Isnin, 5 Mei 2014

Obor-obor Terbesar Di Dunia

lion's mane jellyfish
Obor-obor  gergasi 'lion's mane jellyfish'.

Obor-obor bukanlah merupakan haiwan laut yang sering menjadi tumpuan walaupun ia merupakan spesis yang penting di laut, terutama sebagai sumber makanan kepada haiwan-haiwan laut yang lain seperti ikan dan penyu. Malah disebabkan ia berbisa, adakalanya manusia menganggap obor-obor sebagai haiwan laut yang cuba dielakkan.

Bisa obor-obor amat kuat dan ia juga boleh membawa maut sekiranya anda disengat dengan banyak. Bisanya boleh mengakibatkan otot-otot pernafasan mengalami kekejangan sehingga mangsa kelemasan. Apa yang menarik obor-obor merupakan haiwan yang amat ringkas iaitu ia tidak mempunyai darah, jantung, tulang atau rawan, malah ia juga tidak mempunyai otak seperti haiwan-haiwan lain. Tiada otak!

Terdapat banyak spesis obor-obor yang menghuni pelbagai jenis laut dan lautan di dunia, daripada sekecil-kecil obor-obor sehinggalah yang bersaiz besar (yang menjadi sumber makanan ikan-ikan besar pula di lautan dalam – seperti juga sotong gergasi). Badannya yang lembut terdiri daripada 95% air dan kebiasaanya lutsinar. Inilah yang menyebabkan para pengunjung pantai tidak dapat mengesan kehadiran obor-obor sehingga mereka disengat haiwan berbisa ini. Selain itu juga obor-obor dikatakan telah menghuni lautan semenjak 650 juta tahun yang lalu iaitu lebih awal daripada zaman kehidupan dinasour.

obor-obor gergasi
Obor-obor haiwan yang unik kerana tidak mempunyai tulang dan amat lembut.

Walaupun terdapat masyarakat yang menjadikan obor-obor sebagai sebahagian daripada hidangan mereka seperti di Sabah dan Sarawak, juga di China (mungkin juga di bahagian-bahagian lain di dunia) tetapi ia jarang dimakan oleh semua orang seperti ikan. Jadi, kita juga ingin mengetahui lebih lanjut mengenai spesis terbesar haiwan yang unik ini.

Terdapat beberapa spesis obor-obor yang boleh membesar mencapai saiz yang di luar jangkaan. Obor-obor ini kebanyakannya menghuni lautan yang lebih luas seperti Anlantik atau Pasifik. Antara spesis obor-obor gergasi yang terkenal adalah ‘lion’s mane jellyfish’ (Cyanea capillata) dan juga ‘Nomura’s Jellyfish’ (Nemopilema nomurai).

Spesimen terbesar yang pernah direkodkan adalah yang dijumpai terdampar di pantai Massachusetts Bay pada tahun 1870 dengan ukuran badan utama berdiameter 7 kaki 6 inci (2.26 m) dan tentakel sepanjang 120 kaki (37 m) panjang. Panjang tentakel tersebut adalah lebih panjang daripada paus biru (haiwan terbesar di lautan).

Echizen jellyfish
Satu lagi spesis obor-obor besar 'Echizen jellyfish'.

Walaupun obor-obor mempunyai badan yang amat lembut, tetapi ia boleh berenang dengan baik sekali dengan mengembang dan menguncupkan badanya. Manakala tentakelnya yang dipenuhi bisa tersebut akan segera menangkap makanan yang mengenainya.


Walaupun obor-obor gergasi tinggal di lautan yang luas dan jarang-jarang ditemui, namun ia memberikan kita satu pemahaman baru mengenai dunia obor-obor. Iaitu ia juga memainkan peranan penting dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog