Sunday, September 21, 2014

Keunikan dan Kehebatan Dunia Fungus

Beautiful fungus
Fungus meliputi kumpulan hidupan yang luas yang terdiri daripada pelbagai spesis.

Dunia fungus amat luas merangkumi pelbagai jenis kulat termasuklah daripada cendawan yang biasa dimakan sehingga yang menyebabkan jangkitan kulit seperti kurap dan panau. Kajian mendapati fungus berada dalam kumpulan hidupan yang berada di antara haiwan dan tumbuhan malah lebih rapat kepada ciri-ciri menyerupai haiwan berbanding tumbuhan. Mengikut pengkelasan ini, terdapat jutaan spesis fungus yang menjadikan ia sebagai satu kumpulan hidupan tersendiri yang unik.

Mungkin sebahagian anda hanya memikirkan tentang cendawan yang biasa dimakan atau sebahagian cendawan lain yang beracun dan mudah dilihat hampir di setiap kawasan di mana fungus bertindak sebagai agen pereputan (hidup di atas hidupan lain yang mereput). Fungsi fungus merangkumi pelbagai aspek kehidupan samada manusia ataupun hidupan lain sendiri. Ini kerana kebanyakan aktiviti hidupan istimewa ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar sedangkan manusia dan fungus telah saling bekerjasama sejak sekian lama dalam penghasilan makanan seperti kicap, tempeh, keju, tapai, sake, beer dan macam-macam lagi.

Spesis fungus merangkumi hidupan ringkas seperti yis sehinggalah kepada cendawan yang bersaiz besar dan boleh dimakan. Fungsi fungus dalam kehidupan manusia juga merangkumi pelbagai kegunaan termasuklah perubatan di mana ia digunakan untuk penghasilan penicillin – iaitu sebagai ubat anti-bakteria yang telah membantu dalam merawat jutaan pesakit. Melalui kepesatan penyelidikan fungsi fungus turut membantu dalam penghasilan antibiotik selain dari penicillin,  vitamin, anti kanser, dan ubatan yang membantu menurunkan kadar kolestrol.

Malah kejuruteraan genetik turut melibatkan kumpulan hidupan ini seperti ke atas yis, iaitu dalam membantu tahap tumbesarannya yang lebih pantas bagi mempercepatkan lagi proses tindakbalas dalam penghasilan sesuatu ubatan ataupun makanan.

Fungus bukanlah sekadar berguna kepada manusia sahaja. Fungsinya secara semulajadi di dalam alam merangkumi pelbagai fungsi. Ia turut mempengaruhi dunia hidupan lain seperti haiwan dan tumbuhan malah di antara kumpulannya sendiri dari spesis yang lain. Oleh sebab itu kumpulan kajian khas mengenai kumpulan hidupan ini merupakan satu bidang khas yang dipanggil mycology. Ini kerana kumpulan fungus di dapati boleh digunakan hampir di dalam kebanyakan bidang dalam kehidupan manusia.

Fugus and degradation
Fungsi fungus amat penting dalam pereputan.

Fungus dan Tumbuhan


Fungus membentuk hubungan simbiosis dengan tumbuhan dalam membantu tumbuhan bagi menyerap nutrient tidak organik seperti nitrate dan phosphate dari tanah yang mempunyai kepekatan rendah nutrient-nutrient ini. Ia juga menhubungkan antara tumbuhan dalam proses perkongsian karbohidrat dan nutrient lain. Fungus juga boleh mendiami hampir kesemua bahagian tumbuhan yang terdiri daripada pelbagai spesis yang berbeza dengan memberi pelbagai faedah berbeza pula kepada tumbuhan tersebut.
Manakala dalam situasi yang lain terdapat juga spesis fungus yang menyebabkan penyakit pada tumbuhan. Malah kebanyakan masalah penyakit pada tanaman adalah berpunca daripada fungus.

Fungus, Alga dan Bakteria

Lichen, combination of fungus, algae and backteria
Lichen -  Lobaria pulmonaria, simbiosis fungus, alga, dan bakteria cyanobacteria.

Fungsi fungus meliputi sehingga ke dalam hidupan mikro-organisma dalam hubungan unik ini bagi membentuk lichen. Lichen merupakan hasil daripada hubungan yang dibentuk daripada fungus (spesis berbeza daripada ascomycetes dan beberapa basidiomycetes), alga dan cynobacteria. Malalui hubungan ini ia bertindak sebagai satu organisma dan berbeza sekali daripada komponen asal mereka. Melalui hubungan ini gula dan karbohidrat didapati daripada proses photosynthesis (alga), manakala fungus akan membekalkan mineral dan air.  Hubungan ini dapat membantu mereka untuk hidup di pelbagai keadaan di muka bumi yang agak sukar dilakukan secara individu.

