Memaparkan catatan dengan label destinasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label destinasi. Papar semua catatan

Isnin, 19 Jun 2017

Keretapi Mewah Baru Jepun, East Japan Railway Co.

Shiki-shima antara keretapi mewah Jepun terbaru yang unik.

Kini kita melihat pula keretapi baru dari Negara Jepun yang baru sahaja memulakan operasinya pada 1 Mei, 2017 yang dikendalikan oleh syarikat, East Japan Railways Co. yang dikenali sebagai Train Suite Shiki-shima. Walaupun ianya lebih dikenali sebagai keretapi mewah, banyak perkara yang boleh dipelajari di sini yang menyebabkan mengapa ia telahpun habis ditempah sehingga Mac 2018.

Keretapi yang hanya membawa 34 penumpang dengan hanya 17 suites dalam satu-satu masa ini mengenakan tambang sebanyak ¥950,000 (USD8,569) seorang untuk bilik yang dikongsi daripada 10 gerabaknya. Jadi apakah yang membuatkan pelanggan berpuas hati untuk menggunakan perkhidmatan ini, mungkin antara sebabnya adalah kerana pelbagai keunikan yang ditawarkannya.




Gerabak moden train ini menyediakan pemandangan menyeluruh dari sisi mahupun bumbung train yang melalui laluan pergunungan dan juga pantai Jepun yang menarik. Malah ia juga adalah perjalanan yang memakan masa selama 4 hari di dalam train mewah ini. Apa yang lebih menarik ciri-ciri kemewahan ini adalah dihasilkan oleh pereka-pereka tempatan Jepun sendiri yang mengukir nama dalam bidang rekaan.

Warna menarik “champagne-gold” pada keretapi ini juga adalah hasil rekaan daripada pereka Jepun iaitu Ken Kiyoyuki Okuyama yang turut menggunakan bahan-bahan seperti kayu, kertas Jepun yang dikenali sebagai “washi” selain ‘Japanese lacquer’ dalam menghasilkan rekaannya. Maka di sinilah antara keunikan sebenar keretapi mewah ini yang mencerminkan keunikan budaya Jepun sendiri.

Selain daripada itu, tikar Jepun yang dikenali sebagai ‘tatami’ juga digunakan pada suite Shikishima beserta tub mandi cypress yang memberikan pengalaman mandian harum menyegarkan. Manakala sofa yang digunakan di lounge keretapi ini pula dihasilkan menggunakan teknik melentur kayu secara tradisional menggunakan ‘steam’. Bagi karpet-karpetnya pula adalah dihasilkan daripada Oriental Carpet Mills yang sedia terkenal dengan kerja-kerja karpet bagi Vatican Palace dan juga Kyoto State Guest House.





Tidak kurang juga set makan menggunakan sudu garpu dari nikel dan perak yang dihasilkan oleh Yamazaki Kinzoku Kogyo yang lebih dikenali sebagai pereka set makan yang digunakan untuk majlis makan malam pada penganugerahan Nobel Prize. Jadi sebagai hidangannya pula, para penumpang akan dihidangkan dengan hidangan tempatan di mana keretapi ini lalu atau singgahi.


Keretapi “Suite Shiki-shima”, bukanlah keretapi mewah pertama yang dilancarkan di Jepun, namun apa yang menarik adalah penerapan ciri-ciri budaya yang diketengahkan oleh pereka-pereka tempatan Jepun sendiri. Ianya dihasilkan dengan menampilkan hanya yang terbaik bagi memberikan keselesaan penuh kepada bakal penumpang. Jadi, ia tidak dikira mahal sekiranya ia adalah sepadan dengan servis yang ditawarkan. Semoga paparan kali ini juga dapat memberikan kita panduan dalam dunia perniagaan.



Free Download



Jumaat, 16 Jun 2017

Keretapi Mewah Merentasi Peru, Belmond Andean Explorer

Antara laluan menarik di sepanjang perjalanan Belmond Andean Explorer.

