Isnin, 5 Mei 2014

Obor-obor Terbesar Di Dunia

lion's mane jellyfish
Obor-obor  gergasi 'lion's mane jellyfish'.

Obor-obor bukanlah merupakan haiwan laut yang sering menjadi tumpuan walaupun ia merupakan spesis yang penting di laut, terutama sebagai sumber makanan kepada haiwan-haiwan laut yang lain seperti ikan dan penyu. Malah disebabkan ia berbisa, adakalanya manusia menganggap obor-obor sebagai haiwan laut yang cuba dielakkan.

Bisa obor-obor amat kuat dan ia juga boleh membawa maut sekiranya anda disengat dengan banyak. Bisanya boleh mengakibatkan otot-otot pernafasan mengalami kekejangan sehingga mangsa kelemasan. Apa yang menarik obor-obor merupakan haiwan yang amat ringkas iaitu ia tidak mempunyai darah, jantung, tulang atau rawan, malah ia juga tidak mempunyai otak seperti haiwan-haiwan lain. Tiada otak!

Terdapat banyak spesis obor-obor yang menghuni pelbagai jenis laut dan lautan di dunia, daripada sekecil-kecil obor-obor sehinggalah yang bersaiz besar (yang menjadi sumber makanan ikan-ikan besar pula di lautan dalam – seperti juga sotong gergasi). Badannya yang lembut terdiri daripada 95% air dan kebiasaanya lutsinar. Inilah yang menyebabkan para pengunjung pantai tidak dapat mengesan kehadiran obor-obor sehingga mereka disengat haiwan berbisa ini. Selain itu juga obor-obor dikatakan telah menghuni lautan semenjak 650 juta tahun yang lalu iaitu lebih awal daripada zaman kehidupan dinasour.

obor-obor gergasi
Obor-obor haiwan yang unik kerana tidak mempunyai tulang dan amat lembut.

Walaupun terdapat masyarakat yang menjadikan obor-obor sebagai sebahagian daripada hidangan mereka seperti di Sabah dan Sarawak, juga di China (mungkin juga di bahagian-bahagian lain di dunia) tetapi ia jarang dimakan oleh semua orang seperti ikan. Jadi, kita juga ingin mengetahui lebih lanjut mengenai spesis terbesar haiwan yang unik ini.

Terdapat beberapa spesis obor-obor yang boleh membesar mencapai saiz yang di luar jangkaan. Obor-obor ini kebanyakannya menghuni lautan yang lebih luas seperti Anlantik atau Pasifik. Antara spesis obor-obor gergasi yang terkenal adalah ‘lion’s mane jellyfish’ (Cyanea capillata) dan juga ‘Nomura’s Jellyfish’ (Nemopilema nomurai).

Spesimen terbesar yang pernah direkodkan adalah yang dijumpai terdampar di pantai Massachusetts Bay pada tahun 1870 dengan ukuran badan utama berdiameter 7 kaki 6 inci (2.26 m) dan tentakel sepanjang 120 kaki (37 m) panjang. Panjang tentakel tersebut adalah lebih panjang daripada paus biru (haiwan terbesar di lautan).

Echizen jellyfish
Satu lagi spesis obor-obor besar 'Echizen jellyfish'.

Walaupun obor-obor mempunyai badan yang amat lembut, tetapi ia boleh berenang dengan baik sekali dengan mengembang dan menguncupkan badanya. Manakala tentakelnya yang dipenuhi bisa tersebut akan segera menangkap makanan yang mengenainya.


Walaupun obor-obor gergasi tinggal di lautan yang luas dan jarang-jarang ditemui, namun ia memberikan kita satu pemahaman baru mengenai dunia obor-obor. Iaitu ia juga memainkan peranan penting dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.


Free Download



Sabtu, 3 Mei 2014

Unsur Terbaru Berada Pada 117 Dalam Jadual Berkala

Periodic Table
Jadual Berkala memudahkan rujukan untuk unsur-unsur yang ada.

