Isnin, 28 September 2020

Mengenali Daun Salam dan Ciri-cirinya

Daun salam (Syzygium polyanthum), merupakan tumbuhan liar di SE Asia.

Daun salam nama yang sering didengari dan sering dikaitkan dengan bay leaf. Namun daun salam yang digunakan dalam masakan Melayu, masakan India dan masakan Barat merupakan daun daripada 3 tumbuhan berbeza. Namun daripada perbezaan ini, ada di antara boleh menggantikan antara satu-sama lain, manakala dari jenis ‘Indian bay leaf’, pula mempunyai ciri-ciri yang sedikit berbeza, dari segi aromanya.
 
Daun salam atau bay leaf tidak digunakan seperti rempah-rempah atau herba yang lain. Ini kerana ia hanya dicampurkan di dalam masakan. Ia sendiri tidak boleh dimakan, namun kehadirannya di dalam masakan memberikan aroma yang berbeza. Ia boleh digunakan dalam bentuk segar mahupun kering. Namun kebiasaannya didapati di dalam bentuk kering, dan dikeluarkan setelah hidangan siap dimasak atau diasingkan semasa makanan dihidangkan.
 

Jenis-jenis Daun Salam

 
Oleh kerana daun salam kebiasaannya dikaitkan dengan ‘bay leaf’, yang sebenarnya merupakan tumbuhan dari jenis yang berbeza dari segi taburan geografi, mahupun jenis tumbuhan, Jadi kita mulakan dengan ‘bay leaf’ sendiri atau dikenali sebagai ‘bay laurel’, (Laurus nobilis, Lauraceae). Ia merupakan tumbuhan Mediterranean dan didapati di kawasan-kawasan di Turkey, Utara Syiria, Selatan Sepanyol, Utara-tengah Portugal, Utara Morocco, Kepulauan Canary dan di Madeira.
 
Manakala daripada kumpulan family yang sama juga terdapat di kawasan-kawasan yang lain, kebiasaannya kerana memiliki bentuk daun atau aroma yang sama kepada Laurus nobilis, antara contoh yang paling ketara adalah ‘California bay laurel’ (Umbellularia californica, Lauraceae), yang juga merupakan dari family Lauraceae. Dari keluarga laurel sendiri terdapat beberapa lagi spesies yang tumbuh di kawasan beriklim sederhana seperti ‘Cherry laurel’.

Bay laurel, (Laurus nobilis, Lauraceae) digunakan dalam masakan Barat.

Indian bay leaf, (Cinnamomum tamala, Lauraceae) dari jenis kayu manis.

Daun salam yang juga dikenali sebagai Indonesian bay leaf.

 
Janis kedua yang juga dikenali sebagai ‘Indian bay leaf’, atau ‘malabatrum’ (Cinnamomum tamala, Lauraceae) yang juga merupakan dari family Lauraceae. Indian bay leaf merupakan keluarga terdekat kepada pokok yang digunakan untuk menghasilkan kulit kayu manis atau Cinnamon (Cinnamomum verum). Jadi aroma yang dihasilkan daripada daun Indian bay leaf, juga adalah seakan-akan kulit kayu manis yang agak lemah.
 
Indonesian Bay Leaf’, atau lebih dikenali sebagai daun salam (Syzygium polyanthum, Myrtaceae), adalah merupakan daun yang digunakan dalam masakan-masakan Melayu dan kawasan serantau. Ia mempunyai pelbagai nama tempatan antaranya, serai kayu, samak kelat, manting, maselengan selain dikenali sebagai Daeng klua di Thailand. Daun salam digunakan di sekitar kepulauan tanah Melayu dan juga Thailand - di mana kawasan ini mempunyai ikatan kebudayaan yang kuat. Namun begitu ‘Indian bay leaf’ juga adakalanya digunakan kerana perpindahan budaya daripada migrasi yang ketara.
 
Satu lagi daun yang mempunyai kaitan terdekat dengan daun salam ialah ‘West Indian bay leaf’, (Pimenta racemosa, Myrtaceae) yang turut digunakan untuk membangkitkan aroma masakan. Ia juga turut digunakan untuk menghasilkan pati haruman dan wangian. Berbeza dengan daun salam biasa, daunnya mempunyai hujung yang agak bulat. Ia juga kini turut ditanam di kawasan-kawasan lain termasuk Oceania.

West Indian bay leaf, (Pimenta racemosa, Myrtaceae) mempunyai bentuk daun yang berbeza.

 

Kegunaan Daun Salam

 
Daun salam popular bukan sahaja kerana aroma yang dibangkitkan di dalam masakan, malah ia juga dikatakan mempunyai pelbagai khasiat kesihatan. Daun salam mudah digunakan dalam pelbagai masakan kerana ia tidak mengubah rasa masakan melainkan menambah aroma sahaja. Jadi ia digunakan dalam pelbagai jenis masakan termasuk masakan jenis lemak, masak asam, tumis, kari,  sup, nasi dan lain-lain jenis masakan. Jadi ia juga boleh dipadankan dengan bahan masakan seperti ayam, daging, ikan dan sayuran.
 
Seperti yang telah disebutkan di atas, daun salam boleh digunakan dalam bentuk segar, kering mahupun yang telah dihancurkan dengan kepingan kasar. Ini kerana ianya tidak dimakan bersama bahan yang dimasak. Namun begitu ia tidak memudaratkan sekiranya dimakan, malah pucuk salam biasa dijadikan ulaman yang dimakan bersama nasi.

Buah daripada pokok daun salam.

Nasi biryani antara masakan yang menggunakan Indian bay leaf.
 

Selain digunakan untuk masakan, daun salam juga mempunyai pelbagai khasiat kesihatan. Ia digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan terutamanya masalah berkaitan pernafasan seperti selesema dan batuk. Masalah berkaitan pencernaan yang juga membantu proses penurunan berat badan. Lain-lain khasiat kesihatan termasuk membantu mengubati masalah darah tinggi, mengawal kencing manis, meredakan stress, mencegah penyakit batu karang, menguatkan jantung dan pelbagai lagi khasiat kesihatan.
 
Walaupun daun salam digunakan secara meluas. Ia jarang ditanam secara komersial dan adakala sukar untuk didapati di sesetengah kawasan menunjukkan ia mempunyai potensi pasaran yang tinggi. Namun begitu anda masih boleh mendapatkan benih pokok anak salam dari beberapa penjual anak benih pokok seperti di kebuna.com.
 
Itu merupakan serba sedikit mengenai daun salam seperti yang biasa kita dengari, dan mungkin kita mempunyai pemahaman yang berbeza mengenai jenis-jenis tumbuhan tersebut. Namun begitu kita masih boleh mempelajari dan mendapatkan kebaikan daripada tumbuhan ini dari segi penggunaannya untuk masakan mahupun khasiat kesihatan.

Selasa, 22 September 2020

Keunikan Selasih, Sebagai Masakan dan Khasiat Kesihatan

Sweet Basil (Ocimum basilicum), atau juga dikenali sebagai selasih.

Selasih atau juga dikenali sebagai ‘Basil’, (Ocimum basilicum), bukanlah satu tumbuhan asing bagi masyarakat Melayu, Asia Tenggara malah di dunia. Namun begitu terdapat perbezaan antara selasih-selasih yang digunakan oleh masyarakat mengikut geografi, negara malah bangsa. Keunikan tumbuhan selasih ini, selain daripada fizikalnya yang berbeza, ia turut memberikan hasil masakan yang berbeza juga. Tumbuhan selasih telah digunakan sejak sekian lama, bukan sahaja untuk tujuan masakan malah sebagai khasiat perubatan.
 
Terdapat sekitar 160 jenis kultivar selasih di dunia dan hanya 60 jenis daripadanya merupakan antara yang biasa digunakan dalam masakan. Jadi apabila anda menyediakan masakan menggunakan selasih, anda juga perlu memastikan jenis daun selasih yang digunakan - untuk mendapatkan kualiti masakan seperti yang disediakan dalam masakan tersebut. Di negara kita (Malaysia) sendiri terdapat beberapa jenis daun selasih yang biasa digunakan iaitu yang dikenali sebagai kemangi, thulasi dan selasih Thai.
 
Mungkin kita dapat mengungkap beberapa perkara penting berkenaan daun selasih di dalam artikel ini. Walaubagaimanapun terdapat banyak lagi mengenainya yang perlu kita ketahui dari artikel-artikel yang lain.
 
Tidak semua jenis selasih mampu memberikan hasil masakan yang sama. Ada di ataranya, mempunyai aroma dari seakan jintan manis (anise) hingga ke aroma serai (lemon grass) dengan kekuatan yang berbeza pula. Jadi penggunaan daun selasih ini perlulah digunakan mengikut kesesuaian jenis selasih yang digunakan.

Tanaman selasih secara ladang.

Tanaman selasih di dalam bekas kecil.

Penanaman Selasih

 
Selasih merupakan tumbuhan herba yang mudah ditanam samada menggunakan keratan batang mahupun biji benih. Bagi tanaman untuk kegunaan sendiri ia bukanlah menjadi masalah besar kerana ia boleh ditanam di dalam di dalam bekas kecil daripada pollybag mahupun pasu. Manakala untuk tanaman komersial pula, ia boleh terus di tanam di atas tanah.
 
Ia memerlukan sumber cahaya, namun masih boleh ditanam selagi mendapat cahaya yang baik (di letakkan berhampiran tingkap dengan cahaya yang cukup). Dengan tanah yang mempunyai saliran yang baik dan pembajaan, anda tidak perlu risau kerana tumbuhan selasih jarang dijangkiti penyakit dan tidak mempunyai musuh dari jenis serangga seperti tumbuhan lain.
 
