Khamis, 21 April 2016

Teknologi Purba Nasca Di Padang Pasir Peru

Binaan puquiois yang menjadi tanya tanya bagaimana ia berfungsi?

Lubang-lubang batu misteri di Padang Pasir Peru telah lama menarik minat para ‘archaeologists’, dalam menyingkap rahsianya. Selain daripada untuk mengetahui sejarah silamnya, para pengkaji juga ingin mengetahui fungsi sebenar lubang-lubang misteri tersebut.

Dikenali sebagai ‘puquios’, ia mungkin dibina oleh orang-orang Nasca yang mendiami kawasan tersebut sekitar 1,000 BC sehingga sekitar 750 AD yang juga merupakan antara kawasan yang paling kering di dunia. Malah puquios bukanlah satu-satunya tinggalan menakjubkan daripada puak ini semasa mendiami kawasan tersebut. Lukisan-lukisan gergasi di permukaan tanah yang dikenali sebagai 'Nasca lines' juga turut menjadi tanya tanya para pengkaji dari serata dunia.

Bagaimanakah mereka boleh tinggal di kawasan yang kering ini untuk tempoh masa yang lama? Puquios merupakan salah satu teknologi yang membantu mereka untuk mendapatkan sumber air bagi tujuan kegunaan harian mahupun untuk bercucuk tanam. Jadi mereka adalah golongan-golongan yang bijak dalam menyusun atur sumber penting bagi mereka terutamanya air untuk memastikan kawasan tersebut sesuai didiami.

Walaupun kewujudan puquios telah lama diketahui oleh oleh penduduk yang mendiami kawasan persekitaran Nasca, Peru dan juga para saintins, apa yang menjadi tanya adalah fungsinya serta bagaimana ia bekerja. Walaupun kaitan dengan fungsi pengairan boleh diteka, namun kaedah bagaimana ia bekerja juga adalah merupakan satu perkara yang penting untuk diketahui. Malah pembinaannya yang menggunakan bahan yang sama dengan persekitaran memebuatkan teknik pentarikhan karbon (carbon dating) tidak dapat digunakan. Sebaliknya teknik gambaran menggunakan satelit digunakan untuk mengesan poquios yang ada dan hubung kaitnya antara satu sama lain.

Antara kumpulan yang melakukan kajian ini adalah kumpulan yang diketuai oleh Rosa Lasaponara bersama Institute of Methodologies for Environmental Analysis, dari Itali yang mengeluarkan hasil kajian mereka di dalam; Ancient Nasca World: New Insights from Science and Archaeology, yang membentangkan hasil penemuan mereka menggunakan teknologi satelit dan apa yang mereka percaya mengenai penemuan mereka berkenaan orang-orang Nasca.


Bahagian dalam lubang puquios untuk menarik angin masuk.

Jaringan puquios dalam satu sistem pengairan yang besar.

'Nasca Lines' merupakan satu lagi keajaipan di Peru.

Daripada kajian tersebut mendapati puquios berfungsi dalam jaringan sistem hidrolik yang besar bagi sistem pengairan bawah tanah untuk membawa air tersebut ke kawasan kediaman mahupun ke kawasan pertanian. Lubang-lubang puquios berfungsi untuk menarik angin masuk ke dalam sistem perparitan ini seterusnya membolehkan air di bawah tanah mengalir dengan lebih baik – ia bertindak seperti pam semulajadi.

Daripada kaedah inilah yang membolehkan kawasan tersebut didiami oleh orang-orang dahulu walaupun ianya merupakan kawasan terkering di dunia. Sistem tersebut yang, masih boleh berfungsi sehingga ke hari ini nyata adalah lebih baik kerana ia tidak merosakkan punca air sebenar – kerana ia tidak dipam secara paksa sepertimana berlaku di kawasan industri atau pertanian moden.


Banyak lagi teknologi-teknologi purba yang cuba diungkaikan oleh para saintis. Pada masa yang sama pula kita menanamkan kepercayaan bahawa tiada lagi kegunaannya teknologi lama ini. Malah kita turut melupakan banyak perkara yang menjadi keunikan budaya kita yang mempunyai kaitan dengan kebijaksanaan ilmu orang-orang terdahulu.




