Memaparkan catatan dengan label kebersihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kebersihan. Papar semua catatan

Jumaat, 20 Januari 2017

Selamatkah Udara Di Dalam Pesawat?

Pernahkah anda terfikir mengenai kualiti udara di dalam pesawat?

Bagi yang sering menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara tentunya ingin sekali mengetahui sejauh manakah keselamatan kualiti udara di dalam pesawat dalam memastikan masalah ianya selamat. Perkara ini penting bagi mengelakkan kita merasa risau setiap kali melakukan perjalanan menggunakan pengangkutan udara.

Sistem pengankutan udara membawa jutaan manusia bergerak dengan lebih pantas ke serata dunia setiap hari. Ia membawa bersama mereka yang mungkin dijangkiti dengan masalah kesihatan yang mungkin berpotensi menjangkiti penumpang-penumpang yang lain. Semasa berada di dalam pesawat, pernafasan mereka yang dijangkiti semestinya akan berada di dalam ruangan kabin kapal terbang bersama penumpang-penumpang yang lain.

Sistem pengaliran udara di dalam pesawat; Lufthansa.

Tombol saluran udara di atas setiap penumpang.

Sistem pengudaraan pesawat moden sememangnya mengutamakan tahap kebersihan kualiti udara ini. Malah ianya direka dengan keupayaan penapisan kualiti udara setaraf dengan bilik pembedahan di hospital. Penggunaan penapisan HEPA berkeupayaan memerangkap antara 94 ~ 99.0 peratus partikel di dalam udara termasuk mikro-organisma yang dihembuskan ke dalam udara.

Kandungan udara di dalam kapal terbang adalah gabungan udara yang disedut dari enjin dan bukanlah semata-mata udara yang dikitar semula dari dalam kabin. Keadaan sistem pengudaraan ini adalah antara perkara yang diberikan penekanan oleh syarikat-syarikat pengeluar kapal terbang seperti Airbus dan Boeing dalam memastikan keselamatan pengguna sistem pengangkutan tersebut.

Anda mungkin tidak perlu berkadaan begini.

Sekiranya mengalami masalah kesihatan gunakan "face mask".

Berbanding dengan sistem pengudaraan, proses jangkitan atau perpindahan patogen berlaku dengan secara terus seperti; duduk bersebelahan/hampir dengan mereka yang dijangkiti, bersentuhan dengan objek atau peralatan yang disentuh oleh pesakit seperti tombol pintu tandas, peralatan-peralatan dan sebagainya.


Jadi apa yang perlu anda risaukan bukanlah sistem pengudaraan tetapi adalah perkara-perkara lain yang lebih utama. Jadi pastikan anda tidak bersentuhan dengan objek-objek ini dan sentiasa membersihkan tangan dengan sempurna sebelum menyentuh makanan dan sebagainya. Ini bagaimanapun diharap tidak menjadikan anda terlalu takut untuk menggunakan perkhidmatan udara sebaliknya mengambil langkah yang sewajarnya dalam mengelakkan sebarang kemungkinan.



Free Download



Khamis, 14 Julai 2016

Kepentingan Air Untuk Kesihatan

Air merupakan keperluan penting kepada badan.

Air merupakan antara elemen penting dalam kesiahatan. Walaupun kita sedia tahu akan kepentingan air ini, namun ada juga yang memandang remeh mengenainya. Mungkin pemahaman mengenai fungsi air kepada badan dapat menjelaskan mengapa anda perlu memastikan badan sentiasa mendapat bekalan air yang cukup.

Badan terdiri daripada 60% air yang menunjukkan betapa pentingnya air untuk memastikan ia berfungsi dalam keadaan baik. Air diperlukan dalam kebanyakan fungsi badan seperti penghadaman, penyerapan khasiat, mengawal kepekatan darah, mengawal suhu badan, membantu penghasilan cecair seperti air liur dan banyak lagi. Apabila badan anda berfungsi dengan baik ia akan memberikan ransangan yang tepat supaya anda mudah memahami keperluan badan seperti lapar, haus, letih, mengantuk dan sebagainya. Jadi ia akan memudahkan lagi anda dalam mengekalkan kesihatan yang sempurna.

