Rabu, 17 Jun 2015

Mikro Post: Manta Ray

Manta Ray berenang bagaikan terbang di dalam air.

Manta Ray adalah antara ikan yang paling menakjubkan dan berenang bagaikan terbang di dalam air. Saiz Manta yang besar boleh mencecah sehingga 9 meter (30 kaki) dan berat sehingga 1,300 kilogram (2,980 lb). Manta akan terus berenang di dalam lautan dengan mulut yang terbuka dan menapis plankton yang menjadi sumber makanan utamanya.

Manta Ray mendiami perairan Tropika di seluruh dunia. Walaupun ia dari jenis ikan pari, ia tidaklah mempunyai sengat seperti ikan-ikan pari yang lain. Ikan ini juga tidak akan mencederakan manusia, namun sekiranya disentuh akan menyebabkan ‘mucus’ di badannya tertanggal – jadi elakkan mengusik haiwan ini secara berlebihan.


M.birostris yang didapati di perairan Ko Hin Daeng, Thailand.

Manta Ray berenang dengan pantas dan sering menghampiri pantai. Jadi mengenali spesies ikan ini mungkin sedikit sebanyak dapat mengelakkan daripada ianya dicederakan atau dibunuh. Ikan ini boleh mencapai usia sehingga 20 tahun. Kerana saiznya yang besar ia tidak sesuai dibela di dalam kurungan, melainkan di pusat akuarium dengan penjagaan professional.

Spesis Manta seperti Manta birostris (Giant Manta Ray) merupakan spesies yang bermigrasi dan akan melakukan perjalanan yang jauh merentasi lautan. Walaupun adakalanya berenang secara sendiri Manta Ray boleh berenang secara berkumpulan sehingga mencapai kepada bilangan 50 ekor.


Pandangan manta ray berenang dari bawah.

Manta Ray seperti juga ikan pari tidak mempunyai tulang seperti ikan-ikan lain tetapi rawan yang lembut. Spesies manta terkecil bersaiz 3 – 3.5 meter (10 – 11 kaki). Saiznya yang besar mungkin agak menakutkan bagi sesetengah orang, kerana ia mencapai saiz sebuah bot kecil. Sedangkan giginya yang tajam hanyalah digunakan untuk menangkap zooplankton yang kecil sebagai makanan.

Taburanya di lautan tropika adakalanya membawa sehingga jauh ke Utara seperti California dan New Jersey, di United States, Aomori Prefecture di Jepun, dan Semenanjung Sinai di Egypt (Mesir) dan Azores di Atlantik Utara. Manakala ke Selatan pula ia boleh pergi sejauh Peru, Uruguay, Afrika Selatan dan New Zealand.



Free Download



Isnin, 15 Jun 2015

Keunikan Flora Gunung Kinabalu

Nepenthes rajah merupakan tumbuhan periuk kera terbesar hanya terdapat di Gunung Kinabalu.

Gunung Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian mencapai 4,095 m dari aras laut. Selain diistiharkan sebahagian taman negara yang pertama pada tahun 1964 ia juga dinobatkan sebagai satu lagi kawasan Warisan Dunia oleh UNESCO pada December 2000. Ia merupakan satu kawasan yang penting dalam menyimpan khazanah hidupan tanah tinggi Borneo yang meliputi kepelbagaian hidupan dan juga tumbuh-tumbuhan.

Sehubungan kepentingan ‘biodiversity’ di Borneo, Harvard University turut menjalankan kursus yang dinamakan ‘Biodiversity of Borneo Field Course’ yang menjadikan Gunung Kinabalu sebagai salah satu kawasan terpenting dalam kursus ini. Manakala universiti lain seperti Miami University memilih lokasi di sekitar Sarawak dan University of Exeter, UK pula memilih lokasi di Kalimantan. Terdapat banyak lagi institusi pengajian yang mejalankan kajian di Borneo dalam usaha untuk mengenali keunikan biodiversity ini terus dijalankan bagi membolehkan usaha pemeliharaan dapat dilakukan sebelum ianya terlambat.

Oleh kerana kita ingin mengkhususkan artikel kali ini kepada keunikan flora di kawasan Gunung Kinabalu, ada baiknya kita memberikan fokus kepada kawasan ini terlebih dahulu. Anda boleh melakukan lebih carian mengenai kawasan-kawasan lain di Borneo yang luas dan kaya dengan keunikan tersendiri.

