Isnin, 15 Ogos 2016

Tabiat Berkumpulan Dalam Dunia Haiwan

Penghijrahan rama-rama Monarch, penghijrahan besar-besaran.

Hidup berkumpulan bukan sahaja penting dalam kehidupan manusia, ciri-ciri hidup berkumpulan sebenarnya dapat dilihat dengan jelas pada dunia haiwan. Sesetengah hidupan hanya hidup dalam kumpulan manakal yang lain pula berkumpulan mengikut musim-musim tertentu. Tabiat ini tidak lain kerana ia membolehkan mereka mendapat beberapa faedah penting.

Bagi hidupan yang bermigrasi terutamanya, menempuh perjalanan yang jauh tidak boleh dilakukan secara individu bagi memastikan keselamatan mereka. Pergerakan berkumpulan ini dilakukan dalam jumlah yang sangat besar seperti yang dilakukan oleh beberapa spesis serangga, ikan, burung dan mamalia. Antara penghijrahan yang terkenal dilakukan oleh serangga adalah rama-rama Monarch (Monarch Butterflies: Danaus plexippus). Rama-rama ini menempuh perjalanan beribu batu dari California dan Selatan Canada ke Mexico untuk bertelur. Walaupun mempunyai taburan di beberapa kawasan di dunia yang lain, rama-rama Monarch di Amerika Utara adalah lebih terkenal kerana perpindahan mereka ini.

Dalam kumpulan yang besar, hiudpan mempunyai peluang yang lebih besar untuk selamat.
Kumpulan King Penguins, berkumpul untuk mengelakkan kesejukan.

Berbeza pula dengan king penguin (Aptenodytes patagonicus) yang memerlukan perkumpulan bagi musim-musim tertentu tertamanya ketika musim sejuk di mana mereka akan berkumpul dalam satu kumpulan yang besar untuk memastikan setiap penguin mendapat haba yang cukup. Walaupun bulu penguin ini cukup tebal, namun tiupan angin yang kuat boleh mengakibatkan mereka mati. Keadaan ini lebih penting bagi anak-anak mereka yang masih lagi kecil.

Berbeza pula dengan kumpulan wildebeests atau gnu, perpindahan berkumpulan membolehkan mereka meningkatkan tahap keselamatan dalam kumpulan. Walaupun sebahagian darinya akan menjadi sasaran pemangsa terutamanya singa dan buaya. Berada di dalam kumpulan adalah jauh lebih baik berbanding berhijrah secara individu. Penghijrahan ini juga memastikan kumpulan ini sentiasa mendapat bekalan makanan yang cukup. Selain daripada kumpulan gnu yang besar, kuda belang juga akan turut berpindah bersama-sama gnu untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan kumpulan mereka.

Penghijrahan wildebeest turut disertai oleh haiwan-haiwan lain.

Dalam kumpulan yang besar, pemangsa seperti ikan jerung tidak dapat menangkap seekor sardine.

Flamingo juga merupakan burung yang memerlukan kumpulan.

Bagi kumpulan ikan pula ikan sardine merupakan ikan yang popular dengan kumpulan mereka semasa berhijrah. Selagi berada di dalam kumpulan ia sukar dijadikan makanan oleh pemburu-pemburunya seperti ikan dolphin dan jerung. Jadi ikan dolphin mempunyai teknik tersendiri untuk memecahkan kumpulan ikan-ikan sardine ini untuk membolehkan mereka ditangkap. Pemangsa-pemangsa lain biasanya akan mengambil peluang daripada usaha ikan dolphin ini termasuk ikan jerung, ikan pari dan burung-burung laut.


Jadi sekarang anda tentu tahu mengapa hidupan sering ditemui dalam kumpulan yang besar. Kita juga perlu memastikan kumpulan ini berada dalam jumlah yang sepatutunya, kerana pengurangan atau pertambahan jumlah satu-satu hidupan akan mengganggu keseimbangan kumpulan yang lainnya. Begitulah uniknya hubungan antara hidupan di dunia.


Free Download



Rabu, 10 Ogos 2016

Labah Labah Pemakan Sayuran (Tumbuhan) – Bagheera Kiplingi

Bagheera kiplingi dengan makanan yang diperolehinya dari pohon akasia.

Sepertimana yang kita ketahui labah-labah memakan hidupan lain daripada jenis serangga sehinggalah kepada haiwan-haiwan kecil. Namun daripada 40,000 jenis labah-labah yang diketahui, satu daripadanya didapati menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai makananya juga. Ini menjadikan Bagheera kiplingi sebagai labah-labah yang terpaling unik.

Walaupun labah-labah ini ditemui lebih awal iaitu pada lewat 1800, ianya hanyalah specimen yang telah mati maka kefahaman mengenai tabiat kehidupannya tidak diketahui. Sehinggalah pada tahun 2001 hingga 2008 apabila kajian terhadapnya dilakukan di kawasan hutan tropika di Tenggara Mexico dan Barat Laut Costa Rica.

'Bagheera kiplingi' adalah sebahagian daripada kumpulan jumping spider.

Berkongsi habitat dengan semut yang juga mendiami pokok akasia.

Penemuan mengenai pemakanan Bagheera kiplingi yang terdiri daripada kudup yang mengandungi khasiat daripada pokok akasia. Namun adakalanya labah-labah ini turut didapati memakan larva semut. Mungkin ia bukanlah pemakan tumbuhan sepenuhnya, namun ia merupakan salah satu contoh labah-labah pemakan tumbuhan yang baik.

Bagheera kiplingi merupakan sebahagian daripada spesis yang termasuk di dalam kumpulan ‘jumping spider’ – iaitu kumpulan labah-labah yang aktif dan mempunyai lompatan yang jauh (berbanding saiznya). Nama yang diberikan padanya pula adalah bersempena nama harimau kumbang di dalam buku yang dikarang oleh Rudyard Kipling pada tahun 1894 iaitu The Jungle Book.


Antara gambar menarik Bagheera kiplingi.

Gambaran dekat menunjukkan rerambut dengan lebih jelas.


Free Download



Isnin, 8 Ogos 2016

Aplikasi Meneroka Dunia Biologi Secara Global

Pelbagai maklumat biologi boleh dikongsi melalui iNaturalist.

Kebanyakan dari kita hari ini memiliki telefon pintar yang berupaya memberikan pelbagai kebaikan dan tidak digunakan sebaiknya. Selain sepatutnya ianya digunakan untuk tujuan menambah maklumat berguna, ia juga mungkin dapat membantu kita memberikan sumbangan kepada maklumat ilmu pengetahuan itu sendiri. Tanpa penglibatan semua, usaha pengumpulan maklumat menjadi agak sukar.

Sehubungan itu para penyelidik menggunakan kemudahan telefon bimbit untuk tujuan perkongsian maklumat dalam usaha mengesan spesis-spesis baru di seluruh dunia. Para pengguna bukan sahaja boleh mendapat maklumat mengenai sesuatu haiwan yang mereka temui, malah boleh berbincang bersama mereka yang lebih arif di dalam lapangan tersebut.

Contoh serangga yang dikongsi ke platform iNaturalist.

Kerja-kerja mengesan spesis hdiupan mengambil masa yang lama.

Usaha yang dijalankan ini telah menemukan lebih banyak spesis-spesis baru dari seluruh kawasan di merata dunia. Penemuan ini dapat memudahkan para penyelidik dan kita sendiri mengawasi spesis-spesis penting daripada mengalami kepupusan. Sebaliknya ia juga mungkin spesis yang menyebarkan penyakit dan dapat pula kita berhati-hati.

Antara applikasi yang digunakan untuk mengesan spesis serangga juga hidupan lain adalah iNaturalist yang boleh dimuat turun untuk telefon bimbit Android mahupun iOS. Aplikasi ini memudahkan anda berkongsi maklumat penting penemuan anda termasuk lokasinya. Penemuan ini seterusnya akan dikongsi bersama ramai lagi pengguna lain yang juga dari kalangan amatur dan pakar untuk membantu anda mengesan spesis yang anda temui.

Aktiviti berkumpulan menjadi satu bentuk riadah.

Rangkaian iNaturalist di seluruh dunia.

'Interface' applikasi iNaturalist (iOS).

iNaturalist kini digunakan oleh lebih daripada 250,000 pengguna dan mengandungi sekitar 3 juta pemerhatian. Malah, banyak spesis baru dikesan melalui perkongsian seperti ini. Perkongsian melalui internet bukan sahaja menjimatkan masa tetapi turut memberi peluang kepada semua untuk turut sama memberikan sumbangan kepada dunia sains.


Banyak lagi applikasi-applikasi seumpama ini yang boleh digunakan untuk perkongsian maklumat hidupan mahupun tumbuhan. Jadi selain menggunakan telefon bimbit anda untuk tujuan berhubung bersama keluarga dan rakan, apa salahnya bersama-sama memberi bantuan kepada tujuan yang tidak kurang pentingnya.


Free Download



Rabu, 27 Julai 2016

Jalan-jalan ke Muzium Perak, Taiping

Muzium Perak di Taiping, muzium penuh sejarah.

Muzium Perak terletak di Taiping kerana ia merupakan bandar tertua di Negeri Perak. Ia merupakan sebuah muzium yang sangat bersejarah di negara kita kerana ia merupakan muzium yang pertama didirikan di Malaysia pada tahun 1883 dengan saranan daripada Residen British di Perak pada ketika itu iaitu Sir Hugh Low. Semenjak dari pembinaannya, bangunan ini terus ditambah bagi memberikan ruang kepada ruang pameran yang lebih besar.

Semasa pembukaannya kurator yang ditugaskan untuk menjaga muzium ini adalah Leonard Wray Jr. yang merupakan seorang yang mahir dalam bidang botani dan geologi. Sebagai muzium yang pertama, ia menjadi satu contoh yang baik untuk penubuhan muzium-muzium yang berikutnya yang menyediakan bahan-bahan pendidikan bagi masyarakat setempat. Ia sedikit sebanyak mengajar masyarakat kita untuk menghargai kekayaan budaya, hasil bumi dan keunikan negara kita sendiri.

Muzium ini sedari asalnya lagi menumpukan koleksi yang berbentuk zoologi atau sejarah semulajadi di Negeri Perak. Spesimen-spesimen yang dikumpulkan adalah terdiri daripada haiwan-haiwan daripada sekecil sang kancil sehinggalah tulang haiwan sebesar gajah. Namun koleksi-koleksi ini juga merupakan permulaan yang baik bagi sebuah muzium kecil yang dibina lebih dari 100 tahun dahulu.

Koleksi tulang rangka di Muzium Perak.

Selain koleksi alam semulajadi Negeri Perak, kini muzium ini juga turut mempamerkan bahan sejarah kehidupan orang asli, bahan-bahan daripada zaman penjajah, kereta-kerata antik milik para pembesar di Negeri Perak di perkarangannya.

Anda juga berpeluang melihat sendiri perkembangan muzium ini daripada awal penubuhannya sehinggalah ke hari ini melalui gambar sejarah muzium ini sendiri. Jadi selain mempamerkan bahan-bahan sejarah, bangunan ini sendiri merupakan sebahagian bahan sejarah yang amat berharga kepada Negeri Perak dan negara kita Malaysia.

Awal penubuhan muzium pada tahun 1890 an.

Muzium Perak pada tahun 1905.

Muzium Perak pada sekitar 1990 an.

Bagi yang berminat untuk melawat ke muzium ini, maklumat penting mengenai muzium adalah seperti berikut:

Lokasi:

Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak

Masa lawatan:

Dibuka setiap hari dari 9:00 pagi hingga 6:00 petang.
Di buka pada setiap hari kecuali Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji

Bayaran masuk:

Dewasa (My Card): RM2.00
Kanak-kanak (My Kid): Percuma

Harga Biasa:

Dewasa : RM5.00

Kanak-kanak (6 - 12 tahun) : RM2.00


Free Download



Selasa, 26 Julai 2016

Mengenali Peralatan Lacquerware

Lacquerware seindah seramik seringan kayu.

Peralatan lacquerware lazimnya peralatan yang diperbuat daripada kayu dan disaluti dengan lacquer yang berkilat. Laquer walaupun kelihatan seperti varnish, ia adalah sedikit berbeza dari segi komposisi dan juga proses pembuatannya. Sejarah peralatan lacquer bermula lebih awal di China dan kemudiannya merebak ke serata bahagian negara-negara Asia yang lain yang membentuk pelbagai variasi.

Lacquer memberikan perlindungan  kepada bahan yang digunakan untuk membuat sesuatu peralatan. Antara peralatan lacquer yang masih dapat dilihat sehingga ke hari ini dihasilkan daripada Dynasty Han yang ditemui di Mawangdui di China kira-kira abad ke-2 BC. Malah teknik penghasilan peralatan lacquer telahpun diperbaiki semenjak Dynasti Shang lagi (ca. 1600–1046 BC) yang menjadi salah satu hasil seni yang menarik. Jadi ia seharusnya bermula lebih awal dan terus berkembang ke negara-negara berdekatannya termasuk Jepun, Korea, Vietnam dan Myanmar. Ia turut dihasilkan di negara-negara lain seperti Thailand, India dan juga Timur Tengah.

Lacquerware daripada Dinasty Han.

Lacquerware China dengan tatahan 'mother of pearl'.

Perbezaan geografi dan tradisi memberikan impak kepada penghasilan barangan lacquerware ini. Ini turut memberi pengaruh kepada bahan utama untuk membuat lacquer daripada bahan-bahan yang terdapat di sesuatu kawasan tersebut. Seterusnya proses penghasilannya juga lebih dipengaruhi oleh bahan-bahan tempatan dengan teknik yang penghasilan yang lebih mengutamakan ciri-ciri budaya setempat. Barangan lacquerware di China dihasilkan dengan teknik yang lebih ‘sophisticated’ dengan penggunaan bahan-bahan hiasan termasuk emas dan ‘mother of pearl’ dengan bahan utamanya diperbuat daripada kayu. Manakala di Myanmar pula ianya lebih dihiasi dengan motif-motif lukisan tempatan yang menarik dengan bahan utamanya diperbuat daripada buluh.

Toxicodendron vernicifluum daun dan bunga.

Toxicodendron vernicifluum ditoreh untuk getahnya.

Melanorrhoea usitata juga dikenali sebagai Gluta usitata atau ringas.

Lacquer dihasilkan daripada getah pokok. Pokok-pokok yang digunakan pula adalah berbeza bagi lacquer yang dihasilkan di China, Korea dan Jepun iaitu Toxicodendron vernicifluum atau lebih dikenali sebagai ‘Chinese lacquer tree’, manakala di negara seperti Myanmar lacquer adalah dihasilkan daripada getah pokok Melanorrhoea usitata yang juga dikenali sebagai ‘Burmese lacquer’. Oleh kerana getah yang diperolehi ini berbeza, maka lacquer yang dihasilkan juga adalah sedikit berbeza, namun kedua-duanya mampu menghasilkan barangan lacquer yang cukup menarik. Namun lacquer turut dicampur bahan-bahan lain untuk menjadikannya lebih licin seperti di China, serbuk tanduk rusa digunakan, manakala di Myanmar pula serbuk dari tulang lembu pula digunakan.

Proses pembuatan barangan lacquer ini merupakan satu proses yang amat panjang, kerana ia memerlukan beberapa lapisan lacquer yang perlu disalutkan ke atas barangan yang dihasilkan. Ini diikuti dengan proses pengeringan selama beberapa hari, sebelum proses lapisan berikutnya boleh dilakukan. Bagi barangan yang mempunyai lukisan berwarna pula lapisan lacquer akan dikenakan untuk setipa warna yang dikenakan dan proses yang sama akan dilakukan secara berulang-ulang. Ini bermakna keseluruhan proses boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan lamanya untuk menyiapkan satu barangan lacquer.


Barangan yang dihasilkan dengan penuh teliti.

Koleksi yang amat cantik.

Ianya bukan tembikar tetapi lacquerware.

Japan lacquerware, menambilkan ciri-ciri budaya yang unik.

Melihat kepada ketelitian dan masa yang diambil untuk menghasilkan barangan ini, maka tidak hairanlah mengapa harganya dijual agak tinggi. Namun begitu, barangan lacquer bukan sahaja cantik tetapi dapat digunakan untuk tempoh masa yang lebih lama. Selain daripada barangan seramik, barangan lacquer merupakan antara barangan unik yang berasal dari China yang kemudiannya dimajukan lagi ke negara-negara lain.






Free Download



Arkib Blog