Jumlah air di dalam badan.

Penagambilan air yang cukup amat penting.

Walaupun pengambilan air yang berlebihan boleh mendatangkan mudarat, namun ia mengambil jumlah yang terlalu banyak untuk anda mencapai kepada tahap tersebut. Malah badan anda akan mengeluarkan jumlah air yang berlebihan dengan cepat melalui air kecil. Jadi anda tidak perlu risau tentang pengambilan air berlebihan sebaliknya anda perlu memastikan pengambilan air yang betul-betul baik untuk badan; iaitu air yang bersih dari pencemaran dan tidak mengandungi  bahan toksid.

Banyak kebaikan air yang boleh disentuh kerana setiap fungsi badan memerlukan air. Ini kerana darah sendiri mengandungi 92% air, manakala 70% di dalam sel-sel (mengikut jenis sel tersebut), jadi air merupakan keperluan utama dalam setiap aktiviti yang berlaku di dalam badan. Sekiranya ingin disenaraikan segala kebaikan air – ia akan merangkumi kesemua proses yang baik dari mengekalkan kesihatan, anti-penuaan, megelakkan penyakit, mengekalkan kesihatan, mengelakkan berat badan berlebihan dan sebagainya.

Air minuman yang dibotolkan.

Air minuman yang ditambah Oksigen.

Sumber air diperolehi daripada minuman dan makanan sendiri. Makanan seperti buah-buahan mengandungi kandungan air yang tinggi dan ia juga merupakan sumber air yang baik. Minuman ringan dan minuman beralkohol pula sebaliknya perlu dijauhkan untuk mengelakkan gangguan kepada kesihatan. Manakala sumber minuman daripada air yang tercemar adalah sama sekali tidak boleh diminum kerana ia boleh menyebabkan berlakunya masalah kesihatan.

Walaupun air yang bersih secara umumnya adalah menyihatkan, beberapa berpezaan pada air yang baik ini juga boleh memberikan kesan yang optimum kepada kesihatan badan anda. Air beralkali misalnya mengandungi sejumlah mineral yang baik untuk badan, selain ia sendiri mempunyai pH yang meneutralkan keasidan di dalam badan. Air RO pula dikatakan mempunyai molekul yang lebih kecil dan mudah diserap ke dalam badan. Ada juga yang melarutkan sejumlah Oksigen yang tinggi di dalam air bagi meningkatkan kadar Oksigen di dalam darah; namun ia bukanlah suatu perkara yang begitu penting.


Penggunaan penapis air bagi memastikan air adalah bersih.

Pencemaran menyebabkan air mengandungi bahan-bahan merbahaya.

Apa yang boleh dirumuskan mengenai air ini adalah, air yang bersih adalah baik untuk kesihatan anda. Pastikan anda mendapat sejumlah bekalan air yang cukup dan kurangkan pengambilan air yang mengandungi bahan perasa tiruan ataupun beralkohol dan elakkan juga minuman ringan. Pastikan anda melakukan aktivti yang mengeluarkan peluh bagi melancarkan lagi pengeluaran toksid dari badan disamping membantu badan mengimbangi kandungan cecair di dalam badan anda.


Free Download



Jumaat, 13 November 2015

Bagaimana Sampah Berguna di Sweden?

Sweden kekal bersih dengan sistem pelupusan sampah yang efektif.

Masalah pembuangan sampah menjadi salah satu masalah hampir di mana sahaja di merata tempat. Samada bandar-bandar kecil ataupun pusat bandaraya yang lebih besar. Sampah yang dianggap sebagai barang buangan ini, tidak ramai yang tahu menggunakannya seperti Sweden!

Sweden merupakan antara negara yang paling berjaya dalam sistem pengurusan bahan buangan untuk ditukarkan kepada tenaga. Sehingga tahun 2012 hanya 1% sahaja bahan buangan yang dihasilkan. Ini bukanlah bermakna Negara Sweden tidak menghasilkan sampah, malah ia menghasilkan 3 kali ganda lebih banyak berbanding tahun 1985. Keadaan ini bukan sahaja membantu Sweden untuk kekal lebih bersih dan selamat, tetapi Sweden juga mengimport sampah dari Britain untuk dikitar semula.

Kepakakaran Sweden dalam menguruskan sampah ini adalah kerana sistem pelupusan sampah yang dikenali sebagai “incinerator” yang pertama telah dibina di Sweden sejak tahun 1904 lagi. Ini lah yang membantu negara ini dalam memperbaiki sistem pelupusan sampah mereka sehingga menjadikan sistem ini turut mampu menukarkan tenaga yang dihasilkan untuk digunakan semula bagi kegunaan orang ramai. Kepakaran Sweden ini turut dikuasai oleh negara-negara berhampiran seperti German, Denmark, Natherland dan Belgium.


Pelupusan sampah untuk penghasilan tenaga di Sweden.

Keadaan di dalam sistem pelupusan sampah.

Pembuangan sebegini tentu tidak menyihatkan.

Melalui sistem pelupusan sampah ini sekitar 950,000 buah rumah di serata Sweden dipanaskan dengan tenaga yang dihasilkan dari sini. Manakala 260,000 buah rumah lagi mendapat bekalan tenaga elektrik juga yang dihasilkan dari sistem pelupusan kitar semula. Jika tenaga yang dihasilkan dari sampah-sampah ini sangat berguna, maka tidak hairanlah mengapa Sweden mengimport sehingga 800,000 tan sampah pada tahun 2014, satu peningkatan yang jauh lebih tinggi berbanding hanya 550,000 tan pada tahun 2010.

Di negara kita, idea untuk membina sistem pelupusan sampah sebegini pernah dicadangkan oleh bekas perdana menteri Malaysia ke-4 Tun Dr. Mahathir dan tidak mendapat sokongan daripada orang ramai ketika itu. Ya, sistem ini mengambil masa untuk mencapai kematangan (memberikan hasil seperti apa yang berlaku di Sweden). Berbanding Eropah, negara-negara lain juga semakin giat memanfaatkan sistem pelupusan sampah mereka untuk menghasilkan tenaga (Waste-to-energy – WTE) seperti juga Jepun, China dan US.


Salah sebuah sistem 'incinerator' di Sweden.

Sistem tapak pelupusan begini, membawa kesan yang jauh lebih buruk.

Pelupusan sampah secara tradisional bukan sahaja memerlukan keluasan tapak pelupusan yang besar malah ia turut membebaskan gas-gas merbahaya, cecair toksid dan sebagainya. Sistem pelupusan yang lebih sistematik ini perlu dicontohi sebelum kita sendiri mencapai kematangan dalam sistem pelupusan tersebut. Sama-sama ktia fikirkan.








Free Download



Sabtu, 28 Mac 2015

Mikro Post; Dung Beetle

Kumbang Tahi memindahkan tahi ke kawasan yang sesuai untuk dijadikan sarang.

Dung Beetle atau juga dikenali dengan nama “Kumbang Tahi” mungkin kurang menarik bagi anda, namun setelah anda membaca artikel kali ini anda mungkin tahu bahawa kumbang ini amat istimewa dan penting sekali dalam ekosistem. Kumbang tahi bukan sahaja berbentuk kurang menarik dan berwarna gelap, malah pekerjaannya dalam menjadikan najis haiwan lain sebagai makanan mungkin agak menggelikan.

Sebenarnya kumbang tahi merupakan serangga yang amat istimewa malah penting sekali dalam ekosistem. Selain daripada membersihkan najis haiwan lain ia mengelakkan merebaknya wabak penyakit dengan pembiakan serangga dan haiwan penyebar penyakit seperti lalat.

Dung beetle - Onitis aygulus
Dung beetle - Onitis aygulus

Dung beetle - Onthophagus nigriventris
Dung beetle - Onthophagus nigriventris

Sebahagian kumbang-kumbang hanya memakan najis haiwan-haiwan tertentu sahaja manakala ada juga yang memakan pelbagai jenis. Oleh kerana najis haiwan herbivor mengandungi kandungan makanan yang tidak dihadamkan oleh haiwan-haiwan ini, maka ia menjadi sumber makanan yang sesuai bagi kumbang tahi. Namun begitu kajian daripada University of Nebraska mencadangkan kumbang ini lebih tertarik kepada najis haiwan omnivor kerana mengandungi nutrient dan juga bauan yang lebih mudah untuk dikesan.

Walaupun kebanyakan kumbang tahi menggulingkan najis ke lokasi yang sesuai untuk ditanam dan dijadikan sarang. Namun banyak spesies lain yang mempunyai kaedah unik masing-masing untuk menjadikannya sebagai makanan dan untuk tujuan pembiakan. Ada yang akan tinggal berdekatan dengan kawasan najis tersebut dijumpai atau terus tinggal di dalam najis tersebut.

Kumbang ini amat penting, di negara-negara yang mempunyai industri penternakan haiwan seperti lembu dan kambing, memerlukan kumbang ini untuk membantu membersihkan najis haiwan ternakan yang dihasilkan. American Institute of Biological Sciences melaporkan kumbang ini telah membantu industri penternakan lembu di United States sebanyak USD380 juta setahun dalam pembersihan najis haiwan ternakan yang berada di atas tanah.

types of dung beelte
Perbezaan cara kehidupan spesies-spesies kumbang tahi

Malah penggunaan kumbang tahi juga digunakan di negara Australia bagi membantu negara tersebut menangani masalah yang sama dalam industri penternakan lembu di negara itu. Melalui pengenalan 23 spesies kumbang dari Afrika Selatan dan Eropah, ia memberikan hasil yang amat memberangsangkan dalam menjaga kebersihan kawasan ragut dan mengurangkan pembiakan serangga perosak seperti lalat.


Banyak lagi perkara menarik mengenai kumbang ini yang perlu anda ketahui. Mungkin kehidupan serangga ini sedikit menggelikan anda, namun kepentingan serangga unik ini kepada alam amatlah besar. Tanpa kumbang ini tentu kita akan berhadapan dengan masalah kebersihan yang lebih serius.




Free Download



Ahad, 28 September 2014

Perkara Menakutkan Mengenai Cacing Pita

Cyst caused by tapeworm
'Cyst' pada otak manusia yang disebabkan oleh telur 'tapeworm'.


Cacing pita atau lebih dikenali sebagai ‘tapeworm’ bukanlah sesuatu yang popular di kalangan masyarakat Malaysia atau khususnya bagi orang-orang Melayu. Namum begitu masalah kecacingan ini merupakan masalah biasa bagi kanak-kanak dan juga bagi orang dewasa – dan boleh menjadi serius sekiranya tidak diberikan perhatian.

Cacing pita biasanya mendiami perumah iaitu haiwan peliharaan seperti binatang ternakan (terutamanya lembu atau khinzir) malah ia juga turut menjangkiti haiwan lain termasuk kucing, anjing ataupun ayam. Oleh kerana telur cacing ini kecil dan sukar dilihat, amalan penyediaan makanan yang bersih perlu diamalkan dan memasak daging dengan betul dapat mengelakkan telur cacing masuk ke dalam badan kita.

Adult tapeworm
'Tapeworm' dewasa.