Gunung Kinabalu mempunyai tumbuhan yang unik yang meliputi 4 zon yang berbeza mengikut ketinggiannya dari aras laut. Walaubagaimanapun taburan tumbuh-tumbuhan ini turut dipengaruhi oleh bentuk muka bumi, pendedahan terdahap cahaya matahari, kelembapan, tanah dan sebagainya. Pada ketinggian melebihi paras 1,200 meter tumbuhan-tumbuhan yang tumbuh menyerupai tumbuhan yang terdapat di Himalaya dan juga China termasuk tumbuhan-tumbuhan seperti di Australia dan New Zealand, terdapat juga yang menyerupai tumbuhan dari Amerika.

Kawasan Hutan Tanah Rendah

Antara tumbuhan yang terdapat di zon hutan tanah rendah.

Kawasan yang meliputi sehingga ke ketinggian 1,200 meter (4,000 kaki) dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan hutan pelbagai kayu kayan seperti mana hutan-hutan tropika yang lain. Ketinggian pokok dari spesis keruing (dipterocarp) boleh mencecah sehingga 50 meter  tinggi dengan beberapa lapisan pokok-pokok di antaranya.

Di kawasan ini pokok buah-buahan juga banyak tumbuh antaranya adalah rambutan, mangga, durian dan ara. Manakala bagi spesis yang sedikit berbeza ialah terap (Artocarpus odoratissimus) yang menyerupai nangka/cempedak dan mawang (Mangifera pajang) yang mempunyai rasa seakan-akan mangga. Terdapat juga durian yang mempunyai isi berwarna merah iaitu antara buah popular Negeri Sabah.

Bagi lapisan yang bawah sekali dan juga kawasan rendah biasa ditumbuhi oleh tumbuhan pelbagai jenis palma (Arecaceae), halia (Zingiberaceae) dan juga buluh (Graminae). Terdapat lebih 52 jenis spesis palma dari 10 genus dan 30 spesis tubuhan halia (Zingiberaceae) di dalam kawasan taman manakala 6 spesis buluh terdapat di dalam kawasan tersebut dimana empat lagi di luar kawasan yang dihadkan. Selain itu juga terdapat banyak spesis rotan di dalam kawasan ini.

Bagi spesis paku pakis pula merangkumi keseluruhan zon tumbuhan di Kinabalu dan terdapat kira-kira 608 spesis yang direkodkan di mana ia melebihi jumlah keseluruhan paku yang direkodkan di keseluruhan tanah besar Afrika. Spesis-spesis paku pakis ini merangkumi yang tumbuh di atas pokok, paku yang menjalar, paku tumbuh di tanah dan paku yang menyerupai pokok (seperti paku gajah). Di kawasan ini juga terdapat tumbuhan lumut terbesar (Dawsonia spp.) boleh dilihat.

Kawasan hutan rendah Kinabalu ini juga merupakan kawasan yang kaya dengan pelbagai jenis orkid dan terdapat lebih daripada 1,000 jenis orkid dari 121 genus. Seperti juga paku pakis orkid juga boleh didapati hampir di kesemua zon tumbuhan di kawasan Kinabalu ini. Antara spesis yang terdapat di sini termasuklah sliper orchid (Paphiopedilum rothschildianum) species endemik bagi Gunung Kinabalu, bamboo orchids (Arundina spp.), necklace orchid (Coelogyne spp.), orchid berbunga kuning Spathoglottis spp. dan spesis orkid terkecil dari genus Podochilus.

Antara keunikan lain yang terdapat di zon rendah hutan Kinabalu adalah tumbuhan dari genus Rafflesia yang mempunya 14 spesis yang merupakan spesis tumbuhan tropika yang terdapat di Borneo, Semenanjung Malaysia, Thailand, Philippines, Jawa dan Sumatera. Merupakan antara bunga terbesar (terdapat satu lagi spesis bunga terbesar iaitu bunga bangkai atau corpse flower).

Kawasan Rendah Pegunungan


Spesis tumbuhan pada aras rendah pergunungan.