Free Download



Rabu, 20 April 2016

Pokok Yang Paling Beracun Dan Perlu Dijauhi - Gympie Gympie

Rerambut duri pada daun gympie gympie.

Anda mungkin mengetahui beberapa spesies tumbuhan beracun yang boleh membawa maut, tetapi gympie gympie adalah jauh lebih menakutkan. Gympie gympie (Dendrocnide moroides) juga dikenali sebagai stinging brush, gympie stinger, mulberry-leaved stinger, gympie gympie, gympie, stinger, the suicide plant, atau moonlighter adalah tumbuhan yang berasal dari Australia juga terdapat di Moluccas di Indonesia.

Kisah gympie gympie yang menakutkan ini semakin tersebar luas, namun sekiranya anda berhadapan dengan pokok ini secara tidak sengaja, ianya mungkin sudah terlambat. Pokok ini kelihatan biasa namun dipenuhi dengan duri-duri sangat halus dan hanya boleh dilihat dari dekat. Apabila kulit anda menyentuhnya, ia boleh mengakibatkan kesakitan yang amat dahsyat, sehingga ada yang membunuh diri kerana tidak tahan menanggungnya.

Pokok ini menghasilkan buah seperti buah beri dan ianya boleh dimakan – sekiranya rerambut beracun tersebut dapat dibuang kesemuanya. Walaupun ia dikatakan membunuh beberapa spesies binatang seperti kucing, anjing dan kuda, ia masih menjadi makanan beberapa spesies haiwan yang terdapat di habitatnya seperti haiwan marsupial red-legged pademelon, serangga dan burung.

Rerambut halus pada daun, hanya dapat dilihat pada jarak dekat.

Bahagian-bahagian lain turut diselaputi oleh rerambut duri.

Racunnya dikenali mengandungi ‘moroidin’ iaitu bahan utama yang menjadikan racunnya memberikan kesan yang amat lama. Ia masih boleh memberikan kesan yang sama walaupun bagi spesimen yang telah lama dikeringkan. Ia akan segera memberikan kesan terbakar apabila anda tersentuh bahagian pokok ini dan terus memberikan kesakitan pada setiap jam berikutnya. Ini diikuti dengan kesakitan pada sendi-sendi  anda dan bahagian ketiak mula membengkak.

Marina Hurley iaitu seorang entomologist dan juga ecologist yang turut mengkaji tumbuhan ini menyifatkan kesan gympie gympie sebagai “dibakar dengan asid panas dan dikenakan kejutan elektrik dalam satu masa”. Manakala antara kisah mangsa yang terselamat daripada gympie gympie adalah Margaret Paterson yang berhadapan dengan tumbuhan ini sewaktu melakukan hiking bersama anak perempuannya. Kejadian tersebut menyebabkan aktiviti mereka terpaksa dihentikan. Beliau turut menyifatkan kesakitan yang diakibatkan oleh gympie gympie adalah 15/10 berbanding dengan kesakitan melahirkan anak.

Antara langkah awal dalam rawatan sekiranya disengati oleh duri gympie gympie adalah menggunakan asid hidroklorik yang telah dicairkan pada nisbah (1:10) dan mengeluarkan duri-duri halus tersebut menggunakan pelekat seperti Elastoplast atau apa sahaja seumpamanya. Walaupun ia boleh mengurangkan kesakitan, namun ia mungkin masih boleh dirasai walaupun setelah lama dirawat.

Buahnya juga dipenuhi rerambut duri.

Secara kasar pokoknya kelihatan seperti pokok biasa.


Pengetahuan awal berkenaan pokok ini mungkin boleh membantu ada daripada mengalami pengalaman mengerikan. Namun begitu mungkin ia juga mempunyai fungsi tersendiri di dalam alam. Maka kita sebagai manusia haruslah bijak mengendalikannya dan bukan menjadi mangsa kepadanya. Menakutkan!






Free Download



Ahad, 17 April 2016

Keunikan Alam Semulajadi di Ha Long Bay, Hanoi, Vietnam

Bentuk muka bumi Ha Long Bay yang unik menerima jutaan pengunjung.

