Memaparkan catatan dengan label fungus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label fungus. Papar semua catatan

Isnin, 18 Januari 2016

Kulat Pembunuh Zombie Fungus

Kulat yang menjadikan perumahnya hilang kawalan.

Zombie fungus (Ophiocordyceps unilateralis) merupakan antara kulat parasit yang membunuh secara senyap dan kejam. Sekiranya ia berlaku pada manusia, ia tidak asing lagi akan menghasilkan manusia ‘zombie’ yang akan berakhir dengan kematian yang merebak menjadi wabak.

Namun ia mempunyai perumah iaitu semut dari spesis tertentu, biasanya dari spesis semut Camponotus leonardi atau dari jenis keluarga terdekatnya. Ini kerana kulat ini berfungsi bukan sahaja untuk menjadikan badan semut sebagai perumah, namun semut juga perlu mampu melakukan apa yang diperlukan oleh kulat tersebut.

Jangkitan O. Unilateralis boleh merebak dalam sesebuah koloni semut, dan ini mengakibatkan semut yang dijangkiti akan di usir jauh dari koloni mereka. Jangkitan kulat ini menyebabkan semut hilang kawalan dan melakukan apa yang diperlukan oleh kulat tersebut. Selain kulat ini, beberapa parasit lain turut mempunyai keupayaan mengawal perumah mereka bagi memenuhi keperluannya. Ia memang menakutkan – tetapi ini penting untuk menjamin kulat ini untuk terus membiak.


Semut perlu menggigit urat daun untuk mengelakkan ia dari jatuh.

Kulat akan terus memakan badan perubah sebagai sumber makanan.

Semut yang dijangkiti tadi kemudiannya akan memanjat pokok sehingga sampai ke loaksi yang sesuai (kawasan yang lebih terdedah). Biasanya semut ini akan mengigit urat pada batang daun atau ranting kayu bagi mengelakkan ia dari terjatuh. Selepas itu semut akan mati secara perlahan-lahan dan kulat akan terus memakan badan semut secara perlahan.

Kulat yang mencapai usia yang matang akan mengeluarkan batang dan juga kandul yang mengandungi sporanya untuk disebarkan oleh angin. Ini akan meninggalkan badan semut yang akan terus mereput bersama-sama dengan kulat tersebut.

Terdapat spesis kulat yang berbeza untuk perumah dari spesis lain.

Selain semut serangga lain turut dijangkiti oleh kulat.

Jenis kulat yang menjangkiti tarantula.

Terdapat kira-kira 400 spesis kulat yang mampu mengawal perumahnya. Manakala O. Unilateralis hanyalah salah satu daripada kulat tersebut yang terdapat di kawasan hutan tropika seperti di Thailand dan Brazil. Menakutkan! Mungkin anda perlu tahu ia adalah salah satu contoh dari banyak contoh yang lain.



Free Download



Sabtu, 16 Januari 2016

Misteri Kehilangan Katak

Kumpulan katak-katak kecil yang cantik tetapi beracun.

Misteri kehilangan katak mungkin tidak menarik perhatian ramai, namun sekiranya anda mengetahui kepentingan dan hubungkait antara haiwan di dalam ekosistem, ia mungkin sedikit sebanyak merisaukan. Jadi katak juga mempunyai fungisnya tersendiri, selain mengawal populasi serangga, ia sendiri menjadi sumber makanan bagi haiwan lain seperti ular, burung, kucing, biawak dan juga manusia!

Misteri kehilangan katak dilaporkan sejak beberapa tahun yang lalu. Di mana populasi sebahagian katak semakin berkurangan sehingga ke tahap mencapai kepupusan. Kehilangan katak ini lebih ketara bagi spesis-spesis yang jarang ditemui seperti di hutan-hutan tanah tinggi di pergunungan Andes, dan Amazaon di Amerika Selatan. Punca sebenar kehilangan katak ini cuba dikesan bagi mengelakkan ia dari terus pupus. Aktiviti manusia dikatakan menjadi punca utama daripada kepupusan haiwan amfibia ini, namun punca sebenar yang lebih menakutkan adalah – serangan penyakit.