Cacing pita merupakan cacing yang perlu dielakkan kerana ia boleh hidup di dalam badan manusia (perumah) sehingga berusia 20 tahun lamanya dan menjangkau saiz sehingga berukuran puluhan kaki panjang. Apa yang lebih menakutkan, dalam tempoh yang sebegitu lama ia akan terus membiak dan menjadikan badan anda sebagai rumah kediamannya yang paling selesa.

Pada tahap yang serius cacing pita boleh menjadikan otak perumahnya sebagai tempat untuk ia bertelur. Pada tahap ini ia sudah pasti akan menyebabkan perumahnya mengalami kerosakan pada sistem saraf dan otak. Perkara ini sering berlaku pada haiwan yang dijangkitinya terutama khinzir dan dilaporkan juga pada manusia. Ia sudah pasti perkara yang paling anda takuti!..

Bagi mengelakkan jangkitan cacing pita atau juga lain-lain jenis cacing sudah pasti amalan kebersihan dalam penyediaan makanan perlu dititik beratkan. Malah persekitaran yang bersih juga adalah penting ini kerana anda mungkin tidak sedar bila secara tidak sengaja anda memasukkan jari atau bahan yang telah bersentuhan dengan telur cacing ke dalam mulut anda tanpa sengaja.

Extra-large tapeworm
Saiz 'tapeworm' boleh mencapai pajang di luar jangkaan.

Bagi masyarakat Melayu atau mungkin juga kaum-kaum lain mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani masalah kecacingan. Ini menunjukkan masalah kecacingan merupakan perkara yang sejak dahulu lagi mendapat perhatian manusia. Bagi masyarakat Melayu sejenis akar kayu didapati dapat membunuh cacing di dalam badan dengan menggunakan air rebusan atau menggunakannya sebagai mandian.


Secara ringkasnya, amalan kebersihan dan penjagaan kesihatan yang baik dapat mengelakkan anda daripada dijangkiti makhluk parisit ini. Perlu diingatkan dalam segala hal, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Semoga kita sentiasa dapat mengekalkan kesihatan yang baik.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Sabtu, 12 Julai 2014

Kaedah Memanfaatkan Tenaga Percuma, Matahari.

sun energy
Matahari membekalkan tenaga yang banyak melalui cahayanya.

Tenaga Solar seperti yang kita ketahui mampu membekalkan tenaga elektrik daripada cahaya matahari yang boleh didapati secara percuma. Adakah anda perasan yang tenaga daripada cahaya matahari ini telah lama digunakan dalam pelbagai cara dalam membantu kehidupan manusia sehari-hari. Maka terpulanglah bagaimana kita bagi mencari kaedah terbaik memanfaatkan sumber yang tersedia disekeliling kita dengan banyaknya.

Cahaya Matahari sentiasa digunakan oleh manusia sejak berzaman-zaman dahulu dalam kehidupan harian mereka. Samada untuk kegunaan pekerjaan seharian mahupun dalam proses mengawet makanan bagi mengelakkannya rosak. Maka di sini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang bagaimana cahaya matahari boleh dimanfaatkan dalam pelbagai cara – seterusnya kita dapat melihat bagaimana kehidupan kita sebenarnya amat dirahmati dengan pelbagai kemudahan tersedia.

Bagi tumbuh-tumbuhan semestinya memerlukan cahaya matahari untuk membuat makanan melalui proses fotosintesis. Fungsi ini dibekalkan kepada tumbuhan memandangkan ia merupakan kaedah terbaik bagi tumbuhan memanfaatkan tenaga cahaya yang dipancarkan matahari untuk membuat makanan mereka. Memandangkan tumbuhan tidak boleh bergerak dari satu-satu tempat, ia memanfaatkan tenaga cahaya yang tersebar ke seluruh alam dalam proses penghasilan makanan mereka.

