Sabtu, 10 Mei 2014

Kuih Muih Tradisional Mudah Murah dan Sihat

Kuih siput
Kuih siput tetap diminati sehingga ke hari ini.

Bila menjelang bulan Rejab ni tentu semua sudah tahu yang tidak lama lagi bulan puasa pun akan muncul dan persiapan hari raya akan menjadi semakin sibuk. Memandangkan harga barangan serta kos perbelanjaan yang semakin tinggi apa kata kita mencari alternatif untuk menjimatkan lagi kos perayaan tahun ini dengan resipi kuih-muih tradisi yang jauh menjimatkan, murah dan lebih sihat.

Kuih-muih tradisi kebiasaannya menggunakan kelengkapan yang lebih ringkas selain daripada bahan-bahan yang rata-ratanya mudah diperolehi – ya, anda tidak akan mendengar benda-benda pelik digunakan untuk kuih-muih tradisi seperti ‘chocolate chip’, ‘baking powder’, ‘tartar cream’, ‘butter’ atau pun benda-benda lain yang memerlukan anda menjelajah serata bandar hanya untuk mencari bahan-bahannya sahaja.

Selain itu juga ia lebih mudah disediakan di mana kebiasaannya kuih-muih tradisi hanya memerlukan proses seperti menggoreng, bakar (bahulu, sepit), wap/rebus (keropok, kerepek) atau dimasak seperti dodol. Mungkin kaedah penyediaan dahulu lebih rumit kerana peralatan tradisional memerlukan proses yang susah kerana proses pembakaran menggunakan sabut dan arang. Jadi hari ini kita boleh menggunakan ketuhar atau pembakar elektrik yang jauh lebih mudah.

Kuih ros
Kuih ros agak ringkas dan menggunakan bahan yang sedikit.

Dari segi kelengkapan barangan untuk menyediakan kuih-muih tradisi juga amat mudah. Ini kerana jarang sekali kuih-muih tradisi memerlukan kelengkapan yang melebihi 10 jenis bahan. Ini bermakna ia amat menjimatkan (masa mencari bahan, penyediaan, memasak dan menyimpan). Malah kebiasaannya kuih-muih tradisi hanya memerlukan 3 ~ 4 bahan asas iaitu tepung beras/gandum, gula, telur, minyak untuk menggoreng (dan sedikit bahan lain yang membezakan antara beberapa resipi kuih-muih tradisi).

Kuih-muih tradisi jarang menggunakan ‘margarine’ atau ‘butter’ yang sememangnya kaya dengan lemak tepu – tentunya boleh membahayakan kesihatan. Penggunaan minyak kelapa untuk menggoreng pula boleh dikurangkan (di tos dengan sempurna selepas proses menggoreng). Malah minyak kelapa semakin menjadi kegilaan masyarakat barat (kerana ia jauh lebih baik – sila rujuk artikel-artikel berkaitan kebaikan minyak kelapa di internet).

Apa yang menarik, sesetengah kuih-muih tradisi adakalanya dibuat secara bergotong-royong secara beramai-ramai dan ini tentunya dapat mengeratkan lagi hubungan kemasyarakatan masyarakat setempat. Adakalanya ia merupakan aktiviti yang penuh meriah dan hasilnya turut diagih-agihkan kepada para peserta atau disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

Bahan-bahan kuih-muih tradisi adalah bahan-bahan yang terdapat di sekeliling kampung suatu masa dahulu. Tepung beras yang digunakan sebagai bahan utama untuk penyediaan kebanyakan kuih-muih adalah disediakan sendiri dengan menumbuk beras untuk dijadikan tepung. Sebab itulah penglibatan orang ramai dapat memudahkan lagi proses penyediaan bahan ini. Kerja-kerja sebegini biasanya dilakukan secara bergilir-gilir kerana dalam masa yang sama setiap suri-rumah perlu menguruskan keperluan di rumah masing-masing.

Kuih bahulu
Bahulu ikan merupakan pilihan utama kanak-kanak.

Antara bahan-bahan lain yang turut digunakan dalam menyediakan kuih-muih tradisi adalah ubi kayu, pisang, kelapa parut/ santan kelapa, gula/ gula melaka, telur ayam/itik, rempah, bijan, kacang tanah, beras biasa/pulut dan beberapa bahan lain yang rata-ratanya mudah didapati dengan mudah di kampung. Manakala bahan perasa dan pewarna juga terdiri daripada tumbuh-tumbuhan seperti daun pandan dan bunga-bungaan.

Kerepek ubi
Kerepek ubi mudah dipelbagaikan dengan pelbagai perisa.

Antara kuih-muih perayaan tradisi yang popular suatu masa dahulu adalah kuih siput, kuih gunting, sagun, kuih bepang, kuih sepit/kapit, dodol, rempeyek, kerepek ubi, keropok ubi, kerepek pisang, kuih bahulu, biskut kelapa, kuih bangkit, putu kacang, kuih ros, kuih tumpi dan macam-macam lagi. Ini menunjukkan banyak juga seleksi kuih-muih tradisi yang boleh diketengahkan semula untuk tujuan penjimatan dan juga sebagai juadah yang lebih menyihatkan.

Mungkin dengan memilih untuk menyajikan kuih-muih tradisi, anda bukan sahaja telah mengurangkan belanja untuk perayaan nanti. Malah anda juga telah menggunakan bahan-bahan yang rata-ratanya dihasilkan sendiri oleh masyarakat tempatan selain daripada ianya lebih menyihatan – kerana bahan-bahan tersebut tidak diproses menggunakan bahan-bahan pewarna tiruan atau pengawet. Anda juga boleh mencari kaedah penyediaan kuih-muih tersebut dari internet sekiranya anda ingin menyediakannya sendiri atau sekadar ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Kuih kapit atau sepit
Kuih sepit mudah didapati dalam pelbagai bentuk.

Adalah dengan ini diharap kita akan lebih menghargai kuih-muih tradisi warisan budaya kita sendiri. Malah anda juga mungkin akan terkejut kerana kuih-muih tradisi masih diminati kerana ia tidak memualkan seperti kebanyakan kuih-muih yang menggunakan bahan-bahan seperti ‘margarine’ dan ‘butter’. Sehingga bertemu lagi dalam artikel yang akan datang. Selamat mencuba!


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog