Memaparkan catatan dengan label Japan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Japan. Papar semua catatan

Ahad, 26 Jun 2016

Mengenali Lebih Dekat Tumbuhan Wasabi

Daun dan batang wasabi segar.

Wasabi (Eutrema japonicum atau Wasabia japonica) amat terkenal sebagai gandingan makanan Jepun iaitu sushi. Namun begitu oleh kerana pekembangan idustri makanan ini yang begitu pesat, wasabi yang digunakan kebanyakannya bukanlah dari jenis yang asli melainkan bahan gantian yang diperbuat untuk menggantikan wasabi. Jadi bagaimanakah wasabi sebenarnya, dan mengapa ia tidak dihidangkan bersama dengan sushi yang kita nikmati?

Wasabi berasal dari famili tumbuhan Brassicaceae yang juga termasuk kobis, horseradish dan mustard. Wasabi juga sebenarnya dikenali sebagai Japanese horseradish. Horseradish merupakan tumbuhan yang berbeza daripada wasabi, namun ia juga merupakan bahan utama yang digunakan untuk menggantikan wasabi – dengan erti kata lain, wasabi yang kita gunakan untuk sushi di pasaran diperbuat daripada bahan ini. Kedua-dua bahan ini menghasilkan rasa sengit yang amat kuat sehingga meruap ke bahagian hidung berbanding mulut dan lidah seperti cili.

Mengapa Wasabi Sukar Diperolehi?

Wasabi tumbuh berhampiran kawasan anak-anak air dan sungai di kawasan-kawasan lembah di Jepun. Tidak seperti tumbuhan lain, penanaman wasabi perlu dilakukan berhampiran punca air, namun begitu ia tidak ditanam di dalam air seperti teratai. Penggunaan wasabi pada asalnya adalah bertujuan untuk mengelakkan keracunan makanan daripada memakan ikan mentah – dan bukan kerana rasanya yang pedas. Ia dikatakan mula digunakan di daerah “Nara prefecture”, terletak di Selatan Jepun.

Bahagian yang digunakan pada wasabi adalah batangnya walaupun ramai yang menyangka ianya  adalah bahagian akar atau rizom. Ini kerana kesan daun yang ditinggalkan pada batang tersebut dapat dilihat dengan jelas sebelum ianya digunakan.

Penggunaan wasabi segar hanya disediakan apabila ia akan digunakan (dimakan). Ini bermakna ia akan diparut dan digunakan dalam tempoh 15 minit. Rasanya akan berubah selepas tempoh tersebut. Jadi penggunaan wasabi segar bukanlah mudah dan salah satu cara untuk mengekalkan kesegarannya adalah meletakkannya di antara nasi dan ikan bagi megelakkannya daripada terdedah.

Ladang wasabi di Jepun.

Wasabi yang dijual di dalam tiub.
Wasabi di pasaran dihasilkan menggunakan horseradish.

Daun dan bunga horseradish.

Wasabi Tiruan

Wasabi merupakan tumbuhan yang sukar ditanam selain mempunyai permintaan yang tinggi. Oleh sebab itu wasabi tiruan dihasilkan dengan menggunakan campuran horseradish, mustard, kanji dan bahan pewarna makanan – ia bagaimanapun tetap dilabelkan sebagai wasabi. Horseradish menghasilkan rasa sengit seperti juga wasabi kerana mengandungi bahan yang sama iaitu isothiocyanate. Perbezaan yang paling ketara antara kedua bahan ini adalah warnanya yang lebih terang berbanding wasabi yang mempunyai warna hijau semulajadi.

Wasabi Asli

Wasabi asli kini cuba ditanam di luar Jepun termasuklah di Amerika Utara seperti United States dan juga Canada. Usaha ini adalah kerana wasabi asli mempuyai nilai yang lebih tinggi, rasa yang lebih sedap dan daunnya juga boleh dimakan (dijadikan salad). Walaupun ianya berjaya ditanam, namun ia dikatakan sebagai antara tanaman yang paling sukar untuk ditanam secara komersial (terutama di luar habitat asalnya; Jepun). Harga wasabi segar boleh mencapai sehingga USD160 (£98) sekilogram pada harga borong – merupakan antara tanaman yang memberikan pulangan yang tinggi.

Menurut seorang penanam wasabi iaitu Mr Oates, yang berusaha selama beberapa tahun (6 tahun) hanya untuk mendapatkan benih wasabi yang boleh ditanam. Tumbuhan ini kemudiannya ditanam di dalam rumah hijau di University of British Columbia (UBC), Vancouver yang juga merupakan tempat dimana beliau bertugas.

Tanaman wasabi di Vancouver di dalam rumah hijau.

Wasabi segar mempunyai harga yang tinggi.

Daun wasabi juga enak dijadikan salad.

Cabaran menanam wasabi adalah ianya merupakan tumbuhan yang sensitif kepada kelembapan, penggunaan baja dan sebagainya. Tanaman ini boleh mati pada bila-bila peringkat dengan sebab-sebab yang sukar difahami. Malah ia juga mudah dijangkiti penyakit apabila ditanam dalam kuantiti yang besar. Sehingga hari ini, kaedah tanaman wasabi dapat dihasilkan dengan lebih baik tanpa masalah seperti sebelumnya.

Walaubagaimanapun penanaman wasabi juga memerlukan perbelanjaan yang besar sebelum ianya mendatangkan hasil. Namun begitu Mr Oates turut memberikan bantuan berkenaan dengan kaedah penanaman wasabi dengan pembelian lesen untuk mendapatkan kaedah tanaman ini pada harga $70,000. Manakala pebelanjaan tanaman ini pula adalah sekitar $700,000 untuk setiap ekar. Namun ianya merupakan satu pelaburan yang memberikan pulangan yang setimpal kerana bekalan wasabi amatlah sukar diperolehi.

Jadi sekarang anda tahu betapa pentingnya penggunaan teknologi dalam pertanian. Walaupun sukar ia tidak bermakna tidak boleh dilakukan. Cuma sejauh mana usaha anda menentukan samada ianya akan berjaya ataupun tidak. Bagi anda yang ingin merasai wasabi asli setakat ini mungkin perlu ke Jepun, kerana wasabi segar sukar didapati di luar negara tersebut. Bagi yang berminat cuba menanamnya pula, mulakanlah usaha anda; mungkin suatu hari nanti kita dapat merasa wasabi yang dihasilkan di Malaysia pula.






Free Download



Ahad, 10 April 2016

Ladang Di Dalam Bangunan Yang Lebih Produktif

Hasil tanaman yang lebih baik melalui 'indoor farming'.

Teknologi pertanian berubah dengan pantas dengan adanya rekaan mesin-mesin pertanian yang boleh membantu mempercepatkan lagi kerja-kerja penyediaan ladang, penanaman, penuaian dan pemprosesan. Malah perkembangan ilmu dan teknologi lain turut membantu untuk meningkatkan lagi hasil pertanian. Sehubungan itu teknologi pertanian terus berubah dan menjadi lebih efektif sepanjang masa.

Pertanian di dalam bangunan merupakan antara teknologi pertanian yang terbaru dengan menggunakan cahaya tiruan bagi menggantikan cahaya matahari. Melalui kaedah ini, hasil pertanian bukan sahaja dapat digandakan malah menggunakan ruang dan tenaga kerja yang jauh lebih rendah. Kaedah pertanian ini tidak mungkin dapat dihasilkan tanpa penglibatan kesemua teknologi yang dikuasai manusia hari ini termasuk ilmu tumbuhan (biologi), elektronik, perkomputeran, mekanikal dan sebagainya. Namun ia masih lagi berada di peringkat awal dan ruang pembaik pulihan teknologi ini masih terbuka luas untuk diterokai.

Penggunaan cahaya optimum untuk tumbesaran tumbuhan.

Persekitaran yang bersih untuk menjamin kualiti tanaman.

Penanaman bertingkat meningkatkan pengeluaran.

Ladang yang dimaksudkan adalah ladang yang didirikan di dalam sebuah bangunan kilang semikonduktor milik Sony yang ditinggalkan berikutan daripada gempa bumi. Bangunan ini kemudiannya digunakan oleh Shigeharu Shimamura sebagai ladang di dalam bangunan yang mampu mengeluarkan hasil yang sangat memberangsangkan. Sayuran yang dihasilkan di dalam bangunan ini adalah bebas sepenuhnya daripada pencemaran bahan toksid mahupun racun serangga.

Melalui keadaan terkawal, proses tumbesaran juga dapat dipercepatkan. Di dalam bangunan ini suhu, cahaya, air dan kelembapan udara dapat dikawal sepenuhnya bagi membantu tumbuhan membesar degan lebih pantas. Ruang penanaman bertingkat pula dapat menggandakan jumlah tanaman per keluasan yang digunakan. Malah air yang digunakan untuk proses pembesaran juga terus melalui kitaran yang sama tanpa diserap oleh tanah (penggunaan air yang lebih menjimatkan).

Shigeharu Shimamura dengan usaha gigihnya.

Hasil tanaman yang sekata melalui persekitaran terkawal.

Bagi Shigeharu Shimamura, usaha untuk membina ladang di dalam bangunan ini bermula apabila beliau melawati ‘kilang sayuran’ pada Expo ’85 world’s fair di Tsukuba, Japan. Minatnya ini diteruskan dengan mengikuti bidang phisiology di Tokyo University of Agriculture dan pada tahun 2004 memulakan syarikat pertanian dalaman yang dipanggil Mirai – yang bermaksud ‘masa depan’.

Teknologi pertanian ini dijangka akan menjadi salah satu teknik pertanian terpenting untuk masa hadapan dalam usaha meningkatkan pengeluaran dengan kos yang lebih murah. Ia juga boleh membantu apabila bencana menimpa di sesuatu kawasan di mana sumber makanan menjadi sukar untuk didapati.


Teknologi pertanian seperti ini perlu diterokai oleh petani-petani moden sekiranya ingin terus bersaing di dalam dunia pertanian. Selain daripada teknologi penanaman rumah hijau, aquaphonics, aerophonics yang kini turut digunakan di negara-negara membangun seperti Vietnam contohnya. Ini kerana hasil yang berbeza hanya boleh diperolehi dengan kaedah yang berbeza pula. Sentiasa memperbaiki kaedah yang digunakan bagi membolehkan anda terus bersaing di dalam bidang yang diceburi.






Free Download



Ahad, 7 Februari 2016

Rekod Terbaru Keretapi Maglev Jepun

Keretapi Maglev Jepun terbaru (2015)

Jepun merupakan negara yang tidak asing lagi dengan teknologi keretapinya yang terkenal di seluruh dunia. Namun begitu selain Jepun, negara-negara lain turut memperbaiki teknologi keretapi masing-masing termasuklah China, France, German, UK, Korea, Itali, Spain, Taiwan, Turkey, Finland, Natherland, Russia, Czech, Switzerland, Uzbekistan dan US (Amtrak).

Keretapi tersebut dipunyai oleh Central Japan Railway Company telah menjalankan ujian tersebut di landasan ujian Yamanashi iaitu di kaki Gunung Fuji pada April 2015 dengan mencapai kelajuan 603km/h (375 mph). Kelajuan ini melebihi kelajuan keretapi yang sebelum ini dipegang oleh keretapi maglev China oleh  China Railway Corporation dengan rekod kelajuan 487.3 km/h (302.8 mph). Kelajuan tersebut juga turut melayakkan ia sebagai satu lagi rekod baru di dalam Guinness Book of World Records.

Track yang digunakan di Yamanashi bukanlah satu track yang baru, malah telah digunakan sejak tahun 1997 lagi. Ia kemudiannya dipanjangkan lagi dan ujian sebanyak 1.2 juta km (745,645 miles) telah dijalankan di sini.

Keretapi yang sedang menjalani ujian.

Keretapi Shanghai Maglev, China.

Lagi keretapi Maglev China yang terbaru.

Walaupun ujian ini telah berjaya dijalankan dengan baik, keretapi tersebut hanya akan sedia untuk digunakan untuk orang ramai menjelang 2027. Ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk menyediakan sistem yang boleh berjalan dengan baik dan selamat dari segala aspek kepada pengguna.

Walaupun ia merupakan keretapi terpantas setakat ini, teknologi Maglev ini berpotensi untuk menghasilkan keretapi-keretapi berkelajuan tinggi dan China dikatakan dalam usaha menghasilkan keretapi Maglev sehingga berkelajuan 2,900 km/h (1,800 mph) yang dikenali sebagai “super maglev”. Selain daripada keretapi Maglev teknologi lain yang turut dicadangkan adalah Hyperloop oleh Elon Musk dan ET3 yang menggunakan teknologi yang berbeza.

Sekiranya sistem pengangkutan keretapi dapat terus diperbaiki, ia mungkin satu masa nanti dapat menggantikan perkhidmatan pengangkutan udara bagi bandar-bandar yang mempunyai rangkaian hubungan tersebut. Tidak seperti pengangkutan udara, sistem pengangkutan keretapi adalah jauh lebih pantas (sistem pemeriksaan keselamatan dan masa menunggu).

Adalah diharap semoga sistem pengangkutan keretapi di negara kita juga dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa. Namun, tanpa sokongan orang ramai dan harga yang berpatutan juga mungkin mengakibatkan ia merupakan angan-angan yang tidak akan berhasil.



Free Download



Ahad, 13 Disember 2015

Sumbangan Dunia Manga

Populariti manga buka sekadar di Jepun, malah ke seluruh dunia.

Manga (漫画 Manga) atau komik Jepun merupakan antara bahan bacaan popular bukan sahaja bagi golongan kanak-kanak, malah bagi golongan remaja dan dewasa. Malah kepesatan dunia manga turut menjadikan ianya sebagai salah satu media penting bukan sahaja untuk tujuan hiburan, malah adakalanya berunsur pendidikan bagi orang ramai.

Kepesatan dunia manga ini juga turut menjadi penyumbang ekonomi bagi negara matahari terbit itu sehingga berjaya menyumbang sehingga  $3.6 billion pada tahun 2007 dan angka ini terus meningkat pada tahun 2009 iaitu $5.5 billion. Penjanaan ini bukanlah hanya membawa kebaikan bagi negara asal manga ini sahaja, malah turut memberi peluang kepada negara-negara lain untuk proses penerbitan semula dan proses alih bahasa.

Komik-komik majalah Malaysia, suatu masa dahulu.

Kini majalah dengan style 'Manga', lebih diminati.

Industri manga menjadikan para kartunis manga (mangaka) sebagai salah satu kerjaya penting, malah di negara kita juga pelopor komik-komik manga ini semakin mendapat tempat – dengan pertambahan bilangan pelukis manga tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa. Bukan sekadar bakat semata, seorang pelukis manga perlu mempunyai bakat dalam melukis, kreativiti tinggi dalam mereka karater manga, jalan cerita yang menarik, malah mereka juga memerlukan kebijaksanaan bagi memastikan manga yang dihasilkan mempunyai kualiti yang menarik minat pembaca.