Bagi ketinggian daripada 1,200 meter (4,000 kaki) sehingga 2,000 meter (6,500 kaki) tumbuhan-tumbuhan adalah terdiri dari pokok-pokok yang lebih rendah dan kebanyakannya terdiri daripada pokok jenik oak-chestnut. Terdapat sekitar 40 jenis pokok oak, chestnut, mytrle, laurels, eucalyptus dan juga theaceae (tea) pada sekitar aras ini. Pokok-pokok dari jenis conifer (pine) juga didapati tumbuh di sini.

Paku-pakis yang terdapat pada aras ini dapat dilihat dengan banyak dari jenis berdaun lebar iaitu Dipteris conjugata. Terdapat juga antara tumbuhan unik di sini iaitu ‘celery pine’ (Phyllocladus hypophyllus) yang mempunyai taburan di beberapa tempat di dunia. Ini termasuk spesis Tristania yang mempunyai kulit bewarna oren yang lebih berbeza dari pokok-pokok di sekitarnya yang lain.

Antara tumbuhan yang paling menarik di Gunung Kinabalu adalah kumpulan spesis tumbuhan periuk kera atau ‘pitcher plant’, Nepenthes. Sepuluh daripada 36 spesis tumbuhan Nepenthes terdapat di taman ini. Tumbuhan peruk kera ini lebih banyak berada di bahagian yang lebih tinggi iaitu kawasan yang kurang mempunyai nutrient. Satu kelebihan tumbuhan ini adalah mangkuk takungan yang mempunyai warna yang terang bagi memerangkap serangga dan haiwan kecil yang akan dijadikan sumber makanan. Spesis yang mempunyai mangkuk terbesar adalah dari spesis Nepenthes rajah, yang mempunyai takungan cecair sehingga 4 liter di dalamnya. Antara spesis yang hanya terdapat di Kinabalu adalah N. burbidgeae, N. villosa dan N. rajah.

Kawasan Tinggi Pergunungan/ Cloud Forest Vegitation

Tumbuhan di kawasan tinggi pergunungan.

Bagi kawasan ini pula merangkumi ketinggian daripada 2,200 meter sehingga 3,300 meter (11,000 kaki). Pokok yang tumbuh pada ketinggian ini mencapai ketinggian tidak lebih daripada 6 meter dan batang-batangnya pula akan diselaputi dengan lumut seperti lichens (terutamanya Usnea spp.), moss dan liverworth. Ia merupakan kawsan yang selalu diselaputi dengan kabus yang ditiupi angin.

Tumbuhan yang menguasai zon ini adalah terdiri daripada Rhododendron. Daripada 50 spesis yang terdapat di Borneo 26 spesis terdapat di Kinabalu dengan 5 daripadanya hanya terdapat di Kinabalu. Rhododendron hidup di kawasan yang sejuk dan lembab. Kebanyakan bunganya berbentuk seperti loceng dengan jumlah bunga yang banyak pada satu-satu pokok. Bunga-bunga mempunyai warna daripada merah, scarlet, pink, kuning, oren atau putih yang kelihatan ketara di kawasan ini. Antara tumbuhan lain yang mudah dilihat di zon ini adalah R. Lowii dengan bunganya yang berwarna kuning. Tumbuhan yang tumbuh di kawasan ini semakin mengecil pada aras yang lebih tinggi di mana R. ericoides, didapati tumbuh pada ketinggian yang paling tinggi.

Pada ketinggian melebihi 2,600 meter tumbuhan kelihatan agak berbeza adalah Leptospermum dan Dacrydium menukarkan hutan ini kepada suasana yang jauh berbeza. Tumbuhan berbunga putih Schima brevifolia amat ketara pada zon ini. Kesemua tumbuhan ini dapat menyesuaikan diri pada kawasan yang kekurangan tanah ini.

Tumbuhan Sub-alpine


Keadaan tumbuhan sub-alpine.
Tumbuhan sub-alpine bermula pada ketinggian 3,300 meter (11,000 kaki) di mana teras gunung daripada granite terdedah sehingga ke puncak. Pokok-pokok kelihatan berpintal dan berbentuk agak aneh. Walaupun masih terdapat tumbuhan menuju ke puncak terdiri daripada Leptospermum dan Rhododendron ericoides keadaannya adalah kelihatan agak terbantut. Ia merupakan tumbuh-tumbuhan bersaiz kecil daripada potentillas, buttercup, eyebright dan pokok gentian. Ini termasuk juga lumut, rumpai, orkid dan rumput pada sesetengah kawasan.

