongan adalah seperti cili, tomato, kacang panjang, terung, timun dan pokok yang mempunyai ketinggian yang lebih.


Penanaman tumbuhan tanpa menggunakan tanah ini telah membolehkan kita menanam tumbuh-tumbuhan walaupun kita tinggal di rumah flat misalnya ataupun menanam sedikit pokok sebagai hiasan di dalam pejabat. Apa yang penting sebelum anda mencuba kaedah ini, anda perlulah mempelajari serba sedikit mengenai kaedah penanaman pokok dan perkara-perkara asas yang diperlukan untuk pokok hidup dengan sihat dan subur. Apa yang penting, teruskan mencuba.


Free Download



Komputer PC Terkecil Pelbagai Kegunaan

CuBox-i mempunyai saiz yang amat kecil
CuBox-i mempunyai saiz yang amat kecil.

Memandangkan kemajuan teknologi hari ini boleh memuatkan sebuah komputer ke dalam peralatan kecil seperti telefon bimbit, timbul tanda tanya bagi saiz bagi PC terkecil yang boleh kita miliki. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai PC terkecil mungkin kita boleh melihat CuBox-i sebagai contoh terbaik.

CuBox-i mempunyai saiz sebesar 2” X 2” X 2” yang mampu mengendalikan pelbagai sistem operasi (OS) mengikut keperluan anda. Ia merupakan peralatan asas untuk mengenali sistem pengoperasian komputer yang amat baik samada anda ingin mengetahui mengenai pembinaan komputer ataupun sistem pengoperasian atau software (perisian). Malah dengan saiz yang kecil ia mudah dibawa kemana-mana.




CuBox telah dibangunkan lebih awal iaitu pada tahun 2011 lagi dengan model asal CuBox. Melalui beberapa pembaharuan untuk memenuhi pelbagai kegunaan dan keperluan pengguna ia dimajukan dengan beberapa model terbaru dalam rangkaian CuBox-i. Dilengkapi dengan keupayaan pemproses yang mampu memberikan anda keupayaan grafik video full-HD (1080) untuk tontonan video atau sebagai ‘Home Media’.

Apa yang penting sekiranya anda ingin lebih mengenali komputer secara lebih dekat dan mencuba sistem-sistem pengoperasian yang lain seperti Linux, Phyton, Pearl, Android dan sebagainya, CuBox merupakan peralatan yang sesuai digunakan. Jadi anda juga boleh menggunakannya untuk berlatih membangunkan aplikasi atau perisian anda sendiri. Terdapat juga forum untuk komuniti yang menggunakan CuBox dalam membincangkan perkara-perkara yang berkaitan.

Untuk mengenali CuBox-i dengan lebih lanjut anda bolehlah melawati lawan webnya melalui link yang disediakan. Mungkin melalui pengenalan CuBox-i, anda boleh memulakan sesuatu yang baru dan kreatif di dalam dunia perkomputeran.


Free Download




Rabu, 26 Mac 2014

Hiburan Untuk Majlis Keramaian dan Kenduri Kendara

Cak Lempong
Persembahan 'cak lempong' kembali popular untuk majlis-majlis.

Hiburan merupakan elemen yang penting di dalam kehidupan terutama bagi menyerikan lagi sesebuah majlis keramaian samada kenduri kendara mahupun sambutan sesuatu majlis. Mungkin kita tidak menyangka terdapat banyak pilihan hiburan yang boleh membantu kita membangkitkan kemeriahan majlis yang bakal kita adakan nanti.

Memandangkan negara kita yang kaya dengan pelbagai masyarakat dan budaya, sudah semestinya mempunyai kepelbagaian bentuk hiburan yang boleh kita persembahkan kepada para tetamu bagi menyerikan sesuatu acara yang ingin dijalankan. Mahupun acara berbentuk kesenian, keramaian, perayaan, meraikan kejayaan atau majlis sambutan kelab dan sebagainya. Semunya hanya bergantung kepada kreativiti anda bagi menyelitkan hiburan yang sesuai dengan majlis-majlis yang ingin diadakan.

Hiburan Mudah Masa Kini


Set Karaoke
Peralatan yang mudah kendali merupakan kelebihan mengapa hiburan 'karaoke' ini menjadi pilihan utama dalam majlis.