Di negara kita majalah seumpama manga juga semakin mendapat perhatian seperti Gempak startz, Utopia, dan Kreko yang menggantikan komik-komik klasik malaysia seperti Gila-gila, Ujang, Gelihati, Batuapi yang pernah menjadi suatu majalah kegemaran ramai suatu masa dahulu. Itu bukan bermaksud dunia komik tanahair tiada masa depan, tetapi lebih kepada bagaimana ianya diselenggarakan selain daripada persembahannya.

Kemunculan bakat-bakat pelukis komik (manga di dalam Bahasa Jepun) Malaysia semakin bertambah baik. Malah dengan kepesatan dunia perhubungan internet juga membolehkan artis-artis komik Malaysia menyumbangkan bakat mereka di dalam dunia komik antarabangsa. Kerjaya ini semakin mendapat perhatian serius golongan muda. Manakala di persada antarabangsa pula kerjaya yang sama telah menghasilkan banyak siri animasi dan filem yang diadaptasi daripada komik/manga pada asalnya.

Manga mempunyai fungsi yang amat unik di Jepun. Iaitu dalam memberikan pendidikan kepada rakyatnya (terutama golongan kanak-kanak). Melalui manga-manga ini dan juga anime, budaya Jepun diberikan keutamaan bagi membantu generasi muda Jepun mengenali dengan lebih mendalam jatidiri mereka. Sebagai contoh yang paling mudah dilihat adalah melalui siri manga terkenal Doraemon yang mula dihasilkan pada tahun 1969 yang merupakan salah satu siri manga paling penting di Jepun yang pada mulanya menyasarkan kepada golongan kanak-kanak pra-sekolah sehinggalah kepada para pelajar di tahap-4.

Dragon Ball, siri manga yang amat panjang.

Doraemon, menjadi manga penting dalam mendidik masyarakat Jepun.

Namun kejayaan siri Doraemon ini bukan sekadar mendidik rakyat Jepun mengenai budaya mereka, malah ia kemudiannya turut mendapat sambutan hebat dari seluruh dunia. Keunikan jalan ceritanya pula, menjadikan siri kartun (manga) Doraemon, sebagai salah satu siri yang bukan sahaja mendidik mengenai kebudayaan Jepun, malah kemajuan dunia teknologi masa akan datang (iaitu menggalakkan kanak-kanak mempunyai imaginasi mereka sesuatu yang baru). Kejayaan Doraemon inilah juga yang menyemarakkan lagi penghasilan manga-manga berikutnya seperti Dragon Ball, Sailor Moon, Detective Conan, Macross, Gundam, Akira, Slam Dunk, Ultraman dan sebagainya sehinggalah kepada  manga-manga yang lebih moden seperti Naruto, Bleach, One Piece dan lain-lain.

Manga dilihat mempunyai pengaruh ke atas para peminat dan juga orang ramai dari pelbagai golongan umur. Malah selain daripada penghasilan animasi (anime), produk-produk berasaskan sesuatu manga juga turut menjadi buruan peminat. Adakalanya, watak-watak kegemaran daripada sesuatu manga/anime digunakan bagi mendidik orang ramai bagi satu-satu kempen tertentu. Jadi di Jepun, pengaruh manga digunakan sepenuhnya lebih daripada hanya sekadar bahan hiburan. Semoga ia juga memberi impak yang  sama kepada negara kita di masa akan datang.


Bagi peminat-peminat manga, anda boleh mendapati manga kegemaran anda secara online dari comics directory.




Free Download



Sabtu, 21 November 2015

Onagadori Ayam Dengan Ekor Yang Menakjubkan

Sukar dipercayai, ekor ayam 'Onagadori' boleh mencapai panjang melebihi 6 meter.

Onagadori merupakan sejenis ayam yang mempunyai ekor yang amat panjang berasal dari Wilayah Kōchi, Japan. Ayam ini secara tidak langsung menjadi satu tarikan istimewa bagi wilayah tersebut kerana ia amat berbeza daripada ayam-ayam yang lain. Walaupun terdapat banyak jenis ayam-ayam yang berbeza daripada yang biasa kita temui, tetapi onagadori merupakan memiliki satu ciri yang paling dibanggai pada ayam iaitu – bulu ekornya yang panjang.

Ayam ini dikatakan merupakan sebahagian daripada kacukan spesis baka ayam Shokoku, juga merupakan antara ayam yang mempunyai ekor yang panjang pada pertengahan Era Edo (1600 – 1868). Menurut sumber lisan, dikatakan seorang pembesar daerah (Shogun) Yamanouchi, dari Wilayah Kōchi di Selatan Semenanjung Shihoku yang mempunyai topi (helmet) dan lembing yang dihiasi dengan bulu ayam yang panjang untuk hari-hari kebesaran untuk memuliakan Maharaja Tenno. Para pekebun diraja dan juga para petani yang memelihara dan membawakan bulu-bulu ayam utuk hiasan ini akan dikecualikan daripada cukai. Maka aripada inilah iaitu sekitar 1655, para pembiak ayam ini dapat menghasilkan ayam dengan bulu-bulu yang lebih panjang. Topi (helmet) dan lembing yang dihiasi dengan bulu ayam ini masih boleh dilihat di Muzium di Jepun.

Ayam 'Onagadori' putih ini bagaikan haiwan fantasi.

Mungkin kita pernah melihat lukisan seperi ini.

Seorang pembiak ayam onagadori yang paling terkenal di Wilayah Kōchi, ialah Tekeichi Riuemon dari Shinohara yang menghasilkan baka ayam dengan bulu ekor yang paling panjang. Melalui kejayaan ini maka Onagadori pada ketika itu diberikan gelaran “Shinoharato”. Kemudian ia dikenali pula sebagai “Nagaodori”, dan kemudiannya “Tosa”, merujuk kepada daerah dimana ia dibiak. Sehingga hari ini, sebuah tugu peringatan didirikan di Bandar Kōchi, untuk memperingati jasa Takeichi.

Perkembangan pembiakan baka Onagadori terus berkembang mengikut peredaran masa dan ia dicatatkan oleh seorang botanis Jepun iaitu Koyu Nishimura di dalam bukunya “Sketches and Thoughts”. Walaubagaimanapun, kehebatan baka ini dikatakan mencapai tahap yang lebih baik menjelang Era Taisho (1912 –1926), di mana panjang ekor ayam boleh mencecah sehingga 6 meter dan lebih dengan variasi warna yang juga menarik.

Ia merupakan sesuatu yang menarik dalam dunia pembakaan binatang peliharaan dan perhiasan memandangkan pada masa tersebut kaedah kacukan hanya dilakukan secara tradisional. Tidak seperti hari ini, dimana teknik pemindahan genes mungkin dapat menghasilkan hasil yang lebih cepat dan mudah. Maka tidak hairanlah sekiranya individu seperti Takeichi, begitu dihormati dengan hasil kerja beliau.

Ayam 'Onagadori', suatu masa dahulu.

Antara baka yang menarik.

Bagi menghasilkan ayam yang memiliki bulu panjang ini, bukan sahaja bakanya penting, malah penjagaannya juga amat kritikal. Bulu ayam perlu sentiasa dijaga dengan rapi bukan sehari dua, malah disepanjang tempoh pembesarannya yang memakan masa beberapa tahun. Namun begitu melihat kepada hasil yang dicapai, jelas menunjukkan ia suatu keunikan yang menakjubkan.


Walaupun terdapat beberapa baka ayam lagi yang mempunyai ekor panjang seperi Phoenix dan Shohoku, namun ia tidak boleh mencapai panjang ekor seperti yang dimiliki oleh Onagadori. Jadi disini, apa yang kita pelajari adalah, penghasilan baka sebegini tidak mustahil namun memakan masa yang panjang dan penjagaan yang rapi. Mungkin kita tidak pernah menyangka ayam boleh mempunyai ekor sepanjang itu!




Free Download



Arkib Blog