Menghampiri puncak hanya terdapat batuan dan tumbuhan hanya boleh hidup pada rekahan-rekahan batu yang dapat menyimpan sedikit tanah dan di mana akar dapat berpaut. Oleh kerana angin yang kuat dan hujan yang lebat juga menyukarkan tumbuhan untuk hidup pada ketinggin melebihi 3,700 (12,200 kaki) apabila menghampiri puncak.


Begitulah antara keunikan flora yang terdapat di kawasan Taman Negara Gunung Kinabalu yang mempunyai banyak keunikan. Banyak perkara yang perlu dipelajari dan dikaji bagi memastikan kekayaan sumber yang terdapat di sini dapat dimanfaatkan dengan baik. Seribu satu perkara boleh dipelajari dari satu kehidupan maka dengan itu adalah diharap kita dapat memeliharanya dengan baik.


Free Download



Ahad, 14 Jun 2015

Buah Buahan Borneo Bambangan

Buah bambangan muda biasa dijadikan jeruk.

Buah Bambangan (magnifera pajang) merupakan salah satu buah terkenal di Borneo terutamanya Sabah dan Sarawak mempunyai nama lain antaranya buah mawang, buah embang dan juga buah embawang. Mempunyai ciri-ciri persamaan dengan mangga namun mempunyai tekstur yang lebih kasar selain daripada mempunyai rasa yang masam.

Buah ini mempunyai pelbagai saiz dan bentuk yang kecil biasanya mempunyai bentuk yang lebih bulat, manakala jenis yang besar berbentuk agak bujur dan boleh mencapai berat sehingga 3-4 kilo sebiji.

Cara mengupas kulit bambangan.
Satu lagi cara mengupas kulit bambangan.

Ia merupakan tumbuhan hutan dan tersenarai sebagai tumbuhan terancam dalam senarai IUCN (International Union for Conservation of Nature and Natural Resources) dengan klasifikasi VU. Mempunyai taburan yang lebih banyak di Sabah sebagai tumbuhan liar dan adakalanya ditanam oleh penduduk asli di kawasan penempatan mereka.

Kulitnya berwarna coklat dan agak tebal manakala rasanya lebih mirip kepada buah bacang. Masyarakat tempatan biasa menggunakannya sebagai jeruk ketika ianya masih muda. Ia sesuai juga dijadikan sebagai kerabu atau dicampur bersama sambal belacan.

Untuk menikmati buah ini kulitnya perlu dikupas dengan kaedah yang agak berbeza – iaitu dengan mengoyakkan kulitnya yang tebal tersebut. Buah yang masak juga dikatakan lebih enak sekiranya dinikmati dengan garam dan cili.

Bambangan yang dibelah dua.

Bambangan yang masih berada di atas pokok.

Seperti juga dengan buah-buah hutan tropika yang lain, ia mempunyai bau yang agak kuat (seakan-akan manis) namun rasanya tetap masam. Warnanya isinya juga adalah lebih terang namun lebih kasar seperti juga bacang.




Free Download



Sabtu, 13 Jun 2015

Taman Pelik ‘Body Farm’

Keadaan bagaimana mayat diletakkan untuk tujuan kajian.

Mengapakah taman ini pelik dan diberikan nama ‘Body Farm’? Ia bukanlah taman seperti yang anda jangkakan dan ia merupakan taman yang amat penting bagi membantu para pengkaji memahami lebih mendalam dalam bidang forensic anthropology. Walaupun ia bukanlah sesuatu yang baru, taman ini bukanlah untuk kunjungan orang ramai, melainkan membantu memahami proses pereputan mayat manusia secara lebih mendalam.

Sehingga kini body farm yang terbesar dikendalikan oleh Texas State University dengan kawasan yang terletak di Freeman Ranch dengan keluasan 7 ekar. Taman seumpamanya di luar US telah dirancang dan akan dikendalikan pula oleh University of Technology, Sydney dengan pembinaan yang akan dimulakan pada tahun 2015. Taman pertama seperti ini yang pertama, disediakan oleh University of Tennessee di Knoxville.