Manakala untuk tanaman komersial pula, ia merupakan tanaman jangka pendek dengan tuaian sebanyak 3 - 5 kali setahun. Penuaian dilakukan apabila pokok mencapai ketinggian antara 15-20cm. Pada peringkat ini kebiasaannya pokok mula mengeluarkan bunga dan daun-daun pada bahagian pokok mula menjadi kekuningan. Penanaman komersial kebiasaannya bukan sahaja bertujuan untuk kegunaan masakan malah untuk tujuan pengeringan dan penghasilan pati minyak selasih.
 
Kegunaan Masakan

Antara jenis-jenis daun selasih dari seluruh dunia.

 

Daun selasih sememangnya terkenal digunakan dalam masakan Timur mahupun masakan Barat. Ia boleh diambil sebagai ulaman segar selain sebagai tambahan di dalam masakan. Ia mudah disesuaikan dengan pelbagai jenis masakan samada ayam, daging, ikan mahupun sayuran. Terdapat banyak resepi yang menggunakan daun selasih sebagai bahan campuran antaranya:
 
- Ayam daun selasih
- Kepah tumis kunyit daun selasih
- Ikan goreng kicap daun selasih
- Kerabu daging daun selasih
- Masak bening tembikai
- Udang masak lemak daun selasih
- Nasi goreng daun selasih
-Asam tumis daun keladi daun selasih
- Maggi kari daun selasih
- Daging masak kicap daun selasih
- Kerabu timun dengan daun kemangi
 
Itu adalah sebahagian daripada masakan yang menggunakan daun selasih. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, daun selasih ini mudah disesuaikan dengan apa jua jenis masakan. Jadi ia digunakan dengan meluas dalam masakan Melayu mahupun masakan serantau.

Daun Kemangi atau 'Lemon Basil', yang biasa digunakan oleh masyarakat Melayu.

Thulasi, ruku atau 'Holy Basil' yang lebih popular dengan masyarakat India.

 

Manakala untuk masakan antarabangsa juga, daun selasih (basil) digunakan dengan pendekatan yang sama - iaitu padanan dengan pelbagai jenis makanan utama daripada ayam, daging, udang, sayuran dan sebagai bahan perasa. Antara masakan Barat yang menggunakan daun selasih adalah seperti berikut:
 
- Honeydew and fennel salad with basil
- Beef stir-fry with green beans and tomatoes
- Romesco pasta salad with basil and parmesan
- Tomato salad with warm basil dressing
- Bright and spicy shrimp noodle salad
- Pesto
- Basil-chip ice cream
- Hummus with sugar snap peas and basil
- Poached Arctic Char with basil-tarragon mayonnaise
- Drinks and cocktails
 
Seperti yang dapat dilihat, daun selasih digunakan dengan lebih meluas di dalam makanan barat yang turut merangkumi, minuman dan juga pencuci mulut seperti ice cream. Ini kerana masakan barat telah diolah lebih awal berbanding masakan-masakan dari Timur yang lebih menekankan resepi-resepi tradisional. Walaubagaimanapun hari ini, masakan dari Timur juga telah mula mengalami pengolahan yang drastik.

Pasta yang menggunakan daun selasih

Ayam lemon dengan daun selasih.

Ikan goreng kicap daun selasih.


 
Jenis-jenis Selasih
 
Oleh kerana daun selasih mempunyai senarai yang meluas, sebahagian daun selasih ini tidak mempunyai nama tempatan. Jadi ia akan disenaraikan di dalam Bahasa Inggeris ataupun nama saintifiknya sekiranya diketahui (oleh penulis). Jadi mari kita melihat beberapa jenis daun selasih yang biasanya digunakan dalam masakan Timur mahupun Barat.
 
- Great Basil (Ocimum basilicum)
- Kemangi, atau lemon basil (Ocimum × citriodorum)
- Thai Basil, sweet basil (Ocimum basilicum)
- Thulasi, atau holy basil (Ocimum tenuiflorum, formerly known as O. sanctum)
- Dark opal basil (Ocimum basilicum var. Purpureum)
- Cinnamon basil (Ocimum basilicum 'Cinnamon')
- Osmin purple basil (Ocimum basilicum), dengan daun berwarna purple.
- Corsican Basil
- Ajaka Basil
- Lime Basil
- Spicy Bush Basil
- Purple Ruffles
- Greek Basil
- Summerlong Basil
- African Blue Basil
- Ararat
- Cardinal Basil
 
Itu hanyalah sebahagian daripada jenis-jenis basil yang biasa digunakan dalam masakan. Jadi sekiranya anda mencuba resepi yang menggunakan basil, sebaiknya melihat jenis basil yang digunakan, untuk mendapatkan hasil masakan yang memuaskan.

Daun selasih dari jenis African Blue Basil.

Selasih dari jenis Cardinal Basil.

Daun selasih dari jenis Purple Ruffles.


 
Kegunaan Rawatan Kesihatan
 
Manakala untuk tujuan rawatan kesihatan pula, daun selasih ini telah lama digunakan masyarakat tempatan untuk merawat beberapa masalah kesihatan yang ringan antaranya adalah.
 
- gatal gatal pada tekak
- bertindak sebagai perangsang
- pelawas kencing
- mengeluarkan peluh
- merawat sakit kepala
- masalah pembuangan air besar bagi kanak-kanak
- kurap
- batuk
- rawatan selepas bersalin
- demam panas
- asma
- meredakan demam
- merawat keradangan usus
- penyakit kulit
- merawat kencing manis
- gangguan pernafasan
 
Aroma daun selasih ini mampu memberikan ketenangan, maka ia sesuai digunakan terus atau dalam bentuk pati minyak. Anda juga mungkin ingin mencubanya dalam bentuk teh.
 
Itu adalah sebahagian sahaja daripada keunikan dan kegunaan tumbuhan istimewa selasih atau basil. Semoga dengan ini ia akan menambah pengetahuan kita dan dapat memanfaatkannya untuk kegunaan sendiri mahupun keluarga. Anda juga mungkin ingin mencuba menanamnya untuk kegunaan keluarga mahupun komersial seterusnya membangunkan ekonomi. Apapun selamat mencuba. Jangan lupa tuliskan sebarang saranan berguna di ruangan komen.

Isnin, 7 September 2020

Halia, Herba Penting di Rumah

 
Halia digunakan dalam dua bentuk utama iaitu segar atau kering.

Halia merupakan herba yang biasa kita temui dalam masakan. Namun, sejauh manakah kita mengenali herba penting ini. Sekiranya kita kurang teliti, mungkin kita akan keliru dengan beberapa herba lain yang serupa seakannya seperti kunyit, lengkuas, cekur, bonglai dan beberapa lagi herba yang berasal dari famili tumbuhan yang sama.
 
Namun, tujuan kita kali ini adalah untuk melihat lebih lanjut mengenai halia dan kepentingannya kepada kita terutamanya sebagai bahan masakan dan serba sedikit mengenai khasiat perubatan. Halia digunakan bukan sahaja sebagai bahan penambah rasa dan aroma, malah khasiatnya bagi mengelakkan kembung selepas makan. Jadi halia, adakalanya ditambah sebagai tambahan tanpa mengubah rasa masakan tersebut.
 
Halia (Zingiber officinale) merupakan tumbuhan berbunga yang juga menghasilkan rhizome pada bahagian akarnya (seperti juga tumbuhan dalam famili yang sama seperti yang disebutkan di atas). Bahagian yang biasa digunakan bagi halia adalah rhizomenya, berbeza dari kunyit di mana, daunnya juga biasa digunakan sebagai bahan masakan.

Halia yang baru dituai dengan batang yang masih melekat pada rhizomenya.
 

Halia merupakan tumbuhan yang tidak berkayu, berketinggian sekitar 3 - 4 kaki tinggi. Ia akan membentuk rumpunan dan dalam masa yang sama menghasilkan rhizome sebagai penyimpanan makanan yang juga menghasilkan tunas baru untuk pembiakan. Bagi halia, rhizome inilah yang banyak digunakan untuk pelbagai kegunaan, selain digunakan juga untuk penanaman benih baru. Ia akan mengeluarkan tunas bunga apabila rumpun cukup matang dan pokok-pokok halia yang telah tua akan mula layu.
 

Halia telah digunakan sejak sekian lama oleh orang-orang Austronesian dan membawa bersama tumbuhan ini dalam penghijrahan mereka ke serata kawasan dari Madagascar ke sekitar Indo-Pasifik. Malah ia juga turut direkodkan penggunaannya di China di dalam penulisan “Analects” oleh Confucius, yang ditulis di China sekitar (475-221 BC). Menurut catatan tersebut, Confucius turut memakan halia dalam setiap hidangan. Manakala pada 406 AD, sami Faxian pula menulis mengenai halia yang digunakan sebagai bahan untuk mengelak ‘scurvy’, di atas kapal, bagi pelayaran kapal China. Selain itu, semasa pemerintahan Dinasty Song (960 - 1279), halia diimport dari negara-negara Selatan ke China.

Antara jenis-jenis halia di pasaran.

Penyebaran halia ke kawasan Mediteranean adalah dibawa oleh pedagang-pedagang Arab. Menjelang 150 AD, Ptolemy mencatatkan penghasilan halia di Ceylon (Sri Lanka). Halia diimport ke Eropah dalam bentuk segar mahupun yang telah dikeringkan sejak dari Zaman Pertengahan. Manakala pada Abad ke-14, harga bagi satu pound halia adalah bersamaan dengan seekor biri-biri.
 
Halia kebanyakannya di tanam di India, China, Nigeria, Nepal, Indonesia dan Thailand. Bagi kawasan-kawasan beriklim tropika, halia boleh ditanam dengan mudah samada di dalam pasu ataupun secara terus di atas tanah. Ia mudah tumbuh dengan baik pada tanah dengan keadaan saliran yang baik.
 
Halia yang sejak dahulunya digunakan bukan sahaja di dalam masakan, malah untuk tujuan merawat masalah kesihatan tertentu seperti mual (nausea), ketidak hadaman, tekanan darah & asthma, kolestrol, kanser, anti bakteria, migraine dan lain-lain lagi. Hari ini ia merupakan antara bahan penting di dalam isi rumah. Ia digunakan termasuk sebagai bahan perasa minuman dan manisan.
 
Penggunaan Halia Dalam Masakan

Halia sangat penting dalam jenis-jenis masakan 'stir-fry'.

 

Halia segar selalunya digunakan di dalam masakan melalui beberapa cara;
 
- Secara keseluruhan dengan tanpa membuang kulit yang dimasukkan terus ke dalam masakan seperti sup dan nasi.
- Dijadikan jeruk sebagai bahan perasa di dalam masakan Jepun dan India.
- Dicincang seperti digunakan dalam masakan ‘stir-fries’, bahan peram dan sapuan ke atas daging dan campuran untuk sos salad (vinaigrette).
- Diketuk untuk bahan campuran di dalam masakan ‘chutney’, turut dicampur bersama bawang putih di dalam masakan India seperti ‘chana masala’.
 
Penggunaan halia segar dan penggunaan halia kering tidak sesuai untuk menggantikan antara satu sama lain. Penggunaan halia segar, sesuai untuk masakan-masakan Asia. Manakala penggunaan halia kering lebih sesuai digunakan dalam hidangan kering digabungkan dengan rempah-rempah lain seperti kayu manis di dalam penyediaan biskut. Malah serbuk halia juga digunakan di dalam penyediaan teh halia.
 
Antara Resepi Yang Menggunakan Halia
 
Penggunaan halia segar dala,;
 
- Pho ayam ataupun sup-sup ayam yang lain.
- Beer halia, ataupun minuman-minuman berasaskan halia seperti teh halia.
- Dada
ayam yang diperam dengan santan dengan halia.
- Dressing yang menggunakan halia dan kicap, bijan yang dipanggang, perahan lemon, gula perang atau maple syrup.
- Gad pai king (masakan ayam halia ‘stir-fry’ cara Thai)
- Gari (jeruk halia Jepun)
 
Penggunaan halia kering dalam;
 
- Pie labu, squash atau keledek.
- Gingerbread
- Gingersnaps
- Lemon-ginger scones
 
Manisan yang menggunakan halia
 
- Epal bakar (baked apples)
- Pear muffins

Gari atau jeruk halia makanan Jepun.

Beer berperisa halia dari German.

 
Itu adalah antara sebahagian kecil penggunaan halia. Bagi anda yang
biasa ke dapur, anda pasti tahu bahawa halia boleh digunakan dalam hapir kebanyakan masakan samada, sayuran, daging, ikan, nasi, bubur ataupun kuih-muih. Jadi tidak hairanlah sekiranya halia sentiasa menjadi sebahagian daripada senarai barangan semasa membeli barangan di pasaraya.
 
Maka dengan pengetahuaan ini, herba halia akan lebih dihargai. Maka ia sepatutnya berada di setiap halaman atau pasu rumah anda, seperti juga herba-herba lain yang penting dalam kegunaan harian. Walaupun harga halia boleh dikatakan murah, namun
memiliki halia sendiri di rumah dapat menambahkan kepuasan bagi pemiliknya.
 

Ahad, 23 Ogos 2020

Tandas Bersih, Keluarga Sihat

Tandas yang bersih adalah tandas yang dijaga dengan baik.

Tajuk yang diberikan keutamaan kerana kepentingannya kepada kesihatan kita semua. Ini kerana, rata-ratanya kita hari ini mempunyai tandas yang berada di dalam rumah atau berhampiran dengan rumah. Tidak seperti suatu masa dahulu dimana, tandas didirikan agak jauh.

Namun begitu, apa yang penting adalah kebersihan tandas dapat memastikan isi rumah berada dalam keadaan yang selamat dan terhindar daripada penyakit. Jadi kali ini, kita meninjau bagaimanakah caranya untuk memastikan tandas berada dalam keadaan bersih selain menjimatkan masa dalam untuk kerja-kerja pembersihannya.

Kerja-kerja pembersihan tandas bukanlah kerja yang sukar, apabila kita mengamalkan cara penggunaan dan pembersihan yang bertul. Kerja pembersihan tandas juga adalah kerja yang dilakukan secara berterusan sama seperti bahagian-bahagian lain di dalam rumah. Tandas yang bersih, menjadikan ia selesa digunakan dan lebih mudah dibersihkan.

Bagi memastikan tandas anda sentiasa mudah untuk dibersihkan, pastikan anda melakukan dua peringkat pembersihan.

Pertama: Pembersihan ringkas yang dilakukan selepas penggunaan (atau secara harian).

Pembersihan selepas penggunaan tidaklah begitu sukar. Ini kerana, pada peringkat ini anda hanya perlu membersihkan bahagian yang mudah sahaja. Seperti mengelap dinding bilik mandi yang dibasahi oleh percikan daripada air mandian. Air ini selain mengandungi bahan yang menjadi penggalak pertumbuhan bakteria dan kulat, ia juga menyebabkan keadaan di dalam bilik air menjadi lembab. Pembersihan ringkas ini tidak perlu menggunakan sabun - melainkan sekiranya terdapat kotoran yang perlu dibersihkan.

Caranya mudah sahaja. Pastikan anda sentiasa mempunyai kain untuk mengelap di dalam bilik air. Selain itu, penyapu tarik air (floor wiper) juga dapat memudahkan kerja-kerja ini. Dengan kata lain, elakkan saki baki kotoran selepas mandian tertinggal di dinding dan pastikan bilik air tidak terlalu basah (dan biarkan ia kering melalui pengaliran udara).

Kain pengelap amat penting bagi memastikan permukaan yang betul-betul bersih dan kering.

Penyapu air, dapat memudahkan kerja mengeringkan air di dalam tandas/bilik mandi.

Kedua: Pembersihan rapi yang dilakukan secara mingguan dengan menggunakan bahan pencuci dan lebih menyeluruh.

Cucian rapi ini bolehlah dilakukan secara mingguan dengan memberikan tumpuan yang lebih menyeluruh pada semua bahagian tandas. Cucian mingguan ini juga tidaklah terlalu sukar sekiranya anda dapat melakukannya secara tetap.

Gunakan bahan pencuci yang sesuai untuk jenis kotoran tertentu. Namun elakkan penggunaan bahan pencuci yang berlebihan kerana ianya merupakan satu pembaziran dan boleh mendatangkan bahaya kepada anda dan juga alam sekitar.

Gunakan juga peralatan yang sesuai, seperti berus tandas, berus kecil untuk bahagian-bahagian yang sukar dibersihkan, dan juga berus dengan tangkai yang lebih panjang untuk bahagian-bahagian yang agak tinggi. Penggunaan peralatan yang sesuai ini memudahkan kerja-kerja anda - yang menjadikan kerja ini jauh lebih mudah. Elakkan peralatan yang mencalarkan permukaan dinding tandas - kerana kotoran boleh tertinggal di dalam kesan calar daripada kerja-kerja pembersihan ini.

Peralatan perlindungan seperti sarung tangan dan apron dapat mengelakkan anda daripada terdedah kepada bahaya bahan pencuci dan juga kotoran semasa mencuci.

Berus kecil dapat membersihkan celahan yang sukar.

Berus tandas tidak perlu terlalu keras kerana ia boleh mencalarkan.

Punca-punca tandas menjadi kotor.

Ketahui punca-punca tandas anda menjadi kotor. Dengan mengurangkan punca-punca ini, maka kebersihan tandas anda dapat dikekalkan lebih lama. Antaranya adalah.

Permukaan dinding yang sukar dibersihkan - sebab itu, sebaiknya dinding dan lantai tandas atau bilik mandi perlu menggunakan jubin yang sesuai. Ini bagi mengelakkan ia memerangkap kotoran atau lembapan yang menyebabkan ia sukar dibersihkan.

Keadaan lembab yang berlanjutan - lembapan daripada penggunaan tandas dan bilik mandi menyebabkan pertumbuhan kulat dan bakteria. Keadaan lembab ini perlu dikurangkan dengan memastikan pengaliran air yang baik (tidak ada air bertakung di dalam bilik mandi). Selain itu, anda juga boleh memastikan bilik air sentiasa kering dengan mengelap secara ringkas selepas menggunakan bilik mandi (walaupun ia kelihatan rumit - namun ia mungkin kurang daripada 2 minit).

Tandas bersih adalah perkara yang mudah dengan penjagaan yang betul.

Aliran angin yang baik - aliran angin yang baik, amat penting bagi tandas. Aliran angin ini pula perlulah mengalir ke luar rumah bagi memastikan bauan yang kurang enak tidak masuk ke dalam rumah. Aliran angin ini juga turut memastikan saki baki lembapan dapat mengering dengan mudah.

Kebersihan tandas bukanlah satu perkara yang sukar untuk dicapai. Melalui perancangan yang baik, serta pengamalan teknik pembersihan yang betul, ianya dapat dinikmati oleh semua. Sekiranya anda merancang untuk membina rumah, pastikan perancangan tandas anda menggunakan bahan yang betul. Manakala bagi yang rumah yang telah siap pula, anda boleh mengubahsuai bilik air dan tandas supaya lebih mudah untuk dibersihkan.

Tandas yang bersih memastikan penghuni rumah berasa dalam keadaan yang sihat. Selain itu ia juga memastikan rumah anda menjadi lebih selesa dengan pengaliran udara yang segar (tidak terganggu dengan udara daripada bilik air/tandas. Ianya bukanlah daripada penggunaan bahan atau peralatan yang mahal, tetapi kesesuaian bahan dan amalan kebersihan yang baik.

Rabu, 12 Ogos 2020

Cili Tetap Digemari Walaupun Pedas Mengalirkan Air Mata


Cili merupakan antara bahan campuran masakan yang penting. Ia juga boleh dikategorikan sebagai sebahagian kumpulan daripada rempah-rempah yang dijadikan bahan perasa masakan dalam masa yang sama membantu makanan daripada cepat rosak. Walaupun cili terkenal di sekitar Asia Tenggara bagi negara-negara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Cambodia, Laos, Philippines dan Myanmar, pernahkah anda tertanya, sejauh manakah cili digunakan oleh masyarakat lain di serata dunia?

Cili bukanlah unik bagi masyarakat di sekitar Asia Tenggara sahaja. Walaupun kebiasaannya kita dapati pelancong-pelancong dari luar negara tidak tahan dengan makanan yang pedas di negara kita. Namun tidak bermakna semua bahagian dunia lain juga tidak tahan dengan makanan yang pedas. Selain itu juga, cili yang terdapat di negara-negara lain juga sedikit berbeza, malah cili yang terpaling pedas juga adalah dihasilkan dari negara yang pada asalnya tidak mengamalkan makanan yang pedas, iaitu Amerika Syarikat.


Walaupun rasa pedas pada cili yang menjadikan ianya digunakan dalam masakan. Cili juga dapat menambah aroma masakan dengan tambahan rasa unik daripada jenis-jenis cili yang digunakan. Oleh sebab itu, jika masakan yang biasanya disediakan dengan cili api, mempunyai rasa yang berbeza sekiranya dimasak menggunakan cili besar (ataupun cili dari jenis yang lain). Dari sinilah keunikan masakan seperti ‘masak lemak cili padi’ dihasilkan. Jadi, mengenali jenis cili dan ciri-cirinya amat penting sekiranya anda mempunyai minat yang mendalam mengenai dunia masakan.

Sekiranya anda mengenali cili-cili yang sesuai dengan masakan yang akan disediakan, makanan tersebut tentulah lebih enak kerana mempunyai rasa yang sesuai dengan kepedasannya - atau tidak pedas langsung, sekiranya anda menggunakan jenis cili yang tidak pedas. Malah dengan kepesatan ilmu pertanian (botani) membolehkan banyak spesis cili baru yang bukan sahaja sesuai untuk masakan, malah ada diantaranya yang turut sesuai dijadikan tanaman hiasan.

Cili benggala atau 'Bell Pepper' boleh dimakan seperti epal.

Asal Cili.

Cili dikatakan berasal daripada Mexico, seperti juga tumbuhan-tumbuhan lain seperti nanas, koko, getah, kentang, tebu dan lain-lain yang berasal dari Benua Amerika dan kemudiannya tersebar ke serata dunia. Penyebaran tumbuhan cili ini menjadi bertambah mudah kerana ianya turut disebarkan oleh haiwan seperti burung yang menjadikannya sebagai makanan, membolehkan ia tumbuh di serata kawasan jauh dari tempat asal di mana ianya ditanam.

Cili Mexico yang terkenal iaitu, Cili Tobasco (Capsicum Frutescens) merupakan cili yang terkenal diserata dunia kerana digunakan dalam penghasilan sos cili Tobasco. Rupanya dan rasanya mirip sekali dengan cili api atau cili padi dan adakalanya juga dikenali sebagai cili burung. Cili ini digunakan oleh Syarikat McIlhenny dalam penghasilan sos cili nya yang dikenali sebagai “Tobasco”.

Selain itu juga terdapat lebih banyak spesis cili yang terdapat di Benua Amerika terutamanya di Amerika Selatan, dengan pelbagai rupa dan warna - yang mungkin selama ini kita tidak menyangka kewujudan cili seperti ini. Jadi diharap, artikel ini sedikit sebanyak membuka persepsi anda mengenai cili daripada apa yang kita ketahui sebelum ini.

 


Kegunaan Cili

Black pearl pepper - mempunyai warna yang unik.

Walaupun cili dikenali kerana kepedasannya, Cili benggala adalah bersifat sebaliknya. Dengan unit kepedasan pada 0 SHU, ia boleh dimakan terus seperti epal. Cili ini bagaimanapun mempunyai khasiat pemakan yang baik, malah mempunyai warna yang menarik dengan keunikan khasiat pemakanan yang unik. Cili benggala digunakan sebagai penambah rasa dalam makanan selain memberi daya penarik kerana warnanya yang cantik.

Selain buahnya, daun cili juga digunakan di dalam masakan oleh sebahagian masyarakat didunia seperti di Philippines dalam penyediaan ‘dahon ng sili’. Manakala di Korea pula, daun cili mungkin digunakan di dalam penyediaan ‘kimchi’. Begitu juda dengan Jepun, daun cili turut digunakan sebagai bahan masakan, selain digunakan di dalam kaedah pemeraman yang dikenali sebagai ‘tsukudani’. 

Selain sebagai bahan masakan, pokok cili adakalanya juga menjadi tanaman hiasan. Sesetengah cili samada mempunyai daun yang cantik ataupun buah dengan warna atau bentuk yang menarik. Cili seperti ‘Black pearl pepper’, mempunyai warna daun yang berwarna coklat gelap dengan buah berbentuk bulat. Manakala ‘Black Hungarian pepper’, mempunyai daun berwarna hijau dengan urat daun dan buah yang berwarna ungu gelap ketika muda. Saiz buahnya pula adalah agak besar seperti jalapeno. Berbeza dengan ‘Bishop's crown pepper’, yang mempunyai bentuk buah yang amat unik merupakan faktor ianya dijadikan sebagai hiasan.

Sesetengah cili amat menarik sebagai tanaman hiasan.
 

Cili-cili lain di dunia

Mungkin anda pernah mendengar mengenai cili yang terpaling pedas di dunia dihasilkan melalui teknik pembiakan silang baka-baka cili yang sememangnya pedas. Apa yang menarik, bagaimanakah kepedasan cili diukur? Adakah dengan memakan cili tersebut atau adakah kaedah saintifik yang yang lebih tepat digunakan untuk tujuan tersebut.

Unit asal yang digunakan untuk mengukur kepedasan cili dikenali sebagai SHU (Scoville Heat Units). Pada asalnya, unit ini dikira dengan mencairkan esktrak cili di dalam larutan sirap gula sehingga kesan kepedasannya hilang. Namun kaedah yang lebih moden adalah dengan melalui kaedah,  high-performance liquid chromatography (HPLC), iaitu dengan mengukur kandungan ‘capsaicinoid’, di dalam sesuatu jenis cili. 

Sebagai Contoh, berikut adalah beberapa jenis cili dengan kepedasannya di dalam unit SHU:

Bell pepper

0 SHU

New Mexico green chile

0–70,000 SHU

Fresno, jalapeño

3,500–10,000 SHU

Cayenne

30,000–50,000 SHU

Piri piri

50,000–100,000 SHU

Habanero, Scotch bonnet, bird's eye

100,000–350,000 SHU

 

Pepper X merupakan cili terpedas di dunia.


Carolina Reaper dihasilkan oleh penanam cili Pepper X sebelumnya.

Jadi tibalah kepada soalan yang dinanti-nantikan iaitu, cili apakah yang terpaling pedas di dunia? Jawapannya adalah ‘Pepper X’, yang dihasilkan oleh penanam cili Ed Currie dari South Carolina, US. Peper X mempunyai kepedasan sebanyak 3.18 Juta SHU. Selain itu Ed Currie juga pernah menghasilkan ‘Carolina Reaper’ yang mempunyai unit kepedasan pada 2.2 Juta SHU.

Selain Ed Currie, seorang lagi penanam cili dari Wales, United Kingdom iaitu Neal Price, pernah menghasilkan cili yang dikenali sebagai ‘Dragon’s Breath’ dengan kepedasan pada unit 2.48 Juta SHU. Terdapat beberapa jenis cili lagi yang mempunyai kepedasan melebihi 1 Juta SHU, dan menghasilkan cili terpedas ini merupakan antara minat berterusan daripada penanam-penanam cili.

Potensi tanaman cili

Cili padi sentiasa mendapat permintaan tinggi di Malaysia.

Oleh kerana kepentingan cili kepada masyarakat, terutamanya di dalam masakan dan kegunaannya di dalam perubatan alternatif, cili merupakan antara tanaman yang sentiasa mempunyai potensi pasaran. Cili padi terutamanya, sentiasa mempunyai permintaan pasaran yang tinggi kerana ianya tidak ditanam secara besar-besaran seperti cili besar, cili hijau dan cili benggala. Cili padi mempunyai rasa yang unik kerana kulit buahnya yang nipis berbanding dengan cili akar yang biasanya boleh didapati dengan lebih mudah.

Sekiranya tanaman cili ingin dipertingkatkan, kaedah penanamannya perlulah diperbaiki (mungkin juga melibatkan sedikit pengubah suaian baka), bagi meningkatkan potensi tanaman. Selain itu juga, potensi cili tidak diterokai sepenuhnya bagi meningkatkan lagi nilai pasaran seperti penghasilan produk baru ataupun penggunaannya di dalam bidang perubatan. Apapun, cili tetap merupakan gandingan hebat dalam kebanyakan makanan kita orang-orang SE Asia.


Arkib Blog