Bagi mendapatkan satu hiburan yang ringkas dan mudah, hari ini dapat kita saksikan kebanyakan majlis menyediakan sedikit hiburan muzik dan ‘karaoke’ bagi menghiburkan para tetamu. Maka dengan cara ini tetamu merasa lebih seronok berada di dalam majlis tersebut dan adakalanya menjadi bahan gurauan sanak-saudara yang hadir.

Penyediaan bentuk hiburan dengan cara ini merupakan yang paling mudah dan ringkas memandangkan ia hanya perlu dikendalikan oleh kakitangan yang sedikit dan peralatan yang mudah dikendalikan. Kebiasaanya kos untuk mendapatkan perkhidmatan ini juga berpatutan. Apa yang diperlukan adalah sistem P.A. yang sesuai, beberapa monitor, sistem pembesar suara yang bersesuaan dan koleksi lagu-lagu yang bersesuaian dengan majlis (mungkin juga para tetamu).

Hiburan Bersifat Kebudayaan

Dondang Sayang
Dondang sayang merupakan hiburan berunsur 'rakyat', yang amat popular satu masa dahulu.

Hiburan-hiburan berbentuk kebudayaan juga semakin mendapat perhatian semula. Terdapat semakin banyak kumpulan kebudayaan yang dijemput untuk menyerikan lagi majlis-majlis terutamanya perkahwinan. Kumpulan-kumpulan seperti ‘cak lempong’, ‘tumbuk kalang’, ‘tarian naga’ dan lain-lain corak hiburan kebudayaan mengikut bangsa yang kembali diminati. Malah dalam situasi kita hari ini ia turut diminati oleh pelbagai bangsa di dalam masyarakat.

Persembahan kebudayaan ini memerlukan bukan sekadar peralatan malah mereka yang benar-benar berkemahiran mengenai selok-belok sesuatu seni tersebut. Ia merupakan nilai yang penting untuk dipertahankan. Seperti yang kita lihat pengetahuan mengenai budaya ini semakin hari semakin berkurangan , jika usaha untuk mempertahankannya tidak dilakukan mungkin satu hari nanti ia akan terus dilupakan.

Bagi persembahan berbentuk budaya. Banyak perkara-perkara tersirat berbanding yang tersurat disampaikan – dan ini memerlukan pemerhatian yang teliti dari para penonton bagi menghuraikan pengajaran-pengajaran yang diselitkan. Dalam persembahan ‘dondang sayang’ misalnya, sindiran atau teguran disampaikan dalam bentuk pantun yang disusun dalam perkataan penuh berkhemah. Disamping itu juga kepantasan penyampai dalam menyusun susunan isi lagu juga memerlukan kemahiran yang tinggi.

Elemen hiburan ini terdapat bagi semua kaum. Bagi masyarakat ia digunakan sebagai masa yang digunakan untuk bersama-sama berehat setelah penat bekerja untuk sesuatu majlis. Biasanya ia diadakan setelah menuai, gotong-royong beramai-ramai atau melepaskan penat setelah selesai majlis sesebuah kenduri. Ia merupakan satu tanda meraikan/terima kasih bagi mereka yang sama-sama membantu.


Itu adalah secara ringkas mengenai hiburan bagi majlis-majlis yang sering diadakan – paling umum adalah majlis perkahwinan yang biasanya menyertakan elemen hiburan paling tidak karaoke bagi menghiburkan para tetamu dan sanak saudara. Mungkin kita boleh mempelbagaikan elemen ini disamping sama-sama memelihara unsur-unsur budaya yang semakin dilupakan.



Free Download



Perkara Menarik Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Buluh

Rumpun Buluh
Rumpun buluh meneduh dan menyamankan.

Buluh merupakan satu tumbuhan yang penting kepada masyarakat Asia dalam kehidupan harian mereka. Ini bermakna buluh digunakan hampir setiap hari dalam kehidupan mereka. Bagaimana pula hari ini adakah buluh masih dianggap penting, atau ia semakin dilupakan?

Dalam kehiduan asli masyarakat Asia buluh memainkan peranan penting sebagai bahan yang digunakan untuk tujuan pembinaan, peralatan harian, memasak, barangan, perhiasan malah juga menjadi sumber makanan. Walaupun hari ini sebahagian fungsi buluh masih digunakan seperti masakan rebung buluh, namun ia semakin dilupakan – mungkinkah ada di antara kita yang tidak mengenali pokok buluh?