Jadual berkala atau ‘periodic table’ merupakan jadual yang dapat memberikan maklumat unsur-unsur yang terdapat di bumi dan secara tidak langsung juga membekalkan beberapa maklumat tambahan unsur tersebut untuk rujukan dalam menjalankan sesuatu kajian. Terdapat 118 nombor di dalam ‘Jadual Berkala’ dan unsur ke 113, 117 dan 118 masih lagi tidak dinamakan.

Berikutan itu baru-baru ini unsur ke 117 telah ditemui dan menunggu untuk badan-badan berkaitan (International Union of Pure and Applied Chemistry) memberikan tempat tersebut kepada ‘Ununseptium’ atau ‘Uus’ di mana kajian untuk penghasilannya telah dijalankan semenjak tahun 2004 lagi hasil kerjasama saintis dari Rusia dan US.

‘Ununseptium’ merupakan unsur logam berat atau ‘super heavy’ dengan nombor atom yang melebihi 104 di dalam jadual berkala ia merupakan unsur yang tidak ada di dunia secara semulajadi melainkan dihasilkan melalui proses makmal.


Uus 117
Struktur atom unsur Uus 117.

Walaupun ia dicadangkan oleh saintis Rusia dari Joint Institute for Nuclear Research (JINR) Dubna, Moscow Oblast, Rusia dengan menggunakan ‘Berkalium’ dan ‘Calcium’ manakala ‘Berkalium’ hanya dihasilkan oleh Oak Ridge National Laboratory di United States yang dikatakan tidak mampu menyediakan sumber yang mencukupi pada masa tersebut (tahun 2004).

Unsur yang sama turut dikaji oleh kumpulan saintis dari German dan Australia iaitu santis-santis daripada GSI Helmholz Center for Heavy Ion Research, merupakan pemecut zarah di Darmstadt, German dan juga pakar fizik dan kimia daripada Australian National University.

Dapat diperhatikan kajian-kajian seperti ini memerlukan waktu yang lebih panjang serta persediaan yang terperinci. Diharap ia sedikit sebanyak membantu kita memahami proses sesuatu kajian yang memerlukan masa yang panjang serta kerjasama kumpulan yang amat penting. Perhatikan juga bilakah unsur 117 ini akan berada di dalam jadual berkala secara sah tidak lama lagi (sekiranya anda merupakan peminat dunia sains). Terima kasih.



Free Download




Khamis, 1 Mei 2014

Android OnePlus One Bakal Menjadi Pilihan Baru

OnePlus One
OnePlus memiliki ciri-ciri telefon berkuasa tinggi.

Samsung S5 mungkin menjadi pilihan pasaran Android terbaru, namun kini hadir pula jenama baru iaitu OnePlus dengan model terbaru yang akan dipasarkan tidak lama lagi iaitu OnePlus One yang mempunyai ciri-ciri yang mudah di kemaskini (upgrade).

Berikutan pasaran telefon Android yang luas banyak syarikat pengeluar telefon bimbit telah menggunakan peluang untuk mengeluarkan model terbaru bagi memenuhi ciri-ciri baru sistem operasi Android. Malah sesetengah pengeluar telefon bimbit sengaja membiarkan telefon-telefon model yang lama tanpa membaik pulih sistem operasi ini walaupun telefon tersebut mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk di’upgrade’ kepada sistem operasi yang baru.

Ini merupakan satu peluang yang digunakan oleh syarikat-syarikat pengeluar untuk menarik lebih ramai pembeli untuk menukar telefon mereka walaupun peralatan telefon lama mereka masih berada di dalam keadaan yang baik. Manakala setakat ini iOS masih lagi membenarkan setiap peralatan mereka di ‘upgrade’ kepada perisian terbaru melainkan peralatan tersebut mempunyai spesifikasi di bawah kemampuannya – seperti yang berlaku kepada iPhone sehingga ke iPhone3 yang tidak lagi boleh menggunakan sistem iOS terbaru (iaitu iOS7).

Menggunakan Cynogenmod yang mudah diupgrade.