Belmond Andean Explorer merupakan keretapi mewah pertama yang beroperasi di Amerika Selatan membawa para penumpang menjelalah laluan dari Arequipa dan Cusco di Peru. Para penumpang akan dibawa dalam perjalanan antara 2 ke 3 hari yang mewah selain turut membenarkan penumpang singgah di beberapa kawasan menarik untuk dikunjungi di antara laluan tersebut seperti; Machu Picchu, Sacred Valley, Bandar Purba Cusco, Colonial Arequipa dan Colca Canyon.

Ruang makan yang amat selesa.

Ruang rehat yang rapi amat menenangkan.

Dek khas untuk pemandangan yang lebih luas.

Keretapi ini dilengkapi dengan 24 bilik mewah selain turut menyediakan segala keperluan para penumpang seperti gerabak yang menyediakan ruang makan mewah, serta loceng untuk anda memanggil bantuan daripada para pekerja yang diletakkan di sisi katil penumpang. Pelbagai hiburan dan acara disediakan kepada para penumpang di sepanjang perjalanan. Ia juga disertakan dengan dek pandang luar khas untuk memberikan penumpang pemandangan persekitaran yang lebih menyeluruh.


Bilik tidur yang juga amat selesa.

Keretapi merentasi dataran rumput.

Satu perjalanan yang pasti meninggalkan kenangan manis.

Perjalanan yang dilalui keretapi ini juga menyediakan pengalaman yang amat berbeza, kerana selain mendaki sehingga ke ketinggian 4,800 meter ia juga melewati kawasan-kawasan yang berada jauh di pendalaman. Perjalanan sejauh 700km ini akan memberikan para penumpang lebih pengalaman mempelajari sejarah bandar-bandar lama Peru yang dihubungkan melalui trek keretapi ini.



Free Download



Ahad, 11 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Bánh Khọt

Bánh khọt kelihatan menarik untuk juadah petang.

Tidak kurang hebatnya antara makanan Vietnam yang sesuai untuk dirasai semua adalah bánh khọt. Bánh Khọt mungkin menyerupai makanan yang boleh didapati di beberapa negara SE Asean lain dan ianya ringkas, mudah didapati dan sedap pula.

Sekali pandang bánh khọt bagaikan lempeng (pancake), namun pandangan kedua ianya adalah gorengan tepung yang terkenal di negara-negara lain seperti Malaysia, Indonesia dan Singapore. Kuih seumpamanya dikenali sebagai ‘cucur udang’ di Malaysia. Namun bagi bánh khọt, ia mempunyai bahan campuran yang lebih banyak yang menyebabkan ianya lebih unik dan enak dimakan. Bagi yang tidak memakan daging khinzir perlulah mendapatkan penjelasan daripada penjual bánh khọt, atau dapatkan bánh khọt yang disediakan oleh peniaga Muslim/vegetarian.

Biasanya dihiasi dengan udang yang menarik.

Tepung bánh khọt untuk memudahkan penyediaan. 

Daripada bahan-bahannya anda dapat membayangkan keenakan makanan ini. Bahan asas yang digunakan adalah tepung beras, namun ia juga menggunakan kacang hijau yang di blender/tumbuk halus. Santan kelapa, tepung saffron dan rempah perasa memberikan rasa lemak dan rempah yang menambah aroma kepada kuih ini. Akhir sekali bahan isi terdiri daripada udang, isi udang dan juga daging (pastikan jenis daging yang digunakan) dan juga sayuran mengikut pilihan anda. Bánh Khọt juga dimakan dengan sos pilihan para penggemar (kebiasaan nya sos daripada daun bawang dan minyak.

Bánh Khọt boleh dikenali dengan mudah kerana ia kelihatan seperti lempeng kecil dan menampakkan haisan udang (kebiasaan nya) di atasnya. Ia juga mempunyai warna kuning keemasan di samping bau yang harum daripada santan kelapa dan rempah yang digunakan. Manakala sos yang digunakan bersama untuk masakan ini menambahkan lagi perisa makanan bánh khọt.


Penyediaan banh khot menggunakan acuan.

Gerai-gerai yang biasa didapati dengan mudah di serata Vietnam.

Sememangnya tidak semua makanan boleh kita rasai semasa melawat ke negara-negara lain. Namun mengenali makanan tradisi mereka merupakan salah satu cara bagaimana untuk kita lebih mengenali keunikan budaya masing-masing. Semasa anda melawat ke mana-mana, pastikan tidak mencuba sesuatu masakan, makanan bagi mengelakkan pelbagai masalah terutamanya berkaitan dengan kesihatan. Teruskan mengembara. 


Free Download



Rabu, 7 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Bánh Xèo

Bánh Xèo merupakan satu lagi makanan enak dari Vietnam.

Bánh Xèo merupakan antara makanan terkenal Vietnam sejajar dengan makanan-makanan ternama yang lain seperti phở, bánh mì dan juga bún chả (tidak semuanya adalah halal!) yang lebih mendapat perhatian mengikut peredaran zaman. Bánh Xèo mempunyai sejarah penyediaan yang lebih awal, namun bertahan sehingga ke hari ini mengikut perubahan zaman dan mengikut perubahan selera masyarakat moden.

Bánh Xèo antara lainnya bermaksud “lempeng mersik” (sizzling cake) kerana ia disediakan dengan menyediakan kepingan lempeng yang disediakan di atas kuali rata yang panas dan menghasilkan bunyi yang mersik. Hari ini berikutan tersebarnya bánh xèo ke daerah-daerah yang lain, banyak variasi yang dapat disaksikan samada dari segi saiz mahupun bahan-bahan isi yang digunakan bersama-sama dengan makanan istimewa ini.

Bánh Xèo disediakan menggunakan kuali rata.

Penyediaan disediakan di gerai-gerai kecil.

Tepung khusus untuk penyediaan bánh xèo.

Bánh Xèo dikatakan berasal dari bahagian tengah Vietnam semenjak era Tay Son lagi. Ia mula menjadi makanan kegemaran masyarakat setempat yang akan menyediakan hidangan ini pada setiap 16 hari bulan mengikut peredaran bulan. Mereka akan menyediakan bánh xèo berbanding makanan harian biasa yang lain.

Ia juga dikatakan mungkin berasal daripada bandar diraja lama Hue dengan makanan tradisinya yang dikenali sebagai bánh khoái iaitu lempeng garing yang masih lagi disediakan di bandar tersebut. Kemungkinan juga makanan ini mempunyai kaitan dengan orang-orang Cham yang mempunyai hubungan dengan penduduk di Vietnam atau mungkin juga berasal dari Selatan India dari hubungan yang berkurun lamanya.

Hasil daripada peredaran zaman dan migrasi penduduk, hari ini bánh xèo mempunyai pelbagai variasi dari segi saiz, penyediaan dan bahan inti yang digunakan dalam penyediaannya. Di daerah-daerah seperti Binh Dinh, Quang Ngai dan Quang Nam mempunyai saiz bánh xèo yang sederhana dibalut menggunakan kertas beras. Manakala daerah-daerah di Selatan seperti Khanh Hoa, Ninh Thuan dan Binh Thuan menggunakan bahan inti daging, taugeh bagi menggantikan makanan laut yang dipadankan dengan sos ikan, cili dan kuah kacang. Lempeng kecil daerah Selatan ini adakalanya dibalut dengan sayuran atau tidak dibalut.

Saiz hidangan bánh xèo yang biasa.

Bánh Xèo yang dihidangkan di Bandar Hanoi.

Bánh Xèo yang dihidangkan di Bandar Saigon.

Saiz lempeng bánh xèo menjadi semakin besar ke arah Selatan seperti di daerah Can Tho, Bien Hoa dan Saigon, anda boleh mendapati saiz bánh xèo yang lebih besar dengan isi inti daripada pelbagai jenis bahan.

