Memaparkan catatan dengan label minuman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label minuman. Papar semua catatan

Rabu, 8 Jun 2016

Kehebatan Minuman Yang Menyegarkan, Teh

Secawan teh dapat memberikan kesegaran badan.

Teh atau “tea”, merupakan minuman yang mudah disediakan dengan hanya merendamkan daun teh yang telah dikeringkan ke dalam air panas. Daun yang berasal dari pokok teh (Camellia sinensis), ini adalah merupakan tumbuhan yang berasal daripada Asia yang hari ini merebak ke serata dunia kerana permintaan ke atasnya. Hari ini terdapat pelbagai jenis minuman teh yang berasal daripada pelbagai bahagian dunia, selain turut ditambah dengan pelbagai perisa. Teh-teh ini sahaja tidak termasuk gelaran “teh” yang diberikan kepada bahan yang dikeringkan seperti bunga, daun, kulit, kayu, akar atau bahan-bahan lain, walaupun ianya biasa dipanggil “teh herba” (tisanes atau herbal infusions).

Teh merupakan tanaman yang berasal dibahagian Barat Daya China yang pada asalnya dijadikan sebagai minuman ubatan. Ia kemudiannya menjadi sebahagian minuman rekreasi semasa pemerintahan Dinasti Tang dan ini menyebabkan teh lebih dikenali ke serata Timur Asia. Kedatangan Portugese dan juga para pedagang membawa teh ke bahagian-bahagian lain dunia sekitar abad ke-16. Ia kemudiannya menjadi minuman yang mempunyai permintaan tinggi apabila ia mula menjadi minuman kegemaran di kalangan Britons yang kemudiannya melakukan penanaman teh di India untuk melepasi monopoli yang di kuasai oleh China.


Pokok teh (Camellia sinensis).

Teh seperti yang kita ketahui berasal di kawasan-kawasan tinggi (sejuk) namun menghijau sepanjang tahun. Ia dikatakan berasal dari Utara Burma, selain Yunan dan Sichuan di China. Amalan meminum teh ini mungkin bermula lebih awal iaitu semasa Dinasti Shang sebagai sebahagian minuman perubatan herba. Mereka merebus daun-daun teh tanpa dicampur dengan daun atau akar kayu yang lain, dan digunakan sebagai minuman penggalak (menyegarkan).

Teh kekal sebagai minuman popular dan penting di China dengan penemuan bukti penggunaannya di perkuburan Maharaja Jing dari Han di Xi'an, yang menunjukkan teh yang menggunakan tumbuhan daripada genus Camellia telah digunakan sebagai minuman pada Dinasti Han seawal abad ke-2 BC. Ia merupakan minuman yang memberikan kesegaran, memulihkan tenaga bagi orang-orang China. Teh kemudiaannya menjadi lebih popular semasa Dinasti Tang dan mula disebarkan ke Korea, Jepun dan Vietnam. Manakala di India teh telah digunakan untuk tempoh yang agak lama, namun di bahagian Himalaya ianya hanya dikenali apabila British mula membawa masuk tumbuhan tersebut untuk ditanam di daerah itu.

Penanaman Teh

Teh (Camellia sinensis) merupakan tumbuhan malar hijau yang sesuai ditanam di kawasan ber-iklim tropika dan sub tropika. Namun terdapat verieti yang mampu bertahan untuk iklim laut dan ditanam di kawasan seperti Cornwall di United Kingdom, Perthshire di Scotland, Washington di United States dan Vancouver Island di Canada. Manakala di Hemisfera Selatan pula ia boleh ditemui ditanam di Hobart di Australia, iaitu pulau di Tasmania dan juga Waikato di New Zealand.

Pokok teh boleh ditanam melalui biji atau keratan rentas batangnya. Ia mengambil masa antara 4 ke 12 tahun untuk pokok menjadi matang dan menghasilkan buah, namun pada usia 3 tahun pokok teh telah mencapai usia sesuai untuk dituai. Tanaman teh boleh bertahan untuk suhu yang sejuk dengan hujan tahunan sekitar 127 cm (50 in) setahun dan memerlukan tanah yang berasid. Kebanyakan teh yang baik ditanam pada ketinggian 1,500 m (4,900 ft) di atas paras laut. Sebenarnya teh tumbuh dengan lebih perlahan pada ketinggian ini, namun ia menghasilkan teh dengan kualiti yang lebih baik.

Oleh kerana teh telah tersebar ke serata dunia. Kini terdapat pelbagai jenis teh yang dihasilkan daripada beberapa variasi teh sendiri seperti; Camellia sinensis var. Sinensis yang digunakan oleh masyarakat Cina, Formosan (Taiwan) dan Jepun, manakala C. s. var. assamica pula adalah yang digunakan untuk teh Pu-erh dan juga teh di India (tetapi bukan Darjeeling). Daripada pelagai variasi ini juga terdapat dua pengkelasan yang ketara iaitu, jenis Assam (India) pengkelasan daun bersaiz besar dan jenis dari China pula dengan pengkelasan daun bersaiz kecil; sementara jenis Cambodia pula adalah berdasarkan daun pertengahan.

Bahan Kimia Di Dalam Teh

Teh seperti juga kopi turut mengandungi caffeine iaitu sebanyak 3% daripada berat keringnya. Selain daripada caffeine ia turut mengandungi sejumlah kecil bahan-bahan seperti theobromine dan theophylline yang bertindak sebagai peransang dan xanthines yang mempunyai kesan yang sama seperti caffeine.

Kedua-dua teh hitam (coklat) ataupun hijau mengandungi nutrient penting seperti manganese, selain beberapa polyphenols termasuk flavonoids, epigallocatechin gallate dan beberapa catechins.

Teh dikatakan mempunyai potensi menjauhi serangan kanser dan lain-lain masalah kesihatan seperti obesity dan juga Alzheimer. Namu ini tiada sokongan yang kuat dalam menyokong kebenaran ini, dan kajian yang dijalankan juga tidak menunjukkan apa-apa kesan bagi membantu penggunaan teh dalam mengurangkan kadar kolestrol di dalam darah.


Daun teh yang kecil dikatakan lebih baik.

Memetik daun teh di Cameron Highlands.

Pemandangan ladang teh di Darjeeling.

Jenis-Jenis Teh

Jenis-jenis teh tidak diasingkan berdasarkan jenamanya, tetapi jenis dan kaedah ianya dihasilkan. Secara ringkasnya terdapat sekurang-kurangnya 6 cara penghasilan tersebut;

  • Putih – layu dan tidak teroksida
  • Kuning – tidak layu dan tidak teroksida, tetapi dibiarkan menjadi kuning.
  • Hijau – tidak layu dan tidak teroksida
  • Oolong – layu, renyuk dan sedikit teroksida
  • Hitam – layu, adakalanya dikisar dan teroksida.
  • Post-fermented – teh hijau yang dibiarkan mereput (dikenali sebagai 'black tea' 黑茶 hēichá bagi masyarakat Chinese).

Boh Seri Songket merupakan teh berperisa.

Jepun masih lagi menjadikan teh sebagai minuman penting.

Terdapat banyak jenis-jenis teh yang dikeluarkan setelah ianya tersebar ke seluruh dunia. Hari ini teh turut dihasilkan dengan bahan-bahan perasa baru samada daripada buah-buahan ataupun tumbuh-tumbuhan. Penghasilan teh ini dapat dilihat daripada jenama-jenama teh yang biasa kita lihat di pasaran seperti Boh, Lipton, Teh Sabah, Cap Masjid dan sebagainya. Kita mungkin mengenali beberapa jenis teh yang digunakan untuk pasaran pengguna domestik, namun teh yang digunakan untuk penggunaan dalam kuantiti yang besar adalah jauh berbeza.

Apa pun, teh masih lagi merupakan salah satu minuman yang mampu bertahan sehingga ke hari ini. Sekiranya teh mengandungi kebaikan, ia mungkin adalah jauh lebih baik daripada minuman-minuman ringan yang dijual di pasaran seperti coca-cola, mountain dew, sprite, pepsi dan minuman penambah tenaga yang banyak mengandungi bahan pengawet dan perasa. Jadi mengapa kita perlu mengambil risiko!


Banyak lagi perkara mengenai teh yang mungkin boleh kita perbincangkan kerana teh merupakan minuman yang juga mempunyai kaitan rapat dengan ciri-ciri budaya dan tradisi kita masyarakat di Timur. Walaupun teh hari ini dinikmati dengan gaya moden, tetapi kebaikan teh yang berasal dari tumbuhan asli adalah sesuatu yang harus kita fikirkan dalam kriteria memilih minuman yang menyihatkan.



Free Download



Selasa, 14 Julai 2015

Jalan-jalan Cari Makan – Nasi Lemak

Nasi Lemak disediakan dari restoran Mamak, Sydney, Australia.

Nasi Lemak merupakan makanan popular Malaysia sejak dahulu lagi. Pada mulanya ianya hanya dihidangkan sebagai makanan untuk sarapan sahaja, namun dengan pelbagai perubahan yang telah disesuaikan dengan nasi istimewa ini, maka hari ini anda boleh menemui nasi lemak dihidangkan hampir dari pagi hingga ke malam dengan variasi yang berbeza-beza.

Mendapat nama daripada lemak santan (creamy coconut milk) yang digunakan untuk memasak beras, berbanding air dan ditambah pula dengan wangian daun pandan, nasi lemak mempunyai aroma bauan yang tersendiri. Apatah lagi nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang. Ia merupakan pelengkap kepada bauan yang telah sedia ada.

Nasi Lemak adalah makanan serantau, selain popular di Malaysia ia juga dihidangkan di beberapa negara berdekatan seperti Brunei, Singapore, Kepulauan Riau, Selatan Thailand dan juga Philippines. Cuma bagi negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu mereka mempunyai hidangan nasi yang lebih popular iaitu 'Nasi Kerabu' dan ‘Nasi Dagang’ yang menyaingi keenakan nasi lemak. Namun begitu nasi lemak masih boleh didapati di kedua-dua negeri ini.

Nasi Lemak biasa dengan tambahan rendang ayam.
Nasi lemak bungkus 'daun pisang'.

Nasi lemak asli dihidangkan dengan sambal, ikan bilis (anchovies), kacang goreng, timun dan telur rebus. Ia merupakan nasi lemak biasa yang masih dihidangkan hingga ke hari ini. Namun begitu kesesuaian nasi lemak untuk dipadankan dengan lauk-lauk yang lain menyebabkan ia turut dihidangkan bersama seleksi lauk-pauk yang lebih luas daripada sambal kerang, sambal sotong, rendang ayam, rendang daging, kari ayam dan kari daging, ikan goreng, sambal udang, sayur celur dan sebagainya. Pilihan lauk-pauk yang banyak ini disertakan bersama hidangan ‘Nasi Lemak Kukus’ yang biasanya dihidangkan pada sebelah malam.

Nasi Lemak Kukus adalah variasi baru kepada nasi lemak. Ianya lebih diminati kerana lebih gebu dan tidak berkerak. Nasi lemak kukus disediakan di sebelah malam bagi menyediakan hidangan yang lebih berat bagi mereka yang suka berjaga malam bersama kawan-kawan atau keluarga. Nasi lemak kukus dihidangkan di dalam pinggan seperti nasi biasa dan lauk-pauknya dipilih sendiri oleh pelanggan daripada sejumlah pilihan lauk yang banyak. Jadi ianya lebih menyelerakan.

Nasi Lemak Kukus dengan pilihan tambahan lauk yang banyak.

Nasi lemak di sebelah pagi dihidangkan dengan lebih ringkas dan adakalanya dalam bentuk ‘Nasi Lemak Bungkus’, di mana nasi lemak bungkus hanya menyediakan nasi lemak asas sahaja dan hanya disertakan beberapa pilihan lauk. Namun tidak dinafikan sekiranya nasi lemak ini disertakan dengan sambal yang sesuai ia masih merupakan hidangan yang cukup untuk memberikan anda tenaga sehingga ke tengahari.

Dari negara-negara jiran juga terdapat nasi yang dimasak dengan santan kelapa seperti ‘nasi uduk’ dari Jakarta, ‘nasi gurih’ dari Aceh, dan ‘nasi liwet’ dari daerah Jawa. Namun begitu terdapat perbezaan rasa kerana nasi-nasi ini menggunakan rempah-rempah yang berbeza dan bahan pewangi seperti serai berbanding daun pandan. Namun begitu ia juga merupakan makanan unik untuk dicuba sekiranya anda berpeluang melawati daerah-daerah tersebut nanti.

Nasi Lemak telah sebati dengan budaya Malaysia dan dihidangkan oleh semua kaum mengikut citarasa sendiri. Bagi orang India ia mungkin disediakan dengan hidangan lauk-pauk kari sesuai dengan pilihan mereka, manakala bagi orang-orang Cina juga turut menyediakan nasi lemak mereka sendiri bagi dipadankan dengan hidangan kegemaran mereka yang tidak disediakan oleh orang-orang Melayu Muslim.


Jadi, sekiranya anda merantau ke seluruh Malaysia, hidangan nasi lemak masih boleh didapati tidak terkecuali di Sabah dan Sarawak. Hidangan unik ini merupakan antara hidangan yang bukan sahaja bertahan lama, malah sentiasa mendapat tambahan sentuhan kreatif yang menambahkan lagi keenakan sewaktu menikmatinya.


Free Download



Isnin, 13 Julai 2015

Jalan-jalan Cari Makan – Air Kelapa, “Janda Pulang”

Air Kelapa muda dapat mengembalikan kesegaran.


Air kelapa sememangnya menyegarkan terutamanya setelah penat melakukan aktiviti seharian. Air kelapa juga sememangnya diketahui mempunyai banyak khasiat dalam dunia perawatan tradisional masyarakat Melayu. Sebagai minuman pula, ia sentiasa mendapat sambutan oleh semua kaum dan terdapat hampir di serata pelosok tanah air.

Bagi air kelapa muda yang biasa, ia tidaklah menjadi sebarang masalah kerana kebiasaannya air kelapa muda disediakan di dalam buah yang telah dipotong sabutnya dan hanya menunggu untuk ditebuk dan diminum. Begitu juga bagi sesetengah peniaga, buah kelapa yang masih segar dijual kepada pembeli di kawasan-kawasan tertentu di pinggir bandar.


Kelapa hijau dari jenis 'kelapa pandan' adalah yang terbaik untuk minuman.
Penuh kebaikan, air kelapa muda.

Air kelapa muda mempunyai rasa yang manis secara semulajadi. Ditambah pula dengan isinya yang masih lembut sebagai bahan kunyahan semasa menikmati minuman ini. Ia merupakan minuman yang baik untuk menghilangkan rasa kehausan seterusnya mengimbangi kadar cecair di dalam badan. Tidak seperti minuman lain yang akan membuatkan perasaan dahaga yang berterusan yang membuatkan anda terus minum dengan banyak.

Air kelapa amat penting terutamanya dalam membersihkan bahan toksik dari badan termasuklah racun. Pengamal perubatan Melayu tradisional amat mementingkan penggunaan buah kelapa samada untuk diminum, mandi atau sebagai salah satu bahan perawatan. Air kelapa mempunyai tindak balas yang baik dengan badan manusia tanpa sebarang komplikasi yang serius.


Air 'Janda Pulang' dihidang di dalam gelas.

Namun apabila berkata tentang air kelapa sebagai minuman, terdapat sejenis minuman di Negeri Sembilan yang amat popular berasaskan air kelapa muda. Saban hari terdapat deretan kedai-kedai menjual air kelapa “Janda Pulang” di sepanjang jalan dari Ulu Bendul sehingga ke Pekan Kuala Pilah. Ia merupakan minuman yang amat unik, maka tidak hairanlah mengapa ia mendapat sambutan dengan begitu pantas.

Nama minuman yang diberikan kepada minuman ini juga adalah simbolik tentang bagaimana minuman ini disediakan. Ini kerana penyediaan air Janda Pulang memerlukan buah kelapa ditebuk besar dan dikeluarkan isinya. Airnya pula dicampur dengan nira enau (palm sugar) dan dikacau sehingga sebati. Ia kemudiannya dimasukkan semula ke dalam buah kelapa, serta ditambah dengan buah beluluk berbentuk halwa atau yang telah diproses.

Proses mengeluarkan dan memasukkan air kelapa tadi diibaratkan seperti perpisahan sepasang suami isteri yang menyebabkan isteri menjadi janda. Oleh kerana hasil air tangan isteri yang sangat sedap menyebabkan ia dirujuk semula. Ia mengisahkan perjalanan isi kelapa yang pada mulanya bersatu, berpisah dan bersatu semula – dengan lebih baik (manis).


Buah beluluk sedap ditambah kedalam minuman.

Diharap para peniaga air “Janda Pulang” ini dapat memelihara keunikan asal air ini walaupun pengubahsuaian mungkin perlu – namun ia tidak merosakkan keaslian “Janda Pulang” di mana ia telah pun ada semenjak dari awal lagi.


Manakala bagi yang melewati kawasan laluan disepanjang Seremban – Kuala Pilah juga diharap tidak ketinggalan untuk mengambil peluang untuk merasai keistimewaan dan kebaikan air kelapa “Janda Pulang” ini, di negeri asalnya.


Free Download



Rabu, 8 Julai 2015

Jalan-jalan Cari Makan; Cincau

Cincau, bahan yang digunakan untuk pelbagai jenis minuman.

Minuman cincau walaupun bukan secara asalnya berasal dari Malaysia tetapi telah sebati dengan gaya hidup masyarakat tempatan yang berbilang kaum. Minuman ini telah lama terserap di dalam semua masyarakat dan digunakan hampir setiap hari.

Cincau adalah minuman yang diperbuat daripada kumpulan tumbuh-tumbuhan yang juga dikenali sebagai “grass jelly”. Tergolong di dalam kumpulan ‘mint’ atau pudina, maka tidak hairanlah mengapa minuman ini memberikan kesegaran kepada peminumnya. Antara tumbuhan yang popular digunakan untuk menghasilkan cincau adalah dari jenis Mesona chinensis (juga sebagai M. elegans dan M. procumbens). Manakala untuk menghasilkan cincau hitam Mesona palustris digunakan.

Mesona palustris yang digunakan untuk cincau hitam.

Mesona polustris kering untuk diproses.

Pembuatan cincau tidak menggunakan agar-agar. Ianya hanyalah menggunakan tumbuhan cincau dan juga tepung ubi kayu. Pati tumbuhan yang melikat dan juga campuran tepung ubi kayu membolehkan ia membeku sama seperti agar-agar.

Cincau digunakan dengan pelbagai cara. Selain daripada digunakan untuk menyediakan minuman cincau ia juga digunakan sebagai salah satu campuran dalam minuman lain seperti ABC dan Laici Kang. Jadi cincau amat mudah dipadankan dengan apa juga minuman dengan tambahan tekstur bahan kunyahan di dalam minuman tersebut.

Cincau mudah dipadankan untuk apa juga hidangan.

Cincau merupakan antara bahan minuman penting bukan sahaja di Malaysia, malah juga di negara-negara sekitar seperti Indonesia, Vietnam, China, Taiwan dan juga negara-negara Asia Tenggara yang lain. Minuman berasaskan cincau ini bukan sahaja menjadi hidangan minuman yang disediakan di kedai dan restoran, malah turut disediakan sebagai minuman diproses (tin dan kotak).

Ia turut menjadi bahan kajian bagi mengenal pasti potensi sebagai bahan perubatan dan khasiat pemakanan. Apa yang penting ia merupakan antara bahan penyediaan sebahagian minuman tradisi dan budaya penting di Malaysia dan harus dicuba “must try list” sewaktu berada di negara ini.


Free Download



Jalan-jalan Cari Makan; Laici Kang

Laici Kang minuman yang menyegarkan.

Laici Kang merupakan antara minuman kegemaran rakyat Malaysia, terutamanya untuk mengembalikan tenaga selepas kepenatan bekerja. Laici Kang juga antara minuman klasik yang bertahan lama dan sentiasa mendapat sentuhan pembaharuan bagi mempelbagaikan citarasa minuman unik ini.

Menggunakan nama laici menandakan antara bahan yang terdapat di dalamnya adalah buah laici (lychee) iaitu buah yang manis seperti rambutan. Walaupun begitu bahan-bahan yang lebih menarik turut terdapat di dalam minuman ini, yang menjadikan ia adalah antara minuman kegemaran ramai.

Laici Kang dihidangkan dari tengahari sehinggalah ke lewat malam. Dua variasi utamanya adalah ‘Laici Kang Panas’ dan ‘Laici Kang Sejuk’. Manakala variasi isi kandungannya adalah lebih penting kerana, turut memberikan perbezaan kepada rasa dan khasiat minuman istimewa ini. Ia juga antara minuman popular ketika Bulan Ramadhan.


Antara bahan asas dalam Laici Kang.