Memang sukar bagi kita menerima mengenai kaedah kajian yang dilakukan di sini iaitu melihat bagaimana mayat mereput dalam keadaan terbuka sehingga ianya habis dimakan ulat-ulat atau haiwan-haiwan pemakan bangkai seperti burung ereng (vulture). Namun begitu kajian seperti ini amat membantu dalam memahami usia mayat yang menjalani proses pereputan – dalam membantu proses siasatan kes-kes jenayah seperti yang dilihat di dalam program TV, CSI (Crime Scene Investigation). Selain itu kajian secara saintifik dapat dijalankan disepanjang proses pereputan ini berlaku.

Body Farm yang pertama dimulakan oleh seorang  anthropologist pada 1981 oleh Dr. William M. Bass bagi mengkaji bagaimana pereputan manusia berlaku bagi membantu pihak polis dalam menyelesaikan kes-kes yang melibatkan mayat yang telah mereput.


Kajian pereputan penting untuk memahami dengan lebih mendalam proses tersebut.

Ia merupakan sebuah kawasan berkeluasan 2.5 ekar (10,000 m2) dan dipagari dengan rapi menggunakan pagar kawat yang tajam. Setiap mayat akan diletakkan dalam keadaan yang berbeza dan dibiarkan mereput bagi meneliti kesan pereputan dalam keadaan-keadaan tersebut. Setiap data disimpan merangkumi turutan dan kadar pereputan, kesan cuaca, pengaruh serangga dan sebagainya.

Lebih daripada 100 mayat didermakan setiap tahun. Ia samada didermakan sendiri oleh individu melalui wasiat mereka sebelum meninggal dunia atau diserahkan oleh pewaris selain daripada pemeriksa perubatan. Lebih daripada 1,300 penderma mendermakan diri mereka secara sukarela dan ini termasuklah seorang anthropologist Grover Krantz.

Taman seumpamanya yang kedua di United States dikendalikan oleh Western Carolina University di Cullowhee, North Carolina. Ia dibuka pada tahun 2006 dan bersaiz lebih kecil di kawasan kampus di bahagian pendalaman.

Bagi body farm terbesar di Texas ini, kajian yang dijalankan adalah berbeza berbanding dengan taman-taman sebelumnya. Ini kerana cuaca di Texas yang lebih panas memberikan satu peluang untuk mengkaji kesan pereputan mayat dalam keadan panas terik. Ditambahkan pula peluang untuk mengkaji kesan daripada penglibatan haiwan seperti burung, tikus yang turut mengundang pemangsa seperti ular dan pemangsa-pemangsa lain.

Proses pereputan ini amat berbeza jika diperhatikan secara terperinci kerana setiap faktor menyumbang kepada fenomena yang berbeza. Cuaca redup membolehkan mayat dimakan ulat sehingga habis secara perlahan-lahan, manakala mayat yang berada di tempat panas akan meninggalkan kulit – kerana cuaca panas turut membunuh organisma lain yang memakan mayat tersebut.


Setiap perkara diperhatikan dengan teliti termasuk pakaian.

Proses pereputan ini dapat dilihat secara terperinci bukan sahaja dari segi fizikal, malah perubahan kimia, bakteria yang terlibat, kulat, serangga dan tumbesaran serangga pada mayat juga diperhatikan. Bagi mayat yang terdedah, kesan gangguan haiwan meninggalkan kesan yang berbeza – menyebabkan  tulang-tulang berselerakan di merata-rata tempat.

Ia bukanlah taman yang sesuai untuk lawatan, namun memberikan 1001 maklumat berguna bagi kita memahami tentang bagaimana proses pereputan manusia – seterusnya membantu menyelesaikan permasalahan kes-kes jenayah atau dalam memahami proses pereputan itu sendiri. Walaupun ia tempat mereputkan mayat – bukanlah bermakna mayat ini tidak dihormati... malah ia menyumbangkan kepada ilmu pengetahuan yang bernilai.


Bagi yang berminat untuk mengetahui tentang ‘body farm’ dengan lebih dekat bolehlah membuat tinjauan dengan lebih mendalam di internet antaranya melalui artikel di sini. Mungkin sesetengah kajian kelihatan kurang disenangi, namun ada kalanya ia amat diperlukan bagi membantu menyelesaikan masalah yang lebih sulit.