Bukan hanya cahaya sahaja yang penting dibekalkan matahari kepada alam, malah tenaga haba juga amat diperlukan. Semua kehidupan di bumi memerlukan suhu yang sesuai untuk kekal berada dalam keadaan aktif (hidup dan menjalankan aktiviti dengan optimum). Keadaan yang terlalu panas atau terlalu sejuk akan menyebabkan segala proses terganggu. Bagi membekalkan suhu yang sesuai ini, haba yang dibekalkan daripada cahaya matahari di sebarkan dan diseimbangkan oleh lapisan atmosfera bumi yang unik.

Berbalik kepada manusia sebagai makhluk yang diberikan akal fikiran sudah semestinya mempunyai pelbagai kaedah dalam menggunakan kemudahan cahaya matahari ini. Walaupun manusia sendiri perlu mendapatkan perlindungan daripada cahaya matahari yang terlalu terik kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan, manusia dapat memanfaatkannya semenjak dahulu lagi.

Solvatten
Peralatan Solvatten untuk membekalkan air bersih menggunakan cahaya matahari.

Cahaya matahari digunakan dalam pelbagai cara antaranya adalah untuk mengeringkan hasil pertanian ataupun dalam mengeringkan tangkapan untuk mengelakkannya cepat rosak. Bagi tujuan ini penggunaan cahaya matahari merupakan kaedah terbaik kerana disamping mengeringkan kandungan air di dalam bahan yang dikeringkan ia juga membunuh mikro-organisma merbahaya di dalam bahan tersebut dengan cahaya UV terkandung di dalam cahaya matahari.

Selain itu juga cahaya matahari juga digunakan untuk mengeringkan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bahan binaan (batu-bata & tanah liat) sebelum manusia tahu kaedah untuk membuat simen ataupun batu-bata yang dibakar. Malah kebanyakan bahan yang digunakan untuk membuat pakaian, kertas dan lain-lain barangan keperluan juga perlu melalui proses pengeringan yang menggunakan cahaya matahari.

Cuma akhir-akhir ini apabila penggunaan cahaya matahari dapat digantikan dengan menggunakan peralatan-peralatan moden, fungsi cahaya matahari yang dahulunya sering digunakan semakin dilupakan. Namun begitu ia tidak bermakna cahaya matahari telah hilang atau fungsinya tidak boleh digunakan lagi. Walaupun kaedah memanfaatkan cahaya matahari melalui Sel Suria (Solar Cell) dalam menghasilkan tenaga elektrik merupakan satu pencapaian yang baik namun banyak lagi kaedah lain yang tidak memerlukan kita mengeluarkan modal yang terlalu besar untuk mendapat manfaat daripada cahaya matahari.

lampu botol matahari
Lampu botol matahari ini dapat membekalkan cahaya yang cukup pada waktu siang.

Antara penggunaan cahaya matahari yang paling ringkas adalah penggunaan cahayanya dalam pencahayaan bangunan pintar – iaitu rekabentuk yang membolehkan cahaya matahari menerangi bahagian dalam bangunan di waktu siang bagi menjimatkan lagi penggunaan tenaga elektrik. Kaedah yang sama juga digunakan untuk rumah-rumah kediaman dalam usaha penjimatan tenaga elektrik.

Berbeza di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Botol minuman digunakan dan diletakkan di atas atap rumah bagi membolehkan cahaya matahari menerusinya. Cahaya matahari akan disebarkan oleh botol minuman yang di isi air bagi meningkatkan lagi sudut biasan cahaya yang menerusinya.

Cahaya matahari juga amat sesuai digunakan untuk menyahkuman (sterilize) air untuk tujuan kegunaan atau minuman. Ini kerana selain daripada membekalkan tenaga haba ia juga mengandungi cahaya UV yang dapat membunuh mikro-organisma berbahaya di dalam air. Terdapat rekaan produk yang direka bagi membantu rakyat di negara-negara membangun mendapat bekalan minuman air bersih ini dengan menggunakan cahaya matahari. Antaranya adalah Solvatten yang direka untuk mengelakkan jangkitan penyakit yang disebabkan oleh mikro-organisma di dalam air. Ia amat mudah digunakan dan ternyata menjimatkan.