Seperti juga ABC, kreativiti pembuat Laici Kang bukan sahaja menumpukan kepada rasa minuman ini malah khasiatnya. Ia dikatakan dapat menurunkan panas badan selain daripada beberapa khasiat lain mengikut bahan-bahan yang digunakan seperti barli, selasih, buah kembang semangkuk, agar-agar, buah kabung, katirah, cincau, biji teratai, biji sagu dan sebagainya. Bagi sesetengah pembuat Laici Kang turut menggunakan telur puyuh dan juga sarang burung layang-layang.


Laici (lychee) menjadikan minuman tersebut adalah Laici Kang.

Laici Kang merupakan minuman padanan yang memuatkan bahan-bahan yang menyegarkan selain mempunyai khasiat yang berbeza-beza – bahan tersebut menyebabkan perbezaan harga Laici Kang juga. Selain dari itu bahan yang digunakan mungkin berbeza dengan pengaruh pembuatannya seperti Laici Kang Melayu – lebih menggunakan bahan-bahan ke-Melayuan seperti selasih, kembang semangkuk, barli dan katirah. Manakala Laici Kang dengan pengaruh Cina akan lebih menggunakan bahan-bahan herba Cina seperti biji teratai, goji berry, kurma merah, sarang burung layang-layang dan sebagainya.


Laici Kang herba - menggunakan bahan-bahan herba.

Adapun bahan-bahan ini kebanyakannya amat membantu dalam mengembalikan kesegaran badan selain menyejukkan. Jadi sekiranya anda ingin menikmati Laici Kang yang spesifik mengikut selera anda, mungkin anda boleh memadankan sendiri bahan-bahan kegemaran anda.

Maka Laici Kang adalah sebahagian daripada minuman identiti Malaysia yang unik dan turut berada dalam senarai ‘must try list’ bagi pengunjung-pengunjung ke Malaysia. Jika anda sudah lama tidak merasa minuman ini, mungkin di waktu terdekat nanti boleh lah mencubanya.


Free Download




Selasa, 7 Julai 2015

Jalan-jalan Cari Makan; ABC - Air Batu Campur

ABC, minuman penuh warna warni kebanggaan Malaysia.

ABC merupakan antara minuman yang menjadi indentiti Malaysia sejak sekian lama. Ia juga dikenali sebagai Air Batu Campur – ABC atau Ais Kacang merupakan minuman popular ketika cuaca panas di waktu tengahari. Namun kini ABC turut dihidangkan sehingga ke waktu malam.

Minuman ini mempunyai variasi yang banyak mengikut kreativiti pembuatnya, maka anda tidak akan mendapati dua ABC dari pembuat yang berbeza mempunyai rasa yang sama, namun mempunyai beberapa asas yang sama iaitu ais (air batu), sirap, gula melaka (palm sugar), susu cair, jagung manis, agar-agar, buah-buahan, cendol dan kekacang. Jadi ia sememangnya gabungan bahan-bahan manis yang mengembalikan tenaga selepas anda menghabiskan tenaga samada bekerja ataupun melakukan aktiviti-aktiviti sukan.


ABC direka mengikut kreativiti pembuat.


Buah-buah menambahkan lagi keunikan kepada ABC.

Hari ini ABC mempunyai variasi yang lebih luas menggunakan bahan-bahan yang lebih moden mengikut selera pengguna. Menggunakan bahan-bahan tambahan yang lebih banyak seperti tambahan ice-cream, sirap coklat, kekacang yang lebih baik dan bebola daripada sagu atau ubi kayu (iaitu bahan untuk membuat ‘bubble tea’). Selain itu juga ia disediakan di dalam bekas yang lebih besar, cantik serta dihiasi bagi menarik selera pengguna.


Bahan-bahan yang digunakan untuk ABC.

ABC menjadi sebahagian daripada ‘must try list’ bagi pelancong-pelancong yang melancong ke Malaysia selain daripada minuman-minuman utama yang lain seperti teh tarik, cendol, laici kang dan beberapa minuman lagi yang menjadi sebahagian identiti unik Malaysia. ABC boleh didapati di kedai-kedai makanan utama atau gerai kecil yang menjual minuman di merata tempat.

Bagi para pengusaha ABC semoga dapat mengekalkan identiti minuman unik ini walaupun ia semakin berubah mengikut zaman. Manakala para peminat diharap dapat terus menyokong minuman popular ini untuk terus berada di pasaran.


Free Download



Arkib Blog