Free Download



Mikro Post: Vulture

Burung nasar, ereng lebih dikenali sebagai vulture atau condor.

Burung ereng atau burung nasar (Vulture) mungkin tidak menarik bagi kita seperti burung-burung lain kerana bukan sahaja memiliki fizikal yang berbeza malah pemakanan burung ini yang menjadikan ia dianggap sebagai burung yang kurang baik. Ia sering mendapat reputasi yang buruk seperti juga burung gagak yang dikaitkan dengan nasib malang, ilmu hitam atau kuasa jahat. Namun begitu seperti yang kita ketahui setiap hidupan mempunyai fungsi masing-masing dan begitu juga dengan burung unik ini.

Burung nasar atau vulture boleh didapati hampir di setiap benua kecuali di Australia dan Antartika. Burung ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama di setiap benua iaitu berkepala botak dan bersaiz agak besar. Burung nasar merupakan haiwan pemakan bangkai yang jarang memburu – kecuali binatang yang mengalami kecederaan dan hampir mati.

Burung nasar dikelaskan kepada dua kategori utama iaitu yang mendiami benua Asia, Eropah dan Afrika dikenali sebagai Old World vultures, manakala burung nasar yang mendiami Benua Amerika dikenali sebagai New World vultures.


Burung nasar biasanya berkepala botak (griffon vulture).

Terdapat 16 spesies yang dikenali tergolong dalam kumpulan Old World vultures, iaitu;

  • Cinereous vulture, Aegypius monachus
  • Griffon vulture, Gyps fulvus
  • White-rumped vulture, Gyps bengalensis
  • Rüppell's vulture, Gyps rueppelli
  • Indian vulture, Gyps indicus
  • Slender-billed vulture, Gyps tenuirostris
  • Himalayan vulture, Gyps himalayensis
  • White-backed vulture, Gyps africanus
  • Cape vulture, Gyps coprotheres
  • Hooded vulture, Necrosyrtes monachus
  • Red-headed vulture, Sarcogyps calvus
  • Lappet-faced vulture, Torgos tracheliotus
  • White-headed vulture, Trigonoceps occipitalis
  • Lammergeier vulture atau bearded vulture, Gypaetus barbatus
  • Egyptian vulture, Neophron percnopterus
  • Palm-nut vulture, Gypohierax angolensis

Manakala terdapat 7 spesis pula untuk New World vultues;

  • Black vulture Coragyps atratus terdapat di Amerika Selatan dan Amerika Utara
  • Turkey vulture Cathartes aura di keseluruhan Amerika dan Selatan Canada.
  • Lesser yellow-headed vulture Cathartes burrovianus di Amerika Selatan ke utara Mexico
  • Greater yellow-headed vulture Cathartes melambrotus di Lembah Amazon di bahagian tropika Amerika Selatan.
  • California condor Gymnogyps californianus di California dan juga keseluruhan bahagia Barat Amerika Utara.
  • Andean condor Vultur gryphus mendiami Andes
  • King vulture Sarcoramphus papa dari Selatan Mexico ke Utara Argentina.
Sekumpulan burung nasar sedang memakan bangkai haiwan.

Burung ini memainkan peranan penting dalam membersihkan saki baki bangkai haiwan yang mati di kawasan terbuka. Sistem penghadamannya yang unik membolehkan ia bukan sahaja memakan makanan yang mereput malah selamat dari toksid yang dihasilkan oleh bakteria – yang boleh membunuh haiwan lain yang memakannya. Ia mampu membersihkan daging mereput yang dijangkiti oleh toksid Botulinum, cholera dan juga anthrax. Asid perut burung ini adalah lebih kuat daripada biasa yang mampu membunuh kuman selain daripada mampu menyerap toksin dan meneutralkannya dengan antibodi badannya sendiri.


Jadi walaupun ia tidak secantik burung-burung lain, ia masih mempunyai fungsi yang amat menarik sekali di dalam ekosistem. Kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh burung nasar ini mungkin dapat menyelamatkan bahaya penularan penyakit yang lebih serius.



Free Download



Jumaat, 12 Jun 2015

10 Pesawat Terbesar Dunia

Antonov An-225 merupakan pesawat terbesar dan hanya satu unit sahaja dihasilkan.