Penyulingan air
Kaedah penyulingan dengan menggunakan tenaga matahari.

Selain daripada itu kaedah penyulingan air juga boleh dilakukan dengan memanaskan air menggunakan cahaya matahari dan mengumpulkan wap air yang terkondensasi. Kaedah ini juga amat sesuai untuk memperolehi air yang bersih walaupun sumber air yang disuling mungkin agak kotor. Kaedah ini boleh dilakukan dengan mereka peralatan yang khas ataupun hanya dengan mengorek tanah dan menutup lubang tersebut dengan kanvas di mana di dalamnya diletakkan baldi untuk mengumpulkan wap air yang dikumpulkan.

Penggunaan engin stim daripada tenaga matahari juga merupakan salah satu kaedah yang baik dalam memanfaatkan sumber tenaga percuma ini. Stim yang dihasilkan boleh dipelbagaikan samada ia akan terus digunakan atau boleh digunakan untuk menjana elektrik. Untuk kaedah ini cahaya matahari perlu dikumpulkan dengan menggunakan pemantul cahaya dan ditumpukan pada satu titik untuk memanaskan dandang. Tekanan yang terhasil daripada pemanas air seterusnya akan digunakan untuk mengerakkan engin stim.

Solar furnace
Relau suria terbesar di Odeillo, Pyrenees-Orientales, Perancis.

Malah kaedah yang sama turut digunakan untuk tujuan pemanasan bahan yang ingin dicairkan seperti bijih besi dan sebagainya. Antara relau yang terbesar menggunakan tenaga matahari sebagai tenaga adalah relau solar yang di bina di Odeillo, Pyrenees-Orientales di Perancis. Ia telah beroperasi sejak dari tahun 1970’an lagi. Ia adalah hasil rekaan Professor Felix Trombe yang turut membina satu lagi relau yang sama pada tahun 1949 di kawasan yang berhampiran.

Keunikan relau suria ini adalah ia mampu menghasilkan suhu sehingga 3,500°C/6330°F yang mampu mencairkan logam. Malah tenaga yang dihasilkan juga adalah lebih bersih kerana tidak menggunakan bahan lain seperti arang batu atau pentroleum yang menghasilkan bahan buangan yang boleh mencemarkan alam. Malah banyak lagi manfaat yang boleh digunakan melalui penghasilan relau suria ini kerana bagi sesetengah pengkaji usaha untuk menghasilkan haba yang sebegitu tinggi perlu untuk membolehkan mereka melakukan pelbagai kajian.



Terdapat banyak lagi cara bagaimana manusia memanfaatkan tenaga matahari yang menerangi dan memanaskan alam setiap hari. Tidak kira samada untuk menghasilkan elektrik ataupun untuk digunakan terus bagi mendapatkan manfaatnya seperti untuk tujuan pengeringan, yang pasti sumber tenaga ini boleh dipelbagaikan dengan mudah. Bagi kita yang tinggal di kawasan yang kaya dengan cahaya matahari seharusnya kita mempunyai kaedah tersendiri dalam memanfaatkannya.

Sehubungan itu adalah diharap ia dapat menimbulkan inspirasi bagi anda dalam memikirkan bagaimanakah kaedah yang terbaik untuk menggunakan cahaya matahari dalam kegunaan harian. Apa yang penting, kita terus berusaha untuk memanfaatkan sumber yang murah dan bersih untuk kebaikan semua dalam jangka masa panjang.


Artikel lain yang berkaitan:

i) Langkah Penjimatan Tenaga Di Rumah.

ii) Usaha Dalam Menggunakan Tenaga Solar Oleh Britain.

iii) Bagaimana Deep Green Menghasilkan Tenaga Elektrik Di Dalam Laut.

iv) Bagaimana Dapur Induksi Berfungsi Dan Adakah Ianya Lebih Bagus?


Free Download



Arkib Blog