Spesis blue dart frog ini memang beracun - digunakan pada jarum sumpit. 

Satu lagi spesis katak 'Red-backed poison frog'.

Serangan penyakit yang disebabakan oleh jangkitan dari Batrachochytrium dendrobatidis, atau ‘chytrid fungus’ juga dikenali dengan nama singkatan sebagai Bd menyebabkan penyakit ‘chytridiomycosis’ pada haiwan amfibia. Ia mula dikesan semenjak tahun 1998 dan dikesan hampir di seluruh dunia. Spesis terbaru yang dikesan adalah, B. Salamandrivorans yang menyebabkan ‘chytridiomycosis’ dan kematian pada salamander.

Fungus ini menjadikan kulit haiwan amfibia sebagai tempat untuk ia hidup dan membiak melalui dua peringkat iaitu pegun (sessile), peringkat penghasilan zoosporangium dan juga bergerak (motile), apabila ia dibebaskan daripada zoosporangium. Dalam proses pembiakan inilah fungus ini menjadikan kulit amfibia  sebagai sumber nutrient baginya dengan membebaskan enzimes yang menghadamkan kulit haiwan itu. Proses ini boleh menyebabkan cyst di bawah kulit katak dan lama-kelamaan mengakibatkan kematian pada katak.


Spesis katak kaca yang boleh dilihat tembus.

Antara katak-katak unik yang mendiami hutan.

Penyakit dan jangkitan merupakan antara penyumbang utama kepada kepupusan haiwan selain daripada aktiviti manusia. Ini kerana kita secara tidak langsung menyebarkan jangkitan ini  tanpa disedari seperti memindahkan sesuatu spesis ke tempat baru dan sebagainya. Sebelum ini kita juga digemparkan dengan misteri kehilangan lebah yang disebabkan serangan oleh sejenis hama Varroa destructor yang juga menyebabkan kematian populasi lebah yang besar. Malah kejadian yang sama boleh menimpa spesis yang lebih besar seperti antelope, saiga dan kudu (disebabkan oleh pelbagai faktor semulajadi).


Kefahaman mengenai kejadian ini memudahkan untuk kita lebih berhati-hati di masa akan datang. Kehilangan sesuatu spesis secara mendadak boleh mengakibatkan kesan yang serius – termasuk kita sendiri kehilangan bahan makanan. Alam sentiasa mencari jalan untuk mengimbangkannya semula, namun manusia hanyalah sebahagian dari spesis yang hidup di dalamnya. Fikir-fikirkan.



Free Download



Selasa, 21 April 2015

Semut Pemotong Daun - Atta cephalotes

leaf cutter ants
Semut pemtong daun dengan potongan daun masing-masing.

Semut merupakan serangga yang amat rajin dan sering dijadikan contoh melambangkan kerajinan. Populasi semut yang tinggal dalam sebuah koloni yang besar juga akan bekerja secara bergotong-royong bagi membolehkan koloni tersebut terus membesar dan hidup dengan sejahtera. Selain daripada itu semut juga hidup dalam sebuah kumpulan yang mempunyai struktur yang lengkap daripada pemaisuri, raja, askar, pekerja dan sebagainya. Jadi struktur kemasyarakatan telahpun di amalkan oleh semut sejak jutaan tahun lagi.

Ada satu lagi yang menarik tentang semut yang ingin dipaparkan buat kali ini. Mungkin kebanyakan kita tidak menyedari bahawa semut juga merupakan antara serangga yang mempunyai kemahiran untuk menghasilkan makanan melalui – pertanian!

Leaf cutter ant - cutting
Semut pemotong, melakukan kerja-kerja pemotongan.

Anda mungkin pernah mendengar mengenai semut pemotong daun. Semut ini juga dikenali dengan nama ‘Atta cephalotes’ – juga dari spesis-spesis ‘Atta’ yang lain. Semut pemotong daun tinggal dalam koloni yang besar dengan purata 5 juta ekor di dalam satu koloni. Bagi menampung keperluan makanan semut-semut di dalam koloni ini, kaedah yang terpaling baik adalah dengan menanam sendiri sumber makanan mereka.

Walaupun semut-semut pemotong daun sering dilihat mengangkut potongan-potongan daun kembali ke sarang mereka dengan banyak, daun-daun tersebut bukanlah untuk dijadikan makanan kepada mereka. Daun tersebut adalah digunakan untuk penanam fungus yang merupakan makanan sebenar kepada semut-semut ini.

leaf cutter ants trail
Semut-semut pemotong daun membawa daun balik ke sarang.

Semut-semut pemotong daun ini adakalanya perlu mendapatkan bekalan daun-daun beberapa ratus meter daripada sarangnya – bagi serangga sebesar semut, jarak ini adalah agak jauh. Selain daripada itu, semut-semut ini juga mempunyai kekuatan untuk mengangkat berat 50 kali ganda daripada beratnya sendiri. Semut ini juga mengumpul daun daripada pelbagai bahagian hutan iaitu daripada lantai hutan sehinggalah ke bahagian atas pokok.

leaf cutter ant - fungus
Keadaan ladang fungus yang diternak oleh semut.

Daun-daun yang dikumpulkan di dalam sarang akan dikunyah menjadi halus dan dicampurkan dengan najis semut itu sendiri sebagai baja sebelum dikumpulkan di dalam ruangan penanaman fungus. Fungus yang  dikenali sebagai ‘Leucogaricus gonglypherous’ merupakan fungus yang dibesarkan di dalam ladang semut. Selain daripada fungus, proses penanaman ini juga memerlukan semut menggunakan beberapa jenis bakteria bagi membantu proses penguraian daun dan juga dalam mengawal tumbersaran fungus daripada jangkitan. Semasa proses tumbesaran fungus ini, proses penjagaan akan dilakukan oleh kumpulan semut yang dikhususkan untuk kerja-kerja penjagaan sahaja.


Kemahiran semut-semut ini menanam fungus adalah kemahiran yang telah diamalkan sejak jutaan tahun dahulu. Semut-semut ini juga mungkin terus memperbaiki kaedah penanamannya disepanjang tempoh masa tersebut. Ia sama juga seperti ikan sumpit yang perlu melatih diri mereka untuk menyumpit air kepada serangga – kerana alam hidupan juga adalah amat mencabar.




Free Download



Ahad, 21 September 2014

Keunikan dan Kehebatan Dunia Fungus

Beautiful fungus
Fungus meliputi kumpulan hidupan yang luas yang terdiri daripada pelbagai spesies.

Dunia fungus amat luas merangkumi pelbagai jenis kulat termasuklah daripada cendawan yang biasa dimakan sehingga yang menyebabkan jangkitan kulit seperti kurap dan panau. Kajian mendapati fungus berada dalam kumpulan hidupan yang berada di antara haiwan dan tumbuhan malah lebih rapat kepada ciri-ciri menyerupai haiwan berbanding tumbuhan. Mengikut pengkelasan ini, terdapat jutaan spesies fungus yang menjadikan ia sebagai satu kumpulan hidupan tersendiri yang unik.

Mungkin sebahagian anda hanya memikirkan tentang cendawan yang biasa dimakan atau sebahagian cendawan lain yang beracun dan mudah dilihat hampir di setiap kawasan di mana fungus bertindak sebagai agen pereputan (hidup di atas hidupan lain yang mereput). Fungsi fungus merangkumi pelbagai aspek kehidupan samada manusia ataupun hidupan lain sendiri. Ini kerana kebanyakan aktiviti hidupan istimewa ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar sedangkan manusia dan fungus telah saling bekerjasama sejak sekian lama dalam penghasilan makanan seperti kicap, tempeh, keju, tapai, sake, beer dan macam-macam lagi.

Spesies fungus merangkumi hidupan ringkas seperti yis sehinggalah kepada cendawan yang bersaiz besar dan boleh dimakan. Fungsi fungus dalam kehidupan manusia juga merangkumi pelbagai kegunaan termasuklah perubatan di mana ia digunakan untuk penghasilan penicillin – iaitu sebagai ubat anti-bakteria yang telah membantu dalam merawat jutaan pesakit. Melalui kepesatan penyelidikan fungsi fungus turut membantu dalam penghasilan antibiotik selain dari penicillin,  vitamin, anti kanser, dan ubatan yang membantu menurunkan kadar kolesterol.

Malah kejuruteraan genetik turut melibatkan kumpulan hidupan ini seperti ke atas yis, iaitu dalam membantu tahap tumbesarannya yang lebih pantas bagi mempercepatkan lagi proses tindak balas dalam penghasilan sesuatu ubatan ataupun makanan.

Fungus bukanlah sekadar berguna kepada manusia sahaja. Fungsinya secara semulajadi di dalam alam merangkumi pelbagai fungsi. Ia turut mempengaruhi dunia hidupan lain seperti haiwan dan tumbuhan malah di antara kumpulannya sendiri dari spesies yang lain. Oleh sebab itu kumpulan kajian khas mengenai kumpulan hidupan ini merupakan satu bidang khas yang dipanggil mycology. Ini kerana kumpulan fungus di dapati boleh digunakan hampir di dalam kebanyakan bidang dalam kehidupan manusia.

Fugus and degradation
Fungsi fungus amat penting dalam pereputan.

Fungus dan Tumbuhan


Fungus membentuk hubungan simbiosis dengan tumbuhan dalam membantu tumbuhan bagi menyerap nutrient tidak organik seperti nitrate dan phosphate dari tanah yang mempunyai kepekatan rendah nutrient-nutrient ini. Ia juga menghubungkan antara tumbuhan dalam proses perkongsian karbohidrat dan nutrient lain. Fungus juga boleh mendiami hampir kesemua bahagian tumbuhan yang terdiri daripada pelbagai spesies yang berbeza dengan memberi pelbagai faedah berbeza pula kepada tumbuhan tersebut.

Manakala dalam situasi yang lain terdapat juga spesies fungus yang menyebabkan penyakit pada tumbuhan. Malah kebanyakan masalah penyakit pada tanaman adalah berpunca daripada fungus.

Fungus, Alga dan Bakteria

Lichen, combination of fungus, algae and backteria
Lichen -  Lobaria pulmonaria, simbiosis fungus, alga, dan bakteria cyanobacteria.

Fungsi fungus meliputi sehingga ke dalam hidupan mikro-organisma dalam hubungan unik ini bagi membentuk lichen. Lichen merupakan hasil daripada hubungan yang dibentuk daripada fungus (spesies berbeza daripada ascomycetes dan beberapa basidiomycetes), alga dan cyanobacteria. Melalui hubungan ini ia bertindak sebagai satu organisma dan berbeza sekali daripada komponen asal mereka. Hubungan ini membernarkna gula dan karbohidrat didapati daripada proses photosynthesis (alga), manakala fungus akan membekalkan mineral dan air.  Hubungan ini dapat membantu mereka untuk hidup di pelbagai keadaan di muka bumi yang agak sukar dilakukan secara individu.

Fungus dan Serangga


Banyak spesies serangga yang bergantung kepada fungus sebagai sumber makanan mereka dan hubungan mereka ini amat unik. Semut misalnya didapati membiakkan sendiri fungus ( dari kumpulan Agaricales) di dalam sarang mereka untuk dijadikan makanan. Begitu juga kumbang ambrosia yang menanam beberapa spesies fungus pada kulit pokok yang didiaminya. Berbeza pula bagi wood wasp yang menanamkan bersama telur mereka spora fungus dari jenis Amylostereum areolatum bagi menyediakan tempat tumbesaran yang sesuai apabila anak-anak mereka menetas nanti. Malah kumpulan fungus dari jenis yis (genus Candida dan Lachancea) mendiami bahagian usus kebanyakan serangga termasuk neuropteran, kumbang dan lipas. Hubungan ini tidak pasti samada membawa kebaikan kepada perumah atau sebaiknya.

Mycotoxins


Mycotoxins merupakan bahan yang dihasilkan oleh fungus bagi menyediakan persekitaran yang lebih sesuai untuk sesuatu fungus hidup dengan lebih baik atau sebagai pertahanan daripada musuh yang terdiri daripada pelbagai organisma lain samada bakteria, virus ataupun dari jenis fungus sendiri. Mycotoxin boleh menyebabkan makanan menjadi rosak dan menyebabkan keracunan makanan. Ia juga dalam masa yang sama digunakan sebagai ubatan seperti penicillin dalam membasmi bakteria. Mycotoxin juga merupakan bahan yang menjadikan sesuatu jenis cendawan itu beracun dan boleh membawa maut.

Bidang Pemakanan

Saccharomyces cerevisiae cells shown with DIC microscopy
Saccharomyces cerevisiae atau yis dilihat di bawah mikroskop.

Yis atau juga dikenali sebagai Saccharomy cescerevisiae, merupakan fungus satu sel yang digunakan dalam penghasilan roti dan lain-lain makanan seperti pizza dan pau. Manakala yis dari genus Saccharomyces  juga digunakan dalam penghasilan minuman beralkohol melalui proses penapaian. Makanan tradisi Asia seperti kicap, sake dan miso juga menggunakan kulat yang dikenali sebagai Aspergillus oryzae. Manakala Rhizopus merupakan spesies yang digunakan dalam penghasilan tempah. Lain-lain makanan yang menggunakan spesies fungus ini termasuklah tapai. Fungus yang digunakan dalam proses penyediaan makanan turut menghasilkan mycotoxins, namun ianya tidak membahayakan kesihatan kepada manusia.

Kumpulan fungus yang lebih besar seperti cendawan juga turut digunakan secara meluas dalam bidang pemakanan. Sejak sekian lama manusia mempelajari kaedah untuk membiakkan sendiri cendawan-cendawan yang boleh dimakan untuk tujuan komersial. Agaricus bisporus atau lebih dikenali sebagai cendawan butang merupakan antara spesies yang terkenal dijual secara meluas dan digunakan dalam banyak masakan.

Beautiful mushroom
Kebanyakan spesies fungus tidak boleh dimakan, mempunyai fungsi lain dalam alam.

Dari jenis cendawan-cendawan ini ada di antaranya dianggap sebagai amat berharga seperti ‘matsu-take’ dan truffles. Ini kerana bukan semua jenis cendawan boleh dibiakkan melalui kaedah yang sama. Walaupun industri penanaman cendawan semakin popular masih terlalu sedikit cendawan yang boleh dibiakkan oleh manusia – manakala yang lainnya hanya boleh didapati secara meliar ataupun kaedah pembiakan yang tidak efektif.


Begitulah serba sedikit mengenai dunia fungus yang amat menarik untuk anda membuat tinjauan yang lebih lanjut. Ia merupakan satu dunia yang luas kerana dikatakan terdapat kira-kira 1.5 juta spesies fungus dan cuma 5% daripadanya yang diklasifikasikan. Oleh kerana dunia fungus turut mempengaruhi semua spesies kehidupan yang lain, maka bidang kajian fungus merupakan satu bidang yang penting untuk diberikan tumpuan seperti juga bidang hidupan yang lain.  Diharap penulisan kali ini dapat membuka lebih minat anda untuk mengenali kumpulan hidupan istimewa ini. Mungkin ia memberikan sedikit pandangan berbeza kepada anda mengenai dunia fungus yang merangkumi cendawan, kulat, kulapuk, yis dan macam-macam nama lagi. Terima kasih.



Free Download



Arkib Blog