Maka dengan itu OnePlus One mengeluarkan telefon yang bebas daripada ikatan tersebut kerana sistem operasinya yang boleh di ‘upgrade’ sendiri oleh pengguna mengikut keperluan mereka. Apa yang menjadi cabaran di sini ia mungkin bagi mereka yang mempunyai kemahiran untuk melaksanakan kemaskini perisian tersebut. Tapi setidak-tidaknya ia masih dibenarkan berbanding jenama-jenama lain yang tidak membenarkan proses ini dilakukan.

OnePlus One dibina mengikut spesifikasi terkini atau lebih mudah difahami. Ia adalah setanding dengan Samsung S5 kerana menggunakan CPU yang sama iaitu Snapdragon 801 quad core 2.5 Ghz. Malah ia mempunyai RAM yang lebih bersar iaitu 3GB berbanding S5 yang hanya mempunyai RAM sebesar 2GB.

OnePlus One mempunyai saiz skrin yang lebih besar sehingga ia tidak lagi sesuai sebagai telefon bimbit melainkan ianya lebih sesuai sebagai ‘phablet’ – iaitu telefon & tablet. Saiz skrinnya yang mencecah sehingga 5.5 inci berbanding dengan S5 iaitu 5.1 inci (mungkin keduanya juga agak besar).

OnePlus One tidak dilengkapi dengan perkara-perkara remeh seperti ‘pengesan cap jari’, ‘pengesan degupan jantung’ mahupun ‘Infrared’. Ia juga mempunyai kamera yang agak baik iaitu 13MP di bahagian belakang dan 5MP di bahagian hadapan, selain turut menyediakan Dual LED flash untuk membantu anda mendapatkan gambar yang lebih baik di tempat-tempat yang kurang cahaya. Ia juga tidak seperti S5 yang memenuhi spesifikasi IP67 atau kalis air dan habuk.

Perbandingan OnePlus One dengan Xperia Z2.

OnePlus One juga mempunyai simpanan kuasa bateri yang agak tinggi iaitu 3,100mAh berbanding S5 yang hanya mempunyai simpanan bateri sebanyak 2,800mAh. Manakala Samsung S5 pula dilengkapi dengan ‘Ultra Power Saving Mode’, iaitu mode yang membolehkan penjimatan kuasa bagi membantu simpanan bateri di saat-saat kecemasan. Mungkin ia akan lebih berkesan sekiranya anda tahu cara penggunaannya dengan betul. Itulah yang berlaku pada kebanyakan telefon yang hebat hari ini, dimana ciri-ciri istimewa yang disediakan jarang digunakan dengan betul, ataupun tidak digunakan langsung.

Apa yang paling menarik mengenai OnePlus One sebenarnya adalah sistem pengoperasiannya yang menggunakan Android + Cynogenmod – di mana ia mudah diupgrade kepada mana-mana sistem Android melalui komuniti Cynogenmod dan boleh di muat turun secara percuma. Jadi inilah yang merupakan salah satu ciri-ciri idaman pengguna Android yang paling dinanti-nantikan.

OnePlus One juga adalah jauh lebih murah berbanding S5. Bagi harga (tanpa talian) di US adalah USD300 manakala Samsung S5 pula adalah USD650. Jadi anda boleh memiliki dua telefon berspesifikasi tinggi atau anda boleh menggunakan lebihan wang tersebut untuk kegunaan yang lain seperti membayar bil telefon anda nanti.

Adalah diharap dengan ini dapat membantu anda untuk lebih mengenali perkakasan telefon anda dan ciri-cirinya. Ini kerana dengan Android atau iOS kemampuan telefon adalah jauh lebih tinggi dan ia memberikan ruang kepada telefon tersebut untuk melakukan pelbagai fungsi (bergantung kepada aplikasi yang digunakan). Malah anda juga boleh membina aplikasi sendiri sekiranya perlu.

Berbeza pada masa di mana telefon bergantung kepada jenama individu di mana setiap jenama mempunyai ciri-ciri tersendiri seperti Nokia dengan symbiannya satu ketika dahulu. Maka hari ini telefon pintar tidak memerlukan jenama yang besar, melainkan kualiti barangan itu sendiri sedangkan sistem peoperasiaannya (Android/iOS) boleh berfungsi sama sahaja di mana-mana peralatan sekalipun.