Ha Long Bay (Vietnam: Vịnh Hạ Long) adakalanya juga dipanggil Halong Bay merupakan antara tempat yang unik untuk dikunjungi di Asia Tenggara. Dinobatkan sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 1994 menerima jutaan pelawat setiap tahun. Lawatan ke Ha Long Bay merupakan antara catatan menarik untuk MyRokan tahun 2016.

Ha Long Bay terletak kira-kira 170 km di Timur Hanoi dan mengambil masa antara 3 jam perjalanan dari Bandar Utama tersebut. Setiap hari ribuan pelancong akan di bawa ke Halong Bay oleh para pengoperasi pelancongan di sana menggunakan bas dan minivan menghala ke kawasan tersebut untuk melihat sendiri keunikan bentuk muka bumi Halong Bay.

Keindahan Halong Bay dan keunikan Bandar Hanoi sendiri membantu kepesatan industri pelancongan di sini. Kepesatan pembangunan dapat dilihat dalam tempoh yang singkat berbanding beberapa tahun sebelumnya di mana Vietnam diselubungi dengan peperangan dan kekacauan. Hari ini, lebuhraya yang lebih besar membantu kelancaran pengangkutan di antara kedua-dua tempat yang penting menjadi tumpuan pelancong.

Halong Bay mempunyai lipatan sejarah yang lama dan telahpun di huni sejak ribuan tahun sebelum masihi lagi. Kajian sejarah menunjukkan ia didiami oleh kaum Soi Nhụ sekitar tahun 18,000–7000 BC, Cái Bèo 7000–5000 BC dan Hạ Long 5,000–3,500 dahulu. Ia menjadikan antara kawasan yang bersejarah bagi Vietnam melalui penemuan artifak di beberapa kawasan di Gunung Bài Thơ, Gua Đầu Gỗ dan juga Bãi Cháy.

Deretan hasil seni penduduk tempatan di tempat persinggahan ke Ha Long Bay. 

Pemandangan di jeti Ha Long Bay.

Batuan yang membentuk pulau-pulau kecil di Ha Long Bay.

Di sepanjang perjalanan menuju ke Halong dari Bandar Hanoi juga anda dapat melihat aktiviti penduduk di Vietnam yang giat bertani dengan palbagai hasil tanaman selain daripada padi. Kilang-kilang juga banyak didirikan menunjukkan ia mendapat keyakinan daripada pelabur luar untuk melabur di sini. Penduduk Vietnam juga mempunyai pelbagai perniagaan daripada pembinaan, barangan elektrik/eletronik, industri kecil seperti tembikar, ukiran batu/marmar, sutera, mutiara dan sebagainya. Jadi pastikan anda membuka mata dengan luas disepanjang perjalanan ini.

Apabila menghampiri Halong Bay, bentuk muka bumi kelihatan berubah. Bentuk muka bumi yang pada mulanya kelihatan landan akan menunjukkan bukit-bukit batu kapur daripada sejumlah besar pulau-pulau yang membentuk Halong Bay. Pusat-pusat penternakan tiram juga kelihatan yang turut dibuka kepada pelawat. Penternakan tiram ini juga dapat dilihat dengan jelas apabila air surut – dimana tiram-tiram kelihatan bergantungan.

Anda akan dibawa ke jeti utama (dan ini bergantung kepada syarikat pelancongan yang telah anda pilih). Secara kasarnya, jika anda hanya sekadar ingin melihat keunikan Halong Bay, ia bukanlah menjadi perkara yang penting. Ini kerana terdapat banyak sekali jeti di sini yang beroperasi untuk lawatan berkumpulan, mahupun individu. Jadi untuk memudahkan perjalanan anda, menggunakan khidmat mereka ke sini adalah jauh lebih memudahkan.


Di pintu masuk ke Gua Thien Cung (Attsuko dan rakannya - guru dari Jepun).

Pemandangan di dalam Gua Thien Cung.