Terdapat pelbagai jenis buluh, daripada yang kecil dan dijadikan hiasan hinggalah kepada yang besar dan lebih digunakan untuk membuat rerangka dalam pembinaan bangunan seperti di negara-negara India dan China. Pokok buluh yang biasa dijadikan hiasan adalah bersaiz lebih kecil, rimbun dan tidak merebak terlalu luas – biasanya ini juga dikawal dengan mengawal jumlah buluh yang tumbuh. Buluh yang biasanya dijadikan hiasan taman adalah seperti buluh kuning dan spesis-spesis buluh-buluh kecil. Selain daripada menyediakan bahagian yang redup akar buluh juga dapat menguatkan struktur tanah kerana akarnya yang rapat – sesuai untuk bahagian tebing curam atau kolam.

  • Antara jenis-jenis buluh terdapat di Malaysia adalah seperti berikut;
  • Buluh akar
  • Buluh batu (buluh tumpat)
  • Buluh betong
  • Buluh Cina
  • Buluh duri
  • Buluh kasap
  • Buluh lemang
  • Buluh minyak (buluh padang)
  • Buluh peleting
  • Buluh perindu
  • Buluh sembilang

Nama-nama buluh juga berbeza mengikut daerah. Hanya mereka yang biasa dengan buluh sahaja dapat mengenalpasti buluh dan jenis-jenisnya. Perbezaan yang paling mudah dalam membezakan antara jenis-jenis buluh adalah saiz dan bentuk rumpunnya.

Buluh Dan Makanan

Kukus Buluh
Kukus buluh.

Sebagai bahan makanan bahagian buluh yang menjadi hidangan kepada manusia adalah rebungnya. Masakan rebung ini juga terkenal di negara-negara Asia yang lain seperti China, Jepun, Australia dan Asia Tenggara yang sememangnya mempunyai kaitan yang rapat di antara kita. Apa yang berbeza dalam kaedah masakan masyarakat yang lain, rebung mungkin tidak perlu dimasam kan seperti mana yang biasa dilakukan oleh orang-orang Melayu. Walaupun hampir kesemua rebung buluh boleh dimakan, terdapat jenis rebung yang lebih lembut berbanding yang lain seperti ‘rebung manis’. Rebung jenis ini sesuai dimasak terus tanpa proses pemasaman (peram).

Batang buluh juga digunakan untuk memasak makanan seperti ‘lemang’ atau ‘putu bambu’. Masyarakat Cina pula menggunakan daun buluh untuk membungkus makanan sebelum di masak. Bekas kukus juga boleh dibuat menggunakan buluh seperti yang biasa digunakan oleh masyarakat Cina. Kukus buluh dapat mengekalkan haba selain daripada menambah aroma kepada bahan masakan.

Buluh Dan Perhiasan

Gazebo Buluh
Gazebo daripada buluh sangat sesuai untuk istirehat.

Sebagai bahan perhiasan buluh mudah digunakan untuk membuat perkakas-perkakas seperti tabung, bekas air, bakul-bakul malah juga perabot. Industri perhiasan buluh merupakan antara yang paling popular bagi menjana pendapatan bagi penduduk kampung yang mempunyai sumber buluh yang mencukupi. Buluh juga boleh dianyam untuk membuat bahan perhiasan kecil seperti raga bunga hiasan atau bakul sebagai bekas untuk cenderahati majlis perkahwinan. Buluh yang disediakan dengan teliti dan diwarnakan tentu dapat menghasilkan barangan perhiasan yang juga cantik.

Begitu juga buluh digunakan untuk menghasilkan barangan perabut. Seperti juga rotan buluh digunakan untuk menghasilkan kerusi dan meja ruangan rehat. Perkakasan buluh juga dapat menimbulkan suasana yang lebih bersifat semulajadi atau ‘alami’. Buluh sering digunakan untuk membuat pangkin dan juga ‘gazebo’. Proses penyediaan buluh yang lebih mudah berbanding kayu (dari pokok ke papan), menjadikan ia bahan yang lebih ringkas dan pantas untuk digunakan sebagai bahan binaan.

Buluh Dan Kehidupan Harian

Bubu perangkap ikan
Bubu antara peralatan yang dibuat menggunakan buluh.

Buluh juga digunakan dalam aktiviti-aktiviti harian lain terutamanya dalam aktiviti menjana sumber pendapatan. Batang buluh dengan mudah boleh digunakan sebagai pancing. Buluh juga digunakan untuk membuat perangkap ikan seperti lukah dan bubu. Malah serkap juga dibuat menggunakan buluh. Buluh dan rotan sering digandingkan di mana rotan digunakan sebagai bahan pengikat.