Akhir kata dari saya, jadilah pengguna yang bijak dan gunakanlah peralatan anda dengan sebaik mungkin. Terima kasih.



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.


Isnin, 28 April 2014

10 Senarai Keretapi Terpantas Dunia


Keretapi merupakan antara alat pengangkutan awan yang tertua di dunia. Sumbangan keretapi kepada kemajuan sesebuah negara dapat dilihat di negara-negara maju seperti Jepun dan negara-negara di Eropah. Hari ini semakin banyak negara membangunkan semula pengangkutan berasaskan keretapi termasuk negara China yang semakin pesat membangun.

Pengangkutan keretapi mampu menyumbang kepada sistem pengangkutan sama seperti pengangkutan udara. Malah di negara-negara Eropah keretapi dikatakan dapat memberikan kepantasan perjalanan yang sama dengan pengangkutan udara, malah anda tidak perlu melalui pelbagai prosedur keselamatan seperti di lapangan terbang.

Jadi adalah lebih baik sekiranya teknologi pengangkutan keretapi ini terus diberikan perhatian yang serius bagi membolehkan ianya digunakan di lebih banyak negara di dunia termasuk di negara kita sendiri Malaysia. Sehubungan itu mari kita saksikan senarai 10 keretapi terpantas di dunia.

1) Shanghai Maglev


Shanghai Maglev mempunyai kelajuan operasi terpantas di dunia iaitu 430 km/h dan kelajuan purata 251 km/h. Ia memulakan operasinya semenjak April 2004 lagi. Menggunakan landasan sejauh 30.5 km atau dikenali sebagai Shanghai Maglev line. Landasan magnetic ini adalah landasan yang menghubungkan antara Stesyen Longyang Road dan berakhir di Shanghai Pudong International Airport.

Shanghai Maglev dimiliki dan diuruskan oleh Shanghai Maglev Transportation Development Co. (SMTDC). Manakala keretapi ini adalah hasil daripada kerjasama antara Siemens dan ThyssenKrupp.

2) Harmony CRH 380A


Harmony CRH 380A mempunyai kelajuan operasi pada 380 km/h merupakan keretapi kedua terpantas di dunia. Walaupun mampu mencapai kelajuan sehingga 486.1 km/h pada percubaan daripada Shanghai  ke Hangzhou pada Disember 2010.

CRH 380A memulakan operasinya pada Oktober 2010. Ia beroperasi pada rangkaian yang menghubungkan antara Beijing dan Shanghai. Selain itu juga turut menyediakan pengangkutan harian dari Wuhan ke Guangzhou.

Ia merupakan keretapi yang bebas gegaran dan dibina oleh CSR Qingdao Sifang Locomotive & Rolling Stock. Ia juga merupakan hasil kajian daripada beberepa universiti di serata China.

3) AGV Italo


AGV Italo merupakan keretapi pertama yang digunakan untuk tujuan komersil daripada siri AGV. Memulakan operasi pada April 2012 dengan kelajuan operasi pada 360 km/h.

Keretapi ini pernah memecahkan rekod dengan kelajuan sehingga 574.8 km/h pada April 2007 – mungkin semasa tahap pengujian keretapi ini.

Ia dibangunkan oleh Alstom. Manakala rangkaian pengoperasian AGV Italo adalah meliputi Napoli – Roma – Firenze – Bologna – Milano.

Sebagai keretapi yang beroperasi di Eropah AGV Italo perlu memenuhi beberapa standard yang telah ditetapkan oleh European TSI yang merangkumi keselamatan, keboleharapan, kesihatan, alam sekitar dan ciri-ciri teknikal.

4) Siemens Velaro E /AVS 103


Velaro E, direka sebagai AVE S 103 di Sepanyol, merupakan siri keretapi terlaju dunia. Semasa menjalani ujian ia pernah mencapai kelajuan sehingga 400 km/h di Sepanyol. Walaubagaimanapun kelajuan operasinya masih lagi mengekalkan kelajuan pada 350 km/h sahaja.

