Monday, August 29, 2016

Bagaimana Kertas Mencorak Budaya Jepun

Origami merupakan budaya Jepun yang popular menggunakan kertas.

Walaupun kertas mula dicipta di China sekitar 105 A.D. oleh Cai Lun, penghasilan kertas merebak dengan cepat ke bahagian-bahagian lain terutamanya Jepun dan Korea. Ia seterusnya mencorakkan budaya hidup masyarakat setempat terutamanya masyarakat Jepun yang mempunyai pelbagai keunikan budaya menggunakan kertas.
Jepun mempunyai kertasnya sendiri yang dikenali sebagai washi (和紙), yang bermaksud waJepun’ dan shikertas’. Kertas washi dihasilkan daripada serat kulit kayu gampi, tumbuhan mitsumata  (Edgeworthia chrysantha), atau  kozo (paper mulberry). Ia juga adakalanya dihasilkan menggunakan buluh, hemp, padi ataupun gandum. Kertas ini dihasilkan menggunakan tangan secara tradisioanal oleh keluarga-keluarga di Jepun menjelang 1800’s. Pada masa tersebut terdapat sekitar 100,000 keluarga yang menghasilkan kertas menggunakan tangan ini. Ia bagaimanapun semakin berkurangan apabila persaingan dari negara-negara lain semakin meningkat berikutan penggunaan mesin-mesin moden.

Sugiharagami (杉原紙), sejenis kertas "washi".

Edgeworthia chrysantha atau mitsumata.
Penghasilan washi secara tradisional dilakukan menjelang musim sejuk bagi memastikan air digunakan adalah sejuk untuk mengelakkan bakteria yang boleh menyebabkan pereputan serat yang digunakan. Ia juga membantu untuk menghasilkan kertas yang lebih bermutu. Selain itu ia juga memberikan para petani pendapatan tambahan ketika musim sejuk.
Proses penghasilan washi bermula dengan batang-batang (kozo, gampi atau mitsumata) yang dicantas dan direndam. Kulitnya akan diasingkan sebelum kulit dalamnya pula dikeluarkan untuk dibersihkan dan diketuk dan ditegangkan.
Serat yang yang telah diketuk ini kemudiannya dimasukkan ke dalam bahan cecair  yang dicampurkan tororo-aoi (akar bunga raya yang ditapai) untuk menambahkan kelikatan yang kemudiannya membentuk pes.
Pes ini kemudiannya akan diratakan di atas jejaring buluh untuk membentuk kertas. Kertas-kertas kemudiannya akan diasingkan sebelum ianya dikeringkan di atas kayu di bawah matahari atau di dalam bangunan menggunakan pemanas.
Washi mempunyai banyak kelebihan tersediri memandangkan ia dihasilkan secara tradisional membolehkan ia menghasilkan kertas yang lebih tahan lasak untuk kegunaan-kegunaan yang tidak boleh digunakan untuk kertas biasa. Teksturnya juga memberikan kertas washi penampilan tersendiri dan amat sesuai digunakan sebagai kad ucapan atau buku catatan peribadi. Kertas-kertas washi juga merupakan kertas yang kurang berasid dan tahan untuk tempoh yang lebih lama. Malah terdapat kertas washi yang masih bertahan setelah 1,000 tahun dihasilkan.

Ukiyo-e, merupakan seni blok cetakan.

Sajak "waka", oleh Ōshikōchi Mitsune di atas kertas suminagashi.
Kegunaan kertas washi boleh dilihat dalam kebanyakan hasil kerja tangan masyarakat Jepun selain hanya digunakan untuk tujuan penulisan dan cetakan. Walaupun Jepun terkenal dengan seni lipatan kertas yang dikenali sebagai origami, penggunaan washi meliputi lebih dari itu antaranya termasuk; chiyogami, ikebana, katazome, patung kertas, jahitan, shibori, shodo, sumi-e, sumingashi, ukiyo-e, washi eggs dan chigirie. Malah ia turut digunakan dalam banyak perkara lain seperti untuk membuat pakaian, masakan, perabut, barangan dan digunakan juga di dalam perayaan-perayaan khas. Tidak lupa juga kertas digunakan untuk membuat dinding bilik yang ringan.

Begitu sekali kertas dimanfaatkan di Jepun. Apa yang menarik, kertas-kertas washi yang dihasilkan amat menarik dengan penuh kesenian. Walaupun ia tidak dapat menandingi harga murah kertas-kertas yang dihasilkan menggunakan mesin moden, kertas washi tidak dapat diganti dengan kertas biasa. Semoga kita mencontohi kegigihan masyarakat Jepun dalam memperkayakan budaya mereka dengan keunikan budaya kita masing-masing. 

Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...