Bagi menyediakan sangkar/ jebak burung juga buluh digunakan disamping pelepah bertam. Buluh yang dipotong dengan cermat  dan diraut, kemudian dicucuk melalui batang bertam yang memegang bilah buluh tersebut yang membentuk dinding sangkar. Malah bilah-bilah buluh juga digunakan dalam penyediaan ‘satay’.  Penggunaan bilah buluh ini digunakan juga sebagai batang bunga telur, pencucuk bebola ikan atau ‘nugget’ di pasar-pasar malam. Batang pencungkil gigi juga turut dihasilkan menggunakan buluh. Begitu juga penyepit makanan segera menggunakan buluh bagi mengurangkan kos bahan.

Bahan hiburan lain yang dihasilkan menggunakan buluh antaranya adalah wau. Buluh yang diraut digunakan sebagai tetulang bagi menyokong badan wau untuk membolehkannya terbang apabila ditiup angin. Buluh mudah dilentur dan lebih ringan apabila kering. Ini menjadikan ia sesuai digunakan untuk tujuan ini.


Begitulah antara sebahagian kecil fungsi buluh dalam kehidupan seharian masyarakat dahulu. Maka tidak hairanlah sekiranya masyarakat dahulu seringkali mengabadikan buluh di dalam karya-karya seni mereka. Selain daripada pohonnya yang menghijaukan pandangan dan menguatkan lagi tebing kolam-kolam, banyak lagi jasa buluh dalam kehidupan masyarakat. 


Free Download



Selasa, 18 Mac 2014

Perbankan Internet Memudahkan Urusan Harian Anda

Lining up at ATM
Beratur begini di ATM bukan lagi trend di zaman internet.

Adakah anda pengguna sistem perbankan internet? Sekiranya anda masih belum mencubanya atau merasa ragu-ragu tentang penggunaanya, mari kita sama-sama ikuti artikel ini untuk mengenali dengan lebih lanjut tentang kaedah penggunaan sistem perbankan internet yang mungkin dapat membantu anda menjimatkan banyak masa dan juga wang anda.

Walaupun perbankan internet telah lama diperkenalkan di Malaysia namun masih ramai yang kurang mahir menggunakannya terutama untuk tujuan pembayaran bil-bil bulanan mereka. Bagi yang mahir pula mereka menggunakan kaedah ini untuk setiap urusan pembayaran pembelian, penghantaran wang, bil-bil bulanan, malah apa sahaja yang membenarkan mereka menggunakan sistem perbankan internet mereka. Malah anda boleh melakukannya hampir 24 jam sehari – anda boleh membayar bil elektrik, air atau telefon semasa menonton tv bersama keluarga.

Mengapa Sistem Ini Penting?

Clock
Jimatkan masa anda daripada berurusan di kaunter.

Dalam zaman yang serba pantas ini, masa merupakan aset yang paling penting bagi setiap individu. Setiap saat yang diluangkan untuk menunggu dikira sebagai masa yang tidak efektif. Maka, adalah kurang bijak bagi kita untuk meluangkan masa menunggu di kaunter-kaunter hanya untuk pembayaran bil. Ini kerana ia mungkin akan melibatkan masa-masa yang lain seperti perjalanan, kesesakan lalulintas, parking, kos perjalanan dan masalah sistem yang mungkin dihadapi di kaunter pembayaran. Malah anda mungkin terpaksa mengulangi perkara yang sama sekiranya gagal membuat pembayaran kali pertama anda ke kaunter bayaran yang mungkin disebabkan gangguan talian atau anda terlewat beberapa minit ke kaunter tersebut.

Pembayaran melalui perbankan internet sangat mudah. Melalui beberapa langkah pembayaran, bil-bil anda telahpun jelas. Anda mungkin melakukannya semasa sedang menonton tv bersama keluarga, bebual bersama rakan di kafeteria, atau sementara menunggu pelanggan anda masuk ke kedai. Kaedah ini juga memberikan anda lebih masa untuk berehat atau digunakan untuk perkara-perkara yang lain seperti mempelajari perkara baru dari internet.

Melalui pembelian melalui internet pula anda mungkin tidak perlu ke luar negara untuk membeli sesuatu barangan. Dengan melalui beberapa klik dan langkah-langkah mudah anda hanya perlu menunggu di rumah sehingga barang yang dipesan sampai. Apa yang anda perlu fikirkan adalah untuk memenuhi masa yang dapat dijimatkan untuk sesuatu yang lebih bermanfaat.

Mengapa Masih Ramai Yang Tidak Menggunakannya?


Ramai di antara kita yang masih kurang yakin untuk menggunakan kaedah pembayaran menggunakan sistem perbankan internet kerana faktor-faktor keselamatan. Walaupun urusan perbankan melalui ATM biasa juga adakalanya tidak selamat. Malah kebanyakan masalah/ kecurian wang melalui akaun adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna sendiri dengan mendedahkan maklumat peribadi mereka kepada pihak ke-3 secara sengaja ataupun tidak.

Ada beberapa langkah yang anda perlu ketahui untuk mengelakkan wang anda hilang dari simpanan bank. Malah wang anda boleh dicuri walaupun anda tidak menggunakan sistem perbankan internet – sekiranya data-data anda dicuri melalui kecuaian anda sendiri. Jadi langkah-langkah keselamatan ini perlu anda patuhi bukan sahaja semasa berurusan di internet malah sepanjang masa. Langkah-langkah keselamatan tersebut adalah seperti;

  • Patuhi langkah keselamatan yang ditetapkan oleh pihak bank.
  • Jangan gunakan komputer awam untuk berurusan dengan pihak bank (sebaiknya).
  • Jangan sesekali menyimpan ‘kata laluan’ (password) anda di dalam ‘pelayar’ (browser). Ingatkan atau simpan dengan selamat.
  • Sentiasa membuat ‘update’ sitem pengoperasian komputer anda, browser dan juga sistem anti-virus. Ini dapat mengelakkan virus baru masuk dan mencuri data melalui komputer anda.
  • Kunci (lock) peralatan anda (komputer dan telefon) supaya tidak digunakan oleh orang lain. Peralatan yang digunakan untuk berurusan tidak perlu dikongsi dengan orang lain.
  • Jangan berikan nombor kad anda dan kod keselamatan kad sekiranya diminta oleh sesiapa pun samada melalui telefon atau mana-mana jurujual. Maklumat tersebut hanyalah untuk anda sahaja.
  • Semasa membuat transaksi di internet pastikan terdapat simbol ‘mangga kekunci’ pada ruang alamat di pelayar – untuk menyatakan talian anda berada di dalam keadaan yang selamat.
  • Setelah selesai membuat transaksi pastikan anda membuat logout dengan berjaya dan tutup tetingkap/tab yang telah digunakan. Padamkan juga kod yang dihantar kepada telefon anda untuk transaksi tersebut.

Bagaimana Menggunakan Sistem Tersebut?

Maybank Logo
Maybank2u adalah sistem perbankan internet dari Maybank.

Hampir setiap bank mempunyai sistem perbankan internet sendiri seperti;
  • Maybank – maybank2u.com.my
  • Cimb – cimbclicks.com.my
  • RHB – rhb.com.my
  • BSN – mybsn.com.my
  • Agrobank – agrobank.com.my
  • Affin Bank – affinonline.com
  • Bank Islam – bankislam.com.my
  • Bank Muamalat – i-muamalat.com.my
  • Bank Rakyat – irakyat.com.my
  • Public Bank – pbebank.com / publicbank.com.my
  • OCBC – internet.ocbc.com.my
  • Hong Leong Bank – hlb.com.my
  • AmBank – ambank.amonline.com.my
  • Standard Chartered – ibank.standardchartered.com.my
  • HSBC – hsbc.com.my / hsbcamanah.com.my

Anda hanya perlu meminta pihak bank mengaktifkan akaun anda untuk kegunaan perbankan internet. Beberapa syarat mungkin diperlukan sebelum anda boleh menggunakan sistem ini dengan selamat. Patuhi arahan yang diberikan bagi memastikan keselamatan wang anda sentiasa terjamin.

Adalah dengan itu diharap kita sama-sama dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini bagi memudah dan menjimatkan lagi masa yang kita luangkan untuk urusan-urusan yang mampu diselesaikan melalui perbankan internet.

Mungkin anda akan mengalami sedikit kejanggalan semasa mula-mula menggunakannya tapi setelah beberapa kali membuat transaksi anda mungkin tidak akan membuang masa untuk beratur lagi.



Free Download




Arkib Blog