Bánh Xèo hanya menjadi popular di bahagian Selatan seperti Bandar Saigon hanya pada lewat 1990-an, apabila perpindahan penduduk dari bahagian tengah Vietnam membawa bersama makanan kegemaran mereka ini ke sini. Ia merupakan makanan yang biasanya dibungkus oleh para petani di dalam daun pisang untuk dibawa bekerja di sawah padi.


Walaupun hari ini bánh xèo turut disediakan oleh restoran-restoran ternama mahupun rangkaian restoran franchise seperti Banh Xeo Muoi Xiem dan An La Ghien, ramai penggemar bánh xèo masih lagi memilih untuk menikmatinya melalui gerai-gerai di tepian jalan yang dikatakan menyediakan bánh xèo yang jauh lebih enak. Satu lagi makanan Vietnam yang menarik untuk disaksikan dan menggambarkan sebuah budaya yang kaya dengan pelbagai keunikan.


Free Download



Selasa, 6 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Chả Cá

Chả Cá disediakan di restoran Chả Cá Lã Vọng

Chả Cá merupakan satu lagi hidangan yang amat popular di Utara Vietnam terutamanya di bandar Hanoi. Resepi popular ini masih lagi dihidangkan di mana ianya mula diperkenalkan lebih dari 100 tahun yang lalu iaitu Chả Cá Lã Vọng. Hari ini ia turut dihidangkan oleh banyak restoran lain memandangkan ia merupakan antara hidangan yang menjadi buruan ramai para pelancong ke  Hanoi.

Chả Cá merupakan resepi masakan ikan yang ringkas namun bagi Chả Cá Lã Vọng, ia mempunyai rahsia tersendiri dalam memilih ikan-ikan yang sesuai untuk digunakan bagi resipi ini. Ikan ini akan diperap bersama kunyit sebelum hidangan kepada pelanggan. Ia akan digoreng bersama daun-daun herba seperti dill, daun bawang, daun sup selain dihidangkan bersama kacang goreng dan juga mee beras.

Keseluruhan bahan-bahan yang diperlukan untuk hidangan istimewa ini.

Ikan digoreng bersama-sama rempah herba yang disertakan.

Dalam resepi asalnya, ikan yang digunakan untuk resepi ini adalah dari jenis haruan (cá lóc), namun ikan-ikan lain juga boleh digunakan; terutamanya yang mempunyai isi yang pejal dan kurang hanyir merupakan jenis ikan yang sesuai untuk resepi ini. Ikan yang digunakan juga kebiasaannya adalah dari jenis ikan air tawar.

Ia merupakan resepi yang amat mudah. Namun begitu, sekali anda mencubanya, anda tentu akan merasa betapa istimewanya resepi ringkas menggunakan hanya beberapa jenis bahan ini. Jadi sebab itulah, restoran seperti Chả Cá Lã Vọng, tidak dikunjungi oleh penduduk tempatan kerana ia mengenakan harga yang agak tinggi. Namun begitu bagi para pelancong, ia merupakan pengalaman istimewa kerana ia merupakan di mana resepi ini bermula. Chả Cá Lã Vọng hanya menghidangkan satu resepi sahaja, dan masih lagi mengekalkan sebahagian besar kedai asalnya yang penuh bersejarah.


Restoran ini telah berusia lebih 100 tahun.

Ruang dalam tempat di mana hidangan disediakan.

Restoran yang hanya menyediakan satu hidangan sahaja.

Semasa melawat Hanoi pada tahun 2016, MyRokan sempat mencuba Chả Cá di restoran asalnya Chả Cá Lã Vọng. Ia bukan sahaja merupakan antara makanan yang terpaling lazat dinikmati di Hanoi, malah merupakan antara pengalaman manis yang amat dinanti-nantikan di sepanjang lawatan tersebut.



Free Download



Arkib Blog