Pesawat atau kapal terbang merupakan antara pengangkutan yang paling menarik pernah dihasilkan oleh manusia. Hari ini ia merupakan salah satu pengangkutan terpenting bagi membolehkan manusia bergerak dengan pantas terutama bagi merentasi lautan yang sebelum ini akan memakan masa perjalanan yang panjang.

Kepesatan teknologi penerbangan sejak pertama kalinya manusia mampu mencipta mesin terbang berjentera – yang menjadi titik tolak permulaan kepesatan sistem pengangkutan ini. Hari ini walaupun pengangkutan komersil lebih menumpukan kepada pengangkutan penumpang, kapal terbang kargo juga sebenarnya mempunyai fungsi yang amat penting dalam membantu kepesatan ekonomi dunia.

Seperti pengangkutan-pengangkutan lain juga evolusi dalam pengangkutan udara hari ini lebih menitik beratkan kepada efisyensi sesebuah pesawat dari segi kos operasi, kesan pencemaran udara dan bunyi serta ciri-ciri keselamatan penumpang. Berikut merupakan antara 10 pesawat terbesar dunia yang digunakan untuk tujuan kargo dan penumpang hari ini;


Airbus 380-800, merupakan pesawat penumpang paling besar ketika ini.

* MTOW – Maximum Take-Off Weight

1) Antonov An-225
MTOW: 640 tan
Penerbangan Pertama : 21 Disember 1988
Negara Asal: Soviet Union/ Ukraine

2) Airbus A380-800
MTOW: 590 tan
Penerbangan Pertama : 27 April 2005
Negara Asal: Pelbagai Negara

3) Boeing 747-8
MTOW: 442 tan
Penerbangan Pertama : 8 Februari 2010
Negara Asal: USA

4) Antonov An-124
 MTOW: 405 tan
Penerbangan Pertama : 26 Disember 1982
Negara Asal: Soviet Union

5) Boeing 747-400
MTOW: 397 tan
Penerbangan Pertama : 29 April 1988
Negara Asal: USA

6) Airbus 340-600
MTOW: 380 tan
Penerbangan Pertama : 23 April 2001
Negara Asal: Pelbagai Negara

7) Boeing 777-300
MTOW: 299 tan
Penerbangan Pertama : 16 Oktober 1997
Negara Asal: USA

8) McDonnell Douglas MD-11
MTOW: 273 tan
Penerbangan Pertama : 10 Januari 1990
Negara Asal: USA

9) Airbus 350
MTOW: 272 tan
Penerbangan Pertama : 14 Jun 2013
Negara Asal: Pelbagai Negara

10) Ilyushin II-96
MTOW: 270 tan
Penerbangan Pertama : 28 September 1988
Negara Asal: Soviet Union


Hughes H-4 Hercules di Evergreen Aviation & Space Museum, McMinnville, Oregon, US.

Hanya terdapat sebuah sahaja pesawat Anotonov An-225 yang pernah dibina sehingga hari ini. Namun begitu ia masih lagi merupakan pesawat yang paling besar dan mampu mengangkat beban yang paling berat di antara pesawat-pesawat yang pernah dihasilkan. Selain Antonov An-225, satu lagi pesawat bersaiz besar yang pernah cuba dihasilkan adalah Hughes H-4 Hercules pada masa World War II. Ia merupakan pesawat yang mempunyai sayap terpaling panjang iaitu 320 ft 11 in (97.54 m). Kini pesawat ini di letakkan di Evergreen Aviation & Space Museum di McMinnville, Oregon, United States.


Rupa bentuk pesawat BWB Boeing X-48.

Jadi kebanyakan pesawat yang beroperasi adalah yang bersaiz sederhana maka tujuan penghasilan pesawat bersaiz besar bukanlah menjadi satu perkara yang penting. Pesawat-pesawat akan datang lebih mengutamakan ciri-ciri seperti yang dinyatakan di atas – berkemungkinan mempunyai rupa bentuk yang agak berbeza seperti BWB (Blended Wing Body) seperti Boeing X-48 atau pesawat penumpang berkelajuan supersonic bagi menggantikan pesawat concord.
Anda juga mungkin berminat untuk:





MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog