Khamis, 1 Jun 2017

Burung Burung Terbesar Di Dunia

'Argentavis magnificens' merupakan burung terbang terbesar yang telah pupus.

Burung merupakan antara haiwan yang diminati ramai. Selain boleh terbang kebanyakan burung-burung ini mempunyai bulu yang cantik, siulan yang merdu dengan aneka ragam pula. Namun begitu terdapat juga kumpulan burung-burung yang tidak boleh terbang dan kebanyakan burung-burung ini tergolong di dalam golongan burung-burung terbesar.

Bagi burung terbesar yang masih hidup hari ini adalah ‘burung unta’ atau ostrich (Struthio camelus) yang tinggal di kawasan padang-padang rumput di Afrika dan Arab. Saiz burung unta jantan dewasa boleh mencecah sehingga 2.8 m (9.2 ft.) dengan berat sehingga 156 kg (344 lb). Telur burung unta juga boleh mencecah sehingga 1.4 kg (3.1 lb.) dengan saiz 15 cm (6 in.) dan merupakan telur burung terbesar hari ini. Terdapat sehingga 60 biji telur di dalam sebuah sarang burung unta yang akan dieramkan secara bergilir-gilir oleh burung-burung unta tersebut selama 42 ke 46 hari.

Adapun burung terbesar yang telah pupus adalah ‘burung gajah’ atau elephant birds (Aepyornis maximus) yang dikatakan pupus pada abad ke-17 atau abad ke-18. Ia mendiami kawasan pendalaman di Kepulauan Madagascar. Walaupun bersaiz lebih besar daripada burung unta, burung gajah ini mempunyai kaitan yang lebih dekat dengan burung Kiwi dari New Zealand. Saiz burung gajah dikatakan mencapai sehingga 3 m (9.8 ft.) tinggi, dengan berat anggaran antara 350 kg sehingga 500 kg (770 lb. ke 1,100 lb.). Telur burung gajah pula mencapai ukuran sehingga 34 cm (13 in), yang juga merupakan saiz telur burung terbesar pernah dijumpai. Melalui saiz tersebut, telur burung ini merupakan 160 kali ganda lebih besar berbanding telur ayam.

Burung unta merupakan burung terbesar pada hari ini.

Elephant birds, burung gergasi yang tinggal di Kepulauan Madagascar.

'Pelagornis sandersi' merupakan satu lagi spesies burung gergasi terbang.

Bagi spesies burung yang boleh terbang pula Wandering Albatross (Diomedea exulans) merupakan burung yang mempunyai saiz bukaan sayap yang terpaling besar iaitu sehingga 3.65 m (12.0 ft.). Manakala ukuran panjangnya pula adalah sehingga 1.44 m (4.7 ft.). Walaupun ia mempunyai saiz bukaan sayap terbesar, burung albatross bukanlah mempunyai berat terbesar bagi burung-burung yang boleh terbang.

Bagi burung terbesar yang boleh terbang dan telah pupus pula Argentavis magnificens merupakan burung yang pernah diketahui. Melalui fosil yang dijumpai di Argentina burung ini mempunyai bukaan sayap sehingga 8.3 m (27 ft. ) dengan panjang sehingga 3.5 m (11 ft.), ketinggian sehingga 2 m (6.6 ft.) dan berat sehingga 80 kg (180 lb.). Antara burung terbang lain yang bersaiz besar pernah diketahui menyaingi Argentavis adalah Pelagornis sandersi, yang mempunyai bukaan sayap sehingga 24 ft.


Kumpulan burung terbesar termasuk yang telah pupus
Saintis mengukur kepak burung albatross.

Walaupun burung-burung terbesar ini diukur berdasarkan beberapa pengelasan iaitu dari segi saiz, ketinggian, bukaan sayap, kumpulan family dan sebagainya. Kesemua burung-burung ini sememangnya mempunyai saiz yang jauh lebih besar daripada burung-burung biasa yang lain. Berikut pula merupakan burung-burung yang dikelaskan mengikut berat pula;


Rank
Burung
Berat Purata
[kg (lb)]
Berat Maximum
[kg (lb)]
Panjang Purata
[cm (ft)]
1
Ostrich
104 (230)
156.8 (346)
210 (6.9)
2
Somali ostrich
90 (200)
130 (287)
200 (6.6)
3
Southern cassowary
45 (99)
85 (190)
155 (5.1)
4
Northern cassowary
44 (97)
75 (170)
149 (4.9)
5
Emu
33 (73)
70 (150)
153 (5)
6
Emperor penguin
31.5 (69)
46 (100)
114 (3.7)
7
Greater rhea
23 (51)
40 (88)
134 (4.4)
8
Dwarf cassowary
19.7 (43)
34 (75)
105 (3.4)
9
Lesser rhea
19.6 (43)
28.6 (63)
96 (3.2)
10
King penguin
13.6 (30)
20 (44)
92 (3)
11
Domesticated turkey
13.5 (29.8)
39 (86)
100 - 124.9 (3.3 – 4.1)
12
Kori bustard
11.4 (25.1)
20 (44.1)
150 (5)
13
Great bustard
10.6 (23.4)
21 (46)
115 (3.8)
14
Andean condor
8.1 - 14.9 (18-33)
14.9 (33)
100-130 (3.3-4.3)
15
Dalmatian Pelican
7.25–15 (16.0–33.1)
15 (33.1)
183 (6)

'Emperor penguin' tergolong dalam kumpulan burung terbesar dan merupakan burung penguin terbesar pula.

Walaupun terdapat kedudukan burung terbesar mengikut kumpulan burung masing-masing, gambaran di atas jelas menunjukkan kedudukan burung terbesar utama secara umum. Jadi burung yang terbesar dan masih hidup hingga ke hari ini merupakan burung yang tidak boleh terbang dan mendiami Benua Afrika.


Semoga dengan paparan kali ini, ia akan menarik minat para pembaca untuk terus mengenali dengan lebih dekat mengenai alam sekitar dan sama-sama pula kita mengendalikannya dengan baik. Banyak lagi perkara menarik mengenai dunia burung yang mungkin akan dipaparkan untuk masa-masa akan datang.




Free Download



Projek Pembersihan Pantai Versova, Mumbai Yang Perlu Diteladani

Perubahan akan berlaku sekiranya anda mengambil tindakan; Afroz Shah di Pantai Versova, Mumbai.

Merupakan sebuah pantai yang bukan sahaja tidak terkenal malah mengalami pencemaran sampah yang teruk terletak di pinggir Bandar Mumbai, India. Pantai ini kini bukan sahaja menjadi bersih, malah mendapat perhatian seluruh dunia lantaran langkah pembersihan yang dilakukan oleh seorang penduduk tempatan yang lebih dikenali sebagai Afroz Shah, 33.

Afroz Shah mula berpindah ke kediaman berhampiran pantai tersebut pada 2015 amat terganggu dengan keadaan pantai yang ditimbuni dengan buangan plastik dan sampah sarap dengan ketinggian sehingga 5.5 kaki (1.7 m). Terganggu dengan pemandangan tersebut beliau mengambil langkah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan secara sendiri.

Longgokan sampah yang serius di Pantai Versova.

Pantai Versova pada May 20, 2017.

Tindakan beliau ini telah membuka mata masyarakat setempat yang kemudiannya turut sama-sama melakukan kerja-kerja pembersihan dengan membersihkan kira-kira 5 juta kilo sampah yang telah terdampar di pantai tersebut.

Kerja pembersihan tersebut terus berjalan sehingga 85 minggu dengan jumlah sampah yang dibersihkan dianggarkan sehingga 5.3 juta kilogram. Antara lain kerja-kerja tersebut turut melibatkan pembersihan 52 buah tandas awam selain penanaman 50 batang pokok kelapa turut dilakukan di pantai tersebut.

Pantai Versova bukanlah merupakan pantai utama dan tidak mendapat perhatian daripada pentadbir tempatan. Keadaan ini diburukkan lagi dengan longgokan sampah yang mungkin dibuang terus atau dihanyutkan ke pantai tersebut. Semenjak berapa lama sampah yang terkumpul terbiar tanpa tindakan dari mana-mana pihak menyebabkan pantai tersebut terus terbiar.

Longgokan sampah yang menyakitkan pemandangan

Semua pantai adalah cantik sekiranya dipelihara dengan baik.

Usaha yang dilakukan oleh Afroz Shah, bukan sahaja membukan mata masyarakat di India, malah masyarakat di seluruh dunia mengenai kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Ia juga menggambarkan, tiada kawasan yang perlu dikotori, dicemari atau dibiarkan malah kita semua mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan membersihkan setiap kawasan yang terjejas ini.

Afroz Shah, 33 mungkin tidak menyangka yang beliau akan dikenali di seluruh dunia dengan tindakan beliau tersebut. Namun tindakan awal yang diambil beliau bukan sahaja menghasilkan Pantai Versova yang bersih seperti yang diinginkan oleh beliau, malah ia turut dijadikan contoh dan diteladani oleh semua. Jutaan terima kasih bukan sahaja diterima daripada masyarakat di India, malah daripada masyarakat dunia yang disampaikan melalui United Nations dengan mengurniakan pingat ‘Champion of the Earth 2016’.


Pantai yang cantik seperti ini juga akan tercemar sekiranya kita tidak memeliharanya.

Kisah ini memberikan kesan mendalam kepada kita semua masyarakat di dunia. Memandangkan masalah pencemaran yang berlaku di mana sahaja (terdiri daripada pelbagai bahan buangan lebih-lebih lagi bahan buangan plastik). Maka dengan ini diharap kita tidak lagi menunggu bantuan daripada pihak lain sebaliknya sama-sama membersihkan persekitaran kita sendiri. Ini kerana anda boleh memilih untuk tinggal di persekitaran yang lebih baik.






Free Download



Selasa, 30 Mei 2017

Bijirin Sumber Makanan Dunia; Buckwheat

'Buckwheat' berbeza daripada bijirin-bijirin lain yang berasal dari keluarga rumput.

Buckwheat (Fagopyrum esculentum) satu lagi bijirin penting bagi menggantikan gandum. Walaupun begitu tidak seperti bijirin-bijirin lain, ‘buckwheat’ tergolong dalam satu kumpulan family tumbuhan yang jauh berbeza seperti sorrel, knotweed dan rhubarb, manakala kebanyakan bijirin lain adalah daripada family rumput (grass). Namun begitu khasiat pemakanan daripada buckwheat adalah setanding dengan bijirin-bijirin lain menjadikan ianya sebagai bijirin gantian. Ia terus menjadi tanaman penting sehingga kemunculan baja nitrogen yang meningkatkan hasil tanaman bijirin-bijirin lain.

Buckwheat berasal daripada Asia Tenggara sekitar 6,000 BCE yang kemudiannya merebak ke Asia Tengah, Tibet, Timur Tengah dan juga ke Eropah. Semenjak itu ia terus tersebar ke serata kawasan termasuklah ke Dataran Tibet yang berada di kawasan tanah tinggi. Walaupun tidak dikenali sebagai bijirin utama buckwheat telah digunakan oleh kebanyakan masyarakat dunia dari Timur ke Barat.

Ladang buckwheat yang kelihatan berbeza.

Sesuai sebagai makanan bagi mereka yang alah kepada gluten.

Seabad yang lalu, Empayar Russia merupakan pengeluar buckwheat utama dunia dengan keluasan tanaman mencapai sehingga 6.5 juta ekar dengan diikuti oleh Perancis dengan keluasan tanaman 0.9 juta ekar. Keluasan tanaman ini sehingga pada tahun 1970 di Soviet Union adalah seluas 4.5 juta ekar dan ia kekal sebagai bijirin utama sehingga 2014. China bagaimanapun sehingga tahun 2000 terus meningkatkan pengeluaran buckwheat bagi menyaingi Russia.

Buckwheat mempunyai khasiat pemakanan yang baik hampir menyamai tepung gandum dengan kandungan protein, serat pemakanan, vitamin, mineral selain juga kaya dengan karbohidrat. Protein yang terkandung di dalam buckwheat juga merupakan protein yang baik untuk mencegah kanser selain mengandungi lapan amino asid penting. Ia juga tidak mengandungi gluten dan sesuai digunakan sebagai gantian kepada tepung gandum serta bahan-bahan lain yang mengandungi gluten.

Mee yang diperbuat daripada buckwheat telah lama digunakan oleh orang-orang Tibet dan juga Utara China memandangkan gandum tidak boleh hidup di kawasan pergunungan ini. Penggunaan buckwheat ini mungkin dibawa ke Jepun (soba) dan Korea (naengmyeon, makguksu dan memil guksu) dalam penyediaan makanan mereka. Manakala pizzoccheri pula, terkenal di Daerah Valtellina di Utara Itali.

Mee yang diperbuat daripada buckwheat bebas gluten.

Pancake juga boleh dihasilkan daripada tepung buckwheat.

Ini adalah bubur yang menggunakan buckwheat.

Makanan-makanan menggunakan buckwheat juga popular di bahagian-bahagian lain seperti India dengan penyediaan kuttu ki puri (buckwheat pancakes) dan kuttu pakoras (kentang yang dicelup dengan tepung buckwheat dan digoreng). Tepung buckwheat ini dikenali juga sebagai ‘kuttu ka atta’ di bahagian Utara dan Barat India.

Selain makanan, buckwheat juga digunakan untuk penyediaan minuman yang menjadikan ia sebagai satu lagi gluten-free beer menggantikan bijirin-bijirin lain seperti gandum, barley ataupun oat. Selain digunakan untuk menghasilkan beer ia juga digunakan untuk menghasilkan whiskey ataupun shōchū iaitu minuman yang dihasilkan di Jepun sejak abad ke-16 lagi. Manakala terdapat juga teh yang dihasilkan menggunakan buckwheat yang dikenali sebagai sobacha di Jepun dan ‘Black buckwheat tea’ (黑苦荞茶) di Daerah Sichuan, China.

Pudding daripada buckwheat.

Salad yang menggunakan buckwheat.

Ini pula adalah Risotto daripada buckwheat.

Serkam atau hampas daripada biji buckwheat pula digunakan sebagai isi kusyen dan bantal menggantikan bulu burung ataupun isian sintetik. Ia tidak mengalirkan haba seperti bahan isian sintetik. Walaupun ia dikatakan membantu mengelakkan kesan alahan, namun pemprosesan nya perlu memastikan ia menggunakan hampas kulit buckwheat yang bersih.


Satu lagi tanaman yang membawa manfaat untuk kita kenali kali ini. Walaupun ia kurang popular di negara kita, namun masih berpotensi untuk dijadikan sebagai sebahagian tanaman yang memberikan hasil. Buckwheat mungkin tidak diusahakan secara komersial di Asia Tenggara, namun ia merupakan tempat di mana ianya berasal. Maka dengan itu, ia mungkin dapat membuka peluang untuk para petani di sini pula.




Free Download



Isnin, 22 Mei 2017

Bagaimana Jagung Menjadi Tanaman Penting

Plastik yang dihasilkan daripada jagung.

Seperti yang kita ketahui, jagung merupakan bijirin yang paling banyak ditanam di seluruh dunia. Jagung-jagung ini bukanlah ditanam semata-mata untuk bahan makanan sahaja. Jagung mempunyai banyak lagi kegunaan lain hasil kajian yang dijalankan. Ini menjadikan permintaan jagung terus meningkat dan menambahkan lagi hasil pendapatan bagi pengusaha-pengusaha tanaman jagung.

Jagung-jagung yang dahulunya ditanam untuk tujuan sebagai bahan makanan manusia dan ternakan hari ini digunakan juga untuk menghasilkan pelbagai bahan lain yang mungkin tidak ramai yang  kita ketahui. Bahan utama yang dihasilkan oleh jagung adalah ethanol yang digunakan sebagai bahan api kenderaan. Ia merupakan antara kegunaan penting jagung yang dapat membantu mengurangkan harga bahan api fosil yang semakin meningkat naik.

Plastik yang dihasilkan sama seperti plastik biasa.

Proses penguraian plastik jagung (PLA).

Kajian terbaru pula berjaya menghasilkan plastik daripada jagung. Ini juga merupakan satu lagi kejayaan penting kerana plastik yang dihasilkan menggunakan jagung adalah ‘biodegradable plastiscs’, yang boleh dihuraikan secara semula jadi oleh alam tidak seperti bahan plastik yang dihasilkan menggunakan ‘petrochemicals’.

Plastik yang dihasilkan menggunakan jagung ini juga sesuai untuk menggantikan barangan yang diperbuat daripada plastik biasa. Peralatan makanan seperti pinggan, sudu, garpu, cawan dan pisau plastik boleh dihasilkan sama seperti plastik biasa. Cuma bezanya ia akan dihuraikan dengan selamat setelah digunakan. Maka tiada lagi bahan plastik yang akan terus tinggal di laut seperti yang berlaku kepada plastik-plastik yang digunakan sebelum ini.

Bukan sahaja peralatan makanan boleh dihasilkan menggunakan plastik jagung ini. Ia juga sesuai digunakan untuk menggantikan kegunaan lain bahan plastik seperti peralatan kegunaan harian, alat tulis, permainan kanak-kanak, permainan dan peralatan bayi dan segala peralatan rumah. Ia malah digunakan untuk menghasilkan ‘packing peanuts’, yang digunakan di dalam pembungkusan barangan. Tidak seperti polystyrene, ia boleh dicairkan di dalam air setelah ia selesai digunakan.

Plastik jagung semakin popular.

Plastik jagung semakin tersebar luas ke seluruh dunia.

Ia juga sesuai digunakan untuk menghasilkan beg plastik menggantikan beg plastik sedia ada. Beg-beg plastik yang digunakan hari ini sukar dibendung dan biasanya akan tinggal sebagai sampah-sarap yang mengotori persekitaran. Begitu juga dengan ‘golf tees’, yang dihasilkan menggunakan plastik jagung ini adalah selamat untuk digunakan di padang-padang golf, sebaliknya akan menjadi bahan organik kepada rumput apabila ianya mereput.

Banyak lagi kegunaan lain jagung yang digunakan secara tidak langsung di dalam industri. Apa yang jelas, penyelidikan mengenai potensi bahan pertanian dapat membantu bukan sahaja para petani malah industri lain untuk berkembang pesat selain memberikan hasil yang lebih kepada alam sekitar. Malah potensi jagung ini juga perlu sejajar pula dengan pembangunan penanaman jagung itu sendiri. Penghasilan baka yang lebih baik serta jentera pengurusan ladang jagung yang lebih efisien merupakan faktor penting kepada tanaman yang sempurna.


Jagung gergasi, baka jagung yang paling besar.

Penggunaan mesin membantu pengeluaran.

Mungkin kita tidak menyedari bahawa penghasilan pertanian di negara kita sendiri mempunyai pelbagai potensi untuk dimajukan. Hanya dengan cara ini pendapatan para petani dapat ditingkatkan selain barang yang dihasilkan juga mempunyai lebih manfaat. Semoga menjadi renungan.



Free Download



Arkib Blog