Fungus dan Serangga


Banyak spesis serangga yang bergantung kepada fungus sebagai sumber makanan mereka dan hubungan mereka ini amat unik. Semut misalnya didapati mebiakkan sendiri fungus ( dari kumpulan Agaricales) di dalam sarang mereka untuk dijadikan makanan. Begitu juga kumbang ambrosia yang menanam beberapa spesis fungus pada kulit pokok yang didiaminya. Berbeza pula bagi wood wasp yang menanamkan bersama telur mereka spora fungus dari jenis Amylostereum areolatum bagi menyediakan tempat tumbesaran yang sesuai apabila anak-anak mereka menetas nanti. Malah kumpulan fungus dari jenis yis (genus Candida dan Lachancea) mendiami bahagian usus kebanyakan serangga termasuk neuropteran, kumbang dan lipas. Hubungan ini tidak pasti samada membawa kebaikan kepada perumah atau sebaiknya.

Mycotoxins


Mycotoxins merupakan bahan yang dihasilkan oleh fungus bagi menyediakan persekitaran yang lebih sesuai untuk sesuatu fungus hidup dengan lebih baik atau sebagai pertahanan daripada musuh yang terdiri daripada pelbagai organisma lain samada bakteria, virus ataupun dari jenis fungus sendiri. Mycotoxin boleh menyebabkan makanan menjandi rosak dan menyebabkan keracunan makanan. Ia juga dalam masa yang sama digunakan sebagai ubatan seperti penicillin dalam membasmi bakteria. Mycotoxin juga merupakan bahan yang menjadikan sesuatu jenis cendawan itu beracun dan boleh membawa maut.

Bidang Pemakanan

Saccharomyces cerevisiae cells shown with DIC microscopy
Saccharomyces cerevisiae atau yis dilihat di bawah mikroskop.

Yis atau juga dikenali sebagai Saccharomycescerevisiae, merupakan fungus satu sel yang digunakan dalam penghasilan roti dan lain-lain makanan seperti pizza dan pau. Manakala yis dari genus Saccharomyces  juga digunakan dalam penghasilan minuman beralkohol melalui proses penapaian. Makanan tradisi Asia seperti kicap, sake dan miso juga menggunakan kulat yang dikenali sebagai Aspergillus oryzae. Manakala Rhizopus merupakan spesis yang digunakan dalam penghasilan tempah. Lain-lain makanan yang menggunakan spesis fungus ini termasuklah tapai. Fungus yang digunakan dalam proses penyediaan makanan turut menghasilkan mycotoxins, namun ianya tidak membahayakan kesihatan kepada manusia.

Kumpulan fungus yang lebih besar seperti cendawan juga turut digunakan secara meluas dalam bidang pamakanan. Sejak sekian lama manusia mempelajari kaedah untuk membiakkan sendiri cendawan-cendawan yang boleh dimakan untuk tujuan komersial. Agaricus bisporus atau lebih dikenali sebagai cendawan butang merupakan antara spesis yang terkenal dijual secara meluas dan digunakan dalam banyak masakan.

Beautiful mushroom
Kebanyakan spesis fungus tidak boleh dimakan, mempunyai fungsi lain dalam alam.

Dari jenis cendawan-cendawan ini ada di antaranya dianggap sebagai amat berharga seperti ‘matsu-take’ dan truffles. Ini kerana bukan semua jenis cendawan boleh dibiakkan melalui kaedah yang sama. Walaupun industri penanaman cendawan semakin popular masih terlalu sedikit cendawan yang boleh dibiakkan oleh manusia – manakala yang lainnya hanya boleh didapati secara meliar ataupun kaedah pembiakan yang tidak efektif.


Begitulah serba sedikit mengenai dunia fungus yang amat menarik untuk anda membuat tinjauan yang lebih lanjut. Ia merupakan satu dunia yang luas kerana dikatakan terdapat kira-kira 1.5 juta spesis fungus dan cuma 5% daripadanya yang diklasifikasikan. Oleh kerana dunia fungus turut mempengaruhi semua spesis kehidupan yang lain, maka bidang kajian fungus merupakan satu bidang yang penting untuk diberikan tumpuan seperti juga bidang hidupan yang lain.  Diharap penulisan kali ini dapat membuka lebih minat anda untuk mengenali kumpulan hidupan istimewa ini. Mungkin ia memberikan sedikit pandangan berbeza kepada anda mengenai dunia fungus yang merangkumi cendawan, kulat, kulapuk, yis dan macam-macam nama lagi. Terima kasih.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...