Satu kesilapan yang saya lakukan ketika ke Hanoi adalah menganggap yang saya boleh mendapatkan bateri ‘AA’ untuk kamera dengan mudah untuk kegunaan kamera. Di Hanoi tidak terdapat kedai serbaneka seperti 7 Eleven sebagaimana di bandar-bandar lain yang saya kunjungi. Namun saya bernasib baik kerana terdapat kedai sepertinya semasa singgah di jeti Halong Bay. Rupanya bateri tersebut jarang digunakan (mungkin kerana semua peralatan hari ini menggunakan bateri yang di cas terus menggunakan elektrik; bateri Li-ion).

Antara aktiviti yang paling biasa di sini adalah bersiar dengan kapal (cruise) kecil sementara menikmati makanan daripada makanan laut. Anda akan dibawa ke beberapa lokasi untuk melakukan beberapa aktiviti lain seperti berkayak, menaiki bot buluh (bamboo boat) dan melawat ke beberapa gua selain menikmati pandangan unik keseluruhan bentuk muka bumi Halong Bay yang unik.


Aktiviti menarik di Ha Long Bay.

Antara pengalaman menarik di Ha Long Bay.

Walaupun diakui kualiti air di Halong Bay tidak membenarkan anda untuk terjun dan mandi di sana, ia masih lagi merupakan antara pengalaman menarik yang anda perolehi. Kualiti air di sana dikatakan terjejas oleh kerana aktiviti penduduk kampung air yang tidak terkawal sebelumnya. Ia bagaimanapun dalam proses pemindahan secara berperingkat oleh Kerajaan Vietnam sebagai usaha untuk memulihkan persekitaran di Halong Bay. Bagaimanapun aktiviti pelancongan di sini juga mungkin merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada keadaan air tersebut.

Lawatan ke gua pula merupakan pengalaman pertama bagi saya memasuki gua. Saya hanya berpeluang memasuki gua Thien Cung daripada beberapa gua yang terdapat di sini iaitu Đầu Gỗ, Sung Sot, Me Cung, dan lain-lain gua seperti Kim Quy, Tam Cung, Hoang Long, Lau Dai dan sebagainya. Namun ia merupakan satu pengalaman unik, kerana gua yang dilawati telah disediakan sesuai untuk tujuan lawatan; Jadi anda tidak bimbang akan keselamatan anda dan juga tempat yang anda lawati.

Begitu besar kesan yang dibawa oleh Halong Bay kepada pambangunan ekonomi penduduk setempat di Vietnam. Dalam tempoh yang singkat sahaja pembangunan di kawasan persekitaran terus membangun begitu juga aktiviti penduduk tempatan. Ia merupakan antara destinasi yang mungkin dikunjungi semula.



Free Download



Teknologi Yang Jauh Lebih Baik Dari WIFI Iaitu LIFI 100 Kali Lebih Laju

LI-FI mempunyai kelajuan 100 kali ganda berbanding WI-FI.

Dalam anggaran 2 tahun lagi teknologi yang berkemampuan 100 kali ganda daripada WIFI hari ini mungkin boleh digunakan di rumah.

Teknologi ini mula dibentangkan di Mobile World Congress di Barcelona oleh sebuah syarikat dari Perancis iaitu Oledcomm yang menunjukkan kemampuan LIFI yang menggunakan lampu untuk memainkan video melalui smartphone.

LIFI menggunakan cahaya nampak berkomunikasi seperti ‘Morse Code’ dan ia tidak boleh menembusi dinding. Selain daripada berkelajuan tinggi ia juga boleh mengelakkan penggunaan oleh pihak yang tidak dibenarkan. Jumlah data yang lebih banyak dapat dihantar berbanding menggunakan gelombang elektromagnet/radio yang digunakan oleh WIFI. LIFI adalah kata singkatan bagi ‘light fidelity’, yang berlaku pada kelajuan cahaya.

Simbol yang mungkin digunakan untuk LIFI nanti.


LED membekalkan frekuensi yang sesuai untuk LIFI.

System ini berfungsi menggunakan cahaya yang dipanggil ‘visible light communiction’ (VLC) dalam julat antara 400 ke 800 terahertz (THz) yang menghantar maklumat dalam bentuk binary dan ianya berlaku dengan kelajuan yang amat pantas tanpa dikesan oleh mata kasar.