Keretapi ini telah ditempah oleh Spanish National Railways Renfe dan beroperasi dalam rangkaian daripada Barcelona ke Madrid. Ia dibekalkan pada July 2005 dan memulakan operasi pada Jun 2007.

Ia merupakan hasil daripada beberapa rekaan dalam hasil usaha pembangunan ICE 3 yang direka untuk Deutsche Bahn.

5) Talgo 350 (T350)


Talgo 350 yang diberikan gelaran RENFE AVE Class 10 semasa mula-mula memasuki perkhidmatan boleh mencapai kelajuan sehingga 365 km/h semasa ujian. Namun kelajuan operasinya adalah pada 350 km/h sahaja.

T350 dibangunkan oleh Patentes Talgo (Tren Articulado Ligera Goicoechea Oriol) dan dibina oleh Patentes Talgo dengan kerjasama Bombardier Transportation.

Dikenali sebagai El Pato (The Duck dalam Spanish), mungkin disebabkan ia memiliki muncung seperti itik, ia beroperasi di rangkaian Madrid – Zaragoza – Lleida pada seksyen antara rangkaian Madrid – Barcelona semenjak 2005 lagi. Sehingga kini terdapat kira-kira 46 keretapi dari siri yang sama beroperasi di negara tersebut.

6) E5 Series Shinkansen Hayabusa


E5 Series Shinkansen Hayabusa memulakan operasi dari tahun 2011 dengan kelajuan operasi pada 300 km/h dan hari ini ia beroperasi di rangkaian Tohoku Shinkasen dengan kelajuan operasi pada 320 km/h.

Selain itu juga ia merupakan keretapi terlaju di Jepun setakat ini, pernah mencatatkan kelajuan sehingga 400 km/h semasa ujian dijalankan.

Keretapi ini dibuat oleh Kawasaki Heavy Industry (KHI) dan Hitachi, manakala East Jalan Railway Company (JR East) sebagai pengoperasinya.

Antara ciri-ciri menarik keretapi ini adalah sistem suspensi aktif penuh (FSA) yang mengurangkan gegaran dan juga muncung tirusnya yang mengurangkan bunyi semasa di dalam terowong.

7) Alstom Euroduplex


Euroduplex merupakan generasi ketiga TGV Duplex yang dibangunkan oleh Alstom dan memulakan operasi pada Disember 2011. Apa yang menarik ia merupakan keretapi dua tingkat yang mampu beroperasi di rangkaian Eropah pada kelajuan sehingga 320 km/h.

Euroduplex pada mulanya diperkenalkan pada rangkaian kelajuan tinggi  Rhine-Rhone LGV. Keretapi ini mampu membawa penumpang sehinga 1,020 (berbilang unit) pada satu masa berbanding TGV Duplex yang hanya mampu membawa sehingga 512 penumpang sahaja.

Euroduplex direka untuk beroperasi di rangkaian keretapi Perancis, German, Swiss dan Luxembourgish. Selain itu ia juga dilengkapi dengan sistem pengesan untuk menyesuaikan dengan bekalan elektrik yang berbeza-beza di serata Eropah.

Sebahagiannya juga turut dibina untuk beroperasi di Sepanyol.

8) TGV Duplex


TGV Duplex dibina daripada 1996-2004. Ia beroperasi di bawah SNFC dan dibina oleh Alstom dan Bombardier. Ia mampu mencapai kelajuan maksima dari 300 km/h ke 320 km/h.

TGV Duplex merupakan generasi ketiga dengan deck dua tingkat yang dibina oleh Alstom. Ia menyediakan ruang tempat duduk sehigga 512 penumpang bagi kedua-dua tingkatnya. Malah ia turut dibina menggunakan aluminum untuk mengurangkan beratnya.

Keretapi di dalam siri TGV Duplex kebanyakannya beroperasi di rangkain TGV Mediterranee di antara Paris dan Marseille.

Sehingga kini terdapat lebih daripada 450 siri TGV yang beroperasi untuk 230 destinasi.

9) ETR 500 Frecciarossa Trains


Elettro Treno Rapido 500 (ETR 500) Frecciarossa memulakan operasi pada 2008. Ia direka untuk mencapai kelajuan maksimun sehingga 360 km/h dan beroperasi pada kelajuan 300 km/h.

Frecciarossa (Red Arrow) adalah versi yang diperbaiki daripada ETR 500. Keretapi ini beroperasi daripada Rome ke Milan.  Apa yang menarik ia turut dilengkapi dengan alat kawalan cuaca dan kedap bunyi, ciri tempat duduk ergonomik untuk memberikan keselesaan sempurna.

Keretapi ini beroperasi di bawah Trenitalia dan dibuat oleh TREno Veloce Italiano (TREVI) – konsortium di antara Alstom, Bombardier dan AnsaldoBreda.

10) THSR 700T


THSR 700T beroperasi pada rangkaian kelajuan tinggi di antara Taipei dan Kaohsiung di Taiwan. Ia memulakan operasi di Taiwan semenjak Januari 2007 lagi.

Beroperasi pada kelajuan 300 km/h mampu mengurangkan perjalanan di antara kedua bandar tersebut daripada 4 jam kepada 90 minit.

Keretapi ini dibina oleh Kawasaki, Hitachi dan Nippon Sharyo. Berasaskan kepada siri Shinkasen, Kawasaki 700, 700T merupakan percubaan pertama Taiwan dalam membawa masuk teknologi keretapi laju daripada Jepun.

Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membina 30 keretapi pertama menelan kira-kira NT$100bn (USD3.4bn).

Begitulah antara 10 keretapi terlaju yang beroperasi di beberapa bandar terkemuka dunia yang rata-ratanya di Jepun, Eropah, Cina dan Taiwan. Mungkinkah negara kita juga akan membangunkan sistem pengangkutan keretapi seperti ini di masa-masa akan datang?


Tiada yang mustahil sekiranya pembangunan di antara bandar-bandar besar di negara ini semakin memerlukan pengangkutan tersebut. Apa yang berlaku hari ini adalah, sistem pengangkutan awam negara semakin jauh merosot. Manakala pembangunan di antara bandar-bandar besar di negara kita masih belum memerlukan pengangkutan seperti keretapi laju di negara-negara seperti di atas. Berikan komen anda.


Free Download



Ahad, 27 April 2014

Kumpulan Katak Cantik Tapi Beracun

Golden Poison Frog
Golden Poison frog yang sangat beracun.

Katak merupakan haiwan amfibia yang unik kerana sebahagian hidupnya tinggal di dalam air dan sebahagian lagi di daratan. Bagi yang pernah melihat haiwan ini secara dekat mungkin tidak menyangka di bahagian dunia yang lain terutamanya Amerika Selatan terdapat kumpulan katak-katak yang sangat berbisa dan boleh mengakibatkan maut.

‘Poison dart frog’ itulah gelaran yang diberikan kepada kumpulan katak-katak ini kerana ia digunakan pada jarum sumpitan dan panah puak-puak asli di Amerika Selatan yang digunakan untuk tujuan berburu. Terdapat pelbagai jenis katak berbisa yang menghuni di kawasan hutan Amazon yang luas kebanyakannya sangat cantik kerana ia berwarna-warni dan terang. Mungkin satu perkara yang perlu diketahui tentang alam ialah – warna terang seperti merah dan jingga menunjukkan tanda amaran atau beracun.

Blue poison dart frog
Cantik tetapi beracun.
Antara variasi warna kumpulan 'Poison dart frog'.

Terdapat lebih daripada 175 species katak-katak yang mendapat gelaran ini. Namun begitu hanya 4 daripadanya yang diketahui digunakan sebagai racun pada jarum sumpitan dan anak panah. Ini bukan bermakna yang lainnya tidak beracun, tetapi keempat-empat spesis tersebut merupakan antara yang mempunyai racun yang kuat (atau yang mudah digunakan untuk tujuan tersebut).