Pengujian LI-FI di dalam makmal mencapai sehingga 200 Gbps, iaitu kelajuan yang cukup untuk memuat turun 23 DVD dalam tempoh satu saat, seperti yang dilaporkan oleh pengasas Oledcomm, Suat Topsu.

Teknologi ini mula diperkatakan semenjak tahun 2015 dan akan diuji pengguannya secara harian di Perancis termasuk di muzium-muzium dan pusat membeli belah. Ia juga telah diuji di beberapa negara lagi termasuk Belgium, Estonia dan India.




Free Download



Sabtu, 16 April 2016

Samsung Dengan Patent Untuk Smart-Contact Lens

Smart-Contact Lens mungkin menjadi satu lagi fenomena.

Syarikat-syarikat gergasi kini bukan sahaja mempunyai produk-produk yang hebat, malah mereka mempunyai bahagian R&D dan teknik perniagaan yang memastikan mereka terus berada di hadapan daripada pesaing-pesaing mereka yang lain. Salah satu teknik tersebut adalah ‘Patent’.

‘Patent’ memastikan syarikat-syarikat lain tidak boleh mengeluarkan barang tersebut tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada mereka yang mempunyai ‘patent’ tersebut. Namun ia juga mempunyai kelemahan di mana terdapat syarikat-syarikat besar yang mem’patent’ perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti Amazon yang pernah ingin mem’patent’ video dengan latar belakang berwarna putih.

Contact lens daripada filem Mission Imposible - Ghost Protocol.
Gambarajah daripada patent oleh Samsung.

Kita kembali semula kepada rekaan Samsung yang dipatentkan iaitu “Smart-Contact Lens”, yang mana ia mempunyai keupayaan lebih daripada membantu memperbaiki kebolehan penglihatan seseorang berbanding contact-lens biasa. Antara kelebihannya adalah mengambil gambar dengan melalui kelipan mata pemakainya. Ia mirip sekali dengan contact-lens yang digunakan di dalam filem Mission Impossible 4 – Ghost Protocol.

Selain daripada dilengkapi dengan kamera, ia juga turut dilengkapi dengan pemapar imej – dan ini menjadikan ia antara produk yang menyaingi produk sebelumnya seperti “Google Glass” oleh Google. Selain itu sensor tambahan membolehkan fungsi tambahan seperti mengambil gambar hanya melalui kelipan mata pemakainya. Ia bagaimanapun memerlukan sokongan peralatan tambahan seperti ‘smartphone’ untuk melakukan kerja-kerja tambahan – yang disambungkan secara ‘wireless’.

Proses permohonan patent tersebut telah dilakukan lebih awal iaitu sejak tahun 2014 lagi dan hanya baru-baru ini sahaja ia diterbitkan secara umum. Ia dilengkapi dengan pelan asal kanta lekap tersebut.
Selain daripada Samsung, Google juga mempunyai patent untuk produk yang hampir sama dan masih belum ada yang tampil dengan produk yang berfungsi setakat ini. Seperti yang diterangkan pada awal artikel ini, ia merupakan salah satu teknik syarikat-syarikat gergasi dalam mengawal produk-produk masa depan mereka dan adakalanya hanyalah sebagai gimik perniagaan.

Keradangan mata antara masalah biasa daripada pemakaian contact lens.

Jangkitan boleh berlaku daripada pemakaian contact lens.

Walaupun ia bagaikan peralatan impian semua, namun meletakkan peralatan elektronik ke atas permukaan mata anda bukanlah perkara yang mudah (menyihatkan). Ia banyak menimbulkan masalah walaupun dengan kanta lekap (contact-lens) biasa yang telah berada di pasaran sekian lama. Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum produk ini mempunyai fungsi yang betul-betul boleh mendapat sokongan pengguna.


Namun begitu dari segi pembangunan teknologi ia tetap merupakan usaha yang baik. Tiada produk yang terus mempunyai kualiti terbaik melainkan mempunyai sejarah pembaik pulihan yang berpanjangan seperti radio, TV, telefon dan sebagainya. Kita tidak boleh terus menganggap satu rekaan yang mudah tidak mempunyai masa depan yang cerah.




Free Download



Arkib Blog