Tidak seperti ular atau kala jengking yang menggunakan bisanya untuk tujuan memburu mangsa, katak-katak ini menggunakan racunnya hanyalah untuk tujuan pertahanan/perlindungan daripada gangguan sahaja. Namun begitu sebahagian spesis katak-katak ini mempunyai racun yang amat kuat sehinggakan ajing atau ayam boleh mati hanya bersetuhan dengan tuala kertas yang dilalui oleh katak ini (Golden Poison frog).

Strawberry dart frog
Strawberry dart frog, kecil namun tetap beracun.
Warna merah terang adalah amaran bahawa ianya beracun.

Spesis katak beracun - Ronitomeya amazonica.

Antara nama yang diberikan adalah 'Bumble bee dart frog'.

Apa yang istimewa mengenai racun katak-katak ini adalah ia berpunca daripada sumber makanannya. Secara tidak langsung tanpa sumber makanan tersebut katak ini tidak mempunyai racun tersebut pada tubuhnya. Tapi, bagaimana kita akan mengetahui katak ini beracun ataupun tidak? Adalah lebih baik untuk tidak mengganggunya.

Saintis cuba menggunakan bahan kimia yang terdapat pada kulit katak-katak ini untuk tujuan perubatan. Antara kegunaan yang digunakan adalah sebagai penahan sakit, malah ianya adalah 200 kali lebih kuat berbanding ‘morphine’ yang dipanggil ‘epibatidine’. Bagaimanapun kajian lanjut perlu dijalankan bagi memastikan ubat tersebut selamat digunakan ke atas manusia.


Menarik bukan kisah mengenai katak-katak berbisa ini. Namun begitu tanpa mengenalinya anda mungkin menjadi mangsa racunnya yang boleh membawa maut. Walaubagaimanapun  ia tetap berguna kepada manusia dengan pelbagai cara. Jadi sama-samalah kita mempelajari dan memanfaatkan sumber alam yang terdapat di sekeliling kita. Terima kasih.


Free Download









Jumaat, 25 April 2014

Cara Membasuh Tangan Dengan Betul Dan Mengelakkan Jangkitan

sakit perut
Sakit perut boleh mengganggu perjalanan hari anda, atau anak anda di sekolah.

Membasuh tangan adalah perkara paling penting di dalam penjagaan kebersihan apatah lagi sekiranya anda akan menyentuh makanan atau menyediakan makanan. Membasuh tangan perlu dilakukan dengan sempurna bagi mengelakkan bakteria merebak pada makanan yamg disentuh. Samada makanan masih mentah atau telah siap dimasak, bakteria akan mula membiak sebaik sahaja hinggap kepada bahan makanan seterusnya menyebabkan keracunan makanan.

Tangan merupakan bahagian anggota badan paling penting untuk menjalankan tugas-tugas seharian di mana kita akan menyentuh pelbagai benda yang telah dihinggapi bakteria. Semasa bersentuhan inilah bakteria dipindahkan dari seorang individu kepada individu yang lain. Kebiasaannya benda yang kerap disentuh seperti tombol pintu, butang lift, susur tangga, pemegang troli dan segala benda yang disentuh oleh ramai individu menjadi punca utama bakteria dapat merebak.

cara mencuci tangan
Cara mencuci tangan dengan betul perlu diamalkan.

Dalam kes keracunan makanan, bakteria dipindahkan daripada individu yang menyentuh bakteria dan memindahkannya kepada makanan yang disentuh tadi. Bakteria yang kini berada pada makanan akan membiak dan menghasilkan toksin yang menjadi punca kepada keracunan makanan. Apa yang membantu bakteria membiak dengan pantas adalah punca makanan, suhu dan kelembapan. Bakteria akan merebak pada suhu bilik dengan pantas. Oleh sebab itu makanan perlu sentiasa dalam keadaan sejuk atau panas untuk mengelakkan bakteria membiak.

Wabak penyakit yang melanda negara-negara membangun boleh dikurangkan sekiranya tahap kebersihan dapat dipertingkatkan dan ini bermula dengan tabiat mencuci tangan dengan betul samada semasa proses penyediaan makanan atau sebelum menyentuh makanan. Ini kerana bakteria lebih kuat apabila berada di dalam perumah yang menyediakan keadaan yang sesuai untuk ia merebak dengan cepat. Keadaan akan bertambah buruk sekiranya rawatan tidak dapat diberikan dengan cepat. Toksin yang dihasilkan oleh bakteria bukan sahaja dapat membunuh bakteria-bakteria lain malah boleh membawa maut kepada perumah sendiri.

Bakteria salmonella
Bakteria salmonella merupakan antara punca keracunan makanan.

Kaedah mencuci tangan yang betul bukan sahaja dapat mengurangkan bakteria malah membunuhnya sekali. Cucian tangan yang sempurna adalah dalam masa 15 saat - oleh sebab itu digalakkan kita mencuci tangan selama 30 saat menggunakan sabun dengan menyempurnakan cucian untuk semua bahagian tangan (tapak tangan, bahagian belakang tangan, jari-jemari serta kuku). Cucian tangan menggunakan sabun biasa dengan kaedah ini juga berkesan untuk membunuh kuman yang terdapat pada permukaan kulit tangan.

Anda juga perlu mengulangi proses mencuci tangan setelah menyentuh bahan-bahan yang berbeza contohnya setelah menyentuh bahan mentah (daging, ikan, sayur dan sebagainya) sebelum menyentuh bahan yang sudah dimasak. Ini kerana bahan mentah mungkin mengandungi bakteria yang tidak aktif dan boleh berpindah kepada bahan yang telah dimasak tadi. Malah bahan mentah dikatakan sumber utama bakteria di dapur.

sabun
Sebarang sabun boleh digunakan untuk mencuci tangan dan membunuh bakteria dengan berkesan. 
Perhatikan juga peralatan yang anda gunakan semasa proses memasak dan untuk menikmati hidangan. Peralatan seperti pisau, senduk, sudu dan garfu juga perlu menjalani proses pembersihan yang sama. Jangan gunakan pisau yang digunakan untuk memotong daging terus digunakan untuk memotong buah-buahan atau kek walaupun pisau tersebut kelihatan kering dan bersih. Sudu dan garfu pula perlu dicuci dan kering sebelum digunakan. Sebaiknya setelah dicuci rendamlah sudu-sudu dan garfu ini di dalam air panas selama 30 saat.

Ruang kerja-kerja di dapur juga perlu dipastikan sentiasa bersih dan keadaan lantai dapur juga sentiasa kering. Meja kerja serta sinki boleh dinyahkuman dengan menggunakan cecair peluntur seperti clorox setelah setiap kali selesai melakukan tugas-tugas memasak. Lantai juga boleh dicuci dan dikeringkan dengan sempurna bagi mengelakkan bakteria membiak serta terus kekal berada di dapur anda.

Akhir sekali simpan bahan-bahan makanan dengan selamat sesuai mengikut keperluan simpanan bahan makanan tersebut. Simpanlah bahan makanan mentah seperti ikan dan daging di tempat simpanan beku sehingga ia digunakan untuk memasak. Simpan pula bahan-bahan seperti sayuran dan makanan di dalam tin di dalam ruangan dingin sehingga untuk digunakan. Elakkan bahan ini dikeluarkan terlalu lama. Ambil apabila diperlukan dan simpan semula secepat mungkin - elakkan suhunya naik bagi mengelakkan bakteria aktif dan membiak.

Bagi makanan yang telah dimasak pula kekalkan suhunya dalam keadaan yang panas semasa dihidang. Manakala bahan-bahan yang sejuk seperti ice-cream dan kek tetap sejuk semasa dihidangkan. Perkara ini amat mudah jika anda sentiasa mempraktikkan amalan kebersihan dengan betul. Pertama pastikan tangan sentiasa bersih sebelum menyentuh bahan makanan. Kedua, elakkan makan makanan yang terdedah.

Adalah diharap artikel kali ini dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan dengan lebih baik. Semoga amalan kebersihan tersebut dapat dicontohi oleh anak-anak kita sehingga mereka dewasa. Kesihatan merupakan factor utama kecemerlangan mereka di sekolah. Terima kasih.


Free Download



Arkib Blog